1 Nov 2014

[BERGAMBAR] Pemeriksaan Kenderaan Untuk Lampu HID, Plat Nombor Bermula Hari Ini


Tindakan Tegas Terhadap Pemilik Kenderaan Pasang Lampu HID, Ubah Suai Nombor Plat

Tindakan tegas akan diambil terhadap kenderaan dengan nombor plat pelbagai reka bentuk, lampu tambahan (lampu strob) dan lampu HID 'head lamp' yang tidak mematuhi standard.

Setelah berbulan-bulan mengeluarkan amaran, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memulakan tindakan keras di seluruh negara terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan spesifikasi, bermula Sabtu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata kira-kira 1,500 anggota akan terlibat dalam operasi itu yang akan dilaksanakan bersama-sama dengan anggota polis trafik dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Beliau berkata pemeriksaan akan dilakukan di kawasan panas, sambil menambah operasi turut meliputi semua bandar dan pekan utama.

"Kami telah memberikan amaran yang cukup terhadap pemilik kenderaan untuk tidak menggunakan plat pendaftaran yang diubah suai dan lampu HID yang tidak diluluskan.

"Masa untuk berkompromi sudah berakhir. Kita tak akan layan sebarang alasan.

"Saman mandatoti akan dikeluarkan," katanya kepada The Star.

Ismail berkata di bawah spesifikasi JPJ, hanya tiga jenis plat nombor dibenarkan.

Bagi kenderaan biasa, ia mestilah terdiri daripada huruf dan nombor putih, timbul atau dilekat di plat hitam manakala bagi kenderaan kedutaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau Pertubuhan Getah Asli Antarabangsa, ia harus terdiri daripada huruf putih dan nombor, timbul atau dilekat pada plat merah.

Teksi dan kereta sewa harus mempunyai huruf dan nombor berwarna hitam, timbul atau dilekatkan di atas plat putih.

Pemilik motosikal di atas 250cc yang melanggar kaedah-kaedah mengenai nombor plat akan dikeluarkan denda kompaun sebanyak RM100 (jika diselesaikan dalam masa dua minggu), RM150 (jika diselesaikan antara dua minggu dan sebulan) dan RM250 (jika diselesaikan selepas sebulan).

Bagi pemilik motosikal di bawah 250 cc akan dikenakan denda RM70 (jika diselesaikan dalam masa dua minggu), RM120 (antara dua minggu dan sebulan) dan RM200 (jika lebih dari satu bulan).


Ismail berkata lampu HID, yang menggunakan gas Xenon, bukan filamen, tidak dibenarkan untuk digunakan kecuali dalam kes-kes di mana perubahan yang dibuat terhadap keseluruhan sistem pencahayaan dengan akreditasi dari Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

"HID yang terlalu kuat boleh mengganggu penglihatan pengguna jalan raya yang lain dan berdepan risiko keselamatan," katanya.

Bagi lampu 'strob' atau 'beacon', sejenis lampu berwarna-warni, beliau berkata kenderaan persendirian dilarang memasang peranti sedemikian.


Beliau berkata hanya kenderaan polis, JPJ, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan ambulans diberi keutamaan menggunakannya.

mengenai cermin gelap, Ismail berkata JPJ telah menunda tarikh penguatkuasaan sehingga 1 Mei tahun depan.

"Kami menangguhkan tarikh penguatkuasaan dalam tempoh enam bulan untuk memberikan masa yang cukup kepada pemilik kenderaan yang diimport untuk menggantikan cermin gelap mereka selepas JPJ menerima banyak rayuan," katanya. -mstar

klik untuk besarkan pamphlet









IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





[VIDEO] KLIA2 Banjir Amat Memalukan!


Tony Pua hari ini mempersoal kewibawaan pengurusan KLIA2, MAHB, apabila badan pengurusan itu gagal untuk menyelesaikan masalah retakan dan tanah mendap di landasan, jalan rayap dan tempat letak pesawat lapangan terbang antarabangsa terbaru itu.

Menurutnya, isu tanah mendap telah menjadi ‘jenaka antarabangsa’ kerana perkara ini tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi di lapangan terbang yang kononnya menggunakan teknologi tinggi.

“Saya membangkitkan perkara ini kerana melihat satu video di Youtube semalam bertajuk ‘Berlaku banjir di KLIA2’ yang menunjukkan terdapat pekerja lapangan terbang sedang menimba air di kawasan landasan yang telah dinaiki air.

“Ini satu jenaka yang amat serius yang perlu ditangani oleh pihak Kementerian Pengangkutan,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen ini.

Jelasnya, insiden ini bukan kali pertama berlaku dan ia sangat mengejutkan kerana landasan masih beroperasi dan menyatakan bahawa keadaan mungkin akan lebih buruk sekiranya KLIA2 mencapai penggunaan maksima di masa hadapan.

“Cuba bayangkan sekiranya landasan tersebut sibuk, mungkin sesuatu yang lebih buruk berlaku,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan bahawa persoalan mengenai KLIA2 telah ditanyakan olehnya kepada Menteri Pengangkutan bagi mendapat penjelasan berkenaan jumlah kos pembinaan serta langkah yang dirancang oleh MAHB untuk mengatasi masalah lapangan terbang yang berhadapan masalah retakan dan tanah mendap terutamanya di apron dan runway.

“Saya hanya mendapat jawapan yang beliau mengakui memang ada berlakunya mendapan di KLIA2 dan masalah tersebut berpunca daripada ‘differential settlement’ yang sudah dijangka dan telah diambil kira semasa pembinaan KLIA2.

“Keselamatan operasi dan penerbangan di KLIA2 tidak terjejas akibat mendapan dan takungan air tersebut,” kata menteri terbabit.

Ujarnya, pihak MAHB telah menjalankan kajian secara komprehensif yang membolehkan MAHB mengenal pasti dan melaksanakan tindakan berterusan yang paling sesuai dan praktikal bagi menangani isu ini.

“Antaranya adalah kerja pembaikan segera seperti penampalan, pembaikan, retakan dan pengambusan lubang. -FMT




ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan itu tidak dapat ditolak. Ia tetap berjalan sekalipun cuba dinafikan.

Walaupun sebelum ini pihak pengurusan KLIA dan MAHB menafikan hal-hal berkaitan dengan isu retakan dan pemendapan di KLIA2, kini video di atas menunjukkan pekerja lapangan terbang sedang menimba air di kawasan landasan yang telah dinaiki air.









IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





[VIDEO & GAMBAR] Kedah Dilanda Puting Beliung, Amaran Keras Dari Langit?


Kota Setar dilanda puting beliung

ALOR SETAR - Tiga cedera, manakala lebih 35 rumah rosak selepas angin kuat melanda tiga kawasan di daerah Kota Setar, petang tadi.

Dua daripada tiga mangsa yang cedera adalah dari Taman Inang terkena serpihan kaca daripada pintu dan seorang kanak-kanak difahamkan cedera ketika memancing di tengah sawah di kawasan berkenaan.

Seorang lagi mangsa tercedera di bahagian badan dan tangan akibat terkena serpihan atap zink rumah yang di bawa angin di Kampung Sungai Baru.

Berikutan kejadian angin kuat pokok-pokok landskap berhampiran rumah penduduk dan di tepi jalan utama juga tumbang. Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Batin, Taman Mergong Jaya Fasa Satu, Taman Inang dan Kampung Sungai Baru.

Fenomena pusaran angin bersaiz sederhana seakan ‘puting beliung’ itu jelas kelihatan daripada beberapa kawasan, dipercayai bermula dari kawasan Sungai Baru menghala ke Mergong.

Fenomena alam yang berlaku buat kali kedua itu, selepas Pendang pada 14 Oktober lalu menyebabkan orang ramai merakamkan kejadian dan menjadi viral di laman Facebook. -SH








ULASAN GB

Apakah puting beliung itu sebagai satu amaran keras dari langit terhadap gejala di bawah ini yang dilaporkan beberapa hari lalu?


Berjoget tengah sawah

Pengunjung dan pelayan leka menari.

PENDANG - Jika dari luar, kedai makan ini dilihat tenang di tengah sawah, namun siapa sangka pada malamnya ia dijadikan tempat hiburan.

Tidak punya papan tanda, kawasan kedai makan itu kelihatan meriah dengan pengunjung yang kononnya datang untuk menjamu selera dan itu antara helah yang digunakan pengusaha untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Tinjauan Sinar Harian pada jam 12.30 tengah malam mendapati, kedai tersebut menyajikan tarian mengghairahkan dan minuman keras kepada pengunjung beragama Islam.

Sinar Harian sempat menemu bual seorang pengunjung dalam lingkungan 50 tahun, hanya ingin dikenali sebagai Mat.

Atas sebab keselamatan, dia tidak mahu identitinya didedahkan dan enggan gambarnya dirakam.

"Kebiasaannya, kedai ini akan ramai pada malam Jumaat, pengunjung yang datang akan dilayan oleh pelayan kedai tersebut dengan berpakaian seksi."

"Setiap layanan yang diberikan, mereka akan menerima tip sebanyak RM30," katanya.

Minuman keras yang disediakan kepada pengunjung Muslim.

Jadi tempat lepak

Katanya, selain minuman keras, kedai makan ini juga menyajikan air berkarbonat dengan harga RM7 sebotol.

"Harga yang dijual memang mahal, kalau ikutkan memang Mat tidak mahu datang sini, mahal sangat, tapi sebab bosan, Mat datang la sini."

"Mat selalu datang kedai ini dengan kawan pada jam 11.30 malam, lepas habis kerja. Sinilah tempat kami lepak," katanya.

Mat berkata, pelayan perempuan dalam kedai tersebut berumur lingkungan 27 hingga 40 tahun.

"Biasanya, mereka akan menggoda dengan aksi mengghairahkan," katanya.

 Pelayan yang menari berpelukan melayan pengunjung.

Suami abai tanggungjawab

"Perangai suami saya berubah sejak berkunjung ke situ, setiap kali dapat gaji dia akan ke kedai makan tersebut untuk berjoli dengan perempuan seksi."

Itu keluhan seorang wanita mendakwa suaminya kerap berkunjung ke kedai makan yang menyediakan khidmat pelayan.

Wanita berkenaan menceritakan keadaannya kepada Sinar Harian selepas tidak sabar dengan kerenah suami yang sering mabuk dan berfoya-foya dengan pelayan kedai terbabit.

Ibu kepada anak lima itu berkata, sejak belakangan ini, suaminya kerap mengunjungi kedai berkenaan dan hanya akan pulang awal pagi.

Bukan  setakat itu, katanya, suami yang juga pekerja projek turut mengambil minuman keras yang didakwa boleh diperoleh secara mudah di kedai terbabit.

Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Aminah (bukan nama sebenar) berkata, kehidupannya semakin tertekan apabila sering dipukul suaminya.

“Setiap kali saya minta duit untuk beli barangan dapur dan belanja sekolah anak-anak, suami akan naik angin dan menengking dengan kata-kata kesat.

“Sejak berkunjung ke situ, dia jadi seorang pemabuk dan lupa tanggungjawab terhadap keluarga,” katanya.

Katanya, dia hanya mampu berdoa semoga ALLAH SWT memberi hidayah kepada suaminya.


Polis tumpas premis

Bertindak atas aduan, polis Kedah menyerbu pusat hiburan yang menawarkan minuman keras bersembunyi di sebalik kedai makan di sempadan Pokok Sena - Pendang jam 1.15 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, semakan mendapati, penjaga premis gagal mengemukakan lesen hiburan di bawah Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1997.

“Polis turut menahan seorang penjaga dan seorang  pelayan wanita berumur 27 tahun yang terbabit.

"Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Kota Setar untuk tindakan lanjut.

“Seramai 14 pengunjung turut disiasat melibatkan 12 lelaki Melayu dan dua wanita Melayu. Semakan dibuat mendapati, mereka tiada rekod jenayah,” katanya.

Mohd Nashir berkata, pihaknya turut merampas beberapa peralatan antaranya dua komputer, dua pembesar suara, satu mikrofon, satu amplifier dan satu unit mixer. -SH










IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI