29 Feb 2012

Tan Sri Khalid Ulas Perlantikan Khairy Jamaluddin Sebagai Pengerusi PUNB

Abdul Khalid : Pelantikan Khairy Jamaluddin Tidak Menguntungkan Bumiputera

Perlantikan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah membawa masyarakat Bumiputera ke belakang di mana fahaman dan kepentingan politik menjadi asas kepada pelantikan ke jawatan profesional.

Menurut Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, perlantikan Khairy menghantar isyarat yang salah kepada komuniti Bumiputera yang sekarang digalakkan untuk meningkatkan standard profesionalisme setanding yang terbaik di dunia.

Ini kerana perlantikan MP Rembau itu jelas menunjukkan fahaman politik menjadi kriteria utama untuk dilantik ke jawatan tertinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan, bukannya berdasarkan kemampuan dan pengalaman.

"Sebagai salah seorang pengasas PUNB iaitu syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) di mana saya berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), saya berbangga dengan pencapaian PUNB yang selama ini diterajui oleh golongan profesional dan berkebolehan.

"Walaupun peringkat pengubal dasar terdiri daripada ahli ahli politik tetapi mereka tidak campur tangan dalam operasi. Malah Ahli Lembaga Pengarah terdiri daripada golongan profesional berpengalaman yang tidak mempunyai kepentingan politik atau kumpulan berkaitan dengan politik," tegasnya.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya mensia-siakan usaha masyarakat Bumiputera dengan melantik Khairy Jamaluddin yang tidak berkeupayaan dan tidak berpengalaman dalam menguruskan badan korporat yang sudah berjaya.

Tegasnya, tindakan Najib sekali lagi membuktikan bahawa beliau gagal mengutamakan antara kepentingan dengan profesionalisme.

Malah Abdul Khalid menyifatkan perlantikan tersebut sebagai petanda yang buruk bagi bumiputera dan Malaysia khasnya.

"Bagi pembangunan negara, pemimpin sepatutnya melihat dalam konteks lebih luas dan berfikir di luar fahaman politik di mana ciri-ciri ini telah diketepikan menerusi pelantikan Khairy Jamaluddin," jelasnya. -tvsnews



Jui Meng : Idealisme Politik Islam Membawa Kemakmuran Bagi Semua

Shah Alam, 28 Feb: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Datuk Chua Jui Meng meminta rakyat memilih pemimpin yang menganjurkan perjuangan berteraskan al-Quran dan Hadis kerana idealisme perjuangan politik Islam menekankan kebaikan untuk semua.

Tegasnya, walaupun terdapat perbezaan pendapat antara parti komponen Pakatan Rakyat, namun Pas, DAP dan PKR tidak memperjuangkan kepentingan kaum tertentu. Sebaliknya, Pakatan memperjuangkan hak semua kaum berlandaskan Perlembagaan.

"Saya 40 tahun dalam Barisan Nasional (Umno-BN), kita tidak begitu faham Islam. Tetapi sekarang kita bersama dengan Pas dan PKR, saya faham atas idealisme Islam itu yang nak membawa kemakmuran kepada semua," kata Jui Meng yang pernah menyandang jawatan Naib Presiden MCA.

"Dulu Umno tidak beritahu dan mengajar saya berkaitan al-Quran, Hadis dan lain-lain termasuk Menteri Agama," katanya dalam Wacana anjuran Sinar Harian yang bertajuk 'Mengapa Undi Melayu Berpecah'.

Jelas beliau, perosalan adakah undi Melayu pecah tidak relevan kerana perkara pokok yang perlu ditumpukan adalah memastikan hak semua terbela meskipun terdapat perbedaan dari segi fikiran, prinsip dan idealisme.

"Bila saya masuk kampung Melayu semasa menjadi Menteri Kesihatan dulu, saya tengok ramai orang Melayu yang miskin. Dan, ada anak-anak Orang Asal saya diberitahu mereka sanggup meletakkan pasir bagi mengisi perut. Kita sepatutnya memusatkan kepentingan rakyat, bukan kroni," katanya.

Ideologi memperjuangkan hak semua kaum merupakan tunjang kepada dasar-dasar di dalam Buku Jingga Pakatan, katanya.

Jui Meng berkata keberkesanan Buku Jingga telah dibuktikan oleh kerajaan Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid yang memperkenalkan gaji minima RM1,500 kepada anak syarikat kerajaan negeri bermula tahun ini. -tvsnews



Tuntutan Palsu: Mahkamah Dapati MP Sabak Bernam Bersalah

Shah Alam: Ahli Parlimen Sabak Bernam Abdul Rahman Bakri hari ini didapati bersalah terhadap lapan pertuduhan tuntutan palsu yang berjumlah RM80,000, tiga tahun lalu.

Abdul Rahman, 46, didakwa melakukan kesalahan itu semasa beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar mewakili Barisan Nasional (BN).

Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti tanpa keraguan munasabah.

Selain itu, mahkamah turut mendapati pembantu Abdul Rahman, Rosli Busro, 43, bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dalam melakukan semua lapan kesalahan yang didakwa.

Hakim bagaimanapun bersetuju untuk menjatuhkan hukuman terhadap Abdul Rahman dan Rosli pada pukul 11 pagi esok.

Ini berikutan permintaan peguam bela mewakili kedua-dua tertuduh Affifuddin Hafifi dan Lim Kon Keen yang mahukan sedikit masa untuk menyediakan mitigasi serta rayuan terhadap hukuman yang bakal dikenakan.

Tuntutan palsu

Selaku ejen kerajaan Malaysia, Abdul Rahman didakwa dengan niat untuk memperdaya prinsipalnya dengan menggunakan surat Adun yang mengandungi butiran palsu membuat tuntutan ke atas program atau aktiviti yang sebenarnya tidak dilaksanakan.

Antaranya pembelian hadiah dan cenderamata serta penganjuran jamuan Program Motivasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di kawasannya.

Beliau juga didakwa membuat tuntutan menggunakan butiran palsu mengenai Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga KRT di Dun Sungai Air Tawar, Program Forum Perdana Peringkat Mukim Bagan Nakhoda Omar, program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga Guru-guru Kemas serta Program Mesra Rakyat serta sambutan Maulud Nabi.

Semua tuntutan palsu itu membabitkan jumlah RM10,000 setiap satu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara 21 Januari hingga 12 Februari 2008 di Pejabat Daerah Sabak Bernam.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa. Kes sebelum ini dibicarakan di Mahkamah Khas Jenayah Rasuah Shah Alam. -FMT

Paksa Seks Atas Motosikal

Nilai – Akibat terlalu percaya kepada teman lelaki, seorang pelajar Tingkatan Satu dirogol secara paksa oleh teman lelakinya yang berusia 19 tahun di sebuah lorong gelap, delat Gadong Jaya, Seremban. Gambar fail

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusof Awang berkata, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai di ibu negara itu dikatakan memaksa kekasihnya berusia 13 tahun itu melakukan seks atas motosikal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian pertama berlaku Ogos tahun lalu dan selepas itu, pasangan tersebut kerap berjumpa untuk melakukan seks sehinggalah pada 22 Februari lalu.

“Laporan asal dibuat keluarga wanita itu yang melaporkan anaknya tidak pulang ke rumah selama seminggu dipercayai mengikut teman lelakinya di Kuala Lumpur.

“Sejurus laporan polis dibuat, wanita tersebut pulang ke rumah. Setelah didesak keluarganya, wanita itu memberitahu bahawa dia dirogol. Sebaik sahaja mengetahui hal itu, ibunya membuat laporan di Balai Polis Nilai,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Yusoff berkata, polis berjaya menahan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol. -SH


Ulasan GB

"Kerap berjumpa" setelah dirogol kali pertama untuk dirogol lagi. Pelik.


[Bergambar] Kasut Tak Lekang Dari Tangan Pemuda PERKASA Ini

Perkasa tunjuk kasut kerana 'kecewa' dengan Guan Eng

GEORGETOWN - Ketua Wira Perkasa Pulau Pinang, Mohd Rizuad Mohd Azudin menjelaskan tindakannya menunjukkan kasut di hadapan kereta Ketua Menteri, Lim Guan Eng Ahad lalu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

Guan Eng dilantik sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Rizuad berkata, Guan Eng mampu meluangkan masa untuk menghadiri Himpunan Hijau 2.0 sebagai membantah projek Lynas di Gebeng, Pahang demi modal politiknya.

"Guan Eng didapati mengambil kesempatan dalam perhimpunan itu untuk berucap sambil memperkecilkan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi slogon 1 Malaysia yang dianggapnya sebagai satu pembohongan.

"Padahal, beliau sendiri sebagai Ketua Menteri belum menyelesaikan beberapa persoalan yang dikemukakan oleh beberapa badan bukan kerajaan melibatkan masalah penduduk negeri. Tetapi beliau lebih sibuk dengan hal yang berlaku di negeri lain," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau meluahkan kekecewaan ini berikutan keengganan Guan Eng memberi respons yang baik ketika meminta untuk berjumpanya bagi membincangkan hal berkaitan penduduk tempatan.

"Guan Eng cuba mengalihkan permintaan NGO dengan mendakwa kami adalah orang Umno, padahal beliau sendiri tahu bahawa kami adalah ahli Perkasa.

"Perkataan diungkap oleh Guan Eng mencetuskan kemarahan sehingga kami hilang sabar sebelum bertindak mengepung kereta beliau sambil menunjukkan kasut kepadanya," katanya. -SH





Ulasan GB

Begitu karenahnya kesamsengan pemuda Perkasa.

Tak lekang kasut dari tangannya.

Agaknya jika orang lain tak puashati dengan Perkasa, masing-masing tunjuk kasut kepadanya apamacam?

2000 Tong Gas Meletup Di Kajang

Kajang: “Saya sempat melihat puluhan tong gas meletup dan melantun setinggi bangunan tiga tingkat disusuli api yang marak. Malah bunyi letupan seolah-olah di medan perang,” kata Tazrul Tahir, 25, saksi kejadian kebakaran sebuah kilang mengisi dan memproses gas memasak di Jalan Semenyih Mantin, dekat sini, malam tadi.

Gambar: KEBAKARAN kilang memproses dan mengisi gas di Batu 22, Jalan Beranang.

Tazrul yang bekerja sebagai petani, berkata ketika kejadian dia sedang berada di rumah di Kampung Sentosa kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, ketika itu dia ingin mengambil air wuduk untuk menunaikan solat Isyak sebelum terkejut apabila mendengar bunyi letupan kuat berulang-ulang kali, kira-kira jam 8.30 malam.

“Saya kemudian terus bergegas ke tempat kejadian sebelum tergamam seketika apabila melihat tong gas terbabit `terbang' manakala api mula marak.


“Ketika itu saya berasa seperti berada di medan perang apabila mendengar dentuman bunyi yang kuat. Bimbang kejadian tidak diingini berlaku saya kemudian berlari semula ke jalan utama sebelum polis dan bomba tiba di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata lima jentera bomba dengan kekuatan 30 anggota termasuk bantuan air dari Balai Bomba Mantin, Negeri Sembilan, dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.

Menurutnya, api dapat dikawal dalam sejam bagi mengelak api merebak ke kawasan lain di samping meletakkan kawasan berkenaan dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kemungkinan termasuk letupan.

"Unit Forensik Bomba kini sedang menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh bagi mengenalpasti punca dan kerugian sebenar,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku namun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca utama kebakaran.

Menurutnya, 2,000 tong gas musnah dalam kebakaran itu bersama treler, lori sarat dengan tong gas, sebuah Proton Waja dan motosikal.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan stor penyimpanan gas ini didapati tidak memenuhi piawaian keselamatan pada tahap sebenar hingga mengakibatkan kebakaran dan letupan berlaku.

"Sehingga ini, kita sedang mengesan pekerja dan pemilik stor dipercayai menghilangkan diri sejurus kebakaran berlaku," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati punca kebakaran dipercayai akibat kebocoran paip gas.

"Polis juga akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kajang bagi mengambil menyemak operasinya sama ada sah atau tidak,” katanya.

Difahamkan, kilang terbabit sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu dan kejadian ini adalah yang pertama. -hm

Memang Sengal, Bayi Ditinggalkan Di Alas Kaki Rupa-rupanya Anak Sendiri

Tanda tanya bayi siapa yang ditinggalkan atas alas kaki di depan pintu sebuah rumah di Kampung Beladau, Kepong dekat sini pada Jumaat lalu terungkai apabila bayi itu sebenarnya anak kepada wanita yang membuat laporan polis mendakwa menemui bayi itu.

GADIS yang direman pada Jumaat lalu menunjukkan alas kaki tempat seorang bayi ditemui di Kampung Beladau, Kepong, Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, K. Manoharan berkata, tembelang pekerja sebuah kedai makan berusia 23 tahun itu terbongkar selepas polis menemui beberapa bukti mengaitkan kelahiran bayi berkenaan di salah sebuah bilik di rumah yang didiami wanita terbabit.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati wanita itu baru melahirkan bayi berkenaan secara bersendirian sebelum suspek membuat laporan polis pada Jumaat lalu mendakwa bayi itu diserahkan oleh seorang warga emas.

“Siasatan mendapati sebaik bersalin, wanita itu terus menyerahkan bayinya kepada seorang kakak angkatnya untuk dijaga beberapa hari.

“Selepas itu, kakak angkat wanita terbabit memulangkan semula bayi itu kepada si ibu,” kata Manoharan ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam. -kosmo

Berita sebelumnya

'Kalau tak nak, buang!

SAYANG... Wan Shahira memangku bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan pintu rumah keluarganya.


KUALA TERENGGANU: “Ambillah budak ini, kalau tak nak jaga buang je, budak ini baik, tak menangis,” kata seorang wanita warga emas kepada Wan Shahira Wan Nazri, 23, ketika meninggalkan bayi lelaki dipercayai baru berusia seminggu di pintu depan rumah keluarga angkatnya di Kampung Beladau Kepong, di sini, petang kelmarin.

Menurutnya, selepas berkata demikian, wanita berusia lingkungan 70-an itu meletakkan bayi malang yang dianggarkan seberat tiga kilogram dan masih bertali pusat itu di atas pengalas kaki di depan pintu sebelum bergegas meninggalkan rumah dalam kejadian jam 6 petang.

“Saya kemudian terus mengambil bayi yang lengkap berpakaian dan berstoking itu ke bilik tidur sebelum memberitahu ayah angkat yang pulang ke rumah selepas Maghrib,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga angkatnya, malam kelmarin.

Wan Shahira berkata, kejadian berlaku ketika dia menidurkan adik bongsunya berusia tiga bulan di ruang tamu manakala ibu bapa angkat, Rashid Sulong, 56, dan Rokiah Mohamad, 36, tiada di rumah kerana berniaga di kedai makan yang diusahakan mereka di Kampung Sungai Rengas, tiga kilometer dari rumah.

“Pada mulanya, saya mencadangkan kepada wanita terbabit supaya menyerahkan bayi itu kepada ibu angkat yang berada di kedai makan di Kampung Sungai Rengas selepas dia mendakwa mengenali ibu yang mesra dengan panggilan Mak De.

“Wanita itu juga mendakwa tinggal di Jerangau, Hulu Terengganu, di tempat di mana ibu angkat saya berasal.

“Dia datang ke rumah dengan menaiki sebuah kereta jenis Ford Laser lama berwarna merah dipandu seorang lelaki yang kelihatan berusia hampir sebaya dengan wanita terbabit dan ketika kejadian, lelaki itu hanya menunggu di dalam kereta,” katanya.

Sementara itu, Rashid berkata, selepas dimaklumkan Wan Shahira mengenai kejadian terbabit, dia terus ke rumah pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Beladau Kepong untuk memaklumkan perkara itu sebelum menghubungi Balai Polis Chabang Tiga, di sini, jam 9 malam.

“Ketika kejadian, saya dan isteri berada di kedai makan yang kami usahakan, manakala Wan Shahira menidurkan adik bongsunya berusia tiga bulan di rumah sementara seorang lagi anak, Fatin Nurshafikah, 9, tidur di bilik dan dua anak lagi keluar bermain.

“Saya tidak pasti siapa warga emas berkenaan walaupun mereka mendakwa berasal dari kampung isteri di Jerangau, Hulu Terengganu,” katanya.

Bagi memastikan sejauh mana kebenaran dakwaan itu, Rashid berkata, dia memberitahu kejadian itu kepada isterinya yang kemudian menghubungi saudara-mara di Jerangau, namun dimaklumkan tiada saudara mereka di sana yang bersalin dan menasihati wanita itu membuat laporan polis.

“Saya percaya mereka yang melakukan perbuatan itu mengenali keluarga saya kerana dimaklumkan mereka terus menuju ke rumah ketika menghantar bayi ini,” katanya.

Bayi terbabit kemudian dibawa anggota polis ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, dengan ditemani Wan Shahira dan seorang jiran pada jam 11.50 malam sebelum mereka membuat laporan di Pondok Polis HSNZ jam 12.30 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi lelaki terbabit dan berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
-hm 26/2


[Video] Kes Tampal Mulut Bayi, Pemilik Pusat Asuhan Lapor Polis

Johor Bahru: Marah kepada majikan, dua pengasuh sebuah pusat asuhan di Taman Kota Masai, dekat sini, bertindak kejam menampal pita pelekat pada mulut bayi jagaan mereka manakala tubuh pula dililit ketat dengan kain bedung.

Gambar: KESAL...Shaherah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya sambil Norhashimah (kiri) menunjukkan gambar anaknya, Ahmad Afiq yang ditampal pita pelekat.

Tidak cukup dengan itu, dua pengasuh terbabit turut membuat rakaman video gambar tujuh bayi di bawah jagaan mereka itu sebelum rakaman berkenaan diedarkan kepada umum.


Berikutan perbuatan khianat dua wanita berusia 20 dan 22 tahun itu, pemilik pusat asuhan berkenaan, Shaherah Abd Malik berdepan pelbagai masalah untuk menjelaskan apa sebenarnya berlaku kepada pelbagai pihak yang memandang serong terhadapnya.

“Ini perbuatan khianat. Hakikatnya, saya dan pengasuh lain tidak pernah mengabaikan kebajikan bayi serta kanak-kanak yang dihantar ke pusat asuhan kami.

“Dua bekas pekerja saya itu sengaja berbuat demikian bagi merosakkan nama baik dan perniagaan saya,” katanya. -hm

Dua wanita dipanggil

JOHOR BAHRU: Polis menerima tiga aduan berhubung penyebaran rakaman video memaparkan tujuh bayi sebuah pusat asuhan di Taman Kota Masai, di sini, didera pengasuh dan dua pengasuh disyaki terbabit sudah dipanggil untuk disoal siasat.

Dua wanita terbabit, masing-masing berusia 20 dan 22 tahun dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di sini, Sabtu lalu, bagi memberi keterangan berhubung kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, selain itu, polis menyiasat laporan pengusaha pusat asuhan berkenaan berhubung rakaman video terbabit yang disebarkan pihak tertentu menerusi e-mel.-hm





Apa Barang Hassan Ali Merepek Ni?

Tiada lagi azan berkumandang

JASIN - Tidak mustahil tiada lagi azan berkumandang sekiranya rakyat terus memilih dan menyokong parti DAP dan PKR untuk memerintah terutama di Selangor dan ­negeri yang diperintah PR ­sebelum ini.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, sedangkan usahanya mengharamkan arak di ­premis serbaneka yang pernah dilakukan sebelum ini juga mendapat tentangan dari wakil Exco ­dalam PR dan tidak sukar jika senario itu berlaku dalam ­konteks azan.

Menurutnya, lebih buruk apabila yang kedua mendapat halangan dalam kalangan orang Pas sendiri yang menyekat kemaraan untuk mene­gakkan agama Islam termasuk program mencegah murtad yang turut mendapat penghalang pihak terbabit.

“Saya dipecat kerana hendak mempertahankan aqidah dan syariah yang bersendikan kepada akhlak bukannya disebabkan berkhalwat atau liwat.

“Tidak mustahil azan juga akan diharamkan bila PR terus berkuasa dan Pas menyatakan apa yang hendak dibuat me­ngenai Islam mesti rujuk dulu kepada parti komponen ­dalam PR iaitu PKR dan DAP ­sedangkan ia berhubung kait agama Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Sim­p­osium Perdana Menjunjung Daulah Islam, Perpaduan Ummah dan Selamatkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Dewan Alamanda, malam kelmarin.

Hassan yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati) berkata, NGO perlu diperkasa dan bergerak seiring dengan merujuk kepada kemahuan serta kehendak aliran yang dibawa oleh kepimpinan tertinggi mana-mana NGO.

“Ia bagi memastikan NGO seperti Jati dapat berfungsi dan menjalankan tugas dengan ­lebih berkesan.

“Jati yang ditubuhkan ­bukan hanya untuk kemajuan orang Melayu semata-mata, sebaliknya kepentingan kaum lain juga turut dipelihara ­berdasarkan ajaran agama Islam,” katanya.

Katanya, Islam Melayu Raja (IMR) yang ­dibawa oleh Jati antara lain bertujuan menyatukan anak Melayu.

“Jati ditubuhkan bukan untuk terlibat dalam dunia politik, namun ahli dalam NGO terbabit masih lagi ­dibenarkan berpolitik selagi ­tidak membawa nama Jati,” katanya.

Difahamkan sehingga kini, lebih 1000 orang mendaftarkan diri sebagai ahli Jati sejak NGO itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah yang mewakili Ketua Menteri, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Datuk Nika Ujang. -SH

Ulasan GB

Azan tidak berkumandang lagi? Andaian yang sengaja dibuat dari bisikan syaitan untuk rakyat tidak memilih Pakatan Rakyat.

Kamu Hassan Ali dipecat dari PAS bukan kerana faktor yang kamu nyatakan iaitu "hendak mempertahankan aqidah dan syariah yang bersendikan kepada akhlak" tetapi sepertimana pengumuman Presiden PAS, tindakan kamu yang dilihat merosakkan parti dan menyebabkan kemusnahan kepada parti, seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

Seperti yang GB ulas sebelum ini. Petikan:

Sehari demi sehari, kebenaran terdedah siapa itu Hassan Ali.

Setelah beliau "meludah" muka TG Nik Aziz dengan penafian memohon maaf di Kelantan sebelum ini, kini beliau meludah pula Presiden PAS sendiri.

Beliau lansung tidak layak untuk berada di dalam jemaah PAS.

Itu sebab GB katakan semakin dia dibiarkan, Hassan Ali semakin melampau.



Laporan sebelum ini
klik untuk baca