8 Sep 2011

Kesatuan Pekerja MAS Akan Berpiket Bantah Pertukaran Saham MAS-Air Asia

Tiga kesatuan pekerja-pekerja Malaysia Airlines (MAS) yang mewakili kira-kira 15,000 pekerja akan berpiket ekoran pertukaran saham syarikat penerbangan kebangsaan itu dengan AirAsia.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja MAS (MASEU) Alias Aziz (gambar) berkata mereka berpendapat bahawa janji niaga itu tidak akan memberikan manfaat kepada MAS, dan percaya pengurusan baru syarikat penerbangan itu merancang mewujudkan satu jenama baru dalam syarikat penerbangan sebagai sebahagian daripada langkah menghapuskan kesatuan.

"Kita tidak setuju dengan kerjasama itu atau langkah untuk menubuhkan penerbangan baru di bawah janji niaga itu," kata beliau.

"Apa kita lihat daripada kerjasama itu akan memberikan manfaat kepada AirAsia dan juga ada khabar angin bahawa sebuah syarikat penerbangan baru akan ditubuhkan hasil daripada kerjasama itu.

"Kita sudah ada MASwings Firefly dan MAS. Jadi, apa tujuan mereka mahu tubuhkan syarikat penerbangan baru," katanya pada persidangan akhbar di Pejabat Maseu di Subang Jaya, di sini.

MASEU menyertai Kesatuan Pekerja Penerbangan Sarawak dan Kesatuan Sekerja Pengangkutan Udara Sabah mengancam untuk mengadakan tindakan perindustrian dalam usaha menghalang pertukaran saham itu diteruskan.

Pada 9 Ogos lepas, MAS dan AirAsia mengadakan perjanjian kerjasama untuk menubuhkan satu rangka kerja bagi meneroka kemungkinan mengadakan kerjasama bersama.

Untuk mengukuhkan kerjasama bagi kepentingan dalam MAS dan AirAsia, Khazanah Nasional dan Tune Air -- masing-masing pemegang saham utama MAS dan AirAsia, bersetuju memiliki antara satu sama lain saham yang ada dalam kedua-dua syarikat itu.-- BERNAMA

PAS Beri Amaran: Jangan Bubar Parlimen Sebelum Pulihkan Sistem Pilihan Raya

PAS memberi amaran akan turun untuk perhimpunan Bersih 3 sekiranya kerajaan berhasrat membubarkan parlimen sebelum menyelesaikan kepincangan dalam sistem pilihan raya.

Perkara ini dinyatakan Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS, Suhaizan Kayat susulan pendedahan berterusan individu-individu yang berstatus bukan warganegara tetap mendapat mandat mengundi di negara ini.

Beliau kemudian menyarankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merombak sistem pilihan raya sedia ada sebagai cara memulihkan demokrasi secara total selain mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada suruhanjaya itu.

Dalam sidang media di ibu pejabat PAS tadi, Suhaizan mengemukakan lagi tiga nama layak mengundi yang berstatus Penduduk Sementara (Hijau).

Individu yang dikesan adalah seorang wanita bernama Numi Syukri yang didaftarkan di DUN Hulu Besut dan layak mengundi di parlimen Besut.

Seterusnya juga seorang wanita bernama Hasmidah Surahbil yang didaftarkan di DUN Semenyih, parlimen Hulu Langat dan seorang lelaki bernama Jamaluddin Tahir yang didaftarkan di DUN Bangi, parlimen Serdang.

Tiga nama tersebut dikesan memegang kad pengenalan berwarna hijau di dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan berstatus layak mengundi dalam senarai daftar pemilih di laman web SPR.

"Kita minta JPN jelaskan adakah benar tiga individu yang kita kemukakan ini adalah penduduk sementara. Kalau benar kemudian baru kita tanya kepada SPR kenapa mereka daftarkan nama penduduk sementara menjadi pengundi yang sah,"
kata Suhaizan kepada media.

PAS sebelum itu membangkitkan isu seorang individu bernama Mismah yang memegang kad pengenalan Penduduk Tetap ditemui dalam senarai daftar pemilih.

Namun status Mismah dalam laman web JPN bertukar sebagai warganegara selepas empat jam perkara tersebut didedahkan oleh media.

Suhaizan berkata pihaknya terpaksa menggunakan pendekatan media kerana usaha membantah secara terus kepada SPR sering menemui kegagalan.


"Sebab itu pemuda PAS mengambil pendekatan media. Maksudnya kita mahu rakyat sedar akan kesilapan itu dan biar rakyat yang menghukum," tambah beliau lagi.

Dalam pada itu menurut laporan akhbar Sin Chew Daily, kabinet telah bersetuju untuk menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang.

Laporan itu antara lain menyebut penggunaan dakwat kekal lebih sesuai berbanding sistem biometrik yang dicadangkan oleh SPR dan telah berjaya digunapakai di beberapa negara bagi mengelakkan pengundian berganda.

Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa beliau tidak mengetahui akan perkara itu selain menjelaskan bahawa keputusan kabinet adalah untuk menyerahkan tanggungjawab kepada Jawatankuasa Khas Pilihan Raya untuk memutuskan kesemua isu yang berkaitan reformasi pilihan raya.




Ulasan GB

Alhamdulillah, akhirnya PAS memberikan respons positif terhadap keresahan rakyat terhadap sikap dan membisu pimpinan Pakatan Rakyat terhadap keperluan BERSIH 3.0 digerakkan.

Sebelum ini di dalam entri Pakatan Rakyat Perlu Bentuk "J/K BERS✔H"nya Sendiri GB menyatakan:

Mengapakah BERSIH sudah mengendurkan perjuangan untuk pembersihan pilihanraya? Dan Pakatan Rakyat pula seperti lesu di dalam menangani isu ini dan malah sekarang ini lebih terjebak kepada isu-isu semasa yang lain?

Datuk Seri Anwar selaku Ketua De fakto Pakatan Rakyat perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas ala jawatankuasa Bersih di dalam Pakatan Rakyat sendiri untuk meneruskan perjuangan pembersihan pilihanraya sebelum mangkuk itu membubarkan parlimen. PR takkan menang jika SPR dibiarkan melakukan sesuka hatinya memanipulasikan daftar pemilih. Nak tunggu apa lagi?


Tiada Bukti Untuk Dakwa Mat Sabu, Tapi Ada Banyak Bukti Mat Sabu Untuk Dakwa Utusan

Polis: Kertas siasatan kenyatan Mat Sabu siap

Polis telah menyiapkan kertas siasatan terhadap timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang didakwa berkata pengganas komunis yang menyerang dan membunuh anggota polis dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata kertas siasatan itu dihantar ke Bukit Aman hari ini untuk diteliti dan akan dirujuk kepada pejabat pendakwa raya dalam tempoh terdekat.

Katanya polis telah mengambil keterangan daripada timbalan presiden PAS itu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, Ahad lalu.

"Polis turut merekodkan 68 kenyataan daripada pemberita, saksi bebas serta mereka yang membuat laporan polis terhadap beliau bagi melengkapkan siasatan dan sama ada beliau akan didakwa atau tidak, ia bergantung kepada Pejabat Pendakwa Raya," katanya dalam sidang akhbar di Georgetown hari ini.

Beliau berkata Mohamad Sabu turut disiasat menurut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan masyarakat.

Sehingga semalam, sebanyak 266 laporan polis terhadap Mat Sabu telah diterima di seluruh negara, kata Ayub.


Mat Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, dipetik sebagai berkata pengganas komunis yang membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Beliau enggan menarik balik kenyataannya dalam ceramah itu walaupun diminta berbuat demikian oleh pelbagai pihak termasuk rakan sekutunya yang juga pengerusi DAP Karpal Singh. - Bernama



Tinggal 24 jam sebelum Utusan disaman

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini menghantar notis supaya Utusan Malaysia supaya menarik balik laporan dan memohon maaf di atas penyiaran laporan bertarikh 27 Ogos lalu yang didakwa berunsur fitnah.

Katanya, beliau memberikan tempoh selama 24 jam untuk berbuat demikian sebelum menfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ekoran laporan muka depannya bertajuk "Mat Sabu Hina Pejuang".

"Utusan Malaysia pada 27 Ogos yang tulisannya pada muka depannya langsung tidak sama dengan ucapan saya yang sebenarnya. Saya dengar berkali-kali.

"Ia telah menimbulkan fitnah dan kemarahan orang ramai terhadap saya.

"Fitnah itu terlalu berat dan besar akibat laporan Utusan Malaysia pada 27 Ogos, sehingga berlaku kehangatan politik dan fitnah terhadap saya sehingga ada ancaman berat yang saya lalui pada hari ini," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Sementara itu, peguammnya Mohamed Hanipa Maidin berkata, notis tersebut dihantar kepada ketua pengarang Utusan untuk menarik balik fitnah yang dilemparkan ke atas Mohamad.

"Kalau tak tarik balik, saya d
iarahkan untuk memfailkan saman minggu depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," katanya.

Ditanya mengapa tindakan menghantar notis itu dibuat sekarang, Mohamed Hanipa berkata, ini kerana laporan akhbar itu disiarkan ketika beberapa hari sebelum cuti Aidilfitri.

"Ia berlaku dalam suasana raya... Kita perlu masa untuk study dari aspek perundangan.

"Kira Utusan ni tak adillah, (siar) dekat raya, (waktu orang) bercuti," kata Mohamed Hanipa.

Selain itu, Hanipa berkata beliau juga diarahkan oleh memfailkan saman kepada Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu berkenaan.

Mohamed Hanipa berkata beliau juga diarahkan oleh anak guamnya untuk menfailkan saman kepada Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berhubung bil pembayaran perubatan pembedahan ligamen lututnya yang terkoyak dirempuh kereta polis pada 9 Julai lalu. -mk






Ulasan GB

Sebelum ini GB menyatakan:

Menteri-menteri UMNO termasuk media arus perdana (eletronik & cetak) membesar-besarkan isu ceramah Mohd Sabu disamping dilihat "menghasut" rakyat untuk menyaman Mohd Sabu hanya bersandarkan kepada laporan palsu & fitnah Utusan Malaysia.

Bekas-bekas polis yang membuat laporan polis terhadap Mohd Sabu pula lansung tak dengar isi kandungan sebenar ceramah Mohd Sabu.

Menjadi beban kepada semua pihak yang membuat laporan polis untuk membuktikan dalam ceramah Mohd Sabu itu ada terdapat dakwaan yang kononnya beliau mendakwa "pengganas komunis adalah pejuang dan wira sebenar kemerdekaan negara". Kalau tak der siaplah kamu-kamu yang memfitnah.


Ternyata, polis pasti gagal untuk dakwa Mat Sabu. Mereka kekurangan bukti. Sekalipun beratus laporan polis dibuat ke atas Mat Sabu, namun kesemuanya hanya bersandarkan fitnah dari akhbar Utusan Melayu. Malah hampir kesemua mereka yang membuat laporan polis berkenaan tidak dengar pun ceramah Mat Sabu.

TETAPI, Mohd Sabu mempunyai banyak BUKTI KUKUH untuk mendakwa Utusan Malaysia yang memfitnahnya. Memang wartawan Utusan bakal terkencing terberak di mahkamah nanti jika kes ini diadili.

Yang nyata, Utusan bakal ditimpa kehinaan lagi selepas ini...

Benarlah janji Allah s.w.t.

إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ

Sesungguhnya orang-orang yang memfitnah kepada orang-orang mu'min (laki-laki) dan mukminah yang perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka neraka jahannam dan bagi mereka azab yang membakar. Al-Buruj:10

Dan laporan terbaru...

Tak dapat tanduk, telinga dipulas, apabila mereka menyedari usaha untuk mendakwa Mat Sabu itu pasti gagal, maka kini dilakukan secara kekerasan pula:


Isteri, anak gadis Mat Sabu diugut simbah asid

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mendakwa menerima SMS ugutan yang mengancam mahu menyimbah asid terhadap isteri dan anak perempuannya.

Katanya, kiriman SMS itu diterima semalam dan beberapa hari lalu daripada individu yang tidak dikenali.

Beliau menyifatkannya sebagai ancaman berat yang diterimanya berpunca daripada laporan Utusan Malaysia pada 27 Ogos berkaitan Mat Indera, tragedi Bukit Kepong dan sejarah kemerdekaan yang didakwa memfitnahnya.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis, Mohamad berkata beliau akan berbincang dengan peguam terlebih dahulu dengan peguamnya Mohamed Hanipa Maidin.

Turut hadir dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad. -mk

Bukan Ayam, Tapi Rakyat Kena "Sembelih" Selepas Raya!

Harga ayam naik mendadak

KUALA ROMPIN – Harga ayam standard di Pasar Awam Kuala Rompin mula dijual pada harga RM 8.80 sekilogram berbanding RM7.20 sekilogram selepas berakhirnya Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa, semalam.

Kenaikan mendadak sebanyak RM1.60 itu sudah dijangka hingga mengundang rungutan dalam kalangan pengguna yang terpaksa membeli ayam jauh lebih mahal berbanding ketika harga kawalan dikuatkuasakan kerajaan bermula 23 Ogos lalu.

Seorang pengguna, Abdullah Hasyim, 62, berkata, kenaikan harga ayam sudah tentu membebankan pengguna memandangkan barangan keperluan asas itu amat diperlukan pada musim perayaan ini.

“Harga ayam dijual jauh lebih tinggi berbanding kebiasaannya dan keadaan ini sudah tentu menggusarkan kami yang selama ini dihimpit dengan kos kenaikan harga barang,” katanya.

Abdullah berkata, kenaikan harga barangan keperluan itu menyebabkan dia tiada pilihan lain melainkan terpaksa juga membeli ayam bagi meraikan Aidilfitri yang disambut setahun sekali itu.

“Mahu tidak mahu kami (pengguna) terpaksa juga membeli ayam dengan harga tinggi kerana pada musim perayaan ini banyak rumah terbuka dan sebagainya bagi meraikan tetamu yang datang ke rumah,” katanya.

Saidi Ali, 53, berkata, kesan kenaikan harga barangan bukan hanya pada harga kawalan seperti ayam saja, malah barangan keperluan laut seperti ikan, udang dan sotong juga dipercayai naik mendadak.

“Dahulu, jika bawa RM50 sudah boleh borong banyak barang di pasar, namun hakikat itu tidak sama dengan keadaan sekarang apatah lagi dengan kenaikan harga barang dan kos hidup yang makin meningkat,” katanya.

Khairuddin Ngah, 41, berkata, pengguna seharusnya bijak menggunakan ‘kuasa beli’ yang ada pada mereka supaya tidak membeli barangan keperluan yang dijual pada harga tinggi hingga membebankan pengguna.

“Sebagai pengguna kita perlu gunakan kuasa yang ada pada kita dalam menentukan sama ada barangan itu mahu dibeli atau tidak kerana kita adalah kuasa besar dalam pasaran,” katanya.

Peniaga ayam, Khairul Azhar Syed Abdul Aziz, 36, berkata, peniaga tiada pilihan lain melainkan terpaksa menaikkan harga ayam berikutan membeli ayam hidup yang tinggi daripada pembekal.

“Harga ayam hidup biasanya dijual pembekal pada harga RM5.50, tetapi bermula semalam (kelmarin) harga ayam hidup dijual RM6.50, jadi kami tiada pilihan selain menaikkan harga ayam selepas skim kawalan berakhir,” katanya.

Khairul Azhar berkata, harga ayam yang dijual itu adalah sama dengan harga sebelum skim kawalan harga dikuatkuasakan, namun tidak menolak kemungkinan harga itu akan naik pada masa akan datang.

“Harga naik atau turun bergantung kepada pembekal, jika harga ayam hidup dari pembekal naik, maka harga ayam standard yang dijual kepada pengguna juga akan naik,” katanya.

Umno Guna Taktik Hitler Paksa Rakyat Terima Propaganda Mereka

Petaling Jaya: “Sesuatu fitnah, jika diulang berkali-kali dengan lantang, akan dipercayai rakyat jelata,” kata Menteri Propaganda Hitler Joseph Goebbels, yang terkenal dengan prinsip “The Big Lie”.

Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin mendakwa media arus perdana Umno seperti Utusan Malaysia dan TV3 menggunakan taktik Joseph Goebbels ini untuk memperdayakan rakyat.

Umno kini benar-benar lemas. Orang lemas akan gunakan apa juga cara untuk menyelamatkan diri walaupun kadang-kadang mereka tidak sedar yang mereka lakukan itu akan lebih cepat mematikan diri sendiri,” katanya dalam blog beliau semalam.

Beliau yang dikenali sebagai CheguBard berkata walaupun mereka gagal dalam propaganda palsu ini mereka tetap meneruskan penipuan umpama mencuri di siang hari.

“Contoh pertama, bayangkan pada hari raya pertama mereka sanggup membuat propaganda yang 100% tidak ada asas kebenaran malah untuk membodohkan pembaca yang majoritinya Melayu,” terang beliau yang juga Ketua Cabang PKR Rembau.

Menurutnya, Utusan mencabarnya untuk membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pendedahan isu cincin berlian RM24.45 juta yang dikaitkan dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Jelas niat jahat Utusan untuk menggambarkan seolah-olah pendedahan itu palsu. Mustahil Utusan tidak tahu laporan SPRM sudah pun dibuat pada 13 Julai lalu kerana wartawan Utusan juga hadir dalam sidang media depan SPRM Pulau Pinang.


Kedua katanya, dalam isu konon jemaah Surau Al Musyrikin berang kerana bantah pusat tuisyen galak murtad. Pertama sekali adakah sesiapa yang ‘sudi’ namakan surau sebagai Musyrikin (kafir – menyekutukan Allah).

“Setelah siasatan dibuat oleh beberapa pihak ternyata surau tersebut tidak wujud. Namun TV3 tak peduli dan meneruskan penipuan yang sama berulang kali
.

“Malah ditampilkan seorang ‘Datuk’ sebagai pengerusi jemaah al-Musyrikin. Inilah dosa terbesar Umno terhadap orang Melayu iaitu meneruskan propaganda ke arah membodohkan orang Melayu,” ujar beliau. -FMT

Pemandu Sani Expres Didenda Dan Dipenjara

Akibat memandu melulu sehingga mengorbankan 10 nyawa penumpang dua tahun lalu, pemandu bas Sani Expres, Mohd. Kamil Mohd. Rashid (gambar kecil), 38, terpaksa menerima hakikat apabila dihukum penjara empat tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Trafik di sini semalam.

Mendengar keputusan itu, Mohd. Kamil, kelihatan sugul dan meletakkan tangan di kepala seolah-olah tidak menjangka hukuman itu.

Dia dari Taman Setia Jaya, Yan, Kedah turut digantung lesen memandu kelas E miliknya selama tiga tahun berkuat kuasa serta-merta dan jika gagal membayar denda bakal dipenjara enam bulan lagi.

Tertuduh tidak membayar denda itu.

Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah memutuskan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang berlangsung sejak 29 Disember 2009.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Kamil yang diwakili peguam bela, S. Arumugam dan Khairun Niza Husnin didakwa memandu bas bernombor pendaftaran WSX 5010 secara melulu pukul 1 pagi, 26 Disember 2009 di Kilometer 272.7 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini.

Dalam kejadian itu, 10 penumpang maut manakala dua cedera dengan seorang daripadanya parah. Ada antara penumpang yang terkorban putus kepala dan beberapa anggota badan lain.

Dia didakwa menyebabkan kematian pasangan suami isteri, Shaharin Mohd. Nor, 61, dan Supiah Adam, 46; Mohd. Shukri Mohd. Ali, 22; Mohd. Bilal Osman, 22; dan Sharifah Raheel Al-Junid Syed Harun, 21; bersama adiknya, Sharifah Hasanah, 15; Musa @ Ismail Abdullah, 64; Noor Jismi Noordin, 25; Ng Kah Kit, 14; dan kakaknya, Ng Poh Ngoh, 23.

Dalam penghakimannya, Mohamed Ruhizat berkata, mahkamah mendapati tertuduh dalam keadaan tidak sedar semasa kejadian kerana menurut keterangan saksi, tertuduh tidak mendengar apa-apa jeritan dari atas, bawah dan luar bas. -kosmo

IMBASAN





Penghargaan Untuk Mat Sabu: Balu Polis Bakal Nikmati Tunggakan Gaji & Pencen

Keberanian Mohamad Sabu buka mata kerajaan

KOTA BHARU, 7 Sept: Ketika Umno dan juaknya menghina Mohamad Sabu kerana menjulang pejuang kemerdekaan, di satu sudut lain pula tiba-tiba keluarga anggota polis yang terbabit peristiwa Bukit Kepong baru dijengok kerajaan.

Tanpa usaha dan keberanian Timbalan Presiden PAS sudah tentu keluarga atau waris anggota polis yang terbabit dengan tragedi itu tersisih sehingga sekarang.

Bagi peguam hak asasi manusia, Mohammad Faizal Che Yusof Umno membohongi rakyat kononnya hanya usaha merekalah kemerdekaan negara dicapai.

“Umno tidak lebih seperti si penyumbat gol yang telah menghasilkan bola yang digelecek darah-darah pejuang lain sebelum kewujudan parti Umno.

“Bukit Kepung hanyalah salah satu gendang pembohongan British bagi mengaburi rakyat. Kini masanya untuk kita memalu gendang meletakkan Islam pada tempatnya di bumi tumpah darah kita,” katanya di sini.

Usaha Mat Sabu menjulang pejuang sebenar kemerdekaan seperti Mat Indera ditolak mentah-mentah pemimpin Umno, malah memperalat badan-badan bukan kerajaan berhimpun membantah pemimpin PAS terbabit.

Sedangkan di sebaliknya usaha dirintis Timbalan Presiden PAS, tiba-tiba Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tampil menemui balu anggota polis yang tidak menerima sebarang pencen sejak kematian suami pada 1962.

Antaranya Syed Omar Syed Yassin yang berkhidmat selepas tragedi Bukit Kepong. Malah JPA meminta mana-mana balu anggota polis yang pernah bertugas di Bukit Kepong tampil membuat aduan.


Mohamad Faizal yang juga Pengerusi Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Kelantan berkata, pendokong kebenaran perlu memberi kefahaman kepada rakyat, British memusnahkan Islam di Tanah Melayu.

“Manakala Umno pewaris yang dianggap baik oleh penjajah bagi memastikan Islam terus terpinggir di bumi Malaysia.

“Ini kerana pemimpin Umno tidak pernah kenal keperitan perjuangan seperti ditempuhi Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Datuk Bahaman dan Dol Said. Sedangkan merekalah pejuang sebenar,” ujarnya.

Menurutnya juga sekarang sejarah Bukit Kepong hangat dibicarakan semula bagi memberi kefahaman lebih jelas penjajah memusnahkan sama sekali sistem hidup masyarakat orang Melayu.

Kata beliau sistem masyarakat yang dahulunya berteraskan Islam dengan dinaungi Raja-Raja Melayu kini telah berubah sama sekali.

”Orang Tanah Melayu langsung tidak sedar mereka telah hilang identiti. Sistem Islam yang sekian lama bertapak pudar selepas kedatangan penjajah.

”Penjajah hanya pergi setelah berjaya melahirkan pewaris yang dapat melaksanakan aspirasi mereka di Tanah Melayu. Terciptanya Malayan Union untuk melahirkan pewaris British.

”Malayan Union digagaskan pada 1946 menjadi ibu kepada lahirnya pertubuhan yang dikenali sebagai Umno,” tambah beliau. -HD



JPA selesai kes balu polis tidak terima pencen dalam seminggu

ALOR SETAR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menyelesaikan kes seorang balu anggota polis yang tidak pernah menerima pencen semenjak kematian suaminya pada 1962 dalam tempoh seminggu.

Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan (Pencen) JPA, Datuk Yeow Chin Keong, berkata walaupun kes berkenaan sudah lama, namun ia tidak menjadi masalah kerana rekod perkhidmatan anggota polis berkenaan, Syed Omar Syed Yasin boleh disediakan semula.

"Kita akan usahakan juga untuk sediakan semula rekod berdasarkan dokumen asal dan temuramah dengan balunya. Proses ini dijangka selesai dalam seminggu dan bayaran boleh dilakukan dalam tempoh 48 jam selepas itu.

"Apa yang perlu dibuktikan ialah perkhidmatan, tahap gaji serta jawatan dia sewaktu bertugas dan juga buktikan pertalian balu dan arwah," katanya kepada pemberita ketika melawat keluarga balu anggota polis berkenaan, Sharifah Aminah Syed Ali, 83, di kediaman mereka di Taman Nakishah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi kes terbabit, Sharifah Aminah layak menerima tunggakan bayaran pencen terbitan bermula 1 Januari 2002 kerana dia berkahwin semula kira-kira enam tahun selepas suaminya, Syed Omar meninggal dunia.

Yeow berkata, buat masa ini pihaknya masih belum dapat menganggar jumlah pencen yang bakal diterima Sharifah Aminah kerana proses perkiraan perlu dibuat selepas JPA siap melengkapkan rekod perkhidmatan Syed Omar.

Semalam, Bernama menyiarkan laporan mengenai Sharifah Aminah, balu kepada seorang anggota polis yang mendakwa tidak pernah menerima pencen sejak kematian suaminya itu kira-kira 50 tahun lalu.

Sharifah Aminah yang kini semakin uzur dan mengalamai masalah kesihatan berharap supaya dipertimbangkan permohonan untuk mendapatkan imbuhan kerana sejak kematian suaminya itu dia hanya menerima duit sagu hati sebanyak RM1,800.

Sementara itu, Yeow turut menyeru kepada mana-mana balu yang mempunyai kisah yang sama seperti Sharifah Aminah supaya tampil memaklumkan perkara berkenaan kepada JPA.

"Memang niat kerajaan untuk bayar pencen kepada semua balu yang suaminya pernah berjasa kepada negara... namun sekiranya mereka tidak muncul, kita tidak dapat bantu mereka dan jika kes terlalu lama pun, jangan putus asa, kita boleh siasat," katanya.

Pada pertemuan itu, Yeow turut mengucapkan penghargaan kepada wartawan Bernama kerana menyiarkan kisah balu terbabit, sekaligus membantu JPA untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Sharifah Aminah ketika ditemui selepas pertemuan itu berkata, dia sangat terharu dengan perhatian JPA dan bersyukur kerana masalahnya akan berakhir selain turut berterima kasih kepada pihak media yang membantu menyiarkan kisahnya. - BERNAMA


Ulasan GB

Seperti Mat Indera penyelamat bukan pengganas tetapi ditolak UMNO, Mat Sabu juga demikian. Kes di atas adalah bukti nyata Mat Sabu "wira rakyat" - memperjuangkan hak untuk mereka yang tersisih.

Walau dihina sekalipun oleh seklian juak-kuak UMNO yang memutarbelitkan fakta sejarah, namun kebenaran kini terdedah nyata. Mat Sabu yang diuji Tuhan di era pasca-pemilihan dan Muktamar PAS yang telah menobatkan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu tampil sebagai "hero" membela mereka yang sekian lama teraniaya oleh pihak kerajaan UMNO BN.

Kisah nenek ini menjadi bukti "kejayaan" Mat Sabu di dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan.

Balu Polis Bukit Kepong Tunggu Pencen Sampai Ke Tua

Memang SAH SPR Itu Pengkhianat & Penipu Rakyat!

Pengundi pos suami isteri ‘sama jantina’

KUALA LUMPUR, 6 SEPT – DAP hari ini telah menemui lagi 21 bukti tambahan pengundi pos, dengan satu kes suami isteri ‘sama jantina’, pesara tentera yang masih menjadi pengundi pos dan 19 pasangan suami isteri yang mendaftar sebagai pasangan tenteranya.

Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Anthony Loke berkata, DAP telah menemui sepasang suami isteri tentera berjantina sama di Briged Kem Rasah dengan nama pasangan yang hampir sama.

‘Pasangan sama jenis’ itu bernama Yuniza Bte Nodin dengan kad pengenalan 750504-05-5498 dan Yuzina Bte Nodin dengan kad pengenalan tentera T6096236.

Kedua mereka ini berkongsi lokaliti yang sama iaitu 130/22/07/401 – 1 Briged Kem Rasah.

“Adakah tentera Malaysia membenarkan perkahwinan sama jenis? Bagaimana ini boleh terjadi? Mampukah SPR menjelaskan kesilapan sebegini? Adakah akan seperti dahulu bahawa kesilapan SPR cuma 0.0001 peratus sahaja?” kata Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah dalam siding akhbar di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, 19 pasangan tentera di Kem Rejimen Askar Melayu Diraja di Rasah pula, setiap rumah pasangan itu diwakili oleh seorang sahaja.

Ini kerana, menurutnya, salah seorang dari pasangan yang berkhidmat sebagai tentera, dan pasangannya yang tidak bekerja sebagai tentera, menggunakan MyKad pasangan yang bekerja sebagai tentera.

“Nombor MyKad ini bukan milik suami atau isteri anggota tentera. Jadi salah seorang suami atau isteri itu masih boleh didaftarkan di kawasan lain dan boleh pula mengundi dua kali. Ia tidak kira siapa. Isunya sekarang ialah undi tambahan sudah boleh dibuat.

“Ada wanita dengan nombor kad pengenalan lelaki, dan sebaliknya. Dan perlu diingat, kesemua ini adalah pendaftar baru. Ini cuma dalam satu kem sahaja, bukan di seluruh Malaysia lagi,” katanya menambah bahawa kes yang sama turut berlaku di kawasan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Justeru, Loke memberi contoh, N M Ezwanee bin Mat Isa bernombor kad pengenalan 830902-55-290 yang nombor belakangnya iaitu ’0′ mewakili perempuan.

“Sementara itu Norlianiza Binti Abu, dengan kad pengenalan tentera T5005217 lahir pada hari yang sama iaitu 2 September 1983, sama dengan kad pengenalan Ezwanee pula,” katanya.

Beliau turut mendedahkan lagi tentang seorang bekas tentera, Kalidass a/l Maniam yang pernah bekhidmat di Rejimen ke-2 Artileri Kem Mahkota, Johor yang masih aktif dalam senarai pengundi di situ sedangkan beliau sudah bersara dan berdaftar sebagai pengundi biasa di Parlimen Sungai Siput.

Menurut Loke, Kalidass sekarang menggunakan MyKad 571226-08-5211 dan menetap di Sungai Siput Utara, Perak dan sudah tidak menggunakan kad pengenalan tentera beliau yang bernombor T3006437 itu lagi.

“Ini tidak adil, SPR seharusnya menukar perubahan dan persaraan Kalidass secara automatik,” kata Loke.

Ketika dihubungi Roketkini, Kalidass yang telah menyertai DAP menjelaskan bahawa beliau bersara pada 2 Disember 2010.

“Selepas bertukar kad tentera dengan kad pengenalan baru melalui Mindef, saya pun mendaftar sebagai pengundi. Tidak berapa lama kemudian, tergerak hati untuk menyemak nombor tentera saya yang dahulu,” katanya.

Justeru Kalidass terus memaklumkan perkara ini di ibu pejabat ADUN Jalong supaya penyelewengan pengundi pos ini dapat diketengahkan lagi. – Roketkini





SPR: Mungkin silap penolong pendaftar

Menjawab dakwaan DAP bahawa ada pengundi yang didaftarkan berdasarkan kad pengenalan pasangan mereka yang berkhidmat sebagai tentera, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan penolong pendaftar supaya berhati-hati sewaktu menjalankan tugas.

Timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata kesilapan tersebut kemungkinan kerana kesilapan pegawai tentera yang dilantik sebagai penolong pendaftar.

Beliau mengulas dakwaan ketua Pemuda DAP Anthony Loke semalam bahawa sekurang-kurangnya 21 pengundi pos dikesan didaftarkan berdasarkan kad pengenalan pasangan mereka yang berkhidmat sebagai tentera.

Berita Harian hari ini melaporkan Wan Ahmad mengingatkan penolong pendaftar supaya "lebih serius dan berhati-hati" menyemak maklumat peribadi pemilih khususnya nama dan nombor kad pengenalan sebelum dikemukakan kepada SPR.

Katanya, kesilapan merekodkan maklumat peribadi pemilih akan memberi kesan tidak baik kepada suruhanjaya tersebut, yang sering menjadi sasaran kritikan pembangkang.

Penolong pendaftar dilantik oleh SPR untuk mendaftar pengundi baru disebabkan badan itu kekurangan tenaga kerja.

Wan Ahmad menegaskan, sebagai badan yang bertanggungjawab, SPR sentiasa mengingatkan penolong pendaftar, termasuk yang dilantik oleh Kementerian Pertahanan, untuk memperhalusi senarai nama pemilih baru termasuk pengundi pos.

Sambil mengakui bahawa daftar pemilih "tidak 100 peratus bersih", Wan Ahmad mengalu-alukan mana-mana parti politik membuat semakan kerana pihaknya tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik.

"Kalau ada yang tidak kena dengan daftar pemilih, lapor kepada SPR dan kita akan pastikan 'pembersihan' akan dilakukan dengan segera," Wan Ahmad dipetik sebagai berkata. -mk


Ulasan GB

Begitu mudah untuk Timbalan pengerusi SPR berlepas tangan dengan mengkambing hitamkan pihak lain.

Seperkara yang terdedah dari kenyataan Timbalan pengerusi SPR itu ialah pegawai tentera yang dilantik sebagai penolong pendaftar. Ini me unjukkan bahawa seperti ada konspirasi pihak tentera dengan SPR. Maka tidak hairanlah mengenai pendedahan pegawa-pegawai tentera sebelum ini yang terpaksa memangkah kertas undi bagi pihak orang lain.

Bersih 3.0 - Tunggu apa lagi?

Muslimat Mampu "Telanjangkan" Khairy ...

Muslimat PAS Akan Ajar Khairy Adab Dengan Orang Tua

Sekalung ucapan tahniah buat Dewan Muslimat PAS Pusat. Sehingga artikel ini ditulis saya tidak melihat mana-mana sayap PAS membuat kenyataan terhadap tuduhan "biadap" khairy keatas Timbalan Presiden PAS. Dewan Muslimat PAS memang peka dalam semua isu. Muslimat PAS lebih terkehadapan dalam menangani isu.

Saya cukup setuju dengan cabaran dari Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat Saudari Aiman Athirah, yang sanggup memikul dan mengambil tanggungjawab untuk berdebat dengan Khairy. Sesuai dengan kelulusannya, Ijazah Sains Politik.

Athirah akan mengajar Khairy bagaimana adab berpolitik dengan orang dewasa. Adab Melayu, "bila orang tua bercakap budak-budak jangan masuk campur"..Khairy tidak faham adab Melayu walaupun namanya Melayu.

Baca disini statement dari Athirah

Bagi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat YB Ustazah Zailah, beliau memberi kepercayaan penuh kepada Athirah kerana Athirah mampu mengajar Khairy adab berpolitik. Fakta kita berhujah dengan fakta. Khairy perlu sedar dia tidak layak untuk berdebat dengan Haji Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS. Khairy tidak perlu mencari publisiti murahan untuk kekal sebagai calon PRU 13 nanti. Yang layak berdebat dengan Hj Mat Sabu ialah Muhyidin Yasin.

Saya yakin sifat keibuan muslimat mampu "menelanjangi" Khairy adab-adab berpolitik dalam Islam. Jika Khairy rasa dia anak jantan sila sahut cabaran Muslimat PAS Pusat. -anakmuallaf


Lau: Khairy gali kubur sendiri

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lau Weng San berkata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar ‘menggali kubur sendiri’ mengenai kontroversi sejarah Bukit Kepong.

Beliau yang juga Setiausaha Kerja DAP Selangor berkata “ini kerana Khairy sendiri pernah menolak cabaran berdebat dengan DAP dalam tahun 2005 mengenai sejarah kemerdekaan negara.”

Lau berkata demikian ketika membidas Khairy kerana marah kepada Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang enggan berdebat dengannya (Khairy) berhubung isu tersebut.

“Saya melihat kenyataan Khairy ini sebagai mengorek dan menggali kubur sendiri kerana beliau telah lupa bahawa beliau juga pernah menolak untuk berdebat dalam isu yang hampir sama pada tahun 2005 walaupun cabaran beliau kepada Mat Sabu untuk berdebat isu Bukit Kepong ini lebih untuk kepentingan politik beliau,” kata Lau dalam satu kenyataan media.

Kelmarin Khairy menggelar Mat Sabu bacul dan penakut kerana tidak berani berdebat dengannya dalam peristiwa sejarah Bukit Kepong.

Isu Bukit Kepong timbul ekoran laporan akhbar Utusan Malaysia bulan lepas bahawa Mat Sabu mengiktiraf Muhammad Indera (Mat Indera) yang memimpin serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 sebagai wira negara.

Mengulas lebih lanjut Lau berkata bahawa Khairy menolak tawaran debat yang ditawarkan oleh Setiausaha Antarabangsa DAP Pusat Ronnie Liu Tian Khiew pada tahun 2005 berikutan kontroversi yang timbul dari kenyataan Liu berkenaan pejuang kemerdekaan.

Khairy cepat lupa
“Saya mengingatkan Khairy supaya beliau jangan terlalu cepat lupa apa yang pernah beliau lakukan enam tahun yang lalu apabila beliau menolak cabaran daripada Liu pada masa itu.

Liu kini Exco Kerajaan Negeri Selangor pernah mengeluarkan kenyataan bertajuk “The Real Fighters for Merdeka” pada awal September 2005.

“Laman web Utusan Malaysia telah melaporkan percakapan Khairy pada 8 September 2005 semasa beliau menghadiri Forum Kepimpinan Global 2005 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Khairy dipetik sebagai berkata bahawa “kita juga tidak berdebat dengan orang yang semacam itu termasuk menyerang peribadi saya, kita akan terus bawa isu ini sampai bila-bila,” ujar Lau.

Lau turut menekan peri pentingnya sejarah perjuangan golongan kiri diberi tumpuan sewajarnya kerana ada pihak yang senantiasa mempersoalkan kesahihan sejarah.

“Isu berkenaan sejarah perjuangan kemerdekaan, termasuk sumbangan oleh pejuang-pejuang sayap kiri dan radikal harus dibincang dengan rasional, objektif dan secara ilmiah oleh ahli-ahli sejarah dan akademik melalui pembentangan fakta-fakta sejarah.

“Saya berharap para pengkaji sejarah dari dalam dan luar negara dapat berusaha untuk memulihkan sejarah lengkap perjuangan kemerdekaan negara kita antara tahun 1945 hingga 1957. -FMT


Mashitah Arah Pondan Bernama Natasya Itu Ditahan

Jabatan Agama Islam Negeri Perlis digesa bertindak segera menahan Natasya, 28, lelaki berperwatakan wanita, sekali gus menghukumnya mengikut peruntukan undang-undang yang sewajarnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, hanya jabatan itu yang terletak di bawah pemerintahan negeri mempunyai kuasa berbuat demikian, malah bertanggungjawab membendung masalah sosial kalangan umat Islam.

“Kita tak boleh membiarkan perkara begini. Dia sudahlah berperwatakan wanita, mengaku dirinya perempuan, ada pula lelaki yang kata sanggup ikut ke mana saja walaupun diri sakit akibat disimbah asid.

“Hubungan sejenis begini bukan suatu yang dibenarkan dalam Islam...haram, bukan budaya kita pun untuk diikut. Kalau tidak bertindak kita membiarkan perkara ini berlaku dengan lebih teruk lagi.

“Jadi saya minta Jabatan Agama Islam Negeri, mengambil tindakan yang tegas kerana jika tidak kita akan dilihat seperti mengiktiraf mereka (dan hubungan songsang yang terjalin),” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar mengenai mangsa simbahan asid, Mohd Hafizuddin Johari, 20, yang tetap berkeras untuk hidup bersama Natasya meskipun banyak halangan terpaksa ditempuh termasuk dia kini di bawa pergi ahli keluarganya.

Mohd Hafizuddin sebelum itu mendakwa menerima pelbagai ugutan daripada pihak tertentu kerana tidak berpuas hati dengan hubungan mereka sehingga dia menanggung sengsara akibat disimbah asid oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal di hadapan rumah sewa, di Taman Seri Bakau, Kangar.

Dr Mashitah berkata, tidak mahu isu berkenaan dipandang ringan sebaliknya, mahu semua pihak khususnya penguat kuasa agama di peringkat negeri mengambil iktibar atas kes Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz yang memohon menukar namanya kepada Aleesya Farhana. -hm

Kisah sebelum ini

Kerana Cemburukan Seorang Pondan Bernama Natasya, Lelaki Disimbah Asid

Seperti Najib, Populariti Obama Juga Merudum, Diramalkan Turun Takhta

Wwashington - Sokongan rakyat terhadap Presiden Amerika Serikat (AS) Barack Obama merosot sebanyak 50 peratus. Ini merupakan kemerosotan yang paling rendah selama kepemimpinan Obama.

Kesimpulan itu merupakan hasil kajian dari Wall Street Journal, yang baru diterbitkan. Sementara, 44 peratus responden lainnya masih menyokong Presiden Obama.

Kajian yang dilakukan oleh Washington Post juga menunjukkan hal yang serupa, setengah responden menunjukkan kekecewaannya terhadap Obama.

Wall Street Journal juga menampilkan seorang calon terkemuka dari Partai Republik AS yang dijangka dapat menggantikan Obama.

"Obama tidak lagi menjadi pilihan popular yang akan memenangi pemilihan umum akan datang," ujar seorang pendokong Partai Demokrat yang melakukan kajian Peter D. Hart, seperti dipetik Daily Beast, Rabu (7/9/2011).

Kajian sebelumnya yang dilakukan Gallup pada 15 Ogos juga menunjukkan penurunan sokongan terhadap Obama sebesar 40 peratus. Ramai warga yang mengkritik petadbiran Obama dalam hal ekonomi.

Masyarakat AS juga menyatakan, ekonomi AS di era kepemimpinan Obama tidak berganjak malah bertambah buruk.

Presiden berkulit hitam ini sebelumnya mendapatkan suaranya dari para pemuda, warga kulit hitam dan latin di AS, Obama dahulu juga dapat menarik sokongan dari anggota Partai Republik yang kecewa terhadap kepemimpinan George W Bush. -petikan okezone

Ulasan GB

Kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center terhadap kepimpinan Najib hampir serupa dengan hasil kajian ASWJ terhadap Obama.

Baca di sini:

Semakin Sahih: Najib PM Terakhir Dari UMNO BN

Populariti Najib Memang Telah Merudum. Merdeka Centre Pertahan Kajiannya

Populariti Najib Lebih Menjunam Tahun Depan – Fuziah [Ulasan GB]

Kalau malas nak membaca, tonton ini: