26 Apr 2010

Gaji Polis Perlu Diturunkan!

Berita 1
Kakak, rakan yakin remaja ditembak polis bukan penjenayah

Norazura Amzah, 39, yang ditemui di perkarangan masjid di kawasan perumahan Seksyen 11 di sini berkata beliau hanya mengetahui adiknya Aminulrashid, 15, yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mati ditembak ketika ingin membuat laporan kehilangan adiknya yang tidak pulang sejak malam tadi.

“Ibu telefon pagi tadi memaklumkan adik tidak pulang ketika keluar dengan sebuah kereta Proton Iswara milik seorang lagi kakaknya.

“Saya mula tidak sedap hati dan terus bergegas ke rumah ibu kemudian kami sekeluarga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini dan dimaklumkan terdapat kejadian tembak membabitkan seorang remaja berdekatan rumah ibu di Seksyen 11,” katanya di sini hari ini.

Kejadian tembak itu juga dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 2 pagi tadi hanya kira-kira 100 meter dari rumah mangsa.

Norazura yang beberapa kali terhenti bercakap kerana menahan sebak berkata mereka bergegas ke bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dekat sini namun tidak dibenarkan masuk.

Beliau berkata seorang daripada pegawai bertugas di bilik mayat itu kemudiannya mengesahkan mayat remaja berkenaan menyamai paras rupa adiknya yang merupakan anak bongsu daripada lapan adik-beradik dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini.

“Maaf, saya sangat kecewa dan sedih, apalah salah seorang remaja seperti adik saya, jangan membuat tuduhan melulu dan cuba fikirkan apa rasanya andai dia berlaku kepada kita,” katanya.

Tinjauan Bernama di perkarangan masjid di Seksyen 11 di sini mendapati lebih 200 rakan Allahyarham dan saudara mara berkumpul untuk menunaikan solat jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

Turut kelihatan Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin, timbalannya Supt M. Chandara serta Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.

Van jenazah polis turut disediakan bagi membawa jenazah ke tanah perkuburan yang diiringi unit kawalan motosikal polis.

Jenazah Aminulrashid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini selepas solat Maghrib tadi.

Sementara itu, Khalid berkata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar memberikan jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian itu.

“Allahyarham seorang remaja yang dikenali di kawasan ini dan kemungkinan melakukan jenayah adalah tidak mungkin sama sekali,” katanya.

Seorang pemilik kafe siber, yang dikenali sebagai Amin berkata Allahyarham ialah seorang remaja yang mudah didekati dan penyayang serta sering mengunjungi premisnya.

“Kali terakhir saya menemuinya petang semalam ketika dia melayari Internet di sini dan bergurau dengan anak-anak saya, kemudian selepas bermain bola di padang berhampiran dia sempat melambaikan tangan ke arah saya dan isteri,” katanya sebak.

Pada kejadian itu, Aminulrashid mati terkena tembakan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri ketika terserempak dengan kereta peronda polis di kawasan seksyen 11 di sini. — Bernama

BERITA 2

Benjy ditangkap semula untuk tutup kelemahan polis, kata peguam

KUALA LUMPUR, 26 April — Penangkapan semula pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim, yang lebih dikenali sebagai Benjy, dan tindakan menahannya mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, dibuat bagi menyelamatkan imej polis kerana gagal mengenakan tuduhan mengedar dadah terhadapnya, kata seorang peguam kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Benjy, berkata pegawai yang membuat tangkapan semula itu, Insp Nur Hazurah Ab Talib, mengaku dalam afidavitnya bahawa tidak terdapat bukti bagi mengenakan pertuduhan mengedar dadah terhadap pelakon berkenaan.

“Jadi, apa yang berlaku selepas itu ialah polis menggunakan peruntukan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas, walaupun hakikatnya tidak ada bukti untuk mengenakan pertuduhan terhadap pemohon dan dia juga tidak pernah dianggap menjadi ancaman terhadap ketenteraman awam,” kata Amer Hamzah dalam permohonan writ habeas bagi mendapatkan pembebasan segera Benjy.

Benjy, anak pelakon veteran Azean Irdawaty, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memiliki 0.24gm methamphetamine di rumah beralamat A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B, off Jalan Segambut di sini pada pukul 4 petang, 11 Mac 2010.

Sejurus selepas membayar wang ikat jamin, dia ditangkap semula kerana didakwa terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Dalam permohonan yang difailkan pada 8 April, Benjy menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden serta memohon perintah agar dia tidak ditangkap semula setelah dibebaskan.

Dia juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa penangkapan dan penahanannya mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) adalah salah, tidak sah dan terbatal serta berniat buruk.

Amer Hamzah berkata akhbar The Star, dalam laporannya bertarikh 27 Mac, memetik Menteri Dalam Negeri sebagai berkata bahawa Benjy ditangkap semula kerana polis memerlukan bantuannya dalam penyiasatan berhubung dadah sintetik.

Katanya adalah menjadi kelaziman di sisi undang-undang bahawa seseorang yang dikehendaki membantu polis dalam penyiasatan, tidak boleh ditangkap.

Amer Hamzah berkata ketika Benjy berada dalam tahanan, polis mengadakan sidang akhbar untuk memberi maklumat tertentu berhubung penahanannya, sedangkan tidak terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan perkara itu kerana siasatan berkenaan dianggap sulit.

“Satu-satunya kesimpulan lojik yang boleh dibuat ialah sidang akhbar itu dan pendedahan maklumat berkenaan bertujuan untuk mengaibkan Benjy dan untuk cuba menutup ketidakcekapan mereka kerana tidak berupaya mengenakan pertuduhan terhadap Benjy mengedar dadah,” katanya.

Amer Hamzah juga merujuk kepada perisytiharan berkanun Afifi Hamidi, yang ditangkap bersama Benjy, bahawa seorang pegawai polis telah mengugut dan memaksanya supaya mengaitkan Benjy.

Peguam itu berkata Benjy tidak boleh ditangkap semula bagi tujuan mewujudkan kes terhadapnya dengan tujuan mendapatkan bukti supaya Menteri Dalam Negeri mengeluarkan perintah menahannya mengikut Seksyen 6(1) Langkah-langkah Pencegahan Khas.

Kata beliau adalah jelas bahawa polis tidak mempunyai sebab untuk mempercayai Benjy terlibat dalam sebarang kegiatan pengedaran dadah yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan oleh itu mahkamah tidak ada pilihan selain membenarkan permohonan Benjy agar dia segera dibebaskan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak bersambung esok. — Bernama

Ulasan GB

Dua berita di atas adalah dari agensi berita nasional. Jadi usah tuduh blogger menyebarkan berita palsu untuk merendahkan kredibiliti polis. Sepertimana GB selalu nyatakan bahawa tindakan polis itu sendiri yang menunjukkan bahawa PDRM tidak professional dan tidak ada integriti.

Gaji polis telah dinaikkan. Namun professionalisma dan kredibiliti polis terus merudum. Justeru sepatutnya gaji polis perlu diturunkan bukan dinaikkan jika demikian hal yang berlaku.

KPN, anda perlu bertanggung-jawab. Letak jawatan dengan segera sebelum lebih ramai orang awam jadi mangsa.


Hulu Selangor : Bangkitkan Semangat PR Ke Putrajaya

Penasihat DAP, Lim Kit Siang membawa ingatan penyokong Pakatan Rakyat kepada keperitan keputusan pilihan raya kecil Ijok pada 2007 tetapi berubah menjadi nostalgia manis setahun kemudian.

Beliau berkata demikian pada ceramah di Stadium Mini Kuala Kubu Baru sejurus selepas keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor Pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Beliau menegaskan kekalahan Pakatan Rakyat kali ini tidak akan merencat perjuangan rakyat.

"Dalam perjuangan, jalannya tidak mudah sebaliknya akan mengambil masa untuk mencapai kejayaan yang diharap-harapkan," katanya.

Kit Siang turut mengajak semua pihak khususnya penyokong Pakatan Rakyat mengimbas kembali keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.

Pada 2007, calon Pakatan Rakyat, Tan Sri Khalid Ibrahim ditewaskan BN yang memperalat seluruh jentera dan menggunakan pelbagai taktik kotor, dengan majoriti 1,850 undi.

Seperti Datuk Zaid Ibrahim, Tan Sri Khalid juga ditewaskan calon BN dari MIC.
Malah, majoriti Parlimen Hulu Selangor yang diperoleh BN kali ini hampir sama dengan majoriti DUN Ijok pada 2007, bahkan lebih kecil iaitu 1,725 undi.

Bagaimanapun, kerusi DUN Ijok mudah dimenangi Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-12 setahun kemudian, malah calonnya kemudian menjadi Menteri Besar Selangor.

Sehubungan itu, Kit Siang mengisytihar Hulu Selangor sebagai Ijok kedua, malah menganggap Parlimen Hulu Selangor bakal menjadi landasan ke Putrajaya.

"Dari kekalahan DUN Ijok, kita tawan Selangor . Kali ini dengan kekalahan Parlimen Hulu Selangor, kita jadikan landasan untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan," katanya. -TVS

UMNO BN Belanja RM64 Juta Namun Tewas 2 DUN

Perdana Menteri Najib Razak telah membelanjakan sejumlah RM64 juta untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Meskipun begitu UMNO Barisan Nasional sekadar menang tipis dengan 1725 undi sahaja.

Lebih dari itu Barisan Nasional kehilangan 2 kerusi Dewan Undangan Negeri, Kuala Kubu Baru dan Batang Kali.


Bekas Menteri Undang- undang Datuk Zaid Ibrahim berkata Pakatan Rakyat tidak redha dengan kemenangan UMNO Barisan Nasional yang diraih dengan cara kotor dan dipalit rasuah.

“Perdana Menteri Najib Razak belanja lebih daripada RM64 juta untuk menang pilihan raya kali ini. Kita berdepan dengan keadaan dimana pembelian undi berleluasa,“ kata Zaid.

Beliau juga kesal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menutup mata, enggan mengambil sebarang tindakan terhadap rasuah undi yang disuakan kepada pengundi parlimen itu.

“Kita tewas kerana amalan membeli undi itu halal dinegara kita. Jika kita tidak atasi masalah ini, kita akan berdepan dengan masalah besar dimasa- masa akan datang,” ujarnya lagi. -TVS



P'raya Hulu S'gor: BN menang, MCA tewas

"Perubahan" dalaman yang ditegaskan kembali oleh BN dalam pilihan raya Hulu Selangor sepanjang tempoh berkempen sepanjang minggu lalu perlu bermula dengan mengenalpasti kelemahan ketara MCA.

Walaupun pada permulaan kempen, BN bergelut dengan masalah dalaman MIC ekoran pemilihan calon kompromi P Kamalanathan, tetapi kemerosotan undi Cina kepada BN sebenarnya menggambarkan kerapuhan semangat dalam MCA.

Keputusan pilihan raya kecil semalam memihak kepada BN.

Pengerusinya Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kemenangan itu sebagai peralihan sokongan masyarakat kembali kepada BN.

Namun BN masih di belakang dalam usaha mendapatkan sokongan daripada kaum Cina, sedangkan golongan India dan Melayu sudah mula beralih sokongan kepada parti itu bagi pilihan raya kecil semalam.

Najib melihat keputusan dengan kelebihan 1,725 undi berbanding 23,272 undi yang diraih calon PKR sebagai pencapaian signifikan kerana pertandingan berlangsung dalam negeri Pakatan Rakyat.

Pilihan raya semalam turut menyaksikan BN kehilangan 30 peratus sokongan masyarakat Cina berbanding pencapaian mereka dalam pilihan raya umum dua tahun lalu.

Beliau juga mengaitkan keputusan itu dengan usaha perubahan yang dilakukan BN, seperti yang diuar-uarkan sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

Kamalanathan anak kampung

Sepanjang lapan hari tempoh berkempen, banyak poster bertulis "BN mampu berubah" dikesan di serata tempat - dilihat bertujuan mengembalikan kepercayaan pengundi.

BN sebelum ini ditolak oleh pengundi dalam pemilihan Mac 2008, antaranya kerana sikap 'angkuh' yang ditunjukkan parti pemerintah itu. Kali ini mereka cuba kembali ke gelanggang Hulu Selangor dengan rendah hati.

Ia cuba menonjolkan kepada pengundi bahawa parti itu "mampu berubah" dan cuba mendekati rakyat Hulu Selangor dengan kelebihan sumbernya.

Imej Kamalanathan juga cuba dipotretkan sebagai anak kampung, berbanding perwatakan 'urban dan liberal' calon PKR Datuk Zaid Ibrahim.

Jika janji-janji pembangunan - yang didakwa melebihi RM 64 juta - lanskap Hulu Selangor mungkin akan berubah sepenuhnya. Imbuhan-imbuhan tersebut tidak dinafikan mampu memikat sebahagian pengundi, terumanya golongan Melayu.

Kerja keras BN apabila Najib sebagai presiden Umno sendiri turun sejurus selepas sahaja pulang daripada luar negara juga menunjukkan kesungguhannya.

Umpama ayam tiada kepala

Malah, Najib masih berada di Hulu Selangor bagi bertemu dengan masyarakat Cina melalui lawatan rumah ke rumah, di hari terakhir kempen kelmarin.

Kelmarin juga, dalam perbualan tidak formalnya dengan Malaysiakini di pusat media, Najib sejak awal lagi memberitahu, masyarakat Cina tidak banyak memberikan undi kepada BN disebabkan masalah dalaman regu utama MCA.

Seorang pemimpin tempatan Datuk Zainal Abidin Sakom pula berpendapat pertikaian di kalangan pucuk pimpinan parti Cina itu - yang lama berlarutan - menimbulkan masalah penyelarasan jentera sokongan kepada BN.

"(Jentera) mereka seolah-oleh seperti ayam tak ada kepala," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai prestasi jentera MCA.

Zainal yang juga bekas Adun Batang Kali bagaimanapun akur, proses pemulihan MCA akan mengambil tempoh yang lebih lama sebelum dapat dinilai sepenuhnya.

"Pemilihan (MCA) pun baru lagi, baru sangat lagi," tambahnya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan pemilihan di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Baharu malam semalam.

Senario ini juga diakui presiden MCA sendiri Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang membayangkan bahawa masyarakat Cina lebih memandang kepada faktor kepemimpinan, berbanding soal kehendak dan keperluan asas mereka sendiri. -mk


Hulu Selangor: Anugerah Dari Kegagalan

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim akur dengan kekalahannya pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Menurutnya, kekalahan itu bukanlah penentu kepada kejatuhan PKR tetapi bakal bangkit dengan kemenangan pada pilihan raya umum ke 13.

“Saya boleh terima kekalahan saya dan saya percaya semua terima kekalahan ini sebab dalam pertandingan pasti ada yang tewas.

“Tetapi biarlah rakyat negara ini merasa mereka tewas bukan kerana ditipu. Tewas kerana kita ingin kestabilan negara dan rakyat mestilah diberi keyakinan bahawa tidak sia-sia undi itu,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 300 penyokong PKR di Stadium Kuala Kubu Baru di sini selepas pengumuman kekalahannya malam semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh dan Pengarah Strategik PKR, Tian Chua.

Zaid berkata, apa yang dihadapi ialah satu sistem politik yang teruk dan pemimpin yang tidak hormat pada undang-undang.

Beliau mendakwa pilihan raya kecil kali ini adalah yang paling buruk dan penuh dengan rasuah dalam sejarah pilihan raya kecil.

“Kita berdepan dengan mereka yang membeli dan menghalalkan undi tidak kira di waktu siang mahupun malam.

“Saya harap penyokong-penyokong kita bersabar dan usah risau dengan keadaan ini kerana saya boleh menghadapi cabaran ini.

“Saya berjanji saya akan sama-sama dengan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bekerja keras dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti,” katanya.

Beliau berharap pengundi di Hulu Selangor akan dapat memahami dan menerima perjuangannya selepas ini.

Dalam keputusan semalam, Barisan Nasional memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan calonnya, P Kamalanathan memperoleh 24,997 undi, sementara Zaid hanya mendapat 23,272 undi. Kamalanathan menang dengan majoriti 1725 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan pada pukul 9.15 malam tadi di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru. -SK

Ulasan GB

Sebaik saja berita kekalahan PKR diterima, GB malam tadi memutar sebuah lagu "Anugerah Dari Kegagalan" nyanyian Datok Shake. Ramai tertanya apa ertinya kegagalan Pakatan Rakyat di Hulu Selangor?

Bagi yang memahami, menang atau gagal adalah satu anugerah.

Gagal itu juga satu syurga. Kerana selepas ini Hulu Selangor akan dibangunkan oleh BN seperti yang mereka janjikan. Ratusan juta perlu dicurahkan bagi memenuhi janji itu.

Kemudiannya, Pakatan Rakyat akan merampas kerusi itu semula seperti Ijok.

Maka bukankah itu satu anugerah?

Hulu Selangor Serupa Ijok. Akan Kembali Kepada PR

Tiada pemenang dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, malah ia belum cukup untuk dilihat sebagai referendum terhadap Perdana Menteri Najib Razak sungguhpun Barisan Nasional menawan semula kawasan pengundian ini. Demikianlah pandangan pengkaji politik, Bridget Welsh semasa mengulas keputusan PRK Hulu Selangor.

Ketika dihubungi MerdekaReview, Bridget Welsh (gambar kiri) yang juga Profesor Madya di Singapore Management University berkata, walaupun BN memenangi PRK ini, namun ia satu kemenangan yang "kurang cantik", khususnya apabila Najib menongkah arus tradisional dan turun sendiri ke padang untuk menarik undi dengan menabur gula.

"Sememangnya, anda boleh mengatakan menang tu menang-lah," kata Bridget Welsh. Pada awal PRK Hulu Selangor, Bridget Welsh menganggap ia sebagai satu referendum terhadap prestasi Najib dalam menguruskan ekonomi negara kita. Namun, setelah mengamati kempen untuk PRK ini, beliau menganggap ia "belum cukup untuk dilihat sebagai referendum".

Calon MIC-BN P.Kamalanathan menewaskan calon PKR-PR Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi. PRK yang mencatat kadar pengundian 75.87% ini mempunyai 731 undi rosak.

Pakatan Rakyat perlu muhasabah

Selain itu, Bridget Welsh berpendapat bahawa Pakatan Rakyat harus mengambil iktibar dari PRK ini. Menurut Bridget, PR harus berkempen dalam satu pasukan, malah dalam PRK ini, PR lebih berada pada kedudukan "mengawal" (defend), dan agak perlahan langkahnya pada peringkat permulaan. Beliau menjangkakan keadaan mungkin memihak kepada PR seandainya tempoh berkempen dipanjangkan.

Pada pandangan Bridget, sungguhpun strategi BN untuk menyerang secara peribadi terhadap Zaid dan menabur gula kelihatan berkesan, namun taktik ini telah menjadikan kemenangan ini tercalit. Beliau menganggap Zaid Ibrahim seorang calon yang baik dan berwawasan, tetapi lemah dalam strategi kempennya.

"Saya merasakan tiada pemenang yang sebenarnya dalam PRK ini. Malah pengundi Hulu Selangor juga bukan pemenang yang sebenar. Walau bagaimanapun, saya masih dalam pengamatan," katanya.

Pada 24 April, PM Najib menjanjikan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada SRJK (c) Rasa, pembinaan 200 unit rumah kos rendah di Hulu Bernam dan peruntukan RM25 ribu kepada dua pertubuhan Cina di Hulu Bernam, seandainya BN menang.

Pada 23 April, Najib mengumumkan pembayaran pampasan tanah atas pembelian tanah sebanyak RM 50 ribu kepada 100 orang bekas peneroka FELDA Sungai Buaya, yang membawa kepada jumlah RM5 juta. Setiap daripada mereka memperolehi RM1000 pada peringkat awal, dan ini merupakan hasil penantian 15 tahun oleh mereka.

Selain itu, Najib mengumumkan pembinaan susur masuk dan keluar Sungai Buaya di Lebuhraya Utara-Selatan yang bernilai RM85 juta, yang bakal dimulakan pada tahun depan dan dijangka akan disiapkan dalam tempoh dua tahun.

PRK Ijok?

Apa yang menarik, PRK Hulu Selangor agak menyerupai PRK Ijok pada tahun 2007 dalam banyak perkara. PM ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi turun ke kawasan pengundian tiga hari sebelum mengundi, apabila keadaan agak mencemaskan buat pihak BN. Apa yang berbeza, bekas PM Mahathir Mohamad tidak dibawa bersama. Namun, kempen BN yang diketuai Najib pada ketika itu juga mengerahkan jentera kerajaan sepenuhnya.

Dalam kedua-dua PRK ini, budaya rasuah, ugutan, samseng bermaharajalela. Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak memperlihatkan "keberkecualiannya", apabila masalah senarai daftar pengundi, pertukaran pusat mengundi masih berlaku.

Jika dilihat kejadian keganasan yang berlaku, PRK Hulu Selangor mungkin gagal menandingi PRK Ijok, kerana calon PKR ketika itu, Khalid Ibrahim dibaling dengan air botol semasa berkempen. Malah pada hari penamaan calon, Naib Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Khairy Jamaluddin mengetuai penyokong BN untuk bertelagah dengan PR. Poster "Sedia Gempur" kelihatan di mana-mana, malah berlakunya perang membaling air botol dan pertembungan fizikal.

Kedua-dua PRK ini memperlihatkan kecenderungan pengundi Cina untuk menyokong PKR. Walaupun PKR tidak menang di Pekan Ijok, kawasan pengundi Cina majoriti, namun PRK hanya tewas nipis, memperlihatkan pola pengundi Cina yang menyebelahi PKR.
*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang. -MR

Ulasan GB

Begitulah, tajuk asalnya "Bridget Welsh: Tiada pemenang dalam PRK Hulu Selangor" dan GB mengubahnya dengan harapan semua pihak mencelikkan matanya terhadap PRK Ijok dimana PKR tewas di dalam PRK tetapi merampasnya semula di dalam PRU.

Di dalam PRK amat mudah pengundi diperdaya dengan pelbagai projek dan itupun hanya mampu memperdaya pengundi-pengundi yang belum celik mata terhadap kebejatan dan kebobrokan UMNO BN.

PR akan bangkit untuk merebut seinci demi, sejengkal demi sejengkal kerana PRK Hulu Selangor menyaksikan UMNO BN sebenarnya lemah. Kemenangan yang bersandarkan kepada budaya rasuah, ugutan, samseng serta memperkudakan SPR adalah kemenangan yang rapuh.

UMNO BN, Jangan Suka Sangat...

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor hari ini sebagai satu "perubahan besar."

Katanya, ini disebabkan pemilihan kali ini berlangsung di sebuah negeri yang dikuasai pembangkang.

Kejayaan itu juga, tambahnya, bermakna pengundi telah menolak cara politik pembangkang dengan "menabur fitnah dan pembohongan."

Bercakap kepada pemberita selepas keputusan rasmi Hulu Selangor diumumkan malam ini, perdana menteri berkata, pencapaian BN juga tidak seharusnya dibandingkan dengan keputusan Mac 2008.

"Jangan bandingkan keputusan 2008, tapi dengan waktu penaman calon, dan bila penghabisan pembuangan undi, saya percaya ada perubahan. Belum sepenuhnya tapi ada perubahan.

"Dengan kemenangan ini bererti kita akan bekerja bersungguh-sunguh untuk memenuhi amanah rakyat," katanya di pusat penjumlahan undi di dewan serbaguna Hulu Selangor.

Menurutnya lagi, kemenangan P Kamalanathan membawa erti yang besar kepada BN.

"...kerana kalau kita lihat keputusan 2008, dan keputusan pada kali ini bererti sudah ada peralihan sokongan kepada BN.

"BN menghampiri 2,000 undi dan ini merupakan satu 'shift' yang sangat besar ertinya sebab kita bertanding di sebuah negeri yang dikuasai pembangkang. Kalau dulu Selangor dikuasai BN," tambahnya.

Calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan dari MIC, muka baru dalam pilihan raya, menerima 24,997 undi manakala calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim memperioleh 23,272.

Walaupun BN menang dengan majoriti 1,725 undi, tetapi ia jauh lebih kecil daripada kira-kira 6,000 yang disasarkan oleh Muhyiddin.

Menjawab soalan berhubung majoriti lebih kecil berbanding sasaran 6,000 diletakkan oleh Muhyiddin, Najib memberitahu majoriti diperoleh mengecil kerana kerajaan negeri tidak dikawal oleh BN.

“Kami menyedari ini negeri pembangkang. Pada masa lalu kami mengawal negeri, kami ada kekuatan antara kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan. Jadi dalam konteks ini, saya gembira dengan keputusan ini,” kata beliau.

Berhubung kekalahan di kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina, Najib melihat ada peningkatan berbanding pilihan raya umum 2008.

“Saya tidak mahu membuat rumusan cepat walaupun kami tewas di kebanyakan peti undi di kawasan masyarakat Cina. Kami tewas tetapi berdasarkan pada permulaan kempen, saya percaya ada peningkatan,” kata Najib yang juga Pengerusi Umno Selangor.

Pada sidang tengah hari tadi, Muhyiddin berkata, pihaknya meletakkan sasaran KPI majoriti 6,000 undi dengan mengambil kira prestasi peringkat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri pada 8 Mac 2008 yang dimenangi BN.

Sebelum keputusan diumumkan, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang ditemui wartawan berkata, pihaknya tetap gembira dengan pencapaian walaupun meletakkan awalnya meletakkan sasaran lebih tinggi.

Tengku Adnan juga mengakui BN tidak memperoleh undi yang memuaskan daripada kalangan masyarakat Cina di Hulu Selangor.

“Undi yang kami peroleh daripada masyarakat Cina lebih rendah berbanding pilihan raya umum 2008. BN menerima sokongan besar daripada kalangan pengundi Melayu dan India.

“Kami akan lakukan bedah siasat mengapa pengundui Cina tidak memihak kepada BN dan akan membantu menyelesaikan isu mereka hadapi,” katanya.

Di peringkat awal perjumlahan rasmi undi, Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR mendahului Kamalanathan ketika keputusan 100 daripada 137 peti undi diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Ketika di peringkat itu Zaid berada di depan dengan majoriti antara 1,000 hingga 1,500 undi.

Bagaimanapun, Kamalanathan mengatasi kedudukan itu apabila peti-peti undi dari kawasan Felda diumumkan.


Kamalanathan, Ketua Penerangan MIC pusat pula berkata beliau akan menyenaraikan senarai masalah dan janji kepada penduduk Hulu Selangor.

“Ini akan menjadi keutamaan saya,” katanya.

Dalam pilihan raya umum 2008, PKR menang dengan majoriti 198 undi.

Ulasan GB

Jika dahulu sewaktu Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa Datuk Seri Nizar sebagai MB Perak yang sah, Najib telah memberi amaran kepada PR suapa "jangan suka sangat" yang kemudiannya Mahkamah Persekutuan telah menterbalikkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi berkenaan dengan memberikan kemenangan kepada Zamry, bukan Nizar.

Kini, rakyat ingin memberitahu kepada Najib, "jangan suka sangat.." dengan kemenangan di Hulu Selangor kerana ada dua mahkamah bakal menentukan, mahkamah rakyat dan Mahkamah Tuhan yang pada bila-bila masa akan ada kuasa untuk menghukum semula UMNO BN.