5 Mei 2009

ADUN Kerajaan Haram UMNO BN Tak Layak Hadiri Sidang

Pakatan Rakyat Perak masih berpendirian bahawa Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam exco yang lain tidak berhak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula Khamis ini, demikian dilaporkan oleh MSTAR.

Datuk Ngeh Koo Ham, Exco Kanan semasa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak dan Penyelaras Pasukan Peguam-Peguam Pakatan Rakyat berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu tidak membenarkan Zambry dan enam exconya memasuki Dewan Undangan Negeri, Khamis ini.

"Banyak kekeliruan telah timbul akibat daripada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu sama ada Zambry dan 6 ADUN yang lain berhak untuk masuk ke Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei ini," katanya.

Katanya, pada 18 Februari lalu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri telah membuat keputusan untuk menggantung Zambry daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri selama 18 bulan dan Zainol Fadzi Paharuddin (ADUN Sungai Manik), Datuk Ramly Zahari (ADUN Manong), Hamidah Osman (ADUN Sungai Rapat), Saarani Mohamad (ADUN Rungkup), Mohd Zahir Abdul Khalid (ADUN Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (ADUN Chenderiang) digantung daripada hadir sidang Dewan Undangan Negeri selama 12 bulan.

Keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tersebut telah diterima dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri yang telah bersidang pada 3 Mac.

Tambah beliau, pihak Zambry dan enam ADUN tersebut telah memohon kepada mahkamah untuk satu pengisytiharan berkenaan dengan penggantungan mereka daripada menghadiri Dewan Undangan Negeri.

Mereka telah mengambil tindakan mahkamah tersebut terhadap Speaker dan Dewan Undangan Negeri Perak Darul dan kes tersebut telah dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk perbicaraan.

Bagaimanapun pada 2 April lalu mereka telah memohon menarik balik tindakan mahkamah tersebut terhadap Dewan Undangan Negeri dan tindakan terhadap Dewan Undangan Negeri telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada hari tersebut.

Pada 16 April lalu Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua daripada 10 perintah yang dipohon oleh mereka dan sekarang sudah timbul persoalan sama ada Zambry dan enam ADUN yang tersebut di atas boleh menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri.

Oleh yang demikian, katanya, keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan Dewan Undangan Negeri masih sah dan berkuat kuasa dan Speaker DUN sebagai pengerusi dan ahli dalam Jawatankuasa tersebut dan Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan adalah terikat dengan keputusan yang telah diputuskan oleh kedua-dua badan tersebut.

"Sebenarnya kes tersebut tidak harus dibawa terhadap Speaker DUN kerana perlindungan yang diberikan kepada Speaker DUN di bawah Seksyen 3 Legislative Assembly (Privileges) Enactment 1959. Tambahan pula, keputusan Mahkamah Persekutuan merupakan satu pengisytiharan sahaja dan bukannya satu certiorari atau mandamus, katanya lagi.

7 Mei - Perancangan UMNO BN Bakal Digagalkan Speaker

Sidang Dewan Undangan Negeri Perak 7 Mei ini bukanlah persidangan biasa dalam mana-mana sidang DUN di negara ini.

Sidang DUN 7 Mei dianggap pertembungan nilai-nilai yang bertunjangkan keadilan dan kedaulatan undang-undang dengan undang-undang rimba dan kerakusan kuasa, seperti mana juga pertembungan haq dan bathil dalam ajaran agama sejagat.

Oleh itu sidang hari Khamis ini menjadi bukan sahaja perhatian rakyat Perak khususnya dan rakyat Malaysia amnya malah menjadi fokus masyarakat dunia.

Sidang 7 Mei akan memperlihatkan kepada seluruh makhluk alam ini sama ada rakyat yang terus menerus ditindas dan dinafikan hak mereka oleh satu sistem kerajaan yang membelakangi segala yang betul, teratur dan lurus akan mencapai kemenangan hitam mereka sekali lagi atau apakah kuasa rakyat yang dalam sejarah dunia mampu menghadapi apa saja kuasa bakal mengalahkankan kuasa jahat yang selama ini membelenggu mereka.

Apa yang bakal terjadi di dalam ruang DUN 7 Mei hanya berdasarkan spekulasi semata-mata tetapi jika diteliti Perintah-Perintah Tetap DUN dan Perlembagaan Perak beberapa kemungkinan bakal berlaku pada hari Khamis kelak.

Percubaan pertama Umno dan Barisan Nasional yang diketuai oleh Menteri Besar yang masih dipertikaikan status halal haramnya, Zambry Abd Kadir ialah menyingkirkan Speaker, V. Sivakumar.

Dalam DUN Speaker berkuasa sepenuhnya dan kuasa beliau tidak boleh dicabar hatta dalam mahkamah sekali pun.
Jika ada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri BN cuba membuat kacau dan menganggu gugat sidang, mereka boleh digantung oleh Sivakumar atau diarahkan keluar Dewan.


Jika empat ADUN BN digantung Pakatan Rakyat akan memperolehi majoriti mudah dan undi tidak percaya terhadap Zambry boleh diadakan.

Sekiranya ini berlaku Speaker kemudiannya akan memaklumkan kepada Sultan Perak bahawa Zambry tidak lagi menikmati sokongan majoriti ahli-ahli Dewan.

Pada peringkat Sultan Azlan mempunyai dua opsyen; pertama baginda akan perkenankan supaya DUN dibubarkan dan pilihan kedua baginda akan mengganti Zambry.

Di bawah undang-undang tubuh negeri Perak, Sultan tidak mempunyai kuasa untuk memecat Menteri Besar atau meminta beliau meletak jawatan. Jika ini terjadi maka Perak akan mempunyai dua Menteri Besar tanpa kedudukan yang sah di sisi undang-undang.

Kemungkinan Sultan Azlan berbuat demikian hampir mustahil kerana baginda adalah pakar perundangan dan arif mengetahui selok belok perundangan negeri dan negara. Pilihan yang paling afdal bagi baginda ialah memperkenankan pembubaran DUN dan inilah logik yang paling diterima akal dan direstui rakyat.

Walau bagaimanapun situasi ideal ini hanya akan berlaku sekiranya persidangan DUN tersebut adalah adil dan saksama.

Dalam hubungan ini peranan yang dimainkan oleh Setiausaha DUN adalah penting.

Langkah pertama BN ialah memperakui perlantikan Setiausaha yang pro-BN. ADUN-ADUN BN akan berlakon untuk menonjolkan imej Speaker sebagai seorang yang menderhaka terhadap Sultan dan atas alasan itu beliau boleh disingkir melalui peruntukan Artikel 31 (1) perlembagaan negeri.

Sebaliknya jika Sivakumar gagal hadir pada hari sidang bermula maka Artikel 36 (A) boleh digunapakai untuk melantik seorang Speaker baru. BN sudah pun mengumumkan bekas ADUN Sungkai yang juga seorang peguam, R. Ganesan sebagai calon Speaker. Artikel 36 menggariskan prosedur perlantikan Speaker yang bukan daripada kalangan ADUN.

Dalam apa hal pun Pakatan Rakyat tidak akan berdiam diri dan mempunyai strateginya sendiri sebagaimana juga Zambry.

Seperti juga dalam permainan daun pakau, pemain akan menyimpan daun kemenangan sampai kepenghujung permainan dan akan menggunakannya pada saat-saat terakhir.

Persoalannya apakah senjata sulit yang disimpan oleh kedua-dua belah pihak. Sekiranya mahu menang dalam pertarungan dalam DUN 7 Mei nanti Pakatan Rakyat perlu melancarkan ofensif sekiranya mahu terus menguasai Dewan. Senjata terkuat

Pakatan Rakyat terletak dalam Perintah-Perintah Tetap yang menjadi tunggak kuasa Speaker.

BN selagi boleh tidak mahu berhadapan dengan rakyat melalui pilihan raya negeri kerana mereka tahu akan kalah teruk, lebih teruk daripada Pilihan raya Umum 2008.

Rakyat pula menolak mereka dan meneruskan ciri penolakan Umno dan BN seperti yang dilihat dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang bulan lalu.

BN akan cuba sedaya upaya mereka untuk terus berkuasa walaupun tanpa mandat rakyat. Pakatan Rakyat pula perlu mencari pendekatan terbaik dan sistematik supaya DUN dapat dibubarkan dan dikembalikan memerintah Perak dengan majoriti jauh lebih besar dan mantap. -TVA

UMNO BN Terus Tahan Manoharan, Pilihanraya Di Selangor Tak Mungkin Dapat Dielak

Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein de ngan angkuh menyatakan bahawa beliau tidak tunduk kepada ugutan dan ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan akan terus ditahan dan dipenjarakan di bawah ISA>

Kenyataan beliau itu sekaligus telah mengundang spekulasi bahawa pilihanraya kecil di Selangor tidak mungkin dapat dielakkan. Ini kerana ADUN berkenaan tidak dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab secara berkesan apabila terus ditahan dan dipenjara.

Manoharan yang sebelum ini telah menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatannya berkemungkinan memberi laluan kepada isterinya, S. Pushpaneela untuk bertanding dan mengambil alih tugas secara rasmi untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat.

Dalam pada itu Pushpaneela ketika ditanya sama ada akan menjadi wakil rakyat Kota Alam Shah jika suaminya meletakkan jawatan, beliau berkata: "Saya menyerahkan perkara tersebut kepada pengundi Kota Alam Shah untuk membuat keputusan sama ada menerima saya ataupun sebalinya."

Bagaimanapun tegas beliau, keutamaannya ialah adalah untuk berjuang bagi membebaskan Manoharan daripada terus ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Penasihat Undang-Undang pertubuhan haram Hindraf itu ditahan pada 13 Disember 2007.

"Saya mahu membolehkan beliau berkhidmat secara peribadi kepada rakyat yang mengundinya sebelum ini.

"Beliau telah memohon untuk menghadiri persidangan dewan, tapi telah ditolak... beliau sangat kecewa," kata Pushpaneela.

DAP sebagai parti yang bertanding sebelum ini di dewan undangan negeri tersebut telah membuat kenyataan bahawa keputusan mengenainya akan diumumkan beberapa minggu lagi.

Ramai penganalisis politik berpendapat pilihanraya kecil bagi DUN Kota Alam Shah tidak dapat dielakkan dengan sikap keangkuhan kerajaan UMNO BN dan sekalipun Pakatan Rakyat dituduh sengaja mengaturkan siri pilihanraya kecil berlaku di dalam negara ini, namun rakyat melihat bahawa tindak-tanduk kerajaan BN lah yang sebenarnya menyebabkan Pakatan Rakyat terpaksa mengambil langkah tertentu untuk kembali mendapatkan mandat dari rakyat.

UMNO BN telah kehilangan integriti dan kredibiliti untuk mentadbir negara setelah terbukti ia kalah di dalam empat dari lima pilihanraya kecil yang telah diadakan.


Najib Dapat kek Hari Jadi Sempena Hari Ulangtahun Altantuya

6 Mei 1978 merupakan tarikh lahir Altantuya. Jika esok dia masih hidup usianya genap 31 tahun.

Kematian Altantuya telah menyebabkan banyak kesan. Antaranya imej negara tercalar. Altantuya yang terlibat dalam 'deal' pembelian kapal selam negara mati di bunuh oleh dua anggota polis di Shah Alam. Perbicaraan kelihatan amat pelik kerana gagal mengemukakan motif dan senjata pembunuhan.

Esok ayuh kita bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (S.A.M.M) menghantar kek Hari Jadi Altantuya dan surat mendesak PM harus segera

* mengambil tindakan saman 19 media dunia yang menyatakan Najib Razak terlibat dalam pembunuhan Altantuya. Tindakan segera harus diambil kerana ia melibatkan imej negara. Media tersebut harus digesa menarik artikel dan memohon maaf. Jangan hanya bertegas dengan media dan blooger dalam negara sahaja. Jika tidak ada tindakan maka rakyat berhak menajatuhkan hukuman
* mempersembahkan cadangan kepada DYMM Yang di Pertuan Agong agar diwujudkan untuk menyiasat keseluruhan kes Altantuya.

Sempena u/tahun kelahiran Altantuya jom bersama
Solidariti Anak Muda Malaysia (S.A.M.M)
menghantar kek Hari jadi dan surat desak PM Malaysia
6 Mei 2009, 11pagi
depan Pejabat Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya

Sempena esok juga kenyataan Yayasan Altantuya yang berpusat di Bangkok dan bapa Altantuya juga akan dibacakan.

Kes Altantuya ini tidak akan terpadam begitu sahaja dalam masa terdekat, sebuah stesen TV di Hongkong akan menyiarkan pula drama bersiri mengenai pembunuhan Altantuya. - chegubard


Nizar : Saya Tidak Kehilangan Kepercayaan Majoriti

Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu Mahkamah Tinggi semalam bahawa beliau tidak meminta Sultan Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan.

Katanya semasa beliau menghadap Sultan Azlan Shah mengenai krisis politik di negeri itu pada 4 Feb lepas, beliau masih mendapat kepercayaan penuh majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (Adun).

Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Abdul Aziz Abd Rahim dalam prosiding di sini hari ini untuk memeriksa balas afidavit yang diikrarkan oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Ahmad Kamal Md Shahid, yang didakwa oleh Nizar tidak konsisten dengan fakta sebenar semasa beliau menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb.

Nizar yang mencabar pelantikan Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak, juga menawarkan untuk diperiksa balas.

Dalam prosiding bermula 3 petang hari ini, peguam Cecil Abraham, yang mewakili Zambry, bertanya kepada Nizar mengenai berapa ramai wakil anggota Dun yang menyokongnya semasa beliau menghadap Sultan Azlan Shah. Nizar menjawab “28 anggota Dewan Undangan Negeri”.

“Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa Barisan Nasional mempunyai 31 kerusi pada ketika itu?” soal Cecil.

“Yang rasmi hanya ada 28. Saya tak tahu yang tiga anggota Dewan Undangan Negeri Dun lagi kerana mereka tidak dapat dihubungi. Saya tidak tahu sama ada mereka sokong Pakatan Rakyat atau BN. Yang saya tahu cuma mereka meletak jawatan,” kata Nizar.

Beliau merujuk kepada tiga Adun iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) yang dilaporkan mengosongkan kerusi masing-masing melalui surat bertarikh 20 Jan dan 3 Feb.

Cecil: “Semasa kamu menghadap Sultan pada 4 Feb, adakah kamu sedar yang tiga Adun berkenaan telah menarik balik surat peletakan jawatan mereka?”

Mohammad Nizar: “Saya tidak sedar.”

Cecil: “Adakah kamu menyatakan sebagai Menteri Besar pada ketika itu, Speaker tidak memaklumkan kepada kamu mengenai perkembangan tentang apa yang berlaku, sebelum 4 Feb, 2009?”

Nizar: “Saya tidak dimaklumkan.”

Cecil: “Kamu sudah tentunya mempunyai seorang speaker yang tidak efisien! Adakah kamu Seri anggap speaker sebagai seorang yang tidak efisien?”

Nizar: “Soalan itu tidak relevan.”

Terdahulu dalam prosiding itu, Ahmad Kamal, 46, dalam keterangannya semasa diperiksa balas oleh peguam Ranjit Singh, tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela itu bahawa beliau adalah saksi yang berat sebelah dalam kes itu.

“Malahan, anda pernah mewakili responden sebelum ini dalam kes ini dan anda mungkin mendapatkan arahan dan nasihat beliau untuk membantah dalam kes ini, kata Ranjit dan dinafikan oleh Ahmad Kamal.

Ahmad Kamal, dalam keterangannya mengaku yang beliau pernah mewakili Zambry sebelum ini dan beliau diarahkan oleh peguam yang mewakili Zambry untuk mengikrarkan afidavit untuk menyatakan apa yang berlaku semasa menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb.

“Bila kes ini telah diambil alih oleh peguam, dan setelah (mereka) mengetahui bahawa saya mengetahui apa yang berlaku pada 4 hingga 6 Feb, maka dari hasil perbincangan peguam dan saya, saya mengikrarkan apa yang saya tahu pada 4 hingga 6 Feb.

Kepada soalan kenapa beliau menyatakan afidavit itu diikrarkan tanpa sebarang kepentingan peribadi, Ahmad Kamal menjelaskan: “Sebagai Penasihat Undang-undang, saya adalah penjawat awam dan mempunyai pendirian berkecuali.

“Kalaupun saya mengikrarkan afidavit ini bagi pihak responden, ini tidak bermakna yang saya akan menyebelahi responden kerana sebagai Penasihat Undang-undang Negeri, saya adalah berkewajipan untuk menyampaikan apa yang saya tahu pada tarikh-tarikh tersebut.

“Bagi saya sama ada pemohon atau responden yang menang dalam kes ini, ianya tidak memberi apa-apa kelebihan atau keuntungan bagi diri saya. Kerana saya ialah Penasihat Undang-undang Negeri bukan penasihat undang-undang kepada parti politik,” katanya.

Ahmad Kamal juga berkata beberapa bahagian dalam afidavit yang diikrarkan oleh Nizar adalah tidak benar.

Ranjit: “Saya cadangkan kepada anda bahawa pemohon (Nizar) telah berkata kepada Sultan bahawa ’saya telah memaklumkan Sultan bahawa oleh kerana ketiga-tiga Jamaluddin, Osman dan Hee telah meletakkan jawatan mereka, mereka bukanlah ahli Dun lagi dan tidak berhak melibatkan diri dalam urusan atau perkara berkenaan Dun.

Ketiga-tiga mereka juga tidak dapat dihubungi yang ini sangat luar biasa, dan nampaknya mereka telah hilang.”

Ahmad Kamal: “Sebahagian betul, sebahagian tidak betul. Bahagian yang ‘mereka tidak dapat dihubungi dan hilang’, betul. Yang lain tidak betul.”

Ranjit: “Saya cadangkan kepada anda bahawa pemohon telah berkata kepada Sultan bahawa ’saya memohon Sultan untuk membubarkan Dun kerana ia lebih wajar dan sesuai untuk pilihanraya bagi Dun Perak diadakan demi mengelakkan keadaan jalan buntu dalam Dun dan hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri Perak.”

Ahmad Kamal: “Saya setuju bahagian ‘mohon bubarkan Dun’ tapi alasan pembubaran saya tidak setuju (pemohon ada mengatakan kepada Sultan).

Pada hari ini Mahkamah pula diberitahu Sultan Perak tidak memecat Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, sebaliknya beliau disingkirkan daripada jawatan itu mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, berkata penyingkiran Nizar dilakukan mengikut peruntukan Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak berikutan Nizar kehilangan kepercayaan Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak.

Isu Kerajaan Nizar : Pakaian Hitam Tanda Bantah Rampsan Kuasa Najib Di Perak

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengajak seluruh rakyat Malaysia berpakaian serba hitam pada 7 Mei sebagai tanda berkabung bagi memprotes rampasan kuasa yang didalangi Umno dan Barisan Nasional di Perak.

Dalam satu kenyataan akhbar yang disiarkan hari ini gabungan itu berkata protes tersebut akan menjadi simbol kuat tetapi aman kepada keingkaran sivil di mana rakyat sebenarnya adalah ketua ahli politik. Keengkaran ini bakal dimanifestasikan dalam pilihan raya umum yang akan datang kata Bersih.

"Marilah kita tunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia akan berdiri menentang sebarang pencerobohan terhadap demokrasi, kebebasan dan keamanan oleh segelintir ahli politik. Kita tidak merestui sebarang perampasan kuasa seperti yang berlaku di Perak, atau di mana sahaja di Malaysia.

"Kita tidak akan membenarkan sesiapa juga merampas hak demokrasi, kebebasan dan keamanan. Najib mungkin akan mencolek institusi yang tidak dipilih di dalam keadaan demokrasi sebenar seperti dalam penghakiman, khidmat sivil, polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya, tetapi beliau tidak akan memenangi hati kita semua. Dia bukanlah reformis sehinggalah dia berani berhadapan dengan pilihan raya di Perak," tegas Bersih.

Untuk itu Bersih mencadangkan agar rakyat Malaysia berpakaian hitam ke pejabat, ke sekolah, ketika beriadah mahupun di rumah bagi menunjukkan kepada Perdana Menteri Najib Razak tanda "1MalaysiaGELITA", lawan kepada konsep yang dibawa oleh Najib, Satu Malaysia.

"Slogan Najib, 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan sekarang menjadi bahan lawak rakyat Malaysia. Adakah slogan 1Autoritarian-dan-Korup Malaysia menjadi bertambah buruk? Apakah yang dimaksudkan dengan rakyat didahulukan sekiranya mata rakyat dipaksa pejam,pekak, bisu dan tidak boleh bergerak dengan sekatan media dan seluruh bandaraya?

"Apakah yang dimaksudkan dengan pencapaian diutamakan sekiranya pencapaian di dalam perihal undang-undang tidak diketahui?," ujar Bersih lagi.

Merujuk kepada sekatan yang dikenakan terhadap media bagi membuat liputan berita pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak Khamis ini, Bersih menyifatkan tindakan itu sebagai kebobrokan Najib terhadap kedaulatan undang-undang dan demokrasi perlembagaan di Malaysia.

"Segala perkembangangan yang berlaku menunjukkan beliau telah mengabaikan pilihan pengundi dengan bertindak tidak berlandaskan perlembagaan dengan merampas kuasa.

"Pengundi membalasnya dengan keputusan di pilihan raya kecil Bukit Gantang di mana marjin kemenangan bagi MB Mohammad Nizar meningkat melebihi 2000 undi," tegas gabungan itu lagi dalam kenyataan bersama dengan Centre for Orang Asli Concerns, Centre for Policy Initiatives (CPI) and Anwar Ibrahim Club (AIC). - TVA


Altantuya : Hong Kong TV Terbitkan Drama Bersiri

Esok 6 Mei mendiang Altantuya Shaariibuu, anak seorang profesor dan bekas seorang model menyambut hari ulangtahunnya ke 31 sekiranya beliau tidak dibunuh dan diletupkan tiga tahun lalu.

Bagi mengingati peristiwa pembunuhan kejam beliau, Hong Kong TV akan menerbitkan sebuah drama bersiri berkisarkan kematian Altantuya yang telah mencetus sensasi dan kontroversi hangat apabila isu tersebut dikaitkan dengan pembabitan Perdana Menteri Najib Razak, penasihat politik beliau, Abdul Razak Baginda dan malah isteri Najib, Rosmah Mansor.

Produksi drama bersiri itu akan berdasarkan kepada laporan penyiasatan pembunuhan Altantuya oleh seorang wartawan Perancis daripada akhbat French Liberation bernama Arnaud Dubus.

Laporan mendalam Arnaud membawa beliau mengelilingi dunia termasuk Monggolia dan Malaysia bagi mengumpul bahan berita dan maklumat mengenai tragedi pembunuhan itu.


Penanti : PAS Tetap Larang Ahli Bertanding Calon Bebas

PAS kekal dengan pendiriannya tidak membenarkan ahlinya bertanding menentang rakan komponen pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kawasan Penanti demi menjaga semangat setiakawan demikian dilaporkan oleh Bernama.

"Kita tidak akan izinkan orang kita bertanding atas tiket bebas melawan parti komponen," kata Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali, kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan kepimpinan Pas Pulau Pinang di Markas Pas Padang Menora, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Pemuda Pas Pulau Pinang menerusi bekas ketuanya, Mohd Hafiz Mohd Nordin mendesak pucuk pimpinan meletakkan calon parti itu bertanding di Penanti dengan alasan bahawa ahli akar umbi tidak berpuas hati dengan tindakan penyandang kerusi itu sebelum ini, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengosongkannya.

Dua hari lalu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Mujahid Yusof Rawa, meminta pucuk pimpinan parti supaya mengkaji semula keputusan tidak meletakkan calon parti itu serta menilai semula perjanjian pembahagian kerusi dalam pakatan pembangkang.

Mustafa meminta ahli parti itu tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakkan imej parti kerana keputusan sudah dibuat sebelum ini iaitu mana-mana parti dalam gabungan pembangkang yang bertanding di sesebuah kawasan pada pilihan raya umum lalu berhak meletakkan calon mereka sekiranya berlaku kekosongan kerusi itu atas sebarang sebab.

"Bagaimanapun, kita boleh berbincang jika parti yang bertanding sebelum ini tidak bersedia untuk meletakkan calon mereka pada pilihan raya kecil," katanya.

Mustafa berkata, beliau akan memaklumkan perasaan dan suara akar umbi Pas Pulau Pinang yang mahukan parti itu bertanding kepada pimpinan tertinggi parti pada mesyuarat bulanan 10 Mei ini dan kepada penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya sudah mendengar dan memahami kehendak mereka dan saya juga telah memberi penjelasan mengenai alasan kita tidak bertanding di situ. Bagaimanapun, kedudukan kerusi pada pilihan raya umum akan datang boleh dibincangkan," katanya.

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Salleh Man; timbalannya, Mujahid Yusof Rawa dan Ketua Pemuda yang baru, Mohd Yusni Mat Piah.

Isu Kerajaan Nizar : Zambry Diseru Bertaubat Kerana Guna Bomoh

Harakahdaily melaporkan, JAMAIY salah satu Gabungan NGO Islam Perak hari ini merasa kesal dengan 'insiden khurafat' yang berlaku di Dun Perak baru-baru ini seperti yang dilaporkan sebelum ini oleh Adun Titi Serong, Idham Lim.

Pengerusinya Dr Khairuddin Dato' Abd Malik berkata, beliau telah dimaklumkan oleh kakitangan kerajaan Perak bahawa mereka kesal dan marah apabila khidmat bomoh telah dibawa ke Kompleks SUK Perak pada pagi 30 April lalu oleh salah seorang Wakil Rakyat Adun Barisan Nasional (BN) yang juga bertaraf Exco.

Bomoh tersebut dikatakan dibawa khusus ke bilik persidangan dan fokusnya adalah tempat duduk VIP seperti kerusi DYMM Tuanku Sultan Perak, Speaker dan Menteri Besar.

"Menteri Besar Barisan Nasional Dr. Zambry dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Dr. Abdul Rahman Hashim perlu mengambil tanggungjawab atas insiden kurafat yang memalukan ini.

"Jika insiden ini dalam pengetahuan Dr. Zamry dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Dr. Abdul Rahman Hashim maknanya mereka telah merestui kerja-kerja syirik yang dikutuk oleh Allah, " katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Mereka katanya mesti bertaubat dan memohon maaf kepada Sultan sebagai Ketua Agama Negeri dan seluruh rakyat beragama Islam dan dalam masa yang sama meletakkan jawatan.

"Jika perkara tersebut berlaku tanpa pengetahuan, mereka tidak layak memegang tugas besar Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan kerana kecuaian yang melampau.

"Siasatan mesti dibuat oleh jabatan Agama Islam Perak secepat mungkin tanpa rasa takut," katanya.

Bagi DYMM Tuanku Sultan Perak adalah disarankan demi menjaga nama baik baginda supaya membatalkan keberangkatan ke Sidang DUN pada 7 Mei inii kerana insiden yang mencemarkan institusi Raja sebagai Ketua Agama dan Payung Rakyat, katanya.

Nizar : Pakatan Rakyat Kesal Kerajaan Haram UMNO/BN Sekat Media

Menteri Besar Perak Mohammed Nizar Jamaluddin mengalu-alukan semua media untuk menghadiri mensyuarat sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang akan berlangsung pada 7 Mei ini.

“Saya amat mengalu-alukan semua jenis media termasuk ‘Media Baru’ dan mereka bebas membuat liputan semasa persidangan Dun berlangsung dan saya ingin nyatakan Pakatan Rakyat tidak sekali-kali pernah menghalang sebarang liputan media,” jelas beliau semasa sidang akhbar di ibupejabat KeADILan semalam.

Berikutan setiausaha dewan Abdullah Antong Sabri yang digantung Speaker V. Sivakumar telah mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan media membuat liputan semasa sidang Dun pada 7 Mei dan hanya membenarakan media tertentu sahaja dapat masuk ke dewan.

Sivakumar, dalam satu kenyataan beliau hari ini memberitahu bahawa rakyat berhak mengetahui segala gerak-geri dan hujah wakil rakyat mereka di dalam Dewan Negeri seiring mendukung prinsip-prinsip demokrasi dan kebebasan media.

Sempena hari Kebebasan Media Sedunia 2009 yang sisambut semalam, Penasihat Agong Dap Lim Kit Siang berkata bahawa tindakan tersebut adalah sebagai satu diskriminasi dan ketidakadilan terhadap media yang tidak seharusnya berlaku.

“Saya merasa kesal atas tindakan demikian terjadi pada waktu seluruh dunia memperjuangkan hak dan kebebasan media. Ini adlah satu tindakan yang memalukan,” jelas beliau semasa sidang akhbar tersebut.

Berpegang kepada prisnsip itulah, maka Sivakumar telah membuat ketetapan membenarkan semua pihak media membuat liputan persidangan Dewan Negeri Perak pada 7 Mei ini.

“Semua media termasuk mana-mana media yang telah dihalang untuk masuk dewan diminta untuk membuat permohonan bertulis di Pejabat Speaker, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan. Permohonan boleh dibuat mulai 9.00 pagi pada 4 Mei 2009.

“Saya akan mengeluarkan surat kebenaran kepada media-media mengikut pertimbangan saya,” katanya dalam kenyataan yang disiar dalam blognya.-sk



Najib Altantuya: Dilemma dan Fobianya

Sebagai manusia biasa yang mempunyai perasaan kesian sesama insan, kita tentunya kadangkala berasa kesian terhadap Perdana Menteri Malaysia yang baru sahaja memegang jawatan selama 32 hari.

Macam mana tidak kesian kepada beliau. Sudahlah insan yang bernama Najib Razak tidak langsung dipeduli oleh pemimpin-pemimpin dunia. Semasa dilantik menjadi Perdana Menteri berapa kerat pemimpin dunia, sama ada Presiden atau Perdana Menteri yang mengutus kawat tahniah kepada beliau. Yang ada terkonteng-konteng Perdana Menteri Singapura dan pemimpin kanan negara pulau itu serta beberapa duta dan perwakilan asing yang mengucapkan tahniah bagi pihak kerajaan mereka.

Beliau muncul dipersada politik sebagai Perdana Menteri keenam dalam suasana senyap sunyi seolah-olah perlantikan beliau tidak mempunyai apa-apa signifikan pada pandangan pemimpin dunia lain.

Keadaan ini jauh berbeza dengan Perdana Menteri-Perdana Menteri terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein (ayah Najib), Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi. Ucap tahniah mencurah-curah datang dari pelbagai cara; melalui panggilan talipon, faks, telegram, emel, surat, utusan peribadi dan sebagainya.

Kalau betul-betul diperhatikan ianya memang menimbulkan perasaan kesian dan menyentuh kalbu mengenangkan nasib yang menimpa Perdana Menteri yang satu ini. Mana tidaknya, sebelum diangkat jadi Perdana Menteri lagi macam-macam perkara dikaitkan kepada beliau. Sewaktu menjadi menteri kabinet dalam tahun 1990an khabar angin bertiup kencang apabila namanya dikaitkan dengan seorang artis tempatan. Selepas penafian dibuat perkara itu terus berita itu lenyap daripada radar media.

Tetapi ingatan manusia tidak mudah luput terutama apabila ia melibatkan berita sensasi. Semasa kempen pilihan raya kecil Bukit Gantang bulan lalu sekali lagi cerita lama ini diungkit malah siap dengan poster dan gambar artis itu sekali. Dahsyat sungguh memori silam yang manis kalau dicungkil kembali mampu menjadi mimpi ngeri.

Bukan sahaja pemimpin dunia seolah-olah memulau beliau malah media negara mereka mengata bermacam-macam pula terhadap Najib. Betul tak betul lain cerita. Yang menjadi inti perbahasan ialah tindakan mereka yang seakan tidak menghormati pemimpin tertinggi Malaysia.

Tajuk utama laporan mereka ialah mengenai kematian mengerikan wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu yang mayatnya dikatakan diletupkan menggunakan bahan ledakan ala C4 yang digunakan pihak tentera. Dikatakan 19 akhbar Barat membuat laporan mengenai pembunuhan wanita itu dan yang paling sensasi mereka mendakwa keterkaitan Najib dalam pembunuhan tersebut. Kaitan macam mana bacalah laporan-laporan itu tapi yang ketara media-media Barat ini menyerang Najib bertalu-talu atas isu ini.

Lantas Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang menerajui kementerian terakhir dalam perjalanan karier politiknya terus menyerang balas media-media Barat demi mempertahankan bos beliau. Katanya media Barat mempunyai niat dan agenda jahat untuk menjatuhkan kerajaan. Memang media Barat sentiasa dengkikan kita.

Pelik juga bunyinya, tak pernah dengar laporan media mampu menguling mana-mana kerajaan didunia ini, apatah lagi kerajaan Umno-BN yang perkasa ini. Mungkin sebab itulah baru-baru ini beliau menjamu warga blog yang sealiran dengan pemikirannya di sebuah restoran mewah bagi merangka strategi serangan balas, wallahualam.

Hari pertama beliau jadi Perdana Menteri seramai tiga belas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri dapat nikmat kebebasan setaraf dengan warganegara lain. Harakah dan Suara keadilan yang digantung permit penerbitan selama tiga bulan oleh mantan Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar menghela nafas lega apabila penggantungan tersebut ditarik balik. Kedua-dua tindakan ehsan itu pun kena bantai juga.

Dikatakan Najib cuba mengaburi mata rakyat dengan kebaikan sejengkalnya kalau dibandingkan dengan perbuatan khianatnya terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak. Sampai sekarang rakyat Perak merana angkara beliau. Bab ini rakyat tak kesian pada Najib.

Lepas itu beliau umum pula pasal wawasan Satu Malaysia yang mahu tidak mahu menjadi pewaris kepada Islam Hadhari yang sudahpun menjadi arwah beberapa hari setelah Najib jadi Perdana Menteri. Itu pun kena hentam juga. Kata pengkritik Satu Malaysia, cakap tak serupa bikin. Contohnya Perdana Menteri cakap pasal menyatukan rakyat berbilang bangsa dan kaum tapi selang beberapa hari kemudian Utusan Malaysia milik parti Perdana Menteri melaungkan "Bangkitkan Melayu" sebagai tajuk utama muka depan akhbar tersebut.

Perdana Menteri baru slogan pun mestilah baru juga. Maka berkumandanglah siang malam pagi petang dicorong udara dan peti televisyen petikan ucapan keramat Najib semasa mengumumkan barisan kabinet beliau, "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan". Itulah "hadis" ciptaan Umno dan Barisan Nasional yang akan menjadi "agama" rasmi selama tempoh kerajaan Najib. Tup tup keluar gambar Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menaiki Rolls Royce semasa menziarahi jenazah isteri Ketua Menteri Sarawak baru-baru ini. Barulah rakyat sedar yang didahulukan bukan mereka tapi rakyat kelas kaya dan gerombolan kroni-kroni mereka.

Apa tidaknya sejak hari pertama menjadi pemimpin utama negara tidak habis-habis beliau dibelasah kiri kanan oleh pelbagai pihak. Blok pembangkang sudah semestinya mencari sahaja kesilapan beliau dan akan membelasah beliau cukup-cukup. Itu sememangnya pun menjadi adat resam pembangkang, tidak ada yang ganjil mengenai perkara ini. Malah menjadi tanggungjawab dan beban kepada pihak pembangkang untuk mengkritik mana-mana dasar, perlakuan, perbuatan, polisi keputusan seseorang pemimpin atau kerajaan itu sendiri jika didapati ia berlawanan dengan kepentingan rakyat dan negara. Kalau tidak mengkritik pihak pembangkang pula akan dikritik.

Dalam tempoh 32 hari jadi Perdana Menteri, Najib berjaya memecah rekod yang tidak pernah dicapai oleh penjawat-penjawat sebelumnya. Secara tradisi prestasi atau ketokohan seseorang pemimpin itu dinilai dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya. Kalau kepimpinannya terserlah seperti Presiden Obama maka pujian dan markah tinggilah diberi. Sebaliknya kalau prestasi bagai hidup segan mati tak mahu maka markah tercorotlah habuannya.

Kesian juga kepada Najib sebab sebelum 100 hari malah sepertiga daripadanya rakyat sudah tolak kepimpinan beliau. Contoh paling baik ialah kekalahan Umno-BN dalam kesemua empat pilihan raya kecil yang diadakan di Semenanjung Malaysia. Sekarang ini Penanti pula sedang menanti dan kemungkinan pula Kota Alam Shah atau mana-mana lagi. Mampukah Najib mengharungi mimpi ngeri yang sudah bertukar menjadi fobia baginya. Pakatan Rakyat sudahpun mengumumkan calonnya tapi Umno-BN masih teraba-raba mencari keputusan muktamad sama ada mahu bertanding atau tidak.

Bukit Selambau ke Bukit Gantang
Singgah sebentar di Kuala Terengganu
Permatang Pauh sudah pun datang
Penanti pula sedia menunggu

Apa pun semua ini adalah ujian bagi Najib. Sama ada beliau lulus atau tidak ujian ini bergantung kepada kesungguhan beliau. Elok juga beliau jenguk-jenguk nasihat penasihat politiknya, Dr Mahathir yang menasihatkan agar anak didiknya itu membersihkan namanya daripada segala tohmahan yang dipalitkan kepada dirinya. Kalau tidak nasib Najib akan menjadi lebih kesian. - TVA

Isu Manoharan : PR Selangor Sedia Berpilihanraya Hadapi UMNO BN Bila-bila Masa

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menyerahkan kepada DAP untuk membuat keputusan berhubung kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M Manoharan untuk meletak jawatan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim berkata, sebarang keputusan harus dihormati dan beliau akan menyokong keputusan yang dibuat oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh.

Menjawab soalan pemberita dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Tan Sri Khalid berkata, Selangor sedia menghadapi pilihan raya kecil pada bila-bila masa.

Manoharan adalah antara lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA sebelum pilihan raya umum lalu. Beliau memperjuangkan hak asasi kaum India dan lantang bersuara menentang dasar-dasar BN yang meminggirkan kepentingan kaum India.

Manoharan adalah satu-satunya tahanan ISA yang bertanding dan menang besar dalam pilihan raya umum Mac 2008.

Beliau menewaskan calon BN dari Gerakan, Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi -TVA



Isu Kerajaan Nizar : 7 Mei, Polis Diperalatkan UMNO/BN Dari Awal

Pihak polis tidak mempunyai kuasa menghalang rakyat mengikuti perjalanan dan perkembangan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak bermula hari Khamis ini sebagai permerhati.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Pakatan Rakyat, Misbahul Munir Masduki berkata orang ramai yang akan hadir pada 7 Mei itu adalah didorong oleh keinginan mereka yang ingin tahu perkembangan sidang DUN selain untuk memberi sokongan moral kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan bukannya untuk membuat kekacauan.

"Kekacauan timbul kerana provokasi orang lain. Kami juga menegaskan pihak polis tidak ada kuasa menghalang orang ramai yang mendapat kebenaran Speaker sebagai pemerhati dalam persidangan tersebut, dan pihak polis hendaklah merujuk kepada Speaker untuk mendapatkan senarai pemerhati dan media yang mendapat kebenarannya bukannya merujuk Setiausaha Kerajaan Negeri," tegas Misbahul dalam blognya, misabah.blogspot.com.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak sebelumnya menghadiri perjumpaan dengan pihak polis kira-kira pukul 11.00 pagi tadi bersama wakil-wakil daripada Parti Keadilan Rakyat.

Walau bagaimana pun pihak polis dalam surat jemputan ke perjumapaan itu tidak menyatakan tujuan atau motif mesyuarat tersebut yang diadakan di IPK Ipoh.

"Tajuk surat yang dihantar kepada kami ialah Perjumpaan Khas Adun/Wakil-wakil parti politik. Tetapi tidak seorang pun ADUN PAS dan PKR yang menerima surat jemputan untuk hadir. Saya tidak pasti ADUN DAP terima surat atau tidak. Saya juga tidak pasti ADUN BN dipanggil sama ataupun tidak.

"Kami tidak tahu apa motif perjumpaan tersebut, dalam surat jemputan tidak ada agenda dan sebab perjumpaan diadakan. Menghormati surat jemputan tersebut, kami menghadirinya dengan andaian ada perbincangan penting atau maklumat penting akan disampaikan oleh Ketua Polis Negeri," kata Misbahul lagi dalam blog beliau.

Menurutnya pihak polis memberi amaran kepada Pakatan Rakyat supaya tidak menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada 7 Mei depan dan meminta pimpinan parti-parti politik memberi nasihat supaya ahli dan penyokong parti tidak menghadiri perhimpunan tersebut.

"Pihak polis kononnya mendapat maklumat dan sumber dari internet dan ceramah-ceramah anjuran Pakatan Rakyat yang mengatakan akan ada perhimpunan besar-besaran 7 Mei di Ipoh.

"Dalam perjumpaan tersebut kami menafikan akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada hari tersebut, tidak ada sebab untuk kami menghalang orang ramai hadir kerana perhimpunan tersebut tidak dianjurkan oleh Pakatan Rakyat.

"Kononnya ada perhimpunan besar-besaran itu adalah provokasi Zambry Abdul Kadir yang mendedahkan dalam akhbar baru-baru ini. Sebenarnya Zambry ketakutan untuk berhadapan dengan 7 Mei dan takut dengan kebangkitan rakyat yang menuntut supaya DUN dibubarkan.

"Orang yang takut memang sentiasa menggelabah terhadap apa sahaja khabar angin yang sumbernya pun boleh dipertikaikan. Kami menegaskan kepada pihak polis sepatutnya Zambrylah yang wajar dipanggil oleh pihak polis terhadap dakwaan ini untuk membuktikan kepada polis adanya perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan oleh pembangkang," jelas Misbahul.

Dalam perjumapaan tersebut wakil-wakil Pakatan Rakyat menuntut supaya pihak polis menggunakan kebijaksanaan yang berhemah apabila berhadapan dengan perhimpunan rakyat pada hari itu.

"Polis ada kuasa untuk menyuraikan perhimpunan, tetapi sekiranya perhimpunan itu sekadar berhimpun cara aman, tidak ada kekacauan dan rusuhan yang boleh dianggap membahayakan keselamatan, pihak polis hendaklah menggunakan budi bicara," kata beliau lagi. -TVA