16 Jul 2011

Larangan Baju BERS✔H, Helah Polis Untuk Jawab Kegagalan Beri Permit & Keganasan Polis

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa larangan pemakaian baju-T Bersih adalah percubaan Menteri Dalam Negeri untuk mengelak dari kegagalan menjawab dua isu utama, iaitu pemberian permit di Stadium Merdeka dan keganasan polis ketika cuba menyuraikan peserta Himpunan Bersih 2.0, pada 9 Julai lalu secara profesional.

Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata, pihaknya mendakwa larangan oleh Ketua Polis Shah Alam ACP Ahmad Zahedi Ayob itu didorong oleh laporan pihak berkepentingan berikutan kejayaan gerak kerja Biro Penerangan AMK Malaysia pada 9 Julai lalu.

“Walau apapun yang cuba dipolitikkan oleh polis dan Perdana Menteri, Najib Razak nyata larangan ini seakan untuk lari daripada kegagalan menjawab isu utama.

“Keengganan dan dolak dalik pemberian permit di Stadium Merdeka dan keganasan polis semasa mengawal perhimpunan hingga menyebabkan kematian, mendatangkan beratus kecederaan selain kemudaratan pada bangunan akses awam seperti Hospital Tung Shin yang terletak berhampiran Stesen Puduraya, KL,” Razon berkata demkian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkanya lewat petang semalam.

Rabu lalu, media alternatif melaporkan aktiviti jualan tali leher kuning Bersih 2.0 mendapat sambutan mengalakkan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor ketika persidangan Dewan Undangan Negeri itu berlangsung.

Sehubungan itu Ketua Polis Shah Alam, ACP Ahmad Zahedi Ayob mengeluarkan arahan larangan penjualan barangan tersebut termasuk baju-T yang mempunyai logo dan tulisan Bersih 2.0.

“Tindakan menahan, melarang dan cubaan menakutkan rakyat daripada memakai barangan yang menyatakan sokongan kepada Bersih 2.0 mahu pun pakaian berwarna kuning seperti baju kemeja-T, tali leher atau pengedaran risalah tidak harus menjadi isu.

“Penahanan untuk disoal siasat tidak sepatutnya menjadi isu kerana perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai telah selesai. Pihak polis perlulah bersikap profesional dengan tidak mengekang atau menghalang kebebasan rakyat.

Katanya, penjualan barangan seperti baju T dan tali leher yang mempunyai logo Bersih 2.0 tidak mendatangkan sebarang mudarat mahupun isu konflik kepatuhan perundangan.


Justeru, AMK bersedia untuk bertemu dengan Menteri Dalam Negeri sekiranya memerlukan penjelasan bagi memastikan rakyat tidak ditekan dengan isu hak dan akses maklumat asas.

Dalam pada itu, AMK memaklumkan suatu program bagi memperingati kematian peserta himpunan aman Bersih 2.0, Allahyarham Baharudin Ahmad akan diadakan di Avenue K, Jalan Ampang (hadapan KLCC) pada 16 Julai, jam 5 petang ini. -tvsnews


Propaganda Murahan Burukkan BERS✔H Tidak Laku

Catatan 709: Propaganda murahan tidak laku

Demokrasi mempunyai dua aspek. Pertama-tama, sebagai sebuah sistem dan bentuk negara dan kedua sebagai nilai-nilai universal yang diperjuangkan demi kemanusiaan. Islam lebih daripada sekadar sebuah agama ritual (ed -GB). Di Eropah pula, ide demokrasi dikembangkan melalui sekularisme (Niccolo Machiavelli), Negara Kontrak (Thomas Hobbes), pengasingan kuasa (John Locke) yang disempurnakan (Baron de Montesquieu), kedaulatan rakyat dan kontrak sosial (Jean-Jacques Rousseau). Doughlas Lummis kemudian datang dengan ide demokrasi radikal tentang perlunya meredefinisi demokrasi, kerana demokrasi kini telah menggantungkan maknanya pada para demagog. Katanya, "Democracy doesn't means 'feeling' powerful. It means holding real power… Radical democracy describes the adventure of human beings creating, with their own hands, the conditions for their freedom".

Proses inilah yang berlaku pada 9 Julai 2011/ 7 Sya’aban 1432. Perhimpunan aman BERSIH juga diadakan di 18 buah bandar, mungkin lebih, yang melibatkan New Zealand, Korea dan lain-lain. "Anwar Dalang Perhimpunan Haram", "BN Tak takut", "Proses demokrasi salah" dijadikan tajuk berita media perdana agar perhimpunan dipandang serong. Stadium Merdeka mula dicanang mempunyai simbol negara. Walhal pada suatu ketika, stadium itulah yang mengalu-alukan Justin Bieber dan bakal dirobohkan untuk mendirikan bangunan 100 tingkat. Ramai masih dalam bebalisme-nya itu, tidak terkecuali para cendekiawan, yang "ter"pelajar dan penganut agama rasis- masih kukuh pendirian "orang Melayu itu seperti boneka yang dimainkan 'bangsa' lain".

Perhimpunan 9 Julai antaranya melibatkan wakil rakyat seperti Saifudin Nasution dan Liew Chin Tong dan ramai lagi, basah dengan rahmat rabbal alamin. Mungkin mengejutkan ramai orang, tetapi yang melaungkan kata-kata semangat, bukan "boneka" Melayu sahaja, tetapi etnik Cina dan India.

Inilah Malaysia yang rakyat perlukan. Tiada sempadan kelas, etnik, agama, gender yang menghalang hasrat rakyat yang inginkan keadilan (atau dengan "K" besar). Tiada siapa-siapa yang mampu untuk berkompromi dengan penindasan.

PM iaitu Perdana Menteri yang tercinta turun padang hanya selepas 24 jam perhimpunan diadakan semalam. Tidak cukup berani untuk berdepan dengan massa semalam. Hari ini (10 Julai 2011), kelihatannya yang beramai-ramai bersama beliau itu hidungnya terletak, orang luar, mungkin orang yang sama dalam "perhimpunan" Patriot. Malah, orang awam mengatakan baju Patriot disebarkan dengan percuma kepada mamat-mamat Bangladesh di KL. NGO terus mengutuk perhimpunan ini seperti pengerusi silat gayong - meminjam kata Hishamudin Rais, taktik persilatan ghaib amat berkesan semalam.

"Baru kena sikit tear gas, muka dahi berkerut, macam dah kena belasah je…lepas tu dah terlentang di hospital."- PM

Benarlah kata Rosmah sebelum ini yang ditemubual akan hal suaminya, PM kita ini pandai bergurau! Jika lihat di berita TV3 jam 8 malam semalam, orang yang dimaksudkannya itu mungkin Khairi Jamaludin!

Malah, kodok besar yang selama ini menyanyikan lagu sumbang, juga tidak ada semalam. Kodok yang satu ini tidak lebih tidak kurang seperti Encik Ghaffar. Rakyat masih ingat kata-kata Ibrahim Ali yang lancang menyuruh Cina duduk rumah. Tanggal 9 Julai sudah cukup membuktikan pihak yang berani dan pihak yang kecut. BERSIH 2.0 dikatakan hanya akan melagakan Melayu sesamanya, menjayakan agenda pembangkang, menjadi alat kepentingan politik dan macam-macam lagi telah menunjukkan ia perayaan yang dikongsi rakyat multi etnik. Mereka berganding bahu melindungi satu sama lain, menghulur tangan bagi mereka yang tersungkur di jalan dan memberi air mineral dan garam kepada yang lain. Mereka yang merupakan "bangsa pendatang", "kafir", dan entah apa lagi tohmahan ini melindungi pakcik-pakcik tua dan anak muda tampan yang sedang solat dalam hujan tetapi diserang atas arahan parti yang dikatakan membela "bangsa" dan agama.

Di situ, hari itu, cukup membuktikan rakyat telah menolak politik primordial yang berasaskan warna kulit, agama, "bangsa". Mereka berkongsi agama Cinta, rentas agama, etnik/ kaum, gender; mendahulukan kebajikan bersama daripada kepentingan diri. Perempuan juga sehebat bilangan lelaki turun ke jalan, lagaknya tidak seperti Maria Sunari dan Musa Elba. OKU juga didapati hadir dan bergerak bersama dalam laungan "Hidup Rakyat", "Daulat Tuanku", dan nyanyian lagu Negaraku. Unit amal terus mengawal lalu lintas, mereka yang hadir walaupun tidak cukup jari yang mengira, membuka jalan kepada kereta-kereta, biarpun itu kereta polis! Pemandu, penumpang, malah mereka yang berada dalam monorail menyatakan sokongan mereka dengan membunyikan hon dan melambai-lambai. Siapakah gerangan yang senang-senang dibodohkan dengan "BERSIH 2.0 tidak mendapat sokongan"?

Seperti biasa, media TV1, TV2, TV3, NTV7 dan banyak lagi tidak akan putus-putus menyaring dan memilih berita yang serasi dengan kepentingan rejim sedia ada. Bukan semalam, tetapi sejak minggu-minggu lepas. Sekejap kerugian peniaga mencecah RM1 juta, sekejap RM100 juta? Setelah kerajaan mengarahkan peniaga-peniaga menutup kedai, kini melalui presiden Ikhlas dengan tag 1Malaysia di dadanya menawarkan khidmat percuma peguam kepada peniaga-peniaga?? Berita Harian juga tidak terlepas mempamerkan gambar pemuda memegang senjata berupa pisau semasa "perhimpunan haram". Propaganda murahan itu tidak laku. Media bukan satu. Rakyat multietnik semalam membawa bunga, membawa cinta kasih untuk disampaikan pada anjing-anjing penguasa. Turut kelihatan juga belon-belon kuning dengan mesej "balloons not bombs". Namun, semua itu dibalas dengan tuba.

Media sebagai aparatus politik terus mengabsahkan kata-kata dan tindakan kerajaan menipu orang ramai. Solidariti yang ditunjuk semalam itu tidak mampu dibeli dengan harga RM200, mungkin hanya dalam perhimpunan Belia di Putrajaya. 907 itu ekspresi rakyat yang mencapai kesedaran atas penindasan yang mereka alami. Pemerintahan BN selama lebih lima puluh tahun cukup untuk membuatkan siapa-siapa sahaja turun. Tambah lucu, penganjur dan pengikut perhimpunan ini dikatakan "menderhaka/ mengkhianati perintah YDP Agong". Orang ramai ada di Brickfields, ada di Hospital Tung Shin, dan ada juga yang memenuhkan jalan-jalan di hadapan KLCC, tertera "Daulat Tuanku" di situ. Mereka duduk. Sambil mendengar ucapan. Helikopter berlegar-legar di langit pun tidak mampu menutup suara dan telinga yang ingin mendengar. Ada juga yang sanggup keluar dari BMW untuk duduk mendengar bersama. Membuat stadium mereka sendiri. Semua ini gara-gara stadium tidak diberi, permit tidak dikeluarkan, "pertubuhan" BERSIH diharamkan kerana yang di atas itu tidak mampu atau mahu mengabulkan tuntutan berkehendakkan pilihan raya bersih.

Hari itu di sekitar Kuala Lumpur diakhiri dengan "tren rakyat". Di KL central pada malam harinya, kelihatan ramai yang melabuhkan punggung di lantai menantikan pembohongan tepat jam 8 malam. Berita Utama TV3 hanya menjadi hiburan bukannya alat hegemoni. Dalam tren, ramai yang masih melaungkan "Hidup hidup, hidup Rakyat!" sambil memberi laluan pada yang lain. Kata mereka ini tren rakyat, dan dengan senangnya perempuan masuk ke dalam gerabak bukan-perempuan. Budak- budak muda semuanya mendengar kata-kata nasihat dan komen orang tua yang juga penumpang. Gelak tawa seolah difahami pelancong luar yang ada. Sesudah tiga orang tua itu turun di Bandar Tasik Selatan, kedengaran takbir dilaung berkali-kali. Beberapa minit kemudian, tren berhenti di UKM. "FRU dan kereta black Maria telah menjadikan UKM sebagai tempat mereka keluar masuk." Universiti yang didirikan atas usaha rakyat, kini menjadi balaci penguasa yang zalim! Itulah mesej yang tertera di media baru seperti Tweeter, Facebook, WhatsApp.

Walaupun tidak dinafikan ia mungkin menjadi landasan buat mereka yang mempunyai kepentingan politik tetapi ia juga hasrat warga, hak yang telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak untuk bersuara. Penguasa bukan sahaja menggunakan berpuluh trak FRU tetapi polis dengan anjing buruan, polis yang berkuda di sekitar KL dan telah memberi amaran awal jika keadaan tidak terkawal, tembakan dengan peluru juga akan dibenarkan. "dispersed or we'll shoot" itu tidak lagi hanya tembakan gas pemedih mata. Penguasa harusnya menjalankan tanggungjawab melindungi rakyat bukan melindungi tembolok diri dan anak cucu cicitnya. -[Aisyah] MR

Nota:
i. Encik Ghaffar ialah watak dalam cerpen Tamrin Gil karya A. Samad Said.
ii. Maria Sunari dan Musa Elba ialah watak dalam karya A. Samad Said berjudul Malam Merangkak ke hujungnya.


Adalah Menjijikkan Polis Tanpa Rasa Malu Menafikan Perbuatan Menembak Ke Arah Hospital

Badan induk doktor swasta mahu ‘kemuliaan’ hospital dijaga

Badan mewakili pengamal-pengamal perubatan mempertahankan pendirian 11 doktor Hospital Tung Shin berhubung insiden 9 Julai sambil menegaskan, hospital wajar dilindungi pihak berkuasa sepanjang masa.

“Ini sebahagian daripada tugas moral kerjaya perubatan (contohnya kesemua doktor) untuk memaklumkan kepada mereka yang secara tidak sengaja ataupun sebaliknya telah melanggar kemuliaan hospital ketika keadaan tidak terkawal dan tidak diingini,” kata Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) Dr Steven K W Chow dalam satu kenyataan malam tadi.

Badan itu mengeluarkan kenyataannya dua hari selepas pendirian 11 doktor hospital berkenaan bahawa pihak polis telah menggunakan langkah melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke arah pekarangan hospital semasa hendak menyuraikan peserta perhimpunan Bersih 2.0.

Dalam satu kenyataan Rabu lalu, sekumpulan 11 doktor menegaskan mereka bersedia untuk menyediakan afidavit berkanun untuk mengatakan bahawa pihak polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke atas kawasan Hospital Tung Shin dan Bersalin Cina di Jalan Pudu di sini Sabtu lalu.

Seramai 11 doktor menegaskan, mereka kecewa dengan tindakan polis itu tanpa mempedulikan keselamatan pesakit dan doktor.


Justeru, kenyataan itu bercanggah dengan respons Menteri Kesihatan yang telah menafikan polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih ke atas kawasan hospital, sebaliknya tambah beliau ia disebabkan oleh pergerakan angin pada masa kejadian.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.

“Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Ekoran kenyataan mereka, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai memutuskan untuk mengadakan satu jawatankuasa inkuiri tahap tinggi bagi menyiasat insiden pihak polis menyasarkan Hospital Tung Shin ketika cuba meleraikan perhimpunan Bersih 2.0.

Jawatankuasa itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Kamarul Zaman Md Isa.

Dalam kenyataannya Chow juga berkata, pihaknya faham bahawa menjadi pendirian kerajaan Malaysia bersama dengan hospital-hospital lain apabila menjadi sasaran sama ada secara sengaja ataupun sebaliknya di mana-mana bahagian di dunia.

“Ia juga tanda aras masyarakat madani,” kata beliau lagi.

Justeru jelas Chow, keputusan 11 doktor kelmarin bertujuan menekankan semula sokongan konsisten pengamal perubatan yang selari dengan pendirian moral “kerajaan kita dalam isu ini.”

Malah kata Chow, tindakan doktor-doktor berkenaan seharusnya diterima dalam semangat yang baik memandangkan menjadi tugas mereka bagi memastikan bahawa pesakit-pesakit, yang tiada kaitan langsung dengan perhimpunan Sabtu, tidak didedahkan kepada bahaya atau kesulitan yang tidak sewajarnya.

“Tindakan tidak membuat apa-apa adalah satu kelalaian dalam kerjaya mereka
,” katanya yang sekali lagi menekankan, FPMPAM menyokong tindakan doktor-doktor kanan berkenaan.

Kata Chow, pihaknya pasti bahawa kesemua doktor, sama ada swasta dan awam, akan merasakan begitu apabila kemuliaan hospital dan pesakit mereka berhadapan dengan situasi sedemikian. -TMI




Ultimatum BERS✔H: Rombak Sistem Atau Tiada Pilihan Raya

Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mahu mengambil pendekatan untuk berubah, maka tidak perlu adakan pilihan raya."

Demikian kenyataan ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah seraya mendesak suruhanjaya itu mempertimbangkan empat tuntutan utama bersabit rombakan sistem pilihan raya yang boleh dilaksanakan oleh suruhanjaya itu dengan kadar segera.

Tambahnya lagi, Bersih akan mengemukakan petisyen kepada SPR dalam masa terdekat sebagai tindakan lanjut termasuk memberi tempoh tiga bulan untuk melihat sebarang perubahan yang akan dilakukan agensi bebas itu.

Beliau berpendirian tindakan tersebut adalah sebahagian daripada cara gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) itu mengekalkan momentum selain inisiatif rakyat menganjurkan program 'hari kuning' pada setiap Sabtu.

"Kita mahu bergerak ke hadapan. "Bola" kini berada dalam gelanggang SPR dan mereka perlu respon sekarang," katanya.

Bercakap dalam wawacana khas bersama Tv Selangor, Maria menyifatkan SPR tidak mengambil pendekatan proaktif untuk mencapai persetujuan dalam rundingan dengan pihak Bersih.

Malah katanya, sehingga kini suruhanjaya itu lebih gemar memberi pelbagai alasan seolah-olah cuba untuk melindungi pihak berkepentingan.

Menurut beliau, SPR mempunyai kuasa untuk merombak sebarang peruntukan yang diyakini dapat menambahbaik sistem pilihan raya di negara ini memandangkan agensi itu terletak di bawah kuasa Majlis Raja-Raja.

"Dalam perbincangan antara Bersih 2.0 dan SPR, kita sudah jelaskan mereka ada kuasa untuk merubah undang-undang dan mengemukakan kepada kabinet. Tapi mereka menghadkan peranan dengan mengatakan mereka hanya pentadbiran.

"Jadi inilah (sebenarnya) empat tuntutan yang utama (dalam aspek) pentadbiran. Membersihkan senarai pengundi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan tempoh berkempen selama 21 hari. Ini tidak perlu ubah undang-undang. Jadi saya rasa sekarang mereka tidak ada alasan (untuk tidak) melakukan dalam tempoh tiga bulan," kata beliau.

Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar baru-baru ini mengakui kelemahan aspek komunikasi suruhanjaya itu yang menyebabkan mereka gagal menjelaskan kepada rakyat tentang langkah penambahbaikan sistem pilihan raya.

Beliau turut berdalih tentang ruang yang terhad berikutan terikat dengan Akta Pilihan Raya 1957 selain mendakwa Bersih 2.0 membuat andaian tanpa sebarang bukti.

Beliau juga mendakwa pembangkang memanipulasi isu ketelusan pilihan raya sehingga menyebabkan rakyat turun ke jalanan pada 9 Julai lalu.

Mengulas perkara itu, Maria menyahut baik tindakan SPR untuk bertemu dan memberi penjelasan kepada rakyat namun katanya, tuduhan bahawa Bersih tampil tanpa sebarang bukti ternyata meleset.

"Sampai sekarang ada orang hantar bukti. Semalam, ada individu yang daftar dua kali menggunakan kad pengenalan yang sama dan dia telah mengundi dua kali tetapi dua tempat berasingan.

"Kita juga ada bukti di mana kad pengenalan baru dan lama digunakan untuk mengundi. Ini menunjukkan SPR sebenarnya tidak membersihkan senarai pengundi. Jadi kalau ini berterusan ianya akan memberi impak buruk kepada kerajaan sekarang," ujar beliau lagi.


Beliau turut mengulangi kejadian pembelian undi yang didedahkan portal berita alternatif pada Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu di mana SPR gagal mengambil sebarang tindakan walaupun gambar dan video telah tersebar luas di internet.

Maria menyifatkan sekiranya SPR melaksanakan tugas secara telus maka risiko bagi kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk tumbang adalah lebih kritikal.

Dalam pada itu Maria berkata, pengenalan kepada sistem biometrik amat digalakkan namun katanya kaedah itu memerlukan kos yang tinggi berbanding dakwat kekal.

Jelasnya lagi, dakwat kekal telah digunapakai di kebanyakkan negara termasuk India di mana perlaksanaannya memberangsangkan.

Maka menurut Maria tidak timbul sebarang dakwaan bahawa kaedah tersebut ketinggalan zaman kerana ianya akan memberi kebaikan kepada parti politik yang bertanding seraya mengelakkan daripada salah laku pengundian.

Sehubungan dengan itu kata beliau, Bersih bersedia untuk mengadakakan pertemuan semula dengan SPR sekiranya suruhanjaya itu berhasrat untuk mempertimbangkan empat tuntutan utama yang dinyatakan. -tvsnews

BERS✔H 2.0: Menteri KDN Perlu Dedahkan Berapa Kos Operasi Halang Himpunan [updated]

Khalid Samad gesa Hisham dedah kos operasi himpunan 9 Julai

PAS Selangor mahu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan perbelanjaan yang ditanggung kementerian itu dalam operasi membanteras perhimpunan yang diadakan pada 9 Julai lalu.

Timbalan Pesuruhjayanya Khalid Samad berkata, beliau mendapat maklumat perbelanjaan itu mencecah jutaan ringgit.

“Hishammuddin perlu dedahkan berapa perbelanjaan yang digunakan Kementerian Dalam Negeri sepanjang operasi itu berjalan. Kita nak tahu sejak dari mula operasi sampai habis.

“Sebab kalau kita lihat berapa banyak anggota keselamatan digunakan sepanjang operasi itu termasuk pada 9 Julai, ia juga termasuk perbelanjaan makan dan minum kerana saya difahamkan perbelanjaan itu mencecah jutaan ringgit,” katanya pada sidang media selepas memfailkan saman pemula terhadap empat individu termasuk Hishammuddin berhubung tangkapan yang dilakukan ke atas ahli parti Islam itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini.

Sebelum perhimpunan 9 Julai berlangsung - yang melibatkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pemuda Umno, polis telah mengerahkan anggotanya untuk mengambil tindakan dan menahan sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan itu.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Pada perhimpunan itu lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0, Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno ditahan.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, beliau berharap Kementerian Dalam Negeri menarik balik semua pengisytiharan pengharam terhadap Bersih 2.0 termasuk kemeja-T.

Semalam Ketua Polis Shah Alam ACP Ahmad Zahedi Ayob berkata pihaknya akan mengambil tindakan termasuk merampas barangan dan menangkap individu yang menjual barangan yang mempunyai logo perhimpunan haram pada Sabtu lalu kerana ia menyalahi undang-undang.

Beliau berkata sebarang penjualan barangan termasuk pakaian seperti kemeja-T atau tali leher yang mempunyai logo penganjur perhimpunan haram itu adalah tidak dibenarkan sama sekali. -TMI



Exco Melaka Terjatuh Dalam Sungai.

Exco Melaka Terjatuh Dalam Sungai

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri Melaka, Datuk R.Perumal (kanan) melepaskan benih anak ikan Lampam ke dalam Sungai Tehel, di sini, semalam.

Turut serta Anggota Dewan Undangan Negeri Bemban Chua Kheng Hua (kiri). TERJATUH...

Beberapa petugas Jabatan Perikanan Melaka membantu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri Melaka, Datuk R.Perumal (dua kanan) naik ke tebing selepas terjatuh ke dalam sungai bersama beberapa jemputan ketika melepaskan benih anak ikan Lampam ke dalam Sungai Tehel, di sini, hari ini.

Sebanyak 20, 000 ekor benih ikan dilepaskan pada program tersebut.

Pihak Bernama teleh menerima arahan berikut "ARAHAN KETUA PENGARAH PERIKANAN MALAYSIA DAN PENGERUSI JAWATANKUASA PEMBANGUNAN DESA DAN PERTANIAN NEGERI MELAKA SUPAYA TIDAK MENGGUNAKAN GAMBAR INI". -pulakdah

Cukup Malang Malaysia BerPMkan Najib

Rakyat Malaysia cukup malang mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak memandang berat nasib yang menimpa rakyat dan beranggapan menzalimi rakyat pada himpunan aman 9 Julai lalu adalah satu perkara biasa.

Paling teruk apabila seorang daripada peserta himpunan itu meninggal dunia ketika melarikan diri dari asakan polis dan ia disifatkan Najib Razak sebagai tindakan ringan yang harus dikenakan ke atas rakyat kerana berhimpun menuntut sebuah pilihan raya adil dan bebas.

Mengulas hal itu lagi, seorang mangsa keganasan polis pada hari kejadian , ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Najib cuba menafikan perkara yang sudah terbukti dan rakyat mampu menilainya.

“Saya rasa banyak gambar-gambar yang jelas menunjukkan keadaan yang sebaliknya.. Keadaan macam saya ini tidaklah seteruk macam Mat Sabu yang sampai dirempuh oleh polis.

" Lepas itu ada yang dalam video tu kita nampak kena pukul, yang berdarah-darah teruk,"kata Khalid yang mengimbas kembali kezaliman polis ketika menyuraikan himpunan aman di ibu negara 9 Julai lalu.

Najib dalam satu temu bual dengan CNN berkata, polis menggunakan tindakan sewajarnya dalam usaha menyuraikan himpunan aman di ibu negara 9 Julai lalu.

“Ia (tahap tindakan polis) agak ringan sebab meskipun ia dikenakan, mereka (yang ditahan) telah dibebaskan selepas lapan jam dan mereka dilayan dengan baik,” kata Najib dalam temu bual itu.

“Tiada penggunaan tindakan yang tidak wajar dan penunjuk perasaan disuraikan dengan menggunakan pasukan yang minumum,” tambah beliau lagi.

Namun Khalid berpendapat, kenyataan Najib itu langsung tidak menggambarkan jawapan seorang pemimpin sebuah negara yang menuju status negara maju.

“ Saya rasa kalau di negara-negara yang lain kenyataan yang bodoh macam itu, rakyat sudah hukum dia,"kata Khalid lagi.

“Dia menunjukkan satu sikap yang tak ambil endah hak rakyat... hak rakyat dia tahan, dia halang, menyusahkan orang dan sebagainya. Walaupun dia lepaskan selepas sejam atau dua jam, ia tetap merupakan satu ketidakadilan terhadap rakyat yang tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana yang dianggap sebagai kesalahan adalah berhimpun (secara aman) dan memang terbukti aman. (Mereka) berjalan dengan lancar dan aman sehinggalah bila bertemu dengan polis,"kata Khalid lagi.

Dalam asakan polis ketika menyuraikan himpunan aman itu, kepala Khalid turut tercedera akibat tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis.

Puluhan mengalami kecederaan dan 1,667 ditahan polis.

Kerajaan pimpinan Najib sebelum ini dikritik media asing malah dibantah keras oleh masyarakat antarabangsa ekoran keganasan polis pada hari kejadian namun pentadbiran Najib menyokong tindakan polis berbuat demikian.

“Reaksi dari peringkat antarabangsapun semakin jelas menunjukkan bahawa tndakan Najib terhadap rakyat ini pun tidak boleh diterima oleh mana-mana masyarakat atau negara yang bertamadun,"ujar beliau.

Khalid juga menyifatkan Najib sebagai pemimpin yang kebudak-budakkan dan tidak matang dalam berpolitik lantaran tindakannya memperlekeh-lekehkan kecederaan yang dialami Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagi dia sendiri (yang) tak pernah menghadapi kesusahan, tak pernah kena jentik, dia (pula) nak gelakkan Anwar kata Anwar buat lebih-lebih... itu saya rasa menunjukkan satu sikap yang kurang matang. Nampak cara dia buat itu buat orang naik meluat tengok dia,"tambah beliau lagi. -tvsnews




BERS✔H 2.0: Tindakan K'jaan & Polis Burukkan Imej Negara Di Mata Dunia - Marina

Kegagalan menangani dengan baik perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan pada 9 Julai lalu memberikan imej yang buruk kepada kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa, kata Datin Paduka Marina Mahathir.

Marina, anak sulung bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad itu berkata, berbeza dengan kerajaan, "dunia" tidak mempunyai tanggapan yang buruk terhadap rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan tersebut kerana mereka berjuang menegakkan hak mereka - menuntut pilihan raya yang adil dan bebas.

"Ada juga orang yang mendakwa bahawa dunia kini memberikan tanggapan yang buruk kepada Malaysia kerana media asing (dan juga media tempatan) melaporkan hanya mengenai tindakan menembak gas pemedih mata dan meriam air," kata Marina dalam blognya pada 10 Julai lalu. "Saya rasa orang keliru di antara kerajaan dengan rakyat.

"Ya, memang dunia mempunyai tanggapan yang buruk terhadap kerajaan Malaysia kerana gagal menangani dengan baik keseluruhan isu ini. Mereka mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap rakyat Malaysia yang memperjuangkan hak mereka."

Marina, seorang aktivis sosial merupakan salah seorang daripada ribuan orang yang berada di kota raya Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, berhadapan dengan polis pencegah rusuhan, mempertahankan penyokong-penyokong Bersih dengan mengatakan bahawa mereka berhimpun secara aman dan tidak mencederakan sesiapa atau melakukan sebarang keganasan.

"Apa jua yang difikirkan mengenai isu yang diperjuangkan oleh Bersih, kita semua seharusnya berbangga dengan rakyat Malaysia yang tidak bersikap seperti orang liar, merosakkan harta benda dan mencederakan satu sama lain seperti yang diramalkan.

"Memang terdapat mereka yang cedera dan seorang mati tetapi ia bukanlah disebabkan oleh peserta yang menyertai perhimpunan tersebut. Restoren-restoren dan kedai-kedai di sekitar kawasan terbabit mendapat sambutan hangat kerana orang ramai haus dan lapar,
" tambah beliau.

Marina berkata, perhimpunan Bersih yang berlangsung Sabtu lepas membuktikan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, usia dan agama boleh berhimpun bersama atas satu tujuan.

Lebih seribu orang ditangkap pada hari tersebut, dan kekecohan berlaku pada waktu tengah hari apabila polis pencegah rusuhan menembak gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan.- warta-utara

Dr. Asri: Golongan Bodek Memenuhi Pentadbiran Najib

Pentadbiran Najib Dipenuhi "Golongan Pengampu"-Dr Asri

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan terlalu ramai "golongan pengampu" dalam pentadbiran Umno-Barisan Nasional sehingga menyebabkan parti itu mungkin kehilangan sokongan rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

“Dalam pemerintah sekarang semua orang nak tunjuk kononnya dia setia (kepada pemerintah) walaupun kenyataan yang dikeluarkan adalah bodoh, tapi dia rasa tidak mengapa yang penting perdana menteri tahu.

“Dalam Umno bila ada pemimpin bagi kritikan, dia ini dianggap musuh walaupun idea yang diberikan adalah baik, namun ia dianggap bahaya kerana unsur feudal tidak ditinggalkan,” katanya dalam satu program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi di ibu negara malam tadi.

Program itu yang banyak menyentuh mengenai Himpunan Bersih 2.0 , menyaksikan Dr Asri membidas pemikiran feudal yang diamalkan Umno-Barisan Nasional dalam sistem pentadbiran negara pada hari ini yang perlu dikikis jika masih mahu mengekalkan kuasa.

Menurut Dr Asri, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memilih pimpinan yang boleh membantu menguruskan negara dan bukannya pemimpin yang hanya tahu membodek pimpinan tertinggi.

“Kalau perlu cari pemimpin yang boleh bantu kerajaan bukan kaki pengampu, ramai rakyat sekarang tidak tahu mahu mengundi siapa sebab mereka masih melihat keadaan dan kumpulan ‘third force’ ini jumlahnya lebih besar.

“Ramai yang nak masuk politik supaya dapat bodek pemimpin dan dapat hasil, namun kesannya nanti ia akan meroboh institusi yang ada, sebagai contoh khutbah Jumaat... institusi agama digunakan apa dalil agama yang mengharamkan perhimpunan, dalil agama digunakan untuk memburukkan orang lain.,” katanya.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Program yang dihadiri para intelek itu juga diberitahu oleh Dr Asri bahawa pentadbiran Perdana Menteri pada hari ini umpama “seorang bapa yang menakutkan anak agar tidak ke tempat gelap kerana ada hantu.”

Kata beliau, strategi sedemikian sudah tidak berguna kerana rakyat yang sudah matang dan informasi boleh diperoleh melalui pelbagai cara.

“Saya menggambarkan kerajaan sebagai seorang bapa kepada seorang anak yang menakutkan anaknya agar jangan pergi ke tempat gelap kerana ada hantu, pada waktu kecil anak akan terima tapi bila anak sudah besar dan belajar di universiti ia sudah tidak berguna.

“Kerajaan dan pemimpin sudah terlupa bahawa sekarang bukan lagi zaman 70-an kerana kerajaan sudah tidak lagi boleh menghalang maklumat... dulu memang orang baca Utusan Malaysia tapi sekarang orang sudah tidak baca dan tidak percaya,” katanya.

Malah beliau turut melahirkan kekecewaanya di atas tindakan rakus Putrajaya dalam usaha menyuraikan himpunan pada 9 Julai lalu sehingga mengakibatkan puluhan mengalami kecederaan dan seorang meninggal dunia.

“Itu hak mereka untuk berkumpul, saya bukan menyokong mana-mana pihak tapi ia menyebabkan kita tidak boleh untuk melangkah ke hadapan.

“Saya percaya kalau perdana menteri benarkan, polis benarkan, malah turut membantu melancarkannya saya rasa kerajaan akan dapat kredit... dan saya sangat dukacita cara kerajaan menangani perkara ini,” katanya. -tvsnews



Kisah Benar BERS✔H 2.0: Melayu Jerit, "Bagi Cina Keluar Dulu", Mengharukan Saya

Adegan yang terharu buat 1Malaysia: "Bagi Cina semua keluar dulu, kita jalan nanti"

Pada 9 Julai 2011, saya menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0. Saya dibasahi hujan, dua hari keletihan dan saya merehatkan diri selama dua hari, sekarang barulah ada mood untuk mencatatkan perasaan saya. Ramai warga internet telah menulis kisah 709 masing-masing, maka saya cuma nak mencatatkan adegan-adegan yang memahat hati sahaja.

1. Saya berkenalan dengan kawan Melayu baru. Seorang ahli PAS yang berpengalaman dalam demonstrasi sebelumnya memegang tangan saya, "Terima kasih kerana sokongan kamu (orang Cina)". Saya menjawab, "Ini usaha yang saya patut lakukan. Ini negara saya juga."
(Rupa-rupanya dari pandangan mereka, orang Cina hanya mengaut keuntungan dan mengutamakan keuntungan sahaja. Jadi mereka amat gembira apabila ternampak dua tiga wajah orang Cina.)

2. Seorang uncle Cina membawa isterinya dan dua orang anak yang usianya kira-kira 20 tahun. Tinggi, kurus dan kelihatan lemah. Beliau memesan anaknya, "Cepat, cepat ikut mereka (kelompok orang). Apa takut? Bukan suruh kita pergi mati pun? Jangan takut, kita bukan orang besar. Sekarang bilangan orang yang diperlukan (perhimpunan), kita mesti sokong!"
(Kebanyakan ibu bapa akan memarahi anak mereka, agar tidak terlibat dalam perhimpunan. Mengapa pula keluarga ini "terbalik" keadaannya?)

3. Seorang Melayu yang agak lanjut usianya berkata kepada beberapa orang pemuda Cina, "Kita mahu tunjuk perasaan , bukan kemarahan."
(EQ pemuda Melayu lebih tinggi daripada orang Cina kali ini, memang cukup kelayakannya untuk berkata sedemikian.)

4. Sepasang suami isteri membawa dua orang anak, yang usianya kira-kira 8 hingga 10 tahun, mengambil makanan ringan di atas tangga. Hati saya berfikir, "Berkelah ke?" Wanita Melayu itu menatap saya, seolah-olah memahami apa yang bermain dalam fikiran saya. Maka beliau senyum dan berkata, "Kami nak mereka tahu, dari kecil lagi, malah belajar bagaimana memperjuangkan demokrasi."
(Lantas saya mengangguk-angguk kepala saya, agak malu dengan diri saya yang memandang rendah orang tadi.)

5. Sepasang suami isteri Melayu yang lanjut usianya, mengeluarkan topeng yang kelihatan seolah-olah alat mainan dari beg plastiknya, dengan tangan yang bergetar. Mereka dengan ghairah berkata kepada saya, "Kami ada buat persediaan, kamu ada?"
(Hati saya berfikir, memang kamu perlukannya, sebab kamu tak dapat lari dengan cepat!)

6. Sepasang suami isteri Cina yang muda, bukan sahaja turun ke jalan raya, malah membawa kereta bayinya. Mereka memakai baju hujan semasa air hujan mencurah dari langit. Malah, kereta bayinya sudah disediakan dengan kain kalis air. Dengan cepat saya menutup kereta bayinya, kemudian bersama dibasahi hujan di situ.
(Bayi pun turut serta dalam perhimpunan, comel juga bayi tu!)

(Selepas saya balik, saya menceritakan kisah ini kepada jiran saya. Makcik-makcik itu mencelah, "Aiyoh, buat apa pergi demo? Apa kena-mengena dengan kita? Memang tak ada otak langsung. Bawa bayi pulak? Mengapa tidak kamu marahnya?" Saya berbisik dalam hati, "Aunty, saya terasa nak marah kamu...")


7. Seorang Mat Salleh nampak saya mengejar untuk merakamkan gambar bagaimana FRU menyuraikan orang ramai. Beliau berlari mengikut saya, malah berulang-kali berkata kepada saya, "You must put it in the media."
(Brother, kamu terlebih memandang tinggi teknik sayalah. Saya bukannya pro (profesional) sangat...)

8. Kawan Melayu saya memberitahu saya, dirinya mempunyai pengalaman yang banyak untuk berdemonstrasi - bagaimana beliau tidak gentar dengan kuasa, bagaimana bertahan sehingga akhir, malah beliau berjanji untuk menjaga saya. Ketika gas pemedih mata ditembak untuk pusingan pertama, beliau menarik saya dan berlari. Dalam hati saya tertanya-tanya, "Bukankah kamu kata nak bertahan sampai ke akhir?"

Selepas kami keluar dari kelompok manusia, beliau menunjuk ke satu arah, "Kamu jalan dari sini. Tunggu kami di Stadium Merdeka. Kami akan berjumpa kamu di sana. Hubungi kawan yang lain. Bilangan yang menyertai perhimpunan dah mencukupi sekarang. Saya percaya polis akan lebihkan serangannya. Kamu tak boleh singgah di sini."

Saya bertanya, "Macam mana kamu pula?" Dia jawab, "Saya nak ke baris depan, bersama kawan saya." Seterusnya, beliau memaling dan melangkah menuju ke kepulan asap gas pemedih...

Akhirnya, saya berhimpun dengan kawan saya di tempat yang berhampiran dengan stadium, dan menyertai perarakan terakhir yang menuju ke Stadium Merdeka. Polis mengejar dan menangkap. Saya tidak lagi menemui kawan Melayu saya itu lagi. Saya dimaklumkan kemudiannya bahawa beliau telah ditangkap, bagaimanapun dibebaskan juga akhirnya.

Nota akhir:

Saya membaca pengalaman ramai peserta, termasuk cerita Aunty Anne yang membuatkan saya terharu. Tetapi saya tidak menitiskan air mata, sehingga saya terbaca catatan seorang warga internet,

"Adegan yang paling memahat ingatan saya sepanjang perhimpunan itu adalah, ketika kami sekumpulan orang melarikan diri dari tangkapan polis melalui pagar di belakang Hospital Tung Shin, orang Melayu menendang pagar itu dengan kakinya, dan berkata 'Bagi Cina semua keluar dulu, kita jalan nanti'. Kata-kata ini terus menusuk hati saya, saya amat kagum! Kini barulah saya menghayati apa makna sebenarnya 'saling menolong tanpa mengira kaum dan budaya dalam Satu Malaysia', dan bukannya '1 Bumi, 1 Malaysia' yang didukung Barisan Nasional'. "

Tiba-tiba saya sebak. Saya tahu apa yang dikatakannya adalah kisah benar, ini kerana kawan Melayu saya juga menjaga saya. Lebih-lebih lagi, kawan saya dalam Facebook rata-ratanya menceritakan pengalaman bagaimana sahabat Melayu menjaga orang Cina kali ini. Mungkin mereka menganggap orang Cina jarang menyertai perhimpunan, tiada pengalaman.

Mengapa saya tersentuh dengan hal yang remeh sebegini? Kerana saya amat memahami, orang Cina adalah kaum minoriti di Malaysia. Seandainya minda perkauman ini tidak dipecahkan, orang Cina akan tetap ditindas dan tidak dilayan dengan adil. Namun, kerajaan kita bersikap perkauman, ditambah pula PERKASA yang melaga-lagakan, hal ini sukar diselesaikan!

Perhimpunan ini melakar gambaran masa depan untuk saya, malah mengubah persepsi saya terhadap kaum Melayu secara menyeluruh. Seandainya dikatakan negara ini musnah kerana politikus dari kaum ini, maka negara ini juga akan bangkit kerana kaum ini! Saya masih menaruh harapan dan keyakinan terhadap kaum ini dan negara ini.

Kawan-kawan Cina saya, perhimpunan aman tidak menakutkan. Jom turun untuk sokong lain kali! -MR