16 Sep 2011

Jika Berita Ini Benar, Pengerusi & Timb Pengerusi SPR Perlu Dibawa Ke Muka Pengadilan

PM Bangladesh akui rakyatnya dapat hak mengundi di Malaysia

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh mendesak siasatan dibuat terhadap pengakuan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya di Malaysia, mudah memperoleh status penduduk tetap (PR) dan layak mengundi.

“Kita desak tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kenyataan Perdana Menteri Bangladesh berkenaan perkara ini.

“Jika perkara ini berlaku, Najib perlu bertanggungjawab dan berani tampil memberikan penjelasan,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.


Keratan laman web rasmi Pejabat PM Bangladesh

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas pengakuan Sheikh Hasina yang dipetik dari www.ngoab.gov.bd - laman rasmi Hal Ehwal badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Perdana Menteri negara itu.

Mengikut laman itu, Sheikh Hasina berkata pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.

Beliau juga mengesahkan sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia, diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu
.

Katanya, mereka juga diberi hak sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. -KD

Bicara Kes Khalwat Salim Parlan - Nur Diyana Diteruskan

Georgetown - Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan perbicaraan kes khalwat Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, dengan bekas pembantu peribadinya, Nur Diayana Norslan, 30, diteruskan.

Salim dan Nur Diayana ditangkap di sebuah hotel tiga bintang di Batu Feringghi April lalu oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang sedang melakukan operasi pencegahan maksiat kira-kira jam 4 pagi.

Hakim Syarie, Mohammad Zamri Roslan membuat keputusan itu setelah membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie, Mohd Zulkhairi Aziz supaya semakan dan penggantungan yang dibuat mahkamah itu terhadap prosiding perbicaraan kes khalwat itu yang berjalan di mahkamah rendah dibatalkan.

Mohd Zulkhairi berkata, ia berikutan satu notis yang diterimanya daripada Salim pada 9 September lalu melalui peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang memaklumkan mereka sudah menarik balik semakan berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh serta peguam tidak hadir ke mahkamah semalam.

21 Jun lalu, Salim mengemukakan semakan itu setelah tidak berpuas hati keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya yang membenarkan perbicaraan kes khalwat diteruskan walaupun dia mempunyai kes lain di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Mohammad Zamri kemudian menetapkan semalam untuk mendengar hujahan Zainul Rijal dan Mohd Zulkhairi sebelum menentukan sama ada keputusan mahkamah rendah itu betul atau tidak mengikut undang-undang.

Beliau berkata, semakan yang ingin dibuat tertuduh ditarik balik dan dengan itu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk membatalkan semakan berkenaan.

Selain itu, mahkamah membenarkan permohonan mereka untuk membatalkan penggantungan yang dibuat oleh mahkamah ini terhadap prosiding perbicaraan di mahkamah rendah terhadap kedua-dua tertuduh.

“Oleh demikian, perbicaraan kes khalwat ini akan diteruskan,” katanya.

Mohd Zulkhairi kemudiannya memaklumkan bahawa pihaknya akan menulis surat kepada Mahkamah Rendah Syariah dalam waktu terdekat bagi mendapatkan tarikh perbicaraan kes itu.

Salim yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana didakwa di bawah Seksyen 27 (b) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, setiap tertuduh boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Zainul Rijal ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menghantar satu notis ke Mahkamah Rendah Syariah di sini untuk memaklumkan penarikan dirinya daripada menjadi peguam bela Salim.

“Saya tidak akan menjadi peguam belanya lagi. Notis pemberitahuan saya hantar ke mahkamah hari ini (semalam),” katanya. -SH

Mansuh ISA : Waspada Dengan Dua Akta Baru - Bekas Tahanan

Bekas Tahanan ISA yang dianggap subversif oleh Kerajaan Pusat menyambut baik pengumuman memansuhkan akta 'kejam' itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Bagaimanapun mereka memberi amaran agar berwaspada dan berhati- hati terutamanya dengan pengumuman dua lagi akta yang bakal digubal yang bakal menjadi 'alternatif' kepada ISA - Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang digunakan saban tahun untuk menahan tanpa bicara sesiapa sahaja mengikut perkenan Menteri Dalam Negeri.

ADUN Kota Damansara Dr Nasir Hashim menyatakan kemungkinan Najib melakukan hal ini sekarang setelah 3 tahun mengambil alih jawatan Perdana Menteri adalah untuk memancing sokongan rakyat bagi Pilihan Raya Umum ke 13, yang boleh berlaku bila-bila masa dari sekarang.

"ISA telah digunakan berpuluh tahun untuk menunduk dan menganiaya mangsa. (Persoalannya) mengapa sekarang? Ini mungkin berkaitan Pilihan raya dan (Sokongan) Mungkin lemah. Beliau (Najib) nak dapat sokongan rakyat, kena buat sesuatu," kata beliau ketika ditemui TV Selangor semalam.

Pengumuman Najib memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 mengejutkan khayalak rakyat namun boleh dijangka lantaran khabar angin bertiup kencang sebelum ini menyatakan Najib bakal menarik kembali akta ini bagi meningkatkan populariti dan sokongan terhadap pentadbirannya.

Najib turut menyatakan kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Dr Nasir yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia ditahan selama 15 Bulan dibawah akta yang disifatkan beliau sebagai 'zalim' itu semala Operasi Lalang pada tahun 1987.

Dalam Operasi Lalang yang berlaku pada 27 Oktober 1987 itu, seramai 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah ISA dan menyaksikan pembatalan dua akhabar harian dan dua akhbar mingguan.

Selain Dr Nasir, turut ditahan ialah Lim Kit Siang, Karpal Singh, Suhaimi Said, Kua Kia Soong, Chandra Muzaffar, Ibrahim Ali dan Mohamed Fahmi Ibrahim.

Menurut beliau walaupun dimansuhkan, jentera yang digunakan untuk ISA masih boleh digunakan sebagai tujuan lain seperti penggunaan Ordinan Darurat terhadap 6 ahli PSM beberapa bulan lalu yang dianggap Dr Nasir sebagai tindakan ISA yang dinamakan di bawah undang-undang berlainan.

Justeru, beliau melahirkan kerisauan mengenai undang-undang baru yang dikatakan bakal menggantikan ISA serta meminta orang ramai mengkajinya terlebih dahulu.

"Apa yang kita risau ialah kerana mereka guna ISA dengan sempurna untuk memusnahkan musuh mereka, mereka akan ada alternatif..ini kontradiksi. Bermakna ia (hanya) wayang. Tidak ikhlas.

"Hanya kita berharap rakyat tak dipengaruhi gula-gula seperti ini. ISA, kena kaji adakah masih dijaga 'jentera-jentera' yang digunakan. Apa jenis (undang-undang) alternatif mereka ada. Adakah alternatif itu akan turut menganiaya rakyat?" kata beliau.

Seorang lagi bekas Tahanan ISA Hishammudin Rais mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai 'alternatif' kepada ISA yang bakal digubal kelak.

"Adakah ISA ini telah dimansuh keseluruhannya. Jika dimansuhkan keseluruhannya, ia keputusan baik, tanda proses pendemokrasian telah berlaku di Malaysia. Dan apakah satu lagi perundangan akan dibuat, kita akan bincangkan kemudian," kata beliau.

Hishammudin ditahan ISA dua kali, pertama pada 1994 dan kedua pada April 2001 atas tuduhan merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan dan keganasan.

Beliau mengajak rakyat melihat betapa suara mereka mampu didengari jika mereka bersatu menentang kezaliman.

"Kita juga harus memahami latar belakang yang melahirkan suasana ini, latar belakang ini ialah kerana ketika ini pimpinan UMNO lemah. Kerana kelemahan ini mereka perlukan sokongan. Ini tunjukkan rakyat kuat. Tuntutan mansuhkan ISA berjaya, tuntutan PPPA semua beraya. Ini tunjukkan rakyat kuat bila kerajaan lemah.

Sementara itu Presiden Parti Rakyat Malaysia, Dr Rohana Ariffin pula menyatakan betapa hal ini merupakan pencapaian positif yang patut dibanggakan golongan pembangkang dan progresif yang telah sedaya upaya menentang akta ini.

"Pemansuhan ISA satu tindakan positif dan ini bermakna tiap-tiap orang itu akan dapat pembelaan jika dituduh subversif. Tapi di sini, ada pula undang-undang baru seperti di England dan seterusnya seperti Anti Terrorist Act. Ini juga akan beri kuasa kepada Kerajaan. Pemansuhan ISA telah lama diperjuang golongan Pembangkang dan Progresif di Malaysia. Dan ini merupakan satu pencapaian positif kepada rakyat Malaysia," kata beliau. -tvsnews



Ada Penagih Gila Di Kulim, Berbogel Depan Jiran

Kulim Di Kulim Ad- Akibat menghidu gam keterlaluan, seorang lelaki berusia 20-an bertindak agresif dengan memanjat pagar rumah jirannya di Taman Selasih dengan hanya memakai seluar dalam kira-kira jam 6.30 petang, semalam.

Perbuatannya itu dilihat mangsa dan menjerit kerana ketakutan.

Suspek kemudiannya melarikan diri masuk ke rumahnya yang terletak di hadapan rumah mangsa.

Apabila mangsa melihat gelagat suspek, lelaki itu kemudiannya menanggalkan seluarnya. Mangsa yang ketakutan kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, beliau sudah mengarahkan ahli PPKM yang berada di tempat kejadian ke rumah mangsa sebaik sahaja dimaklumkan.

“Ini adalah kes pertama berlaku di Taman Selasih, di mana seorang lelaki penghidu gam berkelakuan agresif sehingga membuka seluar di hadapan jirannya.

“Suspek ditahan PPKM kira-kira jam 9 malam dan akan diserahkan kepada polis,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini masih ramai dalam kalangan penduduk tidak mengetahui fungsi PPKM dan beranggapan tindakan yang dilakukan adalah keputusan sendiri.

Katanya, setiap kejadian jenayah berlaku, PPKM akan memaklumkan kepada polis dan atas arahan mereka, maka PPKM akan memberikan bantuan.

Kenyataan ahli PPKM bersikap kasar pada penjenayah juga adalah tidak benar.

“PPKM tidak pernah bersikap kasar terhadap mana-mana penjenayah walaupun mereka memang bersalah. Kami tidak dibekalkan dengan sebarang senjata ketika bertugas melainkan alat perhubungan.

“Saya hairan ada kumpulan yang tidak menyenangi kewujudan PPKM, tetapi mereka tidak mengambil inisiatif melakukan kebajikan sepertimana dilakukan PPKM. PPKM merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dan aktif dalam membasmi perlakuan jenayah di Kulim,” katanya. -SH

Najib Disaran Lepaskan Jawatan Sebagai Menteri Kewangan

PPerdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disarankan menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan yang dipegangnya kepada orang lain kerana kegagalan rancangan transformasi ekonomi negara.

Pengerusi Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat (PR), Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tugas sebagai Perdana Menteri sudah cukup membebankan untuk beliau yang terus memegang jawatan Menteri Kewangan.

”Jawatan perlu diserahkan kepada individu lain yang berkebolehan memandangkan Kementerian Kewangan gagal dalam melaksanakan agenda reformasi mengangkat keluar ekonomi negara dari ’perangkap’ negara berpendapatan pertengahan melalui Model Ekonomi Baru,” katanya pada sidang media, semalam.

Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan diketuai oleh Dzulkefly dan antara ahlinya termasuk Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Subang dari PKR, R Sivarasa dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Menurut Dzulkefly, amat janggal bagi seorang Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan dalam mana-mana negara dan ia menyimpang jauh daripada prinsip tadbir urus yang baik.

“Sekiranya menggunakan analogi korporat, tidak pernah seorang Ketua Pegawai Eksekutif tersebut menjadi Ketua Pegawai Kewangan
,” katanya.

Sementara itu Sivarasa berkata, PR mencadangkan Najib mencontohi jejak mereka jika beliau benar-benar serius.

“Jika PM mahu membuat perubahaan bermakna bagi rakyat Malaysia, beliau sepatutnya menerima cadangan kami,” katanya.

Sivarasa berkata, pembaharuan bermakna adalah memansuhkan terus undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negara, Ordinan Darurat dan Akta Dadah Berbahaya.

“Jika setakat pindaan, pembaharuan itu tidak bermakna dan tidak dapat diterima,” katanya.



PR Saran Najib Lepaskan Portfolio Kementerian Kewangan

PETALING JAYA 15 SEPT : Pakatan Rakyat mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan beliau kepada orang lain kerana kegagalan rancangan transformasi ekonominya sejak 3 tahun lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat menyatakan sejak Najib memberi tekanan kepada Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 17 September 2008 untuk menyerahkan Kementerian Kewangan kepadanya, Kementerian itu tidak berjaya untuk melaksanakan agenda reformasi mengangkat keluar ekonomi Negara dari perangkap negara berpendapatan pertengahan menerusi Model Ekonomi Baru yang dicanang-canangkannya.

"Pakatan Rakyat juga turut sedia maklum bahawa Datuk Seri Najib ketika ini sedang bergelut keseorangan mempertahan kedudukannya di dalam kabinet dan juga Umno.

"Sekiranya kita menggunakan analogi korporat, tidak akan berlaku seseorang Ketua Pegawai Eksekutif tersebut menjadi Ketua Pegawai Kewangannya juga. Oleh yang demikian, untuk seseorang PM turut juga menjadi Menteri Kewangan adalah sesuatu yang amat janggal di mana-mana negara pun di dunia dan menyimpang jauh dari prinsip tadbir urus yang baik,"
tulis kenyataan media itu.

Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat diketuai oleh ahli parlimen Kuala Selangor dari PAS Dr Dzulkefly Ahmad dan beberapa lagi ahli parlimen seperti ahli parlimen Bukit Bendera dari DAP Liew Chin Tong, ahli parlimen Subang dari PKR R. Sivarasa dan ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Najib telah mengemukakan beberapa gagasan besar sepanjang tiga tahun ini untuk meningkatkan pengaruh dan sokongan beliau sebagai Perdana Menteri.

Ini termasuklah konsep 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Ekonomi Kerajaan (PTE), RMK-10 dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Walaubagaimanapun, MBE dan konsep 1 Malaysia dilihat seolah disabotaj sendiri oleh parti beliau iaitu Umno dengan kenyataan berani pihak-pihak tertentu yang seolah-olah mempertikaikan program tersebut terutamanya kumpulan Pendesak Melayu, Perkasa pimpinan Datuk Ibrahim Ali dan secara majoriti dianggotai pimpinan akar umbi Umno sendiri.

Menurut kenyataan tersebut lagi, Najib sebagai Menteri Kewangan, turut mengakibatkan negara kerugian berpuluh juta ringgit kerana kesilapan yang sepatutnya tidak dilakukan beliau.

"Menteri Kewangan juga kerapkali berdolak-dalik di dalam membuat keputusannya yang mengakibatkan kerugian berpuluh-puluh juta ringgit seperti kegagalan polisi penggunaan teknologi nano untuk melabel minyak. Yang terakhir sekali, cukai 6% untuk telefon prabayar
.

"Ketidakseimbangan ekonomi juga semakin meruncing disebabkan tahap gaji pekerja yang tidak meningkat dan kadar inflasi yang semakin tinggi," dakwa Pakatan Rakyat.

Justeru, Pakatan Rakyat mahu Najib secara sukarela 'bersara' dari Kementerian itu sebelum keadaan ekonomi Malaysia meruncing.

"Oleh yang demikian, di dalam semangat menghormati Hari Malaysia ini, Pakatan Rakyat dengan ini menyarankan agar Datuk Seri Najib mengambil sendiri nasihat yang diberikannya kepada Tun Abdullah Badawi dahulu dan melantik seorang penyokong yang masih dipercayainya untuk mengambil-alih jawatan Menteri Kewangan tersebut sebelum keadaan ekonomi kita merudum lebih jauh,"katanya lagi.



Ulasan GB

Semenjak Tun Dr. Mahathir memegang Kementerian Kewangan selain menjadi Perdana Menteri, trend itu nampaknya berterusan dengan diikuti oleh PM selepasnya, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak.

Maisng-masing PM tersebut dilihat hendak menjaga dan memanipulasi pelbagai kepentingan dengan menyandang jawatan Menteri Kewangan.

Malah seingat GB, sebelum Pak Lah berundur sebagai PM beliau telah terlebih dahulu menerima tekanan daripada kumpulan Najib supaya menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Najib yang pada ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri.

Mahathirlah yang telah meletakkan "precedent" tersebut.

Sudah sampai masanya ia diubah semula dengan Najib menyerahkan portfolio kewangan kepada orang lain sebelum nanti dibongkar segala kepentingan yang beliau ada di kementerian berkenaan.


Lagi Kes Polis Tembak Orang Awam

Suami saya orang kaya’

IPOH: “Suami saya orang kaya, tiada sebab dia perlu merompak,” kata isteri kepada seorang ahli perniagaan yang maut selepas ditembak mati oleh polis awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.02 tengah malam itu, Kathir Oli Fakir Mohd, 31, maut ditembak di dada kirinya oleh polis di sebuah pub di Jalan Mustafa Albakry, Pekan Baru di sini.

Kejadian berlaku selepas mangsa bersama tiga lelaki lain dikatakan masuk ke dalam sebuah pub berkenaan sebelum berlaku pergaduhan disusuli kejadian tembakan di luar premis.

Isteri mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang rakan suaminya beberapa minit selepas kejadian.

Dia yang berusia 33 tahun, bergegas ke lokasi kejadian dan mendakwa polis tidak membenarkannya mendekati mayat suaminya di belakang kereta Mercedes Benz milik mereka.

“Saya diberitahu suami bergelut dan ditembak polis kerana mahu melakukan rompakan di pub berkenaan.

“Saya tidak percaya semua itu kerana kami bukan orang susah. Kami mempunyai syarikat lori, pengangkutan, binaan dan pelbagai perniagaan lain,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun, pagi semalam.

Menurutnya, keluarganya tidak pernah menghadapi masalah kewangan malah Kathir didakwanya tidak pernah mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Kali terakhir dia ada menghubungi saya jam 10 malam kelmarin dan memberitahu ingin keluar makan bersama dua rakan dan dua pekerjanya. “Saya tidak percaya dia pergi merompak pub itu. Ada kemungkinan dia mangsa keadaan atau kecuaian,” katanya yang mempunyai empat cahaya mata hasil perkahwinan dengan mangsa.

Menurutnya, dia akan mendapatkan khidmat peguam bagi mendapatkan keadilan selain mengetahui punca sebenar kematian suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, mangsa bersama tiga suspek menyerang anggotanya sehingga cedera di bahagian muka, mata dan calar-calar di badan.

Beliau berkata, sebelum kejadian, anggota polis berkenaan yang kebetulan berada sekitar lokasi kejadian mendengar jeritan pekerja wanita di pub berkenaan dan mendapati empat lelaki cuba menyamun pusat hiburan berkenaan.

“Sebaik tiba di pub, anggota polis diserang dengan parang sebelum berlaku pergelutan. Malah, lebih mengejutkan dua daripada suspek cuba merampas pistol anggota berkenaan.

“Bagi mempertahankan diri dan nyawa, anggota berkenaan mengeluarkan pistol dan melepaskan satu das tembakan yang mengenai dada mangsa,”
katanya, semalam.

Katanya, anggota berkenaan turut menahan dua suspek lain manakala seorang lagi cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan selepas itu.

Mohd Shukri berkata, pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan manakala, tiga suspek ditahan reman selama seminggu malah dan polis juga sedang menyemak sama ada semua suspek mempunyai rekod jenayah. -hm

Ulasan GB

Kerap kali bila berlaku keadaan/kejadian seperti ini, polis akan segera melakukan tuduhan bahawa suspek cuba melakukan jenayah rompakan, begitulah seperti apa yang menimpa adik Aminul-Rasyid yang ditembak mati secara kejam oleh polis bedebah yang dihukum jel semalam.

Polis terlalu pantas membuat kenyataan bahawa Kathir Oli Fakir Mohd tersebut adalah seorang penjenayah, sekalipun belum ada siasatan dilakukan hanya semata-mata orang tersebut telah mati dan tidak dapat membela dirinya sendiri.

Memang polis tercedera di dalam insiden itu, tetapi kita pernah disajikan sebelum ini kisah polis merompak, kisah polis melakukan jenayah, kisah polis hisap dan edar dadah, kisah polis menyalahgunakan senjata api menembak sesuka hati.

Malah keganasan dan kekejaman polis dapat dilihat oleh seluruh rakyat sewaktu perhimpunan BERSIH yang lalu. Tetapi seperti biasa, tiada satu pun yang diakui oleh polis. Hanya jika satu Suruhanjaya Siasatan diperlukan untuk menyiasat perilaku polis ini, tetapi kerajaan memandang sepi terhadap tuntutan tersebut.

Yang bertambah anehnya kerajaan masih terus memperakui keganasan dan kekejaman polis tersebut dengan menaikkan pangkat polis-polis dan menaikkan gaji mereka sedangkan usaha penambah-baikan mutu kerja polis tidak dihiraukan.

Di dalam kes di atas tindakan Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan yang mengeluarkan kenyataan hanya bersumberkan dari anggotanya adalah tidak wajar dan sesuatu yang amat mencemarkan profession polis sendiri.

Siasat dahulu sebelum anda keluarkan kenyataan menuduh bukan-bukan kepada si mati. Tindakan disiplin perlu diambil ke atas ketua Polis Perak berkenaan. Siasatan menyeluruh dengan tidak bergantung kepada siasatan polis semata-mata yang biasanya bias adalah diperlukan demi meletakkan kebenaran dan keadilan di tempat yang wajar.


Ibu Minta Natasya Jangan Ganggu Anaknya Lagi

Jangan ganggu Hafizuddin'

Begitulah rintihan Esah Bakar, 62, yang merupakan ibu saudara kepada Mohd. Hafizuddin Johari, 20, yang disimbah asid di Kangar, Perlis baru-baru ini gara-gara mempunyai hubungan dengan seorang pondan yang dikenali Natasha Farisya, 28.

KUALA LUMPUR – “Cukup-cukuplah Natasha. Janganlah ganggu keluarga kami lagi.”

ESAH (kanan) bersama Mohd. Hafizuddin yang semakin pulih selepas disimbah asid dalam kejadian 3 September lalu.

Sejak kejadian itu, dakwa Esah, keluarga Mohd. Hafizuddin hidup tidak tenteram dan diselubungi ketakutan kerana bimbang Natasha akan ‘merampas’ kembali anak lelaki mereka.

Dia mendakwa, berdasarkan maklumat yang diterima, Natasha kini dipercayai sedang merancang untuk melarikan Mohd. Hafizuddin buat kali ketiga kerana sebelum ini dia sudah dua kali berbuat demikian.

“Kali pertama dia melakukannya pada bulan Ramadan lalu, ketika Mohd. Hafizuddin menemani ibunya mengambil ubat di hospital.

“Kemudian Natasha melarikannya sekali lagi dari rumah ibu bapanya di Kangar pada hari raya ketiga yang lalu. Kami tidak mahu dia melarikan Hafizuddin buat kali ketiga,” ceritanya ketika berkunjung ke pejabat Kosmo! di sini semalam. -kosmo

Berita sebelum ini

natasya


Curi Kerbau Guna Myvi

Empat sumbat kerbau curi dalam Myvi

CHUKAI: Sekumpulan empat lelaki yang mencuri kerbau bertindak kejam apabila memenggal kepala haiwan dan bahagian badan lain sebelum menjual dagingnya di sekitar Kemaman.

POTONG... anggota polis menunjukkan sebahagian badan kerbau curi dalam kereta suspek.

Kumpulan membabitkan lelaki berusia 20-an terbabit yang dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak awal Ramadan lalu turut bertindak agresif apabila melakukan kekejaman terhadap haiwan berkenaan sebaik ia ditangkap sebelum memasukkan bahagian badan yang dipotong ke dalam kereta.

Namun, kekejaman kumpulan lelaki yang dipercayai sudah mengaut keuntungan besar hasil daripada kegiatan itu berakhir apabila mereka ditahan selepas gagal melarikan diri ketika kenderaan dinaiki dikejar anggota polis, awal pagi semalam.

Kereta Perodua Myvi dinaiki kumpulan terbabit terserempak kenderaan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Kampung Padang Kubu, kira-kira jam 1.30 pagi.

Berikutan curiga dengan kenderaan terbabit yang dipercayai sarat dengan muatan, anggota polis mengarahkan kenderaan itu berhenti, namun ia tidak diendahkan sebelum melarikan diri ke Chukai kira-kira 50 kilometer dari tempat kejadian.

Menyedari kenderaan dinaiki diekori polis, kumpulan terbabit melarikan diri melepasi sempadan Kemaman sebelum memasuki Chendor, Pahang.

KEJAM...kerbau curi yang ditemui dalam kereta suspek.

Bagaimanapun, usaha menahan kumpulan terbabit gagal menyebabkan anggota polis berkenaan mengekori kenderaan itu sebelum kenderaan terbabit yang kehilangan arah tersadai sebaik tiba di kawasan berpaya berhampiran Sungai Baging, Kuantan, kira-kira 20 kilometer dari Chendor.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata sebaik tersadai, empat lelaki terbabit cuba melarikan diri sebelum dua daripada mereka ditahan di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan dalam kenderaan itu, kami mendapati beberapa bahagian badan kerbau yang belum dilapah dianggarkan seberat lebih 100 kilogram disembunyikan di tempat duduk belakang dan soal siasat mendapati bahagian badan haiwan berkenaan haiwan yang dicuri di kawasan ladang Ketengah Jaya, di sini,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki dari Kampung Limbong, Chukai itu disiasat mengikut Seksyen 29(1) Kanun Keseksaan kerana gagal memberi keterangan mengenai barangan dibawa dan dituduh di Mahkamah Majistret Kemaman, di sini, pagi semalam. -hm

ISA Dihapuskan. Rakyat Jangan Cepat Melompat.

Akhirnya Najib akui demokrasi negara pincang

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhirnya "mengakui demokrasi negara selama ini tidak berfugsi", kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian sebagai memberi respon awal terhadap pengumuman yang dibuat Najib dalam Perutusan khas Hari Malaysia yang disiar secara langsung oleh RTM malam ini.

"Selepas 5 desawarsa, Najib akhirnya mengiktiraf demokrasi di negara ini tidak berfugsi," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam prutusan khas perdana menteri, Najib turut mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selain memansuhkan ISA, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Menurut Najib, kerajaan, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya.

Jangan terlalu selesa

Mengulas lanjut, Dzulkefly yang juga ahli parlimen Kuala Selangor menganggap pengumuman tersebut juga sebagai kejayaan rakyat, NGO, aktivis demokrasi serta parti pembangkang yang selama ini telah lama mendesak perkara itu dimansuhkan.

Malah ujarnya, pengumuman itu hanya sebahagian kecil daripada perubahan yang dituntut rakyat untun menjadikan demokrasi negara benar-benar berfungsi.

Bagaimanapun beliau menasihatkan rakyat agar jangan terlalu selesa dengan pengumuman itu kerana apa yang diumumkan perdana menteri malam ini hanya dalam bentuk "janji lisan".


"Kita yakin ini hanya janji dan slogan saat-saat akhir bagi meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Apa yang lebih penting, rakyat mahu melihat dalam praktik dan amalannya," katanya yang juga pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Tambahnya lagi, apa yang diumumkan Najib itu juga adalah apa yang telah diumumkan Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga iaitu prubahan yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat dalam masa 100 hari menguasai Putrajaya.

"Ini yang kita maksudkan reformasi politik sebelum datang transformasi ekonomi yang Pakatan Rakyat komited untuk lakukannya.

"Kita tak kisak mereka tiru pendekatan kita dalam Buku Jingga. Janji ianya untuk kebaikan rakyat keseluruhan," katanya. -HD

Najib: ISA dimansuh, tiga proklamasi darurat dibatal

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan sama sekali dan kerajaan akan memperkenalkan dua akta baru untuk mengekalkan keselamatan negara, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu kerajaan juga mengumumkan tiga proklamasi berkenaan dengan darurat yang berkuat kuasa sejak beberapa dekad lalu akan ditamatkan.

“Seperti mana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) akan dikaji secara komprehensif.

“Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa ISA akan dimansuhkan terus,” kata beliau dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia malam ini.

Kata beliau, untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

“Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara,” kata Najib.

Perdana Menteri menambah, kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara.

“Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri,” kata beliau.

Di sudut lain, katanya, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Malah menurut beliau, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu.

“Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan ISA, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa,” kata beliau sambil menambah, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.

Selain itu Najib juga mengumumkan bahawa:

- Kajian semula komprehensif akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933

- Mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan

- Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kata Najib, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Namun, katanya, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa.-TMI


Ulasan GB

Kita mengalu-alukan penghapusan ISA kerana sememangnya itu juga termasuk di dalam perjuangan kita selama ini, namun kita perlu berhati-hati lantaran kita sudah berpengalaman dengan taktik dan corak permainan Najib selama ini.

Kita tidak mahu tertipu lagi. Najib tidak akan mengambil sesuatu tindakan sebelum disediakan satu gantian yang lain. Tidak ada makna jika ISA dihapuskan, kemudian ada akta baru "klon" dari ISA diperkenalkan. Akta Hasutan pula digunakan ke pringkat maksima mungkin. Begitu juga apa ertinya ISA dihapuskan tetapi Sistem Kehakiman masih digenggam erat di dalam tangan pemerintah. Ini semua perlu kita siap-siaga.



Cuma kita boleh senyum lebar melihat golongan pencacai yang masih terbelenggu dengan mentaliti penjajah yang mempertahankan akta warisan penjajah itu.


Sama halnya dengan pengumuman SPR mengenai dakwat kekal. Kalau dulu mereka batalkan, kini mereka cuba berlunak dengan menyatakan akan dilaksanakan. Tetapi dalamasa yang sama, warganegara asing dan pengundi pos luarnegara menggantikan pengundi klon yang mereka sentiasa berdalih mengenainya.

Bagaimana Dengan Kenyataan Khalid Abu Bakar Menuduh Aminul-Rasyid Seorang Penjenayah?

Meskipun mahkamah telah menjatuhi hukuman penjara terhadap anggota polis yang menembak mati Aminulrasyid, 15, namun masih terdapat banyak persoalan berhubung kematian Allahyarham.

Antaranya, tuduhan mengatakan Aminulrasyid penjenayah, cubaan menutup kes berkenaan dan dakwaan polis menemui parang di dalam but kereta yang dinaiki allahyarham, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

“Kita hendak tahu kenapa sehingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil terhadap bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang menuduh Aminulrasyid sebagai seorang penjenayah.

“Bukan sahaja tiada tindakan malah beliau (Khalid) juga diberikan kenaikan pangkat
,” kata Surendran selaku peguam mewakili keluarga Aminulrasyid.

Khalid yang kini Timbalan Ketua Polis Negara sebelum ini enggan meminta maaf atau menarik balik kenyataannya yang menuduh Aminulrasyid sebagai seorang penjenayah, sebaliknya meminta pihak keluarga berbuat demikian kerana mendakwa remaja itu memandu secara berbahaya.

Surendran berkata demikian selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Korporal Jenain Subi yang didapati bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid di antara jam 1.10 dan 2 pagi pada tarikh 26 April 2010 di Shah Alam.

Jenain dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan Jenayah oleh Hakim Latifah Mohd Tahar.

Mengulas lanjut, Surendran berkata, beliau tertanya-tanya kenapa tiada tindakan diambil terhadap anggota polis yang membuat kenyataan palsu bahawa Aminulrasyid cuba merempuh polis pada malam kejadian.

“Ia satu penipuan kerana mereka tidak pula memberikan kenyataan yang sama di mahkamah,”
kata Surendran lagi.

Menurutnya, keluarga AminulRasyid juga mahu tindakan diambil terhadap polis yang menyerang rakan AminulRasyid, Azamuddin Omar yang terpaksa lari menyelamatkan diri sebaik sahaja AminulRasyid ditembak mati.

“Beliau dipukul polis dan terpaksa lari untuk menyelamatkan diri. Keluarga AminulRasyid mahu siasatan dan tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam hal ini
,” kata Surendran. -KD


Ulasan GB

Sepatutnya tindakan tegas perlu diambil ke atas Khalid Abu Bakar yang sekarang memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Negara yang satu ketika menuduh Aminul-Rasyid seorang penjenayah.

Siasatan belum pu dilakukan ketika itu tetapi Khalid Abu Bakar telah membuat kenyataan palsu semata-mata untuk melakukan "cover-up" jenayah yang dilakukan oleh anggota polis.

Baca juga entri ini