17 Nov 2011

[Video] Bolasepak Sukan SEA: Malaysia 1 Indonesia 0 [updated]

Malaysia mengalahkan Indonesia 1-0 dalam perlawanan yang menentukan siapakah yang layak menjuarai Kumpulan A dalam aksi temasya Sukan SEA yang ke-26. Dengan keputusan itu Malaysia berjaya menjadi juara bagi Kumpulan A.

Gol Malaysia dijaringkan oleh gerakan solo yang menarik oleh Syahrul Azhuari pada minit yang ke 17 di separuh masa pertama (sila tonton video di bawah)

Dengan kemenangan itu, Malaysia mengumpulkan 10 mata setelah menjadi juara Kumpulan A manakala Indonesia di tempat kedua dengan 9 mata.

Di dalam perlawanan separuh akhir nanti yang akan di adakan pada hari Sabtu, Malaysia akan menentang Naib-Juara Kumpulan B iaitu Myanmar dan Indonesia will menentang Vietnam, iaitu Juara kumpulan B.

Laporan zikrihusaini bermula:
Separuh masa kedua:

Minit ke 45: Dah mula!!! Alamak asakan dari Bonai pemain no25. Memang tangkas dia. Nasib baik kurang sikit jer lagi. Fuhhh.

Minit ke 51: Sepakan percuma buat malaysia. Dan mendapat sepakan sudut kali ke 8.

Minit ke 52: Bahaya!!! Cross dari Bonai ke tengah. Nasib baik tak kemas shoot pemain indonesia tadi. Cepat2 diclearkan oleh Muslim Ahmad.

Minit ke 55: Hampir2 gawang dibolosi sekali lagi. Fuhh bonai. Pemain yang harus di mark nih!!! KFC dah tertewas tadi. Terselamat pintu gol malaysia kali ini.

Minit ke 56: KFC cemerlang menangkap bola hasil tandukan dari pemain indonesia.

Minit ke 57: Izzaq faris dilayangkan kad kuning. Peluang tadi. Sikit jer lagi.

Minit ke 58: Irfan Fazail OUT, K Gurusamy IN!!

Minit ke 60: Fandi othman tidak teragak-agak membuat try. Meelepasi palang gol dalam 2cm jer.

Minit ke 61: Pertukaran pemain indonesia. Tak sure siapa.

Minit ke 64: KFC injured. Pergelangan kaki agak tergeliat. Harap tidak serius lah. Come on malaysia cari gol lagi wei!!

Minit ke 66: Berlaku dua kali kekasaran oleh pemain indonesia. Kad kunign diberikan. Ramdani pemian no 11. Kesian baddrol bakhtiar. Muka Ong kim swee masih lagi resah ketika ini.Sepakan percuma disempurnakan oleh Baaddrol. Tepat, tetapi terlalu jauh.

Minit ke 67: Azwari dijatuhkan. Pemain no17 dilayangkan kad kuning. Memang dioarang nak injuredkan pemain malaysia ker??? Tak boleh jadi nih!!

Minit ke 68: Ong Kim swee tak boleh masuk kawasan padang. Aduii.. Harap takda masalah walaupun Jurulatih takda.

Minit ke 69: Hantaran terlalu kuat buat Syahrul untuk mengejar bola. Ada pemain indonesia pulak injured. Satu demi satu, insiden berlaku.

Minit ke 72: Diego pemain no 24 dilayangkan kad kuning. Sudah 3 kad kuning dilayangkan buat pemain indonesia.

Minit ke 73: Syahrul Azwari dibengkes lagi.!! Terjahan yang pantas oleh pemain no 5 dari indonesia.Sepakan percuma dari baddrol bakhtiar, sedikit jer lagi izzaq faris nak cuil bola tuh sikit lagi.

Minit ke 74: Pertukaran pemain , Lucas M OUT, OKTO IN.

Minit ke 76: Offside dah buat indonesia.

Minit ke 77: K gurusamy dipersalahkan kerana menolak pemain indonesia dari belakang. Alamak sepakan sudut buat indonesia, terkena kaki muslim ahmad.

Minit ke 78: Pertukaran dari Nazmi OUT, Fakri IN. Bahaya tandukan berbisa dari indonesia. Nasib baik atas palang sikit.

Minit ke 80: Come on malaysia cari gol lagi. Bahaya jugak nih.

Minit ke 81: Pemain no 11, terlepas bola dan out. Marah jurulatih indonesia. Fakri shakrani, membuat kekasaran. Sepakan percuma buat indonesia.

Minit ke 83: Malaysia terlepas peluang. Syahrul Izwari membuat hantaran kepada k gurusamy. Tetapi berjaya, diclearkan oleh pemain indonesia. Sepakan sudut buat Malaysia. Izzaq faris, alamak

Minit ke 84: Ong kim swee menggunakan teknologi, walkie talkie. BErhubung dengan jurulatih dibawah. Pemain, malaysia dipersalahkan mahali. Sepakan percuma buat diaorang.

Minit ke 86: Baddrol bakhtiar dilayangkan kad kuning. Adui!!! Sepakan percuma buat indonesia. Nasib baik pertahanan dah lama jaga.

Minit ke 87: Keadaan padang pun agak menyedihkan. Ada pemain jatuh tiba-tiba, takda orang bengkes.

Minit ke 89: Ruginya izzaq faris. Hantaran yang baik dari fandi othman. Dia tergelincir tadi.

Minit ke 90: 5 minit masa tambahan.



Benarkah Najib Pemimpin Sederhana?

Mampukah UMNO membuang sifat ekstremis untuk menjadi sederhana menjelang Perhimpunan Agung UMNO agar selari dengan laungan Datuk Seri Najib Razak di luar negara yang mahu semua agama menentang puak pelampau?

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ini merupakan persoalan yang membingungkan rakyat Malaysia kerana tuntutan kaum dan agama melampau yang wujud hari ini datangnya dari didikan UMNO, termasuk melalui lidah rasminya Utusan Malaysia.

Bolehkah Najib menjadi Perdana Menteri yang sederhana sedangkan beliau membenarkan Utusan Malaysia memfitnah, menimbulkan kebencian kaum dan agama serta membuat tuduhan tidak berasas bahawa DAP mempunyai konspirasi menubuhkan negara Kristian?

“Bila Najib di luar negara, beliau akan meletakkan dirinya sebagai penentang puak pelampau, tetapi di dalam negara beliau langsung tidak melakukan apa-apa langsung sejak 31 bulan untuk menyederhanakan pelampau kaum dan agama,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata demikian sebagai respon kepada Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 17 Januari depan, sebulan selepas Perhimpunan Agung UMNO 2011.

Najib memperkenalkan GMM pada Persidangan PBB ke-65 tahun lepas dengan agenda menentang fahaman pelampau dan menggesa golongan sederhana dari semua agama mengamalkan semangat keamanan dan pragmatisme.

“Bolehkah Najib melepasi ujian ini sebagai Perdana Menteri yang sederhana pada perhimpunan agung UMNO nanti, sebelum Persidangan Antarabangsa GMM pada bula seterusnya?” kata Kit Siang. – Roketkini

Najib rasmi Seminar Pemahaman Wasatiyyah, 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak akan merasmikan Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia pada 26 November sebelum Perhimpunan Agung Umno di sini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata seminar itu akan mengupas lebih mendalam maksud Wasatiyyah dan kaitannya dengan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Najib.

Katanya, istilah Wasatiyyah secara mudahnya bermaksud "pemikiran tidak ekstrem" seperti yang diamalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara.

"Wasatiyyah ini adalah satu gerakan yang dipelopori oleh Datuk Seri Najib dan sentiasa disebut oleh beliau bukan hanya dalam negara tetapi juga di luar negara dalam ucapan beliau, terbaru di Hawaii, Amerika Syarikat.

"Ia kini menjadi perhatian pemimpin luar tetapi sebelum ia laku di luar negara, dalam negara ini sendiri ia perlu difahami oleh pimpinan dan juga rakyat dan kaitannya dengan Gagasan 1Malaysia," kata Ahmad pada sidang akhbar mengenai seminar berkenaan di sini, hari ini.

Ahmad menjelaskan kefahaman terhadap Wasatiyyah perlu kerana istilah itu kini diertikan sebagai kesederhanaan, pertengahan dan perimbangan.

Seminar julung kali mengenai Wasatiyyah anjuran UMNO itu akan berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
"Lebih 1,000 kad jemputan sudah dihantar dan sehingga kini lebih 600 peserta mengesahkan kehadiran mereka," katanya.

Peserta terdiri daripada kalangan pemikir, ahli akademik, warga korporat dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ahmad berkata, mereka termasuk presiden International Movement for a Just World, Dr Chandra Muzaffar, bekas ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.

"Antara aspek yang akan dibincangkan ialah bagaimana konsep Wasatiyyah diguna pakai dalam pelaksanaan pentadbiran agama dan bagaimana organisasi boleh memanfaatkan amalan kesederhanaan," katanya. Sekretariat seminar itu boleh dihubungi di talian 03-40436433. - BERNAMA


Ulasan GB

Firmanullah s.w.t.:


Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu. Dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu, melainkan untuk pengetahuan Kami tentang siapakah yang mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah. Dan sesungguhnya (peralihan kiblat) itu amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah. Dan tidaklah Allah akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang (yang beriman). Al-Baqarah:143


Ummatan wasatan - Mengikut kitab-kitab tafsir yang muktabar seperti Kitab Tafsir At-Tabari, Fi Zilal Al-Quran, Al-Munir, Al-Sayuthi dan Al-Qurthubi, "wasat" (akar kata wasatiyyah) ialah adil.

Jika ada yang mentafsirkan dengan "pertengahan" atau "sederhana", ia menyimpang dari maana sebenar "wasatiyyah".

Dan jika mahu juga diterima wasatiyyah itu sebagai pertengahan atau sederhana, maka Rasulullah itulah contoh tauladan wasatiyyah yang sebenar.

Mengikut keseluruhan ajaran Islam itulah yang sebenarnya di katakan wasatiyyah.

Justeru itu, wasatiyyah bukan bererti terimaajaran Islam separuh, tolak separuh supaya dapat dikatakan "sederhana".

Wasatiyyah bukan bererti boleh mengizinkan pemimpin berlaku curang kepada rakyat. Bukan bererti boleh menekan rakyat dan berlaku zalim sesuka hati. Bukan bererti boleh membiarkan isteri membogelkan kepala tanpa bertudung, bukan bererti boleh menangkap orang memberi tazkirah ugama sesuka hati, bukan bererti mengutamakan bangsa sendiri dengan menekan bangsa lain.

Yang menghairankan pemimpin yang bercakap tentang wasatiyyah sendiri bukanlah seorang pemimpin yang "sederhana" sepertimana yang dia maksudkan. GB tak perlu dedahkan keaibannya tetapi masing-masing sudah sedia maklum keidupan "kebangsawanan" sang perdana menteri yang kos penyelenggaraan Seri Perdana sahaja adalah RM1.89 juta setahun. Wasatiyyah?

Pengundi Tidak Yakin BN (UMNO & Gerakan) Boleh Rampas Pulau Pinang - Ilham Center

Dilema dan Permasalahan Pengundi Melayu

1. Politik

- Orang Melayu Pulau Pinang di kawasan kajian memperlihatkan sikap tidak kondusif terhadap Kerajaan Negeri (PR-DAP) sekarang kerana;

a) Mereka melihat kuasa Melayu telah terhakis apabila Pakatan Rakyat (DAP) memerintah Pulau Pinang.
b) Mereka merasakan bahawa Kerajaan Negeri sekarang diperintah dan ditadbir oleh kaum Cina. Mereka tidak melihat perspektif Pakatan Rakyat tetapi dalam kaca mata DAP yang diyakini cauvanis Cina.

2 Ekonomi

- Orang Melayu Pulau Pinang merasakan mereka terpinggir dengan arus pembangunan.
- Orang Cina dilihat lebih dominan mengaut hasil ekonomi. Golongan mamak juga antara yang sering menjadi perbandingan dengan kejayaan orang Melayu.
- Isu hartanah; orang Melayu seolah-olah memahami mereka jauh ketinggalan untuk bersaing menyebabkan mereka akur kuasa jual beli tanah di Pulau Pinang tinggi. Oleh itu, mereka hanya membeli tanah dan rumah di kawasan pinggir Pulau Pinang seperti di Parit Buntar, Sg. Petani, Kulim dan lain-lain.
- Selain itu, faktor budaya Melayu yang suka hidup harmoni menyokong penghijrahan untuk tinggal di luar iaitu di pinggir Pulau Pinang. Ini kerana orang Melayu tidak suka kepada hiruk-pikuk kota untuk kehidupan seharian mereka.

3. Sosial

-Generasi kedua Melayu Pulau Pinang juga agak rasional dan dilihat terbuka dalam menilai prestasi Kerajaan Negeri yang baru dan kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
-Generasi ini juga menghadapi cabaran pembangunan yang hebat untuk "survive" dalam arus ini di Pulau Pinang terutama dalam meraih peluang pekerjaan, pendidikan dan pendapatan sara diri.

Pandangan terhadap Kerajaan Negeri

- Orang Melayu Pulau Pinang melihat bahawa Kerajaan Negeri sekarang ditadbir oleh Cina. Walaupun dahulu Pulau Pinang diperintah oleh GERAKAN, tetapi orang Melayu tidak melihat bahawa dahulu Pulau Pinang ditadbir oleh Cina tetapi dipimpin oleh Barisan Nasional (BN).
- Ini menunjukkan bahawa doktrinisasi media terhadap Pulau Pinang dilabel sebagai "Kerajaan Cina atau DAP" memberi kesan positif kepada Melayu dan dilihat berjaya.
- Oleh itu, imej kerajaan Negeri dilihat sebagai Kerajaan DAP bukannya Pakatan Rakyat (PR).
- Walaupun imej Lim Guan Eng (gambar kanan) sangat dikenali dan dihormati oleh hampir 30% responden tetapi mereka masih meyakini bahawa orang Cina yang mentadbir Pulau Pinang.

Siapakah Juara Melayu?

1. PAS

- Adakah PAS menjuarai Melayu? TIDAK! PAS Pulau Pinang tidak memberikan kesan di hati pengundi Melayu.
- Kehadiran PAS dan dilihat sebagai pembela Melayu-Islam tidak dirasai di sini.
- Tokoh-tokoh dan kepimpinan PAS kurang dikenali oleh pengundi berbanding tokoh-tokoh daripada UMNO.
- Pada pengamatan ILHAM, ini kerana PAS di bawah Pesuruhjaya, Ustaz Salleh Man terlalu lemah dan gagal meletakkan PAS dikenali dan disegani oleh pengundi sama ada dari segi kebajikan, program kemasyarakatan, dakwah semuanya tidak membekas dihati orang Melayu.
- Mengenai kepimpinan Tuan Haji Mohamad Sabu dan Dr. Mujahid Yusof Rawa (beliau berasal daripada Pulau Pinang) ternyata kedua-dua tokoh ini dilihat jauh daripada politik Pulau Pinang dan mereka dikatakan tidak berminat untuk membela nasib orang Melayu Pulau Pinang.
- PAS pula dikaitkan sebagai boneka DAP

2. PKR

- PKR tidak dilihat boleh membela Melayu walaupun Timbalan Ketua Menteri, Mansor Othman dan EXCO Abdul Malik Abul Kasim merupakan tokoh Melayu berjawatan tinggi di dalam Kerajaan Negeri.
- Ini juga kerana PKR dilihat sebagai parti "multiracial" yang agak tidak berideologi Melayu, maka pengundi Melayu melihat bahawa PKR tidak dapat membela nasib Melayu.
- Faktor Anwar Ibrahim tidak dilihat dapat mempengaruhi keseluruhan pengundi Melayu di Pulau Pinang, dan hanya berkesan dibeberapa kawasan terutama di Permatang Pauh.
- Selain itu, isu yang melibatkan PKR juga sedikit sebanyak memberikan perspektif negatif seperti isu Timbalan Ketua Menteri lama (Fairus) dan isu lompat parti.

Siapakah Juara Melayu?

1. UMNO
- UMNO Pulau Pinang dilihat didominasi oleh Melayu (berketurunan mamak). Oleh itu, pengundi Melayu agak skeptikal dengan kelompok ini.
- Namun begitu, orang Melayu masih lagi melihat dan meyakini bahawa UMNO adalah harapan dan pilihan terbaik bagi mereka untuk terus membela nasib dan masa depan orang Melayu Pulau Pinang.
- UMNO tidak mempunyai tokoh yang dikatakan berkaliber dan berdedikasi setelah kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam PKR dan Pakatan Rakyat dan perletakan jawatan Pak Lah sebagai Perdana Menteri serta ketiadaan beliau di dalam UMNO Pusat, namun rakyat masih lagi bergantung harap dengan UMNO.

Pandangan Terhadap Dasar Kerajaan Negeri & Lim Guan Eng

1. Dasar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR-DAP)
- Orang Melayu di kawasan kajian tidak mengetahui segala dasar baru kerajaan Negeri.
- Mereka lebih cenderung kepada segala manfaat yang mereka akan terima secara "one off" sama ada dalam bentuk bantuan kebajikan dan barang-barang keperluan harian seperti; beras, gula, tepung, telur dan wang tunai kerana ia lebih dirasai berbanding dengan pengumuman program dan rancangan pembangunan yang bernilai jutaan ringgit.

2. Populariti Ketua Menteri, Lim Guan Eng
- Sama seperti mereka melihat DAP iaitu mereka meyakini bahawa pimpinan Negeri ini adalah Cina dan kerajaan Negeri dipimpin oleh Cina.
- Walaupun begitu, Lim Guan Eng lebih dikenali dan disegani dengan sikap "humble", mudah mesra dan sering kali dilihat turun padang.
- Namun, atas sentimen dan prejudis UMNO, beliau tetap dilihat sebagai Cina yang mengancam Melayu.

Keyakinan Pengundi Melayu

1. Terhadap Barisan Nasional
- Majoriti pengundi tidak yakin BN (UMNO & Gerakan) boleh merampas kuasa dari DAP.
- Ini kerana pada pandangan mereka perpecahan dalaman Gerakan dan ketiadaan Pak Lah (Mantan Perdana Menteri) di dalam kepimpinan UMNO pusat telah menggelapkan harapan BN untuk kembali memerintah Pulau Pinang.

2. Undi Calon Melayu PAS & PKR
- Majoriti pengundi 40 tahun ke atas (40 –80 tahun) tidak akan memberikan undi kepada calon PAS & PKR atas dasar setia pada parti UMNO dan atas sentimen Melayu.
- Namun pengundi Muda masih terbuka dengan melihat kepada perkembangan isu dan calon yang disegani serta berkaliber.

Harapan Pengundi Melayu

Harapan orang Melayu
- Membela nasib dan masa depan orang Melayu dengan lebih mendekati mereka dan prihatin atas segala masalah mereka.
- Mahukan bantuan secara terus kerana mereka tidak suka kepada persaingan. Jika boleh salurkan bantuan secara terus bukan berlumba-lumba dengan bangsa lain.
- Mahukan bantuan "one off" dalam bentuk tunai dan keperluan harian kerana itu lebih menyebabkan mereka yakin kepada kepimpinan kerajaan Negeri.
- Mahukan agar kerajaan Negeri tidak bersikap "bias" dan mengamalkan diskriminasi dalam menyalurkan bantuan dan sumbangan
- Mahukan tokoh atau calon yang boleh duduk bersembang, turun ke bawah "down to earth" dan boleh sedia mendengar segala keluhan dan masalah mereka.

*Laporan "Kajian persepsi dan tanggapan pengundi Melayu terhadap Kerajaan Negeri PR DAP Pulau Pinang" ini disediakan oleh Panel Penyelidikan ILHAM CENTRE. Kajian ini dijalankan pada 7 hingga 9 Oktober 2011, ke atas 720 responden pengundi Melayu berdaftar, meliputi semua daerah mengundi/UPU Parlimen N41: Kepala Batas, N42: Tasek Gelugor & DUN N38: Bayan Lepas.

Najib Bohong, ISA Masih Terus Digunakan. 10 Aktivis PAS Sabah Ditahan Bawah ISA

PM perlu malu ISA diguna lagi'

Penahanan terbaru sekumpulan lelaki bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disifatkan "mengesahkan kesangsian" rakyat terhadap pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan akta itu sebelum ini.

"Kini ia amat pasti bahawa pengumuman itu hanyalah untuk kepentingan politik Najib dan tidak serius dan jujur dalam memansuhkan akta zalim ini," kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh dan Penyelaras NGO hak asasi Suaram E Nalini.

Perdana menteri pada malam hari Malaysia mengumumkan akan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 serta akan mengkaji semula undang-undang lain bagi memastikannya memenuhi kehendak semasa.

Dalam kenyataan bersama Syed Ibrahim dan Nalini hari ini, mereka mempersoalkan sama ada Najib cuba memperdayakan rakyat Malaysia berhubung penangkapan pertama selepas pengumuman pemansuhan ISA pada 15 September lalu.

"PM perlu berasa malu atas penangkapan ini," kata mereka sambil menyifatkan tuduhan ke atas kumpulan lelaki itu masih tidak pasti.

Polis dilaporkan menggunakan ISA di Sabah kerana didakwa terbabit dengan kegiatan militan yang menggunakan Tawau sebagai tempat transit senjata dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang beroperasi dari Kalimantan.

Senaraikan nama, status

Bagaimanapun, memetik sumber, laporan Berita Harian dan The New Straits Times itu tidak sepakat sama ada 10 atau 11 orang ditahan bawah akta kontroversi itu.

GMI dan Suaram pula menyifatkan jumlah dilaporkan hanyalah angka "tidak rasmi" kerana sumber mereka memaklumkan kemungkinan 14 orang ditahan.

Kedua-dua NGO itu turut menyenaraikan nama invidividu yang didakwa ditahan, termasuk status pekerjaan mereka.

Menurut GMI dan Suaram, identiti mereka: Mohd Nazri Dollah (guru agama), Yusof Saripuddin (peniaga ayam) Muhd Adnan Umar dan Darto Bandu (guru tuisyen), Muhd Abduh Umar (pemandu lori), Faizal Hamma dan Joni @ Muadz (pengedar akhbar harian) dan Bakar Baba (guru).

Tiga lagi individu lain - dikenali Adwan, Azmi dan Suriadi - tidak dinyatakan nama penuh dan status pekerjaan mereka.

Pesuruhjaya polis Sabah Datuk Hamza Taib ketika dihubungi dilaporkan enggan mengulas penahanan tersebut kerana kes itu dikendalikan Bukit Aman. -mk

10 AKTIVIS PAS SABAH DI TAHAN DI BAWAH ISA

Oleh : MOHD AMINUDDIN ALING

MASYARAKAT seluruh Tawau tergempar dengan berita penangkapan 10 pendakwah dan aktivis Islam di Tawau pada hari Isnin 14 November 2011.

PAS Sabah mohon supaya pihak polis mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kedudukan sebenar supaya berita ini tidak disalah tafsir dan akan menimbulkan pelbagai sangkaan buruk terhadap setiap orang yang ditangkap.

Tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman bin Omar. Keluarga/Waris orang yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian yang mereka ditangkap di bawah Seksyen 73 (1) AKDN 1960 (ISA).

Penangkapan tanpa waran, tanpa notis atau dimaklumkan dilakukan di hadapan isteri dan anak-anak terlalu tragis. Situasi ini dilakukan oleh pihak polis yang lengkap bersenjata dengan cara yang kasar bagai satu rompakan dan dirampas beberapa komputer riba (laptop) dan sejumlah wang tunai.

Baru sahaja Perdana Menteri menghebahkan dengan gahnya bahawa ISA akan dimansuhkan kini kelegaan rakyat dikejutkan dengan tangkapan ISA. Di manakah kesungguhan Perdana Menteri,? Jujurkah beliau semasa membuat kenyataan pamansuhan ISA? Kini AKTA ISA yang ’draconian’ (mengerikan) itu menjelma kembali.




NOTIS....Notis tangkapan ini diserahkan kepada keluarga mangsa.


Antara yang ditangkap adalah pendakwah yang disegani di seluruh Tawau. Apakah tangkapan ini menunjukkan sikap ’bengis’ kerajaan (UMNO-BN) terhadap kerja-kerja Islam? Masyarakat yang sakit moral kini sangat perlukan pendakwah kenapa mereka ditangkap. Anehnya pembawa punca keruntuhan akhlak dan moral dibiar berleluasa. tanpa tindakan yang proaktif.

PAS Sabah sangat dukacita dan kesal terhadap tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang akan menyebabkan porak-poranda kepada seluruh keluarga orang-orang yang ditahan dan sekali gus memberi kesan atau impak yang negatif terhadap masa hadapan anak-anak mereka.

PAS Sabah menuntut, supaya semua tahanan tersebut dibebaskan serta merta tanpa syarat.

(NOTA : Mohd. Aminuddin Aling ialah Pesuruhjaya PAS Sabah) -sabahkini


Rogol Gadis Bawah Umur Dalam Kontena

Angkara terlalu mengikut nafsu, seorang duda kepada tiga anak sanggup menjadikan gadis bawah umur yang baru dikenali tiga minggu sebagai pemuas nafsu dengan merogolnya di dalam sebuah kontena di belakang sebuah stesen minyak di Paka, Dungun, 4 Julai lalu.

Bagaimanapun, natijah perbuatan terkutuk Jefri Hisham Devandass, 31, dari Kampung Teluk Menara, Manir, Kuala Terengganu itu terbalas setelah dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman dijatuhkan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin selepas tertuduh yang bekerja sebagai buruh mengaku bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 4 Julai lalu antara jam 8.45 malam sehingga jam 9 malam di dalam sebuah kontena di belakang sebuah stesen minyak di Paka, Dungun didakwa telah merogol seorang gadis bawah umur, 15 tahun 5 bulan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menarik tangan mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah dan memaksa masuk ke dalam kontena tersebut lalu bertindak membuka pakaian mangsa.

Sejurus berbuat demikian, tertuduh telah merogol mangsa di atas katil di dalam kontena tersebut kira-kira lima minit.

Mangsa berjaya melarikan diri selepas tertuduh beredar dari lokasi kejadian sebaik sahaja merogolnya dan terus membuat laporan polis di Balai Polis Dungun dengan ditemani ahli keluarganya.

Laporan perubatan turut mendapati ada kesan koyakan baru pada kemaluan mangsa. Rentetan laporan dibuat, tertuduh berjaya ditangkap pada 9 November lalu kira-kira jam 10.45 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kampung Kebor Air Manir, di sini. -SH

Bagaimana Wang Rampasan Dalam Simpanan Polis Boleh Hilang?

Wang rampasan hilang dari IPD Shah Alam

KUALA LUMPUR: Sebahagian daripada AS$300,000 (RM950,000) wang tunai dirampas daripada tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyamun tiga pengurup wang asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 September lalu dilaporkan hilang dalam simpanan polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah yang mengesahkan kehilangan itu, berkata selain wang tunai RM11,700, beg duit milik semua suspek turut dilaporkan hilang dari pejabat pegawai penyiasat kes yang terletak di bangunan lama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam.

"Kita menjalankan siasatan terhadap semua pegawai dan anggota kita yang mengendalikan kes berkenaan serta mereka yang bertanggungjawab untuk berada di pejabat penyimpanan bahan bukti siasatan kes,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sehingga siasatan yang dijalankan pihaknya sendiri selesai.

Dalam kejadian 15 September lalu, polis menahan tiga pegawai kanan SPRM kerana dipercayai terbabit melakukan samun ke atas tiga penggurup wang asing selepas dipercayai bersubahat bersama dua lagi suspek awam.

Bagaimanapun, sehingga sekarang polis hanya berjaya merampas sebahagian wang tunai daripada ketiga-tiga suspek, manakala selebihnya dilaporkan berada dalam simpanan suspek awam yang masih diburu.

Ketiga-tiga pegawai SPRM terbabit didakwa ke Mahkamah Sesyen Sepang pada 7 Oktober lalu atas tuduhan bersubahat melakukan rompakan, penyamaran dan penipuan serta menyembunyikan rancangan rompakan terhadap tiga warga Singapura yang dalam proses membawa wang berkenaan keluar dari negara. -BH

Ulasan GB

Kecuaian? Konspirasi?

Sepatutnya Ketua Polis Selangor perlu letak jawatan kerana kegagalan menjalankan tugas dan tanggungjawab menjaga "bahan bukti".

Orang Asli 68 Kampung Berdemo Beri Amaran Kepada MB Negeri Sembilan

300 Orang Asli bantah depan SUK NS

SEREMBAN: Lebih 300 Orang Asli dari seluruh Negeri Sembilan hari ini menyuarakan bantahan selama tiga jam di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini berhubung Dasar Baru Pemilikan Tanah Orang Asli.

Sejurus selepas itu, mereka menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membantah cadangan kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar baru itu.

Jurucakap ‘Jaringan Kampung-Kampung Orang Asli Negeri Sembilan’ (JKKOANS), Ezuli Langkap berkata pihaknya membantah cadangan itu dengan sekeras-kerasnya sepertimana dilaporkan akhbar Utusan Malaysia 22 September lalu.

“Kami juga kesal dengan kenyataan Menteri Besar yang mengatakan masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan adalah setinggan.

“Setiap keputusan yang dibuat tanpa merujuk dan berbincang dengan kami. Beliau langsung tidak sensitif kepada masyarakat kami.

Sebaliknya beliau telah memperlekehkan masyarakat kami yang merupakan masyarakat asal Negeri Sembilan dan Malaysia”, kata Ezuli.

Tanah adat

Mengikut Ezuli, pelaksanaan Dasar Baru Pemilikan Tanah Orang Asli nanti akan menyebabkan mereka kehilangan hak turun-temurun ke atas tanah adat mereka.

“Semua tanah adat kami akan diambil alih kerajaan. Seterusnya kerajaan akan beri dua ekar tanah yang akan dimajukan samada oleh Felcra atau Risda.

“Selepas itu kami tak perlu lakukan apa-apa dan bayaran sebanyak RM1,500.00 dalam bentuk saham lot akan diberikan setiap bulan.

“Kami membantah langkah ini kerana dengan ini kami akan kehilangan hak ke atas tanah adat resam kami yang kami usahakan sejak zaman nenek moyang kami.

“Malah kami mampu mencari pendapatan melebihi dari apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri. Contohnya ketika ini ramai di antara kami menoreh getah, menjual petai dan akar kayu,” jelas Ezuli.

Ezuli mendesak kerajaan negeri agar membatalkan dasar pemberimilikan tanah yang dicadangkan oleh kerajaan pusat.

Beliau menggesa supaya keseluruhan wilayah tanah adat mereka diiktiraf mengikut Artikel 26 dalam Undang-Undang Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDRIP) berkenaan dengan hak Orang Asal. -FMT

Dakwa dihina MB: Orang Asli 68 kampung berdemo

Kira-kira 100 Orang Asli daripada 68 perkampungan sekitar Negeri Sembilan berhimpun di bangunan setiausaha kerajaan negeri di Seremban bagi menuntut menteri besar memohon maaf kerana menyamakan kampung mereka dengan "setinggan".

Menamakan diri mereka Jaringan Kampung-Kampung Orang Asli Negeri Sembilan (JKKOANS), kumpulan itu mendakwa kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan pada 21 September lalu sebagai "menghina" dan "tidak sensitif".

"Mohamad Hasan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti ini kerana ia amat mengguris hati kami dan juga mendedahkan lagi kehidupan kami dan anak-anak kami kepada rasa tidak hormat masyarakat luar kepada kami," kata penyelaras JKKOANS Langkap Kessu.

Mohamad dilaporkan berkata, perkampungan Orang Asli sebelum ini dibina di atas tanah hutan simpan atas ihsan negeri dan secara tidak langsung bermakna "kampung setinggan" dan mereka tidak mempunyai hak ke atasnya.

Justeru, katanya, kerajaan negeri membuat kajian bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan mengenal pasti semua kampung Orang Asli untuk diberi hak milik tanah kepada pemilik rumah.

Langkap menyangkal kenyataan itu atas alasan nenek moyang mereka berkurun lama menduduki wilayah tanah adat itu, malah perkampungan mereka lebih awal daripada rizab hutan simpan.

Teriak, sorak 3 jam

Tambahnya, kenyataan Mohamad juga bercanggah dengan kebebasan asas yang termaktub dalam Perkara 5 (hak untuk hidup), Perkara 8 (kesamarataan di sisi undang-undang) dan Perkara 13 (hak kepada harta benda) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh yang demikian bukan Orang Asli yang menceroboh rizab hutan simpan tetapi pihak-pihak yang berkenaan yang mencerobohi wilayah tanah adat kami," kata Langkap.

"Kami mengakui bahawa kami miskin dari segi wang ringgit namun demikian bukan bererti kerajaan negeri atau kerajaan pusat harus membuat sesuatu atas nama untuk membangunkan kami tanpa menghormati apakah pandangan dan keputusan kami dalam perkara itu."

Sebelum itu, Orang Asli yang menunggu Mohd Hasan menghadiri mesyuarat Exco lebih tiga jam berteriak, bersorak dan membawa banyak kain rentang.

Beberapa slogan - seperti "Jangan ganggu kami", Jangan menghina asal usul nenek moyang kami dengan perkataan setinggan" dan "Di mana nenek moyang kami dikuburkan, di situ wilayah tanah adat kami" - kelihatan dipamerkan.

Sementara itu, ketika menerima memorandum tersebut Mohd Hasan berkata kepada Langkap bahawa beliau akan membaca kandungannya terlebih dahulu. -mk


Saya Bahagia, Perbezaan 38 Tahun Tak Jadi Halangan - Noor Mahayu

Pilihan saya tepat’

TANAH MERAH: “Saya bahagia. Walaupun hanya mengenali suami ketika diijabkabulkan Jumaat lalu, dia kelakar dan mudah bertolak ansur,” akui Noor Mahayu Shamsuddin, 26, yang bertemu jodoh dengan warga emas berusia 64 tahun.

Menurutnya, dia tidak mengenali Mat Ibrahim, imam Masjid Mukim Bechah Laut di sini, sebelum ini kerana semuanya diuruskan keluarga.

“Semuanya keluarga yang aturkan dan saya hanya tahu bakal suami imam. Hanya dalam tempoh tiga minggu dirisik, saya selamat diijabkabulkan,” katanya.

Menurut Noor Mahayu, keputusannya berkahwin dengan lelaki 38 tahun lebih tua daripadanya yang juga duda dibuat atas kerelaan sendiri, tanpa paksaan sesiapa.

“Nasihat ayah yang paling utama. Saya buat keputusan tepat (berkahwin dengan Mat) memandangkan dia mempunyai latar belakang agama yang baik dan perkahwinan ini juga sangat istimewa bagi saya.


“Saya hanya melihat wajah suami ketika dinikahkan dan baru sedar saya pernah melihatnya di hospital ketika menjaga arwah ibu yang ketika itu sakit, dua bulan lalu,” katanya ketika ditemui bersama suaminya di Kampung Baru, Bechah Laut, semalam.

Noor Mahayu berkata, dia juga mahukan anak ramai seperti diinginkan suaminya bagi menyambung zuriat mereka.

Sebelum ini, anak bongsu daripada tujuh beradik itu pernah bekerja di syarikat swasta di Kuala Lumpur sebelum pulang ke kampung untuk menjaga ibunya yang sakit saraf. Ibunya bagaimanapun meninggal dunia, dua bulan lalu.

Noor Mahayu turut berkorban menjaga bapanya yang cacat kaki akibat kencing manis.

“Selain menjaga ayah, kini saya turut menjaga suami tercinta,” katanya ceria.

Semalam, muka depan Harian Metro melaporkan, perkahwinan Noor Mahayu dan Mat yang diibaratkan perkahwinan selebriti apabila bernikah pada tarikh istimewa iaitu 11 November lalu atau bersamaan 11.11.11.

Pasangan itu selamat dinikahkan jam 11 malam pada tarikh berkenaan di Batu 11 di sini, dengan wang hantaran RM5,011.

Majlis resepsi mereka diadakan kelmarin dengan diiringi 11 das tembakan senapang patah oleh penduduk kampung selain diarak dengan 60 kereta dan 40 motosikal, malah meriah dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu. -HM

Jodoh imam dengan gadis muda

TANAH MERAH - Perarakan 60 kereta dan 40 motosikal dengan 11 das tembakan ke udara mencipta kelainan sempena meraikan majlis perkahwinan Imam Bechah Laut bersama gadis yang 37 tahun lebih muda.

Mat Ibrahim, 64, berkata, jodoh pertemuan ditentukan ALLAH SWT dan perkahwinan keduanya itu akhirnya ditakdirkan bersama gadis 38 tahun lebih muda, Normahayu Shamsudin, 26.

Menurutnya, majlis akad nikah dilangsungkan pada tarikh 11.11.11 tepat jam 11 malam di Masjid Batu 11 dengan hantaran RM5,011.

“Kami tidak pernah berjumpa, cuma saya pernah menyatakan hasrat hati untuk mendirikan rumah tangga kepada rakan baik yang kemudiannya memperkenalkan saya kepada anak saudaranya.

“Perkongsian hidup bersama arwah isteri yang meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang awal Syawal lalu, selama 40 tahun tidak kurniakan dengan zuriat membuatkan saya tegar untuk menikah kali kedua dengan harapan impian untuk memiliki anak sendiri tercapai nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada majlis kesyukuran sempena meraikan majlis perkahwinannya yang dihadiri 1,000 penduduk sekitar.

Mat berkata, hasratnya itu pasti jadi kenyataan apabila mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati dengan restu kedua-dua keluarga.

“Walaupun sudah berumur, namun keluarga isteri dapat menerima saya seadanya dan merestui perhubungan ini.

“Selepas ini saya tidak lagi sunyi apabila sudah ada yang menemani setiap masa jika dulu hanya menumpang kasih anak saudara dan adik beradik,” katanya. -SH


Isy.. Seluar Wak Satim Dah Terlondeh Lagi....

Sesi penggulungan Belanjawan Selangor 2012 hari ini menjadi gempar berikutan pendedahan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pelbagai salah guna kuasa Barisan Nasional Selangor membabitkan kehilangan jutaan ringgit yang turut melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Satim Diman.

Selain Satim, Abdul Khalid juga mendedahkan usaha pengambilan tanah oleh bekas menteri Besar Selangor, isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemimpin politik setempat bagi mendapat beberapa lot tanah dikawasan elit.

Dalam sesi penggulungan itu, Khalid mendedahkan Ketua Pembangkang, Satim Diman telah membuat beberapa transaksi berhubung penjualan tanah di Science Park 2 semasa pentadbiran BN dulu.

Tanah tersebut merupakan tanah milik kerajaan negeri yang telah diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk tujuan pembangunan pendidikan sains.

Menurut Khalid, pemberian tanah tersebut bagaimanapun dijual oleh Satim dengan harga murah kepada Nikmat Inai Sdn Bhd, di mana Satim adalah salah seorang pemegang saham dan Ahli Lembaga Pengarah.

"Belum selesai syarikat Satim membayar belian kepada PKPS, atas kuasa politik yang beliau pegang, tanah itu dijual kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan harga berlipat kali ganda.

"Inilah berjayanya Satim Diman menjadi orang tengah untuk mengaut untung atas angin atas dasar Bumiputera,"jelas Khalid.

Sidang DUN yang masuk hari kelima hari ini turut digemparkan dengan pendedahan Khalid berhubung tanah Revolusi Hijau di Alam Perdana yang melibatkan bekas Menteri Besar dan isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemimpin politik setempat membolot beberapa lot tanah.

"Tanah ini telah menjual kepada Barisan Elit untuk taman penindustrian walaupun tanah itu masih berstatus pertanian.

"Meskipun Barisan Elit tidak boleh memulakan projek perindustrian, namun yang berkuasa adalah orang berkepentingan maka projek tersebut dijalankan sedangkan rakyat Selangor kerugian puluhan juta hasil bayaran premium," katanya.

Selain itu, ladang seluas 12,000 ekar di Sabah yang dikatakan dijual oleh PKPS pada 2006. Ladang ini djual RM8,000 seekar kepada syarikat Bumiputera.

Namun seperti juga kes Science Park 2, Khalid berkata, ladang ini dijual pula kepada Rimbunan Hijau, syarikat yang ada kaitan dengan parti komponen BN
.

Mengulas lanjut salahlaku pembangkang ini, Khalid menjelaskan Kerajaan Negeri pada akhirnya berjaya memaksa Barisan Elit Sdn Bhd membayar RM29 juta untuk menukar syarat dari pertanian kepada perindustrian.

"Tiga contoh ini menunjukkan Umno-BN sentiasa menggunakan isu Bumiputera dan memperjuangkan hak Melayu namun mereka adalah dalang yang menghakis hak kepentingan rakyat Selangor,"kata Khalid lagi.

Beliau yang juga Adun Ijok berkata sejak Mac 2008, kerajaan Pakatan Rakyat telah mengamalkan reformasi dalam pentadbirannya yang amat mementingkan ketelusan, kecekapan dan pertanggungjawaban serta bersih dari amalan rasuah dan kronisma.

Kesan dari reformasi ini, kata Khalid telah memberi keuntungan yang berlipat kali ganda berbanding pentadbiran terdahulu, malah mampu mengembalikan hasil negeri untuk rakyat Selangor. -tvsnews

MB dedah penyelewengan pemimpin BN S’gor

Beliau menamakan tiga pemimpin sebagai contoh - Satim Diman, Dr Mohamad Khir Toyo dan isteri Noh Omar - terlibat dengan pelbagai bentuk salah guna kuasa.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan mengenai pelbagai salah guna kuasa oleh pimpinan Barisan Nasional (BN) yang didakwa membabitkan kehilangan jutaan ringgit.

Ketika sesi penggulungan Belanjawan 2012 di Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini semalam, beliau berkata Ketua Pembangkang, Datuk Mohammad Satim Diman telah membuat beberapa transaksi berhubung penjualan tanah di Science Park 2 semasa Selangor ditadbir BN.

Selain itu terdapat usaha pengambilan tanah oleh bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo; isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar serta pemimpin politik setempat bagi mendapat beberapa lot tanah di kawasan elit.

“Saya mengingatkan Ketua Pembangkang tentang transaksi jualan tanah di Science Park 2 di mana tanah kerajaan negeri telah diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPNS) dan dijual dengan harga murah kepada Nikmat Inai Sdn
Bhd di mana Satim adalah salah seorang pemegang saham dan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.

“Belum selesai syarikat Satim membuat bayaran belian kepada PKPNS, atas kuasa politik yang beliau pegang, tanah itu dijual kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan harga berlipat kali ganda.

Untung atas angin

“Inilah kejayaan Satim sebagai orang tengah untuk mengaut untung atas angin atas nama Bumiputera,” sindir Khalid.

Menyentuh mengenai tanah Revolusi Hijau di Alam Perdana, tanah itu telah dijual kepada Barisan Elit Sdn Bhd untuk taman perindustrian walaupun tanah masih berstatus pertanian.

Menurut Khalid, tanah itu merupakan milik kerajaan negeri yang diberikan kepada PKPNS untuk tujuan pembangunan pendidikan sains.

“Meskipun Barisan Elit belum dibenarkan mengusahakan projek perindustrian, namun yang berkuasa adalah orang berkepentingan maka projek tersebut dijalankan sedangkan rakyat Selangor kerugian puluhan juta ringgit dalam bentuk bayaran premium,” katanya.

Selain itu beliau berkata ladang seluas 12,000 ekar di Sabah turut dijual oleh PKPNS pada tahun 2006 dengan harga RM8,000 seekar kepada sebuah syarikat Bumiputera.

Katanya, ladang tersebut kemudiannya dijual pula kepada Rimbunan Hijau, syarikat yang mempunyai kaitan dengan parti komponen BN.

Khalid menjelaskan kerajaan negeri akhirnya berjaya memaksa Barisan Elit membayar RM29 juta untuk menukar syarat dari pertanian kepada perindustrian.

“Tiga contoh ini menunjukkan Umno-BN sentiasa menggunakan isu Bumiputera dan memperjuangkan hak Melayu namun mereka adalah dalang yang menghakis hak kepentingan rakyat Selangor,” ujarnya.

Beliau turut menangkis dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang Abdul Shukor Idrus bahawa rezab negeri Selangor yang ditinggalkan oleh Khir Toyo berjumlah RM1.7 bilion.

Berdasarkan laporan kewangan pada 31 Mac 2008, rezab yang ditinggalkan mantan Menteri Besar itu hanyalah sebanyak RM689.51 juta. -FMT




Ulasan GB

Sebelum persidangan DUN Selangor bermula, Wak Satim Diman komain hebat buat kenyataan kononnya mahu "belasah" kerajaan PR Selangor sebab tak tunai janji pilihanraya katanya.

Alih-alih seluar Wak Satim pula yang terlondeh, satu demi satu, ibaratnya mula-mula seluar yang di luar lepas itu yang dalam pula.

Ia kerana nawaitu Wak Satim sendiri yang salah.. nak masuk perbahasan DUN semata-mata nak serang PR. Cukup tak baik hati Wak UMNO yang sorang ni. Bukan untuk membela rakyat di kawasannya.

Wak ni dah lama tak baca Al-Quran ni. Dengar sini Wak, GB nak mengingatkanmu, bahawa Allah sudah berfirman:


Sambil bersikap sombong di bumi dan berusaha merancangkan rencana jahat, dan tidak ditimpakan dengan rancangan yang jahat itu melainkan orang yang merancangkannya sendiri. Maka tiada yang mereka tunggu melainkan seperti berlakunya kebinasaan ke atas orang yang telah lalu. Kerana engkau tidak akan mendapati perubahan bagi Sunnatullah, dan engkau tidak akan mendapati Sunnatullah itu menyimpang. [Fatir: 43]


Sebelum ini GB ada ulas. Baca di: