27 Mei 2010

Saman Jika Kerajaan Dan PDRM Minta Maaf Dan Gagal Bayar Pampasan Kepada Mangsa Peluru Sesat

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mendesak kerajaan dan Polis DiRaja Malaysia memohon maaf dan memberikan pampasan yang sewajarnya kepada mangsa peluru sesat yang tertembak dalam satu insiden di Kuala Selangor, awal bulan ini.

"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab ke atas setiap warganya, mangsa perlu diberikan keadilan. Kita kesal terhadap kecuaian yang berlaku dan sikap pasif dari pemerintah berkenaan kes ini."

"Memohon maaf dan memberikan pampasan kepada mangsa atas kecuaian pihak berkuasa adalah prosedur normal di mana-mana negara," kata Dr Dzulkefly.

Dalam kejadian pada 9 Mei lalu, mangsa S Surentiran 22, sedang dalam perjalanan ke kedai runcit di Kampung Kuantan bersama abangnya, S Suresh apabila beliau melihat dua buah kereta peronda polis menuju kesebuah kawasan berhampiran.

Polis kemudian memberitahu yang mereka sedang menjalankan satu operasi dan meminta bantuannya untuk menangkap suspek.

Beliau enggan dan menjarakkan diri dari kawasan tersebut dengan berdiri di sebuah jambatan berhampiran.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi tembakan dan kemudiannya menyedari yang dirinya telah cedera akibat terkena peluru sesat.

Polis kemudian menghantarnya ke Hospital Tanjung Karang bagi mendapatkan rawatan.

Peguam K A Ramu yang mewakili Surentiran menjelaskan pihak polis sehingga hari ini tidak memberikan reaksi terhadap insiden tersebut.

Malah selepas kejadian, polis memberitahu kepada keluarganya, bahawa keadaan mangsa tidak kritikal kerana hanya terkena serpihan peluru dan dibenarkan keluar awal dari hospital.

Namun selepas pemeriksaan perubatan dibuat, Surentiran terpaksa ditahan di wad selama sembilan hari sehingga mengganggu tugasnya sebagai pekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor.

Kecederaan tersebut didapati agak serius kerana peluru tersebut menembusi dada kanannya dan mengambil masa untuk pulih.

Ramu memaklumkan laporan polis telah dibuat dan kini sedang menunggu panggilan daripada pegawai penyiasat untuk diambil keterangan.

Beliau akan turut menulis surat kepada Peguam Negara bagi memastikan kes ini diambil perhatian yang sewajarnya.

"Mangsa trauma dengan kejadian dan telah ditimpa kecacatan kekal. Dia hanya boleh melakukan kerja-kerja ringan. Jadi kami menuntut pampasan yang munasabah sesuai dengan kecederaan yang dialami dan juga kos-kos perubatannya," kata Ramu.

Beliau turut membayangkan akan memfailkan saman sekiranya pampasan tidak diberikan.

Polis Dingatkan Jangan Main Politik Dalam Kes Aminulrasyid

Saksi utama kes remaja Aminulrasyid Amzah ditembak mati polis bulan lalu, Azamuddin Omar, dan kakak Aminulrasyid dipanggil ke Ibupejabat Polis Bukit Aman hari ini untuk merekodkan kenyataan mereka.

Mereka yang diiringi oleh abang Aminulrasyid dipanggil ekoran laporan polis kali kedua yang difailkan terhadap polis Selangor atas kelewatan membuat penyiasatan dan keengganan polis membersihkan nama Aminulrasyid serta keengganan polis mengakui parang sengaja diletakkan dalam kereta yang dipandu remaja tersebut.

"Azamuddin sedang melalui saat-saat yang genting dalam hidupnya, tambahan pula beliau akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah hujung tahun ini. Bayangkan tekanan yang dikenakan ke atas Azamuddin yang tinggal di dalam kuarters polis, dikelilingi oleh polis yang berpotensi memberikan tekanan selagi Azamuddin berada di situ.

"Isu ini mudah sahaja untuk diselesaikan, kesemua saksi telah beri keterangan dan saya rasa seluruh masyarakat tahu apa yang telah terjadi malam itu.

Pihak polis telah membuat kesalahan dan patutnya mengakui dan meminta maaf. Itu sahaja," kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam satu sidang media semalam di pejabatnya.

Khalid yang kagum dengan pendirian Azamuddin walaupun dengan tekanan yang diterima berkata polis perlu melihat isu ini dari mata masyarakat dan jangan mengorbankan Azamuddin dalam proses ini.

"Sudah cukuplah kita kehilangan seorang remaja, jangan kerana kedegilan sesetengah pihak, menyebabkan sesuatu yang buruk menimpa Azamuddin yang sudah cukup terseksa dengan apa yang telah dan sedang berlaku," kata Khalid lagi.

Menurut beliau, polis Negeri Sembilan telah menunjukkan satu contoh yang amat baik dalam bagaimana menangani situasi sebegini berhubung insiden anggota polis menembak seorang remaja yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan.

"Apabila polis Negeri Sembilan sedar kesilapan mereka, tanpa berlengah lagi dan tanpa membuat alasan remeh, terus mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang melepaskan tembakan, dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh sendiri telah menemui keluarga mangsa dan meminta maaf," kata Khalid lagi.

Beliau menyuarakan ketidakpuashatian terhadap institusi kepolisan kerana seolah-olah wujudnya percanggahan dalam cara bekerja mengikut negeri.

"Jika di Negeri Sembilan, polis boleh mengaku kesilapan, kenapa tidak di Selangor? Adakah hanya kerana kerajaan pemerintah Negeri Sembilan ialah dari Umno-BN dan kerajaan Selangor ialah Pakatan, maka wujudnya 'double standard' ini"," soal Khalid.

Tambah Khalid lagi, keadaan ini seolah-olah menunjukkan polis juga kini sudah mula bermain politik dengan bertindak menyebelahi kerajaan Umno-BN dan menentang kerajaan Pakatan, dan ini adalah sesuatu yang tidak patut berlaku memandangkan polis sepatutnya merupakan satu badan bebas. -SK

Lesen Judi: Umat Islam Bangkitlah!

Perjumpaan tubuh Gerakan Membantah Judi

Satu perjumpaan akan diadakan di Shah Alam Selasa depan untuk menubuhkan Gerakan Membantah Judi (GMJ).

Ia akan menggabungkan NGO, persatuan penduduk dan wakil-wakil parti politik yang mahu menyertai GMJ.

Perjumpaan tersebut dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan akan berlangsung di bilik Gerakkan, Tingkat 22, Pejabat SUK Selangor.

Pengerusi majlis tersebut, Azmi Abdul Hamid berkata gabungan tersebut akan membantah judi bola sepak yang telah diluluskan oleh kerajaan pusat.

Pemberian itu dibantah oleh banyak pihak termasuk Dewan Pemuda PAS yang akan mengadakan demonstrasi di seluruh negara Jumaat ini.

Ia juga akan menempatkan anggotanya di semua premis judi untuk mengedarkan risalah membantah pemberian lesen judi bola sepak oleh kerajaan. -MK



Umno-BN Persenda Islam Dalam Isu Judi

Yang halal itu jelas, yang haram pun jelas. Di antara kedua-duanya syubhat. Oleh itu jauhilah syubhat kerana ia mendorong kepada dosa.

Demikian asas hukum dalam Islam. Hakikat ini tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa jua yang mengaku Mulsim. Ini adalah seiring dengan konsep amar makruf nahi mungkar – mengajak kepada yang baik dan berusaha mencegah yang mungkar. Ia adalah asas pembentukan keluarga, masyarakat dan negara.

Namun bagi pemerintah Malaysia, kaedah dan peraturan ini tidak lagi terpakai. Oleh itu tidak sukar bagi sesiapa sahaja untuk memutuskan bahawa laungan bahawa Malaysia sebuah Negara Islam adalah batal. Malah, ia boleh dianggap sebagai satu tindakan untuk mempersenda dan menggunakan kesucian agama Islam untuk kepentingan politik semata-mata.

Apabila perlu mendapatkan sokongan dan undi daripada rakyat beragama Islam, Umno-Barisan Nasional (BN) dengan yakin merujuk kepada peruntukan Perlembagaan Negara bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam.

Maka dibahas dan diancam sesiapa yang meragui hakikat ini dan diperte-gaskan dari masa ke semasa, mana-mana pihak yang mempertikaikan perkara ini adalah melakukan pengkhianatan kepada negara.

Bagaimanapun bagi kita, ancaman itu sebenarnya bertujuan melindungi kebimbangan bahawa jika kredential Islam tercabut daripada Umno-BN, maka akan larut sokongan rakyat kepada parti yang sudah berselindung di sebalik retorik itu selama lebih 50 tahun.

Tidak kira apa latar belakang, pemimpin-pemimpin Umno-BN nampaknya mereka setelah sekian lama berjaya meyakinkan rakyat Melayu-Islam khususnya akan keIslaman parti mereka walaupun hakikatnya tidak selalunya demikian.

Keadaan ini menjadikan masyarakat Melayu-Islam leka. Bagi mereka kepercayaan akan keIslaman Umno-BN adalah tulen. Meskipun ada perbalahan berhubung beberapa perkara dengan beberapa pihak lain yang juga menjadikan Islam sebagai landasan perjuangannya, Umno masih memonopoli pemikiran rakyat bahawa ia adalah parti yang memperjuangkan Islam.

Keyakinan ini diterjemahkan dalam sokongan yang diberikan kepada Umno dalam 11 pilihan raya umum (PRU). Bagaimanapun dalam PRU-12, Mac 2008, keadaan mula berubah. Ketidakjujuran Umno-BN mula terserlah.

Nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan adalah asas ajaran Islam. Apabila Umno-BN melencong daripada asas ini, rakyat mula menolak parti usang itu. Bagaimanapun penolakan itu belum cukup kuat untuk menumbangkan pemerintahan Umno-BN. Ini menjadikannya lebih galak.

Bagi Umno-BN, apa pun kempen dan propaganda pembangkang tidak akan memudaratkan kepentingan mereka. Lantas, mereka masih memerintah secara unilateral dan tidak menghiraukan pandangan pihak lain apabila membuat keputusan dalam sistem pemerintahan negara.

Malah keyakinan yang kemudian bersarang menjadi keangkuhan Umno ini de-ngan sendiri mensudutkan ulama-ulama yang mendampingi parti itu ke suatu kotak ketakutan.

Mereka tidak berani bersuara kerana bimbang kedudukan akan tergugat jika beralih daripada pemikiran kerajaan pusat.

Lantaran itulah kita lihat pemimpin-pemimpin Umno-BN hari ini tanpa segan-silu membuat keputusan semberono tanpa menghiraukan pandangan umum.
Malah kita perhatikan yang lebih berbahaya ialah sikap Umno terhadap pengarahan yang dibuat oleh Allah aza wajalla. Konsep halal haram tidak lagi jadi landasan keputusan pemimpin-pemimpin Umno. Begitu juga dengan kaedah amar makruf nahi mungkar.

Ini semua ditolak ke tepi. Bagi Umno, rekod politiknya sudah memadai untuk meyakinkan rakyat bahawa setiap keputusan yang dibuatnya adalah untuk kepentingan mereka.

Lantas bertunjangkan alasan songsang bahawa kegiatan keganasan, jenayah dan juga demi menjamin rakyat tidak ditipu oleh sindiket judi, cara terbaik untuk menangani masalah ini ialah dengan menghalalkan punca kegiatan zalim itu. Justeru Kerajaan Umno-BN mula membuat keputusan bahawa skim pertaruh-an sukan, terutama bola sepak, perlu dihalalkan. Maka lesen pun dikeluarkan kepada Berjaya Corporation bagi mencapai maksud ini.

Oleh itu, jelaslah betapa keputusan itu melanggar hukum Allah. Allah haramkan judi, tetapi Kerajaan Umno-BN menghalalkannnya. Malah apabila ditegur, ia hanya membatukan diri. Bagi kita ini soal akidah. Sengaja melanggar hukum Allah bererti menentang Allah.

Jika demikian, akan gugurlah syahadah kepada Allah. Rakyat Melayu-Islam harus sedar ini adalah kemungkaran yang terbesar. Jika tidak diperbetulkan sekarang, akidah seluruh umat Islam Malaysia tergugat.

Pilihan kita jelas, engkar hukum Allah adalah kufur. Kufurkah Malaysia yang selama ini mengakui negara Islam? Rakyat boleh mengubahnya. -SK


Azizan: Ada Banyak Lagi Rahsia Pentadbiran BN Yang Tidak Didedahkan

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, tiada apa yang boleh diselindung UMNO dan Barisan Nasional (BN) apabila seorang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu mendedahkan beliau pernah cuba dipujuk oleh pemimpin parti itu untuk meninggalkan Kerajaan Negeri.

"Jangan jadi tidak tentu arah dan tuding jari kepada orang lain setelah apa yang mereka buat terdedah. Itu yang saya nak ingatkan," katanya.

Menurutnya, tidak ada sebab bagi beliau ataupun Pas untuk menjadi juara dengan mencetuskan isu lompat parti melibatkan wakil rakyatnya sendiri kerana kerjasama parti komponen Pakatan Rakyat (PR) di Kedah ketika ini amat kukuh.

"Tidak ada makna untuk kita buat lagu (macam) tu. Kita berada dalam keadaan kukuh, nak cari pasal buat apa?" katanya.

Azizan berkata, Pas juga tidak terniat mahu memerangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Keadilan Rakyat dan DAP melafazkan ikrar taat setia di depan umum pada 22 Mei lalu seperti didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

"Tohmahan kononnya kita buat wakil rakyat PKR dan DAP macam daun karipole, cari bila nak guna, lepas guna buang, itu tuduhan jahat. Depa (BN) sudah gelabah," katanya ketika diminta :mengulas kenyataan Mahdzir dalam :Sinar Harian: 25 Mei lalu yang mendakwa, isu lompat parti melibatkan tiga ADUN PKR dan seorang DAP dicetuskan sendiri oleh beliau untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya beliau mampu menyelesaikan masalah dalaman PR dan mentadbir Kedah dengan baik.

Mahdzir berkata, Pas Kedah yang diterajui Azizan mencipta isu lompat parti, cuba menyelesaikannya dengan memaksa keempat-empat ADUN PKR dan DAP melafazkan ikrar taat setia dan akhirnya, dilihat sebagai juara dan penyelamat daripada kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah terpaksa dibubarkan jika keempat-empat mereka iaitu Lim Soo Nee (PKR-Kulim), S Manikumar (PKR - Bukit Selambau), Tan Chow Kang (PKR - Sidam) dan Lee Guan Aik (DAP - Kota Darulaman) jadi lompat parti.

Azizan berkata, apa yang dibangkitkan itu tidak timbul langsung.

"Saya tak mahu timbul masalah dengan sesiapa. Saya tak pernah sentuh peribadi sesiapa dan saya minta, janganlah saya pula dituduh buat perkara yang saya tidak buat," katanya.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah mengingatkan, banyak perkara berkaitan pentadbiran Kerajaan BN dahulu yang beliau tidak dedahkan.

"Jangan ganggu pentadbiran saya berlebihan hingga saya terpaksa buat apa yang sebenarnya saya tidak mahu buat. Banyak perkara saya simpan sebenarnya," katanya.

Ezam Buat Tuduhan Jahat

Dakwaan Senator Ezam Mohd Noor yang mengatakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pernah memberitahunya Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang peliwat disangkal sekeras-kerasnya oleh anak mereka, Nurul Izzah.

Nurul Izzah ketika dihubungi Sinar Harian berkata, tuduhan yang amat jahat seperti itu memang sudah dijangka keluar dari mulut Ezam yang sudah mendapat habuan Senator kerana menentang Anwar selama ini.

Katanya, pelantikan Ezam sebagai senator sebenarnya berfungsi sebagai pembuat pelbagai tuduhan dan kenyataannya di Kelantan malam kelmarin membuktikannya.

“Nasihat saya, teruskanlah dengan kerja jahat anda. Saya yakin anda akan mendapat balasan setimpal daripada Allah,” katanya.

Nurul yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, menegaskan, rakyat sudah faham dan boleh menilai sendiri kebenaran tuduhan yang dilemparkan Ezam kerana beliau sering menyerang Anwar dengan tuduhan yang tidak berasas.

“Rakyat Kelantan dan seluruh Malaysia bijak. Mereka boleh nilai aksi Ezam di atas pentas. Sudah dapat habuan, makin dahsyat tuduhan jahatnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategik PKR, Tian Chua mempertikaikan tuduhan Ezam kerana jika betul dakwaan tersebut, beliau sepatutnya sudah mendedahkannya sejak berada dalam PKR dahulu.

“Kita tidak perlu layan tuduhan ini. Saya dan beliau bersama-sama mempertahankan Anwar sejak dulu lagi. Ini bukan isu lagi sekarang.

“Ada banyak lagi isu lebih besar dari isu peribadi, contohnya seperti isu judi bola, isu tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Singapura dan pemberian telaga minyak Malaysia kepada Brunei,” katanya.

Malam kelmarin, di KOTA BHARU, Ezam ketika ceramahnya mendedahkan beliau pernah diberitahu tentang perlakuan negatif Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dari isterinya sendiri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Ezam berkata, beliau sanggup bersumpah dengan menjunjung al-Quran bahawa kenyataan tersebut dibuat oleh Wan Azizah sendiri ketika beliau masih bersama dengan parti itu sebelum ini.

“Saya cabar dia (Wan Azizah), dia boleh angkat al-Quran, dia boleh nafikan dengan mengangkat al-Quran dia tidak bagi tahu saya, tapi saya boleh angkat al-Quran untuk menyatakan orang yang bagi tahu kepada saya yang Anwar mempunyai penyakit dan perangai jijik itu tidak lain tidak bukan ialah isteri dia sendiri, Wan Azizah, ini cabaran saya,” katanya. -SH

Beranikah Ezam Sahut Cabaran Khalid?

Khalid Samad cabar Ezam bertanding di Shah Alam

Khalid Samad hari ini mencabar Senator Ezam Mohd Noor untuk menjadi calon parlimen Shah Alam pada pilihan raya akan datang berikutan beliau lantang bersuara untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen kawasan itu, kelantangan suara Ezam akan dapat dinilai oleh rakyat menjelang pilihan raya akan datang.

Khalid berkata, Ezam menyuarakan pelbagai penghinaan kepada pemimpin PR dengan pelbagai tohmahan dan penipuan dilemparkan semata-mata sebagai dalang untuk merosakkan masa depan PR.

"Beliau menagih simpati dari pemimpin Umno dan BN untuk mendapat jawatan sehingga sanggup menjadi hamba kepada mereka," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Ahli Lujnah Politik PAS Pusat itu berkata, "Ezam sengaja mereka-reka pelbagai penghinaan kepada pemimpin PR hasil hasutan Umno-Barisan Nasional untuk mengaburi pandangan rakyat kepada PR.

"Kita lihat sama ada rakyat akan memilih pemimpin yang menjadi hamba mahupun pemimpin yang berdiri teguh untuk rakyat," kata Khalid.

Beliau menegaskan, serangan yang dilakukan Ezam tidak mampu menyekat kemaraan PR yang kian teguh menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurut beliau, Umno membeli Ezam untuk digunakan sebagai alat politik kotor mereka untuk menjatuhkan kerajaan-kerajaan negeri di bawah pentadbiran PR.

"Kita tidak gentar sedikit pun serangan manusia kerdil seperti Ezam ini kerana ia tidak memberi sebarang kesan.

"Tetapi saya ingatkan jangan terlalu angkuh kerana Umno-BN sendiri sedang menghadapi dugaan berat bersama MIC yang sedang bergelora akibat krisis dalaman parti," katanya. -FMT

Ulasan GB

Ezam, menjadi YB di atas tiket Senator, tanpa bersusah payah untuk bertanding dalam pilihanraya.

Sebab beliau tahu beliau tidak akan menang jika bertanding, malah tidak akan dicalonkan pun oleh UMNO. Jika dicalonkan pula pasti mendapat bantahan dari pemimpin UMNO, setidak-tidaknya Pemuda UMNO yang lebih lama berjuang dari Ezam.

Ezam jdi senator dengan menjual maruah, dengan membuat plbagai tohmahan dan penghinaan ke atas bekas ketuanya, DSAI, dan tindakan Ezam tersebut amat disenangi oleh Presiden UMNO kerana saingan utama Najib ialah DSAI. Justeru DSAI mesti dihapuskan at all costs.

Lesen Judi: Pengarah JAIS Dan Mufti Selangor Dibidas Kerana Membisu

Kerajaan Selangor digesa supaya mengkaji semula kedudukan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Khusrin Munawi.

Gesaan itu ditimbulkan oleh ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad berikutan jabatan itu "menyepi" dalam isu pemberian lesen judi sukan pada sidang medianya hari ini.

Khalid berkata, tindakan itu bercangah dengan sikap jabatan itu sebelum ini -- dalam isu penggunaan masjid sebagai pentas politik dan juga berhubung penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Saya nak desak JAIS dan pengarahnya untuk mebuktikan bahawa dia tidak ada apa-apa kepentingan dan kesetiaan politik.

"Dalam isu-isu yang jelas pihak umno dan BN bersalah, jelas kelihatan beliau mendiamkan diri," katanya.

Beliau menjelaskan, JAIS membisu apabila beliau menimbulkan isu mengenai satu anjuran majlis tahlil dan bacaan yassin untuk calon BN di pilihan raya kecil Hulu Selangor.

"Majlis tahlil dan bacaan yasin hendak diadakan untuk calon BN tapi JAIS dan pengarahnya diam membisu.

"Sedangkan sebelum itu bising dengan soal menggunakan masjid untuk kepentingan politik.

"Kononnya kuliah dan tazkirah ringkas yang disampaikan (Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat) melanggar peraturan yang ditetapkan oleh JAIS, yang disokong dan diperkenan oleh Sultan.

"Maka digunakan (sebagai modal untuk) lagakan PAS, Pakatan Rakyat dengan Sultan, tapi bila saya dedahkan tentang isu sepanduk itu, JAIS diam," katanya.

Khalid juga berkata JAIS juga mungkin terlibat bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam mengadakan demonstrasi bagi menyatakan bantahan berkenaan.

"Kalau tak silap saya JAIS dan MAIS terlibat dalam menganjurkan program demonstrasi tentang isu kalimah Allah, sedangkan isu itu pada hukumnya adalah harus.

"Dalam isu judi bola sepak ini, hukumnya jelas (haram). Tapi mengapa JAIS mendiamkan diri.

"Kenapa tidak dianjurkan bantahan, naikkan sepanduk di semua masjid dan surau membantah tindakan kerajaan BN.

"Ini hanya boleh dijelaskan melalui sokongan politik (Khusrin). Dalam banyak keadaan, beliau bertindak sebagai ejen Umno," katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Khusrin bertindak sedemikian sebagai tanda kesetiaan kepada pemimpin Umno.

"Adakah Datuk Khusrin ini tetap setia kepada Umno dan BN dan masih mengenang jawatan dia sebagai setiausaha politik kepada Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan masih bertindak atas kapasiti sedemikian rupa?

"(Jadi) saya menyeru kepada kerajaan negeri supaya semak semula pelantikan beliau," katanya lagi.

Tambahnya, beliau juga mendesak mufti negeri itu supaya segera mengeluarkan fatwa berhubung pemberian lesen judi tersebut.

Katanya, beliau bimbang masyarakat akan menjadi semakin ghairah untuk berjudi sekiranya tiada fatwa dikeluarkan.

"Orang yang tak pernah berjudi pun mungkin akan berjudi juga akibat keghairahan promosi (perlawanan bola sepak) Piala Dunia," katanya lagi. -mk