7 Dis 2009

Luahan Nik Amalina Undang Kritikan Balas

Penglibatan anak perempuan menteri besar Kelantan dalam pertembungan terbuka antara suaminya dan blog Kickdefella kini mengundang lebih banyak kritikan terhadap kepemimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Blog-blog yang anti-pembangkang mengambil kesempatan daripada isu tersebut dengan mengaitkannya dengan amalan nepotisme, sekali gus cuba menggambarkan kelemahan kepimpinan menteri besar itu.

Blog Ruang Bicara Faisal menyifatkan keluarga Nik Aziz sekarang umpama "cacing kepanasan" sehingga menyebabkan anaknya Nik Amalina, yang tidak pernah bersuara, menghantar luahan rasanya di blog wakil rakyat PAS Dr Siti Mariah Mahmud.

Sebagai reaksi kepada tulisan 'Kesetiaan dan pengorbanan seorang isteri' hujung bulan lalu, blog itu berkata tulisan Nik Amalina menimbulkan rasa pelik kerana seolah-olah ahli keluarga Nik Abdul Aziz "kehilangan sesuatu yang berharga" apabila suaminya Abdul Ariffahmi Ab Rahman tidak lagi menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

"Walaupun meloyakan, tetapi saya tetap berterima kasih kepada Nik Amalina dan juga Dr Mariah kerana mencelarukan lagi keadaan PAS serta memudahkan kerja kami (menyerang parti itu)," coret penulisnya dalam artikel 'Keluarga Nik Aziz dah jadi cacing kepanasan'.

Sementara blog Masterdedah pula menyifatkan penulis Kickdefella Syed Azidi Syed Abdul Aziz – musuh Abdul Ariffahmi – sebagai "petugas bawah tanah" kepada exco kanan Kelantan, Datuk Husam Musa yang didakwa berdiam diri kerana tidak mahu dilihat anti-keluarga Nik Aziz.

"Petugas underground (bawah tanah) ini tidak difahami tugasnya oleh (Abdul) Ariffahmi. Inilah jadinya kalau seorang yang ditugaskan untuk gerak saraf berpaling tadah.

"Tentulah ini tidak akan difahami oleh Nik Amalina yang hanya tahu sebagai isteri Ariffahmi," coretnya.

Blog Warisan 2057 pula mengkritik Nik Amalina yang dikatakan gagal memahami isu nepostisme yang melibatkan ahli keluarganya.

"Dengan sebab itu Nik Amalina gagal mengupas isu tersebut melainkan bermain retorik (dan) melayan emosinya sahaja.

"Untuk menyedapkan permainannya, dia mengait-ngaitkan dengan ajaran Islam. Macam orang lain tidak mengaji," kata penulisnya, yang memperkenalkan diri sebagai Proharakah.

Blog itu juga mendakwa, luahan perasaan Nik Amalina itu dengan sendirinya "memberi pengakuan, tanpa keraguan yang munasabah" bahawa Nik Abdul Aziz "dengan sengaja, bersungguh-sungguh mengamalkan kronisme" dengan melantik Abdul Ariffahmi.

Ia membuat andaian itu berdasarkan tulisan Nik Amalina yang menyebut, pelantikan suaminya disokong bapanya Nik Abdul Aziz selepas perkara itu disuarakan sebanyak empat kali.

"Jadi kesimpulan akhirnya saya tidak nampak langsung hujah Nik Amalina yang dapat kita kaitkan dengan peranan keluarga ustaz ini (Nik Abdul Aziz) untuk agama, bangsa dan tanahair.

"Semata-mata berkisar pada kepentingan keluarga sahaja," kata penulisnya.

Sementara dalam blog yang tidak jelas pendirian politiknya Dunia Cacamarba, penulis Tayadih Maysia menyarankan Abdul Ariffahmi menyaman Syed Azidi bagi membersihkan diri dan nama bapa mertuanya.

"Orang ramai tertanya-tanya dan berasa agak pelik kerana sehingga kini masih belum kedengaran Tuan Sheikh (Syed Azidi) disaman oleh tuan badan yang dikatakan difitnah oleh Tuan Sheikh," katanya.

Syed Azidi turut dikenali sebagai Sheikh di kalangan teman-teman rapatnya.

Dalam artikel 'Saman sahajalah Tuan Sheikh itu', Tayadih Maysia hanya menyindir Nik Amalina dengan berkata:

"Banyak bercakap memberikan peluang kepada orang ramai menilai keperibadian dan perwatakan anda sebagai orang yang baik-baik."

Blog Kelab Greenboc pula berkata, Dr Mariah yang menyiarkan luahan perasaan Nik Amalina itu sepatutnya menasihatinya supaya mengadu kepada Nik Aziz sendiri daripada membiarkan anaknya itu "merapu-merapu".

"Sepatutnya YB Dr (Mariah) perlu menasihatinya bahawa ayahanda Nik Amalina sendirilah sepatutnya tempat mengadu.

"Ayahandanya seorang ulama disegani..., apa perlu Nik Amalina mengadu kepada orang lain tetapi membelakangkan ayahandanya sendiri?" coretnya semalam.

Blog itu turut mendakwa, Syed Azidi sebagai "orang yang dimusuhi" suami wanita itu, telah membawa bukti berhubung "gelagat dan perangai" Abdul Ariffahmi.

Abdul Ariffahmi dan Dr Siti Mariah ketika dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas berhubung artikel Nik Amalina dan juga penjelasan ahli parlimen PAS itu di blog tersebut. -malaysiakini

Bukan Soal Berapa Lama, Tetapi Bagaimana? - Aziz Bari

Demonstrasi oleh para penyokong UMNO dan Barisan Nasional di Kelantan dan Pulau Pinang minggu lalu saya fikir menarik untuk dibicarakan. Dari sudut perlembagaan ada beberapa sisi yang boleh diperkatakan. Yang pertama ialah soal hak bercakap dan berkumpul secara aman yang dijamin oleh Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan. Semua warganegara berhak untuk berbuat demikian

Tetapi dalam konteks negara ini perlembagaan membuat peruntukan yang membolehkan Parlimen membuat undang-undang untuk membatas atau menyekat hak-hak tersebut. Atas asas inilah kita ada peruntukan yang memberi kuasa kepada pihak polis di bawah Akta Polis 1967 untuk mengawal selia, termasuk tidak membenarkan perhimpunan awam.

Dalam kedua-dua insiden itu pasukan polis dikecam kerana mengambil sikap tidak kisah; yang jelas berbeza dengan garang yang mereka tunjukkan dalam demonstrasi yang dianjurkan oleh para penyokong Pakatan Rakyat. Kecaman itu, pada saya, wajar dan patut diizinkan dalam negara demokrasi seperti Malaysia. Umumnya saya berpendapat bahawa Perlembagaan dan undang-undang perlu selaras dengan demokrasi dan atas dasar ini saya fikir polis masih belum begitu berjaya meyakinkan rakyat tentang integriti dan keadilan mereka. Bandingkan sahaja cara polis bertindak memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti berucap di Johor beberapa minggu yang lalu.

Sisi lain yang saya hendak sentuh ialah perkara yang hendak ditangani oleh kedua-dua demonstrasi itu. Di Pulau Pinang para penyokong Barisan mendakwa bahawa mereka turun ke jalan kerana Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng gagal melaksanakan janji-janji mereka. Di Kelantan pula para penyokong UMNO itu mahu Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan.

Dari sudut Perlembagaan demonstrasi bukanlah cara yang betul untuk meminta Lim Guan Eng atau Nik Aziz meletakkan jawatan. Cara yang disediakan oleh Perlembagaan ialah melalui undi tidak percaya di dalam dewan. Dengan kata lain kalau UMNO benar-benar komited dengan Perlembagaan dan mempunyai sokongan yang diperlukan mereka perlu menggunakan cara itu. Menjerit-jerit dan membakar gambar di jalan raya bukan caranya.

Saya fikir polis boleh memaksa penyokong Barisan bersurai kerana dalam Perlembagaan jelas ada cara yang lebih betul untuk melaksanakan kehendak mereka. Sebab itu saya katakan di atas tadi polis gagal melaksanakan tugas mereka. Apalagi setelah mereka menafikan hak Anwar untuk berucap di Johor itu. Apakah di Pulau Pinang dan Kelantan tidak timbul soal kesesakan lalu lintas atau mengganggu ketenteraman awam sebagaimana yang mereka jadikan alasan di Johor dan beberapa demonstrasi Pakatan yang lain?

Selain itu saya tidak fikir penyokong Barisan di Pulau Pinang itu mengundi parti-parti Pakatan dalam Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu. Jadi apa hak mereka untuk mengatakan bahawa kerajaan pimpinan Lim Guan Eng gagal mengotakan janjinya. Saya fikir yang lebih layak untuk menuntut itu semua ialah mereka yang mengundi Pakatan.

Isu-isu di atas sememangnya komplikated dan sepatutnya diselesaikan oleh mahkamah. Tetapi dalam keadaan yang ada sekarang tidak banyak yang boleh kita harapkan dari hakim-hakim kita. Malah sekitar 15 tahun yang lalu seorang hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa hak di bawah Perlembagaan itu boleh disekat oleh apa sahaja undang-undang yang dibuat oleh Parlimen! Hakim ini jelas tidak faham Perlembagaan; khususnya prinsip ketertinggian Perlembagaan dan peranan polis dalam negara demokrasi.

Hak bersuara dan berbeza pendapat ini memang mengelirukan jika kita tidak faham kerangka Perlembagaan. Ini pernah ditimbulkan oleh mereka yang menyokong gelagat Datuk Dr Hassan Ali di Selangor. Saya katakan pada mereka yang Hassan tidak boleh menggunakan hak di bawah Perkara 10(1) kerana beliau adalah anggota pentadbiran. Ada peruntukan lain yang mengatasi peruntukan umum itu; yakni Perkara 43(3) yang menuntut beliau patuh kepada prinsip tanggungjawab bersama sebagai anggota Kabinet. Kalau Hassan hendak menggunakan hak di bawah Perkara 10(1) tadi maka perlulah beliau meletakkan jawatan Exconya.

Tentang Nik Aziz pula media UMNO begitu gemar menyebut betapa beliau terlalu lama memegang jawatan. Soalnya apakah tempoh yang baru masuk tahun ke 20 itu lebih lama dari Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun? Atau Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang menduduki kerusi menteri besar di Terengganu sebelum tersungkur dalam Pilihan Raya Umum 1999. Di Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah memegang jawatan Ketua Menteri selama 28 tahun.

Pada faham saya apa yang penting, kalau kita melihat isu ini dari sudut Perlembagaan dan demokrasi ialah cara bagaimana seseorang itu mendapat dan memegang jawatan. Bukan soal berapa lama seseorang itu memegang jawatan berkenaan. Minggu lalu, di Singapura, seorang bekas wartawan membuat dakwaan yang mengejutkan tentang jumlah wang yang lesap dalam tempoh 1981-2003. Sehingga ini orang yang selalunya cukup pantas membuat reaksi itu masih menikus. Kita juga sering mendengar betapa tempoh itu dikaitkan dengan pengembirian begitu banyak institusi awam dan pelanggaran hak asasi di negara ini. Bagi mereka yang prihatin dengan demokrasi tempoh 22 tahun itu dilihat sinonim dengan zaman gelap.

Pada saya itu menunjukkan bahawa apa yang lebih penting ialah bagaimana sesuatu jawatan itu dimenangi dan bagaimana kuasa yang dikaitkan dengan jawatan itu digunakan. Bukan soal berapa lama. Kita boleh pegang jawatan itu selama yang mungkin asalkan caranya demokratik. Tetapi memanglah bahawa logiknya sukar untuk mengekalkan jawatan kerana cabarannya banyak dan kuat pula. Sebab itu bekas Perdana Menteri Britain Harold Wilson (1964-1970 dan 1974-1976) pernah berkata bahawa seminggu dalam politik sudah cukup lama. Pengucapan itu tentunya perlu dilihat dalam konteks demokrasi mereka yang begitu terbuka, telus dan tidak ada cara untuk membawa lari tiang gol seperti di sini!

Presiden Amerika Syarikat, Frank D Roosevelt memegang jawatan itu selama empat penggal (1933-1945). Tetapi zaman kepresidenannya ditandai oleh sokongan dan pengaruh yang kuat. Beliau berada di situ atas dasar demokrasi yang kalau dibandingkan dengan Malaysia atau negara-negara primitif lain jauh bezanya. Memang selepas beliau Perlembagaan Amerika Syarikat dipinda dan seorang hanya boleh memegang jawatan presiden selema dua penggal berturut-turut. Tetapi itu dilakukan secara terbuka dan demokratik. Dengan kata lain itu adalah kehendak rakyat.

Para penyokong Barisan yang turut ke jalanan itu sepatutnya ingat hakikat itu. Mereka perlu buktikan bahawa Lim Guan Eng dan Nik Aziz sudah kehilangan sokongan. Tetapi ia perlu dilakukan di dalam dewan. Bukan di luar. Ketua Polis Kelantan dan Pulau Pinang pun kena tahu hakikat ini. Undang-undang ini terpakai kepada kedua-dua pihak, Barisan dan Pakatan. -Prof Abdul Aziz Bari

Tragedi KBMALL : 2 Maut 2 Parah

Dua pelajar perempuan sebuah kolej kejururawatan Masterskill cawangan Kota Bharu disahkan maut manakala seorang parah dan seorang lagi cedera ringan dihempap sebuah kereta yang terjunam dari tingkat atas sebuah pasar raya KB Mall dalam peristiwa semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, mangsa yang maut itu dikenali sebagai Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, manakala mangsa yang cedera parah ialah Rashidah Ahmad Latfi, 24, juga pelajar kolej yang sama.

Pemandu kereta terbabit, Nor Ain Said, 19, hanya mengalami cedera ringan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang apabila sebuah kereta jenis Ford Laser TX3 yang dipandu Nor Ain dikatakan rosak di Tingkat 3 parkir itu.

“Kereta itu kemudian ditolak sebelum ianya tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh dinding lubang angin pasar raya tersebut sebelum terjunam ke tingkat bawah berhampiran eskalator,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, Siti Nor Amira yang berasal dari Felda Chiku Tujuh, Gua Musang mati di tempat kejadian, manakala Siti Nor Diana dari Kampung Menjual Chabang Empat, Tumpat meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Katanya, Rashidah yang berasal dari Kampung Pancor, Jerteh, Terengganu dan Nor Ain dari Kampung Chekeli, Dewan Beta, Nilam Puri di sini pula kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Zahruddin berkata, ketika kejadian ketiga-tiga mangsa berada di tingkat bawah pasar raya tersebut dan tiba-tiba dihempap kenderaan terbabit.

Menurutnya, kenderaan itu dikatakan rosak ketika diletakkan parkir di tingkat atas sekali itu sebelum Nor Ain bersama adiknya Nurul Afika, 17, dan seorang lagi rakan lelaki yang dikenali sebagai Sabri, 27, dari Besut, Terengganu mengambil keputusan untuk menolak kereta berkenaan.

Nor Ain bersama adiknya itu berada dalam kereta manakala Sabri dipercayai menolak kereta terbabit sebelum ia hilang kawalan dan berlaku kejadian malang itu,” katanya.

Beliau berkata, Nurul Afika bagaimanapun terselamat dalam kejadian itu dan dilaporkan pulang ke rumah kerana ketakutan dan Sabri pula menghilangkan diri sejurus kejadian.

“Polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan akan menyiasat secara terperinci kejadian tersebut,” katanya.

Saksi kejadian, Johan Salleh, 47, berkata, ketika kejadian dia berada hampir pada tempat kejadian dan sempat melihat kereta itu terjunam lalu menghempap mangsa.

“Saya sempat menarik anak lelaki saya dan sehingga sekarang masih lagi terkejut dengan kejadian tidak disangka itu,” katanya.

Seorang lagi pengusaha premis pakaian yang hanya dikenali sebagai Lina, 40-an berkata, ketika kejadian beliau hanya mendengar dentuman kuat sebelum melihat orang ramai menjerit dan berlari keluar dari pasar raya itu.

“Saya ingatkan bangunan runtuh rupanya saya menyaksikan sebuah kereta terbang lalu terjunam dan keadaan sangat menakutkan,” katanya.

Zahruddin berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta tersebut dipercayai didaftarkan di atas nama seorang wanita iaitu, Lenolera Sandi Mohd Taib, 19, yang berasal dari Kampung Kayu Kelat, Kuala Besut.

Operasi menyelamat turut disertai oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Kota Bharu dan Darul Naim yang diketuai oleh Abdul Ghani Mamat.

Turut serta pada operasi itu ialah Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri, Shahrin Yusma Mat Yusof dengan dibantu oleh 15 anggota dan dua jentera.

Pasar raya yang terkenal dan terbesar di Kelantan itu kemudiannya ditutup kepada orang ramai. -

BERITA : SinarHarian
GRAFIK : Kosmo


Tembok lemah punca kereta terjunam: Polis

KOTA BAHARU, 7 Dis (Bernama) -- Struktur tembok bangunan penghadang kenderaan di tempat letak kereta tingkat tiga bangunan pasaraya KB Mall yang tidak kukuh dipercayai punca kepada kereta yang dipandu seorang wanita terjunam ke dalam bangunan itu Ahad.

Ketua Polis Kelantan SAC1 Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sekiranya tembok setinggi 1.8 meter itu dibina dengan bata dengan terdapat tetulang besi di dalam, mustahil boleh runtuh sebagaimana berlaku semalam.

"Dinding itu dibina dengan bata setinggi 1.8 meter dan tidak terdapat besi di dalam bagi menguatkan dinding itu daripada mudah runtuh," katanya kepada pemberita pada majlis Berkhatan Beramai-ramai anak warga PDRM, Kontinjen Kelantan di sini, Isnin.

Pada kejadian pukul 5 petang Ahad, dua pelajar perempuan Kolej Kejururawatan Masterskill cawangan Kota Baharu, Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, terbunuh dihempap kereta terbabit ketika berada di atas tangga bergerak pasar raya itu.

Dua mangsa yang cedera parah ialah Rashidah Ahmad Lutfi, 24, juga pelajar kolej yang sama dan pemandu kereta terbabit, Nor Ain Said, 19, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Beliau berkata kejadian dikatakan berlaku apabila pemandu kereta terbabit tidak dapat mengawal kenderaan yang ditolak oleh seorang lelaki bagi menghidupkan enjin.

Abdul Rahim berkata siasatan awal mendapati tembok penghadang ke bangunan itu dibina dengan bata sahaja, tidak menggunakan konkrit tetulang sebagaimana lazim dilakukan ke atas bangunan-bangunan konkrit.

Katanya siasatan dibuat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dan denda kerana dikatakan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.

Beliau juga meminta seorang lelaki yang dipercayai rakan kepada pemandu kereta itu yang menghilangkan diri tampil membantu polis menyiasat kes terbabit di mana-mana balai polis berdekatan.

"Kita percaya lelaki itu boleh membantu siasatan kerana dia berada bersama-sama bersama pemandu wanita dan adik wanita itu yang selamat," katanya.

-- BERNAMA


Ulasan GB

GB telah mengulasnya di SINI.

Bacalah dengan menggunakan mata-hati.

Jika benar laporan Bernama menytakan tembok penghadang lemah, Kerajaan Negeri Kelantan perlu pastikan "tembok penghadang" kerajaan PAS negeri Kelantan diperkukuhkan.

Piala Monsun: Terengganu Bazirkan RM2.4 bilion

Piala Monsun: Terengganu bazir RM2.4 bilion
Oleh Faradiza

Kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said membazir sebanyak RM2.4 bilion wang rakyat dengan menganjurkan Piala Monsun yang sedang berlangsung ketika ini.

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat, Rosli Abdullah mendedahkan bahawa dengan perbelanjaan sebanyak RM300 juta setahun maka jumlah untuk tempuh lapan tahun kontrak penganjuran bermakna RM2.4 bilion yang dipercayai wang ehsan hasil petrol, hangus.

Beliau berkata, "dengan jumlah tersebut kerajaan negeri boleh membina 80,000 unit rumah kos rendah dengan harga RM30,000 sebuah untuk rakyat Terengganu.

"Dengan jumlah wang itu juga, kerajaan negeri boleh memberi biasiswa kepada anak-anak Terengganu sebanyak RM50,000 setiap seorang untuk 48,000 pelajar," tambah beliau.

Menurut Rosli, penganjuran Piala Monsun ini adalah bertujuan untuk mengagih-agihkan projek kepada ahli-ahli Umno-Barisan Nasional (BN) menerusi sebuah syarikat kroni T-Best Events yang dibentuk oleh kerajaan negeri.

Tugas syarikat kroni ini ialah untuk mewujudkan peluang-peluang perniagaan dan mengagih-agihkan kerja-kerja kepada kontraktor dan sub-kontraktor bagi mengaut keuntungan, cetusan dari peruntukan RM300 juta setiap tahun itu.

"Inilah bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh Umno-BN dan kita tidak menolak kemungkinan terdapat unsur-unsur rasuah yang sudah menjadi darah daging Umno-BN yang semakin hari semakin parah," ujar beliau.

Katanya, para peserta perahu layar pada pertandingan Piala Monsun pula terdiri dari para peserta luar negara dan sedikit pun tidak menguntungkan rakyat tempatan.

Rosli berkata, kerajaan negeri Terengganu hendaklah mencontohi negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat membantu warga emas sebanyak RM2,000 seorang apabila ditimpa musibah, sebanyak RM2,500 untuk ibu tunggal dan memastikan setiap keluarga memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM400 sebulan.

Beliau menyeru kerajaan negeri supaya memperpanjangkan bantuan komputer riba bernilai RM1,500 sebuah yang disediakan kepada kanak-kanak sekolah rendah tahun lima pada ketika ini, kepada pelajar-pelajar di sekolah menengah.

"Terengganu yang kaya dengan hasil minyak dan dibiarkan rakyatnya hidup dalam kemiskinan merupakan satu agenda politik kotor supaya rakyatnya terus bergantung hidup kepada Umno-BN," tegas beliau.

Senario yang samalah menyebabkan Kerajaan Kelantan mahu royalti diberikan, bukan wang ehsan yang akan disalahgunakan.

Beliau kata dakwaan Awang Adek kononnya, wang ehsan akan sampai ke semua rakyat tanpa mengira pegangan politik hanyalah gimik.

Apa yang digusarkan, hanya sekelumit wang ehsan sampai ke rakyat ‘terpilih’ selebihnya disalahgunakan untuk diagih-agihkan di kalangan kroni.

Renungan Kalam Ilahi, Kota Baru Tidak Runtuh Diredah Samseng NGO

Sebuah kereta jenis Ford Laser TX3 berwarna kuning dipercayai dipandu dengan laju dibahagian atas tempat letak kereta Pasaraya KB Mall dan merempuh dinding penghadang lalu tembus ke bahagian tengah escalator utama Pasaraya KB Mall sehingga mengakibatkan kematian 2 orang pengunjung dan 2 lagi dilaporkan parah, lapor Perisik-Rakyat.

Mereka yang terbunuh dikatakan sedang berada diatas escalator sebelum ditimpa oleh kereta tersebut yang jatuh dari tempat letak kereta tingkat 3 bangunan KB Mall. mereka yang terbunuh dan tercedera dimaklumkan sebagai pelajar Kolej Masterskill Kota Bharu yang berjunjung ke KB Mall.

Mangsa, Siti Nor Amira Samsuddin 19, Siti Nor Diana Azman 18 dan Rashidah Ahmad Lutfi 24, berada dieskalator berkenaan ketika kejadian berlaku. Siti Nor Amira yang cedera parah dikepala, terbunuh ditempat kejadian, manakala Siti Nor Diana menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital setelah mengalami pendarahan yang teruk di kepala.

Seorang lagi mangsa, Rashidah yang cedera parah masih berada di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta berkenaan dipercayai melarikan diri dan gagal dikesan sehingga kini. pihak KB Mall telah menghentikan dengan serta-merta semua operasi perniagaan didalam KB Mall sebaik sahaja kemalangan tersebut berlaku. tidak diketahui berapa hari operasi perniagaan akan dihentikan berikutan pihak KB Mall terpaksa melakukan kerja baik pulih yang banyak.

Setakat ini, jumlah kerugian masih belum diketahui dan punca sebenar kejadian juga masih dalam siasatan pihak polis.

Dalam pada itu, perisik-rakyat juga melaporkan 3 remaja lelaki telah ditahan didalam KB Mall oleh para pegawai yang bertugas setelah dikesan cuba mencuri pakaian ketika para pegawai bertugas sedang sibuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan siasatan kemalangan tersebut.

Ketiga-tiga remaja tersebut yang dikenal pasti berasal dari Pengkalan Chepa telah ditahan setelah seorang pengawal menahan mereka yang dikesan memakai beberapa lapis pakaian yang dicuri. ke 3-3 remaja tersebut kemudiannya ditahan dan dibawa ke bilik pengawal KB Mall dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.


Ulasan GB

Kejadian yang berlaku hanya beberapa hari sesudah berlaku dua peristiwa penting di negeri Kelantan. Pertama NGO berhimpun sekitar 100 orang untuk mendesak Menteri Besar Kelantan TuanGuru Nik Aziz meletak jawatan. Kedua himpunan puluhan ribu orang menyokong dan berdiri teguh di belakang Nik Aziz.

Ada pihak yang telah terbabas sehingga melakukan "rempuhan" ke atas kerajaan Nik Aziz di Kelantan - kerajaan PAS Kelantan tidak tumbang sekalipun ada berlaku sedikit gangguan urusan pentadbiran.

Ada pihak mengambil kesempatan di dalam suasana yang kecoh itu. 3 remaja didapati mencuri. Begitulah di dalam suasana pihak NGO yang cuba merempuh kerajaan Nik Aziz. Ada mereka yang yang mengambil kesempatan dari kekecohan itu, menumpang publisiti untuk menghentam Nik Aziz.

Akhirnya - episod berkesudahan dengan, pemandu kereta menghilangkan diri setelah rempuhannya mengorbankan orang tidak berdosa. Pengambil kesempatan ditahan. Kini rakyat memburu siapa "driver" NGO berkenaan.