10 Nov 2012

1,000 Sertai Demo Bantah Chua Soi Lek Hina Hudud


Marang: Hampir 1,000 umat Islam yang selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Rusila, semalam mengadakan bantahan secara aman terhadap kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang disifatkan menghina hudud serta hukum Islam.

Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali berkata Presiden MCA itu tidak mengetahui perundangan Islam tetapi bersikap kurang ajar kerana menghina hukum hudud dan Islam amnya.

Menurutnya, pemimpin MCA tersebut juga biadap kerana mempertikai agama Islam dengan mempersoalkan hudud yang telah digubal di Kelantan dan Terengganu sebagai hudud versi PAS.

“Tunjukkan contoh, di mana lemahnya (hudud), di mana kurang atau pun tempat tidak kena undang-undang hudud yang digubalkan khususnya di Terengganu dan Kelantan yang telah mengubalkan undang-undang di bawah Kanun Jenayah Syariah,” ujarnya.

Antara pimpinan PAS yang hadir dan berucap iaitu Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Dr Alias Razak, Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Ahmad Faizul Wan Abas dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, Syeikh Muhammad Hanafi.

Yahaya selaku Yang Dipertua PAS Marang menegaskan perhimpunan secara aman tersebut bagi menyatakan sikap serta pendirian PAS mempertahankan Islam.

Ini kerana, kata beliau, hati umat Islam di negara ini terguris, terkilan dan marah dengan kenyataan dibuat oleh mereka yang tidak faham serta membenci Islam.

“Ini (demontrasi) adalah untuk menyatakan sikap dan pendirian kita membela Islam.

Hati umat Islam terguris, terkilan dan marah dengan kenyataan-kenyataan dibuat oleh mereka yang tidak faham dan dilihat seperti membenci agama Islam.

“Kita sendiri juga diajar oleh agama (Islam) agar kita tidak menghina agama-agama lain walau pun kita tidak bersetuju dengan agama-agama lain (namun) kita tidak sampai menghina agama-agama mereka,” jelasnya. -HD

Lagi Kes Polis Didakwa Merogol Di Balai Polis

Bukit Mertajam - Seorang pekerja kedai makan warga Indonesia mendakwa dia dirogol tiga anggota polis di sebuah balai polis dekat sini semalam.

Mangsa berusia 25 tahun mendakwa ditahan tiga anggota polis berusia lingkungan 20-an sehingga 30-an pada jam 6.20 pagi berhampiran pasar raya Pacific, Perai dan dibawa ke balai polis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Hanafi yang dihubungi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut lunas perundangan jika benar dakwaan itu.

Beliau juga mengesahkan tiga anggota terbabit direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Menurut mangsa, ketika ditahan dia berada dalam kereta sewa bersama seorang pemandu teksi tempatan selepas menghantar seorang rakan perempuannya yang tinggal di kawasan itu .

“Tidak lama selepas itu, sebuah kereta peronda polis jenis proton Wira menahan kereta yang kami naiki dan dua anggota polis yang memakai uniform polis meminta kami menunjukkan kad pengenalan.

“Ketika itu, saya hanya membawa salinan pasport. Jadi, anggota polis itu tidak mahu menerima salinan pasport dan mengatakan akan membawa kami ke balai polis.

“Bagaimanapun, saya merayu kepada dua anggota polis ini dan meminta mereka melepaskan pemandu teksi yang ketika itu digari,” katanya yang ditemui di Pejabat MCA Bukit Mertajam, pagi tadi.

Turut hadir, Penyelaras Barisan Nasional (BN) Bukit Mertajam, Lau Chiek Tuan dan Pengerusi Wanita MCA Bukit Mertajam, Goh Swee Gim.

Ulasan GB

Sebelum ini GB sudah ulas di dalam kes seorang anggota polis ditahan kerana merogol pelajar tingkatan 5 di dalam balai polis. Petikan:

Semakin banyak kita temui kisah polis merompak, mengugut, membunuh, merogol dan melakukan hal-hal mengejutkan yang menyebabkan jenayah terus berleluasa kerana ia dilakukan oleh orang yang ada pistol...

Dalam balai polis pun boleh berlaku kejadian rogol. Apakah ini juga bererti perempuan jangan dekati balai polis?

Atau semua balai polis perlu letak signboard besar-besar, "KAMI JAMIN TIADA PEROGOL & PENJENAYAH DISINI!" supaya orangramai berani ke Balai Polis?

Sekali lagi ingin GB tegaskan, kita tidak bermaksud untuk orang membenci polis, tetapi perbuatan polis itu sendiri mengundang kebencian rakyat terhadap mereka.

Saham FELDA Ditimpa "Haramjadah", Apa Langkah Najib Seterusnya?


Saham Felda menjunam, apa tanggungjawab Najib?

KUALA LUMPUR: Kerajaan mestilah mengemukakan pelan tindakan untuk menangani kejatuhan saham Felda yang telah menghampiri rekod terendah, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Orang yang dilihat paling beria-ia hendak menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) sebelum ini ialah (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sendiri.

"Pandangan dan bantahan yang bertentangan dengan keserakahannya hendak menyenaraikan FGVH tidak dipedulikan langsung," katanya.

Beliau meminta rakyat khususnya para peneroka beramai-ramai mendesak Najib mengambil tanggungjawab ke atas apa yang terjadi ke atas saham Felda kini.

Salahuddin juga kesal kerana kerajaan pimpinan Najib langsung tidak memperlihatkan sebarang daya usaha yang diyakini umum untuk menangani kejatuhan saham Felda itu.

"Rakyat hendak melihat apa perancangan, pelan tindakan dan usaha yang diyakini dari pihak kerajaan untuk menangani kejatuhan saham Felda itu," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Saham FGVH, tawaran awal awam (IPO) kedua terbesar di dunia tahun ini, dilaporkan telah merosot dalam minggu lepas atas keraguan terhadap pendapatan lemah syarikat perladangan tersebut.

Saham gergasi perladangan itu, yang sepatutnya menjadi durian runtuh kewangan kepada peneroka Felda, diniagakan serendah RM4.59 semalam, sedikit lagi menghampiri rekod terendah RM4.57 yang dicatatkan pada 11 September.

FGVH ditutup pada RM4.63, tujuh sen lebih rendah berbanding pada 1 November dan hanya lapan sen di atas harga IPO.

Bimbang dengan perkembangan yang akhirnya pasti akan memangsakan para peneroka Felda itu, Salahuddin menggesa kerajaan menubuhkan satu panel bebas yang terdiri dari pakar-pakar berkaitan untuk menangani masalah itu.

"Jika panel tersebut ditubuhkan, kita meggesa kerajaan menerima cadangan panel tersebut walaupun merombak pengurusan Felda sekalipun.

"Kita lihat apa yang berlaku itu berpunca dari masalah ketiadaan keyakinan pelabur terhadap saham FGVH," katanya sambil menekankan supaya kerajaan khususnya Perdana Menteri tidak bersikap lepas tangan atas apa yang berlaku itu.

Ramai peneroka mengambil pinjaman untuk membeli saham FGVH dan trend umum penurunan harga saham tersebut sejak penyenaraiannya pada 28 Jun apabila ia mencecah rekod tinggi RM5.46, dijangka akan memangsakan mereka walaupun beberapa langkah diambil oleh Felda untuk menguruskan hutang para peneroka yang terlibat.

Kenyataan Izzah Dimanipulasi Supaya Nampak Teruk – Imam Muda

Juara program realiti Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Ridzuan berkata, ada pihak sengaja memperbesarkan isu murtad dan kebebasan beragama supaya nampak teruk dan dijadikan topik hangat, sedangkan ia perkara biasa yang sering dibincang dalam majlis ilmu.

“Isu ini jadi menarik dan sensitif kerana ia telah dimanipulasi, dibesar-besarkan sehingga kita rasa perkara ini sangat teruk dan perlu untuk dibincangkan,” katanya merujuk kenyataan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama yang diputar belit oleh Utusan dan media pro-BN.

Beliau berkata demikian dalam forum ‘Kebebasan beragama atau murtad?’ di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor malam tadi.

Dalam Islam, Asyraf berkata, tiada tuntutan untuk memaksa orang lain percaya dengan keyakinan dan pendapat seseorang.

“Setiap individu bebas untuk memberi pendapat, melahir dan bertukar pandangan, bebas untuk masuk agama Islam tanpa paksaan. Namun, apabila berada dalam Islam, ikutlah syariah sebetulnya,” katanya.

Pendakwah, Wan Ji Wan Hussin pula berkata, dalam agama tidak perlu ada unsur memaksa untuk melahirkan penganut yang berkualiti.

“Dalam bercintapun kita kena telus apatah lagi dalam beragama, kita tidak perlu menghukum murtad, tapi berdakwahlah,” katanya yang dikenali sebagai Ustaz Wan Ji.

“Ubat kepada penyakit murtad adalah keyakinan, dan keyakinan diperoleh melalui kebebasan,” jelas beliau.

Wan Ji turut mempersoal tindakan pihak yang cuba mengkritik isu murtad dan agama walhal tidak mendalami isu tersebut.

“Ini yang (saya) nak komen Saifuddin Abdullah, Khairy Jamaluddin, Perkasa, jangan jadikan pemikiran rakyat itu semakin sempit,” tegasnya.

Panelis lain dalam forum itu adalah penulis lirik, Hasmi Hashim dan bekas Setiausaha Akhbar Ketua Pembangkang, Eekmal Ahmad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves, Amirudin Shari pula sebagai moderator.

Umno guna agama untuk takutkan Melayu

Mengulas sama serangan terhadap Izzah, Hasmi berkata, Umno BN gunakan isu agama sejak 50 tahun lalu sebagai ancaman untuk takutkan orang Melayu.

“(Kerajaan) menggunakan elemen politik ketakutan sebagai senjata politik mereka untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Dan ketakutan itu boleh dinamakan atas nama agama, bangsa ataupun raja-raja,” katanya.

Ketua Cabang KEADILAN Parit Sulong itu mempersoal sikap kerajaan yang hanya berminat menjadikan isu agama sebagai polemik dan bukan mencari jalan penyelesaian.

“Kenapa tidak diadakan debat atau forum seperti ini di media arus perdana? Hanya membesarkan isu tanpa yang dituduh diberi sedikit peluang pun untuk membela diri,” tegasnya.

Justeru kata Hasmi, perbincangan seperti itu perlu diadakan di media massa dan semua pihak wajar diberi ruang.

Beliau menyeru generasi muda memikirkan semula sama ada strategi itu masih relevan untuk diaplikasi pada masa kini.

Forum itu dihadiri lebih kurang 200 hadirin dan turut mendapat sambutan golongan bukan Islam.-KD

TGNA: Izzah Tidak Bernasib Baik Kerana Dia Pembangkang

Nik Aziz pertahan Nurul Izzah

Kota Bharu - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berikutan pelbagai kecaman sesetengah pihak ekoran kenyataannya dikatakan meremehkan soal akidah atau menerima orang Islam yang memilih untuk murtad.

Abdul Aziz berkata, kenyataan Nurul Izzah menjadi perkara serius dan dibincangkan oleh pelbagai pihak memandangkan beliau merupakan anggota parti pembangkang yang sememangnya sentiasa tidak sehaluan dengan pihak lawan.

Oleh itu, menurutnya setiap perkara mahupun kenyataan yang dibuat oleh pembangkang diputar belit untuk menjadikannya buruk.

“Bagi saya dalam isu ini, Izzah tidak bernasib baik kerana dia pembangkang, apabila buat benda sikit walaupun perkataannya boleh menjadi celaru juga tetapi ia menjadi ‘gege gegok’ (diperbesarkan),” katanya ketika menyampaikan Kuliah Mingguan di sini, semalam.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita selepas Kuliah Mingguan, Nik Aziz yang juga Menteri Besar menyalahkan laporan media dan katanya, tidak semestinya apa dikeluarkan media serupa dengan kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

“Izzah lain surat khabar lain.... yang Izzah bercakap mestikah serupa yang akhbar siarkan? Sebab itu kali pertama saya tengok benda ini disiarkan akhbar saya rasa bukan dia,” katanya kepada media semalam.

Nik Aziz berkata, berdasarkan keterangan daripada Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang hadir bersama-sama Nurul Izzah dalam forum Islamic State: Which version? Whose responsibility? di Subang Jaya Sabtu lalu, ia tidak sama dengan kenyataan Nurul Izzah.

“Saya pembangkang dan saya juga dituduh sebagai bapa kafir, sedangkan saya ini pejuang Islam,” katanya. -SH

300,000 Tiada IC Mahu Demo Depan JPN 5 Disember

Himpunan Duduk Bantah akan diadakan depan bangunan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya 5 Disember ini jika Perdana Menteri gagal selesaikan permasalahan kad pengenalan melibatkan lebih 300,000 kaum India di negara ini.

“Najib (Razak) masih ada masa untuk selesaikan masalah ini dan jika tidak, himpunan tetap diteruskan sebagaimana dijadual berlangsung pada jam 10.00 pagi.

“Kami menjangkakan ribuan kaum India terutama mereka yang dinafi dari mendapatkan kad pengenalan sejak sekian lama akan hadir dalam himpunan itu yang kami namakan ‘Duduk Bantah’ ini,” kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Menurutnya, persediaan untuk himpunan itu sudah mula digerakkan dan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), aktivis masyarakat, peguam termasuk pemimpin Pakatan Rakyat terutama berketurunan India sudah mengesahkan kehadiran.

“Kami akan terus duduk bantah dan berkhemah depan pejabat JPN hingga masalah ini diselesaikan. Kami berharap pihak berkuasa menolak dari menjadi kuda tunggakan Najib untuk menghalang himpunan ini,” tegasnya.

Sementara itu, R Sarathrajan yang dinafi dari memiliki kad pengenalan walaupun sijil kelahirannya menyatakan beliau adalah warganegara, turut mengesahkan kehadiran pada himpunan itu. -KD

Gelidah Tanpa Waran, Ahmad Mahu Polis Tubuh Jawatankuasa Siasatan

Juruukur bahan yang didakwa menghina Sultan Johor di laman Facebook hari ini membuat laporan polis menggesa satu siasatan dijalankan terhadap pihak polis yang bertanggungjawab dalam siasatan terhadapnya kerana dakwanya telah menyalahgunakan kuasa mereka.

Ahmad Abdul Jalil, 27 yang ditemani keluarganya, beserta peguam hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 3.30 petang hari ini turut meminta Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi tujuan tersebut dan juga demi keselematan dirinya dan keluarga.

“Ahmad menuntut pihak polis menyiasat anggota mereka yang terlibat dalam kes ini telah menyalahgunakan kuasa mereka apabila menggeledah rumah keluarganya tanpa waran serta tidak memberikan hak kepadanya untuk berjumpa peguam dan keluarga.

“Kami (juga) meminta Bukit Aman untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi memastikan keselamatan Ahmad dan keluarganya terjamin,” kata peguam yang mewakili Ahmad, Fadiah Nadwa Fikri.

Sementara itu, Ahmad ketika sidang media selepas laporan polis itu dibuat berkata, dirinya mengalami tekanan emosi akibat tindakan pihak polis semasa sesi soal siasat, di samping tidak memberi kebenaran kepadanya untuk bertemu keluarga dan peguamnya.

“Saya tiada niat untuk tarik perhatian umum .... (tetapi) ketika ditahan, saya tidak diberikan hak untuk jumpa peguam dan keluarga.

“Tuduhan mereka juga tidak berasas .... bukan saya yang lakukan perkara itu (hina Sultan Johor) ....saya bukan penjenayah,” kata Ahmad kepada pemberita.

Beliau juga meminta pihak polis diberikan kebebasan untuk menyiasat kes ini dan mengambil berat terhadap keselamatan dirinya.

“Bukit Aman perlu siasat dan ambil berat kes ini .... dan perlu diberikan kebebasan untuk menyiasat kes ini,” katanya lagi.

Ahmad semalam telah didakwa di Mahkamah Johor Baru atas dua pertuduhan, masing-masing di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di atas dakwaan menghina Sultan Johor di laman Facebook.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah, dan telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Sebutan bagi kes ini akan didengar pada 28 November 2012 di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 Johor Bahru.

Beliau sebelum ini telah ditahan di pejabatnya di Cheras, sebelum di bawa ke Johor oleh pihak polis. -TMI

Himpunan Rakyat Desak Batal Perlaksanaan AES Dalam Tempoh Seminggu


Manjung, 9 NOV : NGO ‘Bantah AES’ mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha untuk membatalkan perlaksanaan Sistem Penguatkuasaaan Automatik (AES) dalam tempoh seminggu.

Koordinator Bersama, Bantah AES, Saifullah Zulkifli menegaskan, sebarang usaha untuk menangani masalah kemalangan adalah disokong.

Akan tetapi pelaksanaan AES adalah meragukan dan membebankan rakyat.

“Pihak Bantah AES dengan ini memberi tempoh seminggu kepada Datuk Seri Kong Cho Ha untuk membatalkan pelaksanaan AES dan memberi respon terhadap bantahan ini.

“Jika berlaku sebaliknya, satu lagi perhimpunan ‘BANTAH AES’ bersama pimpinan Pakatan Rakyat (PR) akan diadakan ke Parlimen,” katanya dlam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian selepas Himpunan Rakyat Bantah AES yang dihadiri 500 orang penyokong di Sitiawan, Perak hari ini.

Mereka mula berkumpul di Masjid An-Nasyirah, Sitiawan selepas solat Jumaat dan kemudiannya berarak ke pejabat Cho Ha yang juga Ahli Parlimen Lumut.

Memorandum bantahan terhadap AES ini mengemukakan empat faktor mengapa sistem itu ditolak.

Empat faktor yang dinyatakan dalam memorandum tersebut adalah latar belakang dua buah syarikat yang dilantik dan perjanjian penswastaaan amat mencurigakan.

Memorandum itu juga berkata kemalangan tidak disebabkan hanya kerana kelajuan semata-mata dan perlaksanaan AES menambahkan beban kewangan kepada rakyat.

“Pihak Bantah AES menyatakan kekesalan terhadap sikap penakut Ahli Parlimen Lumut, Datok Seri Kong Cho Ha untuk berhadapan dengan rakyat dan hanya menghantar kerani pejabat parlimen untuk menerima memorandum tersebut,” ujarnya lagi.

Himpunan ini dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat, NGO dan pimpinan masyarakat.

Antara pimpinan yang hadir dan memberi ucapan adalah wakil PKR Perak, Chang Lih Kang, Dr Raja Ahmad Iskandar yang wakili Dewan Pemuda Pas Perak, Siti Aisyah Sheik Ismail selaku wakil PKR Pusat dan beberapa pimpinan NGO lain.