4 Sep 2011

Isu Kematian Noramfaizul: Kelab Putera 1Malaysia Perlu Dipertanggunggjawabkan

Kelab Putera perlu tanggungjawab kematian jurukamera, kata saudara

SUBANG, 4 Sept — Keluarga terdekat Noramfaizul Mohd Nor mahu penganjur misi kemanusiaan ke Somalia, Kelab Putera 1 Malaysia memikul tanggungjawab atas kematian jurukamera Bernama TV itu kelmarin.

Kelab itu diketuai oleh ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Azeez yang juga Ketua Putera parti itu.

“Mereka (Kelab Putera 1 Malaysia) adalah pihak yang menganjurkan (misi)kemanusiaan). Mereka tidak boleh lepas tangan,” kata pak cik Noramfaizul, Abu Bakar Md Yasin (gambar atas) kepada The Malaysian Insider di Pangkalan TUDM di sini hari ini.

“Mereka seharusnya telah melakukan risikan awal. Ia negara asing,” kata bekas kakitangan awam Kementerian Pertahanan ini.

Seorang lagi bapa saudara pak cik Noramfaizul, Md Tahir Md Yasin berkata kematian itu sepatutnya boleh dielakkan.

“Mereka seharusnya memakai baju kalis peluru. Ia bukan negara stabil,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Bekas guru berusia 69 tahun ini berkata, Bernama juga seharusnya bertanggungjawab atas kematian Noramfaizul, selain Kelab Putera 1 Malaysia.

Mary Francis, pakar psikologi yang merupakan salah seorang peserta misi kemanusiaan memberi pandangan yang seiring dengan kenyataan Tahir dengan berkata: “Mereka tiada jaket kalis peluru. Ini penting di negara yang berkonflik.”

Katanya, peserta pasukan ada memakai jaket kalis peluru ketika jenazah Noramfaizul dibawa pulang.

“Bagaimanapun ia sudah terlewat... dia mungkin selamat jika ada mengenakan jaket,” katanya.

Suri rumah berusia 54 tahun ini yang menitiskan air mata berkata, pasukan misi kemanusiaan seharusnya telah diberikan latihan secukupnya.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz berkata, wakil media misi sewajarnya telah diberikan latihan dan disediakan aspek keselamatan yang baik.

“Menyediakan jaket, kereta kalis peluru... seharusnya mereka disediakan tahap keselamatan tentera yang lebih baik,” katanya.

“Mereka seharusnya telah diberikan latihan zon perang. Peserta kali pertama (pula) tidak seharusnya dihantar,” kata beliau. -TMI

Ulasan GB

GB sudah ulas hal di atas di dalam entri: Kenyataan Tidak Bertanggungjawab Najib - Ambil Mudah Aspek Keselamatan Misi Somalia. Petikan:

Kenyataan paling tidak bertanggugjawab dari seorang Perdana Menteri yang baru pulang "bercuti" dari Australia sewaktu rakyat sedang merayakan hari Lebaran dan Hari Merdeka di dalam negara.

Beliau berkata "Kadangkala, meskipun anda memakai jaket kalis peluru, ia tidak beri jaminan 100 peratus"

Justeru itu maka langkah keselamatan sudah tidak perlu diambil semata-mata kerana ia tidak memberi jaminan 100% selamat? Apa-apa pun langkah keselamatan memang tidak boleh memberi jaminan 100% selamat kerana kesemuanya di tangan Allah s.w.t., namun ia tidak bererti langkah keselamatan tidak perlu diambil lantarannya.

Ini baru betul-betul kisah Pak Pandir dengan Mak Andeh. Apa kata Pak Pandir kepada bininya Mak Andeh dalam cerita rakyat apabila anaknya mati? Kata Pak Pandir kepada Mak Andeh;

"Andeh, Andeh! Bukannya kita sahaja yang mati anak rupanya, orang lain pun ada juga yang mati anaknya, perempuan juga dan rupanya pun semacam betul-betul dengan anak kita."

Kedua, apakah kerana yang terlibat itu ialah Kelab Putera 1Malaysia maka PM meminta orangramai jangan persalahkan sesiapa demi untuk menyelamatkan nama kelab berkenaan?


"Jelajah Patriot" Hanya Bertujuan Rendahkan Martabat Bekas Perajurit

Jika Umno begitu serius dalam memperjuangkan nasib bekas perajurit yang berjuang demi tanah air tercinta, parti itu seharusnya membantu semua bekas tentera, anggota polis dan ahli keluarga warga Bukit Kepong kerana difahamkan ada di antara mereka masih belum menerima pampasan atau bantuan dari kerajaan pusat.

Justeru Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan tindakan Pemuda Umno mahu mengumpulkan semua bekas tentera, anggota polis dan ahli keluarga warga Bukit Kepong menerusi siri jelajah seluruh negara dalam program Pentas Patriot bagi menjawab kontroversi kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu amat mendukacitakan selain bersifat hanya membazir.

“Kita juga terfikir mengapa para “patriot” ini menganggap siri jelajah sebegini lebih membawa manfaat dan kebaikan daripada menyokong, mengawas, dan memberi maklum balas kepada badan kebajikan para perajurit seperti Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) dan badan-badan seperti itu?

“Jika mereka bekerjasama dengan badan-badan ini – untuk perjuangkan pembelian aset-aset Exxonmobil, sebagai contoh – pasti pejuang dan perajurit negara akan menikmati kebaikan dan keuntungan, dan kepentingan negara akan terjaga lagi terselamat,” tegas Izzah dalam kenyataan medianya.

Tegas Izzah lagi, Umno-BN sepatutnya mengutamakan kepentingan rakyat dan bukanya memberi tumpuan kepada matlamat parti semata-mata terutama sayap-sayap pemuda.

Tambah Izzah, apa yang menyedihkanya lagi adalah UMNO sekali lagi mengguna peluang sedia ada untuk menimbulkan syak wasangka dan rasa benci di kalangan rakyat demi masa kepentingan politiknya sendiri.

“Bukanlah lebih baik jika UMNO menyalurkan masa, wang ringgit dan tenaga mereka untuk membantu bekas perajurit Malaysia yang memerlukan bantuan, dan bukannya untuk menjalankan program-program jelajah sebegini? Bukankah Utusan Malaysia, akhbar alat sebaran mereka, sudah cukup untuk mencerca PAS, Mohamad Sabu dan Pakatan Rakyat amnya?” katanya.

Katanya lagi, Umno wajib sedar bahawa tindakan itu hanyalah bertujuan mempersendakan prinsip-prinsip asas negara kerana kerajaan pimpinannya masih memperguna empat perisytiharan darurat yang masih wujud, walaupun sudah 54 tahun kita merdeka.

“Malah bukankah ini menunjukkan Umno secara tidak langsung merendahkan martabat para perajurit yang kita kasihi dan memperlekehkan perjuangan mereka selama ini, kerana kononnya negara masih belum selamat dan masih memerlukan empat perisytiharan darurat ini?


"Atau adakah UMNO yang sebenarnya memerlukan empat perisytiharan darurat ini demi masa depan politik sempit mereka?,” jelas Izzah.



Hadi Pertahan Mohd Sabu: British Kita lawan, Komunis Pun Kita Lawan

Marang – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan timbalan presidennya, Mohamad Sabu dan membidas media kerana terus menyerang pemimpin itu termasuk melabelkan Umno sebagai sebuah parti yang ‘hanyut’.

“Jangan keluarkan berita sehingga jadi fitnah, Pas ialah sebuah parti Islam yang lawan semua (penjajah), British kita lawan, komunis kita lawan,” katanya ketika ditemui di sini, mengulas serangan Umno dan medianya terhadap, Mohamad Sabu.

Mohamad Sabu dalam kenyataannya sebelum ini mencadangkan agar sejarah negara dikaji semula sehingga menimbulkan kontroversi.

Ini berikutan dakwaan Umno melakarkan sejarah negara berdasarkan kepentingannya, tetapi bukan cerita sebenar.

Mohamad Sabu yang dipetik berkata, isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 1950 diceritakan Umno sebagai penjahat menyerang hero iaitu polis yang mempertahankan balai itu.

“Ia menjadi satu kepercayaan ramai apabila Jins Samsudin membuat filem Bukit Kepong berdasarkan persepsi itu. Antara yang menyerangnya adalah kumpulan dipimpin Mat Indera, di samping komunis yang juga melawan penjajah British ketika itu.

“Polis ketika itu bertugas dengan penjajah Inggeris yang menjajah Tanah Melayu pada waktu itu. Antara pihak menentang Inggeris adalah pejuang Islam dipelopori Abu Bakar Al Bakir, kumpulan Nasionalis Melayu pimpin Ahmad Boestaman dan komunis,” katanya.

Namun, katanya, kesemua mereka tidak menjadi hero yang memperjuangkan kemerdekaan dan melawan bagi pengkisah sejarah negara yang dipimpin Umno, tetapi menjadi hero adalah Datuk Onn Jaffar dan Tunku Abdul Rahman.

“Pada hal Datuk Onn adalah menteri besar yang dilantik Inggeris untuk mentadbir Johor. Tunku Abdul Rahman pula adalah pegawai British,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang berkata, perkara itu bukan sesuatu yang baru kerana Umno hanya menyokong pihak berkuasa yang dapat memberi keuntungan kepada mereka sahaja.

“Umno hanya sokong siapa yang berkuasa. Masa British berkuasa sokong British kalau Jepun berkuasa sokong Jepun, kalau komunis berkuasa mereka akan sokong komunis kerana mereka (Umno) hanyut, tetapi Pas akan melawan semua
,” katanya. -SH

Padah Berasmara Dalam Kereta, Tertolak Gear Reverse Lalu Rempuh Penghadang

Changsa – Satu pasangan yang berasmara dalam sebuah kereta nyaris maut kerana mereka tidak mematikan enjin kereta, lapor sebuah akhbar semalam.

Pasangan itu pada mulanya berasmara dalam kereta yang diletakkan di tempat letak kereta di atas bumbung sebuah bangunan di sini, selatan China baru-baru ini.

Mereka tidak mematikan enjin kerana mahu menikmati hawa dingin ketika berasmara.

Namun, si lelaki, Qiao Hou tertolak gear menyebabkan kereta berkenaan mengundur dan merempuh penghadang tempat letak kereta.

Kereta itu tidak terjatuh sebaliknya bahagian belakang kenderaan tersebut tergantung pada ketinggian 18.28 meter.

Kekasih Hou menjerit menyebabkan beberapa orang bergegas membantu mereka keluar dari kenderaan itu.

– Agensi

Kenyataan Tidak Bertanggungjawab Najib - Ambil Mudah Aspek Keselamatan Misi Somalia

Najib: Usah salahkan sesiapa ekoran kematian jurukamera di Somalia

SUBANG, 4 Sept — Datuk Seri Najib Razak meminta orang ramai tidak mempersalahkan sesiapa atas kematian jurukamera Bernama TV yang menyertai misi kemanusiaan di Somalia, kelmarin.

Gambar: Najib Razak dan Rosmah Mansor berbual dengan isteri Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor di Pangkalan TUDM Subang. — Foto oleh Choo Choy May

Perdana Menteri berkata keselamatan tidak boleh dijamin seratus peratus meskipun langkah-langkah berjaga diambil ataupun diberi latihan.

“Kadangkala, meskipun anda memakai jaket kalis peluru, ia tidak beri jaminan 100 peratus,” kata Najib pada sidang media di Pangkalan TUDM di sini hari ini selepas menerima jenazah.

Jenazah Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu tiba kira-kira pukul 10 pagi tadi. -TMI


Jenazah Noramfaizul Tiba Di Pangkalan TUDM Subang

SUBANG JAYA 4 SEPTEMBER : Jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia, tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, pada jam 10 pagi tadi.

Suasana hiba menyelubungi perkarangan pangkalan itu sebaik jenazah Allahyarham dibawa keluar daripada pesawat C-130 TUDM yang turut membawa pulang anggota misi bantuan Malaysia itu.

Jenazah Allahyarham disambut anggota keluarga termasuk ayah Mohd Nor Mat Yassin, 66, dan ibu Naemah Abd Majid, 63.

Selain anggota keluarga, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Noramfaizul dan kumpulan misi bantuan kemanusiaan bertujuan membantu mangsa kebuluran di Somalia.

Jurugambar dan jurukamera mewakili pelbagai organisasi media kelihatan berkerumun di bahagian belakang pesawat ketika keranda dilitupi "Jalur Gemilang" yang membawa jenazah Allahyarham dibawa keluar untuk dibawa ke Masjid TUDM.

Dalam kejadian pada Jumaat itu, kenderaan yang dinaiki Noramfaizul, 39, dan petugas media Malaysia lain yang diiringi tentera kerajaan Somalia, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan. -tvsnews





Ulasan GB

Kenyataan paling tidak bertanggugjawab dari seorang Perdana Menteri yang baru pulang "bercuti" dari Australia sewaktu rakyat sedang merayakan hari Lebaran dan Hari Merdeka di dalam negara.

Beliau berkata "Kadangkala, meskipun anda memakai jaket kalis peluru, ia tidak beri jaminan 100 peratus"

Justeru itu maka langkah keselamatan sudah tidak perlu diambil semata-mata kerana ia tidak memberi jaminan 100% selamat? Apa-apa pun langkah keselamatan memang tidak boleh memberi jaminan 100% selamat kerana kesemuanya di tangan Allah s.w.t., namun ia tidak bererti langkah keselamatan tidak perlu diambil lantarannya.

Ini baru betul-betul kisah Pak Pandir dengan Mak Andeh. Apa kata Pak Pandir kepada bininya Mak Andeh dalam cerita rakyat apabila anaknya mati? Kata Pak Pandir kepada Mak Andeh;

"Andeh, Andeh! Bukannya kita sahaja yang mati anak rupanya, orang lain pun ada juga yang mati anaknya, perempuan juga dan rupanya pun semacam betul-betul dengan anak kita."

Kedua, apakah kerana yang terlibat itu ialah Kelab Putera 1Malaysia maka PM meminta orangramai jangan persalahkan sesiapa demi untuk menyelamatkan nama kelab berkenaan?

Pagi tadi tatkala GB menyiarkan satu entri bertajuk: Apakah Misi Somalia Patuhi Ciri Keselamatan? seorang pengunjung yang menggunakan nickname "Rasional" menulis seperti berikut:

Ini bukan isu politik (eventhough cara ia diberitakan dan apa yang akan jadi lepas ini memang telah atau akan jadi politik pun). Ini isu keselamatan krew media. Sedangkan field reporter CNN dan BBC yang 'embedded' dengan tentera di Iraq, Afghan dan Libya sekalipun sentiasa memakai kevlar vests. Memang terlalu banyak ketirisan dalam perancangan misi ini. sedangkan ramai lagi wartawan antarabangsa yang telah menjadi mangsa ketika membuat liputan, setakat seorang wartawan Malaysia terkorban ketika menjalankan tugas, sekadar jadi statistik sajalah. Satu kehilangan nyawa yang sia-sia dan amat boleh dielakkan.


Jikalah misi itu dilakukan oleh Pakatan Rakyat dan wujud kematian seperti kes Noramfaizul ditembak mati, sudah pasti kerajaan dan sekalian media pencacai akan mengutuk dan bergendang hiruk pikuk sebulan lamanya menyalahkan penganjur lantaran tidak mengambil keselamatan yang wajar.


Hipokrisi Khairy Si "Pet-Riot" Yang Bakal Terdedah Nanti

KJ: 'Pentas Patriot' akan dedah tembelang Mat Sabu

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengumumkan rancangan pergerakan itu untuk menganjurkan siri jelajah ceramah bagi menentang "penghinaan" kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Sambil menamakan siri jelajah itu 'Pentas Patriot' Khairy pada laman mikro-blog popular Twitter berkata siri ceramah itu akan membabitkan tokoh sejarah dan generasi mereka yang dibunuh semasa PKM mengganas di negara ini.

"Pemuda Umno akan anjurkan siri jelajah ceramah 'Pentas Patriot' siri dengan bekas kommando, askar dan polis bagi menentang penghinaan Mat Sabu itu," katanya.

Sejak Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu, menyiarkan ceramah Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang didakwa berkata pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar, beliau telah dibidas dan kecam hebat oleh pelbagai pihak khususnya, Umno dan BN.

Mat Sabu pada satu sidang medianya minggu lalu berkata laporan itu adalah "satu putar belit dan tokok tambah cerita untuk memfitnahnya dan PAS".

Utusan juga menyiarkan kenyataan Mat Sabu mendakwa Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis Bukit Kepong itu.

Blog-blog pro- pembangkang kemudian menyiarkan semula video ceramah Mat Sabu Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu bagi membuktikan perkara itu seganja diputar belit bagi memfitnah Mat sabu dan PAS.

Berikut petikan itu.

“… Bukit Kepong, polis itu polis British, hak serang Bukit Kepong tulah pegawai kerajaan, ketuanya Mat Indra, Melayu.

“Tetapi semua sejarah itu ditutup, Jins Samsuddin buat filem, Jins Samsuddin tu Umno, cerita Bukit Kepong, hak serang balai polis tu penjahat, polis itu polis British.

“Sebelum merdeka negara kita diperintah oleh British, tapi dia buat filem yang hero hak pertahan balai polis, hak serang tu pengganas, padahal Mat Inda ketua penyerang balai polis tu dan akhirnya dia dihukum gantung di Jering Taiping.

“Begitulah juga Tok Janggut, Tok Janggut ni lawan British, tapi sebelum British nak... nak bunuh dia, dia menghasut Sultan Kelantan untuk mengisytiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka, bila isytihar Tok Janggut sebagai penderhaka, barulah Tok Janggut dihukum gantung di Pasir Puteh Kelantan.

“Semua sejarah negara kita bohong….”
kata Mat Sabu. -mk


`Mengapa Umno hipokrit’

PETALING JAYA: Seorang pemimpin kanan PAS mendakwa parti Islam itu tidak pernah berbaik-baik dengan komunis sebaliknya menuduh Umno telah mengadakan perjanjian persefahaman (MOU) dengan Parti Komunis China.

Idris Ahmad, bekas Ketua Penerangan PAS yang kini AJK Pusat mendakwa, Umno telah mengadakan MOU dengan Parti Komunis Cina pada 5 Ogos lalu.

Malahan ada usaha untuk menghantar Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno untuk mempelajari daripada Parti Komunis Cina, dakwanya dalam blog beliau hari ini.

“Sekiranya MOU ini dibuat oleh PAS atau DAP atau PKR, maka sudah tentu sebelum turun daripada kapalterbang akan disumbat ke Kemunting.

“Apakah Komunis China, berbeza dengan komunis Malaya? Bukankah Parti Komunis Malaya bernaung di bawah Parti Komunis China?

“Komunis, ideologinya tetap sama tidak kira di mana tempat. Kenapa Umno hipokrit? Jika benar anti komunis kenapa menghantar pulang 11 pejuang Uighurs ke China, walaupun dibantah oleh Suruhjaya Tinggi PBB bagi Orang Pelarian di Kuala Lumpur.

Pekak dan buta

“Sedangkan mereka ini menentang kerajaan komunis China kerana menceroboh wilayah mereka d Xinjiang pada Julai 2009.

“Inilah sikap hipokrit Umno dalam apa jua isu. Isu Palestin Umno tunjuk hero, tetapi dalam masa yang sama, Apco Yahudi dibayar RM77 juta setahun,” tambahnya.

Idris mendakwa, Umno melalui bantuan media mereka yang tidak ada etika kewartawanan dan tidak takut dosa dan pahala dengan sewenang-wenangnya menuduh PAS menyokong komunis.

Beliau berkata, orang pekak dan buta pun tersenyum apabila Umno menuduh PAS sokong komunis.

“Tidak ada rekod Pas berbaik dengan komunis. Sedangkan umno menjemput Parti Komunis China menghadiri Persidangan Agung Umno dan yang terbaru mengadakan MOU dengan Parti Komunis China.

“Pemimpin umno juga pernah ditangkap menjadi agen komunis di negara ini. Walaupun pemimpin Umno pernah menuduh PAS lebih merbahaya daripada komunis. Namun kerja-kerja untuk berasmara dana dengan komunis tidak pernah dilakukan oleh PAS,” tegasnya -FMT


Ulasan GB

Rasanya kenyataan Ustaz Idris Ahmad sudah menjawab rancangan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamalauddin tersebut.

Dan seperti GB katakan sebelum ini di entri Isu Ceramah Mat Sabu - Lagi Dikecohkan Lagi Terdedah Tembelang UMNO [updated]:


Jadi ucapan Mat Sabu adalah berkisar kepada kisah sebelum merdeka. Mengapa UMNO kecoh mengenainya? Apakah UMNO masih sayang penjajah British sampai sekarang? Mungkin. Itu sebab mengapa agaknya masih ada pencacai UMNO yang minum arak, malah, itu sebab UMNO masa kini masih mengikuti jejak langkah British untuk menjajah tetapi kali ini menjajah bangsa sendiri dengan merompak hak orang Melayu/Islam seperti merampas hak royalti rakyat Kelantan. Itu kenyataan. Itu kebenaran.

Kedua: Teruskan buat kecoh mengenai isu video Mat Sabu. Kerana dengannya semakin ramai yang akan mengkaji sejarah dan akan semakin terdedah tembelang dan pekong bahawa UMNO itu sebenarnya talibarut penjajah dan ini akan merupakan satu titik-tolak baru untuk keruntuhan UMNO sebagai pemerintah negara ini.

TAHNIAH MAT SABU!




Foto Khairy Jamaluddin di dalam satu posing istimewa yang pernah menimbulkan kontroversi sedikit masa lalu


Eksos Kereta Dililit Dengan Bahan Letupan

Port Dickson: “Saya tidak menyangka bungkusan hitam yang dililit pada ekzos kereta itu adalah bahan letupan,” kata wanita dikenali sebagai Siti, 40-an, yang terkejut selepas cubaan meletupkan keretanya di Batu 1/2, berdekatan PD Walk, di sini, kelmarin.

Siti berkata, dia meninggalkan kereta bersama anak lelakinya berusia 14 tahun di tanah lapang dan pergi melakukan urusan bank tidak jauh dari situ.

“Selepas selesai, saya terus ke kereta yang diletakkan di sebuah tanah lapang sebelum terpandang objek itu.

“Mulanya saya menyangka ia bungkusan biasa, namun apabila membeleknya, saya hairan melihat dawai dililit kemas pada batang ekzos.

“Saya yang mula tidak sedap hati segera menghubungi bapa saudara untuk memeriksanya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, bapa saudaranya datang untuk memeriksa dan mahu memotong lilitan dawai itu, namun dinasihatkan orang ramai supaya menunggu polis tiba.

“Kereta ini baru saya beli sebulan lalu dan saya tidak tahu motif orang yang meletakkan bahan itu.

“Saya tiada musuh dan tidak pernah mencari masalah dengan sesiapapun. Mujur saya dan anak tidak cedera dalam kejadian ini,” katanya yang juga kakitangan kerajaan.

Sementara itu, anak lelaki mangsa yang enggan dikenali memberitahu, sepanjang 30 minit dalam kereta, dia tidak melihat kelibat manusia melalui atau meletakkan sesuatu pada kereta.

“Saya tidak perasan atau mengesyaki sesuatu, malah selepas ibu sampai ke kereta dan memberitahu melihat sesuatu yang pelik pada ekzos, saya turun untuk memeriksanya tetapi masih tidak mengesyaki ia bahan letupan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.30 petang dan bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan.

“Kami turut memanggil Unit Pengesan Bom dan didapati bungkusan itu sejenis bahan letupan disyaki mercun yang mampu memusnahkan tangki minyak kereta terbabit,” katanya di sini, semalam.

Katanya, bahan letupan itu mampu memusnahkan benda di sekelilingnya hampir 50 meter dan suspek yang melakukan perkara ini mempunyai niat mencederakan pemilik kereta itu.

“Hasil pemeriksaan awal, kami mendapati bahan itu dililit dengan sempurna dan kemas supaya tidak mudah jatuh jika kenderaan itu bergerak,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berjaya memusnahkan bahan letupan terbabit pada jam 8.45 malam.

“Kita akan menyiasat kes ini daripada semua aspek dan mengesan motif suspek melakukan perkara ini,” katanya yang turut mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat mendatangkan kecederaan,” katanya. -hm

Apakah Misi Somalia Patuhi Ciri Keselamatan?

DAP mahu siasatan sama ada misi Somalia patuh ciri keselamatan

KUALA LUMPUR, 3 Sept – DAP mahu pihak berkuasa mengadakan satu siasatan berhubung tragedi kematian membabitkan wartawan Malaysia di Somalia semalam bagi mengenal pasti jika wujud “jurang dalam pelaksanaan aspek keselamatan.”

Jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor (gambar kecil) terbunuh kerana tembakan peluru sesat di Mogadishu manakala jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan cedera di tangan dan dilaporkan stabil.

Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong berkata, pihaknya berkongsi kesedihan dan mengucapkan takziah atas situasi dialami keluarga Allahyarham Noramfaizul, tetapi mahukan satu siasatan dilakukan.

“Semangat Allahyarham dan pasukan media yang bertugas mengiringi lawatan Kelab Putera 1Malaysia dan Bakti tersebut amat disanjungi kerana keberanian mengharungi cabaran atas amanat sebagai anggota media.

“Namun, DAP ingin menegaskan bahawa pihak penganjur misi ke zon bahaya seperti Somalia perlu mengambil serius segala protokol keselamatan terhadap anggota rombongan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Angkatan Warga Aman Malaysia S Barathidasan pula berkata, tragedi terbaru ini menunjukkan bahawa misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ada kecacatan dalam mempromosikan agenda BN-Umno.

“Adakah kelab itu benar-benar tahu apa yang berlaku di Somalia sekarang? Kami juga rasa sedih dengan tragedi yang dialami jurukamera kita dan keluarga mereka,” katanya lagi.

Noramfaizul, 39 meninggal dunia selepas terkena tembakan peluru sesat di bahu kanan yang menusuk paru-parunya semasa pulang ke tempat kediaman selepas membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Beliau adalah antara 55 anggota misi tersebut yang berlepas ke Mogadishu, Somalia pada 28 Ogos lalu.

Tembakan itu dipercayai disasarkan ke arah trak tentera Kesatuan Afrika tetapi tersasar dan terkena pacuan empat roda yang dinaiki mangsa.

Kejadian pukul 5.15 petang waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia) berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan bersama jurukamera TV3 selepas selesai membuat liputan di sebuah kem pelarian di ibu negara bergolak itu. -TMI

Minat ‘Black Hawk Down’

MALANG TAK BERBAU... foto Noramfaizul yang dirakam rakan media, Bani Amin Ahmad Zabidi, di Mogadishu pada pagi kelmarin, beberapa jam sebelum dia maut dalam insiden tembakan ketika perjalanan pulang ke hotel penginapan.

MOGADISHU: “Sebelum membuat liputan di kem penempatan berkenaan, kami berdua sempat bergambar di lokasi ‘Black Hawk (helikopter) down’ ditembak jatuh, selepas arwah beriya-iya mengajak bergambar di situ kerana katanya, entah bila kami akan dapat datang ke Somalia lagi,” kata Aji Siregar Mazlan, 26, jurukamera TV3 yang cedera dalam insiden yang turut meragut nyawa jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, di sini, jam 10.30 malam, kelmarin.

Beliau dan arwah terkena tembakan dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan selepas selesai membuat liputan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di sebuah kem penempatan rakyat Somalia, jam 5.30 petang (waktu Somalia).

Menurutnya, ketika kejadian, dia dan arwah serta lapan lagi rakan media yang tinggal di hotel berasingan dengan 47 lagi anggota misi menaiki dua kenderaan untuk pulang ke tempat penginapan dan bersiap sebelum dijadualkan bertemu Presiden Somalia (Sharif Ahmed) pada jam 9 malam.

Menceritakan tragedi itu, Aji berkata dia dan arwah duduk di bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama empat lagi rakan media daripada TV3, Bernama TV dan ntv7, manakala empat kakitangan RTM menaiki kenderaan lain di depan, bersama kumpulan keselamatan.

Katanya, tembakan berlaku sebaik kenderaan membelok ke laluan masuk hotel dan mereka semua panik serta pemandu cuba memecut masuk tetapi ada halangan berikutan hotel itu mempunyai dua pagar kawalan keselamatan.

“Selepas berjaya masuk, beberapa orang di situ cuba memberi rawatan, namun gagal menyelamatkan nyawa Abang Faizul. Syukur saya hanya terkena serpihan tembakan yang mengorbankan arwah, jika tidak Tuhan saja yang tahu nasib saya.

“Arwah masih bernyawa selepas terkena tembakan, dia hanya mengerang kesakitan dan tidak mampu berkata apa-apa walaupun berkali-kali saya memanggil namanya,” katanya.

Aji berkata, ketika kejadian, dia mendengar satu tembakan sebelum berasa panas di lengan kanannya dan sebaik memeriksa mendapati lengannya luka seperti kesan terbakar.

“Saya kemudian menepuk paha arwah yang duduk di kanan saya untuk memberitahu perkara itu, namun arwah hanya diam dan sejurus itu juga kepalanya terlentok ke bahu saya.

“Ketika itu saya baru sedar arwah turut terkena tembakan dan saya nampak bahunya berlubang serta darah mula keluar dengan banyak,” katanya yang masih terkejut dengan tragedi itu.

Jenazah arwah bersama 54 lagi anggota misi bantuan, termasuk tiga wakil media daripada The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), dibawa pulang ke tanah air menaiki pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dijadualkan tiba di Subang, hari ini.

Seramai 55 rakyat Malaysia, termasuk wakil media, berada di Mogadishu bagi menghulurkan bantuan makanan dan perubatan bagi rakyat Somalia yang menderita kebuluran.

Arwah antara 17 wakil media yang turut serta dalam misi berkenaan. -hm


‘Saya terdengar dua das tembakan’

NORAMFAIZUL yang dalam keadaan nazak selepas ditembak sebelum menghembuskan nafas terakhir.

MOGADISHU – “Saya masih tidak percaya kejadian yang menimpa kami. Hakikat jurukamera saya, Noramfaizul Mohd. Nor, maut akibat terkena tembakan peluru sesat pada petang Jumaat, masih belum dapat saya terima,” demikian kata wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya.

Beliau dan Noramfaizul, 39, adalah antara 54 anggota Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia yang berlepas pada 28 Ogos lalu dan dijadual tiba di tanah air hari ini.

Kejadian tembakan itu berlaku ketika krew BernamaTV, TV3, Astro Awani dan RTM bergerak dari pusat operasi ke asrama tempat mereka tinggal sejauh kira-kira satu kilometer, selepas membuat liputan pemberian bantuan kepada mangsa kebuluran.

“Saya duduk di bahagian paling hadapan di sebelah pemandu kenderaan pacuan empat roda itu, manakala Noramfaizul duduk di bahagian paling belakang di sebelah kanan bersebelahan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan yang turut cedera. -kosmo


Ulasan GB

Apa ke jadah, Trio Datuk T semasa bersumpah laknat dulu siap dipakaikan dengan baju kalis peluru.

Tiba-tiba terlupa membekalkan peserta misi penyelamat ke Somalia dengan baju berkenaan.


[Bergambar] Kisah Mat Indera, Utusan Memfitnah Mat Sabu Sebagai Penyokong Kominis

Kerajaan Johor iktiraf ketokohan Mat Indera Oleh Mohamed Hadi al-Majwi

Sebelum kita disesatkan lebih jauh lagi oleh media-media parti pemerintah, eloklah kita semua kembali ke pangkal jalan, mengkaji dan memahami semula sejarah.

Sebetulnya tatkala kali pertama saya menonton klip video ceramah Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengenai tragedi Bukit Kepong itu, hati saya telah terdetik "Apa sajalah yang UMNO akan merapu lepas ni". Dan memang saya mahu saksikan, label apakah yang hendak dicop kepada Mat Sabu rentetan daripada ceramah beliau.

Sememangnya ucapan Mat Sabu telah diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia dan kalau salah bacaan,kita juga akan terperangkap dengan permainan Utusan Malaysia. Mat Sabu tidak pernah menyebut komunis, tetapi hanya menyebut nama Mat Indera, pejuang yang telah mengetuai serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Inti ucapan Mat Sabu ialah ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang peranannya digelapkan oleh parti pemerintah, tetapi di tangan Utusan Malaysia, tiba-tiba Mat Sabu pula yang sokong komunis!

Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera

Saya tidak perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber untuk membuat pendirian bahawa Mat Indera ialah seorang pejuang kemerdekaan, seperti yang disebutkan oleh Mat Sabu. Saya hanya merujuk kepada buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri.

Jangan tak percaya, Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO. Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman. Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor. Nah, saya tak pasti adakah selepas ini nama-nama ini pula akan dilabelkan sebagai pengkhianat tetapi merekalah yang bertanggungjawab mengangkat ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.

Siapa Mat Indera

Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin (gambar), ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British.

Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.

Mat Indera dan Bukit Kepong

Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong.

Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud (gambar) menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.

Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.

Tafsiran sejarah bukannya pengkhianatan

Buku ini turut memuatkan biografi tokoh yang terlibat secara langsung menangkap Mat Indera iaitu Bajuri Haji Siraj atau Sarjan Bajuri. Beliau merupakan pegawai yang terlibat untuk memberkas Mat Indera dan menerima habuan $75,000.00 seperti yang ditawarkan oleh pihak British. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pontian dan pernah bertanding sebagai calon bebas setelah tidak terpilih sebagai calon Perikatan di dalam pilihanraya kecil Dun Pontian Kecil pada tahun 1961.

Di bahagian Pendahuluan buku ini, Sarjan Bajuri menyifatkan bahawa kedua-dua versi cerita (Mat Indera dan Sarjan Bajuri) merupakan subjek yang amat menarik untuk terus diperbincangkan dan dibuat kajian lebih lanjut. Ada yang menganggap Mat Indera sebagai wira dan ada pula yang menganggap Sarjan Bajuri sebagai wira. Menurut beliau, sejarah ialah apa yang ditafsirkan dan dikemukakan oleh para sejarawan berdasarkan bukti yang mereka dapati. Katanya lagi, "proses pembuktian dan pentafsiran ini berjalan terus menerus tanpa henti selagi manusia mampu menggali dan berfikir untuk mencari 'kebenaran'".

Kebenaran inilah yang dicari oleh setiap pengkaji sejarah. Apa yang dipohon oleh Mat Sabu ialah pihak parti pemerintah memberikan gambaran yang seadil-adilnya kepada para pejuang kemerdekaan dan tidak hanya memberi fokus kepada UMNO sahaja. Golongan kiri, golongan alim ulama' dan golongan yang "bukan UMNO" turut terbabit memperjuangkan kemerdekaan, hatta Dato' Onn Jaafar yang pernah dicop oleh UMNO sebagai boneka British juga turut berhasrat memperjuangkan kemerdekaan. Berikanlah kepada mereka penghormatan yang sewajarnya berdasarkan neraca intelek, bukan bidasan jelik. Tidak dapat difahami mengapa tafsiran sejarah yang berbeza berasaskan hujah-hujah akademik boleh dilabel sebagai pengkhianatan, petualang dan entah apa-apa lagi.

Rasional bukan emosi

Apabila seorang tokoh politik seperti Mat Sabu memberi tafsiran sejarahnya (yang bukannya tiada asas), mengapa reaksi-reaksi yang timbul langsung tidak ilmiah malah disulami kecaman demi kecaman yang penuh emosi? Berfikirlah secara rasional dan selak kembali lembaran-lembaran sejarah yang mungkin kita terlepas pandang.

Bacalah biografi Mat Indera di dalam buku ini, betapa keperibadian Mat Indera disanjung. Latar belakangnya juga mengagumkan. Secara jelas Ismail Adnan menukilkan bahawa "Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan". Di akhir biografi ringkas Mat Indera, penulis ada menyebut "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? ...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan.

Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang". Kenyataan ini saja sudah membuatkan saya tertanya-tanya, adakah Yayasan Warisan Johor juga mahu menjadi pengkhianat seperti Mat Sabu? Bilakah pula agaknya Utusan Malaysia ingin mengisytiharkan Yayasan Warisan Johor sebagai pengkhianat?

Ulasan GB

FITNAH.

Allah s.w.t. berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ


Sesungguhnya orang-orang yang memfitnah kepada orang-orang mu'min (laki-laki) dan mukminah (perempuan) kemudian mereka tidak bertaubat, maka ke atas mereka neraka jahannam dan bagi mereka azab yang membakar Al-Buruj:10