26 Jan 2010

PAS bertahan di Kelantan selagi Nik Aziz kekal

Meskipun dibanjiri berita-berita negatif sejak tahun lalu, tetapi kerajaan PAS dijangka akan tetap bertahan di Kelantan, selagi Menteri Besarnya, Nik Aziz Nik Mat kekal pada tempatnya.

Demikianlah analisa ahli akademik yang mengamati perkembangan politik di Malaysia. Berita negatif seperti perlantikan menantu MB, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Menteri Besar Incorporated, yang mengundang pertikaian amalan nepotisme, isu Bazar Tok Guru dan sebagainya yang menyarat di dada Utusan Malaysia, lidah UMNO, memberi gambaran seolah-olah kedudukan kerajaan PAS di Kelantan semakin tergugat.

Biarpun pergelutan kuasa dalaman PAS turut memberi kesempatan kepada UMNO untuk menonjolkan kecelaruan yang berlaku dalam parti, namun penganalisa menganggap ia tidak menjejaskan kedudukan Nik Aziz. Cuma, senario ini mengundang permasalahan di sebaliknya, iaitu kebergantungan PAS terhadap karisma Nik Aziz. Persoalannnya, sejauh manakah PAS boleh bertahan atas imej Tok Guru yang sudah berusia 79 tahun?


Pergelutan dalaman semakin ketara

Ketika ditemuramah MerdekaReview melalui email, Profesor Madya di Singapore Management University, Bridget Welsh berkata, secara umumnya, prestasi kerajaan PAS di Kelantan memperlihatkan penambahbaikan dalam jangka lima tahun kebelakangan ini, dan kemajuan ini menjadi faktor PAS diberi mandat semula dalam PRU ke-12.

Walau bagaimanapun, Bridget mengakui bahawa pergelutan dalaman di PAS Kelantan telah membawa imej negatif kepada kerajaan Kelantan, mencungkil keraguan sama ada parti ini mampu mentadbir di peringkat persekutuan. Namun, Bridget gagal meramalkan sejauh manakah pergelutan dalaman ini memberi kesan kepada PAS dalam PRU setakat ini. "Terpulang kepada bila PRU diumumkan," katanya.

"Sementara itu, sama ada PAS mampu menyelesaikan pergelutan kuasanya sebelum pemilihan parti pada tahun depan (2011), juga menjadi faktor penting. Seandainya tidak, isu ini akan menjadi semakin ketara dan terus menghakis kekuatan dalam parti. Sepanjang tahun yang lalu, serangan peribadi semakin ketara, tanpa mengendahkan imej parti," tambahnya.

Ahli akademik yang mengamati politik PAS sekian lama ini berpendapat, sememangnya kekuatan UMNO juga menjadi punca yang penting, tetapi PAS perlu meneliti kelemahan sendiri.

Kestabilan kerajaan mengalihkan medan pertarungan

Menurut sumber yang mendekati PAS, walaupun perbezaan pendapat dalam parti adalah sesuatu yang lumrah sejak dahulu, tetapi keadaannya tidak dahsyat kerana parti berdepan dengan ancaman UMNO. Namun demikian, apabila kuasa kerajaan menjadi stabil selepas PRU ke-12, maka medan pertarungan politik dialihkan dari luar parti ke dalam parti.

Namun, beliau tidak menganggap kedudukan kerajaan akan tergugat, memandangkan pergelutan kuasa ini hanya terbatas kepada pimpinan atasan, dan belum menular ke peringkat akar umbi. Dengan kata lain, sokongan akar umbi terhadap PAS masih kukuh.

Analisanya dilanjutkan kepada pemilihan parti pada tahun 2009. Salah satu faktor pemimpin Kelantan kecundang adalah kerana perwakilan melihat ketidaksepaduan antara mereka. Menurut sumber ini, ketika pemilihan parti pada tahun 2007, perwakilan pusat telah memenangkan pemimpin Kelantan, agar mengekalkan kerajaan Kelantan PAS dalam PRU ke-12. Selepas tewas dalam pemilihan parti tahun lalu, pemimpin Kelantan telah kehilangan medan politik di peringkat ahli jawatankuasa pusat, maka medan pertarungan politik dialih ke dalam kerajaan Kelantan sendiri.

Sumber ini menambah, perlantikan EXCO kerajaan Kelantan, Takiyuddin Hassan sebagai Penolong Setiausaha Agung PAS pada 24 November 2009 bertujuan untuk menyisihkan pengaruh pemimpin ini dari Kelantan. Takiyuddin Hassan juga menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bahru.

Sebagaimana yang difahami, Takiyuddin Hassan tidak sehaluan dengan Husam Musa, malah dikhabarkan cuba "cah keting" Husam Musa lantaran cemburu terhadap pemimpin yang lebih "dimanjakan" ini. Bahkan, Takiyuddin Hassan disindir sesetengah orang kerana cara hidupnya yang mirip dengan orang UMNO.

Nik Aziz terlalu lama di tempatnya...

Sementara ada yang melihat Nik Aziz sebagai kekuatan PAS, ada pula yang bertanggapan kemelut kebelakangan ini berpunca daripada Nik Aziz yang terlalu lama memegang kuasa. Beliau berkata, mungkin keluarga Nik Aziz beranggapan bahawa mereka memiliki kekebalan, dan boleh memperolehi kepentingan daripada kerajaan negeri, kerana keadaan ini sesuatu yang lumrah dalam politik.

Penganalisa ini mengambil bekas PM Mahathir Mohamad sebagai contoh, yang terlalu lama pada tempatnya, sehingga perkara yang kecil diperbesarkan. Beliau berkata, Nik Aziz telah memerintah hampir 20 tahun. Seperti manusia yang lain, beliau juga mempunyai kelemahan sendirinya. "Hal yang remeh-temeh seperti kek di perbesarkan, sebaliknya isu kehilangan enjin jet yang bernilai RM100 juta ditutup begitu sahaja."

Pada pendapatnya, perlantikan Abdul Ariffahmi Abdul Rahman adalah berdasarkan kepada kemampuannya, seperti perlantikan Khairy Jamaluddin oleh Abdullah Badawi (bekas PM), tetapi Nik Aziz terlupa bahawa isu seperti ini mudah menjadi buah mulut orang lain.

Tumbang kerajaan Kelantan, Musnahnya PAS

Bridget Welsh juga membuat andaian bahawa jikalau PAS kehilangan kuasa di Kelantan, maka ia mungkin mengundang kesan yang "memusnahkan". Menurut Bridget, PAS memerlukan masa yang lebih memulihkan partinya, jikalau sokongan asas PAS itu dileraikan dari kubunya.

Sejak tahun 1960-an, Kelantan menjadi kubu PAS, dan diperluaskan pengaruhnya ke negeri lain di Utara Semenanjung oleh bekas Presiden PAS, Allahyarham Mohamad Asri Muda. Bekas Menteri Besar ini pernah memimpin PAS untuk menyertai Barisan Nasional, yang berakhir dengan pemecatan PAS dari BN. Beliau meletak jawatan pada 23 Oktober 1982, ketika Muktamar PAS ke-23 bersidang, lantaran pelbagai tuduhan dan skandal yang dilemparkan terhadapnya.

Nik Aziz masih teguh

Profesor Sains Politik Univerisiti Kebangsaan (UKM) Malaysia, Mohd Agus Yusoff beranggapan bahawa tuduhan nepotisme terhadap Nik Aziz tidak akan menjejaskan kedudukan dan sokongan terhadap beliau. Beliau berkata, imej Nik Aziz sukar untuk di-demystify, kerana beliau seorang penganut Islam yang beriman, dan tidak akan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan Islam.

"Saya tak nampak pokok bergoncang, air berkocak. Nik Aziz masih dihormati rakyat dan sesetengah ahli UMNO," katanya. Malah, profesor ini menganggap kerajaan negeri PAS tidak akan tumbang di Kelantan, selagi Nik Aziz kekal pada tempatnya.

Untuk Mohd Agus Yusoff, UMNO gagal mencari seorang pemimpin yang setanding Nik Aziz di Kelantan. Keadaan menjadi lebih sukar untuk UMNO Kelantan apabila penduduk Kelantan mengambil berat terhadap apa yang berlaku di peringkat kebangsaan.

"UMNO Kelantan susah nak mempertahankan apa yang dilakukan pemimpin UMNO di peringkat persekutuan," ulasnya.

Kerajaan bertukar setiap dua dekad?

Ironinya, kelemahan PAS tersembunyi di sebalik kekuatan ini. Bukan sahaja UMNO gagal mendapatkan seorang tokoh yang setanding dengan Nik Aziz, bahkan PAS sendiri gagal menemui pemimpin sedemikian. Jika dilihat pada barisan pimpinan yang ada dalam kerajaan Kelantan, Timbalan MB Ahmad Yaakob antara calon yang paling diterima sebagai pengganti Nik Aziz, tetapi masih jauh ketinggalan, dari segi karismanya berbanding Nik Aziz.

Keadaan ini mendedahkan dilema PAS. Persoalannya, sejauh manakah kerajaan PAS ini mahu bertahan atas imej dan karisma seorang tokoh bernama Nik Aziz?

PAS membentuk kerajaan negeri buat kali pertama pada tahun 1959, dan memerintah untuk 18 tahun (1959-1978). Kemudiannya, kuasa beralih kepada BN untuk 12 tahun (1978-1990), sebelum merampas kembali Kelantan bersama dengan Semangat 46 yang terpisah dari UMNO pada tahun 1990.

UMNO Kelantan melaungkan slogan "Cukuplah 18 tahun" pada PRU ke-12, sebagai cubaan merampas kembali kerajaan negeri tersebut, tetapi berakhir dengan hanya mendapat 6 dari 45 kerusi DUN.

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.

Isu Zulkifli Nordin : “Jangan keluar kenyataan hingga siasatan selesai” - Lateefa Koya

Mesyuarat khas Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengeluarkan arahan kepada Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkifli Nordin agar tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga siasatan ke atasnya selesai.

Ketua Penerangan PKR Lateefa Koya berkata, kes Zulkifli itu akan dirujuk kepada sebuah jawatankuasa disiplin dengan seberapa segera.

"Tindakan beliau itu akan dihadapkan ke jawatankuasa tersebut, dalam tempoh sebulan daripada sekarang," kata beliau kepada erapakatan.com selepas tamat mesyuarat tersebut.

Mesyuarat itu diadakan sekitar jam 1 tengah hari dan berakhir pada 4 petang ini.

Mesyuarat tadi, memutuskan tindakan yang harus dikenakan ke atas Zulkifli gara-gara beliau membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen Khalid Samad berhubung isu penyalahgunaan nama Allah baru-baru ini.

"Dalam tempoh ini, beliau tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan berhubung isu ini sehingga kes beliau itu selesai diputuskan oleh jawatankuasa disiplin tersebut.

"Kami menganggap tindakan Zulkifli membuat laporan polis terhadap Khalid Samad itu salah," kata Lateefa.

Turut hadir memberi kenyataan dalam kenyataan media petang tadi ialah Azan Ismail yang mengumumkan hal peletakan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi II PKR Pahang baru-baru ini. -erapakatan

Ada Ahli PAS Terikut Rentak Zul Kulim

Sekarang ni rakyat biasa macam aku ni dah terasa bahang-bahang Pakatan Rakyat akan alami nasib buruk jika terus terima orang macam Zulkifli Nordin dalam Pakatan Rakyat. Orang Pas sendiri terikut-ikut rentak politik Zul yang cuba jadi Hero Islam dalam Pakatan Rakyat. Mereka percaya bulat-bulat apa saja yang Zul sebut tentang isu Kalimah Allah. Mainan politik licik Zul telah berjaya kucar-kacirkan orang-orang Pas supaya membenci Khalid Samad dengan membuat report polis terhadap Khalid Samad.

Tindakan AMK Keadilan yang diketuai Shamsul Iskandar supaya Zul dikenakan tindakan disiplin harus dipuji berbanding sikap berdiam diri Pemuda Pas Pusat dan dan Pemuda Pas Selangor yang jadi ular sawa kenyang hanya berdiam diri tak kata apa bila gambar Khalid Samad dipijak-pijak sedangkan Khalid Samad adalah ahli Parlimen Pas dan Yang Dipertua Pas Shah Alam. Tidak ada sebarang tindak balas daripada Pemuda Pas Pusat seolah-olah mereka rasa puas hati tindakan Zul yang cuba mencelakakan Pas dan Pakatan Rakyat.

Tindakan Zul yang buat report polis itu hanya menguntungkan Umno-Bn dan seolah-olah itulah kerja Zul yang duduk dalam Pakatan Rakyat menjahanamkan Pas dan juga Pakatan Rakyat daripada dalam. Apa beza penulis-penulis upahan Umno dalam dunia Cyber dengan Zul ? Sama saja dengan apa yang dilakukan Zul itu terhadap Khalid Samad.

Mungkin juga orang Pas yang sokong Hasan Ali rasa seronok dengan mainan politik licik Zul itu sebab itu di Selangor Khalid Samad dirasakan macam keseorangan dalam mempertahankan dirinya dalam isu Kalimah Allah. Orang-orang Pas yang pro Hasan Ali rasa seronok dengan mainan politik kotor dan jijik Zulkifli Nordin daripada mempertahankan Khalid Samad daripada parti yang satu bendera dengan mereka.

Kalau zaman Almarhum Fadzil Nor (baca artikel lampiran dibawah) tidak mahu tengok muka Zul kenapa kita terkinja-kinja nak julang Zul itu sebagai wira Melayu-Islam yang penuh dengan gambaran yang salah? Mainan politik Zul yang hanya berani dengan report polis tapi tidak sanggup untuk berhujah dalam isu Kalimah Allah menampakkan tembelang sebenar beliau untuk hancurkan Pakatan dan Pas sendiri.

Kita kena ingat Pas berkocak macam manapun sesama sendiri, berbeza pendapat, berbeza pandangan tak dak pula sampai main-main report polis ni tapi Zul sanggup buat demikian kerana beliau ada agenda yang telah lama dilakukan beliau secara halus dan hari ini tembelang itu telah pecah tapi masih ada orang Pas yang bangang dan pekak terikut-ikut rentak politik Zul itu. Pemuda Pas Selangor dan Pemuda Pas Pusat patut malu dan cubalah buka biji mata luas-luas kepada tindakan AMK Shamsul Iskandar yang berani bersuara supaya Zul dikenakan tindakan disiplin . Yang pasti Pemuda Pas dah jadi ular sawa kenyang dalam isu ini. -misaimerah

Seorang pegawai Pejabat Agung PAS pernah mengambil Presiden PAS ketika itu, Almarhum Ustaz Fadzil Noor, untuk di bawa ke Pejabat Agung PAS. Sebaik ke lorong masuk pejabat tersebut yang ketika itu di Taman Melewar, Ustaz Fadzil bertanya mengapa begitu ramai orang di pejabat itu.

Pegawai itu memberitahu ada sidang media Ustaz Taib Azamuuddin mengenai kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Zulkilfi Noordin pun ada," kata pegawai itu.

Apabila mendengar nama Zulkifli, Almarhum terus bingkas: "Patah balik! Patah balik!"

Mereka kemudiannya pergi minum di kedai makan Haji Anuar Hasan dekat Pejabat Agung PAS itu. Kerana agak lama menanti, Ustaz Fadzil mengarahkan pegawai tersebut memastikan Zulkifli sudah tidak ada.

Apabila Zulkifli itu tidak ada, barulah Almarhum pergi ke pejabat itu.

Saya tidak suka menceritakan perkara seperti itu. Tetapi, hari ini terpaksa lagi untuk panduan anak-anak muda PAS yang membaca blog ini.

Menjelang pilihan raya umum 2004 pula, Majlis Syura Ulama PAS menolak Zulkilfi Noordin dan seorang lagi sebagai calon PAS dalam pilihan raya itu. Yang lain, semua diterima untuk dijadikan calon pilihan raya.

PKR kutip dia.

Hari ini, dalam berita Malaysian Insider bertajuk "Zul Noordin faces PKR disciplinary action", Malaysian Insider melaporkan parti pimpinan Anwar (PKR's de jure leader) itu mahu menjadikan Zulkifli sebagai hero baru Umno.

Tahniah PKR! Tahniah Anwar!- penarikbeca


Tiada Tindakan Ke Atas Aduka - Rais Yatim (updated)

Kerajaan tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap penulis blog yang memohon maaf secara terbuka kerana menyedari kesilapan dalam penulisan blog mereka, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Bagaimanapun, katanya, penulis blog yang terbabit dengan sesuatu kesalahan haruslah membuat permohonan maaf secara formal kepada pihak yang berkaitan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penulis blog Anduka Taruna yang didakwa menghina Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat Jumaat lalu.


Penulis blog berusia 29 tahun itu dilaporkan telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu, Kelantan, semalam setelah polis menerima lebih dari 20 laporan mengenai tulisan dalam blognya.

Susulan daripada kecaman pelbagai pihak, penulis blog itu kemudian menyiarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap keterlanjuran dirinya dalam blog itu dan menarik balik artikelnya itu.

Rais sebelum ini berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman penjara tiga hingga tujuh tahun. - Bernama


Kronologi Penyerahan Diri Aduka oleh Topeng Perak
dari blog adukataruna

Aduka Taruna: Menterjemah Keadilan, Menjunjung Undang-Undang
Ahad 8:00 malam -

Dalam berita TV (aku tak tau TV berapa sebab dah lama aku tak tengok berita pengampu), kecoh isu Blogger Aduka Taruna (salah seorang penulis jemputan dalam website Perisik Rakyat) menghina Almarhum Sultan Johor. aku pun tak tau apa yang dilapor dalam berita malam tu & semua ni aku tau dari beberapa panggilan telifon dari kenalan & pembaca webite aku.

Apa yang pasti, bermula lebih kurang jam 8:20 malam hari sabtu, HP aku tak berenti-renti memekak & hampir semua pemanggil dok tanya khabar AT. ralat beb... lepas tu PinkTurtle pulak call & ajak kumpul geng-geng blogger yang dapat dihubungi untuk bincang masalah AT.

Dalam masa tak sampai setengah jam, kami dah berkumpul & keputusan yang dicapai ialah AT kena serah diri pada polis untuk mudahkan siasatan.
"Yang salah tetap salah & yang benar tetap benar"
Itu yang dicapai sejajar dengan apa yang kita perjuangkan selama ini. tak kira dari pihak mana. memang 1 keputusan yang sukar dalam keadaan macam ni. tapi itulah yang kita perjuangkan & itulah yang wajib kita praktikkan.

Lebih kurang jam 10:00 malam, PinkTurtle hubungi AT & bagi sikit penerangan & minta AT bertolak segera ke Kelantan (dari Negeri Sembilan) lepas AT bersetuju untuk serah diri & beri kerjasama pada pihak polis. sebab kenapa kami minta AT datang ke Kelantan dan serah diri di Kelantan ialah kerana isteri AT adalah anak jati Kelantan & lebih baik isteri AT berada dengan keluarga dia sepanjang AT berada dalam tahanan.

Jam 11:00 malam, pergi ke bank untuk bankin sikit duit pada AT yang kami kumpul kejap tadi untuk isi minyak & belanja sepanjang perjalanan. sebaik duit dimasukan, aku terus maklumkan pada AT dan pesan pada AT, tak payah balik rumah, gerak terus ke Kelantan.

Jam 11:30, AT bertolak dari Negeri Sembilan dengan isteri dia dengan sehelai sepinggang.

Sejam sekali kami berhubung untuk pastikan AT selamat dalam perjalanan & alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik.

Isnin 9:00 pagi -

AT sampai ke Kelantan dengan selamatnya dan jam 10:30 pagi dah berada dirumah aku & setengah jam kemudian disusuli oleh geng-geng blogger yang berkumpul semalam. lepas berbincang lebih kurang & buat beberapa panggilan talifon, makan tengahari, lebih kurang jam 2:00 petang kami ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa.

Sampai di IPPD, jumpa dengan pegawai bertugas, jelaskan pada dia hal-hal berkaitan dan tujuan datang ke IPPD. pegawai bertugas berhubung dengan beberapa pegawai atasan maklumkan kehadiran "Subjek" untuk menyerah diri.

Pegawai bertugas hubungi KP Johor, Bukit Aman dan lain-lain untuk makluman dan arahan tindakan lanjut mengikut prosedur menyerah diri. arahan seterusnya dari Bukit Aman ialah procede terima.

Jam 4:30 petang AT secara rasminya ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu bagi membantu siasatan keatas lebih 40 laporan polis terhadapnya yang didakwa menghina Allmarhum Sultan Johor. Pegawai yang diberi tanggungjawab untuk mengendali kes AT di Kota Bharu ialah Tuan Ramdzan.

Lepas "subjek" diterima, prosiding siasatan dimulakan. beberapa barangan AT dirampas (sebenarnya bukan beberapa pun... HP je yang kena rampas sebab AT datang sehelai sepinggang dari Negeri Sembilan). geng-geng blogger yang lain balik dulu manakala aku dan sorang lagi sahabat blogger stay di IPPD teman isteri AT yang diminta untuk menunggu sebentar sementara siasatan awal dijalankan.


Ulasan GB

Benarlah ulasan GB sebelum ini, bahawa yang penting Aduka perlu memohon maaf kepada Sultan Johor yang baru ditabalkan.

Semuga Allah membuka pintu hati Sultan untuk memaafkan Aduka.

Dan semuga Aduka telah banyak belajar dari episod tersebut.


Aduka Dibawa Ke IPD Muar, Direman Sehingga 29 Jan

Selepas dua hari menyembunyikan diri, penulis blog Aduka Taruna, akhirnya ditahan polis petang semalam setelah beliau menyerah diri bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar dan kerajaan negeri.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di sekitar Kota Bharu, Kelantan, kira-kira jam 4 petang sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, ketika dihubungi mengesahkan penahanan penulis blog itu yang disiasat mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Laporan dari blog perisik-rakyat menyatakan bahawa Aduka ditahan reman sehingga 29 Januari ini.

Jika sabit kesalahan, penulis terbabit boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, selain dikenakan denda tambahan RM1,000 setiap hari dalam tempoh kesalahan.

Mohd Mokhtar berkata, lelaki terbabit dibawa ke IPD Muar kerana laporan awal yang dibuat terhadapnya, diterima IPD berkenaan.

Selain itu, IPD Kluang menerima 23 laporan yang dibuat orang awam serta ahli politik berhubung kenyataan penulis blog berkenaan; IPD Batu Pahat (empat); Johor Bahru Selatan (tiga) dan satu di IPD Seri Alam.




Al-Qaradhawi : Kalimah "Allah" Untuk Semula

Seperti PAS dan Pakatan Rakyat, Sheikh al-Islam, Dr. Yusuf al-Quradhawi Jumaat lepas turut mempersoal inisiatif sesetengah pihak di Malaysia yang dilihat berusaha menghalang masyarakat bukan Islam dari menggunakan kalimah Allah.

“Surah terakhir dalam Al-Quran (yang bermaksud), “Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku berlindung kepada Tuhan untuk sekalian manusia.”

“(Mengapa) bukan (disebut lafaz) Allah bagi masyarakat Muslim atau masyarakat Arab atau; yang Maha Menguasai bagi masyarakat Arab, Tuhan bagi orang Arab (lalu ditanya) ‘mengapa orang Malaysia kebelakangan ini begitu tidak selesa?” dipetik dari laman rasmi al-Quradhawi, http://qaradawi.net.

Berkhutbah Jumaat di Masjid Umar al-Khattab, Doha, beliau berkata, masyarakat Islam dan bukan Islam seharusnya saling menghormati tabiat kepelbagaian beragama dalam masyarakat.

"Perbezaan kepercayaan antara penganut satu-satu agama tidak seharusnya memisahkan (antara) masyarakat bukan Islam dan kami (umat Islam) di dunia ini, tetapi yang memisahkan (antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam adalah) Allah (pada) hari kiamat,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Ikatan Cendekiawan Fiqh Islam Sedunia (Majmak Fiqh al-Islami al-‘Alami) turut mengutuk beberapa siri pengeboman rumah ibadat bagi penganut agama Kristian di Malaysia sebelum ini.

"Serangan-serangan yang terjadi pada gereja-gereja di Malaysia tidak tepat,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS serta Pakatan Rakyat membuat ketetapan bahawa tidak ada halangan untuk masyarakat bukan Islam untuk menggunakan nama Allah.

Pun begitu, penggunaan kalimah Allah atas tujuan mengelirukan umat Islam atau menghina kesucian mana-mana agama sama sekali tidak dibenarkan.

Manakala, kerajaan serta lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam pula sebelum ini dilaporkan membantah masyarakat bukan Islam menggunakan nama Allah.

Menurut mereka yang terbabit, walaupun penganut agama Islam dan Kristian di negara-negara Arab telah lama menggunakan kalimah Allah, namun alasan tersebut tidak sesuai dalam konteks Malaysia. -harakahdaily

Wang Ihsan Satu Pengkhianatan

Datuk Nik Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya, tindakan kerajaan pusat hanya mahu beri wang ihsan adalah satu pengkhianatan, dan tidak akan teragak-agak untuk meminta rakyat adakan doa musnah pemimpin pusat.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan menegaskan beliau tidak akan menerima bayaran wang ihsan.

“Saya tidak akan terima wang ihsan. Saya akan beritahu kepada rakyat semua, pusat merampas, mencuri, menyamun harta Kelantan.

“Dan saya akan minta tolong rakyat semua doa supaya musnah pemimpin pusat,” kata beliau kepada pemberita selepas menerima rombongan ekspedisi PAS Batu di kediaman rasminya semalam.

Ekspedisi diketuai Yang Dipertuanya, Ishak Surin menyerahkan memorandum sokongan PAS kawasan tersebut terhadap usaha kerajaan negeri menuntut royalti petroleum. Kerajaan Kelantan membuat tuntutan tersebut pada awal tahun lalu.

“Kelantan menuntut hak kami secara Islam. Allah beri kepada kami logam di bumi Kelantan, balak permukaan Kelantan dan batu-batan di tanah Kelantan dan juga logam di laut yang kita panggil petroleum.

“Itu adalah hak Kelantan. Mana-mana orang ambil hak orang lain berdosa dunia akhirat. Di dunia dia dikutuk dan didoa musnah oleh semua rakyat Kelantan. Di akhirat kelak, dia akan dimamah oleh api neraka,” katanya
.

Nik Aziz menyifatkan pemimpin pusat sebagai pembohong besar apabila berdolak-dalik ketika membuat kenyataan tersebut sebagai mengarut dan putar belit seolah-olah kehidupan mereka bertuhankan duit.

“Mereka menyebut peringkat pertama Kelantan tiada hak. Diulang berkali-kali Kelantan tiada hak. Kemudian sekarang ini ada hak pula? Tapi dengan nama wang ihsan,” katanya.

Nik Aziz juga mempertahankan hasil pengeluaran minyak dari perairan pantai Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Katanya, bahan api tersebut tidak terdapat di Kuala Lumpur atau Putrajaya.

“Adanya duit petrol di khazanah pusat ini hasil daripada tuah bumi Kelantan… bumi Terengganu, Sabah dan Sarawak. Tiba-tiba mereka yang tiada minyak setitik ni kata hak dia.

“Kami yang mempunyai hak ini mereka kata tiada hak. Mengarut!” katanya. Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Husein kerajaan akan melantik beberapa wakil kerajaan Kelantan untuk menduduki jawatankuasa pembangunan wang ihsan, Nik Aziz berkata, itu perkara kedua.

“Itu masalah yang kedua. Pasti dulu nak runding ni, hendak bagi royalti atau ihsan kepada kerajaan Kelantan? “Kalau runding nak beri wang ihsan tak payah runding. Saya tak akan terima,” ujarnya.

Difahamkan kerajaan pusat akan membayar wang ihsan kepada Kelantan pada Mac ini. Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bertegas bahawa di bawah undang- undang rakyat Kelantan akan diberi wang ehsan bukan royalti.

“Yang penting rakyat Kelantan akan menerima habuan. Namanya berbeza kerana di bawah undang-undang rakyat Kelantan akan diberikan wang ihsan bukan royalti.

“Peruntukan tetap disalurkan,” kata beliau di sini malam tadi mengulas keengganan kerajaan negeri untuk menerima bayaran wang ihsan dari kerajaan pusat selain menolak rundingan dan pelantikan wakil kerajaan menduduki jawatankuasa pembangunan wang ihsan.

Kata Mustapa, kerajaan pusat mempunyai pendekatan 1 Malaysia untuk bermuafakat melibatkan kerajaan pusat dan negeri bagi menjaga hal-hal yang berkaitan kepentingan rakyat.

“Kita harap isu ini tidak dipolitikkan. Kita (kerajaan pusat) punyai niat ikhlas di mana kita merasakan penting wang ihsan ini disalurkan bagi menentukan keutamaan projek atau program yang wajar kita laksanakan untuk faedah rakyat di negeri ini.

“Kerajaan pusat akan berlaku adil, apa jua yang berhak diterima rakyat Kelantan, akan di salurkan,” katanya sambil menafikan dakwaan kerajaan negeri kononnya rakyat Kelantan dianiaya dalam isu berkenaan.

“Peruntukan tetap disalurkan, namanya wang ihsan. Jadi kita mahu supaya ada muafakat antara kerajaan pusat dan negeri demi kemanfaatan rakyat Kelantan,” katanya.

Sehubungan itu Mustapa menyeru kerajaan negeri tidak terus berkeras dalam hal ini dengan mengambil sikap berkonfrontasi memandangkan kerajaan pusat ikhlas membantu rakyat Kelantan melalui wang ihsan. - Mohd Zuharman

Tiada Siapa Yang Akan Calonkan Zul Kulim Lagi

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkemungkinan akan digantung dan tidak dipecat serta-merta sekalipun Ketua de facto PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beliau untuk menarik kembali repot polis yang dilakukan ke atas ahli parlimen PAS Khalid Samad.

Zulkifli semalam telah menuduh Anwar sebagai berat sebelah apabila Anwar mengarahkannya untuk menarik semula laporan polis berhubung dengan isu kalimah “Allah”.

Zul menyatakan beliau hanya akan menarik semula laporan jila Khalid hyga menarik kenyataannya menyatakan Enakmen Agama Selangor ketinggalan zaman.

Tetapi sekalipun pendirian Zul itu masih keras dan bersifat antagonistik serta wujudnya gelombang dari pimpinan Pakatan Rakyat supaya Zul dipecat, namun Anwar berkemungkinan tidak akan megambil tindakan sedemikian ke atas Zulkifli.

Pegawai pimpinan tertinggi PKR menyatakan Zulkifli akan tetap menghadapi tindakan didiplin yang keras walaupun beliau mungkin terselamat dari hukuman pecat.

“Malah Setiauasah Agong yang baru, Saifuddin Nasution telah juga bersama-sama mengkritik ahli parlimen berkenaan,” kata satu sumber dari PKR.

“Tetapi Anwar sentiasa tidak menyokong tindakan memecat sesiapa .. dia tahu bagaimana perasaan setelah beliau sendiri pernah dipecat dari Umno.”

“Dia sentiasa memaafkan dan saya rasa berkemungkinan Zulkifli akan digantung,” kata sumber itu dan menambah, bagaimana pun mungkin juga Zulkifli akan bertindak keluar parti untuk menjaga airmukanya sebelum jawatankuasa disiplin parti membuat keputusan.

Biro politik PKR akan bermesyuarat hari ini dan sekalipun isu Zulkifli akan dibincangkan, hal tersebut besar kemungkinan akan durujuk kepada jawatankuasa disiplin.

Jika Zulkifli keluar parti beliau mungkin mengistiharkan diri sebagai calon bebas kerana PAS, yang mana beliau juga adalah seorang ahli sebelum ini, tidak mungkin akan menerimanya.

“Beliau sudah tercemar… takda siapa yang mahu terimanya. Malah Umno juga akan menolaknya tetapi beliau tidak mungkin akan menyertai Barisan,” kata satu sumber. “Pilihan yang ada padanya ialah untuk keluar parti dan menjadi ahli bebas di Parlimen.”

Tidak ada satu parti dari Pakatan akan terima beliau atau mencalonkan beliau semula di dalam pilihanraya akan datang,” sumber Pakatan menyebut. “Ini mugkin penamat untuk Zulkifli.”

Ahli majlis tertinggi PKR Datuk Zaid Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan kerasnya semalam, meminta parti memecat Zulkifli, menyatakan laporan polis yang dibuat oleh Zulkifli tidak boleh diterima dan merupakan satu ugutan.

“Sudah sampai masanya untuk PKR menjaga maruah dirinya... imej Pakatan sebagai juara demokrasi akan tercalar. Pada hemat saya, beliau mesti dipecat. Jika tidak PKR akan ditertawakan,” kata Zaid di dalam satu sidang media pagi semalam.


Zulkifli Tidak Tarik Balik Laporan Polis Terhadap Khalid

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Anggota Parlimen kawasan Kulim Bandar-Baharu Zulkifli Noordin tidak akan menarik balik laporan polis yang dibuatnya terhadap Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad walaupun telah diminta berbuat demikian oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zulkifli daripada PKR berkata beliau akan hanya berbuat demikian jika Khalid daripada PAS, menarik balik kenyataannya yang menyebut Enakmen Agama Islam negeri Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah ketinggalan zaman, serta memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Hari ini saya telah diminta oleh Datuk Seri Anwar untuk tarik balik laporan itu. Saya jawab tak ada sebab untuk tarik laporan itu, melainkan Khalid tarik balik kenyataan mengenai enakmen tersebut, minta maaf kepada umat Islam dan Sultan," katanya kepada Bernama di sini, malam Isnin.

Dalam laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Jalan Masjid India, Sabtu lepas, Zulkifli turut melampirkan kenyataan Khalid dalam satu artikel bertajuk 'Enakmen larang kalimah Allah ketinggalan zaman' seperti yang disiarkan di laman portal Malaysiakini dua hari sebelum itu.

Dalam artikel tersebut, Khalid dipetik sebagai menyatakan, enakmen agama Islam yang melarang penggunaan nama Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman dengan alasan pada masa undang-undang itu diluluskan mungkin tahap kefahaman umat Islam terhadap agama Islam begitu lemah sehingga perlu dilindungi.

Kenyatan Khalid itu merujuk kepada Enekmen Ugama Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.

Zulkifli menyifatkan kenyataan Khalid dalam artikel itu sebagai berunsur hasutan dan menghina Sultan Selangor dan Dewan Undangan Negeri itu serta menghina umat Islam secara umumnya.

Ekoran tindakannya itu Zulkifli bakal berdepan dengan tindakan disiplin apabila Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, satu mesyuarat Biro Politik Khas akan diadakan esok di Ibu Pejabat PKR bagi membincangkan tindakan yang akan diambil terhadap Zulkifli.

Mengulas tindakan yang akan diambil terhadapnya, Zulkifli berkata PKR mempunyai hak untuk mengambil tindakan sekiranya mereka merasa perlu tetapi beliau juga ada hak untuk mempertahankan tindakannya itu.

Bagaimanapun beliau sedia memberi kerjasama tetapi biro tersebut perlu memanggilnya untuk memberi keterangan sebelum membuat sebarang keputusan, dan hingga kini beliau belum menerima apa-apa notis dan surat daripada parti.

Katanya Anwar juga tidak memaklumkannya mengenai apa-apa notis, sebaliknya hanya menyebut bahawa kes itu akan dirujuk kepada Biro Politik Khas.

Mengenai desas-desus yang beliau mungkin dipecat daripada parti, Zulkifli berkata: "Cakap-cakap yang mengatakan saya akan dipecat hanyalah spekulasi tetapi jika betul-betul dipecat saya akan bertindak. Saya telah bersedia."

Dalam perkembangan yang sama Zulkifli turut meminta Naib Presiden PAS Selangor Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegur Khalid terlebih dahulu sebelum menyalahkan beliau sepenuhnya.

Katanya, Tuan Ibrahim sepatutnya menegur Khalid berhubung kenyataanya mengenai enakmen tersebut kerana jelas menghina umat Islam dan institusi Raja.

-- BERNAMA



Tol Bakal Naik Lagi?

Menurut laporan kajian Maybank investment bank, terdapat 10 lebuh raya dalam negara yang akan dikaji semula harga tol-nya pada Januari tahun ini. Menurut kontrak konsesi lebuh raya, lapan lebuh raya sepatutnya menaikkan harga pada tahun 2009, tetapi ditangguhkan selama setahun.

Menurut jadual waktu, kadar tol lapan lebuh raya berikut akan dikaji semula pada Januari tahun ini, iaitu NKVE, Federal Highway R2, Kajang Ring Road, SPRINT, NPE, Besraya, Penang Bridge dan Ampang Elevated.

Selain itu, dua lebuh raya yang ditangguhkan kenaikan tolnya pada tahun 2008 dan 2009, dengan pampasan oleh kerajaan, iaitu PLUS’ North South Expressway dan East Coast Expressway 1, juga dijangka akan dikaji semula kadar tolnya pada tahun ini.

Antaranya, PLUS’ North South Expressway yang dijangka menaikkan kadar tol sebanyak 10% pada tahun 2008, telah ditangguhkan selama dua tahun, dengan pampasan daripada kerajaan sebanyak RM375juta (telah dibayar RM278juta). Di samping itu, East Coast Expressway 1 juga dibenarkan menaikkan tol pada kadar 10% tahun 2009 menurut perjanjian, tetapi ditangguhkan buat setahun.

Menurut laporan kajian bank pelaburan tersebut, hasil kaji semula kadar tol sepatutnya dihabiskan pada Disember tahun lalu, dan dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet seterusnya. Oleh kerana kadar tol isu yang "sensitif", yang perlu dikendalikan kerajaan secara berhati-hati, maka hasilnya diramalkan akan diumumkan pada akhir Januari atau awal Februari, tahun ini.

Seandainya kerajaan menyerap "penambahan" kadar tol tersebut, maka kerajaan perlu mencari keseimbangan, antara kesan kenaikan tol kepada ekonomi secara keseluruhannya, dengan mengurangkan subsidi untuk meringankan tekanan defisit (perbelanjaan melebihi pendapatan).

Kenaikan tol ringankan beban kerajaan

Kerajaan persekutuan terpaksa mengemukakan pakej ransangan ekonomi sebanyak RM67 bilion untuk berdepan dengan krisis ekonomi global. Lantaran itu, defisit belanjawan negara kita melonjak ke 7.4%, paras tertinggi dalam tempoh 22 tahun kebelakangan.

Kerajaan Najib telah menyatakan niatnya untuk menurunkan paras defisit kepada 5.6% dalam Belanjawan 2010, dengan keutamaannya untuk mengurangkan kos operasi dan subsidi. Penganalisis OSK Research meramalkan bahawa kerajaan akan memilih untuk menaikkan kadar tol, sebagai langkah mengurangkan defisit, berasaskan keputusan mengurangkan subsidi gula baru-baru ini.

Seorang lagi penganalisis menyetujui pandangan ini, menganggap kerajaan mungkin memilih "biar sakit sekaligus"-iaitu mengangguk kepada kenaikan harga tol, agar meringankan beban subsidi kerajaan dalam isu tol sewenang-wenangnya.

Sememangnya, kenaikan tol adalah satu dasar yang tidak popular dalam politik, terutamanya untuk parti pemerintah, Barisan Nasional. Kerajaan Persekutuan mungkin memilih untuk melanjutkan tempoh kontrak, sebagai syarat tidak menaikkan harga tol, atau membayar subsidi kepada syarikat konsesi, sebagai syarat mengekalkan keadaan asal, malah menurunkan kadar tol.
Bagaimanapun, syarikat konsesi akan terlindung di bawah perjanjian yang berat sebelah, walau apa pun keputusan. Syarikat konsesi kekal sebagai pihak yang mengaut untung bersih. Kerajaan persekutuan pula perlu berdepan dengan dilema, antara mengorbankan rakyat atau mengorbankan dirinya.

Seandainya kerajaan memilih untuk mengekalkan kadar tol dengan bayaran pampasan (daripada kerajaan), maka kerajaan perlu menanggung beban subsidi yang berat. Sekiranya diambil contoh PLUS’ North South Expressway, kerajaan telah membayar pampasan sejumlah RM2.8370 bilion, bersamaan puratanya RM1.4185 bilion setiap tiga tahun. Seandainya dikira berdasarkan skala ini, dari tahun 2010 hingga 2038 (tamatnya tempoh kontrak konsesi), kerajaan perlu membayar pampasan sekurang-kurangnya RM13.71217 bilion kepada PLUS.

Namun, seandainya kerajaan memilih untuk mengorbankan rakyat, memberi lampu hijau kepada kenaikan tol, maka akan menjurus kepada peningkatan kadar inflasi dan menghakis daya beli pengguna, dan mengurangkan pendapatan boleh guna rakyat.

Perlu diingatkan, punca utama kenaikan kadar tol bukannya berasal dari peningkatan kos atau tekanan inflasi, sebaliknya berasaskan haknya untuk menaikkan kadar tol setiap tiga tahun, sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian. Syarikat konsesi tetap untung walaupun tidak dikira pampasan yang dibayar. Misalnya, untung selepas cukai syarikat PLUS pada tahun 2008 ialah RM1 bilion, setelah ditolak wang pampasan, masih meraih untung bersih sejumlah RM270 juta.

Pada hakikatnya, kewujudan perjanjian syarikat konsesi adalah salah satu punca inflasi. Kadar tol lebuh raya hanya mencakupi 0.86% dalam CPI (Consumer Price Index), yang menjadi kayu ukur inflasi. Seandainya dilihat dari angka, jelas kesan tol terhadap inflasi adalah lebih rendah berbanding makanan dan bahan api.

Namun, kenaikan kadar tol akan memberi kesan kepada kos pengangkutan, yang sememangnya akan membawa kesan rantaian. Peningkatan kos akan menimpa perkhidmatan penghantaran dan pengangkutan awam. Secara umumnya, pengusaha pengangkutan akan memindah kos tersebut kepada pengguna. Jadi, kita tetap gagal mengelakkan diri daripada kesannya walaupun bukan pengguna lebuh raya.

Rakyat yang baru melalui kenaikan harga gula dan roti kini berkemungkinan besar berdepan dengan kenaikan harga minyak dan kadar tol, malah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST, Goods and Services Tax) yang bakal diperkenalkan. Tekanan inflasi semakin memberat. Seandainya tiada jaring pengaman sosial (social safety net), atau pendapatan gagal mengejar rentak inflasi, maka rakyat mungkin terjerat dalam bingkai "working poor", meskipun survive dalam zaman inflasi tinggi ini. -MR