4 Jun 2011

Najib Dapat Mimpi Ngeri, Jutaan Rakyat Berkumpul Depan JPM Berdemonstrasi

Pemilihan PAS - Wajah Baru Yang Menakutkan Umno

Ada yang menyifatkanya sebagai kemenangan untuk kumpulan profesional dan kekalahan untuk golongan ulama.

Tidak kurang pula tafsiran bahawa kemenangan “kumpulan Erdogan” dalam pemilihan PAS semalam sekali gus menempelak cubaan Umno untuk “meminang” PAS, khususnya sejak beberapa bulan lalu.

Apa pun, yang jelas ialah PAS sekali lagi telah menunjukkan kematangan untuk memilih pasukan terbaik bagi mengetuai cabaran menghadapi pilihanraya umum ke 13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Berlainan dengan Umno, PAS tidak menangguhkan pemilihan parti semata- mata kerana khuatir saingan untuk jawatan akan memecah belahkan parti dan menggugat peluangnya dalam PRU.

Sebaliknya pucuk pimpinan PAS begitu yakin terhadap kematangan perwakilan DAN calon untuk merapatkan saf dengan selesainya pemilihan yang dijalankan dalam semangat demokrasi dan musyarawah.

Kecenderungan untuk menyifatkan PAS sebagai parti yang kini dikuasai oleh golongan professional berpaksi kepada kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden dan Husam Musa sebagai Naib Presiden baru.

Mohamad Sabu kini diangkat sebagai orang pertama dari golongan bukan ulama yang menyandang jawatan Timbalan Presiden dalam tempoh 20 tahun.

Nasharuddin Mat Isa tersingkir sebagai orang kedua parti manakala tokoh ulama Tuan Ibrahim Tuan Man juga kecundang kepada Mohamad Sabu.

Untuk Naib Presiden, selain Husam, Sallehuddin Ayob dan Mahfuz Omar melengkapkan senarai jawatan itu apabila mengekalkan kerusi mereka.

Kemenangan beberapa tokoh lain seperti Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkfli Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar untuk menduduki Jawatankuasa Kerja Pusat juga disabitkan sebagai bukti PAS dalam genggaman profesional.

Media arus perdana khususnya Utusan Malaysia akan cuba memaparkan PAS sebagai parti yang tidak lagi dikuasai golongan ulama. Tentunya modal ini akan diambil oleh Umno untuk dijual pula kepada pengundi.

Namun, walaupun bertukar nakoda (itu pun peringkat Timbalan dan ke bawah sahaja) hala tuju PAS tetap sebagaimana yang terpacak dalam matlamat perjuangannya.

Perwakilan yang memilih golongan “profesional” atau Erdogan yakin calon- calon berkenan mempunyai ketokohan untuk memacu PAS menghadapi PRU-13 tanpa melunturkan azam dan matlamat perjuangan parti.

Kesemua yang dipilih sebenarnya sebati dengan perjuangan PAS – Mohamad Sabu, Husam dan yang lain-lain adalah orang lama yang bergerak sealliran dengan liku-liku perjuangan PAS.

Mereka adalah veteran dalam parti yang faham sentimen akar umbi PAS dan pada masa sama mempunyai sifat dinamis untuk berkerjasama dalam kerangka Pakatan Rakyat bagi mencapai matlamat PAS membangun negara berkebajikan.

Konsep negara berkebajikan ini sudah pun dicanang oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian sebagai bukti kononnya PAS sudah mengubah haluan dan kononnya mengabaikan penubuhan sebuah negara Islam, apatah lagi di bawah PAS pimpinan golongan professional.

Kedua- dua akhbar itu seharusnya memerinci nilai- nilai yang disebutkan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang Hadi dalam ucapan dasarnya dan membuktikan bagaimana penubuhan sebuah negara berkebajikan bercanggah dengan syariat Islam.

“Kita mulakan dengan perlaksanaan negara berkebajikan, ia ada dalam Islam dan al-Quran. Dalam al-Quran tidak sebut negara Islam, ia sebut negara berkebajikan,” kata Hadi dalam sidang medianya semalam.

Konsep negara berkebajikan didokong dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat, bermakna ia turut dipersetujui oleh DAP.

Kemunculan pemimpin- pemimpin seperti Hadi, Mohamad Sabu, Husam dan yang lain hadir berkongsi pentas dengan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Karpal Singh untuk menerangkan penubuhan negara berkebajikan kepada umat Islam dan bukan Islam tentunya menjadikan Umno dan akhbar miliknya gusar dan cemas.

Justeru kerana itulah Utusan dan Berita Harian akan menjaja PAS sebagai parti yang tidak lagi dikuasai oleh ulama, malah sudah mengubah matlamat perjuangannya.

Sebelum pemilihan PAS semalam, Utusan Malaysia cuba secara licik untuk membawa mesej- mesej tertentu untuk mempengaruhi perwakilan parti dalam memilih calon.

Utusan yang sering menyerang Islam yang dibawa oleh PAS tiba-tiba mengingatkan keperluan parti itu supaya meneruskan perjuangan dan matlamatnya dengan pimpinan ulama.

Memang hebat transformasi Utusan walaupun ia hanya untuk memastikan agenda sempit Umno menjalin kerjasama politik dengan PAS tidak kecundang. Namun akhirnya rancangan Utusan-Umno itu nampaknya gagal juga.

Pemilihan muka-muka baru termasuk Mohamad Sabu dan Husam bermakna mereka kini memikul tanggungjawab besar untuk membantu Hadi mengemudi PAS dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU akan datang.

Perwakilan membuat pilihan sedemikian kerana menyifatkan mereka sebagai gandingan terbaik untuk misi berkenaan. Sebuah misi yang mampu mengubah landskap politik Malaysia dan menjanjikan pembaharuan-pembaharuan yang didahagakan oleh rakyat, Islam dan bukan Islam. -wira arjuna


Saf pimpinan PAS yang paling merunsingkan UMNO, kata Ketua DHPP

"Saf pimpinan baru PAS" yang lahir menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 ini disifatkan sebagai gandingan yang paling merunsingkan UMNO. Dengan empat pimpinan tertinggi yang dipilih, iaitu Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden, Salahuddin Ayub, Husam Musa dan Mahfuz Omar sebagai Naib Presiden, pilihan sedemikian ditafsir sebagai kebijaksanaan perwakilan untuk meletakkan pemimpin di tempat yang sesuai.

Demikianlah ulasan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Phang Chow ketika diminta MerdekaReview untuk mengulas kekalahan bekas Menteri Besar Perak, Mohd. Nizar Jamaluddin dengan undi terendah dalam pertandingan jawatan Naib Presiden.

Hu Phang Chow berkata, Nizar Jamaluddin memikul dua misi yang terpenting buat masa kini, iaitu mengembalikan kuasa kerajaan negeri di Perak, dan meningkatkan sokongan bukan Melayu/bukan Muslim terhadap PAS. Seandainya Nizar berjaya menyempurnakan dua misi ini, maka beliau boleh kembali ke pusat pimpinan untuk diberikan peranan yang lain.

Nizar Jamaluddin, pemimpin PAS yang muncul sebagai Menteri Besar Perak selepas tsunami politik pada 8 Mac 2008. Kerajaan negeri yang diterajui Nizar dirampas oleh UMNO-BN pada Februari 2009, apabila tiga orang wakil rakyat dari PKR dan DAP berpaling tadah. Pimpinan Nizar meraih simpati ramai, melonjakkan populariti dirinya terutamanya dalam kalangan komuniti Cina, lantaran daripada kejadian tersebut. Beliau terpilih sebagai AJK Pusat PAS dengan undi tertinggi dalam pemilihan parti pada tahun 2009.

Hu Phang Chow (gambar kanan) menganggap perwakilan PAS amat jelas dengan senario yang terkini. Mereka meletakkan empat orang tokoh yang paling merunsingkan UMNO, untuk berdepan dengan PRU 13 yang akan datang. Malah, beliau menyanggah pandangan bahawa Nizar kalah kerana penampilannya yang dianggap lebih "mesra-bukan melayu/muslim".

"Seandainya pandangan ini berasas, maka Mat Sabu akan kecundang sebermulanya," kata Hu Phang Chow yang menegaskan bahawa perwakilan PAS tidak membuat keputusan atas pertimbangan perkauman, tetapi pertimbangan mengikut keperluan senario.

Dzulkefly: Bukan sekadar populariti

Ketika diminta untuk mengulas kekalahan Nizar, Dzulkefly Ahmad berkata, "Pada saya the best man win (orang yang terbaik menang). Beliau (Nizar) mungkin belum dalam liga itu, walaupun sudah masuk dalam liga itu, beliau perlu membuktikan..."

Wartawan mencelah dengan soalan sama ada Nizar kalah kerana senioritinya yang belum cukup melayakkan dirinya ke jawatan ketiga itu, Dzulkefly (gambar kiri) berkata, "Bukan senioriti. Saya ingat delegates (perwakilan) bijak, yang cukup alert untuk membuat perhitungan. Bukan hanya populariti di sini. Popular satu hal, tetapi keupayaan, keupayaan untuk memimpin... Bukan hanya menjadi popular. Ini yang perlu difahami oleh pihak yang lain."

Beliau meneruskan, "Kerana PAS mempunyai pengalaman hampir 60 tahun. Dan perwakilan cukup wajar dan bijak membuat perhitungan mereka. Dan kita kena ingat bahawa di sana ada enam (calon)..."

Dzulkefly Ahmad yang juga terpilih sebagai AJK Pusat diingatkan bahawa Nizar memperolehi undi terendah, dan dijawabnya, "Itu kedudukan yang dia kena terimalah. Dia masih mempunyai masa dan waktu untuk memperbaiki prestasinya. Dan ini cara PAS untuk menilai pemimpin..."

Nizar: Ketiga-tiga pemenang calon terbaik

Sementara itu, ketika diminta untuk mengulas kekalahan dirinya, Nizar berkata, "Itu keputusan perwakilan, mereka membuat pilihan yang tepat. Saya menganggap diri saya hanya satu komponen daripada itu, itu bukan soal menang atau kalah, tapi persoalan siapa boleh menawarkan pilihan yang paling baik untuk kita Putrajaya."

Sambil menyifatkan saf pimpinan baru sebagai "pilihan yang paling sempurna" (the most perfect choice) untuk berdepan dengan pilihan raya umum, Nizar dengan rendah hati berkata dirinya bukan sesiapa (I am nobody) apabila pertimbangan tersebut (berdepan dengan PRU) diambil kira. Beliau mendakwa dirinya tidak kecewa, sebaliknya gembira dengan keputusan itu, kerana "ketiga-tiga pemenang jawatan tersebut adalah yang terbaik".

Dzulkefly Ahmad juga menambah bahawa keputusan pemilihan ini secara keseluruhannya memperlihatkan bahawa perwakilan memilih pimpinan berdasarkan prestasi, dan ini keistimewaan PAS yang tidak mengambil pendekatan berkempen seperti parti politik lain.

"Dan kita dari segi itu adalah lain dari pihak-pihak yang lain, dan parti-parti yang lain. Jadi dengan pimpinan dan pasukan pimpinan saf ini, kita harap dapat melonjakkan lagi prestasi PAS dalam pilihan raya yang akan datang dan ini menyuntik keyakinan bahawa inilah dia saf pimpinan yang dimahukan parti dan juga pendukung, pemerhati supaya PAS menampilkan kekuatan gandingan ini. Inilah sebenarnya kekayaan dan takungan pimpinan... Kita cukup kaya dengan takungan pimpinan kita..."

Hu Phang Chow ketika merumuskan pandangannya terhadap keputusan pemilihan ini berkata, ia merupakan gelombang reformasi kedua dalam PAS. Gelombang pertama, menurutnya adalah kemasukan bukan muslim ke dalam PAS, dan diinstitusikan sebagai badan dalam arus perdana politik PAS. Gelombang kedua kali ini meletakkan pemimpin yang profesional dan terbuka pada kedudukan penting, dan PAS kini menuju ke arah pimpinan yang merangkumi kepelbagaian dalam agama, budaya, ekonomi dan sebagainya. -MR

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.



Ulasan GB

Entahlah, GB dapat membayangkan Najib nanti akan mengalami mimpi dasyat, jutaan rakyat berarak ke Putrajaya berhimpun di depan JPM, meminta beliau TURUN, TURUN, TURUN...

Ada orang kata, silap gaya beliau bakal diMubarakkan. Itu sebab beliau cukup takut dan ngeri bila bercakap pasal demonstrasi luarnegeri yang telah menumbangkan beberapa kerajaan yang penuh dengan korupsi.


Wallahu 'alam


[Video] Mat Sabu Iltizam PRU13 Berlansung Secara Adil, Telus, Amanah Dan Bersih

Timbalan Presiden baru PAS Mohamad Sabu memberi komitmen untuk bekerjasama dengan semua peringkat kepimpinan parti termasuk Dewan Ulama disamping terus memperjuangkan dasar-dasar parti.

"Saya tak akan buat secara (keputusan) berseorangan. Saya juga takkan buat sebarang perubahan dasar dan hala tuju," katanya kepada Media selepas diumumkan memenangi Persaingan 3 Penjuru Pemilihan Timbalan Presiden PAS hari ini.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendapat 420 undi menewaskan penyandang Nasharuddin Mat Isa dan Pesuruhjaya PAS Pahang Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau mempunyai hubungan baik dengan akar umbi dalam PAS disamping mempunyai hubungan akrab dengan pemimpin-pemimpin DAP dan PKR.

Bercakap kepada wartawan, beliau menegaskan antara fokus utamanya ialah memastikan Pilihan Raya Umum ke 13 berlangsung secara adil, telus, amanah dan bersih.

"Perjuangan untuk dapatkan Demokrasi dan Pilihan Raya Adil. Kita akan sokong dan bantu himpunan bersih.

"Kita akan fokus soal daftar pemilih. Operasi gunakan pendaftaran tidak sah di Sabah, kemudian di Terengganu kiga. Kini kita dengar nak buat lagi di Selangor," tegas beliau.

Mat Sabu juga tidak gentar dengan tuduhan media UMNO bahawa kemenangan beliau membuktikan PAS kini membuang kepimpinan ulama.

Malah beliau hairan kerana UMNO sendiri tidak mengiktiraf kepimpinan Ulama kerana Ulama mereka hanya diletakkan dalam biro sedangkan dasar, perjuangan dan kepimpinan PAS sentiasa didukung ulama.

"Media UMNO kata PAS dah berubah, nak hapuskan kepimpinan Ulama. Peranan kita lebih sebagai Jawatankuasa Eksekutif. Ulama masih pegang seperti Majlis Syura dan Dewan Ulama dan mereka yang buat dan jaga dasar PAS agar mengikut Al-Quran dan Hadith.

"Yang saya hairan mengapa mereka (Umno) nak lawan dan tak sokong ?," soalnya. -tvsnews



Isteri Buat Laporan Polis Perangai Ganjil Suami Masa Hubungan Kelamin

Lapor polis tak tahan nafsu ganas suami

KUANTAN: Tidak tahan didera secara seksual oleh suami yang mengamalkan kaedah pelik ketika menjalin hubungan kelamin, seorang wanita mengalami penderitaan sejak empat tahun lalu membuat laporan polis. Gambar fail

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Minah, 55, berkata, dia sudah tiga kali membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading dan laporan terakhir dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, 29 Mei lalu selepas suami mengetuk kepalanya dengan jag.

“Sudah empat tahun perasaan saya tertekan akibat terpaksa melayan nafsu pelik suami yang gemar menggunakan cincin penambat zakar ciptaan sendiri ketika hubungan kelamin.

“Perbuatan pelik suami itu menyebabkan saya menderita kerana dia menggunakan pelbagai alat seperti besi rantai kunci, biji manik, benang, gelang getah, kepala jarum peniti dan pelbagai bahan tidak munasabah,” katanya.

Minah berkata, suaminya yang berusia 50 tahun dan bekerja sebagai buruh mendakwa tenaga batinnya akan meningkat jika mengenakan cincin ciptaan sendiri itu pada alat sulitnya.

“Saya pernah bertanya kenapa dia tidak boleh melakukan hubungan kelamin secara normal, tapi suami memberitahu dia tidak berasa nikmat dan tidak akan puas jika tidak menggunakan cincin buatannya itu,” katanya. -hm


[Video] Kes Ahmad Sarbani: Relevankah Inkues?

Kenapa Baru Sekarang Mahu Tubuh Inkues Sarbani ?

SHAH ALAM 4 JUN : Parti Keadilan Rakyat (PKR) meragui keputusan mengejut Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara untuk membentuk sebuah inkues berhubung kes kematian pegawai kanan Kastam Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed.

Penubuhan inkues itu hanya diketahui selepas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Ku Chin Wah pada 2 Jun lalu menyatakan polis akan memohon diadakan inkues dan perkara itu dipersetujui Peguam Negara.

Nurul Izzah dan N. Surendren dalam kenyataan bersamanya berkata, cadangan penubuhan itu bukan sahaja mengejut dan meragukan, malah ianya tidak sesuai dan tidak tepat dalam konteks undang- undang.

Justeru, PKR berpendapat sebuah inkues tidak boleh ditubuhkan sewenangnya apabila pendakwaan kes jenayah lebih sesuai dijalankan.

Sarbani adalah seorang individu berkeluarga yang sempurna akal dan sihat tubuh badan yang secara sukarela datang ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk membantu siasatan.

Beliau meninggal dunia setelah disyakki jatuh dari tingkat satu bangunan SPRM Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun tiada bukti konkrit yang mengatakan beliau membunuh diri.

Allahyarham juga terbukti tidak mengumpul kekayaan di luar keupayaan dan kemampuannya sepanjang berkhidmat dalam pasukan kastam.

"Motif bunuh diri adalah sangat tidak munasabah dan tidak wujud sekelumit pun," jelas Izzah dan Surendren.

Beberapa fakta yang wujud secara jelas dan tegas membuktikan kewujudan salahlaku yang membawa kepada kematian Sarbaini, khususnya apa yang diperincikan oleh balu Allahyarham di dalam laporan polis yang dibuat pada 2 Mei 2011, di mana pegawai penyiasat SPRM telah mengakui bahawa 'orang mereka' bertanggungjawab atas kematian tersebut.

kedua- dua naib presiden PKR itu menegaskan PDRM dan Peguam Negera sepatutnya daripada awal sudah menubuhkan inkues jika terdapat keraguan yang serius mengenai punca kematian allahyarham.

Tambah menjelikkan sejak kematian berlaku, polis memberikan gambaran seolah- olah proses siasatan berjalan lancar.

"Apakah gambaran ini diberikan hanya semata-mata untuk meredakan kemarahan rakyat yang bangkit berikutan kematian tragis ini ?" soal mereka.

Pada pertengahan April, polis telahpun menyatakan proses siasatan telah masuk ke fasa akhir. Kini, terbukti segala bentuk siasatan yang dibuat mahu menutup kemarahan rakyat semata-mata dan sebuah inkues terpaksa diwujudkan.

"Mengapa rakyat diselewengkan daripada fakta sebenar dalam hal ini?" soal mereka lagi.

Pengumuman mengejut bersabit penubuhan inkues ini dibuat sehari selepas PKR menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara (KPN) yang mempersoalkan ketirisan PDRM dalam mengendalikan kes ini. -tvsnews

Ulasan GB

GB dah ulas sebelum ini. Petikan:

Persoalan kini, relevankah inkues? Mengapa tidak terus tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja?

Ini kerana rakyat menjadi hairan sudah tiga inkues membuat keputusan yang hampir serupa - tidak menemui "pembunuh sebenar" kepada mangsa. Pergi balik pergi balik mahkamah yang kita perolehi, keputusan yang tidak ada keputusan.

1) Inkues kematian Gunasegaran di mana di dalam kes berkenaan koroner Siti Shakirah Mohtarudin memberikan "keputusan terbuka" berhubung inkues bagi menentukan kematian R Gunasegaran semasa dalam tahanan polis kerana tidak boleh dibuktikan dengan muktamad.

2) Inkues kematian Teoh Beng Hock di mana koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan bahawa kes inkues itu juga adalah satu kes “keputusan terbuka” dengan beralasan yang serupa di atas: keterangan yang ada tidak mencukupi atau tidak mencapai tahap yang dikehendaki untuk merekod lain-lain keputusan.

3) Inkues kematian pengawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad, Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat juga memberikan "keputusan terbuka" kerana dikatakan tidak mempunyai keterangan yang mencukupi untuk menyabitkan mana-mana individu yang menyebabkan kematian itu.

Apa cerita ni? Buang masa, buang wang negara dengan pewujudan inkues.

Hakim-hakim seperti "takut" untuk menetapkan hukuman dan seperti mahu melindungi pihak tertentu kerana ketiga-tiga kes di atas melibatkan pihak polis.

Jika demikianlah keadaannya, rakyat wajar persoalkan peranan Istana Keadilan (Palace of Justice), peranan hakim-hakim dan peranan institusi kehakiman negara yang sepatutnya menjadi payung kebenaran dan keadilan tetapi kini musnah akibat dari sikap para hakim yang tidak bertaggungjawab.




Mladic - Pembunuh Ribuan Umat Islam Bosnia Dibawa Ke Muka Pengadilan

Buruan 16 tahun berakhir susunan Suhana A. Samat

MATANYA tidak mahu terlelap semula setelah terjaga sebelum matahari merangkak terbit. Dengan memakai topi besbol berwarna biru, lelaki tua itu mengambil keputusan keluar rumah dan menghirup udara segar.

Gambar: KORBAN DI SREBRENICA: Gambar yang diambil pada Februari 1996 ini menunjukkan mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai di atas bukit berdekatan Srebrenica yang didakwa didalangi oleh ketua tentera Serb Bosnia, Ratko Mladic. -- Foto Fail AP

Jam menunjukkan 5 pagi dan sekitar 2,000 penduduk kampung masih nyenyak tidur.

Tanpa disedarinya, empat jip yang membawa 20 lelaki bertopeng dan lengkap bersenjata telah menyelinap masuk ke kampung Lazarevo - kawasan terpencil yang terletak di utara Serbia.

Secara serentak, mereka menyerbu empat rumah untuk mencari orang yang diburu selama ini.

Di salah sebuah rumah yang diserbu, empat lelaki bertopeng itu melompat pagar dan menendang masuk ke rumah itu, sedang lelaki tua itu baru hendak keluar ke taman.

Mereka menolak lelaki itu ke lantai.

'Perkenalkan diri anda!' pekik salah seorang lelaki bertopeng itu.

Lelaki tua itu hanya mampu berbisik: 'Saya Ratko Mladic.'

Buruan yang bermula 16 tahun lalu sudah berakhir.

SIAPA MLADIC?

Mladic yang kini sudah berusia 69 tahun, merupakan salah seorang pemimpin tentera Serb Bosnia yang diburu sejak sekian lama kerana terbabit melancarkan perang pembersihan etnik Bosnia semasa perang 1992-1995.

Dia berbuat demikian atas arahan pemimpin politik, Radovan Karadzic.

Ekoran perang itu, negara Bosnia kini dibahagi kepada dua wilayah berdasarkan identiti kekauman iaitu Persekutuan Muslim-Croat dan Republik Serbia.

Kira-kira 100,000 orang terkorban dalam perang itu, yang tercetus selepas Bosnia mengisytiharkan kemerdekaan daripada bekas negara Yugoslavia, dengan kebanyakan yang terbunuh dalam konflik itu adalah penduduk Islam Bosnia.

Penduduk awam Bosnia tidak kira lelaki, wanita malahan orang tua dan kanak-kanak menjadi mangsa kekejaman tentera Serb.

Wanita dan kanak-kanak perempuan Bosnia dirogol, manakala penduduk lelaki, orang tua dan kanak-kanak pula diperlakukan dengan kejam sebelum dibunuh.

Dalam satu insiden di Srebrenica, lebih 8,000 penduduknya hilang dan dipercayai dibunuh dalam kempen pembunuhan beramai-ramai pada 1995.

Beberapa kubur besar mengandungi tulang-tulang dan mayat manusia yang ditanam beramai-ramai ditemui di wilayah itu beberapa tahun, kemudian dipercayai mayat penduduk Srebrenica.


Bagi melindungi jenayah kejam pembunuhan beramai-ramai itu, tentera Serb Bosnia beberapa bulan kemudian datang semula ke kubur-kubur besar itu dan menggali mayat-mayat itu di waktu malam untuk ditanam semula di 28 tapak perkuburan baru yang jauh di pedalaman dan di lereng-lereng gunung.

Tragedi itu merupakan insiden pembunuhan beramai-ramai terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua selepas tragedi Holocaust.

Mladic merupakan orang yang bertanggungjawab sepenuhnya atas pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica itu.

Dua lagi sekutunya yang terlibat dalam tragedi di Srebrenica itu, Ljubisha Beara, dan Vujadin Popovic, telah pun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Mladic juga didakwa mengarahkan kepungan selama 44 bulan ke atas Sarajevo.

Orang kuatnya semasa pembunuhan itu, Jeneral Radislav Krstic, pula telah dijatuhi hukuman penjara 35 tahun kerana membantu jenayah itu.

Seorang lagi yang telah ditahan sebelum ini ialah bekas Presiden Yugoslav, Slobodan Milosevic.

Milosevic meninggal dunia ekoran serangan jantung pada 2006 semasa perbicaraan selama empat tahun hampir berakhir di The Hague.

BAKAL DIHERET KE PENGADILAN

Apabila Mladic muncul di mahkamah Serbia pada Jumaat lalu, dia kelihatan uzur dan sukar bercakap.

Ini jauh berbeza dengan imejnya sebagai jeneral yang tegap dan disegani ramai pada satu ketika dulu.

Menurut anaknya, Mladic telah diserang angin ahmar tiga kali dan bahagian kanan badannya kebas.

Namun, para hakim memutuskan dia sihat untuk dibicarakan.

'Badannya lemah tetapi mata birunya memancarkan semangat seorang lelaki muda,' kata seorang pegawai mahkamah.

Rabu lalu, Mladic telah dipindahkan ke Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY), di The Hague, Belanda untuk dihadapkan ke depan hakim atas dakwaan melakukan jenayah perang, pembunuhan dan jenayah kemanusiaan semalam.

Di The Hague, Mladic menyertai ketua politik Serb Bosnia, Radovan Karadzic, 65 tahun, yang kini masih lagi dibicarakan.

Karadzic ditahan pada 2008 tetapi kemudian memboikot permulaan perbicaraannya pada Oktober 2009.

Para pengamat berkata proses pengadilan bagi Mladic mungkin akan mengambil masa yang lama, mentelah dia menafikan bertanggungjawab atas tuduhan yang dikenakan.

Dari sudut politik, penangkapan Mladic dilihat dapat mengukuhkan lagi kedudukan Presiden Serbia, Encik Borix Tadic dalam usahannya untuk menyertakan negara itu dalam Kesatuan Eropah (EU).

Sebelum ini, penahanan Mladic merupakan antara syarat yang ditetapkan bagi Belgade untuk menyakinkan EU bahawa Serbia sudah bersedia untuk menjadi calon anggota blok itu.

Bagi Presiden Tadic, penangkapan itu 'menghapuskan beban Serbia dan menutup sejarah hitam negara ini.'

Masa mungkin telah menyebabkan masyarakat dunia semakin melupakan nasib malang yang telah menimpa masyarakat Islam Bosnia.

Meskipun kini keadilan semakin hampir, namun parut lama masih ada.

Seperti kata Encik Sead Bekric yang berusia 14 tahun ketika perang itu berlaku:

'Bertahun telah berlalu. Kami telah kehilangan orang yang disayangi dan mereka tidak akan kembali. Apabila anda telah melalui pengalaman dahsyat seperti yang dilalui oleh kami, anda tidak akan dapat melupakan segalanya.'

Baru Menang AJK Pemuda Dah Tak Mengaku Ada Pengaruh Bapa?

Saya menang AJK Pemuda bukan kerana pengaruh bapa, kata anak Hadi

GOMBAK, 4 Jun — Anak Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang terpilih sebagai ahli jawatankuasa kerja Pemuda PAS pusat menolak dakwaan bahawa beliau menang kelmarin disebabkan pengaruh bapanya dalam parti Islam itu.

Khalil berkata, dakwaan itu tidak benar kerana beliau merasakan perwakilan memilihnya berdasarkan kelayakan yang ada pada dirinya.

“Saya tidak rasa perwakilan akan nilai saya disebabkan bapa saya. Kerana PAS telah diajar agar menyelidik dan melihat calon yang mempunyai kelayakan untuk memegang sesuatu jawatan.

“Jadi saya tak rasa faktor bapa, saya menang,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Insider semalam.

Selain itu, beliau juga berkata, kemenangan beliau merupakan satu kemenangan di luar jangkaan memandangkan beliau sebelum ini tidak disebut sebagai calon pilihan.

“Saya terkejut. (Tetapi) saya akan terima tanggungjawab ini,” katanya.

Khalil yang juga Ketua Pemuda PAS kawasan Marang berkata, setelah dipilih menjadi exco Pemuda PAS pusat, beliau akan bersama-sama Ketua Pemudanya Nasrudin Hassan dan rakannya yang lain akan mengukuhkan lagi Dewan Pemuda bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang dijangka akan diadakan bila-bila masa.

“Saya akan bersama-sama Dewan Pemuda membawa gagasan yang dibawa ketua saya untuk memimpin Pemuda PAS dan bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13. Saya akan bawa gagasan itu sebaik mungkin,” kata Khalil, 34, anak sulung daripada 14 adik-beradik.

Ayah kepada dua orang anak ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Pengajian Islam dari Universiti Yemen dan kini dalam proses untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah.

Beliau bersama Nik Mohd Abduh Nik Aziz iaitu anak Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menang dalam pemilihan Dewan Pemuda PAS pusat, kelmarin.

Nik Mohd Abduh yang sebelum ini merupakan salah seorang ahli jawatankuasa kerja Pemuda PAS pusat dipilih sebagai timbalan ketua pergerakan itu.

Nik Mohd Abduh juga menganggap faktor kemenangan sebagai timbalan ketua bukan semata-mata kerana pengaruh daripada bapanya, tetapi disebabkan rekod pencapaian sendiri.

Katanya, beliau menang kerana pengalaman sendiri sebelum ini yang memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa pergerakan Pemuda PAS pusat sendiri dan juga di peringkat negeri Kelantan.

“Perwakilan sudah lihat pengalaman saya. Jadi, mereka yakin untuk undi saya,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau berkata, undi bonus juga datang disebabkan pengaruh ayah beliau sendiri.

“Mereka masih sayang ayah saya. Kasih sayang itu tumpah kepada undi kemenangan saya sebagai timbalan ketua,” katanya lagi.

Jelas Nik Mohd Abduh, beliau akan memfokus untuk menyempurnakan hasrat Nasrudin dalam ucaptamanya pada Muktamar Dewan Pemuda.

“Saya sekarang ini ambil sikap membayangkan apa yang hendak dibuat untuk PAS.

“Perubahan atau pembaharuan untuk PAS, saya akan fikir dulu. Apa yang pasti, saya fokus untuk ucaptama Nasrudin dulu,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider pada Muktamar Tahunan PAS Ke-57 semalam.

Nik Mohd Abduh, 41, sebenarnya berhasrat mahu bersara daripada Pemuda PAS. tetapi kembali ke pangkuan pergerakan itu sebagai timbalan ketuanya.

Ayah kepada lapan orang anak ini kini bekerja sebagai pengetua Mahad Tahfiz Nikmatillah di Pulau Melaka, Kelantan.

Ulasan GB

Apalah punya dasyat anak TuanGuru ini. Baru menang jadi AJK Pemuda dah nafikan pengaruh bapanya. Semasa GB pernah bertandang ke rumah TGHH sekitar tahun 90an dahulu, pemuda yang bernama Khalil ini baru berusia belasan tahun. Sekarang dah ada ijazah. Handsome, bergaya malangnya sombong dan angkuh.

Sdra perlu sedar bahawa tidak semua perwakilan pemuda memilih sdra kerana kelayakan yang ada pada diri sdra. Lagipun tinggi mana kelayakan sdra? Dah dapat 3-4 PhD kah sampai begitu sombong sekali jawapan sdra?

Sdra mesti mengakui bahawa memang ada beberapa perwakilam memilih sdra kerana sdra anak Presiden. Setidak-tidaknya sdra perlu akur, ayah sdra mempunyai karisma dan nilai kepimpinan yang dihormati oleh ahli-ahli parti. Kalau sekadar kalayakan yang ada pada sdra, berlambak yang lebih baik kelayakan mereka daripada sdra.

Di dalam hal ini pula, sikap Nik Abduh Nik Aziz yang menang sebagai Timbalan Ketua Pemuda lebih baik (walapun GB tak berapa berkenaan dengannya kerana kuatnya beliau menyokong gagasan UG), setidak-tidaknya beliau mengakui kemenangannya disebabkan oleh adanya pengaruh dari bapanya.

ANAK Menteri Besar Kelantan, Nik Mohd Abduh Nik Aziz tidak menolak kemungkinan kemenangannya bagi jawatan Timbalan Ketua Dewan pemuda PAS Pusat (DPPP) adalah disebabkan pengaruh bapanya yang juga Mursyidul Am PAS.

Beliau yang menyuarakan hasrat untuk bertanding jawatan itu dua jam sebelum pencalonan ditutup kerana desakan ahli parti, bagaimanapun tidak menyangka mampu memenangi kerusi nombor dua sayap parti itu.

Nik Mohd Abduh mendapat 260 undi daripada 655 perwakilan, sekali gus mengetepikan penyandang jawatan itu, Azman Shapawi yang mendapat, 94 undi manakala dua lagi pencabarnya masing-masing Mohd Firdaus Jaafar (193 undi) dan Suhaizan Kaiat (107 undi).

“Kawan bersama saya tahu, mungkin sesetengah perwakilan hendak tunjukkan tanda hormat kepada ayahanda saya sebagai Mursyidul Am, mungkin saya dapat undi itu.
-BH


Begitu kontras.

Kedua, GB hairan kenapakah Tuan-tuan guru kita tidak menghalang anak-anak mereka dari bergiat di dalam politik? Memang tidak salah tetapi, ia tidak manis dan tidak beretika apabila nanti dikaitkan dengan kronisma. Bukankah di dalam Islam sudah ada pengajarannya?

Ketika hampir wafat setelah ditikam, Umar Al-Khattab berpesan kepada anaknya (Abdullah bin Umar), "Wahai Abdullah, keluarga Umar tidak menaruh niat sedikit pun untuk menjadi khalifah. Cukuplah di kalangan keluarga Umar ini, Umar Al Khattab saja yang masuk neraka. Anakku... sekali kali jangan, jangan engkau mengingat-ingat akan jabatan khalifah ini..."

Susahnya ialah apabila kita menyelar adanya unsur kroni apabila Mahathir mempunyai Mukhriz, Pak Lah ada Khairy, sekarang rupa-rupanya di dalam PAS saling tak tumpah juga seperti mereka.

Mahu saja GB menyuruh seorang perwakilan menuju ke rostrum muktamar untuk membuat usul tergempar supaya dihalang anak-anak menantu pemimpin PAS ini dari bertanding untuk merebut apa-apa jawatan di dalam parti.

Dah ler tu, sombong bukan main lagi. Menyusahkan parti.

Tukarkan Mustapha Ali Untuk Perlengkapkan Pimpinan Ke Putrajaya Nanti

Seperti yang GB jangkakan sebelum ini, Mohd Sabu MENANG!

Sekalipun gagasan "Kepimpinan Ulamak" dijadikan slogan dan motto oleh pihak tertentu di dalam PAS untuk mengenepikan dan menumpaskan Mohd Sabu sebagai Timbalan Presiden, namun Allah menetapkan perencanaannya mengatasi perancangan pihak tertentu yang cuba menghalang Mohd Sabu dari memenangi jawatan tersebut.

The Malaysian Insider mengungkapkan kemenangan itu dengan tajuk "Mat Sabu sah No 2 PAS, kumpulan profesional sapu bersih".

Walaupun pengkelasan itu dinafikan oleh beberapa pihak namun memang jelas, golongan profesyenal menjadi pilihan perwakilan.

Selain Mohd Sabu selaku Timbalan Presiden, ketiga-tiga Naib Presiden, Salahuddin Ayub, Husam Musa dan Mahfuz Omar adalah terdiri dari kumpulan profesyenal.



Di dalam senarai AJK PAS Pusat pula, kecuali nama MB Kedah, yang terpilih 10 nama memperolehi undi tertinggi adalah dari kumpulan profesyional.

Mazlan Aliman (884)
Dr Hatta Ramli (765)
Kamarudin Jaffar (739)
Hanipa Maidin (735)
Azizan Abdul Razak (721)
Dzulkefly Ahmad (702)
Mujahid Yusuf Rawa (651)
Khalid Samad (643)
Ghani Shamsuddin (579)
Amiruddin Hamzah (576)

Kekalahan Tuan Ibrahim Tuan Man mungkin memeranjatkan sesetengah pihak setelah usaha untuk melobi beliau dilakukan begitu bersungguh-sungguh oleh beberapa pihak tententu sejak sebelum pemilihan berlansung.

Namun GB sebelum ini membayangkan kemenangan Mohd Sabu di dalam tulisan ini walaupun ramai yang tidak atau sukar mempercayainya. Petikan:




Ustadz Nasharuddin yang sebelum ini telah mengumumkan akan mempertahankan jawatannya nampaknya seperti dipinggirkan oleh harakahdaily. Kita tidak tahu berapa pencalonan yang diterima oleh Ustadz Nasharuddin berbanding calon-calon yang lain kerana J/K Pemilihan kali ini TIDAK TELUS, tidak diumumkan secara terbuka jumlah pencalonan yang diterima oleh setiap calon yang bertanding. Satu perancangan? Wallahu 'alam.

Namun jika Tuan Ibrahim membuat keputusan untuk masuk gelanggang untuk merebut jawatan Timbalan Presiden, ia akan memecahkan undi kumpulan Ustadz Nasharuddin bukan Mohd Sabu.

Ini kerana perwakilan akan melihat Ustadz Nasha dan Ustadz Tuan Ibrahim adalah dari kumpulan yang sama (dua-dua berstatus ulamak/ustadz). Kedua-duanya satu ketika pernah dikaitkan dengan UG.

Mohd Sabu sudah ada penyokongnya sendiri - iaitu solid dari kumpulan yang menentang gagasan UG.

Justeru itu kemasukan Tuan Ibrahim Tuan Man ke dalam gelanggang Timbalan Presiden akan hanya memberi padah kepada Ustadz Nasharuddin, bukan Mohd Sabu, setidak-tidaknya akan memerosotkan undi bagi Ustadz Nasharuddin.

Terbukti benar bukan perkataan GB?

Pada awalnya, GB tidak begitu berminat untuk meletakkan Mohd Sabu sebagai orang yang perlu dipilih sebagai Timbalan Presiden. Sebab bagi GB, ada calon yang lebih baik dari beliau. Boleh baca di sini.

Tetapi apabila Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mengisytiharkan membuat pusing U, dan yang bertanding cuma tiga orang, iaitu Ust Nasharuddin Mat isa, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohd Sabu, maka GB melihat seperti ada sesuatu yang tidak kena di situ.

Perancangan pihak tertentu untuk menonjolkan Tuan Ibrahim, semata-mata untuk mengenepikan Mohd Sabu adalah satu tindakan jahat dan amat keterlaluan.

Ini menyebabkan GB menyeru ahli-ahli supaya menadah tangan kepada Allah masa itu:

Kami akan tetap berdoa kepada Allah s.w.t. untuk mendedahkan setiap konspirasi (jika ada) di dalam pemilihan yang berlansung kerana banyak hal yang terselindung dan tidak telus mengenai pemilihan pimpinan kali ini.

Akhirnya Allah memperkenankan doa kita. Komplot Geng Terengganu didedahkan:

beberapa pemimpin penting PAS, antaranya Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib diutuskan memujuk Tuan Ibrahim secara berterusan sehingga didakwa memberikan tekanan kepadanya untuk bertanding.

"Peranan ini dimainkan oleh Dewan Ulama dan apa yang disebut sebagai 'Geng Terengganu'. Usaha mereka ini termasuklah mengadakan ziarah ke rumah Tuan Ibrahim. Usaha yang sama juga dijalankan pada (Ketua Pemuda) Nasrudin Hasssan," jelasnya.

'Geng Terengganu' -- istilah yang muncul menjelang pemilihan dua tahun lalu -- merujuk kepada penguasaan 'strategik' terhadap tindakan politik Abdul Hadi.

Selain Harun dan Nasrudin, turut dikaitkan dengan kelompok ini ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Abu Bakar Chik. Malah, pejabat presiden sendiri dikatakan dikuasai kelompok ini.
malaysiakini, Jun 1, 11.

Cuma tak disebutkan nama Mustapha Ali, Ketua konspirasi itu.

Menurut "pemerhatian" dan "kajian" GB, Mustapha Ali inilah akitek di belakang semua kospirasi. Malah beliau merupakan orang yang mempengaruhi setiap tindakan presiden parti sehingga beliau berjaya mengangkat dirinya supaya dipilih sebagai Setiausaha Agong.

Keputusan-keputusan Presiden seperti melantik Pengerusi J/K Pemilihan, Pengerusi J/K Disiplin, penyingkiran Ustadz Ahmad Awang sebagai Pesuruh jaya PAS Perak semuanya adalah didalangi oleh Mustapha Ali.

GB dimaklumkan oleh beberapa orang-orang kuat parti juga, kuku Mustapha Ali kuat mencengkam di dalam setiap mesyuarat dewan harian. Malah beliau masih menguasai Pejabat Agong PAS di Jalan Raja Laut dengan meletak petugas-petugas yang terdiri dari orang suruhannya disamping mempunyai "lembu-lembu"nya sendiri yang makan gaji di dalam harakahdaily, Unit I.T. dan seorang webmaster sebuah portal yang menggunakan pelbagai nama samaran yang menulis komen-komen di artikel-artikel di sana sini yang menjadi batu-api.

Allah melingkupkan Geng Terengganu pertamanya dengan kegagalan Azman Shapawi mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Pemuda hasil dari percaturan "terlalu berlagak dan terlalu pandai" dari Geng Terenganu ini.

Dan Geng Terengganu dan UG hanya memenangi dua kerusi itupun di penghujung jawatankuasa PAS Pusat yang menang tadi.

GB memfitnah? TIDAK. Bawa GB ke hadapan J/K Disiplin parti. Nanti GB bakal buka lagi satu per satu. Tapi sebelum itu, buktikan dulu Jawatankuasa Disiplin itu berintegriti, bukan dilantik macam dulu stail kedai kopi sehingga dalam kes UG, Khalid Samad yang dihukum, dilepaskannya Hassan Ali. GB tidak akan terima Jawatankuasa sedemikian dan lebih rela dipecat dari memberi kerjasama kepada Jawatankuasa yang penuh dengan konspirasi sedemikian rupa.

Kembali kita kepada kemenangan Mohd Sabu.

Sebenarnya, Mohd Sabu sudah cukup merasa dirinya diperkotak-katikkan oleh geng Terengganu ini yang mempergunakan dirinya selama ini. Beliau telah diarahkan oleh parti untuk bertanding di Kuala Terengganu pada PRU yang lalu, semata-mata untuk memperalatkan populariti beliau bagi memenangi kerusi di situ. Tetapi Allah tidak mengizinkan ia berlaku, maka kalahlah Mohd Sabu. Jika Mohd Sabu bertanding di negerinya sendiri ketika itu, besar kemungkinan Mohd Sabu sudah menjadi YB di parlimen hari ini.

Maka kemenangan Mohd Sabu sebagai Timbalan Presiden sepastinya akan meletakkan beliau lebih tinggi dalam hirarki parti dari Mustapha Ali dan Mohd Sabu berhak untuk menentukan sendiri kerusi mana yang beliau hendak tandingi. Kemenangan Mohd Sabu adalah suara dan kehendak dari akar umbi.

Apa selepas ini?

GB dan lain-lain pejuang siber akan membantu barisan kepimpinan yang baru ini dengan gembira dan sepenuh hati supaya matlamat kita menumbangkan BN akan menjadi realiti.

Dan kami bekerja kerana Allah untuk parti tanpa gaji, tanpa dihargai, walaupun setiap kali muktamar, peranan dan sumbangan blogger tak pernah diingati, jauh sekali dihargai. Memang dasyat barisan pimpinan yang lalu. Walaupun kami juga berjuang separuh mati untuk kemenangan parti. Hanya Allah tempat kami mengadu dan meluahkan segala permintaan kami.

Alhamdulillah, Mohd Sabu menang kali ini, kerana Allah masih menyayangi kami dan terima kasih serta syukur kami ke hadratMu Ya Ilahi kerana memperkenankan doa kami, walaupun kami bukan dari kalangan ulama dan ustadz dalam parti kami.

Harap-harap barisan pimpinan kali ini menghormati dan tidak melupakan jasa blogger-blogger nanti. Jika sama juga macam dulu, kita siapkan pedang untuk penggal leher mereka, sama macam kisah sahabat di zaman Umar semasa diangkat menjadi khalifah kedua di dalam khulafa Ar-Rashidin.

Sekian sekadar itu luahan hati GB. Cukup emosi? Biarkan, secukup airmata yang mengalir kerana hati yang sebak menderita sebelum ini.

RASMI : Mohd Sabu Menang Timbalan Presiden PAS, Senarai Penuh [updated]

Keputusan rasmi:

Timbalan Presiden
Mohd Sabu 424
Nasharuddin Mat Isa 224
Tuan Ibrahim Tuan Man 398

Manakala untuk jawatan Naib Presiden pula dimenangi Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Pemilihan Mohamad yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Pakatan Rakyat dijangka akan membolehkan parti itu lebih diterima di kalangan pengundi bukan Melayu dan memperbaiki peluang PAS dalam pilihan raya umum.

Bagi barisan naib presidennya pula, perwakilan parti itu membuat keputusan untuk mengekalkan dua orang ahli parlimennya di jawatan itu -- Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena).



Salahuddin meraih 753 undi manakala Mahfuz pula mendapat 616 undi.

Bagi melengkapi pasukan pilihan raya ini, para perwakilan turut memilih tokoh profesional, Datuk Husam Musa (660 Undi) ke jawatan naib presiden.

PENGERUSI TETAP

Tuan Haji Ustaz Abu Kasim

TIMBALAN PENGERUSI TETAP

Tuan Haji Hussin Ismail

PRESIDEN

1. Abdul Hadi Awang, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji

TIMBALAN PRESIDEN

1. Mohamad Sabu, Hj – 420 undi
2. Nasharudin Mat Isa, YB – 224 undi
3. Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato’ – 399 undi

NAIB PRESIDEN

1. Husam Musa , YB Dato’ - 660 undi
2. Idris Haji Ahmad, Ustaz – 491 undi
3. Mahfuz Omar, YB Dato’ – 616 undi
4. Mohd Amar Abdullah, YB Dato’ – 321 undi
5. Nizar Jamaluddin, YB Dato’ Seri – 217 undi
6. Salahuddin Ayub, YB – 753 undi

AHLI JAWATANKUASA KERJA

Mazlan Aliman (884)
Dr Hatta Ramli (765)
Kamarudin Jaffar (739)
Hanipa Maidin (735)
Azizan Abdul Razak (721)
Dzulkefly Ahmad (702)
Mujahid Yusuf Rawa (651)
Khalid Samad (643)
Ghani Shamsuddin (579)
Amiruddin Hamzah (576)
Abdul Wahid Endut (556)
Abu Bakar Chik (527)
Mohd Amar Abdullah (470)
Mahfodz Mohamed (449)
Siti Mariah Mmahmud (445)
Hassan Mohamed Ali (437)
Abdul Ghani Abdul Rahman (430)
Nuridah Salleh (416)


Ulasan GB
di dalam entri berikut nanti

Tak rasmi: Mat Sabu Menang Timbalan Presiden PAS

Tak rasmi: Mat Sabu menang No 2 PAS

KUALA LUMPUR, 4 Jun — Keputusan tidak rasmi menunjukkan Mohamad Sabu menang jawatan timbalan presiden PAS, dan jika disahkan, ia akan mengejutkan banyak pihak dalam parti Islam itu dan pemerhati politik negara.

Keputusan rasmi akan diumumkan sekitar 10 pagi ini.

Proses mengira undi selesai tengah malam tadi.

Di peringkat naib presiden, Datuk Paduka Husam Musa kembali memperoleh kedudukan itu, yang dikosongkan dua tahun lalu ketika memutuskan untuk bertanding timbalan presiden.

Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar kekalkan kerusi nasib presiden.

“Berdasarkan maklumat tak rasmi, Mat Sabu (gambar) dapat sekitar lebih 450 undi kali ini, mengatasi dua calon lain,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Mohamad yang lazimnya dirujuk sebagai “Mat Sabu” bertanding kali kedua berturut-turut jawatan timbalan presiden.

Beliau bersaing dengan penyandang Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man — yang dikategorikan sebagai pemimpin daripada kalangan ulama.

“Bagaimana kita kena tunggu pengumuman rasmi, sebab kita tidak mahu apa yang berlaku dua tahun lalu, keputusan terbalik ketika pengumuman rasmi dibuat,” katanya.

Kali ini PAS mengadakan proses kira undi dengan menyediakan ejen calon.

Jawatan naib presiden turut disaingi oleh bekas menteri besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Idris Ahmad iaitu Ketua Penerangan PAS dan seorang lagi Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah. -TMI

Ulasan GB

Ulasan penuh GB akan menyusul selepas keputusan rasmi diumumkan.

15 Anak Kapal MV Akhirnya Diselamatkan

Pelabuhan Klang: Penantian lebih setahun 15 anak kapal MV Banga Biraj yang mendakwa terkandas dan hidup susah di negara ini selepas kapal berkenaan ditahan pihak berkuasa berakhir apabila diselamatkan dalam satu operasi, semalam.

Operasi bersama digelar Ops Pintas diketuai Unit Anti Pemerdagangan Orang (Atip) Bukit Aman, Pasukan Polis Gerakan Marin Pelabuhan Klang, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Pemerdagangan Manusia Selangor bermula jam 12.30 tengah hari dan berakhir 5.30 petang.

Ketua Operasi Atip, Deputi Superintendan Nor Omar Sappi, berkata siasatan awal pihaknya terhadap semua kru kapal MV Banga Biraj yang terkandas kira-kira enam batu nautika dari Pelabuhan Klang itu mendapati 15 anak kapal itu hidup tertekan.

“Keseluruhan pasukan operasi menyelamat bekerjasama membawa 15 kru kapal MV Banga Biraj terdiri daripada 13 warga Bangladesh dan dua warga Indonesia terbabit untuk diberi perlindungan di penempatan sementara sebelum mendapat perintah dari mahkamah bagi Perintah Perlindungan Sementara (IPO),” katanya ketika ditemui ketika Ops Pintas di atas kapal berkenaan, di sini, semalam.

Hadir sama, Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam dan Penolong Pengarah Tenaga Kerja Selangor, Rhymie Mohd Ramli.

Kapal MV Banga Biraj ditahan di perairan Pelabuhan Utara berikutan berlaku tuntutan Northport Sdn Bhd selepas terlanggar dan merosakkan kren di pelabuhan itu dan perintah mahkamah yang diperoleh pada 4 Mei tahun lalu membolehkan kapal ditahan.

Sementara itu, kelasi, Mohd Kafiluddin Munshi, 34, yang pernah cuba terjun ke laut akibat terlalu tertekan sebelum diselamatkan kru lain, berkata dia bersyukur mendapat peluang untuk pulang ke kampung halamannya Joypur, Chagalnaiya, Bangladesh.

Katanya, selama ini dia terlalu sedih mengingatkan dua anak perempuan berusia empat dan satu setengah tahun serta isteri, Semona Begum, 26.

“Empat belas bulan tanpa gaji dan duduk di kapal membuatkan saya rasa macam orang gila. Ketika saya ambil keputusan nak terjun ke laut itu saya terlalu kecewa dan sedih.

“Kami turut mengenangkan keluarga di kampung yang tak tahu entah makan atau tidak,” katanya yang turut berterima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia.

Selepas didaratkan di Pangkalan Polis Marin, di sini, semua anak kapal MV Banga Biraj itu dibawa dengan van untuk diberi penempatan sementara di pejabat Jabatan Tenaga Kerja, Klang. -hm

Sengaja Mengundang Kemurkaan Ilahi: Illinois Nikahkan 36 Pasangan Sejenis

Empat bulan lalu, Gabernur Illinois Pat Quinn menandatangani peraturan mengenai kebebasan kaum lesbian, homoseksual, dan transgender. Hasilnya, 36 pasangan sejenis mendapat kebenaran untuk bernikah. Pasangan-pasangan itu menampilkan diri di Millenium Park Chicago.

"Ini hari bersejarah. Ini hari istimewa. Satu hari dimana seluruh warga di Tanah Lincoln dapat merayakannya. Setiap orang di negeri ini amat penting artinya," demikian Pat Quinn menyampaikan pidatonya di situ.

Pernyataan Quinn yang berasal dari Parti Demokrat itu disertai bersama Datuk Bandar Chicago Rahm Emanuel. Chicago adalah kota terbesar di Illinois. "Satu perjalanan panjang untuk merayakan kesempatan ini," kata Emanuel, yang juga berasal dari Partai Demokrat itu.

Di Amerika Syarikat, setidak-tidaknya ada enam buah negeri yang mengesahkan pernikahan sejenis. Selain Illinois, negeri-negeri yang dimaksudkan adalah Connecticut, Iowa, Massachusetts, New Hampshire, Vermont, dan Washington DC.



Empat maut dalam ribut puting beliung di Massachusetts

NEW YORK: Wilayah Massachusetts diisytiharkan dalam keadaan darurat selepas dua kejadian puting beliung melanda wilayah di timur laut Amerika Syarikat itu lewat kelmarin, menyebabkan empat orang terbunuh, kata para pegawai.

Gabenor Deval Patrick mengisytiharkan keadaan darurat itu 'sebagai respons kepada kesan kejadian puting beliung dan cuaca buruk itu', kata pejabat gabenor itu.

'Puting beliung dahsyat dan besar yang kita lihat hari ini (kelmarin) belum pernah dialami di Massachusetts,' kata jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Massachusetts, Encik Scott MacLeod, kepada agensi berita AFP.

'Setiap tahun kami menjangkakan akan melihat satu, dua atau tiga pantauan atau amaran kejadian puting beliung, tetapi kesan puting beliung yang kita lihat hari ini (kelmarin) memang amat teruk,' kata beliau, sambil mengesahkan empat kematian akibat puting beliung itu.

Menyusuli perisytiharan itu, 1,000 anggota pengawal keselamatan wilayah tersebut telah dikerahkan membantu dalam usaha mencari dan menyelamat.

Pihak gabenor 'akan membawa apa saja sumber wilayah yang diperlukan untuk memastikan keselamatan semua penduduk Massachusetts', kata perisytiharan wilayah yang dikeluarkan Encik Patrick, sambil menambah bahawa kakitangan di pejabat gabenor yang tidak terlibat dalam tugas kecemasan harus melaporkan diri ke tempat kerja masing-masing semalam sedang usaha pembersihan diteruskan.

Pihak berkuasa wilayah berkata dua orang mati di daerah West Springfield, satu di Springfield dan satu lagi di Brimfield.

Kejadian puting beliung itu mengakibatkan kerosakan meluas di Springfield, bandar ketiga terbesar di wilayah itu.

Polis wilayah melaporkan bahawa 33 orang cedera di Springfield.

Encik Patrick berkata kerosakan akibat puting beliung pertama, yang lebih kuat berbanding puting beliung kedua, menjejas kawasan Westfield - terletak ke barat Springfield - hingga ke timur di kawasan kejiranan Douglas.

Menurutnya, puting beliung kedua melanda dari West Springfield hingga Sturbridge, di bahagian tengah wilayah berkenaan.

Puting beliung itu juga menyebabkan ramai lagi yang cedera. Bagaimanapun, jumlah kematian akibat bencana alam itu hanyalah merupakan satu perangkaan awal, kata Encik Patrick. -- AFP, AP.