19 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Siapa Yang Sakit Jiwa Sebenarnya?

Bernama melaporkan nggota keluarga mendiang Teoh Beng Hock membuat keputusan untuk menunda temubual psikiatri yang dijadualkan hari ini berikutan peguam keluarga itu tidak dibenarkan turut sama menemani mereka dalam sesi rawatan itu.

Peguam yang mewakili keluarga mendiang, Lim Lip Eng berkata rawatan yang sepatutnya dilakukan di Hospital Selayang pada pukul 11 pagi tadi, bagaimanapun terpaksa ditunda ekoran pihak hospital enggan membenarkan beliau turut serta menemani keluarga mendiang Teoh.

"Saya tidak dibenarkan untuk menemani keluarga ini semasa rawatan, jadi pihak keluarga telah memutuskan untuk menunda rawatan itu pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti," katanya kepada pemberita di Hospital Selayang di sini.

Beliau berkata keluarga mendiang Teoh telah menerima surat arahan dari polis bagi menghadiri sesi rawatan itu untuk menentukan tahap mental mendiang Teoh, Rabu lepas.

"Surat itu telah mengarahkan ahli keluarga mendiang yang terdiri daripada bapanya, Teoh Leong Hwee, ibunya Teng Shuw Hoi, abangnya Teoh Meng Kee dan tunang Teoh, Soh Cher Wei menjalani sesi rawatan berkenaan.

"Namun keluarga ini meminta agar saya turut menemani mereka supaya tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.

Banyak pihak mempersoalkan apakah sebenarnya motif polis untuk mengadakan temubual psikatri ke atas keluarga mendiang Teoh, terlebih lagi menghalang peguam untuk hadir sama di dalam sessi itu.

"Yang sepatutnya ditemubual dan disiasat otaknya ialah pegawai-pegawai penyiasat SPRM yang terlibat dengan kematian Teoh, pegawai tertinggi polis dan anggota yang terlibat membuat perancangan dan tuduhan kononnya Teoh membunuh diri. Termasuk di dalam senarai itu saksi-saksi yang membuat persaksian palsu, menteri-menteri dan juga Peguam Negara. Mereka inilah yang sakit jiwa yang perlukan rawatan," tegas seorang pensyarah psikologi dan kemanusiaan kepada GB.

Pada 2 Okt lepas, Koroner Azmil Muntapha Abas yang mengendalikan inkues kematian Teoh Beng Hock membenarkan anggota keluarga serta beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditemu bual oleh dua pakar psikiatri.

Azmil berkata temu bual itu akan dapat membantu siasatan apabila pakar perunding forensik psikiatri Hospital Permai Johor, Dr Bada'iah Yahya dan pakar perunding psikiatri Kementerian Kesihatan Dr Nor Hayati Ali selesai membuat laporan mengenainya.

Teoh, setiausaha politik kepada ahli dewan undangan negeri kawasan Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai lalu, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan yang sama.

Era Najib Altantuya : Kumpulan UG Perosak Sebenar PAS

Pengajaran dari Bagan Pinang

Oleh Prof Ab Aziz Bari

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang berlangsung, 11 Oktober lalu, sudah pun diketahui keputusannya. Kemenangan calon Barisan Nasional, Tan Sri Mohd Isa Samad memang dijangkakan meskipun kegagalan calon Pas yang mewakili Pakatan Rakyat, Zulkefly Mohamad Omar, untuk mengurangkan undi majoriti Barisan Nasional (BN) agak memeranjatkan.

Pelbagai analisis dibuat dan saya tidak mahu menambah apa-apa. Saya sekadar hendak mengungkap beberapa perkara yang penting daripada sudut perlembagaan khususnya dan sistem politik umumnya. Hal-hal ini penting kerana selain menjadi tema dan mauduk utama ruangan ini, itu semua penting dalam membina sebuah Malaysia yang adil, telus dan sistematik walau siapa dan apa pun warna politik kita. Saya ada menyebut betapa kewujudan sebuah sistem dua parti yang mantap penting bagi memperkasa ideal perlembagaan kita. Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.

Berbalik kepada Bagan Pinang apa yang kita lihat ialah betapa wakil rakyat – yakni Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – pada hakikatnya dianggap sebagai 'pegawai kebajikan'. Walaupun ini tidak salah tanggapan dan imej memberi kesan yang besar kepada kedudukan dan peranan wakil rakyat berkenaan dan kualiti dewan perundangan kita. Dan seterusnya ini memberi kesan langsung kepada kualiti undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kita. Begitu juga dengan fungsi dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.

Ada kemungkinan pengundi dalam DUN Bagan Pinang, kerana ia adalah pilihan raya kecil dan tidak memberi kesan kepada kedudukan Kerajaan Negeri, mahu mengingatkan Pakatan supaya lebih berhati-hati dan memberi perhatian kepada masalah dan kebajikan rakyat. Ada pihak yang mengatakan bahawa Ahli Parlimen Teluk Kemang yang merangkum DUN berkenaan gagal memainkan peranan. Ini mungkin benar. Tetapi apakah ini cukup kuat untuk mereka memenangkan calon Barisan yang diketahui korup, yang hanya dikatakan ‘teknikal’ oleh pemimpin utamanya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pun tidak suka calon itu meskipun selepas keputusan diumumkan Mahathir berubah dan turut bergembira dengan keputusan di Bagan Pinang itu.

Keputusan pilihan raya kecil itu menyebabkan sesetengah pihak kesal dan sedih kerana kemenangan besar itu menandakan sikap pengundi yang semacam tidak kisah dengan soal integriti dan kebersihan calon. Apatah lagi mengingat bahawa calon Pas adalah seorang yang begitu aktif dalam isu-isu umum, termasuk alam sekitar dan kes pelupusan sampah Broga. Dalam pada itu sebagaimana di tempat-tempat lain khidmat Barisan bukanlah sempurna, di sana sini banyak juga kegagalan dan kelemahan pentadbiran Mohd Isa sewaktu beliau menjadi Menteri Besar dahulu. Begitu juga dengan pentadbiran sekarang di bawah Datuk Seri Mohamad Hassan.

Hal ini memberi gambaran bahawa kemenangan besar Barisan itu adalah kerana kawasan itu memang kubu UMNO. Sebab itulah ada pihak yang berkata bahawa parti itu tidak harus terlalu seronok kerana apa yang terjadi di Bagan Pinang itu tidak semestinya aliran umum yang akan mendominasi politik negara.

Walau apa pun imej Pakatan yang dipaparkan dalam media yang dikuasai Barisan juga tidak membantu. Imej yang dipaparkan membayangkan betapa gabungan ini rapuh dan tidak berupaya mengambil tempat Barisan. Secara kebetulan itulah kesimpulan yang dibuat oleh Merdeka Center dalam tinjauan lapangan yang diselesaikannya pada awal bulan ini: sekitar 43 peratus dari pengundi berdaftar yang diselidikinya tidak yakin kepada kemampuan Pakatan untuk memerintah di peringkat persekutuan.

Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali atau menyingkirkannya terus. Dalam beberapa portal berita Hasan dilihat sebagai liabiliti kepada Pakatan umumnya dan Pas khususnya. Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-UMNO dalam Pas seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.

Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam Pas. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan salah Hasan itu secara terbuka. Tindakan dan perangai Hasan itu memang pelik kerana adalah mustahil seorang pegawai tadbir beliau tidak faham konsep tanggung jawab bersama dan bezanya dengan kedudukan penyokong kerajaan.

Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam Pas yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti. Secara perlahan-lahan lulusan syariah Universiti Al-Azhar dan sarjana undang-undang perbandingan Universiti Kent itu mula dilihat sebagai mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Mohd Fadzil Noor yang meninggal dunia pada 2002.

Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda Pas dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi Pas di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu. Ini menyedihkan kerana selain pernah memerintah dari 1999-2004 Pas juga mentadbir negeri itu dari 1959-1961.

Perubahan kepemimpinan penting bukan saja untuk Pas, tetapi juga dalam konteks mereformasikan sistem kita. Perubahan mendasar hanya akan berlaku sekiranya ada kerajaan baru di peringkat persekutuan. Kita semua maklum Barisan tidak akan berbuat apa-apa kepada SPR dan undi pos umpamanya. Begitu juga dengan kedudukan perkhidmatan awam umumnya dan pasukan polis khususnya. Perubahan-perubahan ini amat penting jika kita mahu Malaysia membuat perubahan sebagaimana yang mula kelihatan di Indonesia selepas dua penggal Susilo Bambang Yudiyono memimpin negara. Jika tidak kita akan terus ketinggalan dan menggigit jari.

Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika Pas kekal dengan kapten yang ada ini mungkin akan berkurang. Sejumlah 21 peratus pengundi yang masih berada di atas pagar kemungkinan besar akan berpihak kepada BN dan untuk memperkasa demokrasi di Malaysia akan gagal lagi.

Era Najib Altantuya : Azmin Tolak Dakwaan Zaid

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali berkata, tidak ada sesiapa pun menghalang mana-mana pemimpin PKR dari semenanjung termasuk Datuk Zaid Ibrahim daripada menghadiri program di Sabah.

Azmin juga mendesak Zaid agar segera menjelaskan kepada parti apa yang sebenarnya beliau maksudkan apabila berkata, Anwar Ibrahim menghalangnya ke Sabah.

Tambah Azmin, kepimpinan peringkat pusat tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bagi menghalang mana-mana pemimpin parti itu daripada menghadiri program di setiap negeri.

"Itu tidak benar (halangan), tidak ada sebarang arahan kepada mana-mana pemimpin termasuk Datuk Zaid untuk turun berjumpa dengan ahli bagi memperkukuhkan parti.

"Malah kita sebenarnya menggalakkan semua pemimpin pusat dan juga Ahli Parlimen kita dari semenanjung untuk pergi ke Sabah dan Sarawak...dan saya sendiri tidak ada masalah dengan Zaid," katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah eksklusif ketika ditemui di rumah adiknya personaliti Azwan Ali di Ukay Perdana petang semalam.

Zaid yang baru menyertai PKR Jun lalu telah membuat satu pengumuman mengejutkan Jumaat lepas bahawa beliau telah mengambil 'cuti politik' selama enam bulan selepas mendakwa penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghalangnya daripada menghadiri program di Sabah.

Dalam pada itu, Azmin yang juga Pengerusi PKR Sabah turut menafikan dakwaan Zaid yang mendakwa hasratnya untuk ke Sabah tidak mendapat restunya.

"Buat apa saya nak halang beliau ke sana, sesiapa sahaja ada hak untuk pergi ke mana sahaja mereka suka termasuk Sabah... tambahan lagi jika menghadiri program-program untuk pengukuhan parti," katanya.

Ditanya sama ada Biro Politik PKR akan mengambil tindakan terhadap Zaid kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian, Azmin berkata: ""Buat masa ini belum ada lagi perancangan untuk itu... lagipun saya dapat tahu beliau sedang bercuti.

"Beliau perlu menjelaskan kepada parti kedudukan yang sebenarnya. Jelaskan apa yang berlaku dengan segera bagi mengelakkan kekeliruan."

Diminta mengulas mengenai dakwaan seorang lagi Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan bahawa terdapat 18 daripada 24 ketua cabang di Sabah menandatangani memorandum bagi membantah pelantikan beliau sebagai Pengerusi PKR Sabah, beliau menafikan kesahihan perkara tersebut.

"Hakikatnya perkara tersebut tidak berlaku, tak ada bantahan sedemikian terhadap pelantikan saya.

"Malah semalam saya sendiri telah mempengerusikan satu mesyuarat bersama 18 ketua cabang Sabah di Kota Kinabalu... Jeffrey juga ada bersama.

"Tak ada pula dia bantah apa-apa atau mana-mana ketua cabang yang menyuarakan perasaan tak puas hati terhadap saya," katanya.

Menjelaskan tentang kedudukan sebenar, Ahli Parlimen Gombak itu berkata, lantikan beliau sebagai Pengerusi PKR Sabah adalah bersifat sementara untuk tempoh tiga hingga enam bulan bagi membantu memperkukuhkan parti.

"Biro Politik lantik saya untuk bantu ahli di Sabah, malah dalam pertemuan pertama saya tiga bulan lalu dengan pemimpin Sabah juga saya sudah jelaskan bahawa lantikan saya hanya untuk sementara.

"Masa yang diberikan untuk saya lebih kurang tiga hingga enam bulan, tapi kalau pencapaiannya baik, kedudukan PKR di Sabah makin mantap tempoh itu akan dikurangkan.

"Saya sendiri katakan bahawa parti akan melantik pemimpin tempatan sebagai ganti saya nanti, tapi tugas saya pada ketika ini untuk kuatkan parti dahulu," katanya.

Jelas Azmin lagi, beliau mengakui perkara ini mungkin timbul akibat wujudnya pihak-pihak tertentu dalam parti yang cuba memecah-belahkan hubungan demi kepentingan peribadi.

"Sebenarnya kita sudah mengenal pasti satu atau dua orang dari dalam parti yang mungkin akan menyertai BN (Barisan Nasional) cuba buat kacau.

"Tapi saya sebagai Pengerusi PKR Sabah tidak akan benarkan perkara tersebut berlaku," katanya.

Sementara itu, Azmin juga berkata, beliau kini dalam pertimbangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah portal berita kerana melaporkan berita yang tidak benar tentang kononya kedudukan beliau sebagai Pengerusi PKR Sabah tidak disenangi oleh pemimpin tempatan.

"Saya masih dalam perbincangan dengan pihak guaman untuk ambil tindakan undang-undang kerana laporan berkenaan.

"Saya akan saman portal tersebut dan wartawannya kerana membuat laporan yang tidak betul tanpa usul periksa," katanya. -Mstar

Era Najib Altantuya : Sekat Peruntukan, Umno Perlu Ambil Tindakan Pada Shukor

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihati kepimpinan Umno supaya mengambil tindakan terhadap Ketua Peneranngan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus terhadap gesaan yang dibuat dalam Persidangan Agung Umno ke-60.

Menurutnya kenyataan Abdul Shukor itu jelas membuktikan Umno melanggar perlembagaan yang termaktub bahawa kerajaan Persekutuan mesti menyalurkan pendapatannya kepada semua kerajaan negeri.

Sehubungan itu beliau menyarankan supaya Umno mempelajari Perlembagaan Malaysia yang menetapkan terdapatnya hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

“Ini bererti Umno sekarang melanggar perlembagaan Persekutuan. Saya nasihatkan supaya pemimpin-pemimpin Umno sekarang yang jadi menteri displinkan mereka yang bertanggugjawab supaya tidak membuat kenyataan sebegitu," kata Khalid.

“Bila persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia ditubuhkan, Perlembagaan dengan jelas menyatakan tugas kerajaan Persekutuan adalah untuk menyalurkan wang-wang bagi pembangunan negeri-negeri melalui negeri. Jika ahli UMNO bercakap berlainan dari apa yang dinyatakan dalam perlembagaan, maknanya kerajaan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mestilah menasihatkan individu berkenaan supaya dia tidak silap,” katanya ketika ditemui di majlis Sambutan Aidilfitri dan Deepavali Parti Keadilan Rakyat Wilayah Persekutuan.

Perwakilan Umno Selangor Abdul Shukur Idrus dalam Persidangan Agung Umno ke-60 berkata sekatan ini perlu kerana kerajaan Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim meraih sokongan meluas dari program bantuan sosio-ekonomi yang dilaksanakan. Abdul Shukur menjelaskan kerajaan negeri mengagihkan RM1,000 berupa bantuan khairat kematian dan RM1,500 kepada warga tua - walhal Umno sekadar menyumbang RM300.

Beliau menambah agihan sosio-ekonomi seperti ini menjadi buah-bicara rakyat Selangor walhal peruntukan sebenarnya datang dari Kerajaan Pusat. Abdul Khalid berkata kenyataan Abdul Shukor membuktikan dia mahu melanggar lunas-lunas Perlembagaan dan sekiranya tiada tindakan diambil oleh kepimpinan Umno ia bererti parti berkenaan merestui ahlinya melakukan kesilapan.

Beliau menambah, sejak Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, kerajaan Persekutuan menubuhkan Jabatan Pembangunan Negeri Selangor untuk mengawal pengaliran kewangan dan dana pembangunan ke negeri Selangor.

“Umpamanya dari segi dana-dana pembangunan, ia diurus jabatan pembangunan Negeri Selangor yang di kelola secara terus oleh Kerajaan Persekutuan. Dulunya sebelum Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor jabatan ini tidak ada, ia dibawah pejabah daerah," jelas Khalid.

“Dalam Pejabat Daerah ada ADO (Penolong Pegawai Daerah) Pembangunan dan saluran wang pembangunan seharusnya dimasukan kepada ADO Pembangunan,” katanya.

Menurutnya rakyat perlu tahu bahawa dengan wujudnya jabatan berkenaan segala kos pengurusan yang ada semakin meningkat kerana tidak dikendalikan dengan sebaiknya.

“Saya tidak menyekat pembangunan, saya menggalakkan pembangunan di Selangor tetapi jika pembangunan tidak dibuat dengan betul rakyat Selangor akan diberitahu bahawa kerajaan Persekutuan walaupun ada menyalurkan dana kepada rakyat selangor tetapi tidak menggunakan dana itu dengan sebaik-baiknya," kata Khalid.

“Ia meningkatkan lagi kos pengurusan yang tidak baik dan bertentangan dengan lunas-lunas perlembangaan yang mana kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri mesti bekerjasama dan jalankan pentadbiran demi pembangunan rakyat seluruh negeri,” katanya. -TVS



Era Najib Altantuya : Amaran Untuk Pakatan Rakyat

Keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Teluk Kemang, Negeri Sembilan seharusnya diberikan perhatian yang sangat serius di kalangan pemimpin dan ahli-ahli Pakatan Rakyat.

Penelitian yang serius harus dibuat, bukan kerana calon Pakatan Rakyat 'tewas' atau calon Barisan Nasional menang di situ.

Pakatan Rakyat sudah menang tujuh kali pilihan raya kecil di semenanjung. BN baru menang satu. Dari segi nisbahnya amat jauh. Keputusan Bagan Pinang bukan kayu pengukur untuk mengatakan Pakatan Rakyat semakin lemah atau BN semakin kuat.

Walau apa pun keputusannya, post-mortem harus dibuat bagi mengenalpasti apakah wujud kelemahan untuk diperhalusi dan diatasi.

Namun, Pakatan Rakyat harus membuat pemerhatian yang serius, kerana kebarangkalian besar pendekatan 'ala Bagan Pinang' akan diadaptasikan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Sudah tentu hasil pemerhatian tujuh kali kalah dalam PRK, menjadikan BN cukup matang dan cukup bersedia menghadapi Pakatan Rakyat dengan segala taktik yang terancang.

Justeru, BN selaku parti pemerintah yang sudah berkuasa selama lebih 50 tahun, sudah tentu tidak akan sewenang-wenangnya, mahu 'menyerahkan tengkuknya' untuk disembelih Pakatan Rakyat.

Sudah tentu mereka akan bertungkus lumus bagi menghadapi kemaraan Pakatan Rakyat setelah kehilangan kuasa di lima negeri dan hilang dua pertiga majoriti di Parlimen.

Pendekatan di Bagan Pinang akan dijadikan model utama memanipulasi sokongan rakyat dengan memaksimumkan penyalahgunaan kuasa, memanipulasi media, menyalahgunakan jentera kerajaan, berkempen secara peras ugut dan merasuah rakyat sebagai usaha untuk mengekalkan kuasa pemerintahan BN.

Bagi Umno, keputusan PRK Bagan Pinang amat menggembirakan. Ia seolah-olah memberi signal kepada Umno bahawa, rakyat masih termakan janji dan umpan mereka.

Umno kini merasakan bahawa mereka boleh kekal dan akan kekal ditampuk kuasa kerana rakyat, khususnya kaum Melayu dan India memang boleh dibeli.

Umno-BN harus membiarkan Melayu, India dan sebagainya berada dalam keadaan miskin. Dengan kemiskinan inilah menyebabkan mereka mudah diumpan. Beri sahaja dua tiga ratus, mereka akan menjual undi kepada BN.

Akibat kemiskinan dan kehidupan yang melarat, menyebabkan rasuah berleluasa. Umno-BN merasuah kerana hendak mengekalkan kuasa, manakala rakyat yang menerima rasuah, mengambilnya atas kepentingan tertentu.

Rasuah sudah menjadi amalan yang sebati dalam Umno. Bagi mereka rasuah tidak haram kerana 'yang memberi' dan 'yang menerima', sama-sama melakukannya di atas kerelaan sendiri.

Masalah yang dihadapi Pakatan Rakyat, bukan sekadar rasuah wang ringgit. Menyalahgunakan kuasa juga satu rasuah. Secara tradisinya pemimpin-pemimpin Umno, nampaknya sudah mangli melakukan 'rasuah salahgunakuasa'.

Mengunakan kuasa Umno-BN, selaku penguatkuasa undang-undang dengan mengerahkan polis dan tentera undi mengundi BN. Mengerahkan segala inteligen bekerja keras membuat risikan untuk memenangkan calon BN.

Lebih buruk daripada itu, dengan kuasa kerajaan dan kewangan yang ada, Umno-BN mula melakukan siri kempen yang ganas, dengan mengupah samseng-samseng jalanan mengkasari, memukul dan mencederakan petugas Pakatan Rakyat.

Selain itu, Pakatan Rakyat menghadapi masalah besar akibat ketidaktelusan Suruhanjaya Pilihan Raya mengendalikan pilihan raya secara adil, saksama dan bebas.

Oleh kerana perlantikan peneraju SPR terdiri daripada orang yang dicadang dan disokong oleh Umno, atas jawatan Perdana Menteri dan sebagainya, SPR dilihat tidak bebas kerana berkhidmat untuk kepentingan Umno-BN.

SPR membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya di atas kehendak Umno, SPR dikatakan pernah mengunakan khidmat Puteri Umno untuk membantu tugasnya, SPR menguatkuasakan peraturan-peraturan yang mengawal perjalanan kempen di atas tekanan Umno. SPR sering mengeluarkan senarai pengundi yang berbeza dan meragukan.

Tidak mustahil SPR akan digemblengkan dengan lebih dahsyat lagi pada PRU ke-13, demi untuk melindungi kepentingan Umno.

Semua 'trend' yang dicatatkan di atas, amat merbahaya sebenarnya. Ianya adalah loceng amaran buat Pakatan Rakyat, bahawa demi mempertahankan kuasa Umno-BN sama sekali tidak akan mempedulikan tata etika, peraturan, undang-undang dan kesaksamaan.

Jelas, dengan apa cara sekalipun, Umno-BN mahu terus merajai pentadbiran negara. Maka kepimpinan Pakatan Rakyat tidak harus berdiam diri. Pakatan Rakyat harus segera memperhalusi strategi dan mencari jalan keluar.

Kebobrokan dan keegoan Umno-BN ini, harus dihentikan serta merta. -Rashidi Hassan