16 Nov 2010

Rombakan Kabinet, Khairy Bakal Timb Menteri, Tg Adnan Dan Azalina Masuk Semula?

Rombakan kabinet minggu depan?

PETALING JAYA: Khabar angin dan spekulasi tercetus mengenai rombakan kabinet yang dijangka diumumkan minggu depan atau awal bulan Disember, kata sumber-sumber hari ini.

Empat menteri disebut-sebut akan digugurkan. Mereka ialah Datuk Ahmad Shabery Cheek (Menteri Belia dan Sukan); Datuk Shaziman Mansur (Kerjaraya); Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Seri Ng Yen Yen (Pelancongan).

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dikatakan akan dibawa masuk ke kabinet menjadi timbalan menteri.

Beberapa menteri pula dijangka bertukar kementerian. Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang kini menteri dalam negeri dipindahkan ke kementerian pertahanan.

Dua bekas menteri – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur yang kini setiausaha agung BN dan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said akan kembali ke kabinet.

Sementara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan akan menjadi menteri penuh.

Ini merupakan rombakan kedua Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sejak mengambilalih jawatan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi, April tahun lalu.

Dalam rombakan pertama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Azalina digugurkan.

"Terdengar khabar Najib akan mengumumkan rombakan tersebut selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya Rabu depan," kata sumber itu.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dijangka akan menjadi ketua penerangan Umno yang baru.

Beliau menggantikan Ahmad yang mula memegang jawatan itu, April tahun lalu.

Idris merupakan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dan wakil rakyat Jerteh di Terengganu. -FMT

Mayat Bayi Lelaki Ditemui Di Sungai Kelang

Mayat bayi lelaki ditemui di Sungai Klang

Gambar: Dua anggota Unit Foransik memeriksa mayat bayi lelaki yang dijumpai di tepi Sungai Klang berhampiran rumah flet PKNS AU/3 Keramat Hulu Klang di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki ditemui mati terapung di Sungai Klang, berdekatan Flat PKNS AU3 Keramat, di sini hari ini.

"Mayat bayi itu ditemui seorang lelaki Indonesia yang menjala di sungai itu pada kira-kira jam 2 petang," kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan mayat yang lebam kebiruan, polis percaya bayi terbabit berada di situ sejak dua atau tiga hari lalu.

"Ketika ditemui mayat bayi itu dalam keadaan terlingkup dan tidak berbaju dengan tangan kanannya tersangkut pada sebatang kayu yang tercacak di tebing sungai itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, tiada kecederaan ditemui pada mayat itu dan berdasarkan pemeriksaan awal, polis percaya bayi itu bukan baru dilahirkan kerana tidak terdapat tali pusat pada badannya.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-Bernama

Ekspo Cheng Ho: Pavillion Dijangka Jadi Tarikan Pengunjung



Pavilion jadi tarikan ramai


KOTA BHARU – Tinggal lima hari lagi Ekspo Cheng Ho bakal dibuka kepada orang ramai khusus untuk memberi peluang melihat lebih dekat lagi keistimewaan dan keunikan negara China.

Pengarah program, Zulkefli Mamat berkata, antara yang menjadi daya tarikan utama kspo yang akan berlangsung dari 21 hingga 26 November ini ialah China Pavillion.

Katanya, ia akan memberi peluang pengunjung mendapatkan teknik rawatan alternatif diabetes daripada Universiti Chendu.

“Tidak ketinggalan Universiti Perubatan Ninxia turut mempamerkan dan menunjukkan kaedah perubatan Islam dalam tradisi China.

“Kita juga akan membawa fesyen Muslimah dalam pelbagai rekaan yang dihasilkan daripada syarikat atau kilang di China," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Zulkefli berkata, antara kelainan yang ada ialah teknologi seperti rumah jimat tenaga yang akan dipasang di kawasan ekspo tersebut.

Menurutnya, turut sama menjadi tarikan ramai ialah sejarah Laksamana Cheng Ho yang dibawa terus dari Muzium Cheng Ho dari Melaka.

"Bahan pameran tersebut meliputi sejarah, bentuk kapal, barangan yang dibawa ekspedisi Cheng Ho, teknologi yang digunakan dan kemajuan yang dibawa Cheng Ho di tempat yang disinggahi sepanjang pelayarannya.

“Terdapat juga International Pavillion dari negara-negara Asia Tengah seperti Krygyzistan, Kazakhstan, Tajikistan dan negara Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean),” katanya.

Beliau berkata, antara tarikan penting yang lain adalah tulisan al-Quran terpanjang iaitu sepanjang 209 meter dan ditulis seorang Muslim, Yusuf dari Shanghai.

Zulkefli berkata, proses membuat kaligrafi berdasarkan al-Quran itu mengambil masa dua tahun menggunakan 80 pekerja.

Antara pertunjukan turut diadakan ialah akrobatik China, Adili yang berjalan atas tali yang direntangkan di Stadium Sultan Muhammad IV.

Mayat Reput Ditemui Terapung Di Pulau Kapas

Mayat reput ditemui terapung di Pulau Kapas

Gambar Hiasan: Kejernihan air Pulau Kapas memikat pelancong

MARANG - Mayat lelaki yang telah reput dan tidak berpakaian ditemui terapung di perairan Pulau Kapas di sini semalam.

Mayat itu ditemui oleh penduduk setempat pada pukul 5.10 petang, kata Ketua Polis Daerah Marang DSP Ahmad Mazlan Yahya.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan mayat, lelaki yang dipercayai rakyat asing itu dianggar telah seminggu meninggal dunia.

"Ketika ditemui, kaki kanan antara buku lali ke bawah sudah hampir putus,” katanya.

Ahmad berkata, mayat itu dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat. - Bernama

Mustaffa Ulangi Desakan Tangguhkan Pemilihan

Mustaffa ulang desak tangguh pemilihan PKR

Naib Presiden PKR Mustaffa Kamili Ayub hari ini mengulangi desakan supaya pemilihan PKR ditangguhkan kerana kelompongan dalam pengurusan pemilihan parti itu didakwa masih berterusan.

Katanya, terdapat beberapa aduan tambahan sedang dibuat, termasuk oleh beberapa calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang memfailkan kes khusus untuk disiasat.

"Ingin ditegaskan bahawa saya meneruskan bertanding jawatan timbalan presiden dalam protes," katanya yang mencuba nasib merusi kerusi timbalan presiden.

"Dalam erti kata (lain), kita masih sangsi dengan perjalanan pemilihan yang ada, namun demi menyelamatkan perjuangan dan parti serta keadaan, saya meneruskan pertandingan."

Ulasan GB

Sudah terlewat Mustaffa. Sepatutnya jika anda benar-benar berjiwa pemimpin, awak telah menyatakan pendirian tegas awak lebih awal sebelum ini dengan mengundur diri dari bertanding.

Sekarang, orang Azmin akan melemparkan pelbagai tuduhan kepada awak jika awak mengulangi desakan untuk mengadakan pemilihan sepertimana mereka lakukan terhadap Zaid.

Anda telah pun terjerat dengan proses "turn-over" sepertimana GB telah ulaskan sebelum ini.

Pangsapuri 28 Tingkat Terbakar Korbankan 53 Orang Setakat Ini

Shanghai - Lapan orang terbunuh dan 90 lagi cedera dalam kebakaran besar yang berlaku di sebuah bangunan apartmen yang menjadi kediaman untuk guru-guru di Shanghai, China semalam.

Gambar: SEMBURAN air dari sebuah jentera bomba cuba memadamkan kebakaran di sebuah bangunan apartmen di Shanghai semalam.

Apartmen 28 tingkat itu sedang dalam proses pengubahsuaian ketika kebakaran berlaku pada kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan.

Sebanyak 10 buah jentera bomba berjaya mengawal api daripada merebak dalam tempoh tiga jam. Menurut agensi berita Xinhua, anggota-anggota polis mengawal lokasi kejadian.

Saksi-saksi memberitahu, perancah buluh yang mengelilingi bangunan itu terbakar terlebih dahulu sebelum api merebak ke dalam bangunan.

Seorang mangsa yang terselamat, Li Xiuyun, 61, memberitahu, dia, suami, anak lelaki dan seorang cucu perempuan turun melalui tangga dari apartmen mereka di tingkat 16.

"Anak lelaki saya menanggalkan stoking dan merendamnya dengan air untuk digunakan bagi menutup hidung," jelas Xiuyun. Seorang doktor dari Hospital Daerah Jingan memberitahu, lebih 20 mangsa yang mengalami kecederaan teruk telah dihantar untuk mendapatkan rawatan. - AFP


Angka korban kebakaran pangsapuri Shanghai cecah 53 orang

SHANGHAI: Angka korban kebakaran besar terhadap bangunan pangsapuri yang sedang diubah suai di Shanghai meningkat kepada 53 orang hari ini dengan lebih 70 yang lain dirawat di hospital.

Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan saksi sebagai berkata kebakaran itu bermula apabila bahan binaan terbakar dan merebak ke perancah sebelum ke bangunan 28 tingkat itu.

Kerajaan berkata lebih 100 jentera bomba dipanggil untuk melawan kebakaran yang berjaya dipadam empat jam kemudian.
Anggota bomba dilihat membawa keluar mayat dari bangunan itu manakala mangsa yang terselamat dikejarkan ke hospital dengan ambulans.

Laman berita Eastday.com melaporkan seorang pekerja pembinaan sebagai berkata mereka sedang memasang penebat penjimat elektrik apabila kebakaran itu berlaku. - AP


60% Rakyat Malaysia Alami Kegemukan, 30% Obesiti

16.2 juta rakyat alami kegemukan

Gaya hidup jadi punca: Liow

KUALA LUMPUR: Seramai 16.2 juta atau 60 peratus rakyat di negara ini dikesan mengalami masalah kegemukan seawal usia kanak-kanak lagi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 8.1 juta penduduk atau 30 peratus mengalami masalah berat badan, manakala 30 peratus lagi mengalami masalah kegemukan berlebihan (obesiti).

“Masalah berat badan dan obesiti ini menyebabkan penyakit kronik yang tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi, barah buah pinggang dan diabetes. Penyakit ini boleh dielak dan dicegah dari semasa ke semasa tetapi kita dapati trend penyakit ini semakin meningkat.

“Masalah ini disebabkan gaya hidup rakyat di negara ini dan kita tiada pilihan, melainkan perlu mengadakan pelbagai kempen dan program kesedaran bagi membolehkan rakyat mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk mengelak penyakit kronik berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ahli Lembaga Pelawat Hospital 2010 di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Sementara itu, Liow mengumumkan kementerian akan menyalurkan peruntukan kewangan RM10,000 kepada setiap Lembaga Pelawat Hospital (LPH) di 112 hospital di seluruh negara, pada tahun depan.

“Peruntukan ini disalurkan terus kepada akaun LPH bagi menjalankan aktiviti dan program bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan hospital dan kesejahteraan pesakit,” katanya.
Liow berkata, bermula tahun depan, mereka juga diberi tanggungjawab dan peranan lebih berat termasuk menganjurkan pelbagai program kesedaran untuk meningkatkan pengetahuian kesihatan rakyat.

Beliau berkata, kementerian juga mewujudkan sistem penarafan bintang bagi semua LPH dan sebagai permulaan, 18 hospital negeri dan utama dibuat penilaian berdasarkan beberapa kriteria termasuk pengendalian mesyuarat, projek, aktiviti serta lawatan, selain idea dan inovasi diterapkan dalam menambahbaik perkhidmatan hospital dan pesakit.

Katanya, antara LPH mendapat pengiktirafan empat bintang ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang Selangor; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh; Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu dan Hospital Pulau Pinang.

LPH yang mendapat tiga bintang ialah Hospital Tuanku Fauziah, Kangar; Hospital Tuanku Jaafar, Seremban; Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star; Hospital Melaka, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya. -BH

[Bergambar] Jam Di Mekah Adalah Menara Jam Tertinggi Di Dunia

Pada malam itu, mata seluruh umat Islam yang berada di kota suci Mekah terutamanya di sekitar Masjidil Haram, tertumpu pada jam gergasi yang sayup berada di puncak Menara Hotel Jam Diraja Mekah di Kompleks Abraj Al Bait.

Mereka menjadi sebahagian saksi sejarah apabila jam yang berukuran diameter 43 meter itu buat pertama kali secara rasmi mula berdetik tepat tengah malam 1 Ramadan 1431 Hijrah.

“Jam kota suci Mekah mula berdetik dengan titah dari Raja Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud, satu minit selepas pukul 12 tengah malam ini, iaitu hari pertama bermulanya bulan yang suci iaitu bulan Ramadan,” lapor Agensi Berita Saudi, SPA.

Saat jam itu mula berdetik, detik itulah menjadikan jam tersebut dan kedudukannya yang begitu hampir dengan Masjidil Haram, sebagai penjaga masa bagi waktu rasmi dunia Islam. Atau lebih tepat bermulalah apa yang dipanggil sebagai Waktu Standard Arab (AST), iaitu tiga jam terkemudian dari waktu Greenwich Mean Time (GMT).

Sesetengah menyifatkan AST sebagai satu alternatif yang ideal selain GMT.

Apabila puncaknya siap sepenuhnya, yang turut dihiaskan dengan replika bulan sabit sebagai simbol agama Islam, keseluruhan puncak menara jam itu akan berada kedudukan setinggi 600 meter. Ini menjadikan ia struktur bangunan kedua tertinggi di dunia. Iaitu 59 meter lebih tinggi dari Menara 101 tingkat di Taipei Taiwan. Ia bagaimanapun 251 meter lebih rendah dari Burj Khalifa, Dubai setinggi 828 meter - tertinggi di dunia.

Namun fakta yang lebih menarik, Menara Jam Diraja Mekah itu merupakan menara jam yang tertinggi dunia. Ia mengalahkan bangunan menara-menara jam terkenal lain dari seluruh dunia. Seperti Menara Jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara Jam The Big Ben di London, Menara Jam Rajabai di Mumbai India dan Menara Jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.

Menara Jam Diraja Mekah merupakan menara tengah yang dibina dalam Kompleks Abraj Al Bait yang mudah dilihat tanpa mengira sudut iaitu sehingga sejauh 17 kilometer pada waktu malam dan 11 hingga 12 kilometer pada waktu siang dengan kalimah Allah terpampang jelas pada keempat-empat permukaannya.

Setiap empat muka jam di puncak Menara Jam Diraja Mekah itu tidak sahaja menjadi satu mercu tanda yang hebat kepada dunia Islam itu amnya namun ia bakal mempunyai fungsi yang pelbagai.

Namun yang uniknya setiap kali masuknya waktu-waktu solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak, akan terpancar dari jam tersebut satu cahaya lampu yang boleh dilihat sehingga sejauh 28 kilometer (dengan tidak melupakan peranan bilal masjid untuk tetap mengalunkan azan).

Ia adalah cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasi muka jam tersebut dengan 21,000 darinya terdiri daripada cahaya yang berwarna hijau dan putih, yang selamanya menjadi lambang warna agama Islam yang suci.

Keindahan jam itu menjadi bualan kerana sebanyak 90 juta kaca mozek keemasan digunakan untuk menghiasi keempat-empat permukaan dengan mengambil motif atau corak flora dan fauna.

Selain jam itu sendiri, bangunan Menara Jam Diraja Mekah sangat istimewa kepada umat Islam apabila ia menempatkan dua institusi penting yang pastinya menjadi satu kunjungan wajib oleh umat ke kota suci itu.

Ia ialah Lunar Observation Centre yang selain untuk tujuan pencerapan, ia juga berfungsi untuk melihat anak bulan bagi menetapkan tarikh permulaan Ramadan dan dua perayaan besar, Aidil Fitri dan Aidil Adha.

Sebuah Muzium Islam juga ditempatkan di bangunan menara itu antara lain bagi memelihara warisan khazanah Islam untuk dijadikan tatapan generasi akan datang.

Bolehkan pelawat menaiki Menara ini? Terdapat dua lif yang akan membawa para pelawat sehingga ke sebuah balkoni atau anjung tinjau iaitu dengan kedudukan lima meter ke bawah kedudukan jam.

Tentunya ia satu pengalaman yang sangat menarik apabila berada di balkoni tersebut yang antara lain bangunan Kaabah yang tidak sekadar menjadi kiblat kepada umat Islam sehinggalah kita melepaskan kerinduan dengan mengucapkan salam buat Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang makamnya sayup-sayup pada penglihatan mata. -SITI AINIZA KAMSARI

















Saintis Buktikan Nabi Musa Belah Laut

Boulder, Amerika Syarikat (AS) - Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor sebuah akhbar semalam.

Gambar: LAKARAN artis menunjukkan angin kuat dari timur telah menyebabkan air lagun (kiri) dan sungai (kanan) 'berpusing' dan membentuk dinding air dekat Laut Merah.

Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.

Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.

Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.

Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.

Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.

Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.

Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.

Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di Internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE. - Agensi

Ibu Tiri Sepak Budak 4 Tahun Sampai Patah Tangannya

Ibu tiri kejam, sepak budak 4 tahun hingga patah tangan kanan

LANGKAP –"Ibu jahat, selalu pukul adik, kalau ibu baik kenapa ibu sanggup sepak tangan adik sampai patah tapi adik sayang ayah sebab ayah tak pernah pukul adik,” kata kanak-kanak dipercayai mangsa penderaan ibu tiri, Nik Khalisa Mohd Zaid, 4.

Nik Khalisa yang ditemani bapanya, Mohd Zaid Mat Hussin, 31, berkata demikian sewaktu ditemui Sinar Harian di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, semalam.

Sebelum itu, Mohd Zaid yang bekerja sebagai penjaga kebun getah di Lubuk Bakong, Chalok dan menetap di Bukit Kecil, di sini, mendakwa menemui anak perempuannya dalam keadaan lesu sebaik dia pulang dari kerja kira-kira jam 1 tengah hari, kelmarin.

Menurutnya, selepas membuat pemeriksaan, dia mendapati anaknya cedera di muka dan lebam di badan lalu membawanya berjumpa seorang bomoh di kampung itu bagi memastikan kecederaan dialami tidak serius.

Bomoh terbabit mengesahkan anaknya patah tangan kanan dan Mohd Zaid mengambil keputusan membawa anaknya ke Hospital Setiu sebelum dipindahkan ke wad kanak-kanak di HSNZ.

“Saya percaya dia (Nik Khalisa) disepak ibu tirinya dan perkara ini bukan baru kerana anak saya sering mengadu diperlakukan sedemikian rupa ketika saya tiada di rumah sejak setahun lalu.

“Sebelum ini, saya tidak memandang serong tindakan isteri sebab kanak-kanak di peringkat umur itu biasanya sukar dikawal tetapi perbuatan isteri saya kali ini sudah melampau,” katanya.

Nik Khalisa merupakan anak ketiga hasil perkahwinan Mohd Zaid dengan Tuan Kamsah Ismail, 48, sebelum pasangan ini bercerai tiga tahun lalu.

Mohd Zaid berkata, tiga anak iaitu hasil perkahwinan terdahulu di bawah jagaannya sebelum dia berkahwin semula pada Julai 2008 dengan Noridah Udin, 29, dan dikurniakan seorang cahaya mata, Mohd Zaidan, 1, dan menetap di Bukit Kecil, di sini.

Menurutnya, dia amat kesal dengan kejadian itu kerana layanannya terhadap isteri dan anak-anak selama ini sama sahaja, malah sentiasa mengutamakan keperluan keluarga selain tidak pernah bersikap kasar dengan anak-anak.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid ketika dihubungi :Sinar Harian: mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu. -SH

Prof Agus: Zaid Undur Diri, PKR Yang Rugi.

Pengunduran Zaid merugikan PKR-Prof Dr Agus

PETALING JAYA: Pengunduran Dato Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) merugikan parti itu dan juga Pakatan Rakyat (PR) secara umumnya.

Demikian pendapat Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Profesor Dr Muhammad Agus yusof kepada FMT hari ini ketika diminta mengulas kemelut yang melanda PKR.

Menurut beliau, penyertaan Zaid dalam PKR merupakan peluang terbaik untuk PKR bersama parti-parti lain dalam PR dalam usaha menawan Putrajaya.

"Apabila Zaid menyertai PR, ia adalah satu peluang yang baik untuk PR, khususnya PKR sendiri untuk menang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya.

"Pengalaman politik beliau boleh membantu PKR. Selain itu karisma dan ideanya juga banyak menarik rakyat untuk memberikan sokongan kepada PKR.

"Namun apabila beliau keluar parti, tentulah peluang terbaik itu hilang begitu sahaja dan ini merugikan PR dan PKR sendiri
," kata beliau.

Prof Dr Agus juga berpendapat PKR terlalu banyak kelemahan hinggakan masalah-masalah yang sepatutnya boleh ditangani segera berlarutan dan membawa pengunduran Zaid.

"Apa yang berlaku dalam pemilihan PKR memang menjelaskan lagi kepincangan dalam sistem pemilihan yang ada dalam PKR sekarang
.

"PKR harus lebih bijak mengatasi konflik dalam parti dan saya juga melihat PKR tidak mempunyai kecekapan menguruskan masalah-masalah dalaman parti hingga masalah dibiarkan berlarutan," ujar beliau.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) turut dilihat begitu lambat bertindak dan masih terperangkap dengan wabak sindrom penafian dan sindrom bisu.

"Kalau pemimpin parti segera bertindak tegas mengatasi masalah berkenaan pemilihan yang dianggap sebagai penuh penipuan oleh sesetengah calon, tentu PKR tidak perlu menghadapi kemelut yang semakin parah ini.

"Tindakan mendiamkan diri dan berterusan menafikan aduan-aduan ahli dan calon adalah tindakan yang tidak bijak dan salah," katanya.

Prof Mohd Agus juga tidak menolak dakwaan pihak-pihak tertentu dalam dan luar parti bahawa PKR kini dikuasai oleh segelintir pihak dalam parti.

"Walaupun PKR mendakwa keadilan untuk semua, tetapi apa yang dilihat kini seperti membenarkan dakwaan bahawa PKR dikuasai oleh segelintir pemimpin dalam parti," kata beliau lagi.

Beliau turut berpendapat PKR harus lebih banyak belajar untuk menganalisa dan membuat keputusan dengan tepat dan pantas bagi menjamin kemelut dalaman dapat dibendung.

[Bergambar] Mamat Hantu Aibkan Bekas Permaisuri Agong?

Gambar bekas Permaisuri Agong tersebar di blog

SHAH ALAM –: Kecoh apabila tersebar gambar kontroversi membabitkan bekas Permaisuri Agong, Cik Puan Besar Selangor Siti Aishah Datuk Seri Abdul Rahman dengan bekas penerbit rancangan Seekers, Syed Abdullah Syed Hussein Al Attas di sebuah laman blog.

Blog milik Syed Abdullah atau lebih dikenali Uncle Seekers memaparkan gambar-gambar yang didakwa mesra dan rentetan peristiwa ‘percintaan’ di antara mereka.

Uncle ketika dihubungi berkata, awal perkenalannya bermula sejak Januari lalu apabila Aishah dan keluarga mengunjungi rumah keluarganya di Janda Baik, Pahang.

“Ya, saya akui memang pernah bercinta dengan dia (Aishah) selama dua bulan iaitu pada bulan Mei dan Jun lalu.

“Namun, ia bukanlah cinta sebenar dan kerana itu dipanggil ‘cinta syyhh’ yang mempunyai maksud tersendiri,” katanya.

Menurutnya, hubungan berkenaan hanya diketahui ibu Aishah, Datin Seri Shamshina A Rahman, ahli kumpulan Seekers dan dirinya sahaja.

“Blog itu adalah milik saya yang dianggap seperti rumah untuk berbuat apa sahaja tanpa disekat oleh mana-mana pihak.

“Semua gambar itu adalah daripada kamera Aishah sendiri yang sering dibawa ke mana sahaja sebagai peneman kerana dirinya akan dikurung oleh bapanya apabila pulang ke rumah.

Beliau berharap dengan tersebarnya gambar berkenaan Aishah dapat berkahwin dengan lelaki yang disukai tanpa disekat pihak tertentu.

“Pada bulan Jun lalu, saya menerima kiriman pesanan ringkas dan panggilan berbaur ugutan daripada bapanya supaya tidak mengganggu anaknya lagi.

“Kemudian saya memberitahunya supaya tidak lagi berhubung dan sejak daripada itu kami tidak lagi menghubungi antara satu sama lain,” katanya. -SH






Yang Dipijak Rupanya Mayat Adik

Terpijak mayat adik di sungai'

Gambar: Mangsa, Haswande Mohd Yusoff, 14, (kanan) dan Ahmad Iqham Aziz, 9, ditemui mati lemas di Sungai Gial dekat sini hari ini.

ARAU: “Selepas dimaklumkan adik, Haswande Mohd Yusof, terjatuh ke dalam Lubuk Culah, saya terjun ke Sungai Gial dan dalam tempoh 20 minit, kaki saya terpijak sesuatu, mayat adik yang kaku sebelum mengangkatnya ke tebing sungai.

“Ketika mayat adik diangkat, mayat seorang lagi rakannya, Ahmad Iqham Aziz, timbul ke permukaan lubuk dan menariknya ke tebing,” kata Haspizul, 21, abang kepada Haswande yang gagal menyelamatkan adiknya dipercayai lemas di Sungai Gial dekat sini, semalam.

Beliau yang juga seorang pelajar Kolej Komuniti Arau berkata, tragedi lemas kali kedua dihadapinya kerana kira-kira 13 tahun lalu, adiknya, Mohd Asrol, berusia tujuh tahun turut lemas di sungai sama, pada jarak 100 meter dari tempat kejadian, semalam.

Katanya, beliau sedang tidur di rumah kira-kira 100 meter dari tempat kejadian, dikejutkan rakan mangsa bahawa adiknya terjatuh ke dalam lubuk bersama Ahmad Iqham.

“Tanpa membuang masa, saya berlari ke tempat kejadian dan terjun ke dalam lubuk di sungai hadapan rumah dengan harapan adik dapat diselamatkan tetapi Allah lebih menyayanginya.

“Saya begitu sedih kerana dua adik lemas di sungai yang sama,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Haswande, 14, pelajar Tingkatan Dua, Sekolah Menengah Arau dan rakannya, Ahmad Iqham, 9, dari Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, lemas selepas terjatuh ke dalam Lubuk Culah ketika bermain bersama lima rakan lagi di sungai berkenaan.

Kedua sahabat berkenaan berasal dari Kampung Guar Gajah, Arau ditemui bertindih dalam lubuk sedalam kira-kira tiga meter kira-kira setengah jam usaha mencari dilakukan.

Haswande anak bongsu daripada 12 beradik dan ketika kejadian, bapanya, Mohd Yusof Nayan, 58, sibuk menerima bantuan banjir di Dewan Sivik Arau, manakala ibunya, Hasnah Othman, 50-an, menyiapkan kuih raya.

Rakan mangsa, Azrul Amri, 11, berkata, beliau bersama rakannya, Mohd Amir Omar, 14, memukat ikan berhampiran tempat dua mangsa lemas mandi-manda di sungai berkenaan.

“Saya melihat arwah Haswande meletak seorang rakan di atas bahu sambil turun ke dalam sungai dan tergelincir memasuki lubuk berkenaan, manakala Mohd Iqham cuba menarik kedua-duanya ke tebing tetapi gagal.

“Bagaimanapun, rakan yang diatas bahu Haswande diselamatkan seorang rakan kami yang turut mandi-manda di sungai berkenaan. Saya melihat Haswande tenggelam timbul dalam lubuk sebelum berlari mendapat bantuan Haspizul,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa berada di dasar lubuk ketika Haspizul bersama rakannya tiba untuk menyelamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussin ketika mengesahkan kejadian itu berkata, polis menerima maklumat kemudian bergegas ke lokasi, bagaimanapun sebaik tiba kedua-dua mayat mangsa sudah ditemui. -hm

Seorang Wanita Islam Dan Seorang Bapa Dgn Anak Kecil Antara Yang Ditahan Di Kedai Ekor

Beberapa umat Islam termasuk seorang wanita berusia 30-an hanya tersenyum kelat dan berpura-pura tidak mendengar apabila ditanya mengenai hukum berjudi ketika ditahan membeli nombor ekor di sebuah premis di pekan ini.

Lebih memalukan, seorang bapa berusia 40-an tergamak membawa anak lelakinya yang masih kecil masuk ke premis berkenaan untuk membeli nombor ekor tanpa memikirkan kesan terhadap pemikiran kanak-kanak itu mengenai perbuatan haram yang dilakukannya itu.

Lelaki terbabit hanya tersengih apabila dimarahi penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), manakala anaknya yang berusia empat tahun terpinga-pinga melihat bapanya diarahkan duduk mencangkung beramai-ramai dalam premis berkenaan.

Dalam operasi membanteras perjudian di kalangan umat Islam itu, JHEINS menahan 18 ‘tahi judi tegar’ termasuk seorang wanita di tujuh premis perjudian berasingan sekitar pekan Bahau di sini, dalam operasi empat jam diketuai Ketua Operasi Bahagian Penguat Kuasa JHEINS, Ahmad Zaki Hamzah.

Terdahulu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang baru membeli nombor ekor cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran JHEINS yang turut disertai anggota Cawangan Tatatertib Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan serta Majlis Keselamatan Negara.

Dia cuba melepaskan diri dengan berlari ke arah motosikalnya yang diletak berhampiran premis berkenaan, tetapi tindakan pantas penguat kuasa mengejarnya menggagalkan usahanya walaupun berlaku sedikit pergelutan.

Penyelaras Operasi JHEINS, Mohd Zol Sidek berkata, pihaknya menahan 18 individu beragama Islam iaitu 17 lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 50-an yang ketika itu leka membeli nombor ekor di premis perjudian berasingan.

"Selain cubaan seorang daripada mereka untuk meloloskan diri, seorang lelaki berusia 60-an iaitu penjaga sebuah premis perjudian turut berdegil enggan menunjukkan lesen perniagaannya ketika diminta anggota penguat kuasa.

"Perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dan setiap pemilik premis seharusnya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas," katanya.

Beliau berkata, semua kaki judi berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol untuk tindakan selanjutnya.

"Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 79 Enakmen Jenayah Syariah 2003 dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda sebanyak RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui meminta pihak berkuasa membuat pemantauan lebih ketat terhadap umat Islam yang terbabit dalam kegiatan sedemikian.

Zuriyani Mat Zain, 28, berkata imej agama tercemar apabila orang Islam tanpa segan silu masuk dan membeli nombor ekor di premis perjudian yang selalunya berada di tempat terbuka.

"Jika diperhatikan, mereka bukan saja tidak ada perasaan malu memasuki premis perjudian, malah kelihatan yakin seolah-olah tidak bimbang ditangkap pihak berkuasa.

"Ini menunjukkan kurangnya pemantauan dan tindakan pihak berkuasa kerana sehingga kini perasaan takut ditangkap tidak wujud dalam diri mereka," katanya.

Sementara itu, Azmawati Aidi, 26, berkata orang Islam perlu lebih prihatin dan menyalurkan aduan kepada pihak berkuasa apabila melihat rakan seagama mengunjungi premis perjudian.

"Mungkin pihak berkuasa tidak dapat memantau sepanjang masa, menyebabkan kita perlu bertanggungjawab membuat aduan supaya tindakan dapat diambil bagi menghalang kegiatan haram itu terus berleluasa," katanya.-bh

Tiada Halangan Jika Zaid Mahu Sertai PAS - Salahuddin

Tiada Halangan Jika Zaid Mahu Sertai PAS - Salahuddin

PETALING JAYA: PAS tiada halangan jika bekas Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mahu menyertai parti itu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, jika benar keputusan itu, ia seharusnya dihormati kerana dalam demokrasi mana-mana individu berhak untuk menyertai mana-mana parti.

“Bagaimanapun, sama ada diterima atau tidak beliau dalam parti bergantung kepada keputusan Jawatankuasa PAS Pusat.


“Jika Zaid mahu, beliau boleh mohon. PAS mengambil sikap terbuka maka siapa-siapa pun boleh memohon.

“Namun keputusan melibatkan semua dalam PAS dan perkara itu perlu diperbincangkan terlebih dahulu sebelum diputuskan lebih jelas dalam mesyuarat,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Salahuddin berkata, banyak faktor dan pertimbangan perlu dilakukan melalui mesyuarat jawatankuasa kerana Zaid dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Zaid daripada PKR, sebelum itu daripada Umno. Banyak masalah dan kontroversi yang berlaku. Jadi pertimbangan sewajarnya perlu diutamakan.

“Jika dia mahu sertai PAS, itu hak dia. Tak ada masalah. Cuma sama ada lulus atau tidak untuk kita terima dia, itu belum pasti,” katanya.

Dalam pada itu, Umno pula tidak akan menerima bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut untuk menyertai semula dalam parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini berkata Umno telah 'membuang' Zaid maka tidak perlu diambil semula.

“Dia juga akan bagi masalah. Kita tidak suka orang yang beri masalah,” katanya.

Zaid pada 8 November lalu menarik diri daripada merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan semua jawatannya dalam parti.

Keputusan itu ekoran dakwaannya bahawa terdapat penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.

Bekas Ketua PKR Wilayah Persekutuan itu turut berkemungkinan akan menubuhkan parti baru sekiranya dipecat daripada parti sebelum mengumumkan keluar parti. -mstar