22 Apr 2010

Penerbit ntv7 Letak Jawatan Bantah Campurtangan Rosmah

Penerbit Buletin dan Isu Semasa ntv7, Joshua Wong meletak jawatan sebagai protes kerana ntv7 tunduk kepada aduan Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. Joshua Wong yang bertanggungjawab dalam rancangan forum Editor's Time (Mandarin), merasakan autonomi editorial tercabul apabila menerima arahan "Tiga Jangan".

Arahan "Tiga Jangan" ini termasuklah, jangan membincangkan isu politik, jangan mengundang panelis dari pembangkang dan jangan membincangkan isu PRK Hulu Selangor.

Rancangan Editor's Time yang hanya dimulakan baru-baru ini terpaksa ditarik dan menggugurkan isu politik, lantaran daripada tekanan politik yang dihadapi. Penerbitnya, Joshua Wong mengambil keputusan meletak jawatan pada 20 April, untuk mempertahankan prinsip kebebasan media.

Joshua Wong, juga seorang pensyarah (part-time) di Kolej New Era, memanggil satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor untuk membuat pendedahan tersebut pada pagi ini. Turut hadir untuk memberi sokongan termasuklah ibu bapanya, kolumnis, dan penuntut dari Kolej New Era.

Rancangan forum Editor's Time ini dimulakan sejak 18 Mac 2010, dari jam 11 malam hingga 12 tengah malam. Rancangan ini cuba menarik perhatian ramai apabila episod pertamanya dirakamkan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, berjudul "Pertarungan KPI - BN vs PR: Siapa lebih hebat?"

Antara isu yang dibincangkan selepasnya termasuklah Pemilihan Semula MCA, isu pekerja seks, pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Model Ekonomi Baru. Walau bagaimanapun, rancangan ini berdepan dengan tekanan dari JPM dan isteri PM, menurut Joshua Wong, yang membacakan kenyataannya seperti berikut:


Kenyataan perletakan jawatan

Saya telah meletakkan jawatan sebagai Penerbit rancangan forum Editor's Time, pada 20 April 2010 untuk menunjukkan ketidakpuasan saya sekeras-kerasnya terhadap syarikat media yang saya berkhidmat.

Saya tidak berpuas hati apabila pihak syarikat mengenakan sekatan yang tidak wajar terhadap pemilihan panelis dan topik perbincangan untuk rancangan Editor's Time, setelah menerima aduan daripada pihak Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri. Aduan itu diterima selepas rancangan yang dirakamkan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ini disiarkan. Sekatan dikenakan tanpa siasatan yang menyeluruh dan adil.

Sekatan-sekatan ini termasuklah:-

Pertama, Jangan bincang isu politik;

Kedua, Jangan mengundang pembangkang sebagai panelis, termasuk ahli parlimen DAP Tony Pua untuk membincangkan Model Ekonomi Baru; dan

Ketiga, Jangan bincangkan isu "PRK Hulu Selangor" seperti yang dijadualkan dalam rancangan pada 22 April.

Saya menganggap ketiga-tiga sekatan ini kurang wajar, malah bertentangan dengan autonomi editorial. Sekatan yang dikenakan terhadap rancangan ini merupakan self-censorship (menapis-diri), bercanggahan dengan prinsip profesional media. Keputusan ini merupakan hukuman terhadap rancangan ini, dan menjejaskan profesional pasukan penerbitan rancangan ini.

Menurut bos saya, iaitu Editor Eksekutif Buletin dan Isu Semasa (Mandarin), Tan Boon Kooi, selepas forum yang dirakamkan di Kuala Lumpur itu disiarkan pada 18 Mac, pihak pengurusan telah menerima aduan pada 19 Mac. Aduan ini dilakukan melalui satu sms yang dihantar kepada pihak Jabatan Perdana Menteri, yang kemudian dipanjangkan (forward) kepada pihak atasan ntv7. Pengacara Editor's Time, Lee Siad Huey telah menghantar kandungannya kepada saya melalui email:-

"Mereka memperlekehkan KPI dan polisi BN. Memperlekehkan 1 Malaysia. Mencabar PM agar rombak besar-besaran BTN.(Biro Tata Negara). Mempertikaikan (disagree) tindakan Dato Nasir Safar sedangkan Dato Nasir telah berani meletakkan jawatan. Kor Ming dengan bangganya membangkitkan isu pemberian tanah kepada orang ramai di Perak. Wee Ka Siong gagal pertahankan isu MCA apa lagi nak pertahankan polisi UMNo dan BN. Ketua Pemuda MCA set markah 75 kepada PM dalam usaha KPI. Ada usul telus FDI dengan kurangkan kos operasi. Ada usul penilaian KPI oelh rakyat ketua jabatan sahaja.Yang sangat bahaya, dia orang minta kebebasan bersuara bermulan dengan sesi debat tadi. Makna tiada siasatan perlu dibuat, cara mereka bercakap dan membiarkan penonton bertanya soalan seolah-olah kerajaan kita ini terlalu teruk. Apa lagi cina-cina nie nak, mereka lagi kaya dari Melayu. Saya cadang kita perang jer dengan cina-cina nie…Melaru kepada semua ahli-ahli parlimen Melayu/ UMNo/MT dan semua pemimpin UMNO, wake up…mereka semakin biadap." (Teks asal)

Saya menganggap sms ini sebagai "surat layang", kandungannya sarat dengan rasisme dan tidak berasas. Namun, pihak atasan telah mengugut untuk memancung rancangan ini atau menukarkannya kepada bukan rancangan siaran langsung (iaitu disiarkan selepas suntingan), malah mengarahkan agar saya menulis surat tunjuk sebab sebelum siasatan disempurnakan.

Saya telah menulis surat tunjuk sebab pada 22 Mac, bersama Lee Siad Huey, menyangkal satu demi satu tuduhan yang tidak berasas tersebut. Malah, kami mencadangkan agar pihak atasan membuat laporan polis berhubung mesej yang mengandungi unsur diskriminasi kaum dan hasutan. Ini kerana pengadu sedang menghasut sentimen perkauman tanpa kewarasan. Namun, pihak pengurusan tidak memandang serius cadangan saya untuk membuat laporan polis, sebaliknya melarang Editor's Time untuk membincangkan isu politik.

Dalam mesyuarat pada 2 April, saya mencadangkan agar Tony Pua diundang sebagai panelis untuk membincangkan Model Ekonomi Baru dalam rancangan pada 15 April. Namun, bos saya Tan Boon Kooi berkata, "Seandainya Tony Pua diundang, maka tak usahlah rancangan ini diteruskan." Beliau menambah bahawa mulai sekarang, pembangkang tidak boleh diundang lagi.

Saya bertanya kepada Tan menerusi sms kemudiannya, dan beliau berkata ini hanyalah "nasihat", dan bukan arahan daripada Manja Ismail, Editor Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa ntv7, 8TV, TV9 dan Ketua Editor Kumpulan Media Prima. Namun, untuk saya, ini adalah satu bentuk self-censorship daripada pihak atasan.

Pada 16 April, dengan tiba-tiba Sofwan Mahmood, Editor Berita Eksekutif ntv7, 8TV dan TV9 memanggil saya dengan Tan Boon Kooi untuk bermesyuarat. Saya pergi berseorangan kerana Tan kesibukan untuk menerbitkan buletin bahasa Cina-nya. Sofwan bertanya kepada saya, apakah isu yang akan diterbitkan minggu seterusnya, dan saya menjawab PRK Hulu Selangor.

Beliau memberi nasihat bahawa isu ini agak berat dan merumitkan. BN berada dalam pergelutan untuk memilih calon mereka, dan ia akan menjadikan kerajaan Najib kelihatan tidak elok. Namun beliau berkata beliau tidak pernah mencampur tangan autonomi editorial kami. Saya menjawab saya akan menyerah kertas cadangan (proposal) dan membuat keputusan kemudiannya. Beliau tidak menerima dan tidak menolak. Setiausaha beliau, Dayang akhirnya juga memesan agar saya menyiapkan proposal terlebih dahulu.

Setelah bermesyuarat, saya bertemu dengan Tan Boon Kooi, dan saya menceritakan kepadanya keadaan dalam mesyuarat. Tan Boon Kooi berkata, "Sofwan sebenarnya tidak menyampaikan mesejnya dengan jelas, beliau mahu saya menggugurkan topik PRK."

Tan Boon Kooi menambah, "Tahukah kamu? Pada hari Isnin, isteri PM mengadu aktiviti kamu di Pulau Pinang, malah diadu sehingga ke Washingston. Jadi saya berharap kamu menukar topik."

Saya cuba mendapat kesahan daripada Tan Boon Kooi, barulah saya mendapati bahawa isteri PM mendapat aduan daripada orang lain, yang kemudiannya dipanjangkan (forward) kepada pihak atasan syarikat saya. Tan Boon Kooi memberitahu bahawa kandungan aduan tersebut lebih kurang seperti aduan terhadap aktiviti di Kuala Lumpur, "berhubung kait dengan perkauman". Jadi, Tan Boon Kooi bertanya apakah topik yang boleh ditukar untuk rancangan minggu seterusnya.

Saya menganggap PRK sebagai isu yang wajib dibincangkan. Ini kerana pada mulanya, kami telah mencapai muafakat bahawa rancangan ini akan membincangkan isu semasa yang terhangat, lebih-lebih lagi PRK adalah isu yang membabitkan kepentingan awam. Kami akan mendalami perbincangan seandainya kami cuba untuk membicarakannya dari sudut yang berbeza, seimbang dan objektif, malah tidak menyebelahi pihak tertentu. Kami tidak perlu terlalu sensitif kepada aduan yang tidak berasas, lantas menapis sendiri (self-censor) dan tidak membincangkan PRK langsung.

Saya telah menyiapkan proposal saya pada 19 April, dan menyerah kepada pihak atasan untuk mendapat kelulusan agar isu PRK Hulu Selangor dapat dibincangkan pada malam 22 April. Malah, pengacara rancangan, Lee Siad Huey telah membuat liputan di kawasan tersebut. Tetapi Sofwan memanggil saya dan Tan Boon Kooi untuk bermesyuarat pada 2.30pm, 20 April. Dalam mesyuarat tersebut, Sofwan mengarahkan agar Editor's Time tidak membincangkan topik PRK Hulu Selangor. Pertukaran topik rancangan Editor's Time bertujuan "damage control". Saya meneka "damage control" yang dimaksudkan adalah untuk menjaga kepentingan sesetengah parti, jadi ia menentang prinsip rancangan ini, iaitu untuk mendedahkan kebenaran tanpa memihak kepada sesiapa.

Sebagai seorang penerbit, saya menganggap kandungan dalam dua aktiviti yang lalu seimbang dan objektif, malah telah diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem, maka saya tidak melihat apa kewajarannya pihak pengurusan perlu menyekat dirinya dalam hal ini. Saya menganggap Editor's Time tidak melakukan kesilapan, maka tidak harus dihukum dan disekat sebegini. Jadi, saya enggan berkompromi untuk mematuhi dan melaksanakan arahan majikan.

Sebagaimana yang saya maklum, sehingga 21 April, setelah isu PRK Hulu Selangor ditarik, topik yang dibincangkan pada 22 April (malam ini) telah diubah kepada "penembusan parti politik ke dalam pertubuhan Cina". Tetapi pada petang semalam, saya menerima khabar bahawa pihak atasan ntv7 membenarkan agar isu PRK Hulu Selangor dibincangkan. Saya tidak tahu sebab di sebaliknya.

Mungkin perletakan jawatan dan sidang media yang dipanggil hari ini telah memberi tekanan kepada pihak atasan ntv7. Atau mungkin hasil daripada perjuangan rakan sekerja saya dan bos saya. Mungkin kedua-duanya.

Kalaulah perletakan jawatan dan sidang media saya ini memberi tekanan kepada ntv7, yang menjurus kepada mereka untuk memberi laluan agar PRK Hulu Selangor dibincangkan, saya sudi menerimanya dengan hati terbuka. Bagaimanapun, saya hanya boleh meletak jawatan sekali sahaja.

Jadi, saya berharap agar semua pengamal media di Malaysia, termasuk pihak pengurus, termasuk kawan saya dalam ntv7, boleh tampil untuk menyuarakan pandangan diri, untuk mempertahankan autonomi editorial media ketika berdepan dengan campur tangan kuasa luar. Seandainya kita membiasakan diri dengan masalah ini, atau terus mendiamkan diri, maka ia akan mengangguk kepada campur tangan luar dan self-censorship, dan permainan sentimen perkauman oleh pihak luaran.

Sudah lebih 50 tahun perkauman dan self-censorship wujud di negara kita, tak cukupkah? Masihkah kami perlu berpeluk tubuh dan mendiamkan diri, membiarkan ia bermaharajalela?

Dengan ini saya menyeru agar pihak atasan ntv7 menyiasat siapakah orang yang mengadu kepada JPM dan isteri PM? Jangan lepas tangan, tetapi buat laporan polis, agar pihak polis menyiasat secara menyeluruh, untuk menegah kuasa luar daripada campurtangan ke dalam kebebasan media, dan mencegah rasisme daripada terus menular.


(Kenyataan Joshua Wong ini diterjemah dari edisi bahasa Cina) -MR

Pengundi Cina kata rahsia tetapi ramai pilih PKR

Dalam tinjauan terbaru di kalangan pengundi Cina di Hulu Selangor enggan memberitahu adakah mereka akan mengundi calon Barisan Nasional (BN) P Kamalanathan atau calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.

Bagaimanapun, kata beberapa pengundi di pekan Kuala Kubu Baru majoriti mereka sudah menetapkan pendirian dan telah ada calon yang akan diundi Ahad ini.

"Tetapi jika kamu tanya, mereka tidak akan memberitahu calon yang akan dipilih itu. Mereka terus kunci mulut sehinggalah hari mengundi.

"Ini saya nak beritahu awak. Ramai pengundi Cina yang dulu sokong BN akan berpaling kepada PKR.

"Majoritinya akan undi calon PKR kerana kelihatan lebih layak dan bijak. Dia menepati kehendak pengundi Cina," kata seorang peniaga di sini semalam.

Peniaga yang enggan namanya disiarkan itu berkata, ramai pengundi Cina lebih cenderung untuk mengundi Zaid walaupun dia bukan orang tempatan. "Saya tidak perlu undi Cina" – Palanivel

Menurutnya, orang Cina tidak suka kepada calon MIC itu kerana bekas ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk G Palanivel pernah memberitahu beliau tidak memerlukan undi orang Cina dalam kempen pilihanraya umum yang lalu.

"Walaupun Datuk tidak bertanding dan calonnya orang baru tetapi orang Cina tetap marah kepada MIC.

"Sampai sekarang kita ingat kata-kata Palanivel itu. Sekali kata tidak mahu, kami tidak undi parti itu lagi," katanya.

Seorang lagi pengundi Cina yang juga kakitangan kerajaan berkata, orang Cina merupakan masyarakat yang bebas dan merdeka.

Katanya, ini bermakna mereka tidak terikat dengan bantuan kerajaan sebagaimana kaum lain. -FMT

Umno Guna Isu Kerakyatan Perlekeh Bangsa Lain - Chua Jui Meng

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Chua Jui Meng menyifatkan Umno kini semakin angkuh dan sombong sehingga menghina dan membelakangkan kepentingan kaum lain di negara ini.

"Hari ini kita lihat Umno mempermainkan isu perkauman dan agama seperti isu penggunaan nama Allah dan seperti kenyataan kawan rapat dan pembantu khas kepada Najib, Datuk Nasir Safar yang menghina orang Cina dan India di negara ini," katanya ketika berucap pada ceramah Pakatan Rakyat di Batang Kali semalam.

Menurut Jui Meng kemuncak penghinaan terhadap orang bukan Melayu adalah apabila Umno menyifatkan mereka sebagai pelacur dan pengemis.

"Orang Cina, datuk dan nenek moyang mereka yang datang dari benua Cina dikatakan datang (ke Tanah Melayu) untuk jual tubuh mereka, orang India pula dikata datang ke sini menjadi pengemis. (Mereka ugut) Orang Cina dan India jangan tuntut (hak) berlebihan kerana kewarganegaraan akan ditarik balik.

"Itu sifat Melayukah? Saya dibesarkan di Muar, kebanyakan kawan karib saya orang Melayu. Orang Melayu mudah didekati dan menjadi kawan tetapi Umno sekarang semakin angkuh dengan mengeluarkan kenyataan perkauman. Ini bukan cara orang Melayu, ini cara Umno putera," ujarnya sambil disambut tepukan orang ramai.

Bekas Menteri Kesihatan itu yang mula menyertai Parlimen pada 1986 berkata, beliau melihat perjuangan Umno dan BN jauh berbeza berbanding perjuangan pemimpinnya terdahulu.

"Dahulu kita ada tiga Perdana menteri yang disegani rakyat, jujur dan ikhlas tanpa skandal dan rasuah serta mempunyai prinsip yang tinggi tetapi sejak Dr Mahathir memerintah Malaysia selama 23 tahun, Mr Clean (Abdullah Badawi) jadi PM dan Datuk Seri Najib menjadi PM, negara penuh dengan skandal dan rasuah," ujarnya lagi yang pernah menjadi Menteri selama 9 tahun.

Katanya, meskipun ditawarkan dengan pelbagai jawatan semasa di dalam MCA yang dipimpin bekas presidennya, Datuk Seri Ong Tee Kiat, beliau bertegas untuk keluar dari parti itu demi mempertahankan prinsip keadilan.

"Saya keluar MCA kerana saya ada misi menegakkan keadilan di tanah air saya, Malaysia yang saya cintai," katanya.

Menyamakan perjuangan Anwar dengan Presiden Aquino di Filipina, Jui Meng berkata beliau meninggalkan segala kemewahan dalam kerajaan untuk bersama-sama perjuangn Anwar membawa reformasi dalam sistem politik di Malaysia termasuk memberishkan pelbagai institusi seperti badan kehakiman.

Jui Meng turut menyentuh pengalaman beliau semasa menjadi menteri kabinet di dalam kerajaan, di mana pelbagai keputusan dilakukan demi untuk kepentingan kroni termasuk dasar penswastaan yang dilakukan kerajaan.

"Dalam kertas jemaah menteri, hampir tiap-tiap minggu bermesyuarat cadangan EPU dari PM penswastaan secara meluas. Perasaan saya mual, tiap-tiap minggu rompakan dijalankan di dalam mesyuarat jemaah menteri," katanya.

Anwar: Kamu Boleh Hukum Saya, Tetapi Kamu Tidak Boleh Lari Dari Fakta

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas pemerintah kerana mempertahankan kerjasama Umno-APCO, yang mempunyai pertalian jelas dengan unsur-unsur Zionis.

Anwar berkata tidak pernah dalam sejarah tanahair, Kuala Lumpur berlutut kepada Amerika Syarikat, mengkhianati negara Islam mahupun menaungi unsur-unsur penjajah tanah Palestin, namun ianya berubah dibawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

"Kamu boleh hukum saya, tetapi kamu tidak boleh lari dari fakta. Jawatankuasa Kira-Kira Awam sendiri pernah membangkitkan kembimbangan terhadap APCO," tegas Anwar di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dihadapkan dengan cubaan pemerintah untuk menggantungnnya selepas pemimpin reformasi itu membongkar hubungan Umno dan APCO. Sebelum itu, Ahli Parlimen Kota Belud Rahman Dahlan di Dewan Rakyat hari ini mengesahkan perlantikan APCO adalah perlu untuk mempertahankan kerajaan Umno-BN.

"Jika benar APCO tidak mempunyai pengaruh, bagaimana mungkin dasar luar negara kita bertukar mendadak?" kata Anwar dan menambah, "saya tidak pernah menafikan hubungan saya dengan Amerika Syarikat, tetapi saya bertegas dalam isu Afghanistan."

"Dasar kita terhadap Iran menunjukkan betapa lemahnya kita. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, bahkan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tidak pernah berganjak dalam soal Afghanistan dan Palestin," katanya. -TVS

Anwar DIheret Ke JK Hak Dan Kebesan. MP Pakatan Keluar Dewan

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujukkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diluluskan selepas usul mengenainya didebatkan oleh lapan ahli parlimen, termasuk ketua umum PKR itu.

Usul mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diluluskan selepas lima minit ucapan Nazri Abdul Aziz (Umno-Padang Rengas). Ahli parlimen pembangkang yang membantah keputusan itu bertindak keluar dewan.

Sebelumnya MP Gombak Azmin Ali menyatakan usul itu, yang dibentangkan oleh Datuk Seri Nazri Aziz, adalah silap kerana ia telah terlebih dahulu menghukum Anwar bersalah.

“Dewan telah pun menghukum Anwar untuk merujukkannya ke JK Hak dan Kebebasan, berdasarkan usul itu,” kataAzmin.

“Bagaimana JK itu bolhe bertindak bebas dan tidak berat sebelah apabila terma rujukan usul berkenaan tidak jelas?” tanya beliau.

Azmin menyatakan usul itu tidak adil dan beliau turut mempertikaikan mengapa dokumen yang dibekalkan oleh Anwar dalam penjelasannya kepada Parlimen sebelum ini tidak disiasat.

Azmin menuduh kerajaan Malaysia sebagai budak suruhan Apco - firma perunding perhubungan awam yang berpangkalan di Washington yang diupah oleh kerajaan Malaysia dan juga Israel.

Katanya, Anwar dihukum oleh usul tergesa-gesa yang dibuat mengikut telunjuk tuan mereka Apco-Israel.

Azmin melahirkan kebimbangannya mengenai keselamatan negara dan katanya Umno cuba menutup pembabitan sebenar Apco berhubung apa yang dikemukakan oleh Anwar.

Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) sebelum itu telah menyatakan di dalam perbahasan mendakwa usul ke atasnya itu "cacat" kerana ia bermotifkan politik.

"Hukum saya. Pecat saya. Penjarakan saya. Saya tidak akan mengalah," katanya.

Ulasan GB

Nazri, ini masa kamu. Oklah. Ampulah Najib untuk pertahankan jawatan menterimu sementara terdaya olehmu.

Azmin: Anwar Hendak Dirujuk Ke JK Hak dan Kebebasan Atas Nasihat APCO

Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali menegaskan Umno-Barisan Nasional telah menjadi hamba kepada Zionis Israel sehingga terpaksa mengikut nasihat Apco Worldwide agar ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk ke Jawatankuasa Khas Hak dan Kebebasan.

"Hari ini menjadi sejarah bagi Umno-Barisan Nasional yang menjadi hamba kepada Zionis Israel sehingga terpaksa mengikut telunjuk dan nasihat Apco agar Anwar dirujuk ke Jawatankuasa Khas Hak dan Kebebasan.

"Jelas Umno-Barisan Nasional takut untuk berdepan dengan kenyataan dari Anwar yang mempunyai bukti yang kukuh sehingga mengambil tindakan menutup mulut Anwar agar isu tersebut tidak dipanjangkan lagi," kata Azmin dalam perbahasan tentang usul membawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ke Jawatankuasa Khas Hak dan Kebebasan.

Azmin juga menyifatkan usul yang dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz adalah satu tindakan untuk menutup kesilapan kerajaan dengan penglibatan Apco.

"Umno terus menyokong Apco-Israel dengan mengambil tindakan ke atas seorang yang berani membongkarkan penglibatan Israel dengan negara ini. Usul ini adalah Umno bukannya usul kerajaan yang jelas telah meletakkan hukuman terhadap Permatang Pauh.

"Usul yang dibawa ini tidak adil kerana ianya telah mendahului prosiding, ini menunjukkan kerajaan tergopoh- gapah untuk membawa Pematang Pauh agar dikena tindakan jelas telah menerima nasihat dari Apco dan tidak mustahil wakil Apco berada di dalam Dewan ini dan juga kawasan Parlimen.

"Dakwaan yang dikeluarkan oleh Permatang Pauh amat jelas dengan segala bukti kenapa beliau hendak dirujuk, kenapa Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri tidak hadir untuk menjelaskan dakwaan tersebut, kita mahukan penjelasan," tegasnya lagi.

Azmin juga memberitahu ini adalah usaha terancang Umno untuk menutup segala kesilapan besar yang dilakukan oleh Umno agar tidak terus dibawa ke Parlimen.

"Kita tahu ini adalah usaha terancang Umno untuk menutup segala kesilapan besar mereka yang telah membenarkan penglibatan Israel dalam pentadbiran negara ini. Saya jelaskan disini dakwaan Anwar jelas dan sangat serius kerana kita lihat bukan sahaja isu 1 Malaysia yang menyamai One Israel tetapi keselamatan negara kita telah dicerobohi oleh Israel yang menjadi tunjang kedaulatan negara.

"Anwar telah mengemukan segala dokumen dan bukti kenapa kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak mengambil serius tentang bukti tersebut malah menuduh Anwar mengelirukan Dewan.

"Apakah tindakan Anwar ini menjadi satu kesalahan dan boleh mengelirukan dewan. Saya mengajak Ahli Parlimen Umno supaya tegas jangan terlalu mengikut telunjuk pemimpin mereka sehingga sanggup membiarkan Zionis Israel ceroboh negara kita," sambungnya lagi.

Azmin memberitahu usul yang dibawa ini adalah niat jahat Umno terhadap Pakatan Rakyat selain menyekat kemaraan Anwar dan juga menpertahankan Apco-Israel.

"Umno tidak dapat menjawap dakwaan tersebut sehingga menggunakan kuasa mereka untuk menghukum Ketua Pembangkang agar isu ini terus senyap," tegasnya sebelum mengakhiri ucapannya. -SK

Salam Anti-Apco ... Mahfuz Tatkala Membahaskan Usul Rujuk Anwar Ke JK Hak Dan Kebebasan

BN sedang membentangkan usul untuk mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke jawatankuasa hak dan kebebasan.

11.56am: Pendebat ketiga Pakatan, Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) memulakan ucapannya dengan “Salam anti-Apco”.

11.44am: Abdul Rahman kemudiannya menarik balik kenyataannya atas arahan Wan Junaidi.

Beliau mempertahankan konsep 1Malaysia dan berkata beliau hairan mengapa pembangkang menolak konsep yang baik itu.


11.43am: Wan Junaidi mencelah dan Abdul Rahman mengulangi dakwaanya bahawa One Israel “hampir menyerupai Pakatan Rakyat”.

MP pembangkang terus menuntut beliau “tarik balik".

11.37am: Timbalan Speaker Wan Junaidi Tuanku Abdul Rahman mengambil-alih kerusi speaker.

Abdul Rahman berkata tidak seperti 1Malaysia, One Israel adalah gabungan tiga parti di Israel yang sama seperti gabungan tiga parti dalam Pakatan Rakyat.

Kenyataan itu sekali lagi menimbulkan kekecohan dengan MP PAS membuat bantahan kerana dikaitkan dengan Israel.

11:36am: Abdul Rahman senyum sinis dan berkata setelah mendengar ucapan pembangkang tadi, beliau berpendapat semua mereka sepatutnya dirujuk ke jawatankuasa itu.

Merujuk ucapan Azmin, menurutnya, “Gombak berkata usul ini untuk menutup mulut Permatang Pauh. Bila masa Permatang Pauh boleh berdiam? Adakah sesiapa yang berjaya membuat beliau senyap?”

Katanya, arahan polis dan juga hukuman penjara gagal menutup mulut Anwar Ibrahim.

11.33am: Abdul Rahman juga menolak dakwaan Kit Siang berhubung “majoriti bodoh”. Katanya, BN sentiasa memberi peluang kepada Anwar untuk menjelaskan dakwaannya bagaimanapun ketua pembangkang itu menggunakan kesempatan itu untuk menimbulkan perkara lain.

"Ini bukan isu politik, ini mengenai individu yang memperdayakan dewan dan dengan degil enggan menjelaskan perkara yang sebenar. Justeru, beliau perlu dibawa ke jawatankuasa itu,” katanya.

11.30am: Pendebat kedua BN Abdul Rahman Dahlan (Umno-Kota Belud) bangun untuk berucap. Beberapa MP pembangkang menyindirnya sambil menjerit “putar belit”.

11.26am: Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) menyalahkan sikap "lebih kurang" kerajaan BN. Beliau menggunakan Mandarin yang memetik ahli falsafah terkenal Cina, Hu Shi's berhubung artikel 'Mr Lebih Kurang' untuk memperkukuhkan hujahnya itu.

Lim mengakhiri ucapannya dengan berkata,"Lebih banyak anda mendakwa pemimpin Pakatan Rakyat dan pembangkang, semakin cepat anda akan kiamat."

11.28am: "Mengapa begitu buruk untuk mengatakan 1Malaysia diciplak dari One Israel? Saya sendiri mengatakan 1Malaysia diciplak dari Malaysian Malaysia. Adakah saya akan dirujuk ke jawatankuasa itu?” soal Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur).

Beliau juga mempersoalkan pembabitan kabinet dalam isu berkenaan bagi mengheret Anwar Ibrahim.

“Mengapa kabinet mesti membuat keputusan itu? Campurtangan kabinet adalah pencabulan jelas berhubung pemisahan kuasa,” kata pemimpin veteran DAP itu.

Lim berkata majoriti parlimen BN itu sebagai "majoriti hodoh, majoriti bodoh". Dengan menuduh majoriti itu sebagai bodoh dan bukan menuduh orang perseorangan, Lim terlepas dan dibenarkan meneruskan ucapannya oleh Pandikar.

Namun apabila Lim menyebut perkataan 'majoriti bodoh', Nazri Abdul Aziz (Umno-Padang Rengas) senyum sambil mencatitkan sesuatu pada notanya.

Lim juga membidas sikap hiprokit MP BN. “Mereka menyerang peribadi calon PKR di Hulu Selangor, tetapi berapa ramai di Dewan ini yang tidak muinum?”

Speaker Pandikar menyampuk, "Saya pun minum, YB, tapi air sahaja."

11.13am: Giliran Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) untuk berucap. Katanya, ini adalah hari yang paling sedih di Parlimen.

Difahamkan bahawa asalnya, Kit Siang adalah sdeorang daripada empat pendebat Pakatan. Tetapi slot berkenaan diberikan kepada Anthony Loke (DAP-Rasah) selepas ada yang mendakwa bahawa Kit Siang adalah ahli jawatankuasa hak dan kebebasan.

Namun apabila diperiksa bahawa Kit Siang bukan lagi menganggotai jawatankuasa itu, namanya disenaraikan semula.

11.10am: Nur Jazlan (Umno-Pulai) menuduh Anwar mencemarkan kesucian Dewan dan menggangu keselamatan negara dengan tindakannya itu.

Setiap kali Nur Jazlan menyebut 'Apco', ahli parlimen pembangkang akan membalas 'Umno'. dan setiap kali MP berhujah bahawa dakwaan pembangkang adalah tidak benar, ia diikuti dengan jeritan 'buktikan'.

11.06am: Nur Jazlan (Umno-Pulai) berkata Anwar Ibrahim (Permatang Pauh) menggunakan "publisiti negatif" di mata antarabangsa untuk memburukkan kerajaan.

Beliau mempertahankan keputusan kerajaan menggajikan Apco untuk memperbaiki 'kerosakan' yang dilakukan oleh Anwar. Beliau juga menuduh Anwar menggunakan NGO, pakar Internet dan media antarabangsa bagi memburuk-burukkan imej Malaysia.

10.55am: Nur Jazlan (Umno-Pulai) - pendebat pertama mewakili BN. Dewan kecoh apabila Tian Chua (PKR-Batu) dan N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) bangun untuk membantah sesuatu yang dibacakan oleh Pulai.

Speaker Pandikar mengarahkan mereka yang tidak berdebat usul itu supaya duduk dan mendiamkan diri atau tidak, menghadapi perintah keluar dewan.
10.48am: Azmin Ali (PKR-Gombak) meneruskan ucapannya dan berkata "Saya minta wakil BN bercakap dengan ikhlas. Negara kita diserang oleh pihak Zionist atas jemputan anda.

"Di mana Pekan (Perdana Menteri Najib Razak)? Di mana Pagoh (timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin)? Kenapa mereka tak berani nak hadapi tuduhan ini?"

Azmin menggulung hujahnya dengan berkata Perkara 36(12) adalah supaya menteri-menteri membekalkan maklumat yang sebenarnya di dewan. Jika peraturan itu diambil secara literal, ramai menteri-menteri akan akan diheret ke jawatankuasa hak dan kebebasan.

10.39am: Azmin Ali (PKR-Gombak) adalah MP Pakatan pertama berucap. Beliau terus menyerang BN sambil mendapat tepukan gemuruh MP Pakatan. Katanya, usul itu tidak adil dan mempertikaikan mengapa dokumen yang dibekalkan oleh Anwar dalam penjelasannya kepada Parlimen sebelum ini tidak disiasat.

Azmin menuduh kerajaan Malaysia sebagai budak suruhan Apco - firma perunding perhubungan awam yang berpangkalan di Washington yang diupah oleh kerajaan Malaysia dan juga Israel.

Katanya, Anwar dihukum oleh usul tergesa-gesa yang dibuat mengikut telunjuk tuan mereka Apco-Israel.

Azmin melahirkan kebimbangannya mengenai keselamatan negara dan katanya Umno cuba menutup pembabitan sebenar Apco berhubung apa yang dikemukakan oleh Anwar.

10.37am: Pandikar memperuntukkan 15 minit kepada setiap pendebat.

"Jika kita benarkan Padang Serai (PKR MP N Gobalakrishnan), lima hari pun tak cukup," katanya berseloroh.

MP pembangkang terus menimbulkan isu teknikal berhubung usul tetapi Pandikar bertegas mengatakan ia teratur.

Sementara itu, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) akan menggantikan Anthony Loke (DAP-Rasah) sebagai seorang daripada pendebat Pakatan.

10.28am: Gobind (DAP-Puchong), yang agak emosional bertegas mahu mendebatkan peraturan dewan. Speaker Pandikar mengarahkannya supaya diam.
Beberapa MP yang lain cuba bercakap. Pandikar mengarahkan semua supaya duduk dan dengar arahannya.

Pandikar kemudiannya membacakan Peraturan 43. Katanya, adalah keputusannya bahawa usul yang dibentangkan itu adalah teratur dan keputusannya itu adalah muktamad. Sesiapa yang mempertikaikannya akan diperintah keluar dewan.

10.23am: Berlaku sedikit kekecohan apabila MP daripada kedua-dua pihak cuba berucap. Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) bangkit beberapa kali untuk meminta point of order.

Speaker Pandikar memberi amaran kepada Gobind supaya jangan melenggah-lenggahkan sidang dan mengingatkannya bahawa "Saya berkuasa mengeluarkan anda dari dewan".

10.18am: Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) bangkit dan berkata usul yang dibentangkan oleh BN itu menghina Dewan Rakyat.

Ini kerana, kata beliau usul mengheret Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan itu adalah memohon jawatankuasa itu untuk menentukan bentuk hukuman dan bukannya untuk menyiasat sama ada Ketua Pembangkang itu bersalah atau tidak.

Kamaruddin juga mendakwa ia mencabuli hak jawatankuasa berkenaan.

10.16am: Kit Siang hampir bertikam lidah dengan dengan Pandikar Amin berhubung perkara yang ditimbulkan oleh rakan-rakannya. Tetapi selepas penjelasan oleh Pandikar, Kit Siang mengalah.

10.11am: Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata bahawa beliau dan timbalannya akan menentukan sama ada perkataan dalam usul itu adalah tepat. Hujahnya, jika ia dalam peraturan mesyuarat, maka ia adalah tepat.

10.09am: Lim Kit Siang (DAP- Ipoh Timur) bangkit dan meminta penjelasan. Beliau bertanya sam ada kata-kata usul itu adalah tepat.

10.08am: Whip BN Datuk Seri Nazri Aziz memulakan usul itu dengan membacakan:

“Bahawa pada 17 Mac 2010, Yang Berhormat Ahli Parlimen Permatang Pauh, ketika mengambil bahagian dalam Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, telah mengeluarkan kenyataan, “1999 Satu Israel. 2009 Apco menasihat Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib 1Malaysia”.

Bahawa Yang Berhormat Ahli Parlimen Permatang Pauh telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan serta membuat dakwaan yang sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai Ahli Parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan ini.

Maka inilah dipersetujui bahawa Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Jawatankuasa ini hendaklah membuat syor jenis hukuman yang setimpal yang patut Dewan.

10.06am: Nazri Aziz (Umno-Padang Rengas) berkata sessi Dewan Rakyat hari ini tidak akan ditangguhkan selagi usul ke atas Anwar Ibrahim ((PKR-Permatang Pauh) dan beberapa rang undang-undang lagi belum diluluskan.

10am: Empat pendebat daripada Barisan Nasional:

1. Nur Jazlan (Umno-Pulai)
2. Abdul Rahman Dahlan (Umno-Kota Belud)
3. Khairy Jamaluddin (Umno-Rembau)
4. Nazri Aziz (Umno-Padang Rengas)

Pakatan rakyat pula diwakili oleh:

1. Azmin Ali (PKR- Gombak)
2. Anthony loke (DAP-Rasah)
3. Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena)
4. Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz Nazri memberitahu Malaysiakini bahawa BN akan membentangkan usul merujuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen berhubung dakwaannya yang mengaitkan '1Malaysia' dengan 'One Israel'.

Usul itu akan dibentangkannya dan akan disokong oleh ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

9.46am: Usul mengheret Anwar Ibrahim adalah agenda pertama dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dewan Rakyat, mahupun galeri awamnya dipenuhi oleh ahli-ahli parlimen yang menjangkakan perdebatan hangat. -mk

10,000 Petugas PAS Ke Hulu Selangor Pastikan Kemenangan Zaid

PAS kini giat memaksimakan persiapan hari-hari terakhir kempen pilihan raya, dengan menurunkan 10,000 jentera dari seluruh negara bagi memastikan kemenangan mutlak milik calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, fokus utama kini adalah memaksimakan jentera agar mengukuhkan Pakatan Rakyat serta bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan menjelang 25 April.

"PAS pusat sudah bermesyuarat agar kita arahkan seluruh jentera semaksima mungkin bagi memastikan kekuatan Pakatan dan persediaan sebarang kemungkinan,"

"Jentera diturunkan secara berperingkat-peringkat dengan menempatkan diri di unit peti undi. Malah dalam tiga hari terakhir ini kita kumpul maklumat kempen agar tepat mengenai sasaran. Ini komitmen kita agar Pakatan menang," katanya yang ditemui media selepas berucap di Karnival Rakyat di Padang Majlis Daerah Hulu Selangor, Batang Kali malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa pemimpin PAS tidak turun membantu kempen ceramah.

Menurutnya, PAS sentiasa memberi komitmen membantu merencanakan jentera Pakatan sejak awal lagi.

"Dakwaan itu tidak benar kerana sejak dari awal kita telah menurunkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan juga pemimpin tertinggi yang lain.

“Mungkin kerana Hulu Selangor ini besar seluas Melaka jadi kita terpaksa bertebaran setiap malam untuk berkempen," katanya.

Malah beliau menjelaskan ekoran jadual yang cukup ketat menyebabkannya tidak cukup masa memenuhi jemputan yang ada.

“Saya sendiri baru pergi ke beberapa buah daerah mengundi sahaja kerana jemputan yang begitu ketat selain masa yang tidak mencukupi.Jadi tidak benar sebenarnya mengatakan kita tidak hadir kerana sejak dari hari pertama kita telah ada,” katanya.

Sementara itu, tokoh disegani ramai Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka menyampaikan ceramah perdana malam esok.

Salahuddin turut menyifatkan serangan peribadi BN ke atas Zaid tidak akan menambat hati pengundi Hulu Selangor, sebaliknya manifesto calon tetap menjadi perhatian.

“Pengalaman saya selama 30 tahun dalam politik ini, isu-isu yang terlalu peribadi ini sudah lagi tidak mendapat perhatian rakyat.

“Dalam beberapa siri pilihan raya kecil seperti di Kuala Terengganu, Bagan Pinang, Permatang Pasir dan Bukit Selambau, saya lihat isu-isu yang terlalu peribadi sudah tidak lagi menyentuh pengundi.

“Kempen secara peribadi ini rakyat sudah boleh faham, apa yang penting untuk mereka lihat adalah janji ataupun manifesto dan juga mahu melihat apa yang mereka boleh dapat daripada kerajaan,” kata beliau. -FMT

BN Kalah DI Hulu Selangor Jika Usul Rujuk Anwar ke JK Parlimen Diterima Hari Ini

BN akan membentangkan usul merujuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen berhubung dakwaannya yang mengaitkan '1Malaysia' dengan 'One Israel'.

Lapan orang ahli parlimen - masing-masing empat dari BN dan Pakatan Rakyat - akan membahaskan usul tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz berkata beliau akan membentangkan usul tersebut dan akan disokong oleh ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, wakil BN itu berkemungkinan terdiri daripada Khairy, Datuk Abdul Rahman Dahlan (Umno-Kota Belud), Datuk Nur Jazlan Mohamad (Umno-Pulau) atau Chua Tee Yong (MCA-Labis).

Manakala wakil Pakatan pula dijangka Azmin Ali (PKR-Gombak), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) atau Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena).

BN akan membentangkan usul tersebut ekoran dakwaan Anwar yang mendakwa '1Malaysia' yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditiru daripada konsep 'One Israel'.

Ia dibawa mengikut perintah tetap 36(12) kerana didakwa mengelirukan Parlimen. Ketua pembangkang itu boleh digantung daripada menghadiri sidang parlimen jika beliau didapati bersalah.

Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh sebelum ini dipanggil untuk memberi penjelasan di Parlimen mengenai perkara itu, tetapi ianya ditolak oleh ahli parlimen kerajaan.

Ketua umum PKR itu juga mendakwa bahawa perkhidmatan Apco Worldwide - firma perunding beribupejabat di Washington - yang digunakan oleh pentadbiran Najib untuk 'komunikasi strategik' adalah di sebalik slogan '1Malaysia' dan 'One-Israel'.

Apco bagaimanapun, menafikan dakwaan Anwar itu, walaupun kerajaan mengesahkan telah membayar RM77 juta kepada firma berkenaan untuk kontrak perkhidmatan selama setahun. -mk

Ulasan GB

BN menanggung risiko yang besra, menggali kuburnya sempena PRK Hulu Selangor. Isu UMNO-APCO telah mendominasi kempen PRK Hulu Selangor dan sebarang tindakan ke atas Anwar akan menambahkan kebencian rakyat kepada BN dan meningkatkan simpati rakyat kepada DSAI dan PR.

Silakan BN. Silakan Nazri. Silakan Najib.

Lagi Projek Mee Segera, BN Turap Jalan Waktu Hujan

Dalam mengemis undi rakyat Hulu Selangor, pimpinan Umno Barisan Nasional k (BN) tidak ragu-ragu untuk mengerah agensi kerajaan bagi membuat projek mee segera demi memancing undi.

Tindakan itu menjadi 'trade mark' kerajaan Umno BN yang tergesa-gesa membina kemudahan kepada rakyat ketika musim pilihan raya sedangkan projek sedemikian, sepatutnya sudah dilaksanakan lebih awal.

Setiausaha DAP Selangor yang juga ADUN Kampung Tungku, Lau Weng San yang sedang memandu ketika hujan lebat terserempak dengan kontraktor JKR yang sedang menurap jalan di Jalan Ampang Pecah ke Kuala Kubu Bharu semalam.

"Dijalankan oleh JKR, pelebaran dan penurapan jalan di Ampang Pecah ke KKB. Saya pergi semalam, hujan di sebelah petang dan lebat. Kerja penurapan jalan diteruskan masa hujan lebat," katanya.

Beliau yang memiliki latar belakang kejuruteraan berkata tidak masuk akal melakukan projek berkenaan ketika hujan lebat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tungku Weng San menganggap ini adalah contoh terbaik projek mee segera Umno Barisan Nasional (BN).

"Jadi, ini projek mee segera yang dilakukan BN untuk pancing Undi. Saya ada foto. Kalau tanya pada pakar buat jalan, penurapan jalan pada waktu hujan adalah tidak masuk akal. Jalan akan mudah rosak selepas itu," katanya.

Menurut beliau, ini menunjukkan BN tidak ikhlas membela rakyat kerana projek ini bukan dijalankan secara menyeluruh tetapi hanya di beberapa lokasi dan musim tertentu sahaja bagi mengaburi mata pengundi.

"Kerja ini hanya musim pilihan raya tapi tidak meliputi seluruh jalan Ampang Pecah-Kuala Kubu Bahru. Kalau BN mahu naik taraf jalan, mereka perlu melakukannya secara terperinci dan bukannya ad hoc seperti ini," katanya. -TVS