4 Dis 2010

Lagi Kereta Terbakar, 3 Rentung

Tiga rentung kereta rempuh treler di Rembau

Gambar: ANGGOTA polis melihat kereta yang remuk dan rentung selepas melanggar belakang sebuah treler di KM241 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Pedas hala utara awal pagi tadi. Dalam nahas itu, tiga mangsa turut rentung apabila terperangkap dalam kereta yang terbakar itu. - Foto Dzulkeffli Mustapha

REMBAU - Dua penumpang dan seorang pemandu sebuah kereta jenis Perodua Myvi mati terbakar apabila kenderaan mereka dipercayai merempuh belakang sebuah treler di Km 241.1 berhampiran plaza tol Pedas-Linggi menghala ke utara pagi tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Yusof Samad berkata, kereta terbabit yang datang dari arah Melaka dikatakan melanggar belakang treler panjang itu yang sedang bergerak perlahan di lorong sebelah kiri ketika membawa jengkaut.

"Rempuhan itu menyebabkan kereta terbabit terbakar dan mangsa-mangsa mati rentung. Kita mengeluarkan dua mayat yang sudah rentung di bahagian hadapan serta satu lagi di tempat duduk belakang kereta berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.09 pagi mengenai kemalangan itu sebelum mengejarkan sebuah jentera bersama sembilan anggota ke tempat kejadian.

Mayat mangsa yang belum dikenali dihantar ke Hospital Seremban. - Bernama

Pendakwaan Tutup Kes Bunuh Aaliyah Ayman

Pendakwaan Tutup Kes Bunuh Aaliyah Ayman

SHAH ALAM: Pihak pendakwaan pada Jumaat, menutup kes pendakwaan terhadap seorang warga Sudan yang dibicarakan atas tuduhan membunuh anak teman wanitanya yang berusia tiga tahun, Aaliyah Ayman Hussin Abdullah.

Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, pihaknya menutup kes selepas semua 13 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

“Pihak kami menawarkan sembilan saksi pendakwaan yang tidak dipanggil kepada pihak pembelaan,” tambahnya.

Saksi-saksi yang tidak dipanggil terdiri daripada anggota-anggota polis, doktor dan juga beberapa orang awam.

Bagaimanapun, peguam J.Kuldeep Kumar yang mewakili tertuduh memberitahu, mereka tidak berminat untuk memanggil mana-mana saksi yang ditawarkan.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menetapkan hujahan di akhir pendakwaan didengar pada 6 Januari depan manakala 17 Januari dijadualkan sebagai tarikh keputusan sekiranya tiada sebarang penjelasan diperlukan.

Beliau juga mengarahkan Kuldeep untuk bersiap sedia dengan pembelaan kerana mahu pembelaan dibuat sehari selepas keputusan, sekiranya tertuduh dipanggil untuk membela diri atas tuduhan itu.

Abdul Alim juga kelihatan agak keberatan untuk membenarkan permohonan Kuldeep supaya diberikan sedikit masa untuk berbuat demikian.

Mohannad Taha (gambar), 25, dituduh membunuh Aaliyah antara pukul 7.30 dan 8.30 malam, 12 Oktober lalu di kediaman bernombor 9/D3/9 Palazzo Tower, Venice Hill Condominium, Batu 9, Cheras, Hulu Langat, dekat sini.

Dia yang masuk ke negara ini dengan menggunakan visa pelajar kini berhadapan dengan hukuman mati, jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohannad Taha didakwa untuk kali pertama di Mahkamah Majistret Putrajaya, dekat sini pada 23 Oktober lalu manakala perbicaraan di Mahkamah Tinggi bermula pada 6 September lalu.

Perbicaraan sebelum ini menyaksikan ibu kanak-kanak malang itu, Ellina Maulad Mahather, 25, memberitahu Aaliyah ditinggalkan di bawah jagaan tertuduh semasa dia keluar bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat pembinaan.

Ellina yang pernah bekerja sebagai pelayan kelab malam juga memaklumkan tertuduh cuba menghalangnya daripada membawa mangsa ke hospital kerana bimbang akan ditangkap dan dituduh mengakibatkan kecederaan tersebut.

Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Serdang, dekat sini, Dr Abdul Karim Tajudin, 61, pula berkata terdapat 34 kesan kecederaan di tubuh badan mangsa termasuk kesan cubit atau dipulas di bahagian tundunnya.

Abdul Karim menambah, kesan lebam yang diakibatkan oleh pukulan didapati pada bahagian punggung manakala kesan seperti tumbukkan di bahagian belakang badan.

Selain itu, Aaliyah yang hanya seberat 10.58 kilogram juga patah dua tulang rusuk sebelah kiri, ditumbuk di mulut, digigit pada bahagian tangan, ditampar dengan kuat di telinga dan tangannya digenggam atau dicengkam dengan kuat.

Mangsa juga cedera di bahagian dahi dan terdapat darah beku di bawah kulit kepala serta keadaan kuku yang kebiruan menunjukkan kekurangan oksigen dalam darah. -mstar


"Dacing Berat Sebelah" Kata Gerakan.

Gerakan: Bubar komponen BN, tubuh parti tunggal

Timbalan presiden Gerakan, Chang Ko Youn (gambar) berkata membubarkan parti-parti komponen BN adalah langkah pertama bagi menamatkan politik perkauman di negara ini.

“Seperti yang saya perkatakan sebelum ini, politik perkauman memecahbelahkan dan mendatangkan lebih mudarat daripada kebaikan dalam masyrakat majmuk ini.

“Saya gesa parti komponen BN mengkaji semula kedudukan mereka dan perlembagaan dengan membubarkan halangan perkauman dan meminda undang-undang bagi membolehkan semua rakyat Malaysia tanapa mengira bangsa, jantina, warna atau agama menjadi ahlinya,” kata Chang.

Tambahnya, Gerakan juga mendesak semua parti komponen BN yang masih menerima kaum tertentu supaya meminda perlembagaan masing-masing dan menerima semua rakyat Malaysia.

“Dalam jangka panjang, BN harus menjadi parti tunggal dan semua parti komponen dibubarkan dan semua ahli mereka hanya menjadi ahli BN sahaja.

Dacing berat sebelah

“Ini akan menjadi satu lompatan besar ke arah politik bersatu rakyat Malaysia,” katanya semasa menyampaikan ucapan polisi di persidangan perwakilan Belia dan wanita Gerakan, pagi ini.

Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin, pula tidak memperdulikan kata-katanya dengan terus membidas simbol dacing BN yang dikatakannya berat sebelah, termasuk ke atas parti-parti komponen dalam gabungan itu sendiri.

“Mungkin kita kalah dengan teruk pada pilihan raya 2008 kerana BN tidak dilihat sebagai adil,” katanya sambil menambah bahawa jawatan-jawatan utama dalam BN hanya “diboloti oleh satu atau dua parti sahaja
”.

“BN sebagai satu komponen seharusnya membuat polisi-polisi untuk semua dan buaknnya untuk satu atau dua parti sahaja. Di negara ini, ada yang kata hak asasi kita masih bukan merupakan hak. Seperti contoh dalam pendidikan dan agama. Tidakkah sepatutnya semua parti dirujuk sebelum sesuatu keputusan dibuat?” soalnya.

Lim juga mendesak parti Gerakan agar tidak menjejaki langkah Umno yang menangguhkan pemilihan parti dan berkata tindakan itu sesuatu “proses pembaharuan yang tidak diperlukan' dan mengumpamakannya sebagai “menjalani pemeriksaan badan yang lengkap”.

“Dalam penjelasannya (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak) berkata bahawa ia dilakukan (penangguhan pemilihan pimpinan Umno) bukan kerana pilihan raya mengejut akan diadakan. Jadi Gerakan mesti terus dengan pemilihan sendiri.

“Ia adalah proses bagi menghapuskan bahagian dan cawangan yang tidak aktif dan menggalakan pemimpin muda dan bertenaga dibawa masuk ke teras. Bagaimana kita tahu perwakilan kita masih aktif dengan parti jika tidak ada pemilihan diadakan?

“Jadi bagi mencergaskan semula dan memberi tenaga baru kepada parti, kita mesti secara serius melihat kepada pemilihan dan tidak menundanya,” kata Lim yang sudahpun mengumumkan beliau tidak akan bertanding semula.

Tindakan Najib yang sebelum ini mengumumkan bahawa Umno akan menangguhkan pemilihan parti itu kepada 18 bulan bagi memperkuatkan parti menimbulkan cakap-cakap kemungkinan pilihan raya mengejut akan diadakan. -mk

Bas Wanita: Kenapa Ragu Untuk Akui Kebaikan Islam?

Bas khas wanita tempelak ejekan

Pelbagai pihak, termasuk PAS, mengalu-alukan langkah terbaru Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) memperkenalkan bas khas untuk penumpang wanita di beberapa laluan sekitar ibu negara.

Dewan Muslimat PAS Pusat menyifatkan langkah itu tepat pada masanya dan amat sesuai dengan senario semasa di mana ramai penjawat awam dan swasta dari kalangan wanita menggunakan perkhidmatan bas untuk pergi balik ke pejabat.

Pengasingan pengangkutan mengikut gender tidak syak lagi menghindari mereka daripada sebarang kemungkinan menjadi sasaran gangguan seksual, terutama tatkala bersesakan dengan penumpang lelaki pada waktu puncak.

Difahamkan perkara itu memang menjadi antara dorongan pihak Bas RapidKL memperkenalkan bas khas itu. Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, pihaknya kerap menerima aduan daripada pengguna terutama wanita yang terpaksa berhimpit dan terdedah kepada gangguan seksual.

Justeru, katanya, perkhidmatan khas itu bertujuan memberi keselesaan dan memastikan keselamatan penumpang wanita ke destinasi masing-masing.

Untuk itu, katanya, tempoh percubaan perkhidmatan itu dilaksanakan sebulan bermula Rabu. Ia melibatkan tujuh laluan yang mempunyai jumlah penumpang ramai dengan dua sesi perkhidmatan, iaitu di sebelah pagi jam 6.45 dan 7.30 manakala di sebelah petang pada jam 6 dan 6.45.

Laluan yang terbabit pada sesi pagi ialah U1 (Hab Pinggiran Batu Caves), U8 (Hab Damansara Damai), U22 (Hab Sri Nilam), U40 (Hab Terminal Kajang), U60 (Hab Puchong Utama), U80 (Hab UiTM Shah Alam) dan U81 (Hab Subang Suria).

Bagi sesi petang, laluannya ialah U1 (Hab Medan Pasar), U8 (Hab Medan Pasar), U22 (Hab Jalan Hang Lekiu), U40 (Hab Pasar Seni), U60 (Hab Pasar Seni), U80 (Hab Pasar Seni) dan U81 (Hab Pasar Seni).

“Tahniah atas perkhidmatan bas Rapid KL khusus untuk wanita. Satu peningkatan yang terpuji dan akan memberi faedah yang banyak kepada kaum wanita. Teruskan usaha-usaha baik ini," demikian pula reaksi Ahli Parlimen Titiwangsa dari PAS, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, sepertimana dipetik Harakahdaily.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyifatkan langkah itu sebagai bijak dan mesra wanita sekaligus memberi sumbangan besar kepada keselamatan dan kesejahteraan kaum hawa.

"Saya percaya ia mampu mengurangkan kadar jenayah seperti jenayah seksual, ragut dan sebagainya," kata ketuanya, Nasrudin Hassan.

Meski pun langkah terbaru di sektor pengangkutan awam negara itu wajar dialu-alukan, bahkan dianggap tepat pada masa, penulis sendiri merasakan ia agak ketinggalan. Pendekatan sebegitu sepatutnya telah dilaksanakan lama dulu.

Kalau lah tidak kerana sikap negatif khalayak penguasa negara terhadap apa juga pendekatan dan langkah pembaharuan diperkenalkan pemerintahan negeri diterajui PAS, nescaya sudah banyak pemurnian sebegitu berlaku dalam pelbagai sektor hidup masyarakat kita.

Malangnya, disebabkan kongkongan sentimen politik kepartian yang terlalu tebal, Barisan Nasional (BN) diterajui Umno yang menguasai kerajaan Pusat sering menilai setiap langkah atau pembaharuan diperkenalkan parti lawan secara serong.

Selaku penguasa ke atas segenap saluran media dan sebaran am, BN juga tidak memberi ruang dan peluang untuk PAS memperjelaskan kemurnian sesuatu langkah diperkenalkannya, terutama di Kelantan dan Terengganu suatu ketika dulu.

Lalu khalayak umum dibiarkan tanpa maklumat tepat mengenai pembaharuan berkenaan. Bahkan, ada ketikanya mereka tergamak mempersenda sesuatu keputusan dibuat kerajaan pimpinan PAS, walau pun yang dipersendakan itu sebenarnya memang bertepatan dengan suruhan agama Islam.

Memburukkan keadaan, para penjuak BN dan kalangan yang tidak ada pemahaman yang jelas mengenai hukum dan peraturan Islam ikut menambahkan kekeliruan. Tafsiran dan ulasan mereka, yang ada ketikanya tersasar jauh dari hakikat letakduduk perkara, menyebabkan persepsi negatif terhadap Islam semakin membukit.

Pengalaman PAS memperkenalkan beberapa peraturan Islam di kesempatan memerintah dua negeri di Pantai Timur itu banyak berdepan ejekan dan persendaan, terutama para pendukung BN.

Di antara peraturan yang menjadi bahan momokan mereka ialah usaha PAS memperkenalkan pengasingan gender di tempat awam. Ia termasuklah mewujudkan tempat duduk berasingan bagi wanita dan lelaki bukan mahram sama ada di majlis, perhimpunan umum atau pawagam.

Begitu juga kaunter berasingan mengikut gender di pasaraya dan gedung beli-belah. Salon unisex juga ditiadakan dan dipastikan pekerja wanita hanya melayan pelanggan wanita, begitulah sebaliknya.

Usaha menguatkuasakan peraturan itu dipersendakan khalayak yang mengaku Islam sendiri. Sebilangan mereka bersuara membantah atas nama perjuangan kebebasan hak wanita. Kononnya peraturan sebegitu menggambarkan persepsi serong terhadap kaum Hawa, terutama dikaitkan dengan subjek seks.

Ada juga cerdik pandai yang menganggap usaha PAS melaksanakan pengasingan gender di tempat awam sebagai kerja remeh-temeh dan tidak perlu diutamakan.

Malah ada pengulas di media tergamak mempersenda usaha memperkenalkan peraturan sedemikian. Ada yang sangat nakal menelah kononnya pemimpin PAS merasa perlu diwujudkan peraturan pengasingan itu kerana mereka terlalu memikirkan soal seks sehingga sukar menahan nafsu bila bergaul dengan wanita.

Ada pula secara sinikal mengandaikan, berdasarkan peraturan dibuat kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu itu, maka ditakdirkan parti itu berjaya memerintah Malaysia, nanti semuanya akan dibuat pengasingan mengikut gender.


“Nanti akan ada teksi khas untuk wanita sahaja, bas untuk wanita, keretapi untuk wanita, dan besar kemungkinan kapalterbang pun khas hanya untuk penumpang wanita saja,” ujar mereka penuh senda.

Maha Benar Allah Ta’ala dengan janjinya bahawa kebenaran itu, meski pun kelihatan tidak berdaya atau dipersenda, akan tetap menguasai suasana walau pun ia mungkin memakan masa. Sebaliknya, kebatilan itu biar pun kelihatan elok dan gagah akan runtuh dan lenyap.

Kini terbukti persendaan itu telah menjadi kenyataan. Kita telah diperkenalkan dengan bas khas untuk wanita, sebelum pun sempat PAS menguasai Putrajaya.

Langkah ini malah bukan yang pertama seumpamanya. April lalu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan komuter khas untuk golongan wanita bagi menjamin keselamatan dan keselesaan mereka.

Ada pun teksi khas untuk wanita bukan perkara sukar diwujudkan. Perkhidmatan serupa sebenarnya telah diperkenalkan beberapa negara termasuk Rusia, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Brazil, Mexico, Iran dan India sejak awal 2007.

Indonesia pula mendahului negara lain melancarkan perkhidmatan bas eksklusif untuk wanita, juga pada 2007. Manakala sebuah syarikat penerbangan Jepun pada tahun sama memperkenalkan pengasingan tempat duduk wanita dan lelaki dalam pesawat-pesawatnya.

Mereka mungkin tidak melaksanakannya di atas dasar memenuhi tuntutan Islam, tetapi atas hasrat mengelakkan gangguan seksual.

Namun, apa salahnya alang-alang kita juga berhasrat berbuat serupa, mengapa tidak diperbetulkan niat atas tujuan menuruti suruhan agama? Kenapa takut mengakui bahawa ajaran Islam itu memang membawa kebaikan untuk manusia? -harakahdaily

Berita Sebelum Ini

Bas Wanita: Langkah Wajar Yang Terpuji

Esok, Sejarah Himpunan ISA Bakal Berulang

Protes air Pakatan, GAPS anti-Selangor esok ulangi himpunan ISA 2009?

Pemimpin GAPS berarak untuk menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor di Shah Alam petang semalam. — Gambar oleh Jack Ooi

KUALA LUMPUR, 4 Dis — Pertembungan dua kumpulan yang bercadang menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di sini esok dilihat sebagai ulangan peristiwa himpunan anti-ISA dan pro-ISA yang diadkaan di ibu negara Ogos 2009.

Namun kali ini membabitkan dua kumpulan yang dinamakan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) manakala kumpulan satu lagi adalah kerajaan Selangor yang menganjurkan demonstrasi dan perarakan menentang kenaikan harga air di negeri itu — dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

GAPS, gabungan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pula akan menyerahkan memorandum berhubung penyelewengan yang berlaku di Selangor yang kini di bawah kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kedua-dua kumpulan ini boleh dibezakan dari aspek pemakaian yang mana GAPS akan memakai baju berwarna hitam manakala kerajaan Selangor ataupun boleh dikenali sebagai kumpulan antikenaikan harga air akan memakai baju berwarna merah.

Penyelaras kempen antikenaikan harga air Selangor Dr Badrul Amin Bahron ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya akan memastikan semua penyokong yang menyertai perarakan berkelakuan baik dan tidak termakan dengan provokasi yang mungkin akan dilakukan GAPS.

“Kepada penyokong saya minta supaya mereka bersabar, berdisiplin, mengikut arahan dikeluarkan, jangan berkelakuan tidak elok dan jangan termakan dengan provokasi yang dibuat pihak satu lagi.

“Memang tujuan mereka (GAPS) untuk buat provokasi tapi biarlah. Kita buat kerja masing-masing, tapi saya anggap mereka ini salah siaran bila nak serahkan memorandum pada hari yang sama dengan kerajaan negeri.

“Bagi saya lebih baik mereka balik sahaja, tidak perlu buat kacau di sana,”
katanya.

Beliau berkata, semua penyokong akan berkumpul di Masjid Negara untuk menunaikan solat Zohor dan solat hajat sebelum berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum yang akan diketuai Khalid.

Tambah Badrul Amin, dijangkakan seramai 20,000 orang terdiri daripada Exco kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jentera parti Pakatan Rakyat, ketua-ketua kampung, mahasiswa dan orang ramai akan menyertai perarakan itu.

“Respons sehingga hari ini amat hebat, kita anggarkan 20,000 orang akan menyertai perarakan ini,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir dalam kenyataannya hari ini menyeru semua rakyat Selangor untuk bersama-sama mengiringi Khalid untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi PAS Selangor saya ingin menyeru seluruh ahli dan penyokong parti serta rakyat negeri ini agar bersama mengiringi Menteri Besar Selangor dan barisan Exco kerajaan negeri dalam menyerahkan memorandum itu kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Ahad ini (esok).

“Penyerahan memorandum secara aman kepada Yang di-Pertuan Agong itu nanti akan merupakan simbol kesepaduan rakyat negeri Selangor dan rakan-rakan di Wilayah Persekutuan dalam menutut agar bekalan air di negeri ini dikembalikan kepada rakyat melalui kerajaan negeri.

“PAS Selangor yakin rombongan secara aman itu akan berjaya melaksanakan tugas mereka dan mengharapakan tidak ada mana-mana pihak yang mencetuskan provokasi atau gangguan sehingga menggagalkan hak bersuara rakyat dalam negara yang mengamalkan demokrasi ini,” katanya.

Beliau berkata respons positif daripada rakyat Selangor akan membuktikan keprihatinan rakyat bahawa mereka mahu agar pengurusan air diserahkan kembali kepada kerajaan negeri pimpinan Khalid.

“Penyerahan semula pengurusan air kepada kerajaan negeri akan menjamin pengurusan yang lebih efisyen di samping terus menikmati 20 meter padu pertama air percuma yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat,” katanya.

Ketika ditanya mengenai permit, Badrul Amin berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada polis tetapi sehingga kini masih tiada jawapan.

“Kita sudah beritahu polis dan juga pegawai istana yang akan menunggu kita untuk menyerahkan memorandum tersebut.

“Selain itu, saya juga minta supaya polis dapat bekerja dengan profesional ketika perarakan ini diadakan,” katanya.

Pengerusi GAPS Hamidzun Khairuddin pula berkata, pihaknya masih belum menetapkan waktu perhimpunan bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.

Langkah itu menurut Hamidzun, adalah untuk mengelakkan pertembungan di antara penyokong GAPS dan penyokong kempen kenaikan harga air di Istana Negara.

“Ini bukan pertempuran. Kita adalah masyarakat yang bertamadun di Malaysia,” katanya yang masih belum menetapkan masa untuk perhimpunan tersebut.

“Saya harap kalau mereka boleh buat pada sebelah pagi, kita buat pada sebelah petang. Kalau mereka buat lepas sembahyang Zohor mungkin kita buat lepas sembahyang Asar. Tapi kalau boleh lagi cepat lagi bagus.

“Yang penting, kita ingin menyampaikan hasrat ini tentang 30 perkara penyelewengan kerajaan Selangor,” katanya. Menurut Hamidzun, GAPS akan berkumpul di Masjid Jamek terlebih dahulu sebelum ke Istana Negara.

“Kita bercadang untuk berkumpul di Masjid Jamek secara aman, mungkin selepas bersolat kita akan buat keputusan menyerahkan memorandum pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Ketika ditanya mengenai larangan polis supaya tidak mengadakan perhimpunan pada hari itu, Hamidzun berkata, ini adalah negara bebas dan demokrasi sambil menjelaskan hak untuk berkumpul termaktub dalam Perlembagaan.

“Hak untuk berkumpul itu ada, tapi pada masa yang sama kita akan menghormati undang-undang lain. Kita akan berhubung dengan pihak keselamatan dan polis nanti.

“Kita sebenarnya tidak bercadang untuk mengadakan perarakan kerana yang penting memorandum harus disampaikan pada Yang di-Pertuan Agong walau apa cara sekalipun,” katanya.

Sementara itu, polis mengingatkan orang ramai di sekitar Lembah Klang agar tidak menyertai perhimpunan itu kerana penganjur tidak memiliki permit untuk berbuat demikian.

Justeru, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang menyertai perhimpunan tersebut.

“Perhimpunan itu akan disertai dua kumpulan yang akan berarak dari Masjid Negara dan Stadium Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan ke Istana Negara.

“Polis juga percaya ada pihak-pihak tertentu terlibat menggalakkan orang ramai menyertainya,” katanya.

Justeru katanya, polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak sepertimana diperuntukkan mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 berkenaan perhimpunan tanpa permit. -TMI

Ulasan GB

Dengan pengumuman kenaikan harga minyak, diesel, gula dan gas malam tadi, perhimpunan ini dijangka akan mendapat sambutan dari rakyat.

Pasangan Ditangkap Buat Kerja Dalam Kereta

LUNAS - Seorang janda anak satu ditangkap khalwat bersama kekasihnya yang juga suami orang di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga di Taman Industri Saujana, di sini.

Jurucakap Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK) berkata, pemantauan terhadap kereta pasangan itu dilakukan kira-kira dua minggu lalu selepas menerima aduan daripada orang ramai mengenai perlakuan sumbang pasangan itu.

"Kira-kira jam 9 malam ketika Penguat kuasa PADK membuat rondaan, anggota terserempak dengan kereta Proton Saga baru sepertimana aduan diterima.

"Setelah membuat pemeriksaan terhadap kereta itu. PADK menemui sepasangan kekasih duduk di kerusi belakang kereta dalam keadaan mencurigakan, " katanya.

Menurutnya, siasatan PADK mendapati pasangan wanita berusia 38 tahun dan sudah menjanda sejak 14 tahun lalu setelah kematian suaminya, manakala pasangan lelaki berusia 20 tahun merupakan suami orang dan mempunyai seorang anak.

"Mereka bekerja di kilang sama di Lunas dan keluar bersama sejak jam 5 petang sehingga ditangkap kira-kira jam 9.30 malam, ” katanya.

Juru cakap PADK berkata, hasil siasatan PADK terhadap pasangan wanita mendapati mereka berkenalan sejak beberapa bulan lalu dan mengaku sudah terlanjur.

Bagi mengelak perlakuan sumbang mereka itu dilihat orang ramai, tingkap belakang kereta ditutup dengan penggalas cermin.

Pasangan itu dibawa ke Balai Polis Lunas untuk membuat laporan tangkapan.

Pasangan wanita ditahan di lokap Balai Polis Lunas manakala lelaki dilokap Balai Polis Kulim. Pasangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

PADK turut menasihatkan pasangan itu agar menyedari kesalahan dilakukan tergolong dalam dosa besar. Pasangan akan diarahkan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada tarikh ditetapkan sekiranya gagal berbuat demikian, waran tangkap akan dikeluarkan. -SH

Puluhan Kenderaan Terkandas Di Pahang Akibat Banjir

Puluhan kenderaan terkandas

KUALA LIPIS - Berpuluh-puluh kenderaan terkandas di laluan Taman Permai dan Chenderas Jaya apabila berlaku banjir kilat di kawasan itu lewat petang kelmarin.

Seorang peniaga, Norziana Mohd Noor, 39, berkata, kejadian banjir kilat bitu berlaku terlalu pantas di mana paras air naik dalam tempoh setengah jam sahaja sehingga menenggelamkan permukaan jalan.

Menurutnya, hujan lebat sekitar jam 4.30 petang itu menyebabkan paras air naik di permukaan jalan sehingga menyukarkan kenderaan ringan seperti motosikal serta kereta melalui kawasan itu.

“Paras air naik terlalu cepat dan dalam kekalutan itu, terdapat kemalangan kecil berlaku membabitkan sebuah motosikal serta kereta.

“Kejadian itu turut memberi kesan kepada perniagaan saya apabila gerai jualan terpaksa ditutup lebih awal akibat dinaiki air banjir,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Seorang penduduk di Taman Permai, Roslan Abdullah, 50, berkata, ketika kejadian itu berlaku, orang ramai sedang berpusu-pusu keluar dari tempat kerja untuk pulang ke rumah.

Menurutnya, banjir itu menyebabkan orang ramai terkandas dalam perjalanan ke destinasi masing-masing dan mengambil sedikit masa sehingga air surut.

“Kejadian banjir seperti ini kerap berlaku. Antara punca dikenal pasti ialah masalah perparitan yang tidak dapat berfungsi dengan baik akibat disekat sampah sarap.

“Selain itu, sistem longkang yang kecil dan terhad juga menyebabkan berlaku banjir kilat itu. Saya berpendapat kira perkara ini akan berulang terutama menjelang musim tengkujuh,” katanya.

Roslan berkata, pihak berkaitan diharapkan dapat memainkan peranan dalam usaha menaik taraf sistem perparitan di kawasan itu untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Penduduk di kawasan ini semakin bertambah dan langkah menaik taraf terutama membabitkan sistem perparitan perlu disegerakan.

“Pihak berkaitan perlu menyelenggarakan dan mengutip sampah sarap di kawasan longkang itu untuk memudahkan laluan air sekiranya berlakunya hujan lebat,” katanya. -SH

[Bergambar] Seoul Akan Serang Pyongyang Jika Terus Diancam

Seoul serang Pyongyang jika terus diancam

SEOUL: Korea Selatan semalam menegaskan, ia akan melancarkan serangan udara dan mengebom Korea Utara jika negara itu cuba mengulangi serangan minggu lalu ketika Amerika memberi amaran bahawa Pyongyang mengancam Semenanjung Korea dan dunia sejagat.

Menteri Pertahanan baru Korea Selatan Kim Kwan-Jin, ketika bercakap pada mesyuarat parlimen berkata sebarang provokasi baru akan dibalas dengan serangan bom ke atas Korea Utara.

Kita akan melancarkan serangan bom ke atas Korea Utara, jika ia mengulangi serangannya, katanya ketika ditanya wartawan mengenai reaksi Seoul jika serangan berlaku lagi.

Korea Utara melepaskan tembakan meriam ke arah pulau Yeongpeong di Korea Selatan dalam serangan 23 November lalu, menyebabkan empat orang awam terbunuh.

Seoul dilaporkan tidak menggunakan kekuatan udaranya ke atas Pyongyang berikutan bimbang keadaan akan akan bertambah buruk.

Reaksi balas Seoul dikritik sebagai terlalu lembut menyebabkan menteri pertahanannya sebelum ini, Kim Tae-young meletak jawatan.

Kim berkata, Korea Selatan akan mempertahankan kedaulatannya dan menghukum penyerang sekeras-kerasnya, hingga sumber keganasan itu dihapuskan.

Beliau bagaimanapun menafikan kemungkinan melancarkan perang skala penuh ke atas Korea Utara, berikutan masalah dalaman negara itu dan kecekapan tentera Korea Selatan bersama sekutunya Amerika tidak memerlukan Seoul berbuat demikian.

Melalui gabungan kekuatan tentera Korea Selatan dan Amerika, kami memantau secara rapi sebarang isyarat provokasi Korea Utara. Tindakan kami mempertahankan diri dan mencegah sebarang provokasi adalah wajar.

Malah, jika kami memberi reaksi balas yang keras kepada Korea Utara, negara itu akan menghadapi kesukaran untuk melancarkan perang skala penuh, kata Kim merujuk kepada masalah ekonomi dan proses peralihan kuasa di Korea yang tidak menentu daripada pemimpin Kim Jong-Il kepada anak lelakinya Jong-Un. -Reuters







[Bergambar] Banjir Terburuk Dalam 100 Tahun Melanda Balkan

3 negara Balkan isytihar darurat

BERLIN: Suhu di bawah takat beku terus menimbulkan keadaan kelam-kabut di Eropah, manakala di beberapa negara Balkan, keadaan diburukkan lagi dengan banjir yang disifatkan paling dahsyat dalam tempoh 100 tahun menyebabkan darurat terpaksa diisytiharkan.

Pegawai berkata pihak berkuasa di tiga negara Balkan, Bosnia, Serbia dan Montenegro mengisytiharkan darurat bencana alam manakala beratus-ratus penduduk terpaksa dipindahkan selepas hujan lebat menyebabkan banjir besar di sepanjang Sungai Drina, yang paling buruk dalam tempoh 104 tahun.

Saya tidak lagi melihat sungai dari kediaman saya, tetapi sebuah tasik yang membanjiri kawasan tengah bandar, kata Muris Razanica yang memiliki sebuah hotel di kawasan bukit di Gorazde di Bosnia.

Kawasan ini terkenal dengan kegiatan berakit tetapi jika keadaan berterusan kapal besar boleh berlabuh di Gorazde. Sungguh sukar untuk mempercayainya, katanya.

Agensi pelancongan di Bosnia, menyerahkan rakit mereka kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap di sebuah pangsapuri di Foka, apabila paras air naik hingga ke tingkat satu.

Di seberang sungai, pihak berkuasa di Serbia dan Montenegro memindahkan beratus-ratus penduduk ketika Sungai Drina melimpah ke jalan raya dan ladang.
Sekolah terpaksa ditutup dan ramai penduduk terputus bekalan elektrik, manakala bekalan air ke semua tiga negara tercemar.
Di POLAND, jurucakap polis Mariusz Sokolowski berkata 10 orang lagi terbunuh menjadikan angka korban kini 18 orang ketika pihak berkuasa meneruskan kerja mencari dan menyelamatkan penduduk gelandangan daripada cuaca sejuk.

Bagaimanapun, lapangan terbang Gatwick di Britain, lapangan terbang kedua paling sibuk di negara itu dibuka semula semalam selepas ditutup tiga hari, tetapi seorang pegawainya berkata jadual penerbangan terjejas teruk.

Keadaan salji masih buruk, tetapi pekerja kami berjaya membersihkan salji di landasan. Hanya sejumlah kecil penerbangan dapat berlepas, katanya.

Kebanyakan lapangan terbang masih ditutup manakala penerbangan dibatal atau ditangguhkan, manakala jalan raya yang dilitupi salji menyebabkan hubungan terputus. AP









Kerajaan UMNO BN Akan Terus Disumpah Rakyat Sehingga Tumbang

BN zalimi rakyat marhaen

Kenaikan harga petrol RON95, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan gula adalah bukti jelas kerajaan BN zalim kepada rakyat marhaen.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus berkata, rakyat marhaen paling terkesan dengan kenaikan itu kerana mereka adalah majoriti pengguna petrol RON95.

Sambil menyifatkan kenaikan mengejut itu sebagai 'gila', beliau mengharapkan rakyat menolak Umno BN yang secara terang terangan tidak mengutamakan rakyat terbanyak.

"Harap pengguna RON95 mesti tolak BN.

"BN zalimi rakyat marhaen, tak peduli kesusahan rakyat," katanya yang juga Pengarah Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Pusat.

Beliau mengulas kenaikan petrol RON95, sebanyak 5 sen menjadikan RM1.90 seliter, diesel naik 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram.

Harga gula pula naik 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Kerajaan terus memberi alasan sama terhadap kenaikan itu dengan mendakwa ianya bagi menyelaraskan subsidi.

Semua harga baru itu berkuatkuasa pada jam 12.01 pagi esok.

Dua hari lalu, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter.

Kenaikan itu berikutan perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, ketidakprihatinan BN kepada nasib rakyat bukan lagi dongeng semata-mata.

Ianya terbukti, apabila rakyat terus dibebankan sedangkan Perdana Menteri semalam mengumumkan akan meneruskan cadangan membina Menara Warisan 100 tingkat yang tiada manfaat secara langsung kepada rakyat.

"Kalau betul ikhlas, batalkan sahaja niat nak buat menara 100 tingkat, guna duit tu tampung beban rakyat.

"Saya tengok rakyat hanya diguna untuk pilihan raya sahaja," katanya lagi.

Lebih malang, kenaikan itu berlaku diwaktu rakyat sedang terbeban dengan persiapan persekolahan sesi akan datang.

Kesan kenaikkan itu juga jelasnya, memberi alasan kepada peniaga barangan menaikkan harga barang mereka dan menyebabkan pengguna sekali lagi terbeban.

"Saya hairan, kenapa menteri tak umum di parlimen, sedangkan parlimen tempat bincang masalah rakyat," soalnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat turun beramai-ramai pada himpunan membantah kenaikan harga air oleh Syabas di Masjid Negara, Ahad ini.

Biarpun himpunan itu bagi membantah tindakan Syabas menaikkan tarif air Selangor, kesempatan itu juga jelasnya wajar diguna untuk menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga barangan keperluan tersebut.

Ulasan GB

Rakyat menentang kezaliman kerajaan UMNO BN. Sekalipun media arus perdana cuba berbelit menggunakan tajuk-tajuk yang menipu rakyat seperti:

Bernama : Subsidi Bahan Api Dan Gula Dikurangkan
Utusan : Subsidi bahan api, gula diselaras
Berita Harian : Harga RON95, LPG, gula pasir diselaras hari ini

Namun ia tidak dapat mengikis kebencian rakyat terhadap kerajaan UMNO BN. Ia tidak dapat mengubah persepsi rakyat bahawa UMNO BN kini mengikuti jejak langkah Yahudi Israel untuk terus berlaku kejam dan zalim. Menjenamakan "belacan" sebagai mentega laut dan "tahi" sebagai sisa buangan pepejal alami tidak dapat menghidarkan keperitan dan penderitaan rakyat.

Dan GB telah pun menyatakan di SINI, bahawa roda sentiasa berputar. UMNO BN akan terima padahnya sama seperti si yahudi bedebah itu. Kerana rakyat tidak ada cara dan senjata lain kecuali dengan "doa". Teori Fibonacci dan "Keseimbangan Alam" akan mengambil tempatnya. UMNO BN pasti tumbang satu hari, mungkin saja dalam waktu yang terdekat.



[Bergambar] 41 Mati Di Israel

41 maut hutan Israel terbakar

GERAM: Sebuah rangka bas yang hangus terbakar akibat kebakaran hutan dekat Kibbutz Beit Oren di utara Israel semalam.

HAIFA, Israel - Ribuan anggota bomba Israel dan penyelamat bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan dekat sini semalam yang setakat ini meragut 41 nyawa.

Kebakaran hutan itu yang bermula kelmarin adalah yang terbesar pernah berlaku dalam sejarah Israel.

Semasa angin kencang bertiup di bandar pelabuhan Haifa, anggota-anggota polis dan pegawai perubatan berkata, kumpulan penyelamat menemui mayat-mayat mangsa kebakaran.

"Terdapat ramai lagi orang yang hilang," kata seorang jurucakap polis, Micky Rosenfeld.

Menurutnya, seramai 17 orang yang cedera termasuk tiga yang serius dan seorang lagi kritikal.

Rosenfeld menyatakan 15,000 orang telah dipindahkan semasa api itu membakar lebih 4,000 hektar tanah sehingga ke selatan bandar pelabuhan Haifa.

Haifa merupakan bandar ketiga terbesar dengan penduduk berjumlah 265,000 orang.

Asap tebal kelihatan dari Hutan Carmel dan bergerak ke Haifa. Penduduk di Haifa diarahkan supaya menutup tingkap mereka.

Polis dan anggota penyelamat mengesahkan kebanyakan yang mati ialah pengawal penjara yang menaiki sebuah bas.

Mereka menaiki bas itu semasa memindahkan beberapa banduan ke sebuah penjara di dalam hutan.

"Bas itu cuba berpatah balik manakala beberapa orang lagi cuba melarikan diri tetapi mereka terperangkap oleh api di dua kawasan berasingan," kata Rosenfeld.

Menjelang awal semalam, lima buah pesawat Greece, sebuah pesawat Bulgaria dengan 100 anggota bomba, sebuah pesawat Cyprus dan helikopter serta sebuah lagi helikopter dari Britain dihantar ke Israel untuk membantu memadamkan kebakaran.

Anggota-anggota bomba dari negara jiran bertungkus-lumus memadamkan kebakaran manakala anggota-anggota bomba dari Palestin turut dipanggil untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Israel menyatakan ia telah dijanjikan oleh pemerintah Azerbaijan, Croatia, Mesir, Perancis, Jordan, Romania, Rusia, Sepanyol dan Turki untuk menghulurkan bantuan.

Pemerintah Amerika Syarikat (AS) dan Australia menyatakan ia mengarahkan anggota-anggota bomba berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk membantu Israel.

Beberapa pegawai menyatakan ia tidak pasti punca kebakaran besar itu.

Presiden AS, Barack Obama memberi ucapan takziah untuk mangsa-mangsa yang terbunuh dalam kebakaran itu.

Jurucakap jabatan bomba, Yoram Levy berkata, kebakaran itu dipercayai bermula di sebuah tempat pelupusan sampah di Kampung Druze. - Agensi












Ulasan GB

Roda kehidupan berputar. Tidak ada peluru, kereta kebal, senapang atau apa juga peralatan perang untuk membalas kekejaman rejim Yahudi ke atas rakyat Palestin. Tetapi keseimbangan alam menetapkan yang zalim pasti menerima balasannya, tanpa mengira bagaimana keadaannya. Itu adalah sunnatullah. Dan sunnatullah tidak berubah sepanjang zaman.

[Bergambar] Bekas Permaisuri Agong Saman Uncle Seekers & Bapanya

Halang dedah maklumat sulit

KUALA LUMPUR: Bekas Raja Permaisuri Agong, Siti Aishah Abdul Rahman kelmarin memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang, terhadap Syed Abdullah Hussein Al-Attas atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers selepas mendakwa lelaki itu mendedahkan maklumat sulit beliau.

Dalam saman itu, Siti Aishah menamakan Syed Abdullah Hussein sebagai defendan pertama dan bapa pengamal perubatan tradisional berkenaan, iaitu Syed Hussein Al-Attas sebagai defendan kedua.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan Gunaselan & Associates di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Akhtar Tahir.

Kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 22 Disember ini.

Siti Aishah memohon perintah injunksi bagi melarang Syed Abdullah dan bapanya tidak mendedahkan sama ada secara lisan, blog, akhbar atau wakil berhubung sebarang maklumatnya.

Siti Aishah juga memohon perintah untuk melarang kedua-dua defendan menerbitkan buku, majalah, risalah atau terbitan melalui blog atau laman web mengenai plaintif.

Berdasarkan penyata tuntutan, Siti Aishah mendakwa pada Jun lalu, beliau ada meminta bantuan Syed Abdullah untuk membantunya menangani masalah emosi yang dihadapi selepas lelaki itu memberitahu boleh mengubati dan menjalankan kaunseling.

Selepas membuat persetujuan, plaintif bersetuju menjalani rawatan itu dengan bayaran RM15,000. Bagaimanapun, Siti Aishah menamatkan rawatannya selepas berlaku perselisihan faham dengan defendan pertama. -hm

Berita sebelum ini


[Bergambar] Mamat Hantu Aibkan Bekas Permaisuri Agong?

Gambar bekas Permaisuri Agong tersebar di blog

SHAH ALAM –: Kecoh apabila tersebar gambar kontroversi membabitkan bekas Permaisuri Agong, Cik Puan Besar Selangor Siti Aishah Datuk Seri Abdul Rahman dengan bekas penerbit rancangan Seekers, Syed Abdullah Syed Hussein Al Attas di sebuah laman blog.

Blog milik Syed Abdullah atau lebih dikenali Uncle Seekers memaparkan gambar-gambar yang didakwa mesra dan rentetan peristiwa ‘percintaan’ di antara mereka.

Uncle ketika dihubungi berkata, awal perkenalannya bermula sejak Januari lalu apabila Aishah dan keluarga mengunjungi rumah keluarganya di Janda Baik, Pahang.

“Ya, saya akui memang pernah bercinta dengan dia (Aishah) selama dua bulan iaitu pada bulan Mei dan Jun lalu.

“Namun, ia bukanlah cinta sebenar dan kerana itu dipanggil ‘cinta syyhh’ yang mempunyai maksud tersendiri,” katanya.

Menurutnya, hubungan berkenaan hanya diketahui ibu Aishah, Datin Seri Shamshina A Rahman, ahli kumpulan Seekers dan dirinya sahaja.

“Blog itu adalah milik saya yang dianggap seperti rumah untuk berbuat apa sahaja tanpa disekat oleh mana-mana pihak.

“Semua gambar itu adalah daripada kamera Aishah sendiri yang sering dibawa ke mana sahaja sebagai peneman kerana dirinya akan dikurung oleh bapanya apabila pulang ke rumah.

Beliau berharap dengan tersebarnya gambar berkenaan Aishah dapat berkahwin dengan lelaki yang disukai tanpa disekat pihak tertentu.

“Pada bulan Jun lalu, saya menerima kiriman pesanan ringkas dan panggilan berbaur ugutan daripada bapanya supaya tidak mengganggu anaknya lagi.

“Kemudian saya memberitahunya supaya tidak lagi berhubung dan sejak daripada itu kami tidak lagi menghubungi antara satu sama lain,” katanya. -SH






Menakjubkan: Bahtera Nabi Nuh a.s. Telah Ditemui

Umat Nabi Nuh a.s. yang ditenggelamkan oleh Allah SWT karena kedurhakaannya seperti dikisahkan dalam Al-Qur’an, sudah menemukan pembuktian kebenarannya secara ilmiah.

Sejak tahun 1949, sudah ditemukan lokasinya dan kemudian dilakukan penggalian oleh penelitian sekumpulan ahli antropologi yang dipimpin oleh Prof. Ron Wyatt di Turki sejak tahun 1977.

Berikut ini adalah sebahagian foto-fotonya.

1. Awal Penemuan


Pemotretan awal oleh Angkatan Udara AS di 14,000 kaki (sekitar 4.600 meter)


Kemudian, awal tahun 1960, berita dalam Life Magazine: Pesawat Tentara Nasional Turki menangkap sebuah benda mirip perahu di puncak gunung Ararat yang panjangnya 500 kaki (150 meter) yang diduga perahu Nabi Nuh AS (The Noah’s Ark)




2. Foto-foto tahun 1999-2000


Seri pemotretan oleh Penerbangan AS IKONOS tahun 1999-2000 tentang dugaan adanya perahu di Gunung Ararat yang tertutup salju.





3. Peta Lokasi Perahu Nabi Nuh





4. Tanah berbentuk Perahu Nabi Nuh di atas Gunung Arafat.




5. Tapak Perahu Nabi Nuh sebelum dibersihkan



picture2.jpg



6. Pengukuran di Atas Perahu








7. Struktur Perahu menurut para arkeologi yang menemukannya


picture3.jpg




8. Bentuk Perahu Nabi Nuh AS




The Real Noah’s Ark! Top Points to Consider


10 Hal Penting untuk Diketahui tentang Perahu Nabi Nuh:!!


  1. It is in the shape of a boat, with a pointed bow and rounded stern. Bentuknya adalah perahu dengan deknya berbentuk bundar/melingkar.

  2. Exact length as noted in biblical description, 515 feet or 300 Egyptian cubits. (Egyptian not Hebrew cubit would have been known to Moses who studied in Egypt then wrote Genesis.) Panjangnya seperti dinyatakan Bible adalah 515 kaki atau 300 cubit Mesir [± 160 meter.

  3. It rests on a mountain in Eastern Turkey, matching the biblical account, “The ark rested . . . upon the mountains of Ararat” Genesis 8:4. (Ararat being the name of the ancient country Urartu which covered this region.) Perahu ini terdampar di Timur Turki, selaras dengan pernyataan Bible, “Perahu itu terdampar … di atas pegunungan Ararat” (Genesis 8:4). (Ararat adalah sebutan untuk negara kuno Urartu yang meliputi wilayah ini.

  4. Contains petrified wood, as proven by lab analysis. Dari pengujian makmal, perahu itu adalah kayu yang sudah membatu.

  5. Contains high-tech metal alloy fittings, as proven by separate lab analyses paid for by Ron Wyatt, then performed later by Kevin Fisher of this web site. Aluminum metal and titanium metal was found in the fittings which are MAN-MADE metals! Dari beberapa pengujian berasingan, bahannya mengandung metal yang sangat kuat dan berteknologi tinggi. Metal alumunium dan titanium ditemukan menyatu yang dibuat tangan manusia.

  6. Vertical rib timbers on its sides, comprising the skeletal superstructure of a boat. Regular patterns of horizontal and vertical deck support beams are also seen on the deck of the ark. Bingkai timah vertikal pada sisi-sisinya menunjukkan kerangka struktur perahu yang canggih. Pola-pola yang sama pada dek melintang dan menegak yang memperkuat balok-balok tiang juga terlihat di atas dek perahu.

  7. Occupied ancient village at the ark site at 6,500 ft. elevation matching Flavius Josephus’ statement “Its remains are shown there by the inhabitants to this day.” Lokasi perahu itu menutupi sebuah desa kuno di ketinggian 6.500 kaki (2275 meter.

  8. Dr. Bill Shea, archaeologist found an ancient pottery sherd within 20 yards of the ark which has a carving on it that depicts a bird, a fish, and a man with a hammer wearing a headdress that has the name “Noah” on it. In ancient times these items were created by the locals in the village to sell to visitors of the ark. The ark was a tourist attraction in ancient times and today. Dr. Bill Shea, seorang antropologi, menemukan pecahan-pecahan tembikar sekitar 18 meter dari perahu yang memiliki ukiran2 burung, ikan, dan orang memegang palu dengan memakai hiasan kepala yang bertuliskan “Nuh.” Pada zaman kuno, barang-barang tersebut dibuat oleh penduduk lokal di desa itu untuk dijual kepada para pengunjung perahu. Sejak zaman kuno hingga sekarang, perahu tersebut telah menjadi lokasi pelancongan.

  9. Recognized by Turkish Government as Noah’s Ark National Park and a National Treasure. Official notice of its discovery appeared in the largest Turkish newspaper in 1987. Sekarang ini lokasi itu dijadikan Taman Nasional Perahu Nabi Nuh dan Warisan Nasional. Pejabat setempat menyebutkan berita liputan penemuan perahu tersebut muncul dalam akhbar terbesar Turki pada tahun 1987.

  10. Visitors’ center built by the government to accommodate tourists further confirms the importance of the site. Gedung Pusat Turis dibangun oleh Pemerintah untuk mengakomodasi para pelancong agar mengetahui pentingnya lokasi tersebut.

  11. 11. Huge anchor stones were found near the ark and in the village Kazan, 15 miles away, which hung off the rear of the ark to steady its ride. Jangkar batu besar ditemukan dekat perahu di Desa Kazan, berjarak 15 mile (24 meter) yang menggantung di bagian belakang perahu untuk mengokohkan tumpangan.

  12. 12. The ark rests upon Cesnakidag (or Cudi Dagi) Mountain, which is translated as “Doomsday” Mountain. Perahu terletak di atas Gunung Cesnakidag yang diartikan sebagai “Gunung Kiamat.”

  13. Dr. Salih Bayraktutan of Ataturk University stated, “It is a man made structure, and for sure it’s Noah’s Ark” Common Sense. This same article also states “The site is immediately below the mountain of Al Judi, named in the Qur’an as the resting place of the Ark.” Houd Sura 11:44. Dr. Salih Bayraktutan dari Universiti Ataturk menyatakan “ Perahu ini adalah struktur yang dibuat manusia dan kerananya yakin ini adalah Perahu Nabi Nuh.” Artikel itu juga menyatakan, “Lokasinya di Gunung Judi yang disebut dalam Al-Qur’an sebagai tempat pendaratan bahtera.” Surat Hud ayat 44.

  14. Radar scans show a regular pattern of timbers inside the ark formation, revealing keels, keelsons, gunnels, bulkheads, animal chambers, ramp system, door in right front, two large barrels in the front 14′ x 24′, and an open center area for air flow to all three levels. Imbas radar menunjukkan pola timah yang tetap di dalam betuk sebuah perahu, ada balok-balok kayu besar di dasar perahu, dinding pemisah, kandang-kandang binatang, sistem lorong-lorong jalan dalam perahu, pintu bahagian hadapan, dua tong besar berukuran 14’x24’, dan sebuah pusat area terbuka untuk ruang udara di tiga tingkat ruangan dalam perahu.



SEMOGA BERMANFAAT DAN MENAMBAH KEYAKINAN KITA AKAN KEBENARAN ADANYA NABI-NABI UTUSAN ALLAH SWT. -moeflich/GB