23 Ogo 2011

Tiga Beradik Mati Lemas Dipercayai Ditolak Bapa

Kluang, 23 Ogos — Tiga kanak-kanak meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas ditolak ke dalam sebuah kolam takungan air oleh bapa mereka dalam kejadian di Ladang Lambak-Elaeis, Jalan Mengkibol di sini malam tadi.

Gambar: Seorang saudara terdekat mangsa menunjukkan kolam takungan air di mana tiga kanak-kanak ditemui mati lemas dipercayai ditolak oleh bapa kandungnya di Ladang Lambak/Elaeis, Jalan Mengkibol malam tadi ketika tinjauan fotoBERNAMA di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Fawzi Arshad berkata dua kanak-kanak perempuan berumur tiga dan lima tahun serta adik lelaki mereka, berusia dua tahun, dipercayai ditolak ke dalam kolam kira-kira 500 meter dari rumah mereka pada 7.30 malam.

“Ketiga-tiga beradik itu dipercayai dibawa ke kolam berkenaan oleh bapa mereka yang berumur 29 tahun dengan alasan untuk memancing ikan sebelum ditolak dan mati lemas,” katanya dipetik Bernama Online.

Mohd Fawzi berkata pusat kawalan IPD Kluang menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada 10.20 malam sebelum meminta bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang bagi melakukan gerakan mencari dan menyelamat mangsa.

Beliau berkata mayat kesemua kanak-kanak yang lengkap berpakaian itu ditemui kira-kira satu setengah jam kemudian.

Katanya polis kemudian berjaya menahan bapa kanak-kanak terbabit di rumahnya malam tadi, yang merupakan pemandu traktor di ladang berkenaan yang cuba membunuh diri dengan meminum racun.

Lelaki itu katanya turut berada di bawah pengaruh alkohol dan kini ditempatkan di Hospital Kluang untuk rawatan.

“Polis sedang menyiasat motif kejadian mengapa lelaki itu sanggup menolak anaknya ke dalam kolam yang menjurus kematian. Bedah siasat terhadap tiga kanak-kanak terbabit akan dilakukan hari ini untuk mengetahui punca kematian sebenar,” katanya.

Menurut Mohd Fawzi polis sudah merekodkan keterangan ibu kanak-kanak itu yang berumur 23 tahun bagi membantu siasatan dan polis sedang mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan reman suaminya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pakar Sahkan Tiada Kecederaan Pada Dubur Saiful. Ada Bahan Plastik Dimasukkan.

Bekas doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohamed Osman Abd Hamid (gambar) hari ini mengesahkan bahawa tiada kecederaan pada dubur pengadu Saiful Bukhari Azlan ketika beliau hadir ke hospital itu pada 28 Jun 2008.

Osman yang mengambil tempat di kandang saksi sesi pembelaan memberitahu mahkamah bahawa sewaktu memeriksa Saiful, beliau mendapati keadaan dubur adalah normal tanpa sebarang kecederaan.

Namun katanya Saiful bertegas menyatakan bahawa beliau diliwat.

"Dia (Saiful) terus bercakap kepada saya dan katanya melibatkan VIP dan dia berada berasa takut," kata Osman di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah.

Justeru Osman berkata pihaknya mencadangkan supaya Saiful merujuk kepada hospital kerajaan dan membuat laporan polis.

Osman walau bagaimanapun berkata beliau memasukkan protoskop ke dalam dubur Saiful untuk memeriksa kecederaan.

Timbalan Pendakwaraya Datuk Yusof Zainal Abiden mengambil giliran menyoalbalas Osman dengan bertanyakan adakah sodomi berlaku sekiranya plastik dimasukkan ke dalam dubur, Osman berkata tidak.

Terdahulu Dr Osman ada memberitahu, Saiful telah mengadu kepadanya bahawa beliau merasa sakit di dalam lubang duburnya selama beberapa hari dan kelihatannya seperti ada bahan "plastik" dimasukkan.


Oleh itu, Yusof mendakwa Osman tidak bertanyakan soalan spesifik kepada Saiful tentang kejadian diliwat memandangkan beliau tidak berpengalaman tentang hal tersebut.

"Saya tanya sekiranya dia buasir, pendarahan dubur. Tapi saya tidak tanya apa telah terjadi," ujar beliau.

Kini giliran pakar forensik dan ahli patologi, Dr David Wells disoalbalas oleh peguambela Sankara Nair.

David berkata sepanjang kariernya beliau telah mengendalikan banyak kes tentang serangan seksual, penderaan kanak-kanak dan sebagainya.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini akan mendengar keterangan daripada Osman dan dua pakar patologi forensik, Dr David Wells dan pakar DNA Dr Brian McDonald.

Perbicaraan kes fitnah liwat dua ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memasuki hari kedua, akan menyaksikan ketiga-tiga mereka memberikan keterangan masing-masing.

Mereka sebelum ini telah bersama-sama pihak pembelaan sejak awal perbicaraan dan telah mendengar keterangan daripada pihak polis, doktor Hospital Kuala Lumpur dan ahli kimia.

Anwar semalam yang memilih untuk untuk membaca satu kenyataan dalam kandang tertuduh, mungkin juga terpaksa berhadapan pemeriksaan balas.

Lazimnya, keterangan dari kandang tertuduh oleh seseorang tertuduh tidak boleh diperiksa balas.

Walau bagaimanapun, Yusof memberitahu mahkamah, bahawa beliau "teringin sangat untuk memeriksa balas Anwar".

"Saya perlu mengkaji kes-kes yang lalu kerana saya teringin sangat untuk memeriksa balas Anwar, yang dalam pembelaannya semata-mata memberi kenyataan politik," kata Yusof.

Anwar, dalam kenyataan sepanjang 32 halaman semalam menafikan bahawa beliau mempunyai hubungan seks dengan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1 Kondominimum Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.




'Saiful beritahu plastik dimasukkan ke duburnya'

Saksi pembelaan kedua, bekas doktor di Hospital Pusrawi Dr Mohamad Osman Abdul Hamid dalam keterangannya berkata Mohd Saiful Bukhari Azlan, pegandu dalam kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahunya bahawa objek plastik dimasukkan ke dalam duburnya seperti dinyatakan dalam laporan perubatannya.

Apabila diasak oleh ketua pendakwaan Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Dr Osman bersetuju bahawa Saiful mendakwa beliau diliwat oleh seorang VIP tetapi juga mempertahankan kenyataannya bahawa bekas pembantu Anwar itu juga mengakui objek plastik dimasukkan ke duburnya.

Beliau merupakan doktor pertama ditemui Saiful pada 28 jun 2008.

Saksi yang berasal dari Myanmar dan mendapat pendidikan perubatannya dari Universiti Yangon berulang-kali menafikan cadangan oleh Peguam Cara Negara II itu bahawa beliau tidak menulis plastik dimasukkan ke dubur selepas pemeriksaan dijalankan.

Jelasnya, Saiful datang ke Pusrawi pada 28 Jun, 2008 dan mengadu kesakitan di duburnya.

Selepas menjalankan pemeriksaan, beliau dapati tiada kesan koyakan atau berdarah di kawasan berkenaan dan ketika itu Saiful memberitahu dia diliwat dengan objek plastik dimasukkan ke duburnya.

"Saya ada catatkan ini selepas Saiful beritahu saya selepas pemeriksaan dijalankan dan ada masukkan sebuah protoskop," katanya.

Menjawap soalan Yusof, Osman berkata memasukkan plastik bukan meliwat. Beliau juga menafikan bahawa nota perubatan itu ditambah kemudiannya.

Yusof: Nota (mengenai objek plastik berkenaan) dicatatkan kemudian?

Osman: Nota ditambah selepas pasca pemeriksaan.

Yusof: Saya andaikan dia tidak kata sebarang plastik.

Osman: Dia (Saiful) ada beritahu saya.

Karpal, dalam pemeriksaan balas, kemudian bertanya sama ada nota dicatakan pada hari selepasnya. Osman bagaimanapun menafikannya dan berkata ia dicatatkan pada hari yang sama. -mk









Rakyat Menderita Disebabkan Kegagalan BN Urus Ekonomi Negara

Faktor kenaikan harga barang kawalan sejak muktahir ini didakwa berpunca dari kegagalan pengurusan ekonomi dan kewangan negara oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi Kelab Protes Harga Barang Naik (Protes BN) Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata demikina bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yaacob semalam bahawa Kerajaan tidak berkuasa dalam menentukan harga barang.

"Kita melihat bahawa kalaupun ada barangan tertentu harga naik di pasaraan dunia, kalau Kerajaan bijak dalam pengurusan ekonomi dan kewangan, boleh beri pengapungan subsidi.

"Tapi kerajaan selalu beri alasan, contohnya harga minyak (petrol). Bila harga pasaran dunia naik, Kerajaan kata terpaksa naikkan sebab tak mampu tampung subsidi berlebihan, bila harga turun, kerajaan berhujah kita harus stabilkan harga," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Nor Mohamed dalam laporan portal 'The Malaysian Insider' semalam, berkata kerajaan sentiasa berusaha mengawal kenaikan harga dengan pelbagai formula dan strategi dalam usaha memastikan keharmonian hidup rakyat serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun Mahfuz menganggap formula dan strategi kerajaan itu dilihat seolah terus menekan rakyat biasa dan menguntungkan orang tertentu.

Beliau mengulas mengenai pembentangan Makmal Rasionalisasi Subsidi tahun lalu yang menyatakan Kerajaan memperuntukkan RM74 bilion sebagai subsidi setahun merangkumi bahagian sosial (RM42.4 bilion), bahan api dan tenaga (RM23.5 bilion), prasarana (RM4.8 bilion) dan makanan (RM3.4 bilion).

"Bagi saya RM 42 Billion untuk sosial seperti pendidikan dan kesihaatan itu adalah tanggungjawab, begitu juga untuk infrastruktur.

"Sekarang Kerajaan gabungkan tanggungjawab itu sebagai subsidi. Saya rasa pelik. Sedangkan untuk bahan api dan tenaga syarikat IPP dapat untung. Rakyat kena tanggung kenaikan tarif. Dan inilah penyebab kos hidup meningkat," tegas beliau.

Tambah Mahfuz, jika ditolak bahagian sosial dan infrastruktur tersebut, Kerajaan hanya menanggung kira-kira RM 26 Billion dalam menanggung subsidi rakyat, lebih rendah dari laporan bahawa ketirisan dan pembaziran negara sebanyak RM 28 Billion setahun.



Pencarian Keberkatan Lailatul-Qadar Bermula. Ratusan Ribu Umat Islam Banjiri Masjidilharam

Ratusan ribu jemaah dari seluruh pelusuk dunia mula membanjiri Masjidilharam untuk mengerjakan ibadah umrah, menunaikan solat Tarawih dan qiamullail bagi mencari keberkatan malam Lailatulqadar.

Gambar: BEREBUT PAHALA: Ratusan ribu jemaah melakukan tawaf di Masjidil Haram, Makkah, pada Sabtu lalu. Ditaksirkan hampir tiga juta umat Islam mengerjakan solat qiamullail secara berjemaah di masjid tersebut dan Masjid Nabawi di Madinah. -- Foto AP

Jabatan Pertahanan Awam di Makkah memberikan akhbar Arabnews peluang yang sangat jarang untuk merakamkan gambar Masjidilharam pada malam 21 Ramadan yang jatuh pada Sabtu melalui helikopter jabatan itu dengan inisiatif Panglima Tentera Udara, Mejar Jeneral Muhammad al Harbi.

Helikopter Midel S92 yang tiba dari Jeddah dipandu juruterbang, Kapten Abdul Aziz Al-Dhufyan dan Leftenan Pertama Ziyad Al-Otaibi.

Jurugambar akhbar itu berjaya merakamkan imej keseluruhan Makkah dari pelbagai sudut termasuk Menara Wakaf Raja Abdul Aziz.

Helikopter juga melintasi kawasan Misfala, Kuday, Ajyad, Hafair, Hajoun dan Aziziya, kawasan yang sesak dengan kenderaan membawa jemaah dan orang ramai yang mahu beribadah.

Juruterbang membantu memaklumkan kepada kakitangan lapangan Jabatan Pertahanan Awam yang kesesakan berlaku di banyak tempat di bandar itu.

Kegunaan helikopter itu adalah untuk mencari, menyelamat, memadamkan kebakaran dan mengangkut pesakit. Ia boleh membawa 22 penumpang.

Sebaik saja Ramadan menghampiri fasa terakhir masjid di seluruh Arab Saudi mula menganjurkan ibadat qiamullail termasuk solat malam.

“Solat istimewa ini dilaksanakan pada malam 10 hari terakhir Ramadan mulai jam 1 pagi,” kata imam di Masjid Sheebani di daerah Nasseriyah, Riyadh.

Tempoh 10 malam terakhir Ramadan lebih penting kerana al-Quran kali pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW pada malam Lailatulqadar. Justeru, amalan baik umat Islam akan diberi ganjaran besar, kata imam itu.

Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf dan Dakwah mengeluarkan arahan supaya semua masjid dibuka untuk jemaah sepanjang malam pada malam 10 Ramadan terakhir.

Imam berkata masjid dibuka kepada orang ramai pada waktu malam untuk mereka membaca al-Quran dan melaksanakan solat sunat. – Agensi

[Gambar] 4 Lelaki Russia Didapati Bersalah RAKAM & ROGOL Pelajar MALAYSIA

Empat pemuda Rusia daripada keluarga kaya menggunakan iPhone untuk merakam aksi mereka merogol seorang pelajar kolej swasta eksklusif berusia 18 tahun di selatan London.

Keempat-empat pemuda Rusia yang baru berada di Britain selama dua minggu itu telah melakukan serangan seksual kepada pelajar Malaysia selama dua jam dan setengah. Pelajar Malaysia itu menuntut di sebuah kolej esklusif yang mengenakan bayaran £30,000 setahun.

Kesemua tertuduh berusia antara 19 dan 23 tahun, memberikan komentar menjijikkan - malah merakamkan pengakuan tentang rancangan untuk melakukan serangan seksual itu sehari sebelum kejadian.

Oleg Ivanov, 23, Norayr Davtyan, 22, Armen Simonyan, 19, dan Gregory Melnikov, 23, menafikan tuduhan yang dikenakan terhadap mereka, namun juri di Mahkamah Woolwich Crown sebulat suara mendapati mereka bersalah.

Davtyan menyifatkan gadis itu sebagai 'mesin' dan di dalam kotak saksi memanggilnya sebagai 'sl **'. Mahkamah diberitahu bahawa Ivanov berasa 'kasihan' terhadap mangsa, apabila melihat dia menangis tetapi dipujuk oleh rakannya Davtyan.

Pendakwa Peter Clement, berkata: "Ahli geng ini melihat aksi antara satu dengan yang lain, memberikan kata-kata semangat antara satu dengan yang lain, dan melontarkan kata-kata komentar tentang perkara yang telah dan akan mereka lakukan terhadap mangsa."

Menurut keterangan mahkamah, pelajar Malaysia itu menghadiri sebuah parti dan meneguk segelas wiski sebelum ke disko.Walaupun tidak ada bukti kukuh yang menyatakan bahawa minumannya itu diletakkan bahan tertentu namun pelajar itu dilaporkan mabuk sebelum kembali kepada parti, muntah-muntah lalu tertidur.

Pada keesokan paginya, mangsa bangun yang menyedari seorang lelaki sedang melakukan seks dengan dirinya. Dia tidak dapat bergerak.

Mangsa memberitahu polis: "Saya hanya mahu dia berhenti, saya tidak dapat bangun, saya tidak dapat berdiri, saya berasa benar-benar, benar-benar, benar-benar letih, saya tidak dapat berbuat apa-apa saya tidak boleh menggerakkan tangan saya .. .

"Saya hanya mahu menutup mata saya, saya hanya ingin mati, saya tidak rela akan perlakuan mereka."

Davtyan telah disabitkan atas dua tuduhan rogol, Melnikov disabitkan dengan satu tuduhan rogol dan cubaan rogol manakala Ivanov dan Simonyan kedua-duanya disabitkan atas satu tuduhan rogol.

Mereka masih ditahan sehingga mahkamah menjatuhkan hukuman esok. - dailymail/DCM

Oleg Ivanov, 23Norayr Davtyan, 22
Armen Simonyan, 19Gregory Melnikov, 23


Berita sebelum ini
Klik untuk baca berita sepenuhnya


pelajar di rogol

Benar. Kompas Minta Maaf Tetapi Tak Nafikan Atau Menarik Balik Berita Yang Tersiar

Muslihat di sebalik permohonan maaf Kompas

Ahad lalu, harian terkenal Indonesia Kompas memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung laporan yang diterbitkan mengenai dirinya dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Namun, permohonan maaf itu didapati hanya diselitkan dalam satu wawancara dengan Najib. Malaysiakini juga difahamkan bahawa ia juga dilakukan pada saat-saat terakhir oleh pengurusan tertinggi Kompas.

Artikel pedas, yang menjadi kontroversi itu bertajuk 'Istri PM Najib dan Cincin 24 Juta Dollar'. Ia disiarkan pada isu Kompas 4 Ogos lalu tetapi dengan mudahnya boleh dilayari di versi Internet di Malaysia.

Nooryana Najwa Najib and Daniyar NazarbayevAntara lain, artikel itu mengaitkan Rosmah dengan pembelian kontroversi sebentuk cincin bernilai RM24 juta, dan mendakwa bakal besan Rosmah, Maira Nazarbayev, mempunyai hubungan dengan "mafia Rusia".

Maira Nazarbayev dari Kazakhstan adalah ibu kepada Daniyar Nazarbayev yang telah bertunang dengan Nooryana Najwa, anak gadis Najib dan Rosmah.

Kompas juga dalam laporannya itu menyifatkan Rosmah sebagai menjalani "kehidupan yang penuh kontroversi", dan mengaitkannya dengan Perimekar, syarikat yang dikatakan telah menerima komisen jutaan ringgit berikutan penjualan kapal selam Scorpene.

Menurut penulis, perjanjian yang mencurigakan itu antara faktor yang membawa kepada pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.

Menyedari artikel berkenaan mampu memberi kesan dan menjejaskan reputasi Najib, dua penasihat perhubungan awam tidak rasmi Najib - seorang daripada mereka dikaitkan dengan konglomerat Indonesia - bertindak segera mententeramkan keadaan - dengan meminta Kompas memohon maaf.

Menurut sumber Malaysiakini, permohonan maaf yang dituntut oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada mulanya ditolak oleh editor Kompas yang bertegas mempertahankan artikel mereka, khususnya berhubung dakwaan kegiatan kongsi gelap Maira, yang juga boleh dilayari secara meluas di Internet.

Dua penasihat itu kemudiannya mengancam mengugut Kompas dengan tindakan undang-undang, tetapi ini juga gagal untuk menundukkan akhbar Indonesia yang berpengaruh itu.

Kompas, bagaimanapun bersetuju membuka ruang kepada Najib untuk menjawap dan menangkis segala tuduhan dengan menghantar editor antarabangsa, Jimmy Harianto bagi menemubual Najib di Putrajaya pada Khamis lalu.


Bagiamanapun pada Ahad lalu, agensi berita nasional Bernama mengesahkan bahawa Kompas telah meminta maaf kepada Najib.

Setakat ini, mengapa Kompas membuat pusingan U pada saat-saat terakhir belum jelas tetapi menurut sumber, keputusan berkenaan telah dibuat dalam keadaan "situasi luar biasa".

Namun, akhbar itu jelas tidak membuat permohonan maaf secara penuh - ia boleh diibaratkan sebagai 'permohonan maaf separuh'.

Malah, permohonan maaf itu diselitkan pada perenggan 10 di halaman 10 akhbar itu dalam laporan yang bertajuk 'PM Najib Razak: Demokrasi Juga Terjadi di Malaysia'.

Artikel wawancara dengan Najib itu memetik perdana menteri Malaysia itu menafikan dakwaan dalam artikel Kompas sebelum ini dan diikuti dengan permohonan maaf satu ayat yang berbunyi: “Atas pemberitaan tersebut, Pemimpin Redaksi Kompas Rikard Bagun, Sabtu (20 Ogos) di Jakarta, secara khusus menyatakan permintaan maafnya kepada Ketua Kerajaan dan Keluarga."

Selain menerbitkan penafian Najib, akhbar itu juga tidak menyatakan bahawa dakwaan dalam artikelnya itu adalah tidak benar. Malah Kompas juga tidak menarik semula balik artikel, yang didakwa menghina Najib dan isterinya itu.

Namun, di Malaysia, media arus perdana mencanang-canangkan permohonan maaf itu dan menyiarkannya di halaman utama mereka. -mk

Ulasan GB

Sebenarnya, semasa berita permohonan maaf itu disiarkan, GB terhidu ada semacam bau hancing terbit dari berita itu.

Hancingnya sama seperti hancing di hari ADUN-ADUN Perak melompat dulu dan diikuti dengan beberapa MP & ADUN lain selepasnya.

Begitu juga sewaktu sebuah akhbar Indon memaparkan kisah "Robengah" menafikan beliau dirogol oleh seorang menteri dari Malaysia semasa beliau menjadi amah di kediaman menteri tersebut.

Hancingnya itu datang dari longgokan fulus....

Mari kita amalkan doa ini..


اللهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقّاً وَارْزُقْنَا التِبَاعَةَ
وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَااجْتِنَابَهُ


1) Allahumma arinaal haqqa haqqaan, warzuqnattiba’ah,
wa arinaal bathila bathilaan, warzuqnajtinaabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.


رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ
وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَاناً نَّصِيراً
وَقُلْ جَاء الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقاً


2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathil innal bathila kaana zahuuqa

Ya Allah, masukkanlah kami dengan cara yang benar dan keluarkanlah(pula) kami dengan cara yang benar dan berikanlah kepada kami dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Kebenaran tetap akan menang mengalahkan kebatilan.

Sudah banyak juga kebenaran terdedah hasil dari pengamalan doa ini. Teruskan berdoa. Jangan bagi peluang untuk kebatilan itu berkuasa.

Inilah Pemuda Yang Masih Hidup Setelah Ditikam 8 Kali, Polis Buru 2 Lelaki

Polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian menikam seorang lelaki sebanyak lapan kali sebelum membuang mangsa di dalam hutan berhampiran Jalan Bukit Putus Kuala Pilah dekat sini.

Gambar: ARMAN masih dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban semalam.

Jurucakap polis berkata, identiti kedua-dua lelaki itu sudah dikenal pasti dan pihaknya sedang giat memburu suspek.

“Hasil siasatan awal kita mendapati kedua-dua suspek bekerja bersama mangsa di Ladang Gaddes, Jempol dekat sini.

“Kejadian pada petang Khamis lalu itu dipercayai akibat salah faham berkaitan kerja antara kedua-dua suspek dengan mangsa,” katanya di sini semalam.

Katanya, berdasar keterangan mangsa, dia diserang oleh kedua-dua lelaki terbabit di ladang itu sebelum dia dibuang di dalam hutan berhampiran jalan Bukit Putus Kuala Pilah.

Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki, Arman Shah, 29, masih bernyawa walaupun ditikam sebanyak lapan kali di badannya sebelum dicampak di dalam hutan.

Lebih mengejutkan lagi apabila lelaki terbabit yang tersedar daripada pengsan pada pagi Jumaat lalu masih berupaya berjalan sejauh beberapa kilometer sebelum diselamatkan oleh orang ramai di Jalan Seremban-Kuala Pilah, kelmarin.

Difahamkan penyerang lelaki itu kemungkinan beranggapan mangsa sudah meninggal dunia dan bertindak membuang ‘mayatnya’ di dalam hutan berkenaan untuk melupuskan bukti.

Lelaki itu yang ditikam empat kali di bahagian depan dan belakang badan dipercayai masih hidup kerana tikaman berkenaan tidak mengenai organ penting mangsa.

Sementara itu, usaha Kosmo! untuk menemu bual Arman tidak berjaya kerana dia masih lemah selepas menjalani pembedahan untuk menjahit luka tikaman pada badannya kelmarin. -kosmo

BERITA SEMALAM
Klik imej untuk membaca berita penuh




Tumbangnya Regim Gaddafi Di Libya, Najib Perlu Buka Mata Seluas-luasnya

Trippoli, Libya - Pemberontak dan penduduk Libya meraikan kejayaan mereka di Dataran Hijau di sini semalam selepas mereka menawan kebanyakan kawasan di ibu kota negara berkenaan.

SEJUMLAH penduduk berhimpun di Benghazi, Libya semalam untuk meraikan kejayaan para pemberontak memasuki bandar Tripoli.

Pertahanan Gaddafi hancur manakala pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun juga berakhir, namun di mana pemimpin Libya itu kini bersembunyi masih tidak dapat dipastikan.

Pergolakan di Libya bermula pada Februari lalu apabila sejumlah penduduk berhimpun di Benghazi dan Al Baida pada Februari lalu bagi menuntut kebebasan hak asasi manusia sebelum bertukar menjadi peperangan di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.

Setakat ini, hanya terdapat beberapa penentangan kecil oleh saki baki tentera Gaddafi di sini.

Terdahulu, stesen televisyen Libya menyiarkan rayuan Gaddafi kepada rakyat negara itu supaya bangkit demi mempertahankan pemerintahannya.

Pejuang pemberontak kini menawan anak lelakinya yang juga pewaris Gaddafi, Seif al-Islam.

Seif dan bapanya sebelum ini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda kerana jenayah kemanusiaan.

Seorang lagi anak lelaki pemimpin itu berada dalam tahanan rumah.

"Semuanya sudah berakhir si rambut kerinting (Gaddafi)," jerit beratus-ratus lelaki dan wanita yang berhimpun di Dataran Hijau lewat kelmarin.

Orang ramai yang gembira dengan kekalahan Gaddafi, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan melambaikan bendera tiga warna pemberontak.

Sebahagian mereka membakar bendera hijau rejim Gaddafi dan melubangi sebuah poster yang menampilkan imejnya.

Beberapa pemimpin pemberontak berkata, kemenangan mereka selepas kebuntuan dalam perang saudara di Libya sejak enam bulan lalu, dicapai menerusi kerjasama di antara pemberontak, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli.

Pejuang-pejuang pemberontak dari barat Libya mara lebih 30 kilometer dalam masa cuma beberapa jam kelmarin dengan menawan beberapa buah bandar dan sebuah pangkalan tentera semasa menuju ke sini.


ORANG RAMAI yang menaiki sebuah trak mengibarkan bendera baharu Libya bagi meraikan ketibaan para pemberontak di Tripoli semalam.

Pada masa yang sama, penduduk di bandar raya ini yang dibekalkan senjata oleh pemberontak secara rahsia, bangkit menentang rejim Gaddafi.

Apabila pemberontak tiba di sini, satu batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk mengawal bandar raya ini bertindak menyerah diri kepada mereka.

Seorang pegawai kanan kepimpinan pemberontak, Fathi al-Baja berkata, komander batalion berkenaan berpaling tadah selepas saudara lelakinya dihukum bunuh oleh Gaddafi beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pelan untuk menawan bandar raya ini dirancang sejak tiga bulan lalu dengan bantuan NATO dan pemberontak di sini.

Menjelang semalam, pemberontak telah menawan kebanyakan kawasan di bandar raya ini termasuk Dataran Hijau.

Rampasan Dataran Hijau merupakan kejayaan simbolik buat mereka.

Kawasan tersebut merupakan lokasi perhimpunan pro-Gaddafi yang diadakan hampir setiap malam dengan pemimpin Libya itu menyampaikan ucapannya di Kubu Merah di sebelah dataran berkenaan.

Gaddafi ialah pemimpin dunia Arab yang paling lama memerintah.

Beliau mentadbir negara Afrika Utara yang dihuni cuma enam juta penduduk dan kaya dengan minyak itu selama 42 tahun.

Sejak bertahun-tahun lamanya, pemimpin beliau dituduh mendalangi pengeboman pesawat 747 milik syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Pan Am yang meletup di Lockerbie, Scotland dan membunuh 270 orang. - AP

Ulasan GB

Tumbangnya kerajaan Ghadaffi di Libya apabila kebebasan hak asasi manusia dinafikan dan apabila rakyat sudah tidak lagi menerima corak pemerintahan yang diamalkan yang bersifat diktator dan menindas.

Ia sepatutnya membuka mata pemimpin Malaysia seluas-luasnya! Ia boleh berlaku di negara ini negara ini jika rejim BN pimpinan Najib terus menafikan kebebasan hak asasi manusia seperti yang ditunjukkan di dalam mengharamkan perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu sedangkan perhimpunan aman dijamin oleh Perlembangaan dan disahkan oleh SUHAKAM.

Apatah lagi dengan sistem pilihanraya yang kotor dan tidak telus. Harinya akan tiba dimana kebenaran akan terdedah dan UMNO BN akan tersungkur lebur menyembah bumi!


UMNO Nafi Cucuk Hidung Hassan Ali, Nak Saman PAS & Mustafa Ali

Isu gereja: Umno Selangor mahu saman SU Agung PAS RM10 juta

SHAH ALAM, 22 Ogos — Umno Selangor akan memfailkan saman RM10 juta terhadap Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berhubung dakwaan kononnya parti Melayu itu memainkan peranan dalam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja awal bulan ini.

Menurut Setiausaha Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, selain Mustafa, pihaknya juga akan mempertimbangkan pihak-pihak lain dalam saman yang akan difailkan selepas Aidilfitri.

“Kita akan memulakan langkah permulaan saman iaitu saman tuntutan ganti rugi dan saman malu terhadap fitnah yang dibuat Datuk Mustafa Ali terhadap Umno Selangor dengan jumlah RM10 juta.

“Ini adalah tindakan yang terpaksa dilakukan demi mempertahankan maruah dan hak, kami akan hantar notis kepada beliau dan pihak-pihak tertentu dan jika tiada jawapan, kita akan failkan saman selepas Aidilfitri,” katanya pada sidang media di sini.

Mustafa sebelum ini mendakwa mempunyai bukti kononnya Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

Beliau turut mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja itu.

Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin.

Bagaimanapun tegas Mohd Zin, Mustafa masih boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Umno Selangor dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini sebelum tindakan undang-undang diambil.

Jelas beliau, notis pemberitahuan saman akan dihantar kepada Mustafa dalam tempoh terdekat.

“Dan, saya (sebelum ini) telah memberi notis (tiga hari) kepada Mustafa supaya memohon maaf dan kita bersedia memaafkan beliau tetapi malangnya dengan begitu bongkak dan sombong beliau bukan mahu mengaku kesilapan, tetapi keluarkan kenyataan kononnya beliau mempunyai bukti dokumen bahawa semua tindakan dibuat Jais adalah arahan dan didalangi Umno Selangor.

“Oleh kerana dalam semangat Ramadan dan persaudaraan sesama Islam ini, Umno Selangor tiada pilihan kecuali mempertahankan diri dengan mengambil proses undang-undang untuk mendapatkan pembelaan,” katanya.

Menurut Mohd Zin, mustahil untuk pihaknya mengarahkan Jais bertindak sedemikian.

Ini kerana jelas beliau, Jais adalah sebuah agensi yang terletak di bawah urus tadbir kerajaan negeri Selangor bukan Umno Selangor.

“Kita tertunggu-tunggu apa yang sebenarnya berlaku dalam peristiwa itu kerana Jais adalah sebuah agensi di bawah urus tadbir kerajaan negeri Selangor dan tiada kaitan dengan Umno Selangor, dan exco yang bertanggungjawab adalah Datuk Dr Hasan Ali daripada PAS
.

“Dan, tidak mungkin Hasan Ali boleh dicucuk hidung oleh Umno Selangor dan saya fikir rakyat juga ingin tahu mengenai tindakan Jais itu itu ada kaitan dengan penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam atau tidak,” katanya.

Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.

Jais berkata tindakan mereka hanya bersifat pemeriksaan tetapi pengurusan gereja mendakwa agensi itu melakukan serbuan.

Tindakan Jais melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama mendapat bantahan banyak pihak.

Bagaimanapun Hasan mempertahankan tindakan Jais atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

“Ini adalah sangkaan jahat dan satu niat untuk mendapatkan sokongan politik dan kita rasa amat terkilan dengan tindakan Mustafa Ali dengan memberi segala gambaran yang berlaku didalangi Umno Selangor.

“Saya bagi pihak Umno Selangor membuat penafian sekeras-kerasnya, kita tidak terlibat dalam peristiwa ini dan kita tiada peranan dan tanggungjawab untuk mengeluarkan arahan kepada Jais,” tegas Mohd Zin.

Umno Selangor akan diwakili peguam dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak. -TMI


Umno saman PAS, Mustafa Ali RM10 juta

Menurut Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, ini langkah permulaan ke atas tuntutan ganti rugi, malu dan fitnah oleh Mustafa dan PAS.

SHAH ALAM: Umno Selangor menyaman PAS dan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali sebanyak RM10 juta berhubung fitnah bahawa parti itu didakwa berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Agama Islam (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Menurut Setiausaha Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, itu langkah permulaan ke atas tuntutan ganti rugi,malu dan fitnah oleh Mustafa dan PAS.

Mohd Zain berkata mengambil semangat bulan Ramadhan pihaknya telah menghantar surat pada 17 Ogos kepada Mustafa sebagai kesediaan untuk memberi kemaafan kepada beliau.

Walau bagaimanapun beliau berkata Mustafa secara bongkak dan sombong mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan Umno Selangor berhubung isu tersebut.

“Tindakan Umno Selangor adalah untuk mempertahankan maruah. Disebabkan Mustafa dan PAS gagal memohon maaf di atas fitnah yang dilemparkan maka kami ambil proses undang-undang sebagai pembelaan.

“Saman (terhadap) Mustafa, PAS dan pihak-pihak lain sebanyak RM10 juta. Pihak-pihak lain itu juga akan dipertimbangkan memandangkan kenyataan beliau turut dikeluarkan menerusi Harakah Daily,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno Selangor di sini hari ini.

Klip video

Menurut Mohd Zin, Umno Selangor akan diwakili peguam Abu Bakar Isa Rahmat dari Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak.

Abu Bakar yang ditemui pula menjelaskan notis oleh peguam yang dilantik telah dihantar kepada pihak yang berkenaan.

Manakala saman itu akan dibuat dalam masa terdekat di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mustafa pada minggu lalu mendakwa Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu tersebut ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas DUMC.

Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin.

Begitu juga ekoran pendedahan klip video kehadiran Jais ke DUMC pada hari kejadian seperti yang ditayangkan dalam beberapa blog Umno. -FMT



Ulasan GB

Tindakan Hassan Ali dari dulu sampai sekarang tidak pernah membantu memeperkukuhkan parti sebaliknya lebih kerpada mencari publisiti murahan untuk dirinya.

Di dalam isu gereja, "serbuan JAIS" adalah didalam pengetahuannya sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor. Dan isu gereja itu sendiri mendedahkan banyak perkara iaitu kelemahan JAIS sendiri di dalam pengagihan zakat dimana yang dikatakan mereka yang "sanggup murtad" itu adalah terdiri dari golongan yang daif/lemah dan kedua kelemahan Hassan Ali sendiri selaku exco yang mengawal JAIS tetapi sebaliknya JAIS yang berkuasa lebih daripadanya.

Jika Hassan Ali tahu membuat kerjanya, beliau telah lama mengarahkan JAIS memperkemaskan institusi zakat dan memanggil kesemua ynag hendak dimurtadkan itu menerima zakat. Serbuan ke gereja itu menjadi tidak perlu. Tetapi lemahnya Hassan Ali sebagai exco, lemahnya JAIS di dalam pengagihan zakat menjadi golongan Muslim terpaksa berpaut kepada pihak gereja. Samada mereka hendak dimurtadkan oleh pihak gereja ataupun tidak itu hal berasingan, yang pentig golongan Muslim dhaif ini telah dipinggirkan oleh JAIS.

Akibat daripada itu, PAS yang tersepit. Dan Mustafa Ali sebagai seorang yang sekarang cuba untuk "membersihkan diri dari kumpulan UG" dan sedang mencari ruang di era pasca-Muktamar, telah mendakwa wujudnya penglibatan UMNO di dalam isu gereja. Hassan Ali pula dilihat oleh ramai, sebagai duri dalam daging bagi parti.

Harakahdaily tumpang sekaki. Semasa isu gereja bergelandangan, harakahdaily pula sibuk mendokong dan menyokong Hassan Ali. Ketua Editor dan para wartawannya mungkin terlupa untuk merujuk big bossnya Mustafa Ali terlebih dahulu. Tepat seperti apa yang GB jangkakan hal sebelum ini di SINI. Kumpulan UG akan berberantakan, "suweh" bakal menimpa ke atas mereka. Petikan:

Jangan lupa Khir Toyo yang dahulu menghadiahkan penyapu kepada PBT, tiba-tiba beliau yang ditimpa suweh sehingga sekarang tak habis-habis lagi.

Kerana apa? Mentaliti orang Melayu dah anggap penyapu itu pembawa suweh. "Kamu ialah apa yang kamu fikirkan"!

Maka yang akan ditimpa suweh nanti nampaknya bukan Khalid Ibrahim tetapi kepada penghadiah penyapu itu iaitu UMNO Selangor yang berselindung di sebalik nama NGO yang dikenali sebagai GEMPAK dan WARISAN.

Kalau geng kepala lembu sudah menerima habuannya, tak lama lagi geng penyapu dan mangkuk tandas ini bakal menerima apa yang mereka lakukan bersama-sama tokoh pujaan mereka Hassan Ali namanya.

Allah itu Maha Melihat dan Allah itu Maha Berkuasa. Sebenarnya Allah yang akan mengurniakan habuan pembalasan itu, bukan kerana suwehnya penyapu.

Dia juga yang akan menunjukkan siapa sebenarnya yang bertanduk. MB Selangor & Khalid Samadkah atau geng songkok tinggi bersama UG. Di dalam Islam, yang jahat akan terkena balik kejahatan yang mereka lakukan. Di dalam konteks demonstrasi semalam nampaknya UMNO Selangor yang diwakil oleh geng bersongkok tinggi bersama-sama tokoh pujaan mereka Hassan Ali & kumpulan UG bakal terkena "suweh penyapu" itu disertai dengan wartawan-wartawan & akhbar-akhbar yang menjulang tinggi tindakan mereka itu.

InsyaAllah, pemerhatian GB ini tidak silap.


Ayuh PAS, mari bersiap sedia untuk bersatu hati. Seorang dari anak Pak Ali, alhamdulillah, Mustafa namanya, telah kembali ke dalam saf semula. Kita akan nyatakan bahawa PAS sentiasa bersedia untuk hadapi sebarang tantangan dari UMNO selepas ini. Hassan Ali? Biarkan dia terjun bersama UMNO dan cita-citanya untuk menjadi MB dalam mimpi!


SU Agung PAS: Saya tidak akan minta maaf, jumpa di mahkamah

Kekal dengan pendirian mempunyai bukti mengaitkan Umno dalam pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya awal bulan ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menegaskan, beliau bersedia untuk bertemu parti Melayu terbesar itu di mahkamah.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Mustafa yang kini berada di luar negara berkata, beliau tidak akan memohon maaf atau menarik balik dakwaan dilemparkan terhadap Umno sebelum ini.

Sebaliknya beliau dengan tegas mempertahankan dakwaannya itu.

“Kita jumpa di mahkamah, kalau nak saman itu hak dia (Umno Selangor), saya tidak akan minta maaf dan saya kekal dengan pendirian saya sebelum ini, kita jumpa di mahkamah,” jawabnya.

Mustafa (gambar) juga secara tegas berkata akan mengemukakan bukti itu ke mahkamah.

“Saya akan kemukakan bukti ke mahkamah jika dibawa ke mahkamah,” katanya ringkas.

Hari ini, Umno Selangor berkata pihaknya akan memfailkan saman RM10 juta terhadap Mustafa berhubung dakwaan kononnya parti itu memainkan peranan dalam tindakan Jais ke atas pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

Menurut Setiausaha Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, selain Mustafa, pihaknya juga akan mempertimbangkan pihak-pihak lain dalam saman yang akan difailkan selepas Aidilfitri.

Awal minggu lalu, Mustafa dalam satu sidang media di Kuala Terengganu mendakwa Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.

Beliau juga mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja itu.

Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin pada satu pertemuan yang dijadual untuk diadakan minggu lalu.

Tetapi ia ditangguhkan buat sementara waktu sehingga siasatan Jais selesai.

Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.

Jais berkata tindakan mereka hanya bersifat pemeriksaan tetapi pengurusan gereja mendakwa agensi itu melakukan serbuan. -TMI