5 Dis 2010

[Bergambar] Proton Wira Dihempap Trak Askar Dalam Kemalangan Ngeri, 5 Maut

5 sekeluarga maut dalam kemalangan ngeri dekat PD

Gambar: NGERI..kemalangan maut membabitkan 4 kereta dan satu trak askar sehingga menyebabkan lima maut di tempat kejadian di KM19.6 Jalan Pantai, Pasir Panjang, Port Dickson, awal pagi tadi.

PORT DICKSON, 5 Dis (Bernama) -- Lima sekeluarga terbunuh manakala enam yang lain termasuk anggota tentera cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 19.6 Jalan Pantai-Pasir Panjang-Linggi dekat Kampung Bukit Tembok di sini Ahad.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Baljeet Singh berkata, mereka yang terbunuh dikenali sebagai Mohd Said Lakan, 58, isterinya Rosnani Buyong, 50.

Kedua-duanya berasal dari Hulu Langat, Selangor.

Turut terbunuh anak perempuan mereka Nordiana Mohd Said, 30, suaminya Saipul Naaim Mat Dan, 36 dan anak mereka Mohammad Harith Firdaus Saipul Naaim, 4, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mereka mati di tempat kejadian akibat kecederaan yang teruk di kepala dan anggota badan dalam kejadian pukul 11.15 pagi, katanya.

Sementara itu, pasukan bomba dan penyelamat di sini mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan kesemua mayat yang tersepit.

Mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson.

Tiga lagi termasuk pemandu sebuah kenderaan yang lain turut cedera tetapi identiti mereka tidak diketahui.

Katanya, kenderaan yang dinaiki oleh keluarga itu sedang dalam perjalanan dari arah Port Dickson ke Melaka dan diekori oleh sebuah kenderaan lain yang dinaiki oleh sepasang suami isteri bersama anak mereka.

Lori tentera terbabit pula datang dari arah Kem Terendak, Melaka menuju ke markas tentera di Port Dickson dan diekori oleh dua buah kenderaan lain, katanya.

Salah sebuah kenderaan yang datang dari arah Port Dickson dipercayai memotong kereta keluarga malang itu tetapi tergesel bahagian belakang lori menyebabkan kenderaan berat itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan lalu dirempuh oleh kenderaan yang dinaiki lima sekeluarga itu," katanya.

Akibatnya, lori tentera seberat 3 tan itu terbalik ke sisi dan dan tiga anggota tentera mengalami kecederaan ringan, katanya. -- BERNAMA







Taktik Baru Along Iklankan "Pinjaman Islamik"

Ceti jual Islam

TAKTIK BARU...iklan along yang menawarkan pinjaman Islamik.

SUNGAI BULOH: Bosan dengan taktik promosi pinjaman lama, peminjam wang haram atau along kini beralih arah kepada sistem ‘Pinjaman Islamik’ bagi menambat kepercayaan pelanggan, sekali gus menjadikan mereka sebagai ‘bank segera’.

Taktik terbaru itu dikesan di sekitar bandar ini apabila terdapat iklan dan risalah mengenai kegiatan terbabit ditampal di pokok dan papan tanda.

Modus operandi baru yang mengelirukan itu dikesan apabila iklan yang kononnya berbentuk pinjaman Islamik diberikan syarat pinjaman mudah dengan hanya menelefon nombor yang tertera dan akan menerima bayaran dengan cepat.

Antara syarat yang ditetapkan along terbabit antaranya pinjaman itu terbuka kepada kakitangan awam, badan berkanun atau swasta, proses pinjaman adalah melalui bank serta kemudahan pinjaman sehingga RM250,000.

Lebih menarik, mereka yang disenarai hitamkan bank turut layak membuat pinjaman.

Panggilan dilakukan Metroplus bagaikan dapat dihidu berikutan seorang lelaki dipercayai konco along terbabit yang menjawab pertanyaan meletakkan telefon selepas musykil dengan soalan yang banyak diajukan.

Tinjauan mendapati, iklan haram yang ditampal pada pokok itu dilekat menggunakan kertas berwarna kuning yang ditutupi plastik dan tertera nombor telefon bimbit along terbabit.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Yazit, 39, berkata bandar Sungai Buloh tidak terlepas menjadi mangsa pemasang iklan haram sehingga mencacatkan pemandangan kawasan berkenaan.

Katanya, tindakan melampau pengiklan yang mahu mengejar keuntungan tanpa menggunakan modal itu perlu dihentikan kerana ia bukan saja menyusahkan orang awam, malah menjatuhkan imej bandar berkenaan.

“Mereka bertopengkan sistem pinjaman Islamik supaya dapat mengaburi mata pelanggan dan mungkin juga pihak berkuasa. Banyak iklan pinjaman wang haram ini sudah luntur dakwatnya dan hampir terkoyak.

Yazit berkata, kegiatan memasang iklan pinjaman haram terbabit semakin berleluasa kerana lebih banyak iklan ditampal setiap kali ia ditanggalkan pihak berkuasa.

“Jika ditanggalkan pada sebelah petang, keesokan paginya, pasti lebih banyak iklan ditampal di tempat sama,” katanya.

Pelajar sebuah kolej swasta, Zaharah Nordin Zakaria, 24, pula berpendapat masyarakat perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi membolehkan mereka bertindak segera.

“Orang ramai perlu mengadu dan jika sudah mengadu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) masih tak ambil peduli, sekurang-kurangnya kita sudah tunaikan tanggungjawab sebaik mungkin.

“Hal selebihnya terpulang kepada PBT untuk melaksanakan peranan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata sebanyak 35,000 iklan haram sudah diturunkan MBSA sejak Januari hingga Oktober lalu.

“Di Sungai Buloh saja, kami menurunkan 4,500 iklan haram seperti iklan lelongan bank, khidmat perubatan tradisional, pinjaman wang dan ubah suai rumah melalui beberapa operasi secara berkala yang dilakukan pejabat cawangan MBSA kami di sana.

“Perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan banyak masalah seperti mengganggu dan menghalang pandangan jika iklan di tampal di papan tanda jalan. Oleh sebab itu kami akan terus memerangi kegiatan ini,” katanya.

Menurutnya, pihak yang menggantung aktiviti itu boleh dikenakan tindakan Undang-Undang Kecil Iklan MBSA 2007.

Justeru itu, beliau meminta kerjasama masyarakat supaya tidak membuat tampalan iklan sesuka hati mereka tetapi sebaiknya memohon permit dari jabatan pelesenan sebelum menggantung iklan atau kain rentang yang mempromosikan produk mereka. -hm

[Bergambar & Video] Tindakan Polis Guna Kekerasan Terhadap Peserta Demo Dikecam

52 termasuk lima pelajar ditahan, Suhakam kecam polis

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Pakatan Rakyat menganggarkan sekitar 52 orang ditahan termasuk Adun Kota Damansara Dr Nasir Hashim dan lima pelajar atas alasan melanggar arahan polis dengan cuba meneruskan perarakan protes air ke Istana Negara tengah hari tadi.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh berjanji akan membebaskan mereka jika kesemua peserta protes mematuhi arahan agar bersurai.

Menurut Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, seramai 47 orang ditahan di sekitar Masjid Negara termasuk lima merupakan pelajar.

Difahamkan mereka ditahan di Cheras.

Terdahulu Nasir, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan setiausaha agungnya S. Arutchelvan ditahan semula di kawasan Istana Negara selepas mereka dilepaskan di Masjid Negara.

Sebelum itu, mereka ditahan di hab pengangkutan awam KL Sentral.

“Ini jaminan kami, mereka semua akan dibebaskan. Jadi, tolong bersurai,” kata Amar ke arah kumpulan yang berhimpun di kawasan bangunan KTMB.

Kumpulan itu berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara melalui bangunan KTMB.

Ahli jawatankuasa kerja pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad kemudian meminta mereka meninggalkan kawasan itu dan pekarangan Masjid Negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata akan membawa usul kekerasan polis hari ini ke Parlimen.

“Amat malang polis guna kekerasan sedangkan pada peringkat awal kata mahu bekerjasama. Maka, saya akan bawa usul kekerasan polis ini di Parlimen kelak,” katanya.

Dalam pada itu, penyelaras kempen antikenaikan harga air Selangor, Dr Badrul Amin Bahron berkata, tindakan polis yang secara tiba-tiba menyerbu para peserta protes yang berada di pekarangan Masjid Negara menyebabkan seorang lelaki bernama Azami Ismail patah kaki dan seorang wanita pitam ketika cuba cuba melarikan diri.

“Ketika polis menyerbu ke Majis Negara lelaki itu yang berusia 51 tahun telah jatuh di tangga menuju ke masjid dan patah kaki.

“Saya difahamkan lelaki tersebut telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang oleh ahli keluarga untuk pemeriksaan. Dia kini sedang dirawat.

“Selain itu, seorang wanita yang pitam itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan, dia sekarang masih lagi dalam keadaan lemah,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider sekitar 5 petang tadi.

Tambah Badrul Amin, pihanya kecewa dengan tindakan polis yang tidak membenarkan penyokong mengiringi Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim ke Istana Negara sebalik bertindak kejam kepada penyokong.

“Setelah Menteri Besar menyerahkan memorandum kepada wakil istana kita telah membuat keputusan untuk pulang semula ke Masjid Negara untuk memaklum kepada penyokong bahawa kita telah berjaya.

“Namun kita dihalang polis untuk ke sana, sehubungan itu kita telah meminta wakil kita untuk mengarahkan semua penyokong yang berada di Masjid Negara bersurai.

“Tetapi dalam proses bersurai itu, polis secara tiba-tiba menyerbu masuk ke Masjid Negara dan menyebabkan penyokong-penyokong bertempiaran lari,” katanya.

Kesemua penyokong yang berada di Masjid Negara mula bersurai kira-kira pukul 4 petang tadi.

Selain kumpulan antikenaikan harga air, sebuah lagi kumpulan yang dinamakan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) turut menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong behubung penyelewengan yang berlaku di Selangor.

Namun, GAPS, gabungan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak menghadapi sebarang masalah untuk menyerahkan memorandum tersebut.

“Kita telah berjaya menyerahkan memorandum ke Istana Negara kira-kira pukul 12.40 tengah hari tadi dan kita tidak mempunyai sebarang masalah menuju ke sana kerana hanya lapan orang sahaja yang pergi.

“Yang selebihnya kita telah arahkan supaya berkumpul Stadium Merdeka, polis turut membenarkan kita menyerahkan memorandum itu kepada wakil istana,” kata Pengerusi GAPS Hamidzun Khairuddin.

Tambah Hamidzun, rancangan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berjalan dengan lancar.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Muhammad Shaani Abdullah ditemui berkata, tindakan tidak profesional pihak berkuasa menjatuhkan martabat pasukan terbabit.

Katanya, pihak berkuasa perlu menjalankan tugas dengan jujur dan ikhlas tanpa melibatkan tindakan kekerasan terhadap orang awam.

“Tindakan tidak profesional ini menjatuhkan martabat pihak berkuasa sedangkan mereka perlu memupuk jati diri dan contoh baik kepada rakyat
.

“Namun mereka bertindak sebaliknya dengan memaki hamun orang awam dan perkara ini sungguh memalukan. Walaupun perarakan tiada permit tapi sepatutnya polis bukan bertindak mengamcam atau memaki-hamun seperti ini,” katanya. -TMI


MB S'gor: Polis tak tunai janji, saya kesal

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim kesal dengan tindakan polis menangkap kira-kira 50 orang peserta perhimpunan membantah kenaikan harga air di Masjid Negara di ibu negara hari ini.

Selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Khalid menyatakan kekesalannya kerana "polis tidak menunaikan janji untuk membenarkan perhimpunan secara aman"

“Saya berharap dan mengesa pihak polis melepaskan mereka tanpa syarat,” kata menteri besar.

Dalam satu kenyataan, Khalid juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong perhimpunan hari ini dan menyeru agar mereka terus menyokong usaha kerajaan Selangor mengambil alih industri air.

“Kerajaan Persekutuan membelakangkan kepentingan rakyat dalam isu air," kata Khalid.

Tambahnya, kerajaan pusat sepatutnya bersama menyokong kerajaan negeri untuk menghentikan perjanjian tidak adil yang didakwa hanya memberi kebaikan kepada syarikat konsesi.

Menurut Khalid, beliau berjaya menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Akhbar Istana Negara, Khairi Abdul Rahman kira-kira jam 2.15 petang. -mk














Mahkamah Tolak Permohonan Lafaz Cerai Sultan Ismail Petra Terhadap Isteri Kedua

Mahkamah Tolak Permohonan Lafaz Cerai Sultan Ismail Petra Terhadap Isteri Kedua

KOTA BAHRU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini menolak permohonan pengesahan lafaz cerai bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra terhadap isteri keduanya Cik Puan Elia Suhana Ahmad (gambar) yang difailkan seorang wanita Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman pada Mac lalu.

Hakim Abdullah Man yang membuat keputusan itu berkata ini kerana mahkamah mendapati plaintif gagal mengemukakan saksi yang mencukupi mendengar pengesahan lafaz cerai itu selain tiada saksi lain ketika Abdullah menghadap Sultan Ismail Petra di Istana Mahkota, Kubang Kerian pada 30 Okt lalu.

"Mahkamah telah membuat keputusan berdasarkan kepada tiga perkara iaitu yang pertama sama ada pihak ketiga boleh memohon bagi pengesahan lafaz cerai, yang keduanya apakah plaintif mempunyai saksi yang mencukupi dan ketiga apakah yang berlaku di Istana antara saya dan Sultan boleh diterima di mahkamah.

"Berdasarkan itu mahkamah hari ini menolak permohonan plaintif (Nik Rorhana)bagi memohon pengesahan lafaz cerai ini dan plaintif boleh membuat rayuan berhubung keputusan ini dalam tempoh 14 hari," kata Abdullah sewaktu membacakan penghakimannya.

Pada prosiding hari ini Nik Rorhana hadir manakala defendan Elia Suhana, 31, tidak hadir atas alasan tidak sihat.

Pada 21 Mac lalu, Elia Suhana melalui peguam syarie yang mewakilinya, Fakhrul Azman Abu Hassan mengemukakan permohonan untuk membatalkan permohonan pengesahan lafaz cerai oleh Sultan Ismail Petra terhadapnya yang difailkan oleh Nik Rorhana pada 9 Mac lalu.

Sultan Ismail Petra yang ketika itu masih Sultan Kelantan didakwa menjatuhkan talak tiga terhadap Elia Suhana pada 12 Feb lalu di hadapan beberapa orang saksi ketika dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Sebelum itu, Abdullah berkata atas isu yang pertama mahkamah memutuskan pihak ketiga iaitu Nik Rorhana berhak memfailkan permohonan lafaz cerai bagi pihak Sultan Ismail Petra itu berdasarkan kepada hukum syarak.

"Bagi isu yang kedua mahkamah mendapati plaintif telah gagal mengemukakan saksi yang mencukupi dan hanya mengemukakan seorang saksi iaitu seorang doktor dan mahkamah berpuas hati dengan keterangannya.

"Bagaimanapun keterangan saksi yang kedua mahkamah tidak berpuas hati kerana keterangannya tidak mencukupi sebagai saksi," katanya.

Abdullah berkata dalam isu yang ketiga Sultan Ismail Petra hanya membenarkan seorang hakim sahaja untuk ditemubual berhubung pengesahan lafaz cerai baginda itu yang diadakan di Istana Mahkota pada 30 Okt lalu.

"Jika saya yang menjadi saksi dalam pertemuan itu siapa pula yang boleh menjadi hakim dan hakim tidak boleh menjadi saksi," katanya.

Peguam mewakili Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hassan ketika ditemui di luar mahkamah berkata sepatutnya apa yang berlaku di Istana Mahkota pada ketika itu ia perlu dihadiri plaintif, defendan, peguam yang mewakili kedua-duanya dan termasuk hakim.

"Apa yang berlaku ia sudah tidak mematuhi prosedur kerana hakim pada masa yang sama tidak boleh menjadi saksi.

"Dengan keputusan mahkamah hari ini Cik Puan Elia Suhana dan Al-Sultan (Sultan Ismail Petra) masih lagi merupakan suami isteri yang sah,"
katanya.

Sementara itu, peguam plaintif, Zainul Rijal Abu Bakar berkata beliau akan berbincang dengan anak guamnya itu sama ada untuk memfailkan rayuan atas keputusan itu atau sebaliknya. - BERNAMA

SUHAKAM Bantah Tindakan Polis Tahan Peserta Demo

Tidak padan polis tangkap peserta himpunan

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, tindakan polis menangkap para peserta himpunan aman membantah kenaikan harga air tidak berpadanan dengan apa yang dilakukan oleh rakyat.

Katanya, para peserta himpunan tidak mendatangkan sebarang ancaman terhadap keselamatan negara, lagipun sekarang bukan masa darurat.

Tambahnya, mereka hanya menyertai perhimpunan aman dan tidak menimbulkan sebarang masalah tetapi hanya tidak mempunyai permit sahaja.

Menurutnya, keadaan yang berlaku itu tidak sebagaimana di London yang boleh mengadakan himpunan secara aman.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pula melahirkan rasa kesal dengan pihak polis yang menangkap peserta himpunan membantah kenaikan harga air oleh Syabas itu.

Beliau beserta Exco kerajaan negeri, Yaakob Sapari turut mengadakan perbincangan dengan pihak polis supaya tidak terus menahan para peserta sebagaimana yang dijanjikan.

“Tetapi sangat malang apabila polis menggunakan kekerasan menahan pseserta himpunan,” ujarnya.

Menurutnya, pihak polis memberi jaminan akan membebaskan mereka yang ditahan dan tidak akan menangkap peserta yang mahu bersurai sekitar jam 3.30 petang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor akan membawa usul pada persidangan Dewan Rakyat nanti berhubung penangkapan peserta himpunan aman itu.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh mempersoalkan tindakan polis menahan peserta kerana pada awalnya berjanji memberikan kerjasama.

Beliau kesal kerana polis sedia memberi kerjasama kepada peserta himpunan untuk berarak ke Istana Negara bagi mengiringi pemimpin Kerajaan Negeri Selangor menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, apa yang dinyatakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa polis bahawa memberi kerjasama kerana pihak Istana Negara sedia menunggu rombongan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan pihak polis mengikut arahan siapa di sebalik penangkap yang dilakukan itu.

Menurut Suaram, sekitar 70 orang ditahan pada himpunan aman itu yang difahamkan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi dan Cheras. -harakahdaily

Berita Sebelum Ini

[Kemaskini] Demo Air Berjaya, Memo Berjaya Diserahkan

[Bergambar] MB Selangor Rafak Sembah Nyatakan Bantahan, 47 Peserta Ditahan - updated

[Kemaskini] Demo Air, Polis Tembak Gas Pemedih Mata


[Kemaskini] Demo Air Berjaya, Memo Berjaya Diserahkan

MB Selangor serah Istana Negara memo, polis guna gas pemedih lerai perarakan

Peserta himpunan protes air berarak dari kawasan Masjid Negara ke arah Istana Negara. — Gambar oleh Jack Ooi

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Perarakan himpunan aman protes isu air Selangor berakhir dengan pertembungan antara para peserta dan polis, tetapi Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyerahkan memorandum kepada Istana Negara dengan kawalan pasukan keselamatan.

Khalid menyerahkan memorandum sebagaimana dirancang kepada Istana Negara untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekitar 2.30 petang tadi.

Kumpulan Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) juga menyerahkan mereka kepada Istana Negara dengan polis hanya membenarkan dua kereta menuju ke Istana Negara dari kawasan Stadium Merdeka-Dewan Perhimpunan Cina di Jalan Maharajalela.

Terdahulu polis menghalang perarakan sekitar 1,000 penyokong kumpulan protes air Selangor daripada meneruskan hasrat mereka menuju ke Istana Negara.

Kumpulan itu yang meninggalkan kawasan Masjid Negara sekitar 1.50 tengah hari, ditahan selepas bergerak sejauh 200m.

Ekoran tindakan polis itu, kumpulan itu merempuh sekatan polis di kawasan bangunan KTMB dan menyebabkan anggota FRU melepaskan gas pemedih mata.

Tinjauan mendapati pasukan FRU melepaskan gas dan air pemedih mata terus-menerus selama setengah jam apabila peserta terus mahu berarak ke arah Istana Negara.

Anggota polis menahan salah seorang peserta himpunan protes air di kawasan bangunan KTMB. — Gambar oleh Jack Ooi

Pasukan polis mengenakan sekatan lalu lintas sejak pagi tadi di beberapa kawasan di Lembah Klang bagi menghalang kehadiran penyokong kedua-dua kumpulan GAPS dan protes air Selangor.

Anggota FRU terus melepaskan gas pemedih mata ke atas penyokong protes air berhampiran stesen kereta api lama dekat Masjid Negara. Sekurang-kurangnya 10 tembakan dilepaskan sehingga 2.05 petang tadi.

Pihak polis memberi kata dua kepada peserta perarakan agar bersurai secara aman dan jika tidak akan menggunakan kekerasan untuk menyuraikan mereka.

Ketika kumpulan itu tidak berganjak dengan pendirian mereka, FRU terus melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Sekitar pukul 2.30 petang, FRU terus melepaskan air pemedih mata, menyebabkan sebahagian besar peserta melarikan diri ke arah Masjid Negara.

Mesej menerusi Twitter oleh seorang pegawai Pejabat Menteri Besar Selangor menyebut Khalid telah menyerahkan memorandum bersama 250,000 tandatangan kepada Istana Negara sekitar 2.30 petang.

Bagaimanapun menurut Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok, polis telah menghalang rombongan delegasi daripada merakamkan sesi penyerahan memorandum.

Selepas Menteri Besar Selangor menyerahkan memorandum polis mula mengambil tindakan terhadap peserta himpunan dan sehingga 3 petang tadi, kira-kira 50 orang ditahan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dilihat mengadakan perbincangan dengan polis agar membebaskan peserta-peserta yang ditahan. -TMI





Berita sebelum ini:

[Bergambar] MB Selangor Rafak Sembah Nyatakan Bantahan, 47 Peserta Ditahan - updated

[Kemaskini] Demo Air, Polis Tembak Gas Pemedih Mata


[Bergambar] MB Selangor Rafak Sembah Nyatakan Bantahan, 47 Peserta Ditahan - updated

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan rakyat negeri merafak sembah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga air oleh Syabas, harakahdaily dipetik.

Rakyat, tegasnya menentang penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan kepura-puraan pihak berkenaan dalam isu air.

“Dengan ini kami rakyat negeri Selangor berkumpul merakfak sembah kepada Duli Tuanku menyatakan bantahan,” ujarnya ketika berucap di perkarangan Masjid Negara, sebentar tadi.

Beliau bersama kepimpinan kerajaan negeri menunju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tambahnya, pihak terbabit hendaklah mengembalikan hak air kepada rakyat Selangor.

Ini, katanya kerana lebih 150,000 telah menandatangani bantahan dari rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terhadap Syabas yang mahu menaikkan tarif air.

Harakahdaily juga turut melaporkan kira-kira 15,000 orang yang menyertai perhimpunan aman membantah kenaikan harga air oleh Syabas di pekarangan Masjid Negara terpaksa berpecah kerana disuraikan dengan semburan air dan gas oleh pasukan polis.

Ini ekoran pihak polis menghalang semua laluan menunju ke Istana Negara.

Mereka yang berkumpul sejak sebelum waktu Zohor pada mulanya berada dalam suasana tenang sementara menunggu ketibaan pemimpin Kerajaan Selangor untuk menyerahkan memorandum membantah kenaikan tarif itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid berkesempatan menyampaikan ucapan yang sebahagiannya adalah daripada kandungan memorandum itu kepada orang ramai.

Pihak polis membenarkan rombongan beliau dengan tiga buah kereta ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum berkenaan.

Sebaik sahaja anggota rombongan meninggalkan kawasan Masjid Negara, pihak polis mulai menyurai peserta himpunan aman itu termasuk menggunakan gas pemedih mata dan semburan air daripada jentera water cannon.


Penyokong baju merah ditangkap

Dianggar sekitar 47 penyokong baju merah ditahan manakala yang lainnya 'berlindung' di dalam Masjid Negara apabila polis menyerbu untuk menyuraikan kira-kira 2,000 penyokong perhimpunan bantahan kenaikan harga air di Selangor.

Menurut ahli parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin, 32 orang dibawa menaiki trak pertama manakala 15 lagi dibawa menaiki trak kedua.

Mereka ditahan selepa kira-kira 300 anggota polis membuat serbuan pada jam 2.45 petang tadi apabila penyokong baju merah itu enggan bersurai selepas diarahkan berbuat demikian.

Mereka yang ditangkap itu tidak sempat melarikan diri manakala yang lainnya berebut masuk ke dalam ruang solat masjid untuk berlindung.

Penyokong baju merah yang berada di masjid itu terdiri daripada mereka yang berpatah balik ketika menyertai perarakan ke Istana Negara selepas pihak polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan merian air. -mk












Berita sebelum ini

[Kemaskini] Demo Air, Polis Tembak Gas Pemedih Mata

[Kemaskini] Demo Air, Polis Tembak Gas Pemedih Mata

Penyokong baju merah sedang berarak menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum membantah kenaikan bayaran air di Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong, malaysiakini dipetik.

Mereka mula bergerak kira-kira jam 1.45 tengahari dan sejurus kemudian polis menembak sekurang-kurangnya dua gas pemedih mata ke arah mereka.

Ia berlaku ketika mereka melalui bulatan di Jalan Hishammuddin berhampiran Masjid Negara.Tidak dapat dipastikan dari arah mana gas pemedih mata itu ditembak

Berikutan itu, sebahagian peserta meneruskan perarakan manakala yang lainnya kelihatan berpatah balik ke arah Masjid Negara.

Difahamkan juga, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menaiki kereta yang diiringi oleh pihak polis menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Sebelum itu, penyokong baju merah mula berhimpun di Masjid Negara mulai jam 11 pagi tadi.

Sehingga jam 1 tengahari tadi, lebih 1,000 orang yang memakai baju merah di lihat di sekitar kawasan masjid.

Turut kelihatan mereka yang berpakaian biasa tetapi mengambil baju merah yang diedarkan di sekitar Masjid Negara.

Mereka dilihat membawa plakad bertulis 'kembalikan hak rakyat', 'tolak penswastaan' serta memakai ikat kepala bertulis 'kembali hak air rakyat'.

Sebelum itu, kedengaran mereka bersorak 'hidup rakyat', 'kembalikan hak-hak rakyat', dan yang paling lantang ialah laungan kumpulan mahasiswa.

Mereka kemudiannya masuk ke masjid untuk menunaikan solat Zohor.

Difahamkan, selepas itu mereka akan mengadakan solat hajat sebelum perhimpunan bermula.











Pakai Baju Merah : Dr Nasir Hashim & Arutcelvan Ditahan

Presiden PSM, Dr Nasir Hashim dan setiausaha agungnya, S Aruthcelvan antara tiga orang yang ditahan kerana didapati memakai baju merah, lapor malaysiakini.

Mereka ditahan pada kira-kira jam 11.30 pagi di sekitar KL Sentral. Ketika ditemui, Nasir memberitahu Malaysiakini: "Saya tak pasti (ditahan). Polis halang saya (bergerak) sebab pakai baju merah."

Apabila dihubungi setengah jam kemudiannya, Dr Nasir yang juga ADUN Kota Damansara mengesahkan mereka ditahan dan dibawa ke balai polis Petaling Jaya.

"Mereka kata ianya perhimpunan haram. Tapi kami hanya tiga orang sahaja," katanya.

Sementara itu malaysiakini turut melaporkan kira-kira 200 penyokong Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) mula berhimpun di Stadium Merdeka mulai jam 11.50 pagi ini.

Manakala pihak polis memberi mereka tempoh sehingga jam 12.10 tengahari ini untuk bersurai.

Mereka yang berkumpul itu kebanyakannya wanita dan golongan muda.

Mereka yang berpakaian hitam itu melaungkan `1Malaysia' dan 'Daulat Tuanku'.
Mereka merancang untuk berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum mengandungi dakwaan penyelewengan oleh Kerajaan Pakatan Selangor.

Pengerusi Gaps, Hamidzun Khairuddin yang tiba kira-kira jam 12 tengahari, memberitahu bahawa mereka sedang berunding dengan pihak polis sama ada dibenarkan berarak ke Istana Negara.

Sementara itu, Hamidzun memberitahu sidang akhbar bahawa pihaknya menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong meminta supaya dapat dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja dan berharap suasana di Selangor bertambah baik.

Pihaknya berharap pemimpin politik dari Pakatan Rakyat dan BN supaya menumpukan perhatian kepada ekonomi negeri Selangor dan "bukan mempamerkan kehebatan politik".

Mengenai perubahan tempat mereka berkumpul ke Stadium Merdeka, Hamidzun berkata: "Kita hormati nasihat selepas berundingan dengan polis untuk pastikan keadaan terkawal dan aman".

Ditanya sama ada peserta yang hadir hari ini terdiri daripada ahli Wanita dan Pemuda Umno, beliau berkata: "Tidak sama sekali, mereka rakyat Selangor dan ahli NGO negeri Selangor".

Ditanya jangkaan 2,000 peserta yang tidak menjadi kenyataan, beliau berkata: "Ini merupakan kecemerlangan pasukan polis yang berjaya atur dengan baik".

Malah menurutnya, perjalanannya dari Shah Alam mengambil masa dua jam untuk sampai ke Stadium Merdeka.

"Ramai sahabat yang tersangkut dalam kesesakan," tambahnya.

Sementara itu, selepas berunding dengan pihak polis, tidak ada perarakan tetapi wakil Gaps menaiki dua buah kereta untuk menyerahkan memorandum tersebut ke Istana Negara.

Hamidzun menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil Istana Negara pada kira-kira jam 12.40 tengahari tadi.

Sebentar Lagi KL Bergegar

Protes air Pakatan, GAPS anti-Selangor mahu polis tindak profesional

Penganjur ingin mengelakkan tindakan polis menggunakan anggota FRU dan gas pemedih mata untuk meleraikan peserta. — Foto Reuters

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Kedua-dua kumpulan yang merancang mahu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini sudah bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan termasuk tindakan pihak berkuasa yang dijangka akan berusaha menghalang usaha mereka.

Himpunan kedua-dua kumpulan ini dilihat akan mengulangi tindakan polis menggunakan anggota FRU dan gas pemedih mata untuk meleraikan peserta anti-ISA dan pro-ISA di ibu negara pada Ogos 2009.

Namun, kali ini kedua-dua kumpulan — Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan kumpulan anti-kenaikan harga air anjuran kerajaan Selangor berharap pihak berkuasa terutamanya polis dapat menjalankan tugas dengan adil dan profesional bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

GAPS, gabungan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pula akan menyerahkan memorandum berhubung 30 penyelewengan yang didakwa berlaku di Selangor, di bawah kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sementara itu, demonstrasi aman dan perarakan anjuran kerajaan Selangor bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menentang kenaikan harga air di negeri itu dan mereka akan bergerak dari Masjid Negara ke Istana Negara selepas solat Zohor dan solat hajat.

“Kita akan berkumpul di Masjid Negara pada pukul 12 tengah hari, kemudian kita akan menunaikan solat Zohor, diikuti solat hajat.

“Selepas itu baru kita akan bergerak ke Istana Negara, perarakan ini akan diketuai Menteri Besar, barisan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jentera parti Pakatan Rakyat, ketua-ketua kampung, mahasiswa dan orang ramai,” kata penyelaras kempen antikenaikan harga air Selangor Dr Badrul Amin Bahron ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut Badrul Amin, semua persiapan akhir sudah dibuat dan dijangkakan kira-kira 20,000 orang dari seluruh negara akan menyertai demontrasi aman dan perarakan itu.

Tambahnya, kira-kira 500 pegawai keselamatan terdiri daripada Unit Amal PAS, Bridget Keselamatan PKR, Penyelaras Komunikasi dan Solidariti Anak Muda akan mengawal dan menjaga keselamatan sepanjang demonstrasi itu diadakan.

“Kita sudah kerahkan 500 pegawai keselamatan kita untuk menjaga keselamatan semasa demonstrasi ini berjalan, kesemua pegawai keselamatan ini ditempatkan di sepanjang perjalanan menuju ke Istana Negara.

“Walaupun polis akan mengawal keadaan esok (hari ini) dan mungkin juga akan melakukan sekatan di beberapa jalan kita harap pegawai keselamatan kita ini dapat menjalankan tugas dan menunjukkan kepada penyokong laluan yang betul menuju ke sana (Istana Negara),” katanya.

Badrul Amin turut meminta supaya semua penyokong yang menyertai perarakan berkelakuan baik dan tidak termakan dengan provokasi yang mungkin akan dilakukan GAPS.

“Kepada penyokong saya minta supaya mereka bersabar, berdisiplin, mengikut arahan dikeluarkan, jangan berkelakuan tidak elok dan jangan termakan dengan provokasi yang dibuat pihak satu lagi.

“Kita juga harap supaya pegawai keselamatan kita dan pihak polis dapat mengawal keselamatan agar rancangan murni kita akan berjalan lancar,” katanya.

Namun bagi GAPS lain mula jadinya apabila kumpulan itu masih belum mempunyai lokasi untuk berkumpul dan masih menunggu kebenaran daripada pihak polis.

Menurut Pengerusi GAPS Hamidzun Khairuddin, pihaknya masih belum mempunyai lokasi untuk berkumpul dan masih mengadakan perbincangan dengan pihak polis.

“Bagaimanapun kita akan berkumpul pada pukul 11 pagi, tempat kita belum tahu.

“Kita akan tetap teruskan usaha ini dan mengenai lokasi tiada masalah, kita akan pastikan tempat itu,” katanya.

The Malaysian Insider difahamkan mereka akan berkumpul di Jalan Bellamy, berhampiran Istana Negara.

Hamidzun berkata dijangkakan 3,000 orang akan menyertai perarakan untuk menyerahkan memorandum itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Persiapan akhir kita sudah buat, arahan juga sudah dikeluarkan dan kita jangkakan 3,000 penyokong akan mengiringi kita ke Istana Negara.

“Yang penting, kita ingin menyampaikan hasrat ini tentang 30 perkara penyelewengan kerajaan Selangor.

“Saya juga minta agar kita tidak akan bertembung dengan kumpulan satu lagi bagi mengelak sebarang kejadian berlaku,” katanya sambil berkata akan menyerahkan memorandum itu sebelum ataupun selepas kumpulan antikenaikan harga air menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga turut meminta supaya polis dapat menjalankan tugas dengan baik dan profesional bagi menjaga keselamatan awam.

“Kita harap polis dapat menjalankan tugas mereka dengan baik, jangan halang perarakan yang kami ingin lakukan.

“Sila hormati hak kami untuk mendapat keadilan bagi seluruh rakyat Selangor,” katanya.

Kelmarin, Hamidzun berkata GAPS akan berkumpul di Masjid Jamek sebelum berarak ke Istana Negara.

Kedua-dua kumpulan ini boleh dibezakan dari aspek pemakaian yang mana GAPS akan memakai baju berwarna hitam manakala kumpulan antikenaikan harga air akan memakai baju berwarna merah.

Palsukan Tandatangan - Satu Jenayah Serius

Menuntut penjelasan Saifuddin Nasution

Belum sempat kering luka-duka pemilihan PKR selepas enam bulan yang begitu menyakitkan, selepas kami akur menghormati parti dengan memejam mata kepada salahlaku pemilihan PKR, selepas melihat pimpinan mengiktiraf ketidakadilan menyelubungi pemilihan PKR, PKR diserang lagi.

Satu demi satu isu melibatkan parti ditimbulkan. Kali ini bekas Setiausaha Agung, Datuk Salehuddin Hashim mendakwa Ibu Pejabat parti telah menggunakan nama dan tandatangan beliau untuk mengeluarkan satu surat palsu yang dijadikan bukti untuk menghalang Jenapala dari bertanding jawatan timbalan presiden semasa pemilihan baru-baru ini.

Jika benar dakwaan Datuk Salehuddin, maka parti akan sekali lagi berdepan dengan permasalahan. Imej parti akan bertambah buruk dan kredibiliti parti akan tercemar lagi.

Menggunakan tandatangan dan nama orang lain adalah salah, pecah amanah dan jenayah.

Saya percaya Ibu Pejabat tidak seberani itu untuk memalsukan tandatangan dan nama orang lain, apatah lagi nama seorang Setiausaha Agung secara memandai-mandai. Tetapi sesudah melihat bagaimana Ibu Pejabat mengendalikan pemilihan PKR, saya mula ragu-ragu kebarangkalian wujudnya kebodohan yang memberanikan Ibu Pejabat Parti untuk bertindak sedemikian.

Minit mesyuarat Biro Politik pada 30 Ogos 2009 menunjukkan kes Jenapala masih lagi dibincangkan. Ini bermakna Jenapala masih lagi anggota parti. Surat pemecatan Jenapala pula bertarikh 2 Febuari 2009.

Pimpinan parti hingga sekarang seolah terkelu lidah dan terus membisu, enggan memberi penjelasan barang secebis pun bagaimana percanggahan tarikh ini boleh timbul.

Secacat-cacat surat pecat yang pernah saya tengok, tiada yang secacat surat yang membuang Jenapala dari jadi ahli. Mesyuarat MPP mana satu yang memutuskan untuk dia dipecat pun tidak dinyatakan dalam surat itu!

Itu sahaja sepatutnya sudah cukup asas untuk mencurigai kesahihan surat itu. Tidakkah surat itu dibelek dan diusulperiksa oleh YB Saifuddin sebelum dia mengetengahkan surat itu kepada pihak mahkamah sebagai sebahagian dari afidavit balas beliau?

Melihat dakwaan dengan fakta yang dikemukakan dan keengganan Parti untuk memberi hujah balas mengenai fakta-fakta tersebut, semuanya mengundang kegelisahan ramai ahli bawahan dan penyokong parti tentang apa sebenarnya yang berlaku.

Apakah benar Ibu Pejabat menggunakan nama dan tandatangan Datuk Salehuddin untuk mengeluarkan surat palsu? Jika benar, siapakah yang bertanggungjawab?

Dakwaan dan salahlaku sebegini amat serius dan bukanlah perkara yang boleh diambil enteng. Apatah lagi PKR sebagai sebuah parti reformasi gerakan rakyat yang menjunjung nilai-nilai murni.

Lebih malang lagi perkara-perkara sebegini mengundang pihak polis untuk bertandang di dalam Ibu Pejabat parti dan boleh mengheret parti ke mahkamah. Satu-persatu isu akan timbul dan sudah tentu akan menjejaskan kredibiliti parti serta menghakis keyakinan rakyat dan ahli-ahli.

Peringatan saya kepada pemimpin parti bahawa di dalam Pakatan Rakyat, PKR adalah yang paling lemah. Lemah dari segenap aspek berbanding PAS dan DAP. Satu persatu cerita negatif PKR menjadi sensasi politik.

Sudah tentu tempiasnya juga memberi kesan kepada PAS dan DAP. Sekiranya cerita buruk PKR timbul berterus-terusan, tentu ini akan mengundang kemarahan PAS dan DAP.

Oleh itu, Setiausaha Agung, Sdr YB Saifuddin Nasution hendaklah menjelaskan kepada semua ahli dan penyokong parti: apakah sebenarnya yang telah berlaku? -mk