6 Jul 2011

Logo BERSIH Pada Topi Kominis - Pengkhianatan & Fitnah Melampau Gertak

Kuala Terengganu, 6 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) memandang serius kain rentang dan kad jemputan program ‘Ganyang Komunis’ yang diedar oleh Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) yang memaparkan logo Bersih pada topi ‘Komunis’.

Setiausaha DPPNT, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, kain rentang tersebut dapat dilihat di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu dan Kad Jemputan tersebut turut disebarkan melalui laman sosial Facebook.

Beliau menambah, ia secara langsung telah mengaitkan Bersih 2.0 dengan komunis dan menggambarkan perjuangan Bersih 2.0 adalah sama dengan perjuangan komunis.

“Maka dengan itu, DPPNT memandang bahawa ini merupakan satu cubaan untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu sebenar yang diperjuangkan oleh Bersih 2.0,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, lapan tuntutan itu ialah penghapusan undi pos, pembersihan daftar pemilih, akses yang adil terhadap media, penggunaan dakwat kekal, masa berkempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Menurutnya, amat menyedihkan dan merupakan suatu perkara yang tidak boleh diterima akal yang waras apabila ada pihak iaitu Gertak yang mengambil kesempatan mengaitkan Bersih 2.0 dengan ideologi perjuangan komunis.

Sehubungan dengan itu, tegasnya DPPNT menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap Gertak yang jelas cuba melakukan provokasi secara melampau dan biadab.

Katanya, rakyat tidak pernah lupa bahawa pihak yang sama juga pernah menganjurkan program MELAYU BANGKIT pada 13 Mei tahun lalu.

“DPPNT ingin menegaskan di sini bahawa Gertak merupakan sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar yang dibayangi di oleh Umno Terengganu.

“Pengerusi Gertak, Razali Idris merupakan Naib Ketua Umno Bahagian Marang. Tindakan Umno merestui program ini menyerlahkan sikap Umno terhadap keharmonian rakyat,” katanya.

Ini, ujarnya jelas berbeza dengan Bersih 2.0, merupakan Gabungan NGO berdaftar yang bergabung bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Apatah lagi, katanya Bersih 2.0 sudah mendapat perkenan daripada DYMM Tuanku Sultan untuk mengadakan himpunan secara aman di stadium.

Justeru, tambahnya mana-mana tindakan yang berbentuk kekerasan dan provokasi seperti program Gertak, rampasan baju, penahanan penyokong Bersih 2.0, sekatan-sekatan jalanraya yang tidak munasabah dan seumpamanya hendaklah dihentikan.

“Kami turut menggesa pihak berkuasa agar membebaskan penyokong-penyokong Bersih 2.0 dan mengembalikan semula baju-baju dan bahan-bahan Bersih 2.0 yang dirampas.

“Sekiranya gesaan ini gagal dan tidak diendahkan, maka boleh dianggap sebagai derhaka kepada DYMM Tuanku Agong yang merupakan Ketua Negara,” katanya lagi.

Beliau menambah, isu Bersih 2.0 mengancam keselamatan awam langsung tidak timbul kerana Bersih 2.0 bukanlah satu gerakan bersenjata yang ingin menjatuhkan kerajaan tetapi merupakan badan yang bertindak menuntut suatu pilihanraya yang bersih dan adil.

Justeru, katanya DPPNT percaya isu penemuan senjata bersama-sama T-shirt Bersih adalah satu provokasi terancang oleh pihak-pihak tertentu. -HD

Adukan Saja Perlakuan Polis, Menteri KDN & Perkasa Kepada Agong!

Hisham: Tangkapan pencegahan diteruskan

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, penguatkuasaan, termasuk tangkapan pencegahan ke atas aktivitis yang berkaitan dengan perhimpunan BERSIH 2.0 pada Sabtu ini akan berjalan seperti biasa.

"Saya percaya begitu. Ia masih haram dan masih jatuh (tertakluk) bawah undang-undang negara. Kita konsisten," katanya ketika ditanya sama ada tangkapan akan diteruskan jika perlu.

Bercakap pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini, Hishammuddin juga berkata larangan memakai baju kuning BERSIH 2.0 juga masih berkuatkuasa dan mereka yang memakai ataupun memilikinya akan ditangkap dan didakwa.

Katanya, perkara itu selaras dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini bahawa kerajaan peduli pada keadaan keselamatan kerana demonstrasi jalanan merupakan perkara serius.

"Undang-undang tetap di situ (seperti biasa)," katanya.

Sejak seminggu lalu, kerajaan memperhebatkan tekanan ke atas penganjur BERSIH 2.0 dengan tidak kurang 200 orang termasuk beberapa ahli parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat yang ditangkap.

Ini termasuk mereka yang memakai dan menjual barangan BERSIH 2.0 seperti baju dan lilit kepala serta penganjur ceramah yang memujuk orang ramai menyertai perhimpunan itu.

Pada kemuncak ketegangan, bukan sahaja perhimpunan itu dilabelkan haram tetapi BERSIH yang mewakili 62 NGO juga diisytiharkan oleh Hishamuddin sebagai haram.

Bagaimapun campur tangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Ahad lalu, yang bertitah demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik, berjaya mengendurkan keadaan untuk seketika.

Selain ingatan itu, Seri Paduka juga menyeru pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

Baginda tidak mahu melihat negara majmuk ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Sehubungan titah itu, Ambiga memohon pertemuan untuk mengadap Tuanku Mizan.dan semalam diperkenankan baginda.

Setelah mengadap Seri Paduka, Ambiga mengumumkan BERSIH 2.0 bersedia mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di dalam stadium.

Mengalu-alukan keputusan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan sedia bertemu dengan BERSIH 2.0 untuk membincangkan secara terperinci berhubung perhimpunan itu.

Bagaimanapun bercakap pada sidang media di di Putrajaya hari ini, Hishammuddin berkata kementeriannya tidak dapat mengesahkan sama ada BERSIH 2.0 akan diberikan permit untuk perhimpunan di stadium Sabtu ini.

Sebaliknya, ulangi beliau, penguatkuasaan, termasuk tangkapan pencegahan akan berjalan seperti biasa.


Pakatan tetap sokong Bersih walaupun Menteri kata haram


Hishammuddin bersikap keterlaluan apabila mengenepikan semangat rundingan yang dibuat bersama Yang Dipertuan Agong, kata Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mengulangi pendirian menyokong sepenuhnya bperhimpunan Bersih pada 9 Julai ini di Stadium Merdeka walaupun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menyifatkan himpunan itu sebagai haram.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Hishammuddin bersikap keterlaluan apabila mengenepikan semangat rundingan yang dibuat bersama Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan memberi pelbagai alasan agar perhimpunan tidak diadakan di stadium.

Anwar turut membuat gesaan ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar mengambil semangat rundingan bersama Agong supaya tidak mengeruh keadaan lagi.

“Kami Pakatan Rakyat sokong sepenuhnya perhimpunan Bersih di Stadium Merdeka dan kerah 300,000 rakyat untuk berhimpun.

Setelah dengar nasihat Agong masih ada gerombolan KDN (Kementerian Dalam Negeri) yang cuba sabotaj persefahaman yang tercapai.

“Kami kesal dengan kenyataan dan sikap keterlaluan Menteri KDN yang menyimpang dari semangat rundingan dan seolah-olah tidak mempedulikan rundingan dengan Seri Paduka dan mahu semangat itu diketepikan begitu saja.

“Saya turut menggesa PDRM ambil kira semangat ini dan jangan keruhkan keadaan dengan buat tangkapan ke atas ahli Pakatan. Ahli PAS-DAP-PKR ditangkap kerana pakai baju kuning.

“Hari ini saya pakai kuning…..tapi masih belum kena tangkap,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di ibu negara hari ini.

Perhimpunan dapat perkenan Agong

Ketika ditanya pemberita mengenai permit, Anwar berkata pihak perkara itu sudah mendapat perkenan Agong dan pihak polis juga sedia maklum mengenai perhimpunan tersebut.

Menyentuh mengenai insiden terbaru apabila pihak polis menemui beberapa bilah parang dan bom petrol semalam, Anwar berkata Pakatan sentiasa menerima tempias tersebut.

“Kami sudah biasa dengan taktik ini. Tiap kali tuntutan……keris, pisau dikeluarkan. Warna cukup teratur dan warna sama sahaja. Lihat sahaja insiden 1974 dan 1998 ada ejen provokator. Ada yang bakar tayar…..lepas tu salahkan Pakatan,” katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata perhimpunan bukan perkara baru di negara ini, namun Bersih menampakkan kelainan.

“Pegawai tinggi PDRM kata ada pertumpuhan darah dan tidak benar perhimpunan yang mencemarkan negara. Tapi lihat seperti di Pulau Pinang ada kumpulan bawa itik, pukul wartawan. Tapi masih tiada kenyataan daripada pegawai tertinggi polis dan KDN,” katanya.

Mat Sabu yang merupakan Timbalan Pengerusi Bersih menjelaskan perhimpunan hanya akan diadakan di Stadium tanpa sebarang gerakan jalanan seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Bagi Penasihat DAP Lim Kit Siang, beliau berharap selepas pertemuan dengan PDRM semalam pihak berkuasa terbabit dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Harap PDRM dapat menjaga keselamatan sepanjang perhimpunan dengan baik. Polis sepatutnya menghormati semangat rundingan Agong dan menjaga keamanan perhimpunan pada Sabtu ini,” katanya. -FMT


Ulasan GB

BERSIH dan PR semacam mudah sangat dipermain-mainkan sahaja oleh Kerajaan BN bersama pihak polis.

Sepatutnya tadi, memorandum bantahan telah dibuat kepada Yang Dipertuan Agong terhadap sikap polis, menteri KDN dan Perkasa yang ternyata tidak menghormati titah Yang Dipertuan Agong.

Bukankah sudah terang lagi bersuluh tindakan-tindakan dan kenyataan-kenyataan polis berserta menteri KDN dan Perkasa sedang menyemarakkan lagi ketegangan yang telah dikendurkan oleh Yang Dipertuan Agong?

Agong kita tahu undang-undang. Agong kita tahu apa yang perlu dilakukan. Sepertimana Agong pernah menolak kehendak Perdana Menteri 9waktu itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) untuk melantik Shahidan Kassim dan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar di negeri masing-masing.

Bak kata TG Nik Aziz di dalam warkahnya kepada Agong: YDPA juga umpama “ibubapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah.”

Dan PAS perlu panggil satu Munajat Perdana, supaya kita mengadu terus kepada Ilahi.

Di dalam keadaan seperti ini pemimpin Bersih dan PR perlu betindak pantas. Procrastination will lead to failure every time.

Teringat lirik M.Nasir – Mantera Beradu, “Kucing bawa tidur rimau bawa igau, masuk tempat orang bawa otak bukan pisau.”

Akhirnya Kerajaan Akui Kemahiran Penggodam Akan Digunakai

Kemahiran Penggodam Siber Akan Diguna Pakai - Fadillah

PUTRAJAYA: Kerajaan mahu mendekati penggodam siber bagi lebih memahami dan memanfaatkan kemahiran dan bakat mereka, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof.

Ini termasuk menghadiri persidangan tahunan pihak tersebut, katanya.

Beliau berkata terdapat juga perkara positif di kalangan penggodam.

"Untuk tujuan ini, CyberSecurity, Majlis Keselamatan Negara, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mesti bersama mereka agar kita dapat mengetahui rangkaian penggodam yang lebih luas.

"Akhirnya kita boleh memahami siapa penggodam yang baik dan jahat. Kita juga boleh mempelajari bagaimana untuk mempertahankan diri kita (dari serangan penggodam)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai jenayah siber di sini, Selasa.

Seminar tiga hari tersebut anjuran Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia yang julung kali diadakan memperkatakan tentang aspek perundangan dan teknikal jenayah siber.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lefenan Kolonel (B) Datuk Husin Jazri berkata terdapat pengajaran daripada kejadian serangan penggodam terhadap beberapa laman web baru-baru ini.

Beliau berkata sehubungan itu langkah perlu diambil untuk mendekati generasi muda yang memiliki bakat dan kemahiran siber. "Kadang-kala golongan muda ini tidak gembira dengan sesetengah isu atau tindakan lalu memilih untuk menggodam, jadi kita perlu mendekati mereka agar mereka dapat menyalurkan ketidakpuasan hati mereka dengan cara yang positif," kata Husin.-BERNAMA

Ulasan GB

Tahniah dan syabas kerana akhirnya kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengakui bahawa tidak semua penggodam adalah jahat dan buruk.

Tidak seperti Menteri Penerangan Komunikasi dan Multimedia yang menunjukkan lagak bodoh mengugut dan mengancam secara borong kesemua penggodam yang telah menyerang lamanweb kerajaan Malaysia sebelum ini.

GB telah mengulas sebelum ini. Petikan:


Di luarnegara, misalnya di Singapura, diwujudkan pertandingan dan dijemput semua para hackers untuk cuba menceroboh lamanweb-lamanweb kritikal negara tersebut, dan mereka yang berjaya akan diberikan imbuhan/hadiah berupa wang tunai.

Ia dilakukan oleh Singapura bertujuan untuk mempastikan sistem keselamatan mereka benar-benar utuh dan kukuh serta tidak mudah untuk dicerobohi.

Malah beberapa institusi pendidikan di Singapura menawarkan "biasiswa" bagi pelajar-pelajar yang mengikuti program "EC-Council" bagi mewujudkan penggodam yang beretika.

Di dalam disiplin ilmu komputer di bidang pemprogramman web dan kejuruteraan perisian, sebelum sesebuah lamanweb dilancarkan perlu dilakukan "pilot testing" dimana semua pihak dipanggil untuk menggodam. Apabila ia benar-benar telah diyakini "kebal" barulah dilancarkan.

Di Malaysia tidak berlaku begitu. Penggodam dijadikan musuh. Wang habis berjuta dengan outsourcing, hanya gempaq di hari pelancaran kemudian didapati rapuh dan sistem berlubang di sana sini.

Lamanweb 1Malaysia kepunyaan TPM, Muhyiddin Mohd Yassin hanya bertahan seminggu selepas itu hilang ghaib di persada maya.

Ini semua berkait rapat dengan "sikap" dan "mentaliti" menteri, pemimpin dan pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan, boleh melihat penggodam sebagai musuh atau pembantu. Tetapi kerana di Malaysia ini ramai di kalangan mereka adalah terdiri dari yang kurang membaca, buta IT dan tak tahu ABC komputer, maka di takuk itulah pemikiran dan tindakan mereka. Yang rugi ialah negara.


Kompleks Seri Perdana - Lokasi Perhimpunan Paling Selamat

Himpunan Bersih 2.0 sepatutnya di rumah Najib

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Perhimpunan Bersih 2.0 sepatutnya dibuat di kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bukan di stadium, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Oleh kerana (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) takut sangat rakyat berarak secara aman di jalan raya kononnya banyak orang akan tumpang semangkuk untuk membuat kacau, kita berharap beliau dapat menawarkan Kompleks Seri Perdana yang menjadi kediaman rasminya untuk menjamin keadaan yang benar-benar aman dan tenteram.

"Najib cadang buat perhimpunan itu di stadium kerana beliau takut jika berarak ke istana di jalan raya, orang yang suka kepada rusuhan dan kekacauan akan tumpang sekaki dan akan berlaku keadaan yang kita hendak elakkan, tetapi buat di stadium pun gerombolan yang mengugut akan berlaku bakar kereta dan baling batu serta menyuruh orang Cina menyimpan beras boleh tumpang sekaki.

"Mereka memang tergila-gilakan rusuhan dan kekacauan," katanya.

Tetapi, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, jika perhimpunan memperjuangkan pilihan raya adil dan bersih itu dibuat di kediaman rasmi Perdana Menteri, tak mungkin gerombolan itu akan membuat kacau kerana mereka tentu tidak mahu membuat kacau di kediaman rasmi ketua mereka sendiri.

"Sebab itulah, jika Perdana Menteri benar-benar bersungguh-sungguh hendak menjaga keamanan dan ketenteraman, Seri Perdana yang merupakan kediaman rasmi beliau adalah tempat yang paling selamat untuk beliau tawarkan sebagai medan perhimpunan Bersih.

"Jika dibuat di kediaman Najib, gerombolan yang terjerit-jerit hendak membaling batu dan membakar kereta bukan sahaja tidak akan membuat kacau, malah mereka akan pastikan pula keamanan dan ketenteraman di kediaman rasmi ketua mereka sendiri tidak diganggu gugat,"
katanya.

Mahfuz berharap Najib akan menawarkan Kompleks Seri Perdana sebagai tempat perhimpunan Bersih jika beliau benar-benar serius tak mahu mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara seperti yang dinyatakannya. -HD

TERKINI: Pihak Stadium Merdeka Tolak Tempahan BERSIH

Pihak pengurusan Stadium Merdeka telah menolak lokasi itu dijadikan tempat himpunan BERSIH 2.0 yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Menurut kenyataan di Facebook BERSIH 2.0, pegawai tempahan memberikan beberapa 'alasan' untuk menolak tempahan itu.

“Antara alasan yang tidak jelas yang dibekalkan oleh pegawai itu adalah 'majlis pengurusan sukan dalaman' dan 'kerja-kerja ubahsuai'.

“(Ini) di sebalik kenyataan ada rancangan bagi mengadakan 'Konsert Raksaksa 2' pada 9 Julai di Stadium Merdeka,” petik kenyataan itu.

Konsert Raksaksa 2, memaparkan legenda tempatan seperti Sweet Charity dan Blues Gang, bagaimanapun telah ditunda sehingga 1 Oktober kerana faktor keselamatan.

Ulasan GB

Sepatutnya pihak penganjur BERSIH pastikan dahulu tempahan baru umumkan lokasi.

Ini yang tak betul di dalam pengurusan penganjuran.

GB dah cadangkan di Stadium Shah Alam sebelum ini. MB Selangor pun dah pelawa.

Sekarang Ambiga kena buat keputusan cepat. Masa sudah suntuk.

Esok yang jauh ada yang dah kena bertolak ke Kuala Lumpur.

Berhimpun Berbaju Kuning Di Stadium Merdeka

Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga mengumumkan bahawa pihaknya akan berhimpun di Stadium Merdeka pada 9 Julai ini mulai jam 2 hingga 4 petang.

"BERSIH 2.0 bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana jua pihak bagi memastikan perhimpunan ini berjalan dengan aman dan lancar," katanya pada sidang media di ibu negara pagi ini.

Sehubungan itu, Ambiga juga menuntut pihak berkuasa menghentikan segala hambatan dan tekanan pihak berkuasa ke atas penyokong sejak minggu lalu dan berterusan sehingga hari ini.

Tidak kurang 100 orang termasuk wakil rakyat dari Pakatan ditangkap dan ditahan kerana memiliki dan memakai baju BERSIH. Malah ada juga yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat kerana dsidakwa terbabit dengan gejala subversif.

Ambiga juga mahu semua yang ditahan itu dibebaskan pada kadar serta merta.

Bekas presiden Majlis Peguam itu juga berkata pihaknya telah mempersembahkan kenyataan dan pendirian mereka dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Tuan Mizan Zainal Abidin semalam.

Kenyataan dan pendirian tersebut adalah :

* BERSIH 2.0 menerima tawaran kerajaan untuk mengadakan rapat umum di stadium. BERSIH 2.0 berharap polis memberi kerjasama untuk memastikan perhimpunan berjalan lancar. Wakil BERSIH 2.0 tidak melebihi 10 orang akan menyerahkan satu memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

* Kerajaan mesti menunjukkan 'niat baik' (good faith) dengan membebaskan semua yang telah ditahan termasuk individu-individu yang ditahan di bawah Ordinan Darurat dan memberhentikan tekanan, gangguan serta halangan kepada penyokong BERSIH 2.0

* Menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk pembaikan sistem dan proses pilihan raya.


Dalam kenyataan yang dibacanya, Ambiga turut mengulas mengenai tuntutan pihaknya berhubung penubuhan suruhanjaya diraja bagi mengkaji tuntutan BERSIH yang mendesak pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara ini.tersebut.

Katanya suruhanjaya itu ditubuhkan untuk mengkaji secara menyeluruh kelemahan-kelemahan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan mencadangkan penambahbaikan kepada sistem dan proses pilihan raya yang sedia ada.

"Suruhanjaya ini hendaklah dianggotai mereka yang berkaliber dan mewakili semua pihak yang berkepentingan," katanya.

Selain lapan tuntutan utama BERSIH, Ambiga yang juga seorang peguam mendesak agar keenam-enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) mesti dibebaskan serta-merta atau di hadapkan ke mahkamah.

"Pendakwaan terhadap mereka yang ada kaitan dengan BERSIH 2.0 (perlu) ditarik balik atau digugurkan," katanya sambil menuntut mereka yang masih ditahan, hendaklah dibebaskan tanpa syarat.

Ambiga juga berharap semua gangguan, ugutan, tuduhan dan fitnah terhadap penyokong BERSIH 2.0 dihentikan.

"Ini bermakna rakyat dibenarkan memakai baju kuning.

"Usaha-usaha menjayakan perhimpunan BERSIH 2.0 di stadium tidak dihalang,"
katanya.

Sehubungan itu, pihaknya sedang berusaha untuk menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara ini.

Mengulas lanjut, Ambiga berkata pihaknya telah menghantar surat untuk berjumpa Najib dan berharap dapat bertemu "secepat mungkin".

"Kami berharap (dapat bertemu beliau) hari ini," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan memohon permit polis bagi mengadakan perhimpunan tersebut, Ambiga berkata:

"Mengenai (perhimpunan) di Stadium Merdeka, kami akan cuba untuk mendapatkannya. Kami belum memperolehinya lagi.

Ditanya sama ada pihaknya permit, Ambiga berpendapat apabila kerajaan berkata perhimpunan itu boleh diadakan di Stadium, maka apakah perlu lagi permit.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya akan bekerjasama dengan pihak polis khususnya berkaitan dengan perjalanan trafik pada hari perhimpunan tersebut.

Berikutan itu, Ambiga menegaskan pihaknya menyediakan kira-kira 5,000 pengawal untuk menjaga keselamatan pada perhimpunan tersebut.

Bahkan, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam pada hari tersebut.

"Saya percaya, sekiranya mereka (polis) bekerjasama dengan kami, kita akan merasai keseronokan perhimpuanan aman ini," katanya.

Katanya, beliau menjangka ramai penyokong BERSIH akan menghadiri perhimpunan di stadium berkenaan yang menurutnya, boleh menampung kira-kira 50,000 orang.

Beliau juga menjemput semua pihak khususnya Pemuda Umno untuk menyertai perhimpunan tersebut, ekoran kesediaan pergerakan itu berbincang berkaitan pembaharuan sistem pilihan raya.

Ambiga juga turut mengalu-alukan penyertaaan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) sekiranya mereka menyokong tuntutan gabungan itu.

Ditanya bagaimana pihaknya akan menyerahkan memorandum tersebut, Ambiga berkata beliau bersama jawatankuasa Pemandu BERSIH, yang menurutnya tidak melebihi 10 orang, akan ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut. -mk


Bersih 2.0: Pemuda pastikan 30,000 setiap negeri

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Dewan pemuda PAS Pusat mengulangi komitmen mereka untuk menghantar 30,000 ahlinya dari setiap negeri ke himpunan aman Bersih 2.0 yang dijadual diadakan di Stadium Merdeka pada Sabtu ini.

"Kami akan pastikan jumlah asal 30 ribu pemuda dari setiap negeri akan dicapai.

"Kita harap jangan luntur semangat dan batal hasrat menyertai himpunan tersebut walaupun telah ditukar ke stadium," kata ketuanya, Nasruddin Hassan kepada Harakahdaily hari ini.

Selain hak yang diperuntukkan perlembagaan, perhimpunan itu juga sebagai menghormati titah Yangd i-Pertuan Agong yang memperkenan himpunan itu diadakan di stadium.

Pihak istana juga ujarnya, akan menghantar wakil mereka untuk menerima memorandum di stadium itu nanti.

Sehubungan itu, beliau juga mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membenarkan Bersih 2.0 menggunakan Stadium Merdeka sebagai menunaikan janjinya sebelum ini yang membenarkan himpunan tersebut diadakan di stadium.

"Kini giliran kerajaan menunjukkan keikhlasan terhadap janjinya.

"Saya minta pemuda yang akan datang ke sini, memakai baju bersih dan jangan takut, Agong pun terima Bersih 2.0 mengadap, bermakna Bersih bukan pertubuhan haram seperti didakwa BN.

"Saya harap pihak polis tidak melakukan sekatan atau halangan yang menyukarkan anggota kami berhimpun di Stadium kelak,"katanya lagi.

Beliau merujuk anggota jawatankuasa Bersih yang terdiri daripada pengerusinya Datuk S Ambiga , Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin yang mengadap Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, petang semalam.

Dengan perkembangan terbaru itu juga, Nasruddin mendesak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri dan polis membebaskan semua tahanan yang dikatikan sebagai menyokong Bersih yang ditangkap sebelum ini.

Kerajaan juga ujarnya mesti menarik balik kenyataan dan tindakan mereka mengharamkan pemakaian baju Bersih 2.0

Selain itu beliau juga mendesak semua pertuduhan yang dikenakan kepada mereka yang ditangkap ditarik balik. -HD


Kuala Lumpur Sesak Teruk: Langkah Polis Adakan Sekatan Susahkan Rakyat Dikecam

Sekatan polis: Kuala Lumpur sesak teruk

Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya pagi ini menyaksikan kesesakan teruk akibat sekatan jalanraya yang dilakukan oleh polis dalam usaha melumpuhkan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) yang dijadualkan Sabtu ini.

Antara jalan-jalan yang terjejas adalah Lebuhraya Persekutuan berhampir Subang Parade, Subang Jaya berhampiran Kolej Segi College, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan lebuh raya KL-Seremban di Seri Kembangan.

Kebanyakan pengguna jalanraya berang dengan tindakan polis itu sehingga menyebabkan ramai yang terkandas dalam perjalanan dan lewat ke destinasi masing-masing.

Ada yang meluahkan perasaan mereka di lama sosial seperti Twitter dan Facebook.

Berikut sebahagian daripada komen mereka.

Cikgu Din Sas: Jika England,, polis memberi jaminan keselamatan kepada peserta unjuk rasa.Begitu juga Indonesia.

Ajuad Aziz: kt port klang pn ade ni, nk g kje pon jem, ape the.....

Don Sha: Hapa pun tableh!

Mohd Shahran Shah: dah nampak dah sapa nak buat kacau....

Ivancph Ivan: sengaja polis ada kan roadblock waktu peak hour supaya rakyat boleh salah kan BERSIH. Entah pa mereka nak mengesan. ah moi dari china baru lepas kerja morning shift kat SPA ker?

Vijayan KrsnaZing: apa la yg kamu nak cuba buat ini? memang saya tak faham la!

Jer Saja: kerajaan dan polis nak balas dendam terhadap rakyat ingin nak bersih..... bila rakyat balas hadiah seperti ni pada kerajaan BN?

Uwais Al Qarni: Bukan saja KL hampir 1 semenanjung dkerahnya bt r.block,, ngabih duit minyak aku aje beratur panjang camni.

Paklah Damansara: sekarang siapa punca kl jem prdm or bersih najib bahlul jawablah

RT @morticya33: Haiya, patutla jam, police blocking the exit of Subang to Fed Highway from 3 lanes to 2 kltraffic

RT @syazwinasaw: All ways out of Subang have been blocked by police trying to create havoc aftr last nite's FRU showdown at a ceramah.

RT @saimatkong: OMG jam is everywhere & U will be late today! There's roadblock everywhere! One after toll towards Sunway. Use other roads...

RT @Wwyda: NO WONDER. Roadblocks during rush hour, really? Roadblocks in and out USJ, in front of summit. Only 1 lane in use.

RT @SookLee17: Are they out of their mind? Having road block at Sunway toll at this hour!

RT @cottonkyandyi: Can someone tell me what's happening? Kinrara - bkt jalil; unusual jam!

RT @amptraffic kltu 0802: BESRAYA: crawl frm UPM-Sri Kembangan, roadblock at KM3.6. If u r coming frm SILK, expect delays frm Cheras Jaya.

RT @twentyplus: Alert, heavy jam at LDP due to Bersih roadblock, malaysia police boleh!

@kltraffic: dear dato @NajibRazak, i believd this rdblock thing is inappropriate n too extreme. my2cents.

Intimidasi Berterusan Terhadap BERSIH: Bawa KPN & Timb KPN Menghadap Agong

Hambatan ke atas BERSIH 2.0 berterusan

Pihak polis terus menghambat aktiviti yang berkaitan dengan perhimpunan BERSIH 2.0 yang dijadualkan Sabtu ini meskipun perdana menteri secara dasar telah memberikan persetujuan bagi pertubuhan itu berhimpun di sebuah stadium.

Di Negeri Sembilan, dua aktivis PKR ditangkap semalam kerana memiliki barangan berkaitan BERSIH.

Menurut ketua bahagian PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin, ahli parti itu R Tangam ditangkap ketika memakai baju T kuning BERSIH 2.0.

Tangam dikatakan disoal-siasat di ibu pejabat polis daerah Seremban selama tiga jam dan dibebaskan kemudian.

Menurut Badrul Hisham, seorang lagi aktivis PKR Norliza Shamsudin, 49, ditahan apabila polis menjumpai butang lencana BERSIH 2.0 di dalam poketnya.

Norliza pula dikatakan ditahan pada jam 1 petang dan belum dibebaskan. Badrul Hisham berkata Norliza juga dinafikan sebarang hak lawatan.

"Polis bertindak tanpa mengikut lunas undang-undang. BERSIH 2.0 telah mengadap Agong dan bersetuju bahawa perhimpunan diadakan dalam stadium,” kata Badrul Hisham ketika dihubungi.

Malam semalam, sebuah dewan di Kota Damansara, Petaling Jaya yang digunakan bagi memberi taklimat kepada sekumpulan ahli PAS dan PKR Subang terganggu apabila polis bertindak mengepung bangunan itu.

Menurut peguam Farhana Abdul Halim, PKR bahagian Subang menjemput kumpulannya- Lawyers for Liberty - untuk mengendalikan taklimat berhubung hak rakyat apabila ditahan polis.

Katanya, kira-kira 50 anggota polis menyerbu dewan itu dan berkata permit polis diperlukan bagi majlis itu.

"Kami amat kecewa dengan polis, khususnya setelah BERSIH 2.0 telah mengadap Agong, Mereka telah dapat lampu hijau untuk teruskan (perhimpunan itu).

"Hujah bahawa kumpulan ini tidak mempunyai permit juga tidak berasas. Awak tidak perlukan permit untuk mesyuarat di dalam bangunan,” katanya ketika dihubungi.

Ulasan GB

Polis perlu hentikan gangguan dan tekanan terhadap semua aktiviti BERSIH kerana ia jelas memperlihatkan sikap derhaka kepada Yang Dipertuan Agong yang telah bersetuju membenarkan perhimpunan BERSIH diadakan pada hari Sabtu ini bertempat di stadium.

Sikap degil yang ditunjukkan oleh pihak polis sekalipun telah mengatahui perkenan Agong tersebut terhadap jawatankuasa BERSIH amat dikesalkan dan boleh dikenakan tindakan.

Integriti dan kredibiliti polis kini benar-benar tercemar. Ternyata mereka kini BUKAN untuk menjaga keselamatan negara tetapi untuk kepentingan parti UMNO BN.



SYABAS Diperintahkan Bayar RM40,000 Kepada Peguam & Harakah

Peguam kerajaan Selangor Fahda Nur Ahmad Kamar (gambar) dibebaskan daripada dakwaan menghina mahkamah dalam prosiding sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mohd Arif Mohd Yusof memutuskan bahawa kenyataan Fahda dalam program ceramah untuk guru-guru agama, yang dilaporkan organ PAS Harakah, tidak menghina mahkamah.

"Langganan Harakah hanya terhadap kepada anggota PAS dan oleh itu tidak mungkin dapat mempengaruhi penghakiman perbicaraan yang merupakan hakim profesional, dalam mendengar saman oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS)," katanya.

Hakim Mohd Arif mengarahkan Syabas membayar kos RM20,000 kepada Fahda dan jumlah sama kepada Harakah.

SYABAS memfailkan tindakan mahkamah terhadap kerajaan Selangor tahun lalu kerana tidak menaikkan tarif air.

Syarikat itu kemudiannnya memfailkan prosiding menghina mahkamah kepada Fahda yang mewakili kerajaan Selangor.

Artikel dalam Harakah bertarikh 7 Disember 2010 itu bertajuk "SAR bantu kempen bantah kenaikan tarif air". -mk


Permohonan Syabas penjarakan Lutfi, Fahdah ditolak

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak dengan kos permohonan usul pemula yang difailkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi mensabitkan Ahmad Lutfi Othman dan Peguam Puan Fahdah Ahmad Kamar menghina mahkamah.

Mahkamah telah mengarahkan Syabas membayar kos sebanyak RM40,000 ke atas Ahmad Lutfi dan Fahdah.

Pada 10 Mac lalu pihak Syabas telah memfailkan usul pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di atas dakwaan Ahmad Lutfi dan Fahdah dikatakan menghina mahkamah di atas satu artikel yang diterbitkan oleh akhbar Harakah bertarikh 7 Disember 2010 bertajuk "SAR bantu kempen kenaikan tarif air".

Di dalam afidavit yang difailkan oleh pihak Syabas mendakwa kononnya artikel itu mengandungi pernyataan dari Fahdah yang dikatakan menjejeskan kes tuntutan sivil pihak Syabas ke atas Kerajaan Selangor berhubung isu kenaikan tarif air.

Syabas mendakwa artikel tersebut boleh menjejaskan perbicaraan yang adil ke atas kes tersebut kerana Fahdah adalah peguam yang mewakili Kerajaan Negeri Selangor dalam tuntutan yang dibawa oleh Syabas.

Ahmad Lutfi diseret sekali di atas kapasitinya sebagai Ketua Pengarang Harakah.

Fahdah diwakili oleh Tommy Thomas manakala Ahmad Lutfi diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin dan Cik Azhana Kamaruddin.

Pada 3 Jun yang lalu kedua-dua pihak telah berhujah di hadapan Hakim Arif Yusuf di mana antara lain peguam yang mewakli Fahdah dan Ahmad Lutfi berhujah permohonan menghina mahkamah yang difailkan oleh Syabas tersebut adalah bertentangan dengan hak kebebasan bersuara dan kebebasan media yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Tommy Thomas berhujah terdapat perbezaan antara perbicaraan di hadapan juri dan perbicaraan di hadapan hakim di mana dalam perbicaraan di hadapan juri sesuatu berita tentang kes sesuatu yang sedang berjalan lebih mudah mempengaruhi seorang juri yang tidak mempunyai latar belakang undang-undang.

Sedangkan di Malaysia, katanya yang tidak memakai sistem juri semua perbicaraan mahkamah dikendalikan oleh seorang hakim yang lebih arif tentang undang-undang dan tidak akan mudah terpengaruh dengan mana-mana laporan berita tentang kes sesuatu yang sedang berjalan di mahkamah.

Peguam Hanipa Maidin pula berhujah kes kenaikan tarif air adalah suatu kes berkepentingan awam dan Harakah telah secara konsisten menyiarkan berita tersebut sebelum artikel "SAR bantu kempen kenaikan tarif air" diterbitkan.

Artikel tersebut, hujah Hanipa, adalah satu rententan berita yang berterusan tentang suatu isu yang berkepentingan awam yang wajar diambil tahu oleh mana-mana anggota masyarakat.

Dalam hujahnya, beliau berkata rakyat berhak mengambil tahu tentang kenapakah tarif air boleh dinaikkan sedangkan dalam masa yang sama dilaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Syabas mendapat gaji yang amat tinggi setiap bulan
.

Kesan permohonan Syabas akan menjadikan hak kebebasan media tidak lagi berkesan dan menjadi khayalan semata-mata, katanya. -HD


TGNA: Kebangkitan & Kesedaran Rakyat Sudah Sampai ke Kemuncaknya

Walaupun di stadium Bersih 2.0 akan dapat sokongan, kata Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 5 Julai — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat percaya Himpunan Bersih 2.0 Sabtu ini akan tetap mendapat sokongan rakyat walaupun terpaksa diadakan di stadium.

Menteri Besar Kelantan berkata Himpunan Bersih 2.0 akan menjadi manifestasi kepada kebangkitan rakyat yang menentang segala penyelewengan dan permainan “politik jahat” Umno-Barisan Nasional (BN).

Walau di mana pun Himpunan Bersih 2.0 diadakan pada 9 Julai ini, saya penuh yakin bahawa ia tetap merupakan manifestasi kebangkitan rakyat yang menentang segala tipu daya dan permainan politik jahat Umno-BN.

“Saya yakin Yang di-Pertuan Agong (Tunku Mizan Zainal Abidin) selaku payung rakyat jelata tentu akan bertindak untuk kebaikan seluruh rakyat
,” kata Nik Aziz dalam laman Facebook.


Tegas Nik Aziz, ekoran pendirian terbaru Yang di-Pertuan Agong dalam isu Himpunan Bersih 2.0, beliau yakin Umno-BN tidak lagi “mempunyai kuasa” untuk mempergunakan institusi diraja demi kepentingan politik.

“Umno-BN tidak usah berharap untuk mempergunakan instituti beraja untuk mempertahankan mereka.

“Segala usaha mereka untuk menudung segala penyelewengan sistem pilihan raya tidak akan berjaya kerana kebangkitan dan kesedaran rakyat sudah sampai ke kemuncaknya,” katanya.

Gabungan Pilihan Bersih dan Adil (Bersih) hari ini bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu ini di stadium.

Menurut Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreevanesan, keputusan itu dibuat selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berkata pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Bersih 2.0 bagi membincangkan lokasi yang sesuai — sebuah stadium — bagi perhimpunan Sabtu ini tetapi menegaskan tawaran itu adalah bersyarat.

Kelmarin Yang di-Pertuan Agong bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana.

Selain itu pemimpin Pakatan Rakyat secara sepakat menerima tawaran mengadakan Himpunan Bersih 2.0 di stadium. -TMI



Gambarkan himpunan Bersih 2.0 ganas, strategi kuno

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Tindakan kerajaan Umno BN cuba menggambarkan perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini sebagai ganas adalah strategi kuno dan lapuk, kata Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sambil menyelar tindakan itu, beliau turut mengecam tindakan pemimpin Umno BN yang dakwanya berselindung di sebalik pihak keselamatan untuk mengekalkan kuasa politik mereka.

"Provokasi demi provokasi yang ditimbulkan saban hari di media cetak arus perdana dan televisyen, untuk memberi gambaran bahawa perhimpunan aman Bersih 2.0 akan bertindak ganas dan sebagainya.

"Kami ingin memperingatkan mereka bahawa strategi kuno sebegini sudah lapuk dan tidak akan berjaya memenjarakan fikiran rakyat yang sudah merdeka pada zaman ini,"
katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap beberapa siri tangkapan dan juga penemuan terbaru polis yang mengaitkan Bersih 2.0 sebagai himpunan ganas.

Ianya termasuk rampasan sejumlah besar senjata daripada pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang semalam antaranya 44 molotov cocktails, 23 parang dan 48 baju T dengan logo BERSIH.

Semuanya dirampas semasa operasi polis di Gombak, Selangor dan tiga lokasi di Kuala Lumpur iaitu di sekitar kawasan pusat membeli belah Sogo, Wisma Bumi Raya dan Komplek Pertama.

Tidak cukup dengan itu, beberapa siri tangkapan termasuk anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang sedang menyebarkan risalah Bersih dan maklumat kepincangan negara dibawah BN kepada rakyat Johor, juga cuba dikatkan dengan Komunis.

Antaranya ahli parlimen Sungai Siput Dr D Michael Jeyakumar dan lima anggota PSM lain yang ditangkap semula di bawah Ordinan Darurat (EO).

Mengulas siri tangkapan terhadap pemimpin dan penyokong Bersih itu, presiden PAS itu mendakwa ia bukti kegelabahan Barisan Nasional yang tidak bijaksana dan semakin tidak waras dalam menangani isu.

"Dengan ini PAS mendesak pihak yang berkenaan supaya membebaskan rakyat yang sudah menjadi mangsa di tahan akibat dari tindakan rakus kerajaan pimpinan BN ini," katanya lagi.


Himpunan Bersih 2.0 ujarnya adalah untuk mendesak dibersihkan pilihanraya yang kotor, bukan himpunan untuk menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi.

Tambahnya, sememangnya sudah sekian lama Pakatan Rakyat berusaha untuk menumbangkan Barisan Nasional yang melakukan kerosakan dalam negara, dan ia bukan lagi suatu yang rahsia.

Tetapi Barisan Nasional berlagak seperti negara ini milik peribadi mereka, merasa kebal dan tidak sedia untuk kalah sehingga memperalatkan berbagai agensi kerajaan untuk kepentingan mereka.

"Kerajaan Barisan Nasional sangat mundur amalan demokrasinya, berjiwa kecil, jauh mundur berbanding negara-negara maju yang membuka pintu demokrasi seadil-adilnya.

"Di Australia, seorang Perdana Menteri yang kalah dalam pemilihan partinya, sedia duduk dibawah Perdana Menteri yang baru dengan menjawat jawatan Menteri Luar sahaja. Ini kerana mereka meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, bukannya jawatan untuk kepentingan dunia dan peribadi.

"Sebaliknya Barisan Nasional merasakan kerajaan ini milik mereka selama-lamanya, sehingga tidak sedia untuk kalah dan diganti dengan kerajaan yang baru.

Sehubungan itu beliau turut mengingatkan Umno BN agar sedia berundur secara terhormat, sebelum jatuh dalam kehinaan dan membebaskan SPR dan jabatan-jabatan kerajaan daripada diseleweng.

"PAS menyokong sebarang usaha memulihkan demokrasi dan menggunakan pilihanraya untuk mendapatkan kuasa pemerintahan," tegasnya. -HD


Titah Agong Disambut Baik, Padamkan Provokasi Melampau Terhadap Himpunan Bersih

Titah YDPA Disambut Baik, Redakan Kemarahan Rakyat

SHAH ALAM 5 JULAI : Titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menegur kedua- dua pihak bersabit penganjuran himpunan BERSIH 2.0 disambut baik oleh semua pihak.

Tentunya titah baginda ditafsir menerusi pelbagai versi, namun yang pasti mesej yang ringkas lagi padat itu meredakan kemarahan rakyat yang semakin meluap- luap dengan provokasi melampau yang dikenakan ke atas himpunan aman itu.

Turut menjunjung titah, ADUN Hulu Kelang, Shaari Sungib.

Beliau berkata, titah baginda yang menegur kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Najib Razak agar melaksanakan tugas dengan adil seperti mana yang diamanahkan rakyat jelata membuktikan baginda melampaui mana- mana parti politik.

Shaari menambah, kerajaan pemerintah juga perlu jelas akan sempadan kuasa mereka yang turut terikat pada Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, mereka tiada hak untuk menghalang dan menangkap rakyat negara ini yang menyertai mana- mana himpunan aman selain berhak menyatakan pendapat terhadap apa- apa isu.

"Hak kebebasan rakyat untuk berhimpun secara aman tanpa senjata, itu kena dikompromikan dan diselaraskan. Sudah pasti kerajaan bertanggungjawab menjaga keamanan kerana tidak boleh dikaitkan dengan satu aktiviti yang sudah pasti berlaku jenayah, sedangkan sudah termaktub dalam perlembagaan kuasa dan bidang tugas menjaga keamanan itu tertakluk kepada kerajaan,"
katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas tindakan kerajaan pemerintah yang sewenang- wenangnya mengenakan Ordinan Darurat terhadap ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang kononnya cuba menghidupkan fahaman komunis melalui himpunan BERSIH 2.0.

Ujar beliau tindakan yang dilakukan ini bertujuan untuk menimbulkan perasaan takut kepada rakyat terhadap penguatkuasaan undang-undang sekaligus mencabul hak asasi manusia.

"Tidak ada peruntukkan menangkap orang sebelum melakukan sesuatu, polis ambil tindakan itu atas peruntukkan apa? Kalau nak ada pun di bawah ISA ordinan darurat, tapi kita tahu undang-undang ISA itu zalim dan dibenci oleh rakyat dan undang-undang ini tak patut wujud."


Sabtu lalu, polis menahan ahli parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj dan lima anggota PSM atas dakwaan cuba menghidupkan fahaman Komunis meskipun berkali- kali dinafikan pemimpin PSM yang lain. -tvsnews



Ulasan GB

Akhirnya Himpunan Bersih 2.0 menjadi begitu bersih - akan ke stadium untuk berhimpun.

Hasil daripada tindakan kerajaan dan polis, apa yang jelas kini ialah BERSIH 2.0 mendapat publisiti percuma yang cukup meluas dan ia menimbulkan semangat yang lebih kuat kepada rakyat untuk menyertai perhimpunan hari Sabtu ini.

Setiap yang busuk dan yang jahat itu akhirnya akan sentiasa dikalahkan dengan setiap yang murni dan yang baik. Itu adalah hukum alam. Segala provokasi dan tohmahan liar yang bukan-bukan dilemparkan ke atas BERSIH 2.0 akhirnya akan berbalik kepada pelemparnya.

Itu yang dinamakan "hikmah" - kebaikan yang tersembunyi di sebalik percubaan pihak tertentu untuk menconteng arang ke arah penganjuran BERSIH 2.0.

Itulah sunnatullah - yang tidak akan berubah sepanjang zaman.



Himpunan BERSIH: Mengapa GB Pilih Stadium Shah Alam?

Bersih: MB tawar Stadium Shah Alam

SHAH ALAM 5 JULAI : Kerajaan Selangor menawarkan kemudahan stadium di negeri ini untuk perhimpunan aman Bersih 2.0 kerana usaha untuk memupuk pilihan raya yang adil dan telus akan memanfaatkan rakyat, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata sekirannya penganjur Bersih 2.0 memohon untuk menggunakan stadium- stadium di Shah Alam, beliau akan meluluskannya tertakluk kepada syarat- syarat biasa yang dikenakan kepada pihak yang mahu menggunakan premis sebegitu.

"Sekiranya NGO Bersih meminta kebenaran untuk menggunakan Stadium Shah Alam, saya akan setuju. Bagaimanapun perhimpunan itu perlulah dilakukan dengan penuh tatatertib serta berdisiplin," ujar Khalid.

Khalid berkata, perhimpunan Bersih harus disokong oleh rakyat kerana ia bertujuan memastikan pengundi berpeluang memilih kerajaan yang terbaik menerusi pemilihan yang bebas daripada penipuan dan pembohongan.

"Secara peribadinya saya berpendapat, usaha Bersih adalah untuk memastikan pilihan raya di negara ini diadakan dengan adil dan bersih.

"Perhimpunan ini diadakan bukan untuk diri saya, tetapi untuk anak cucu saya pada masa akan datang. Golongan muda juga pastinya mahu tuntutan seperti itu dilaksanakan," kata beliau.

Tengah hari tadi penganjur Bersih 2.0 menghadap Yang di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan akur dengan nasihat baginda supaya perarakan aman pada 9 Julai dibatalkan dan sebaliknya perhimpunan itu di adakan di stadium.

Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenavasan berkata pihaknya akan berkerjasama dengan kerajaan untuk memilih stadium yang sesuai bagi mengadakan perhimpunan itu yang dijangka membabitkan lebih 100 ribu peserta.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini mengecam hebat hasrat Bersih untuk berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyampaikan memorandum kepada Istana Negara bagi menuntut pilihanraya umum adil dan telus.

Lebih 150 orang ditangkap hanya kerana memakai baju dengan logo Bersih. Kerajaan dan polis juga dikecam kerana menahan enam orang di bawah Ordinan Darurat yang menentapkan penahanan tanpa perbicaraan.



Ulasan GB

GB dari awal lagi telah mencadangkan agar perhimpunan BERSIH 2.0 di adakan di Stadium Shah Alam.

GB dasarkan pilihan tersebut kepada beberapa faktor.

Stadium Shah Alam merupakan satu-satunya stadium yang terbesar yang dimiliki oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Stadium ini sering digunakan untuk penganjuran sukan bertaraf dunia, boleh memuatkan 100,000 orang dan hampir 8,000 tempat parkir kenderaan.

Mungkin ada yang mencadangkan Stadium Bukit Jalil.

Namun bagi GB, dari sudut kawal-selia, kedudukan geografi dan karenah birokrasi, maka Stadium Shah Alam adalah pilihan yang lebih tepat.

Kita akan mendapat kerjasama sepenuhnya dari kerajaan negeri Selangor seperti kenyataan Menteri Besar di atas berbanding dengan penggunaan stadium-stadium lain.

Dan yang paling utama kita tidak mahu provokasi - tak kira siapa dalangnya. Jika di Bukit Jalil masih terdedah dengan provokasi banyak pihak kerana sesiapa pun boleh diundang untuk masuk ke situ dan menimbulkan huru-hara.

Selain dari itu kita dapat membantu memajukan peniaga-peniaga di sebuah negeri Pakatan Rakyat yang mana kita telah awal-awal ditolak oleh peniaga-peniaga di WP.

Jadi, sekurang-kurangnya peniaga-peniaga kecil dapat menumpang mencari rezekinya di hari berhimpunnya peserta-peserta BERSIH yang MAJORITInya saya yakin ahli kepada parti komponen Pakatan Rakyat.

Biarlah PERKASA, PESAKA, Pattriot dan gerombolan FRU di Bukit Jalil.