22 Feb 2015

Bersungguh-sungguh Ke Putrajaya, Maka Itulah Redha Allah, Wahai Ulama!


Reda Allah lebih penting daripada menang pilihan raya, kata ulama PAS

Kemenangan dalam pilihan raya dan seterusnya menawan Putrajaya bukan agenda utama PAS, kerana parti Islam itu lebih mementingkan keredaan Allah, kata Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, berbeza dengan parti politik yang lain, walaupun PAS pada dasarnya menyertai pilihan raya untuk membentuk kerajaan, ia menekankan yang segala tindakan perlu dirujuk pada kehendak agama.

"PAS tidak seperti parti politik lain seperti PKR, DAP dan Umno. PAS merupakan gerakan Islam yang mempunyai matlamat lebih tinggi dan lebih mulia, iaitu keredaan Allah.

"Itu perbezaan jelas PAS antara parti politik lain. Kita mahu menang tapi biarlah kemenangan itu diredai Allah," katanya dalam ulasan ucaptama Multaqa Ulama Semalaysia II di Serdang, Selangor hari ini.

Bercakap di hadapan hampir 1,000 ahli PAS, beliau turut menggesa anggotanya yakin terhadap kepimpinan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Ada yang ura-ura nak tukar presiden. Itu kerana kita tidak yakin atas dasar dan perjuangan. Kita perlu yakin bagaimana sekalipun," katanya.

Terdahulu, Pemangku Ketua Dewan Ulama Datuk Ahmad Yaakob dalam ucaptamanya berkata, wujud aliran “pemikiran songsang” di kalangan ahli PAS apabila timbul suara hendak mengetepikan pelaksanaan syariat Islam demi mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

"Aliran pemikiran tajaan Barat ini dilihat bertapak dalam PAS yang membuatkan sebilangan anggota PAS tersasar matlamat sebenar perjuangan Islam iaitu mendaulatkan Syariat Allah.

"Golongan ini mencari kemenangan bukan dengan mengikuti manhaj (kaedah) yang diredai Allah berdasarkan Syariah tetapi lebih kepada mengutamakan matlamat walaupun caranya berlawanan dengan panduan Quran dan Hadis," kata Ahmad.

Mengulas ucapan itu, Amar berkata, sekiranya ditakdirkan Allah, PAS tetap akan menang seperti pada pilihan raya umum 2004 contohnya, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Johor, kawasan yang dikenali kubu kuat Barisan Nasional.

"Siapa sangka PAS boleh menang di kawasan kubu kuat Umno. Johor itu merupakan kubu kuat mereka. Hampir mustahil kita boleh menang. Tapi itu semua kerana kebesaran Allah dan kekuasaannya.

"Tapi tengok cara Tuhan buat macamana. Tuhan beri PAS menang di kerusi Senggarang. Ia kerana kehendak Allah," katanya.

Selain itu beliau berkata, parti Islam itu tidak memilih siapa yang bakal membarisi kepimpinan hadapan parti asalkan calon tersebut dari kalangan orang Islam.

"Kita tidak kisah siapa pun, asalkan beliau seorang Islam, macam (pasukan) bola Red Wariors (pasukan Kelantan), tidak kisah siapa pun asalkan yang gol itu dari pasukan Red Wariors," katannya.

Timbalan menteri besar Kelantan itu turut mendakwa Tengku Razaleigh Hamzah merupakan tokoh politik yang bertanggungjawab menjatuhkan PAS dan menyebabkan parti itu kehilangan Kelantan.

"Ku Li 'master mind'nya. (Tetapi) Ku Li juga orang yang bertanggungjawab mengembalikan kemenangan kepada PAS, dengan mengembalikan jawatan menteri besar kepada Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat). Ini semua kehendak Allah," katanya.

Pada masa sama, Amar juga membidas Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) seperti dalam ucaptama Ahmad yang menggesa tindakan diambil terhadap ahli PAS yang menyertai pertubuhan bukan kerajaan itu.

"Cuba kaji latar belakang mereka (dalam PasMa). Semua mereka tidak diterima PAS. Dengan itu, kita tidak haruslah melayan mereka," katanya sambil mengingatkan jangan ada di kalangan ahli PasMa yang menjadi perwakilan menyertai multaqa tersebut. –TMI



ULASAN GB

Sungguh janggal pendapat yang menyatakan "kita hendak mendapatkan redha Allah, bukan semata-mata untuk menawan Putrajaya."

Ia hanya alasan simpliistik yang sedap untuk didengar tetapi penyerlahan sifat hipokrit dalam perjuangan.

Saya beri satu anekdot mudah seperti ini:

Seorang guru asrama menanya seorang murid yang malas belajar tetapi rajin berqiamu-lail. Mengapa engkau tidak mahu belajar, tetapi hanya berqiamu-lail sepanjang malam?

Menjawablah murid itu: saya pentingkan redha Allah, saya tak pentingkan kejayaan di dalam peperiksaan.

Sedangkan Allah sendiri tidak menyuruh pelajar berkenaan berbuat demikian kerana keredhaan Allah adalah rahsiaNya dan Allah tentulah lebih redha kepada pelajar itu jika pelajar itu belajar bersungguh-sungguh daripada beliau berqiam setiam malam.

Jika demikian guru itu berkata, lebih baiklah engkau jangan bersekolah, duduk di rumah dan berqiam sepanjang masa kerana di sekolah masing-masing bertanggungjawab untuk belajar bersungguh-sungguh di samping melakukan qiam."

Itu kisah pertama. Yang di bawah ini kisah kedua:

Pernah berlaku di zaman Rasulullah seorang lelaki sibuk menekuni ibadahnya kepada Tuhan dengan mengasingkan diri dan tidak melakukan apa-apa kerja.

Semua makan-minumnya dipaksa kepada siisterinya untuk menyediakannya. Dan siisteri terpaksa bekerja membanting tulang untuk menanggung keluarganya.

Apabila hal ini sampai ke pengetahuan Rasulullah, maka Rasulullah pun menjawab: "semua pahala ibadah lelaki itu akan menjadi milik isterinya yang bersusah payah menyediakan makan-minum dia dan anak-anaknya."

Jadi soal "redha Allah" itu bukan mainan bibir dan tafsiran seseorang manusia.

Apabila kita telah bersama untuk membuat keputusan menyertai politik negara maka tentulah perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menang pilihanraya. Disitulah letaknya redha Allah. Begitulah juga apabila kita membuat keputusan bertahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat, tentulah kita perlu bersungguh-sungguh untuk menawan Putrajaya. Dengan itulah caranya kita mencapai "keredhaan Allah".

Jika tidak apa pasal mahu sertai politik dan pilihanraya, apasal mahu sertai Pakatan Rakyat jika bukan untuk menang pilihanraya dan tawan Putrajaya. Samalah kes pelajar di atas tadi, kenapa datang ke sekolah duduk asrama tetapi tak mahu belajar?

Ketara sangat kenyataan Nik Amar itu lansung tidak boleh dijadikan sandaran untuk ahli-ahli PAS dan hairannya beliau dikatakan seorang ulama!

Ingat: Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang sentiasa melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh.

Sabda Baginda SAW yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu jika dia melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh.” (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah saw sendiri bersungguh-sungguh berjuang dan berperang di medan peperangan Badar, Uhud dan Khandak sehingga akhirnya berjaya menakluk kota Mekah... demi menegakkan daulah Islamiyah....

Bersungguh-sungguh dalam sesuatu pekerjaan, bersungguh-sungguh untuk ke Putrajaya, bersungguh-sungguh untuk menumbangkan sistem pemerintahan yang zalim dan bobrok, maka di situlah sebenarnya "redha Allah", bukan seperti yang diucapkan oleh Nik Amar.

Cukup memalukan PAS dan umat Islam seluruhnya dengan pandangan songsang dan sesat seorang yang dikatakan ulamak seperti Nik Amar di atas.

p/s setiap yang menyertai jemaah perlu bekerja bersungguh-sungguh untuk menegakkan menegakkan kebenaran dan keadilan. Masing-masing dengan peranan masing-masing. Seorang yang bekerja di peringkat cawangan atau kawasan memainkan peranan masing-masing, begitulah juga jika seroang itu memilih alam siber seperti blogger dan seumpamanya, mestilah bersunggu-sungguh di dalam melakukan kerja-kerja berkenaan, barulah kita akan berolehi kejayaan, dunia dan akhirat.