CCameron ighland - Surat Kuning dari Istana : Ini Jawapan Sultan Pahang
CAMERON HIGHLANDS 19 Nov. - Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menegaskan hari ini baginda tidak tahu menahu mengenai wujudnya surat kuning atau surat daripada istana untuk tujuan pembangunan atau pertanian di Cameron Highlands.
Ditanya mengenai perkara itu baginda bertitah, "Jika ada yang mengemukakan surat kuning terbabit guna nama istana, saya sendiri akan pukul dia, saya nasihatkan jangan percaya".
"Semak dahulu dengan kerajaan negeri, mereka jangan sewenang-wenangnya menggunakan nama orang lain, jika saya tahu siapa, saya akan bagi cukup-cukup," titah baginda.
Sultan Ahmad Shah bertitah dalam sidang akhbar selepas berkenan melawat kawasan banjir di Lembah Bertam di sini, hari ini. Turut sama Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan pimpinan kerajaan negeri.
Banjir lumpur dan tanah runtuh di Cameron Highlands baru-baru ini meragut lima nyawa. Lima yang lain cedera. Beberapa penduduk dipindahkan. Penerokaan tanah haram dikatakan antara punca utama berlaku bencana itu.
Dalam pada itu, baginda menggesa peneroka tanah haram menghentikan serta merta aktiviti mereka terutama pertanian di Cameron Highlands.
Baginda bertitah kerajaan negeri memandang serius perkara tersebut dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka.
"The illegal farmers are responsible for doing this continously...for ages they are responsible (for) the problem - from time to time...they are to blame," (Peneroka haram bertanggungjawab, terus melakukan ini...untuk sekian lama mereka bertanggungjawab...mereka harus dipersalahkan), tegas baginda.
Sehubungan itu, baginda menyeru kerajaan persekutuan menggunakan segala kemudahan dan agensi-agensi yang sedia ada untuk membantu kerajaan negeri mengatasi masalah tersebut. - BERNAMA