27 Mei 2011

KDN Diselar Kerana Menganiaya Masa Depan 4 Orang Pelajar

IPT menanti, tapi remaja masih di lokap

Bimbang dengan masa depan gelap yang mungkin dihadapi anak mereka, sekumpulan ibu bapa terpaksa meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia campur tangan dalam kes penahanan remaja berkenaan bawah Ordinan Darurat.

Seorang daripada ibu remaja berkenaan, Rosmawati Taib berkata, anaknya itu sepatutnya mula mendaftarkan diri di kampus UiTM pada 29 Mei, namun tidak dapat berbuat demikian kerana masih berada dalam tahanan.

Rosmawati berkata, anaknya yang masih berusia 17 tahun itu masih ditahan di lokap balai lokap Ayer Molek, Johor Bahru bawah undang-undang berkenaan.

"Sepatutnya dia dibebaskan. Dia perlu belajar untuk masa depan dia. Apa yang berlaku ini saya sangat tidak puas hati sebab anak saya tidak bersalah.

"Sepatutnya anak saya akan habis tempoh tahanan 60 hari pada 12 Jun. Polis beritahu saya, anak saya selepas ini mungkin akan dibuang daerah atau dipenjara selama dua tahun.

"Polis kata, memang begitulah tindakan mereka. Kecuali jika kami (ibu bapa) merayu kepada menteri dalam negeri sebab itu bawah keputusan menteri," kata Rosmawati ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Rosmawati hari ini hadir ke Suhakam bagi meminta suruhanjaya itu masuk campur dalam kes berkenaan, memandangkan peguam turut enggan membawa kes yang turut melibatkan dua lagi remaja berusia 17 tahun.

Turut ditahan bersama kumpulan remaja berkenaan ialah seorang pemuda, Muhammad Noorariff Bakran, 20.

Ketua penerangan pemuda PAS, Suhaizan Kayat yang turut bersama ibu bapa remaja berkenaan hari ini berkata kumpulan anak muda itu ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam satu pergaduhan pada malam 28 Mac lalu di Sri Alam, Johor Bahru.

"Kalau benar (anak muda ini) bersalah, dakwa di mahkamah. Kalau tidak, lepaskan mereka. Kita tidak mahu perkara ini menjadi kesusahan kepada mereka," kata Suhaizan ketika dihubungi.

Sementara itu, penyelia pusat aduan rakyat PAS Permas, Syed Othman Syed Abdullah pula berkata, keluarga berkenaan tiada pilihan lain memandangkan peguam bagi kes berkenaan telah menarik diri daripada kes berkenaan.

"Peguam kata tak boleh buat sebab kes bawah Ordinan Darurat tak boleh dibawa ke mahkamah. Keluarga telah berhubung dengan polis tapi polis masih tidak boleh bagi jawapan, remaja ini ditahan bawah kesalahan apa," katanya lagi. -mk

Kenaikan Tarif Elektrik Tak Boleh Dielak, Begitulah Juga, Putrajaya Terlepas Tak Boleh Dielak

Tarif elektrik: Kenaikan tak boleh dielak, tapi dilaksana berperingkat

SHAH ALAM, 27 Mei — Kenaikan tarif elektrik akan tetap berlaku tetapi kerajaan akan melaksanakannya secara berperingkat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

Kenyataan itu meredakan rakyat yang bimbang dengan kesan kenaikan tarif elektrik ketika majlis ekonomi dijadual bermesyuarat hari ini untuk memutuskan perkara tersebut.

Kata Mustapa, kenaikan kos tenaga elektrik akan membebankan kebanyakan industri khususnya sektor-sektor yang berintensifkan tenaga termasuk pengeluaran keluli, minyak dan gas serta mereka yang terlibat dalam pengeluaran elektrik.

“Kami secara berterusan melibatkan mereka yang berada dalam industri. Apa sahaja kenaikan, ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Mustapa juga berkata, kerajaan perlu menaikkan harga gas dan elektrik untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan.

Kelmarin, Putrajaya mengumumkan bahawa tidak akan ada kenaikan harga bahan api buat masa sekarang.

Ulasan GB

Jika demikian jawapan kerajaan, maka rakyat pun menjawab:

Putrajaya pun terlepas dari BN tak boleh dielak, ia akan berlaku secara berperingkat.

Mula-mula hilang majoriti 2/3, kemudian selepas ini kita akan saksikan para menteri duduk di kerusi pembangkang dan PM yang ada bakal menjadi ketuanya!

Demi Integriti Polis, Dalang Penyebaran Video Seks Perlu Ditahan Dan Diadili

Lagi Laporan Polis Desak Siasat Segera Dalang Sebar Video Lucah

SHAH ALAM 27 MEI : Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Selangor Shuhaimi Shafie membuat laporan polis mendesak agar satu siasatan segera dilakukan berhubung penyebaran VCD lucah dan fitnah terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Keadilan Selangor melihat bahawa kalau benar VCD yang disiarkan kepada rakan media di Carcosa itu yang asli, sekeping, bagaimana yang sekeping itu terlepas di tangan polis dan diupload di internet sedemikian rupa," kata Suhaimi dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.

Shuhaimi menyatakan kehairanan beliau mengenai bagaimana video tersebut bolos di internet sedangkan trio Datuk T yang menayangkan video tersebut kepada media Mac lalu mengaku hanya mereka mempunyai salinan berkenaan dan telahpun menyerahkannya kepada pihak Polis.

"Persoalannya di sini adakah polis bersekongkol, terlibat menandatangai memorandum persefahaman dengan Datuk T. Datuk T kata hanya ada satu salinan. Adakah Polis bersekongkol atau memang ada salinan lain dengan Datuk T?," kata beliau.

Pemberian dan penyebaran VCD tersebut dikesan berleluasa pada kempen Jelajah Selangor (Jelas) PKR sejak awal bulan ini di Semenyih, Kuala Langat, Tanjung Karang, Subang dan Sabak Bernam, dan Selayang.

Dua hari lalu, Ketua kampung dari 8 kampung buah kampung di Shah Alam dan Klang menerima 4 salinan VCD tersebut setiap seorang melalui Pos.

Tanpa menuduh mana-mana pihak, Shuhaimi melahirkan kebimbangan terdapat gerakan sistematik dan terancang dalam penyebaran VCD ini dengan agenda untuk memburuk-burukkan PKR dan Pakatan Rakyat berdasarkan sasaran penyebaran kepada rakyat dan pemimpin akar umbi seperti Ketua-ketua kampung.

Malah, menurut Shuhaimi tidak mustahil VCD lucah itu akan dihantar dari rumah ke rumah pula selepas ini.

"Persoalannya di sini bukan soal Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan soal Datuk Seri Najib, bukan soal Tan Sri Muhyiddin Yassin. Persoalan pokoknya ialah bagaimana video ini disebarkan dengan begitu meluas tanpa penglibatan atau sekatan pihak-pihak berkuasa. Jadi dipercayai wujudnya satu gerakan terancang untuk menyebarkan video ini dari rumah ke rumah,"ujar beliau.

Justeru Shuhaimi mendesak polis supaya bertindak kerana jawapannya boleh didapati dengan mereka yang paling awal menyebarkan video berkenaan - Datuk T, yang dianggotai oleh ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

"Jadi saya desak pihak polis kalau perlu tahan, tahanlah Datuk T supaya dapat tahu siapa yang terlibat 'sebarkan' video lucah ini," tegas beliau. -tvsnews


Video seks diedarkan di kampung Cina pula

Salinan pita video yang memaparkan seorang lelaki mengadangkan hubungan seks yang didakwa mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terus diedarkan di seluruh Selangor.

Tidak terkecuali adalah perkampungan Cina dan sasarannya adalah ketua-ketua kampung dan pemimpin masyarakat.

Menurut anggota exco kerajaan negeri Selangor Ean Yong Hian Wah sekurang-kurangnya 15 pemimpin di Ulu Langat dan lebih lapan lagi di Kuala Selangor mengesahkan menerima video berkenaan menerusi pos.

Katanya, berdasarkan cop pada bungkusan itu, ia dikirimkan dari Melaka dan Shah Alam.

Hari ini Ean Yong mengiringi 15 ketua kampung dari kawasan Ulu Langat membuat laporan berhubung perkara itu.

Sementara itu, ketua kampung dalam DUN Sri Muda parlimen Kota Raja juga dilaporkan menerima video seks dan poster yang cuba dikaitkan dengan ketua umum PKR itu.

Laporan polis itu dibuat oleh ketua penerangan PKR Shuhaimi Shafiei bersama-sama empat ketua kampung tradisi Melayu di ibu pejabat polis Daerah Shah Alam kira-kira 11.30 pagi tadi.

Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda membuat laporan polis itu mewakili PKR Selangor.

Dalam laporan polisnya, Shuhaimi berkata tujuan aduan dibuat berikutan penyebaran VCD dan poster yang diistilahkan sebagai lucah dan diedarkan di majlis solat hajat dan ceramah 'Tawan Malaysia' di Stadium Selayang pada 14 Mei lalu.

Menurutnya lagi, beliau menerima bahan-bahan tersebut dari petugas keselamatan parti pada majlis tersebut.

Dalam aduannya juga, beliau meminta pihak polis menjalankan siasatan berhubung penyebaran VCD itu di lima lagi tempat iaitu di Kampung Jalan Kebun, Kampung Melayu Subang, Dewan Majlis Daerah Semenyih, satu program ceramah di Tanjong Karang dan di Dewan Majlis Daerah Kuala Langat.

"Oleh itu, saya mendesak pihak polis menyegerakan siasatan berhubung penyebaran (VCD) dan menghadapkan pihak yang terlibat ke muka pengadilan," katanya.

Sementara itu, Shuhaimi berkata keempat-empat ketua kampung tersebut yang dihantar dengan video itu adalah Kampung Teluk Menegun, Kampung Baru Hicom, Kampung Johan Setia dan Kampung Bukit Hadir.

Keempat-empat ketua kampung tersebut menerima VCD dan poster yang dimasukkan ke dalam sampul surat yang diposkan dari Shah Alam dan Melaka. Mereka menerimanya pada 23 dan 24 Mei lalu.

Menurutnya, ketua kampung Baru Hicom dan Kampung Telok Menegun menerima tiga keping VCD manakala dua lagi masing-masing menerima sekeping VCD.

"Mereka semua tak tengok (kandungan VCD), tetapi saya dimaklumkan ia dipercayai pelakunya sama seperti di dalam internet, jika dilihat di bahagian kulit VCD itu," katanya.

Katanya, sepatutnya empat lagi ketua kampung dalam DUN Sri Muda turut membuat laporan polis berhubung perkara tersebut, bagaimanapun membatalkannya kerana keuzuran dan mempunyai urusan lain yang lebih penting.

Kampung tersebut antaranya, Kampung Bukit Lancang, Kampung Jalan Kebun dan Kampung Sungai Kandis.

Ditanya sama ada empat ketua kampung itu akan membuat laporan polis selepas ini, Shuhaimi berkata memadai setakat ini dengan laporan yang dibuat pada hari ini.

Menurutnya, sekiranya masih ada ketua kampung yang menerimanya selepas ini, beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

"Penyebaran bahan ini bukan sahaja dilarang kerana lucah, malah ia memberi implikasi buruk kepada anak-anak kita," katanya.-mk



Video Seks Bocor : Polis Digesa Segera Siasat

SHAH ALAM 26 MEI : Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad mahu polis bertindak dengan konsisten dalam penyiasatan mereka berhubung penyebaran cakera video lucah yang dikesan dilakukan kepada ketua-kampung di Selangor.

Khalid berkata, polis dan Kementerian Dalam Negeri perlu bersikap profesional dalam menangani hal ini dan tidak harus berdiam diri seolah-olah menghalalkan fitnah lucah terus tersebar ke serata negara.

"Bagaimana bahan grafik yang dulunya telah diserahkan kepada polis salinan asalnya, secara terbuka disebarkan. Selepas itu dihantar kepada ketua-ketua kampung dan sebagainya.

"Ini bagi kami merupakan politik kotor Umno dan merupakan tanda betapa terdesaknya mereka untuk berhadapan Pilihan Raya Umum. Malangnya pihak berkuasa seperti polis dan KDN mendiamkan diri. Apa sudah jadi?" soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan yang diterimanya daripada lapan orang ketua kampung di sekitar Selangor yang mendakwa telah menerima video berkenaan.

Cakera video berkenaan yang memuatkan rakaman video lucah memaparkan individu yang dikatakan mirip Ketua Pembangkang telah diterima oleh ketua kampung berkenaan sejak seminggu lalu.

Menurut Khalid, cakera video tersebut diterima oleh ketua Kampung Padang Jawa Petaling, Kampung Kebun Bunga Batu Tiga, Kampung Kuantan Klang dan Kampung Melayu Subang.

Selain itu, ketua Kampung Bukit Kapar (Meru), Kampung Bukit Kerayong dan Kampung Jalan Kebun Klang turut menerima rakaman video berkenaan melalui kiriman pos.

Sebelum ini, lapan orang ketua kampung di kawasan Hulu Selangor dilaporkan turut menerima rakaman video berkenaan.

"Tempat lain sudah terima, Shah Alam sudah terima, kemungkinan besar seluruh negara JKKK dan Ketua Kampung dah terima video. Boleh bayangkan jumlah wang yang dibelanja dan tahap yang diusahakan pihak ini.

Khalid berkata penyebaran video berkenaan mungkin didalangi Umno dilakukan bagi menghakis kepercayaan golongan penyokong akar umbi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana gerak kerja mereka yang tersusun dan modal besar yang harus digunakan bagi melakukan penyebaran seperti itu.

"Ini semua menunjukkan ada organisasi dan kempen yang tersusun dan terancang yang sedang dilakukan mereka," kata Khalid. -tvsnews






Perlantikan J/K Panel Lynas Tidak Bebas - MITI Cuba Menipu Rakyat?

Lynas: Panel bebas tidak bebas

Ramai pihak ragu-ragu dengan ketelusan 9 orang Jawatankuasa Panel Bebas yang dilantik oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya oleh Kementerian Industri Dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) yang diketuai oleh menterinya Dato’ Seri Mustapha Mohamed dan timbalannya Dato’ Mukhriz Tun Mahathir.

Keraguan yang pastinya akan menjejaskan integriti atau ketelusan laporan keselamatan, kesihatan dan persekitaran ‘panel bebas’ itu kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya akan terus dipertikaikan malah ditolak.

Dan jika laporan yang tidak telus itu digunapakai sebagai panduan atau rujukan oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional(BN) untuk membenarkan Lynas untuk terus beroperasi pada bulan September atau November ini, hampir 800-850 ribu nyawa manusia termasuk keturunan mereka akan diperjudikan sampai bila-bila demi keuntungan ekonomi pihak tertentu semata-mata.

Terlajak perahu boleh diundur, Terlajak kata badan binasa.

Satu insiden yang melibatkan kebocoran sisa buangan radioaktif ke udara, air, tanah dan makanan sudah memadai untuk mengheret semua rakyat di sekitar Kuantan dan Kemaman termasuk keseluruhan perniagaan atau perusahaan malah sektor awam ke situasi yang cukup kritikal. Satu keadaan kritikal, yang jika gagal dikawal oleh pihak yang bertanggungjawab akan mengheret semua pihak tidak kira agama dan bangsa, tua atau muda kepada kehancuran total sampai bila-bila.

Kenapa keraguan itu timbul:

1. Laporan daripada Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) pada 18/5/11 mempertikaikan kewajaran MITI untuk menubuhkan ‘panel bebas’ itu sedangkan penilaian kesihatan awam, isu keselamatan radiasi, dan kemudahan kilang berbahaya atau ‘hazardous’ tidak terletak di bawah bidang kuasa MITI.

2. Pihak berkuasa tidak dilihat terlibat di dalam perlantikan 9 ahli ‘panel bebas’ itu khususnya Jabatan Alam Sekitar (DOE) sedangkan permohonan awal penilaian persekitaran telah dihantar ke Jabatan Alam Sekitar semenjak tahun 2008. Matlamat DOE untuk melindungi alam sekitar lebih kukuh dan berkaitan dalam isu ini dan juga relevan dengan kegusaran penduduk setempat kepada ancaman sisa buangan radioaktif dari operasi Lynas kepada keselamatan, kesihatan dan persekitaran penduduk setempat.

3. Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Innovasi (MOSTI) menyerahkan pula keseluruhan tanggungjawab ‘panel bebas’ itu kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di mana IAEA adalah badan antarabangsa yang mempunyai kepentingan khusus untuk mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan keseluruhan aktiviti yang berkaitan dengannya di seluruh dunia. Mereka bukan penggubal undang-undang atau ‘regulator’ yang diyakini tiada berkepentingan untuk menyebelahi sesiapapun. Bagaimanakah pihak yang berkepentingan untuk mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan aktiviti yang berkaitan dengannya dapat menjalankan tugas sebagai penggubal atau ‘regulator’ dalam Kes Lynas ini. Sebagai satu badan yang tiada berkepentingan langsung khususnya di dalam mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan aktiviti yang berkaitan di seluruh dunia. Pastinya, penilaian berat sebelah mungkin berlaku dalam kes penilaian keselamatan, kesihatan dan persekitaran dari operasi Lynas ini pada 29/5/11 sehingga 03/06/11 ini.

4. 4 daripada 9 orang ahli ‘panel bebas’ itu adalah kakitangan IAEA. Keraguan teramat sangat dari penduduk setempat bahawa kepentingan 4 orang kakitangan IAEA itu untuk mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan aktiviti yang berkaitan di seluruh dunia akan mempengaruhi ketelusan mereka ketika penilaian keselamatan, kesihatan dan persekitaran itu.

5. 5 orang pakar luar atau ‘external expert’ yang bukan dari IAEA telah dimaklumkan oleh CAP/SAM sebagai tidak bebas kerana dikaitkan dengan syarikat-syarikat yang berasaskan tenaga nuklear dan nadir bumi termasuk pernah berkhidmat sebagai jururunding malah sebagai pekerja atau bekas pekerja kepada syarikat berkenaan malah kepada IAEA termasuk mempuyai kepentingan seperti IAEA untuk mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan aktiviti yang berkaitan. - Huzir Sulaiman

Runtuhan Makin Besar Di Gombak

Lebih 200 penduduk kawasan perumahan Town Villa, Jalan 8/11, Taman Seri Gombak, dekat sini, bimbang keselamatan mereka terancam selepas tebing bukit berhampiran kediaman mereka runtuh dan pada masa sama hakisan tanah masih berlaku disebabkan hujan lebat beberapa hari lalu.

Runtuhan setinggi kira-kira 30 meter itu bermula sejak dua minggu lalu dan menjadi semakin serius apabila hakisan tanah melebar sehingga kurang 10 meter dari rumah mereka serta sebuah sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membekalkan tenaga elektrik di perumahan itu.

Lebih membahayakan, runtuhan juga dikhuatiri mengancam nyawa penduduk Kampung Sungai Cincin di kaki bukit berkenaan.

Wakil penduduk, Yusri Kamarudin, 40, berkata, runtuhan terbaru berlaku kira-kira jam 7 malam kelmarin dan beberapa runtuhan susulan turut berlaku hingga jam 9.30 malam.

Menurutnya, taman perumahan itu mempunyai 52 unit rumah bandar, dua banglo dan 20 rumah di perkampungan berhampiran di kaki bukit berkenaan. Penduduk juga mendakwa sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab, namun tiada tindakan sewajarnya diambil.

"Sejak empat hari lalu, baru ada kerja penambakan dibuat namun hujan lebat semalam dan kelmarin menyebabkan hakisan tanah semakin serius hingga mungkin menyebabkan stesen TNB itu runtuh.

"Hakisan tanah berlaku mungkin juga disebabkan saluran longkang untuk menyalurkan limpahan air hujan ditutup pemaju sebuah projek pembinaan kira-kira 150 meter dari taman perumahan itu,” katanya.

Katanya, penduduk berharap siasatan dan pemantauan menyeluruh pihak yang berkenaan perlu dilakukan segera kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk mungkin terjadi.

“Buat masa ini, kami tiada pilihan lain selain dari terus menetap di rumah masing-masing. Sehingga kini belum ada arahan dari pihak berkuasa untuk kami semua berpindah dan kami akan akur sekiranya diminta berbuat demikian,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian malam kejadian mendapati polis dan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kerja Raya (JKR), TNB dan wakil pemaju turut berada di lokasi berkenaan bagi memantau keadaan. -hm

SAH - 3 Calon Timbalan Presiden, 6 Calon Naib Presiden

Timbalan Presiden 3 penjuru, 6 naib

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Teka-teki calon yang bakal bertanding pada Muktamar Tahunan PAS ke-57 bagi 2011/2013 diketahui petang ini setelah pengesahan ditutup petang semalam.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan yang disandang itu untuk sesi 2011/2013 apabila tiada nama lain yang dicalonkan.

Jawatan Timbalan Presiden PAS bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang, Ustaz Nasharudin Mat Isa dengan naib presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK, Mohamad Sabu.

Tiga lagi yang dicalonkan iaitu naib presiden, Salahuddin Ayub, ahli jawatankuasa, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan Datuk Husam Musa mengesahkan tidak bertanding.

Bagi jawatan naib presiden, mereka yang mengesahkan bertanding ialah penyandang, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, ketua penerangan, Ustaz Idris Ahmad, AJK, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, Datuk Husam Musa dan Datuk Mohd Amar Abdullah.

Perkara tersebut diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini petang tadi.

Berikut adalah senarai calon yang bertanding Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sesi 2011-2013:

PRESIDEN

1. Abdul Hadi Awang, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji

TIMBALAN PRESIDEN

1. Mohamad Sabu, Hj
2. Nasharudin Mat Isa, YB
3. Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato’

NAIB PRESIDEN

1. Husam Musa , YB Dato’
2. Idris Haji Ahmad, Ustaz
3. Mahfuz Omar, YB Dato’
4. Mohd Amar Abdullah, YB Dato’
5. Nizar Jamaluddin, YB Dato’ Seri
6. Salahuddin Ayub, YB

AHLI JAWATANKUASA KERJA

1. Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz
2. Abdul Ghani Shamsuddin, Ustaz
3. Abdul Wahid Endut, YB Hj
4. Abu Bakar Chik, Dato’ Ustaz ,
5. Ahmad Sabki Yusof,
6. Aiman Athirah Al-Jundi
7. Amiruddin Hamzah, YB Ir.
8. Apandi Mohamad, Hj
9. Asmuni Awi, Hj
10. Azizan Abdul Razak, YB Dato’ Seri Ustaz,
11. Azman Shapawi, Ustaz
12. Dzulkefly Ahmad, YB Dr
13. Halimah Ali, YB Dr.
14. Hamzah Abdullah,
15. Hamzah Jaafar, Dr.
16. Hanipa Maidin, Hj
17. Hassan Ali, YB Dato’ Dr.
18. Hishamuddin Sulaiman, (Sabah)
19. Iskandar Abdul Samad, YB
20. Kamal Ashaari, Ustaz
21. Kamarudin Jaffar, YB Dato’
22. Khalid Abd Samad, YB Hj.
23. Khalil Idham Lim, YB
24. Lo’Lo Dato Ghazali, YB Dr.
25. Mahfodz Mohamed, Dato’ Dr.
26. Mazlan Aliman,
27. Misbahul Munir Masduki , Ustaz
28. Mohamad Nor Mohamad, Hj.
29. Mohamad Taufek Abdul Ghani, YB
30. Mohd Amar Abdullah, YB Dato' Ustaz
31. Mohd Anuar Tahir, Hj
32. Mohd Firdaus Jaafar, YB
33. Mohd Hatta Md Ramli, YB Dr.
34. Mohd Nasir Mustafa,
35. Mohd Salleh Man, Yb Ustaz
36. Mohd Zainuddin Mohd Yusof, YB Haji
37. Mohd Zuhdi Marzuki, Dr
38. Muhammad Husin, YB
39. Mujahid Yusof Rawa, YB Dr.
40. Mumtaz bt. Mohd Nawi, YB
41. Nik Abduh Nik Abdul Aziz,
42. Nik Zawawi Nik Salleh, Ustaz
43. Norazli Musa, Ustaz Hj.
44. Normala Sudirman,
45. Nuridah Salleh, Ustazah
46. Razman Zakaria,
47. Riduan Mohd Nor, Ustaz,
48. Rosidi Hussin
49. Sa’ari Sungib, YB Hj.
50. Siti Mariah Mahmud, YB Dr.
51. Suhaizan Kaiat,
52. Wan Hasrina Wan Hassan,
53. Zulkefly Muhamad Omar, Hj

-harakahdaily

Peniaga Kecil Melaka Berdemo Tuntut Pampasan Lebih Adil

Peniaga tuntut pampasan adil

Gambar: PENIAGA kecil membuat demonstrasi aman membantah pampasan pengambilan tapak peniaga di hadapan pasar raya di Banda Hilir.

MELAKA TENGAH: Kira-kira 25 peniaga dari Lorong Melaka Raya bersebelahan pusat beli-belah Hatten Square, di Banda Hilir, mengadakan demonstrasi bagi menuntut pampasan lebih adil selepas diarah berpindah dari kawasan itu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Demonstrasi aman yang diadakan hampir satu jam itu kelmarin, bertujuan menyuarakan rasa tidak puas hati dan kekecewaan mereka terhadap perkembangan rundingan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini dan pemilik pusat beli belah berkenaan yang didakwa tidak mengambil kira kesukaran dihadapi.

Seorang peniaga kedai makan, Mahmud Sirun, 47, berkata, beliau tidak berpuas hati kerana pengurusan Hatten hanya memberi pampasan RM300, selain diarah keluar dari kawasan itu lebih awal dari tarikh ditetapkan.

Beliau mendakwa, dalam satu mesyuarat antara Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan peniaga sebelum ini, PBT itu bersetuju menambah RM500 sebulan, tetapi ia hanya diberikan kepada sembilan peniaga aktif, manakala selebihnya hanya mendapat RM300.

“Semua 25 peniaga terbabit termasuk saya menerima notis MBMB pada awal April lalu untuk berpindah segera, sedangkan kontrak kami hanya berakhir Julai ini. Menerusi notis itu, kami dimaklumkan Hatten akan membayar pampasan RM300 sebulan selama setahun iaitu sehingga projek pembinaan bangunan pusat beli belah berkenaan siap.

“Apa yang kami tidak puas hati, kenapa MBMB boleh membayar RM500 sebulan tetapi Hatten cuma membayar RM300 sebulan. Sebelum ini, kami juga sudah meminta kadar RM300 itu dinaikkan kepada RM150 sehari atau RM4,500 sebulan,” katanya.
Seorang peniaga kraf tangan, Masitah Zaini, 32, pula mendakwa, dia mendapat notis mengosongkan premisnya itu daripada MBMB pada 28 April lalu dan mengesahkan akur mematuhinya selepas dijanji mendapat pampasan sewajarnya.

“Saya terkejut apabila mengetahui hanya mendapat RM300 sebulan dan tidak berpuas hati dengan nilai pampasan itu kerana sangat sedikit. Tambah menyedihkan, apabila kawasan baru perniagaan kami di Taman Rempah tidak mempunyai sebarang kemudahan,” katanya.

Sementara itu, usaha kumpulan peniaga terbabit menyerahkan memorandum lima muka surat bagi tuntutan pampasan itu tidak berjaya, selepas pengurusan Hatten menolaknya.

Berikutan itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah yang mewakili peniaga terbabit, kemudian menyerahkan memorandum itu kepada seorang wakil MBMB yang turut berada di situ. -BH

Ulasan GB

Biasanya mutakhir ini demo-demo dari kumpulan peniaga kecil berlaku di negeri-negeri PR seperti Pulau Pinang dan Selangor kononnya kerajaan negeri PR enindas kaum peniaga.

Kini ia berlaku di negeri Melaka - sebuah negeri yang diperintah UMNO-BN.

Baju Pelajar Berlumuran Darah, Telinga Cedera Akibat Serangan Dalam Kelas

Kuala Terengganu: "Saya hampir pengsan melihat darah berlumuran pada telinga kiri dan baju sekolah dipakai anak bongsu ketika dia pulang ke rumah," kata Fatimah Ngah, 54, dari Kampung Bukit Kandis, Bukit Tunggal, di sini berhubung kecederaan telinga anaknya dipercayai dipukul seorang pelajar, petang kelmarin.

Fatimah berkata, anaknya, Abdul Rahman Abdul Ghani, 13, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di kawasan itu, pulang ke rumah kira-kira jam 2.30 petang bersama abangnya, Mohd Khairul, 25, dalam keadaan berlumuran darah di telinga kiri untuk mengambil kad pengenalan bagi mendapat rawatan.

Beliau berkata, Abdul Rahman memaklumkan dia dipukul dan ditendang seorang daripada sekumpulan pelajar yang datang ke kelas sementaranya sebelum waktu persekolahan sesi petang bermula.

“Tendangan itu menyebabkan Abdul Rahman terdorong ke belakang dan ketika hendak terjatuh, bahagian kiri mukanya tersangkut pada bucu cermin tingkap, menyebabkan luka besar pada telinga kirinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Mangsa bagaimanapun, tiada di rumah ketika itu kerana ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan susulan selepas difahamkan menerima tujuh jahitan di telinga kirinya.

Difahamkan polis sudah menahan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun pagi semalam untuk membantu siasatan.

Bapa mangsa, Abdul Ghani Ismail, 64, berkata pengurusan sekolah perlu mengambil tindakan wajar supaya masalah disiplin di sekolah itu dapat diperbaiki. -BH

Ulasan GB

Nampaknya, mutakhir ini gejala samseng di sekolah semakin menjadi-jadi.

Kenakalan para pelajar sudah di tahap serius dan ianya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja sehingga sekolah tiba-tiba menjadi "neeraka" bagi kaum pelajar yang innocent.

Kementerian Pelajar perlu memikirkan langkah-langkah bagi membendung gejala ini.


Betulkah 6 Guru Belasah Seorang Murid?

Hulu Langat – Seorang pelajar sebuah sekolah di Jelebu, Negeri Sembilan mendakwa dibelasah hingga cedera oleh sekumpulan guru lelaki di sekolah itu pada Selasa lalu.

Gambar: LAKONAN semula bagaimana Muhammad Noor Azim dipijak oleh sekumpulan enam guru dalam kedudukan bersujud.

Muhammad Noor Azim Ajis, 17, mendakwa, kejadian bermula ketika dia sedang menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kertas Bahasa Melayu sebelum seorang guru datang dan memintanya ke bengkel sekolah.

“Apabila tiba di bengkel, ada enam guru lelaki lain. Tiba-tiba mereka menumbuk, menendang dan memijak saya hampir setengah jam,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Jawa, Batu 18 di sini semalam.

Selain menjadi mangsa sepak terajang, dia juga mendakwa dipukul dengan objek keras pada kejadian pukul 8.30 pagi itu.

Akibat serangan itu, Muhammad Noor Azim terpaksa mengambil cuti sakit kerana cedera di muka, kepala dan badan serta tidak berupaya menduduki peperiksaan.

Dia mendakwa, kumpulan guru itu mengarahkan dia bersujud dengan kedua-dua tangan dilipat ke belakang sebelum dipijak dan ditendang.

Ulasan GB

Kita tidak tahu samada dakwaan pelajar berkenaan betul atau tidak sehingga 6 orang guru membelasahnya.

Tidak pula dinyatakan sebab-sebab mengapa guru-guru itu bertindak demikian ke atasnya.

Skra untuk mempercayainya, namun kes ini perlu disiasat, dan jika benar berlaku kejadian demikian, tindakan tegas ke atas guru-guru tersebut perlu diambil. Walau apa pun kesalahan yang pelajar tersebut mungkin telah lakukan, tidak sepatutnya guru-guru sehingga enam orang membelasah seorang murid.


Tidak Wujud Kumpulan Ulamak Dan Kumpulan Erdogan Dalam PAS

Nik Aziz dakwa Umno-BN ‘cipta’ label ulama, profesional di PAS

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan tidak wujud dua kumpulan — ulama dan profesional, yang didakwa bersaing mahu menguasai barisan kepimpinan parti Islam berusia enam dekad itu.

Sebaliknya kata beliau, istilah golongan ulama dan profesional itu yang seringkali timbul ketika pemilihan parti, sebenarnya “dihidupkan” oleh Umno-Barisan Nasional (BN).

Nik Aziz berkata demikian menjelang pemilihan kepimpinan PAS pusat awal bulan depan dengan tumpuan beralih kepada persaingan jawatan timbalan presiden dan naib presiden.

Jawatan timbalan presiden bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru membabitkan penyandangnya Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawatankuasa kerja pusat Mohamad Sabu.

Sementara itu, jawatan naib presiden juga bakal menyaksikan pertarungan sengit.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah berjaya mengekalkan jawatan presiden tanpa cabaran.

Mereka yang mahu bertanding jawatan tertinggi PAS harus mengesahkan pencalonan mereka sebelum pukul 5 petang ini.

“Kononnya kedua-dua (ulama dan profesional) ini adalah inti yang berlawanan antara satu sama lain. Sedangkan hakikatnya tidak pernah wujud jurang antara ulama atau professional dalam PAS kecuali jurang yang diada-adakan oleh Umno-BN.

“Jikapun ada, kedua-duanya tidak lebih melainkan hanyalah caj positif dan caj negatif yang apabila bergabung menjadi arus eletrik yang cukup kuat untuk memberikan renjatan kepada Umno-BN,” kata Nik Aziz menerusi laman Facebook malam tadi.

Oleh itu kata Menteri Besar Kelantan itu, barisan kepimpinan PAS terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kemahiran.

Justeru, tegas Nik Aziz, walaupun berbeza latar belakang, namun dasar perjuangan dan matlamat yang hendak dicapai tetap sama.

“Tidak ada apa yang pelik jika kepimpinan PAS dilatari oleh individu yang datang dari pelbagai bidang pendidikan dan kemahiran.

“Di zaman Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda mempunyai latar belakang yang pelbagai.

“Oleh yang demikian, tidak ada yang pelik jika di dalam PAS ada kepimpinannya dari pelbagai latar belakang. Profesional dalam PAS itulah golongan ulama, dan ulama dalam PAS itulah professional.

“Semuanya menjadi batu bata membentuk benteng kukuh berdepan dengan ombak sekular. Hari ini, gelombang sekular sedang ganas membadai. Jika dulu, ada gelombang berwarwa biru, hari ini pula ia berwarna merah,” katanya merujuk kepada kempen yang kini digunakan Umno untuk merampas Kelantan.

Tambah Nik Aziz, beliau berharap perwakilan akan membuat keputusan bijak dalam memilih barisan kepimpinan parti untuk meneruskan agenda perjuangan PAS.

“Harapan saya, muktamar yang akan diadakan pada minggu hadapan ini akan membuahkan hasil yang terbaik untuk perjuangan Islam.

“Kepada para perwakilan, pilihlah pemimpin yang bertaqwa kepada Allah. Ikhlaskanlah hati, dan letakkanlah pertimbangan semasa memilih di atas neraca iman kepada Allah, insya-Allah, saya yakin pilihan para perwakilan nanti adalah yang terbaik untuk meneruskan perjuangan PAS di persada politik tanah air,” katanya. -TMI


PAS Nafi Wujud Puak Erdogan

KUALA LUMPUR 25 MEI : Tanggapan umum kononnya wujud kumpulan Erdogan dalam barisan kepimpinan PAS untuk bersaing dengan golongan ulama yang ' berpengaruh ' disangkal beberapa pemimpin parti Islam itu.

Malah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menegaskan, apa yang wujud kini adalah pendekatan kepimpinan yang sedikit berbeza, namun hala tuju kepimpinan parti itu tetap sama dan berpaksikan Islam.

"Asas perjuangan PAS adalah Islam, sesiapa sahaja yang berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunah boleh menjadi ahli PAS,".

"Ia bukan bermaksud wujudnya kumpulan, tetapi aliran pemikiran yang mungkin sedikit berbeza untuk tangani masalah masyarakat dengan membawa perubahan,” katanya dalam Forum “Melakar Masa Depan PAS” semalam.

Khalid Samad yang juga Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, walaupun pendekatan yang mungkin dibawa ini sedikit berlainan, namun matlamat perjuangan yang ingin dicapai tetap sama.

“Maka aliran ini berubah ke arah lebih inklusif dan eksklusif yang mana pendekatan untuk semua, dengan itu berlakunya perbezaan pendapat. Perbezaan dari segi pendekatan ke arah mencapai matlamat yang sama,” ujarnya.

Malah, Dr Dzulkefly Ahmad yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat turut bersependapat dengan Khalid Samad bahawa kumpulan Erdogan yang dikatakan wujud dalam parti Islam itu lebih menjurus kepada pendekatan yang digunakan, bukannya berbentuk peribadi.

“Saya boleh katakan yang dimaksudkan dengan Erdogan bukan personaliti atau kelompok, ia lebih menjurus kepada satu pendekatan lebih daripada mengenali peribadi dan siapa yang dilabel sebagai Erdogan tidak bermaksud untuk menjadi entiti dalam PAS tapi lebih kepada pendekatan yang mahukan PAS ambil pendekatan lebih terbuka,” tegasnya.

Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, melihat kepada situasi politik semasa hari ini PAS perlu lebih bersikap terbuka untuk menerima pandangan yang dikemukakan.

“Jadi Islam yang bukan hanya tertumpu Islam seseorang Melayu itu, tetapi Islam yang membawa rahmatalillalamin, bukan sekadar rahmatalilmuslimin apatah lagi rahmalil 'melayuin'...ini yang menjadi pendekatan PAS, mengambil inklusif yang berkonsepkan merentas bukan sahaja untuk islam melayu tetapi untuk semua," ujarnya lagi.-tvsnews





UDA Bidas Timb Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Tuntut Beliau Mohon Maaf

Musa dituntut mohon maaf

Kakitangan UDA kesal kenyataan, tuduhan berkaitan projek BBCC

KUALA LUMPUR: Badan Kebajikan Kakitangan Kumpulan UDA Holdings Bhd (BKKU) semalam menuntut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir (gambar) memohon maaf kepada kakitangan syarikat itu kerana menggesa kerajaan menutupnya.

Selain itu, BKKU yang mewakili 800 kakitangan UDA turut meminta Musa menghentikan segala kenyataan berkaitan projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) melalui media sehingga pengumuman rasmi dibuat kerajaan.

Yang Dipertua BKKU, Shytul Shahryn Mohamad Shaari, berkata pihaknya kesal dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan dilemparkan Musa terhadap Lembaga Pengarah UDA Holdings Bhd berhubung isu projek pembinaan BBCC di tapak bekas Penjara Pudu itu.

“BKKU berpendapat kenyataan beliau (Musa) supaya UDA Holdings Bhd (UDA) ditutup seperti dipaparkan dalam media cetak dan elektronik, Selasa lalu, adalah amat tidak wajar dan mengelirukan rakyat khususnya masyarakat Bumiputera.

“BKKU tidak berhasrat campur tangan dalam segala keputusan Lembaga Pengarah UDA dalam pelaksanaan BBCC tetapi memberi kepercayaan penuh kepada Ahli Lembaga Pengarah UDA untuk membuat keputusan secara kolektif,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Beliau berkata, BKKU percaya Lembaga Pengarah membuat keputusan tepat dan telus dalam memastikan projek BBCC berjaya dilaksanakan bukan saja demi kepentingan lebih 1,400 kakitangan syarikat tetapi masyarakat Bumiputera secara keseluruhannya.

Malah, sejak 40 tahun lalu sehingga kini, UDA tidak pernah lari daripada matlamat memperjuangkan agenda Bumiputera sebagai fokus utama dalam pelaksanaan projek BBCC.

“BBKKU berasakan lebih baik beliau mendapatkan penjelasan sebenar daripada Datuk Nur Jazlan seperti ditawarkan Pengerusi UDA dan kerajaan daripada membuat sebarang kenyataan yang memberikan imej negatif bukan saja kepada UDA tetapi juga kerajaan,” katanya. -BH

TERKINI: Polis Sudah Panggil Pelaku Video Seks Sebenar Untuk Siasatan

Pelaku video seks disiasat

KUALA LUMPUR - Polis semalam mengesahkan pihaknya menyiasat pelaku di dalam rakaman video seks yang didakwa membabitkan seorang lelaki mirip seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur di sebuah apartmen di ibu negara yang didedahkan kepada sekumpulan wartawan pada 21 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai skop siasatan pelaku dalam video seks tersebut termasuk identiti pelakunya itu.

"Memang kita siasat (pelaku) sebab kita sudah kenal pasti dia," kata beliau pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini semalam.

Menurut beliau, kertas siasatan yang lengkap berhubung kes rakaman video seks telah diserahkan kepada pihak Peguam Negara pada minggu lalu dan menunggu maklum balas daripada jabatan itu untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan, kertas siasatan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan iaitu memiliki dan mengedar bahan lucah itu sebelum ini pernah dipulangkan semula oleh Peguam Negara sebanyak dua kali kepada polis untuk siasatan semula.

Pada 1 April lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan rakaman video seks berdurasi selama 22 minit bermula pukul 10.23 malam, 21 Februari lalu adalah rakaman tulen selepas disahkan oleh pakar. -kosmo


Pelaku video seks sudah dipanggil

KUALA LUMPUR 26 Mei – Polis masih menjalankan siasatan berhubung rakaman video seks didakwa membabitkan pemimpin parti pembangkang yang pertama kali didedahkan pada 21 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar juga mengakui, pihaknya telah memanggil pelaku terbabit untuk membantu siasatan namun enggan mengulas lanjut tentang perkara itu.

Beliau juga enggan mendedahkan siapa pelaku tersebut.

“Seperti yang diberitahu Ketua Polis, Tan Sri Ismail Omar baru-baru-baru ini, kita telah kenal pasti dan sedang menyiasat. Itu termasuklah memanggil dia bagi membantu penyiasatan,” katanya.

Bagaimanapun, Khalid memberitahu, tindakan lanjut tidak dilakukan kerana tiada sebarang maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara setakat ini.

“Kita menanti keputusan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan terhadap pelaku dan juga mereka yang mendedahkan video itu,” jelasnya. -UM


Ulasan GB

Petang semalam, sewaktu memandu pulang dari kerja semalam GB terdengar dari sebuah stesyen radio yang GB buka, menyatakan polis sudah kenalpasti dan telah memanggil pelaku video seks berkenaan.

GB berhenti di tepi jalan untuk mencari berita meengenainya di akhbar-akhbar online namun tidak menemuinya. Mengulanginya setelah sampai di rumah. Pun tidak berjaya. Seperti ada usaha untuk menutup berita berkenaan oleh pihak media massa dari tersebar.

Hanya di pagi ini bertemu dengan berita berkenaan.

Ini bererti bahawa pelaku berkenaan telah diketahui dan telah dipanggil. Jika Anwar tidak dipanggil bererti beliau bukanlah pelaku sepertimana yang disebut-sebut dan diharap-harapkan dan digemabr-gemburkan oleh pihak yang menuduhnya.

Dan keseluruhan episod video seks itu sudah tidak lagi ada kena-mengena dengan Anwar.

Motivasi: Satu Kesulitan VS Dua Kemudahan

Percayalah pada janji Allah. Sekalipun di saat kita diamuk gundah-gulana.

Semuanya sudah termaktub dalam lembaran ayat suci-Nya. Bacalah surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6: “Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (QS Al-Insyirah: 5-6).

Tentu ayat di atas sudah tak asing lagi bagi kita. Kita seringkali mendengar ayat ini, namun kadang hati kita masih saja lalai, sehingga tidak betul-betul merenungkannya. Atau mungkin kita pun belum memahaminya. Padahal jika ayat tersebut betul-betul direnungkan sungguh luar biasa faedah yang dapat kita petik. Jika kita benar-benar mentadabburi ayat di atas, sungguh berbagai kesempitan akan terasa ringan dan semakin mudah kita pikul.

Percayalah...

“Satu kesulitan tidak mungkin mengalahkan dua kemudahan.”

‘Abdullah bin Mas’ud RA pernah berkata, “Seandainya kesulitan masuk ke dalam suatu lubang, maka kemudahan pun akan mengikutinya..."

Yakinlah saudaraku...

Bahawa di balik setiap kesulitan pasti ada kemudahan yang begitu dekat. Mungkin di awal-awal kesulitan, belum datang pertolongan atau jalan keluar. Namun ketika kesulitan semakin memuncak, semakin di ujung tanduk, maka setelah itu datanglah kemudahan. Mengapa demikian ya? Itu kerana di puncak kesulitan, hati sudah begitu amat pasrah. Segala suatu telah diserahkan seluruhnya pada Allah, Rabb tempat bergantung segala urusan. Itulah yang dinamakan hakikat dari tawakkal.

Kuncinya adalah sabar. Sabar menanti adanya kelapangan adalah penyelesaian paling ampuh dalam menghadapi masalah, bukan dengan mengeluh dan berkeluh kesah.

Imam Asy Syafi’i pernah berkata dalam bait syair,

Bersabarlah yang baik, maka niscaya kelapangan itu begitu dekat.

Barangsiapa yang mendekatkan diri pada Allah untuk lepas dari kesulitan,
maka ia pasti akan selamat.

Barangsiapa yang begitu yakin dengan Allah, maka ia pasti tidak merasakan penderitaan.

Barangsiapa yang selalu berharap pada-Nya, maka Allah pasti akan memberi pertolonganNya. - Deasy Lyna Tsuraya (republika)

[Video] BN Kalah Teruk Jika Harga Barang Naik

Kekalkan Harga Barang, Strategi BN menjelang PRU

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa kenaikkan harga minyak RON95 serta barang keperluan lain akan bertambah serius sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kuasa pemerintahannya pada pilihan raya Umum ke-13 akan datang yang dijangka diadakan dalam masa terdekat ini.

Ketua Penerangannya, Lee Khai Loon berkata tindakan kerajaan pusat tidak menaikkan harga minyak dan barang keperluan lain hanya strategi politik mereka bagi menghadapi pilihan raya.

Malah katanya, pengumuman tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan LPG dibuat kerana Umno-BN sedar tindakkannya itu hanya akan menyebabkan rakyat menolak parti itu sekali gus kehilangan kuasa pemerintahan di Malaysia.

“Dengan kata lain, jika UMNO-BN terus diberi kuasa atau merampas balik 2/3 majoriti kerusi di Parlimen, maka kecenderungan harga barang naik selepas PRU13 akan bertambah serius.

“Lebih membimbangkan adalah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah ditolak oleh rakyat jelata selama ini akan dilaksanakan semula oleh UMNO-BN sekiranya mereka menang besar dalam PRU13,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Lee Khai Loon, meskipun Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan tindakan kabinet itu tiada kaitan dengan pilihanraya umum akan datang, namun kerajaan sudah beberapa kali menaikkan harga barang kawalan seperti RON97, tepung, gula dan sebagainya.

Dalam pada itu, AMK turut kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggambarkan subsidi bahan api ibarat ‘candu’ kepada rakyat.

Justeru katanya, polisi kerajaan itu jelas bercanggah dengan konsep rakyat didahulukan seperti yang selalu diuar-uarkan oleh kerajaan 1 Malaysia.

“Kerajaan telah memotong subsidi yang penting untuk rakyat tetapi langsung tidak menyentuh subsidi berbilion-bilion yang diberi kepada syarikat pengeluar tenaga Bebas (IPP)," ujarnya.

Tambahnya lagi, tindakan kerajaan yang mengabaikan kepentingan rakyat ini telah menyebabkan beban kehidupan harian rakyat yang semakin berat, manakala rungutan dan kemarahan rakyat juga kian bertambah.

“Oleh itu, AMK berpendapat bahawa kenaikan harga barang yang tidak terkawal menunjukkan kerajaan UMNO-BN gagal dalam mengendalikan ekonomi negara dengan cekap.

“Rakyat jangan terpedaya dengan taktik menunda dimana akhirnya akan seperti katak yang dimasak dengan air hangat,’ katanya. -tvsnews


BN ‘korban’ tak potong subsidi takut kalah teruk PRU-13, dakwa DAP

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng percaya langkah Putrajaya tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) buat masa sekarang kerana bimbang akan kehilangan sokongan rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

Tegas Lim (gambar), langkah Pakatan Rakyat yang secara berterusan mendesak Putrajaya menyebabkan pentadbiran Najib terpaksa membatalkan hasrat memotong subsidi dan pada masa sama mengumumkan tiada kenaikan harga bahan api.

“Pakatan Rakyat telah menyebabkan timbulnya rasa takut kepada kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah mendorong BN untuk membatalkan cadangan pemotongan subsidi, malah turut mengumumkan tiada kenaikan harga minyak RON95, diesel dan gas petroleum cecair untuk ketika ini.

“Namun subsidi diesel untuk kapal penangkap ikan laut dalam dan sembilan kelas kenderaan komersial akan dihapuskan bermula 1 Jun, mengurangkan bebanan subsidi yang ditanggung kerajaaan persekutuan sehingga mencecah RM886.1 juta setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu tegas beliau, ada tiga alasan yang menyebabkan Putrajaya terpaksa berubah fikiran untuk tidak meneruskan cadangan menaikkan harga barang dan bahan api.

“Pertama, Pakatan Rakyat berkemampuan untuk memobilisasi hampir keseluruhan dalam usaha membantah kenaikan harga barangan dengan mendedahkan ketidakadilan yang wujud dalam syarikat besar seperti IPP (penjana tenaga bebas) yang dilindungi daripada pemotongan subsidi sebanyak RM19 bilion setahun sementara 27 juta rakyat Malaysia biasa yang tidak berkemampuan terpaksa membayar sejumlah wang dengan harga yang tinggi.

“Kedua, BN berhasrat untuk mengadakan pilihan raya umum dan kenaikan harga yang berat sebelah ini tidak bersependapat dengan para pengundi dan ketiga, BN bimbang dengan kekuatan luar biasa Pakatan Rakyat sehingga BN takut untuk meneruskan pemotongan subsidi yang hanya akan menyebabkan mereka kehilangan sokongan rakyat,” katanya.

Bagaimanapun kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu, beliau menjangkakan kenaikan harga barang dan bahan api akan berlaku sekiranya BN kekal memperoleh kemenangan pada pilihan raya umum ke-13.

“Bagaimanapun sebelum rakyat berpesta dengan pengekalan harga beberapa barangan kawalan, kerajaan BN masih belum menyerah kalah untuk menaikkan harga dengan pengurangan subsidi. Ini adalah berikutan dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan bahawa kajian semula dasar subsidi adalah perlu kerana kerajaan berdepan dengan bebanan subsidi dua kali ganda iaitu dari RM10.32 bilion kepada RM20.58 bilion untuk tahun ini.

“Selain itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak untuk menyatakan berapa lama kerajaan akan mengekalkan harga semasa.

“Dalam erti kata lain, sebaik BN memenangi pilihan raya umum yang akan datang, tiada siapa yang akan dapat menghalang BN untuk menghapuskan subsidi dan menaikkan harga barang,” katanya.

Semalam Ismail Sabri mengumumkan Putrajaya tidak akan menaikan harga petrol RON95, diesel dan LPG.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tetap akan meneruskan kajian rasionalisasi subsidi berikutan peningkatan harga bahan bakar itu di pasaran global.

Sebelum ini firma penyelidikan pelaburan AmResearch berkata, harga petrol RON95 dijangka mengalami kenaikan 20 sen bulan depan, mencecah RM2.10 seliter, selepas kos subsidi meningkat tiga kali ganda kesan pergolakan politik di rantau Timur Tengah dan utara Afrika.

Firma itu menganggarkan Putrajaya kini memperuntukkan subsidi sehingga 90 sen seliter bagi petrol RON95 berbanding 30 sen seliter yang disasarkan selepas harga minyak mentah dunia naik sehingga AS$99 setong daripada AS$79 setong tahun lalu — hampir sama dengan paras AS$100 setong pada 2008.

AmResearch juga berkata, subsidi petrol akan menyebabkan defisit fiskal kerajaan meningkat sehingga enam peratus berbanding 5.4 peratus jika RON95 kekal dengan harga semasa RM1.90 seliter sepanjang tahun ini.-TMI