10 Jul 2012

AJK Masjid Lapor Polis Campurtangan UMNO Tolak Imam Yang Dituduh Ahli PAS

Kemelut Imam Masjid Lenggeng semakin parah

LENGGENG: Kemelut perlantikan Imam Masjid Lenggeng sejak awal tahun ini semakin parah apabila 10 daripada 11 Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Lenggeng pagi ini.

Dalam laporan polis tersebut Mohd Fahmy Mohd Tamin, 70, yang mewakili AJK masjid; lima Datuk-Datuk Adat Lenggeng (pemimpin setempat mengikut hirarki sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan) dan 220 ahli kariah masjid; mendakwa salah laku tiga individu di dalam Jawatankuasa masjid tersebut menyebabkan urus tadbir Masjid Lenggeng menjadi celaru dan kucar kacir sejak awal tahun ini.

“Nazir Masjid, Mad Nor Ibrahim; Setiausaha Masjid, Osman Rasul dan AJK Masjid yang juga Ketua Umno cawangan Lenggeng, Zulkifli Rashid tidak akur dengan keputusan majoriti AJK masjid menghantar dua nama kepada Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (Jains).

“Kami menghantar nama Said Abdul Ghani sebagai calon Imam 1 dan Ustaz Azman Baharom sebagai calon Imam 2. Said mempunyai pengalaman sebagai Bilal selama 16 tahun dan sebagai Imam selama empat tahun.

“Walaubagaimanapun Mad Nor, Osman dan Zulkifli membelakangkan keputusan AJK Masjid dan menghantar dua nama lain iaitu Nordin Yusof dan Ali Hamzah. Nordin menolak tawaran tersebut sementara Ali pula diisytiharkan sebagai Pemangku Imam 1 oleh Mad Nor, Osman dan Zulkifli.

“Tetapi apa yang pelik sehingga hari ini tiada surat hitam putih daripada Jains yang mengesahkan pelantikan Ali sebagai Pemangku Imam 1.

Kes masih disiasat

“Saya sudah berjumpa pegawai yang berkenaan di Jains dan jawapan yang mereka berikan bahawa kes ini masih disiasat dan meminta saya bersabar,” kata Mohd Fahmy.

Apabila ditanya FMT mengapa 10 AJK Masjid termasuk Mohd Fahmy, Datuk-Datuk Undang Lenggeng dan 220 ahli kariah masjid tidak mahu menerima Ali sebagai Imam; Fahmy menjelaskan bahawa bacaan sembahyang dan tajwid oleh Ali tidak sempurna dan sering berlaku kesilapan di dalam bacaan beliau.

Mohd Fahmy juga mendakwa ada tangan ghaib dan campurtangan politik di dalam kemelut ini.

“Said dituduh sebagai orang PAS. Saya dan beberapa AJK masjid merupakan ahli Umno. Bagi kami tidak penting apa fahaman politik Imam.

“Ahli kariah tidak peduli apa fahaman politik Imam. Yang kami peduli ialah ilmu Imam itu mestilah mencukupi dan mampu mengendalikan bacaan sembahyang dan tajwid dengan sempurna.


“Justeru itu kami mendesak pihak Jains segera mengistiharkan keputusan panel temuduga pegawai masjid (Imam) yang diadakan pada 28 Mac 2012. Kami mendapat maklumat bahawa calon yang kami cadangkan iaitu Said dan Azman berjaya terpilih sebagai Imam”, jelas Mohd Fahmy. -FMT


Masih Ada Harga Lagikah Dubur Saiful Kepada UMNO?

Kes liwat Anwar: AG fail notis rayuan

KUALA LUMPUR - Pejabat Peguam Negara telah memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan terhadap pembebasan dan pelepasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Seorang timbalan pendakwa raya kanan yang dihubungi Bernama hari ini mengesahkan bahawa rayuan itu difailkan tengah hari semalam.

Bagaimanapun, difahamkan bahawa mahkamah berkenaan tidak menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan itu.

Isnin lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyerahkan rekod rayuan, termasuk penghakiman bertulis setebal 80 muka surat untuk memudahkan pihak pendakwaaan memfailkan rayuan.

Dalam penghakiman bertulis beliau, hakim perbicaraan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan bahawa mahkamah itu tidak boleh 100 peratus pasti tentang integriti sampel DNA yang diambil daripada pengadu (Mohd Saiful Bukhari).

Katanya sampel berkenaan boleh diusik sebelum sampai kepada Jabatan Kimia untuk dibuat analisis. Oleh yang demikian, kata Mohamad Zabidin, adalah tidak selamat bagi mahkamah bergantung pada keputusan ujian DNA yang dilakukan oleh ahli kimia Dr Seah Lee Hong terhadap sampel berkenaan.

Pada 20 Jan, Pejabat Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat.

Notis berkenaan, yang ditandatangani Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun, difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur.

Pada 9 Jan, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di sebuah unit di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar, 65, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman hingga 20 tahun penjara dan sebat jika disabitkan kesalahan.- Bernama

Kes Fitnah II: Rayuan Peguam Negara bermotif politik – Peguam

KUALA LUMPUR 10 Julai: Rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan Fitnah II adalah bermotif politik.

Ahli Biro Politik KEADILAN, Sivarasa Rasiah berkata, ia dibuktikan apabila penghakiman bertulis kes itu hanya dikeluarkan awal bulan ini walaupun keputusan dibuat pada 9 Januari lalu.

Katanya, kelewatan itu juga jelas menunjukkan badan kehakiman telah diperalat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ini satu lagi taktik politik terdesak pentadbiran Najib untuk mengekang pergerakan Anwar menjelang pilihan raya umum akan datang dengan harapan Pakatan Rakyat tidak menang,” katanya kepada Keadilan Daily.

Sivarasa yang juga peguam berkata, Najib patut berdebat dengan Anwar bagi membuktikan keberanian beliau, bukannya bermain politik kotor seperti ini.

“Najib sepatutnya berdebat dengan Anwar berhubung ekonomi negara kerana ia bentuk politik baru yang sihat dan adil bukannya menekan institusi kehakiman untuk membunuh kerjaya politik beliau,” kata Ahli Parlimen Subang itu lagi.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Kamaluddin Md Said dilapor mengesahkan petisyen rayuan difail semalam, namun enggan mendedahkan alasan rayuan itu.

“Kami akan berhati-hati dengan tindakan pentadbiran Najib ini kerana selain ia bermotif politik, ia juga bertujuan untuk memerangkap Anwar dan buat masa ini, kita menanti apa tindakan susulan Jabatan Peguam Negara.
“Selepas itu, barulah kita akan membuat kenyataan mengenainya,” kata Sivarasa lagi.

Dalam penghakiman bertulis setebal 80 muka surat pada 2 Julai lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah
memutuskan mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti tentang integriti sampel DNA yang diambil daripada pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ini kerana katanya, sampel itu boleh diusik sebelum sampai kepada Jabatan Kimia untuk dibuat analisis dan oleh itu beliau membebas dan melepaskan Anwar dari tuduhan Fitnah kali kedua itu pada 9 Januari lalu.

Sebelum ini, Fitnah 1 bermula sejak 1998 menyaksikan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad memenjarakan Anwar sebelum Ketua Pembangkang itu dibebaskan dari semua tuduhan pada 2004.
-KD


Ulasan GB

Juak-juak UMNO amat mengharapkan Anwar dipenjarakan. Tetapi amat jelas dari keputusan mahkamah bahawa "mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti tentang integriti sampel DNA yang diambil daripada pengadu (Mohd Saiful Bukhari)".

GB telah ulas sebelum ini. Petikan:

Mengimbau kembali perbicaraan, Pakar forensik dan patalogis Australia, Dr David Wells menyifatkan integriti spesimen yang diambil daripada pengadu Saiful Bukhari Azlan dalam kes fitnah liwat II ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat kritikal.

Kita juga telah didedahkan maklumat bahawa seorang pegawai polis, Pegawai penyiasat (IO) DSP Jude Blacious Periera mengakui bahawa beliau memotong bahagian luar plastik spesimen DNA untuk tujuan penandaan.

Malah Jude turut memberitahu bahawa beliau menyimpan spesimen tersebut di dalam almari tidak berhawa dingin lebih daripada 40 jam.

Pasukan peguambela pada hari ini berjaya menimbulkan kesangsian tentang cara pengendalian sampel DNA yang diambil oleh doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke atas Saiful.

Katanya Jude sendiri telah melanggar prosedur analisis kimia dengan memotong bekas plastik yang mengandungi sampel DNA pengadu.

Dalam pada itu Sankara yang ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, "Pakar mengatakan IO telah potong beg. Ini memberi peluang kepada kontaminasi dan perkara ini memang berlaku. Kononnya untuk buat penandaan baru dan pakar cakap prosedur ini tidak betul. Itu menujukkan kejayaan pihak pembela hari ini".

Sekarang apabila bahan bukti utama telah tercemar dan ditolak, apa lagi yang hendak dirayukan? Apa evidences lain yang hendak dikemukakan? Dubur Saifulkah? Itupun disyaki telah dicemari.

Tiada ruang untuk pendakwa raya hendak persoalkan dan menekan mahkamah supaya bahan bukti itu diterima semula kecuali ada permainan lain direncanakan untuk menafikan keputusan hakim tersebut.


Ini Dia Dokumen Sahkan Najib Campurtangan Projek LRT Ampang

Dokumen 'sahkan' PM campurtangan, dakwa PKR

PKR telah mendedahkan satu dokumen (lihat lampiran di bawah) yang didakwanya membuktikan bahawa jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menganugerahkan projek sambungan LRT Ampang bernilai RM1.18 bilion kepada konsortium yang diketuai oleh George Kent Bhd.

Dokumen itu adalah minit mesyuarat kelima Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) pada 21 Jun, yang mempengerusikan Najib kerana beliau juga merupakan menteri kewangan.

Dalam sidang akhbar hari ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata anugerah itu adalah pelik kerana George Kent dianggap sebagai "pembida lebih tinggi tidak berpengalaman" dalam tender tersebut.

Menurutnya, kepakaran yang George Kent ada ialah mengilang meter air dan syarikat itu sebelum ini ditolak kerana ia tidak memenuhi keperluan minimum teknikal bagi kerja tersebut.

Najib, yang sebelum ini diminta menjelaskan dakwaan tersebut, menyangkalnya dengan berkata semuanya mengikut aturan. -mk

Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan Telah Menganugerahkan Tender Kepada George Kent

Pada 21 Jun 2012, Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) telah mengadakan mesyuarat kelima bagi tahun 2012 (Bil 5/2012). JPMK adalah jawatankuasa tertinggi yang menentukan anugerah tender projek-projek besar kerajaan. Keanggotaannya adalah seperti berikut:

1. Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Ser Najib Tun Razak selaku pengerusi,

2. Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Husni Hanadzlah,

3. Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abd Aziz Wan Abdullah, dan

4. Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Nozirah Bahari

Mesyuarat tersebut telah memutuskan untuk melantik George Kent sebagai kontraktor bagi kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang pada harga RM1,180,037,624.

Keputusan ini kemudiannya dimaklumkan kepada Dato’ Shahril Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana bagi tindakan beliau yang selanjutnya dalam satu surat bertarikh 25 Jun 2012 yang disertakan bersama.

Pendedahan keputusan JPMK ini mengesahkan dakwaan KEADILAN sebelum ini bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak telah campur tangan di dalam proses penilaian dan penganugerahan tender kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang.

Lebih mengejutkan, keputusan JPMK yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri itu membatalkan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa yang sama pada 25 Januari 2012 yang melantik kontraktor lain yang lebih layak.

Saya mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak berterus terang dengan menjawab 3 soalan berikut, rentetan kenyataan tunggal beliau setakat ini kononnya proses anugerah tender ini mengikut prosedur yang betul:

1. Prosedur bahagian mana di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan sebuah syarikat yang telah jelas gagal di dalam penilaian teknikal diberikan tender bertentangan dengan keputusan jawatankuasa teknikal?

2. Prosedur bahagian mana di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan Perdana Menteri menganugerahkan projek pada harga yang lebih tinggi
(harga George Kent adalah RM1.18 bilion berbanding harga Balfour Beatty pada RM1.01 bilion, iaitu lebih mahal sebanyak RM167 juta) kepada pembida yang gagal penilaian teknikal dan kewangan? dan

3. Prosedur bahagian mana di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan Perdana Menteri campur tangan sedemikian rupa di dalam anugerah tender besar seperti ini?


Segala keputusan anugerah tender setakat ini membayangkan berlaku pergolakan dan menimbulkan lebih banyak persoalan.

Apakah pertimbangan sebenar Dato’ Seri Najib yang sanggup membahayakan nyawa ratusan ribu orang ramai dengan melantik sebuah syarikat milik rakan karibnya yang hanya berpengalaman mengilang meter air untuk membina sistem LRT negara?

Kenapa harga yang dianugerahkan kepada syarikat milik rakan karib beliau ini lebih mahal sebanyak RM167 juta sedangkan ada pembida yang dinilai layak kepakarannya pada harga yang lebih rendah?

Apakah jumlah RM167 juta ini juga boleh dikaitkan dengan apa-apa pembayaran berbentuk komisen kepada mana-mana ahli politik Umno/BN, seperti mana wujudnya pembayaran komisen kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib semasa pembelian kapal selam Scorpene dahulu?

Soalan-soalan ini akan terus berlegar dan akan memburukkan lagi imej Dato’ Seri Najib selagi ia tidak dijawab dengan jitu dan ikhlas oleh beliau.

Pun begitu, saya percaya Dato’ Seri Najib akan terus membisu kerana itulah tindakan beliau setakat ini bila berdepan dengan skandal di dalam pentadbiran beliau.

Oleh yang demikian, saya percaya tanggungjawab yang sama perlu digalaskan di bahu Dato’ Shahril Mokhtar sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana untuk mengesahkan bahawa George Kent telah dilantik sebagai kontrak bagi kerja-kerja pembinaan tambahan LRT Laluan Ampang, seperti mana yang diarahkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
10 JULAI 2012







Remaja Keluar Ikut Tingkap Untuk Dirogol "Awie"

Pelajar dakwa dirogol 'Awie'

BESUT - Rahsia seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini yang sering keluar melalui tingkap bilik tidurnya untuk bertemu teman lelaki pada awal pagi pecah tembelang apabila perbuatan itu disedari ibunya. Gambar fail

Rahsia itu terbongkar pada jam 2.30 pagi, Sabtu lalu oleh ibu remaja itu apabila dia terjaga daripada tidur kemudian selepas memeriksa bilik tidur anaknya namun mendapati anaknya tidak ada di dalam bilik manakala pintu tingkap terbuka.

Lebih malang, gara-gara tindakan mencuri keluar pada awal pagi menyebabkan pelajar itu mendakwa dirogol teman lelakinya yang dikenali dengan panggilan Awie yang tinggal bersebelahan rumahnya di sebuah kampung dekat Kuala Besut.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor mengesahkan menerima laporan tersebut dan memberitahu, sebaik menyedari anaknya tidak ada di dalam bilik, ibu mangsa pergi ke rumah jirannya itu dan mendapati mangsa berada di ruang tamu rumah bersama Awie. Menurutnya, ibu mangsa terus membawa anaknya pulang.

“Ibu mangsa turut mengesyaki Awie melakukan hubungan seks dengan anaknya kerana anaknya mengaku beberapa kali pergi ke rumah suspek ketika ibu dan ahli keluarganya sedang tidur,” katanya

Noorzainy berkata, polis sudah mengenal pasti suspek berumur 35 tahun yang sudah berkahwin itu dan usaha memburunya sedang giat dilakukan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. -SH

Ulasan GB

Kes ini diklassifikasikan sebagai jenayah rogol sebab pelajar itu berusia bawah 16 tahun.

Undang-undang di dalam negara kita menetapkan semua yang dibawah 16 tahun dianggap kes rogol sekalipun suka sama suka kerana menjadi tanggungjawab lelaki untuk menjaga dan menasihati mereka yang dikategorikan di bawah umur, bukan mengambil kesempatan dari kerelaan mereka.

Di dalam kes di atas berlaku kecuaian ibubapa menjaga anak perempuannya sehingga beliau boleh keluar melalui tingkap untuk ke rumah jirannya lantas dirogol.


Bermain Dengan Angka, Najib DIkencingkan Dengan Akhbar Media Perdana

Katanya 50 ribu orang sambut PM, kasihan…

Katanya, Ahad lalu PM turun ke Bangi Selangor atas pentas ‘Janji Ditepati’ dengan sambutan 50,000 penduduk negeri Selangor. Hebat benar sambutan ini, kita tak dapat membayangkan dengan begitu ramai sokongan rakyat kepada PM kita, tapi Najib masih tidak sanggup membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum ke-13.

Gambar: Kanak-kanak (dalam bulatan) diperalatkan untuk sambut Najib di Bangi

Harus diingat, pilihan raya yang bakal diadakan kelak merupakan medan pertama Najib diuji dengan sebenar-benarnya. Kita tidak pernah lupa bahawa selama ini Najib naik kerana ‘bertenggek’ atas kapasiti giliran dan nasib.

Mudahnya dia naik

Masa mula-mula beliau terlibat dalam politik, adalah kerana menggantikan kerusi wakil rakyat milik ayahandanya yang meninggal dunia ketika menjawat jawatan Perdana Menteri. Ketika itu Najib dipilih oleh rakyat atas budi dan nama baik serta simpati kepada perjuangan ayahandanya.

Kemudian, rentetan sejarah jawatan beliau dalam parti dan kerajaan juga seakan rezeki terpijak. Beliau jadi Menteri Besar Pahang yang termuda, semua tahu ketika itu tiada wakil UMNO yang benar-benar layak dan disukai oleh istana Pahang, maka Najib mendapat laba dari situasi itu.

Kemudian dia naik jadi Ketua Pemuda UMNO kerana Anwar naik pangkat ke Naib Presiden, seterusnya beliau jadi Naib Presiden bila Pak Lah naik jadi Timbalan setelah Anwar ditendang keluar dari UMNO dan Kabinet. Selepas itu, Najib naik ke takhta no.1 kerana Pak Lah ditendang keluar oleh UMNO sendiri.

Begitulah nasib yang sentiasa menyebelahi Najib Tun Razak. Beliau belum pernah diuji dilapangan sebenar, dan pilihanraya akan datang pastinya akan menjadi medan ujian sebenar sama ada Najib betul-betul dikehendaki oleh rakyat Malaysia atau tidak.

Hebat-hebat Najib, pakai Utusan juga

Dalam rentetan ini, kini Najib sibuk ke hulu ke hilir berkempen baik atas kapasiti kerajaan mahu pun parti. Kita sebagai rakyat biasa, sudah tak boleh nak beza yang mana kempen guna duit parti yang mana guna duit cukai rakyat. Najib dan UMNO, main sapu sahaja.

Dalam banyak adegan kempennya, lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia sering sahaja ‘menggubah’ sokongan orang ramai kepada Najib, seolah-olah Najib sudah dipilih oleh rakyat secara automatik dalam siri-siri kempen menggunakan wang cukai rakyat ini.

Yang terbaru, tanpa sebarang gambar yang menunjukkan orang yang menyambut Najib, tiba-tiba Utusan yang terkenal sebagai akhbar fitnah telah mendakwa sejumlah 50,000 orang telah menyambut Najib. Pelik, tapi inilah hakikatnya.

Dulu sewaktu Bersih 3.0, Utusan dakwa hanya 30 ribu orang sedangkan orang yang hadir, wartawan antarabangsa yang berada di ibu kota masa itu, gambar-gambar dimuat naik ke internet menunjukkan sebaliknya, malah jauh besar dari dakwaan Utusan itu.

Najib cetus kesesakan lalu lintas dengan bas-bas sewa

Teman terpanggil nak mengutuk di sini kerana dah rimas dengan dakwaan 50,000 di sana, 70,000 di sini. Kebetulan pula, teman terperangkap dalam kesesakan lalulintas sewaktu acara Najib itu berlangsung. Ya memang ramai orang yang datang, kebanyakan budak-budak sekolah.

Namun, dalam banyak-banyak itu, rasanya bas-bas sekolah lebih banyak dari pengunjung. Plat bas-bas ini ada yang bermula dengan P, D, C, A, N dan J. Pastinya bas-bas ini disewa khas dari negeri tersebut.

Selain dari bas persiaran dan bas sekolah, banyak juga bas-bas dari kolej swasta. Kasihan budak-budak kolej dipaksa datang menyambut PM. Jumlahnya sekitar 100 buah. Semua bas-bas ini diletakkan di luar kawasan tapak pesta.

Projek bawa orang datang guna bas charter ke program UMNO atau kerajaan BN pastinya projek yang cukup lumayan. Saiz tapak majlis sekitar 700 meter persegi. Kalau dikira dengan jari, pasti muatnya tidak lebih dari 5,000 orang. Itu pun kalau kawasan parking tak penuh.

Kalau nak membohong pun, agak-agak la. Tapi itu Utusan kan…

Bagi Najib yang hadir sebagai VIP, pastinya tidak akan melihat gambaran sebenar di luar pentas acara. Yang dilihat adalah mereka yang telah duduk bersimpuh di hadapannya. Pasti juak-juaknya akan berbisik, “ Dato’ Seri, inilah penyokong kita, kita mesti sukses punya”.

Tanpa sedar bahawa semua yang hadir, majoritinya (mungkin 5,000 agaknya) bukanlah penduduk Selangor. Kasihan Najib, kena main dengan pengelola majlis.

Nampaknya, perjalan politik Najib kali ini pastinya sukar. Tiada lagi tiket untuk bertenggek selesa demi menjamin kekuasaan seperti dahulu. Sudahlah dia disindir dua kali oleh Dato’ Chua Soi Lek – kerana ketua MCA sanggup berdebat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng – pastinya Najib semakin tertekan untuk mengelak dari berdebat dengan calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat Anwar Ibrahim.

Kini Najib harus terima realiti, dia kena tunjuk kekuatan yang sebenar dengan menerima jemputan debat Perdana dengan Anwar Ibrahim. Tak perlulah bergantung dengan Utusan yang sudah berkali-kali kalah dalam saman fitnah. Najib kena disedarkan bahawa rakyat belum lagi memilih Perdana Menteri sejak PRU 2008. Tunggulah sehingga PRU13 nanti. -Roketkini

Ulasan GB

GB sudah pun mengulas hal ini. Maka benarlah pemerhatian GB sebelum ini dimana GB katakan:

Bagi mereka yang mengikut perkembangan berita-berita yang dikeluarkan oleh BERNAMA (dan akkhbar perdana yang lain) mengenai kehadiran orangramai terhadap acara-acara yang disertai Pakatan Rakyat biasanya akan disusutkan dengan membahagikan angka itu dengan 10, iaitu jika yang hadir 200,000 maka dikhabarkan hanya 20,000 dan jika yang hadir di dalam mana-mana program anjuran PR seperti ceramah itu mencecah 50,000 maka ditulisnya 5,000. Jika 3000 maka ditulisnya hanya 300 orang.

Contoh semasa perhimpunan BERSIH 1.0 dahulu, BERNAMA tanpa segan silu menyatakan kehadirannya cuma 4,000 orang, di BERSIH 3.0 pula Rais Yatim menyatakan sekitar 22,000 orang! Angka sebenar telah dibahagikan dengan 10.

Tetapi mana-mana program anjuran UMNO BN, maka angka sebenar akan didarabkan dengan 10. Misalnya jika kehadiran itu 8,000 ditulisnya 80,000. Di Gua Musang baru-baru ini, program Najib yang disertai 3,000 orang ditulisnya 30,000 dan apa juga program NGO yang sehaluan dengan UMNO BN seperti JATI juga demikian, 800 akan ditulisnya 8,000. Jika ada NGO sedemikian buat demo yang dihadiri 20 orang maka akan ditulisnya 200 orang.

Hukum kebenaran dan keadilan tidak boleh ditipu. Sungguh bebal BERNAMA ini. Mengubah angka semata-mata nak "gah"kan UMNO BN dan merendahkan PR.


PAS Bina UMNO Roboh


Umno sanggup buat apa saja asalkan mereka terus berkuasa, Umno sanggup robohkan masjid hanya kerana PAS yang membinanya, Umno sanggup tolak hukum hudud hanya kerana PAS yang memperjuangkannya

Kerana bagi UMNO, mereka hendak menjadi juara. UMNO cemburu PAS mendahuluinya.

Tetapi mereka khuatir dan takut jika hukum hudud akan terkena batang hidungnya. Lantas itu diciptakan istilah HUDUD PAS agar rakyat terkeliru dengannya.

Namun, kebenaran dan keadilan tetap muncul akhirnya. Rasulullah saw bersabda, mafhumnya:

Daripada Thauban r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan sentiasa ada satu golongan dari kalangan umatku yang sentiasa berada di atas kebenaran. Orang yang menyalahi mereka tidak akan memudharatkan sehingga Allah memberikan keputusannya sedangkan mereka tetap berada dalam keadaan tersebut”

[VIDEO & BERGAMBAR] Amukan Di Putrajaya: "Imam Mahadi" Ke Lanun?

Ada lambang "lanun" di topi yang dipakainya

Individu yang mengaku dirinya "Imam Mahadi, yang mengamuk mau mengulingkan kerajaan dengan bantuan pasangannya dengan hanya  bersenjatakan sebilah pedang samurai seperti dilaporkan oleh Utuseks Meloya dikenali dengan nama Khalil Afandi Hamid dan memiliki blog jenama Jaya Negara

Lelaki yang menyerbu pejabat JPM dan cuba menyerang orang ramai dengan pedang samurai di JPM rupanya seorang Penulis Blog  Jaya Negara. Allahyarham sempat menulis entri terakhir  tentang hidup dan mati. (Baca di sini...


Mengikut kenyataan polis, lelaki  ini mengangkat dirinya sebagai Imam Mahadi. Tak dapat dipastikan sama ada dia ni penyokong mana-mana parti sebab dari blognya itu tidak digambarkan ideologi politiknya. Pas pun dia bantai, Najib pun dia bedal. Tapi dia banyak bercakap mengenai ketuhanan...

Nama sebenar lelaki tersebut ialah Khalil Afandi Hamid 47 tahun, seorang penganggur manakala  teman wanitanya bekas pelajar UIA berusia 28 tahun. Lelaki tersebut  disahkan meninggal dunia kira-kira 15 minit dimasukkan ke hospital berkenaan, manakala suspek wanita masih menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.



disunting dari: wargamarhaen

Video ketika amukan


Ulasan GB

Ada persoalan yang agak pelik dan misteri di dalam kes ini.

1) Nak gulingkan kerajaan cuma dengan dua orang?
2) Topi ada lambang tengkorak, nak tunjukkan apa sebenarnya?
3) Pedang samurai - jarang orang Melayu guna pedang, mungkin ini kes terpencil.
4) Belenging tak berbaju (malah gambar profail di blog pun begitu). Perwatakan sedemikian aneh dan pelik kecuali orang tidak siuman.
5) Laporan Utusan menyebut dia bertakbir beberapa kali. Betulkah atau auta Utusan?
6) Mati kerana terkena tembakan di kaki.. mungkin darah dah keluar banyak
7) Blognya baru dibuat 1 bulan yang lalu.. semacam dirancang...


[Bergambar] Gambar-gambar Pelik, Aneh & Lucu VI

Lagi gambar-gambaryang pelik, aneh dan lucu untuk kita hilangkan tekanan setelah sehari suntuk mengikuti isu-isu berat yang berlaku sekeliling kita.

Gambar-gambar ini bersepah ini internet, dikutip untuk paparan di blog GB ini untuk kita segarkan semula minda kita untuk menghadapi isu-isu baru selepas ini. Selamat menyaksikan dan selamat berhibur.



















Laporan sebelum ini
klik untuk baca