19 Jan 2015

Potong Dana Untuk JPM, Tukar Menteri Kewangan Segera!


Kerajaan didedesak potong dana melampau Jabatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Kerajaan perlu memotong ‘dana istimewa’ dalam bidang kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM7 bilion dan bukannya mengurangkan perbelanjaan sosial ke atas penstrukturan semula Belanjawan 2015.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, kerajaan juga harus melantik Menteri Kewangan sepenuh masa yang boleh memberikan dedikasi kepada pengurusan dana dan ekonomi negara.

Menurutnya, penurunan harga minyak global yang menyebabkan pemotongan mendadak pendapatan kerajaan juga menunjukkan betapa perbelanjaan harus dikurangkan.

“Persoalannya kini dana manakah yang akan dipotong. Sebagai permulaan, tidak boleh ada pemotongan untuk pendidikan, kesihatan, kebajikan dan perbelanjaan sosial lain.

“Apa yang harus dipotong adalah ‘dana istimewa’ yang bukan sahaja diberikan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) tapi Kementerian Kewangan, ” kata Chin Tong dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu menegaskan, terdapat tujuh projek di bawah dana pembangunan yang diperuntukkan secara keterlaluan untuk Jabatan Perdana Menteri.

Projek itu adalah Program Kemiskinan bagi Semenanjung/Sabah/Sarawak (RM160 juta), Program Pembangunan (RM1.1 bilion), Projek Mesra Rakyat (RM670 juta), Dana Fasilitasi (RM2.5 bilion), Projek Kecil (RM300 juta) dan Projek Khas (RM1.6 bilion).

“Senarai-senarai ini melibatkan wang pembayar cukai sebanyak RM7.08 bilion, jauh melebihi bayaran BR1M.

“Sebab itu, sebarang pemotongan perlu dimulakan dari ‘dana istimewa’ Perdana Menteri termasuk menguatkuasakan perubahan gaya hidup untuk Najib dan keluarganya.

“Kita juga memerlukan seorang menteri kewangan sepenuh masa yang baru dengan pengetahuan mendalam dalam bidang ekonomi dan mempunyai kuasa cukup untuk membuat keputusan bermaklumat serta berpengetahuan,” tegasnya.

Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini menyatakan Najib akan mengumumkan penstrukturan semula Belanjawan 2015 pada 20 Januari ini.

Katanya, penstrukturan semula itu dibuat sebagai usaha untuk menangani kemerosotan nilai ringgit dan penurunan harga minyak. – Roketkini

ULASAN GB

Memang GB bersetuju sangat supaya peruntukan bajet bagi Jabatan Perdana Menteri perlu disemak semula dan dipotong kerana ia keterlaluan apatah lagi seperti dana untuk PERMATA, ia tidak lansung diaudit.

Hampir RM20 bilion diperuntukkan untuk JPM. Ini gila namanya. Sedang peruntukan itu sepatutnya lebih baik diagihkan semula kepada rakyat jelata yang terhimpit dengan kesusahan terutama yang ditimpa musibah banjir baru-baru ini.

Kedua mengenai cadangan supaya Najib melepaskan jawatan Menteri Kewangan ia adalah satyu yang amat mendesak kerana nampaknya penyalahgunaaan dana negara berlaku apabila portfolio menteri kewangan dipegang oleh PM. GB telah mengulas hal ini GB pada 16 Sept 2011 lagi:

Semenjak Tun Dr. Mahathir memegang Kementerian Kewangan selain menjadi Perdana Menteri, trend itu nampaknya berterusan dengan diikuti oleh PM selepasnya, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak.

Masing-masing PM tersebut dilihat hendak menjaga dan memanipulasi pelbagai kepentingan dengan menyandang jawatan Menteri Kewangan.

Malah seingat GB, sebelum Pak Lah berundur sebagai PM beliau telah terlebih dahulu menerima tekanan daripada kumpulan Najib supaya menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Najib yang pada ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri.

Mahathirlah yang telah meletakkan "precedent" tersebut.

Sudah sampai masanya ia diubah semula dengan Najib menyerahkan portfolio kewangan kepada orang lain sebelum nanti dibongkar segala kepentingan yang beliau ada di kementerian berkenaan.

[VIDEO] Selepas P.Pinang, Selangor Pula Pertimbang Tawar Pekerjaan Untuk Mejar Zaidi


Azmin: Selangor Sedia tawar pekerjaan Mejar Zaidi

SHAH ALAM, 16 JAN: Kerajaan Negeri Selangor akan mempertimbangkan untuk menawarkan pekerjaan kepada Mejar Zaidi Ahmad yang dibuang kerja.

Dato' Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata demikian bagi mengulas tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang menawarkan pekerjaan kepada Zaidi.

"Kita boleh mempertimbangkan untuk menawarkan pekerjaan kepada beliau," katanya dalam sidang media di SUK, hari ini.

Sementara itu bagi mengulas tindakan Mejar Zaidi yang berhajat untuk menyertai Pakatan Rakyat, Mohamed Azmin berkata beliau mengalu-alukan penyertaan Zaidi.

Katanya, adalah hak individu dalam sistem demokrasi untuk menyertai mana-mana parti.

"Saya percaya beliau mempunyai peranan untuk menyuburkan sistem demokrasi di negara ini," katanya yang juga Timbalan Presiden PKR.

Mejar Zaidi sebelum ini diberhentikan kerja ekoran mempersoalkan keberkesanan sistem dakwat kekal pada Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu.

Beliau didapati bersalah melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera dengan memberi kenyataan media tanpa kebenaran. -selangorku


Mejar Zaidi ditawarkan pekerjaan di Pulau Pinang

Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad yang dihukum buang kerja oleh Mahkamah Tentera baru-baru ini mungkin akan diambil bekerja di Pulau Pinang.

Memetik laporan sebuah portal berita hari ini, Timbalan Ketua Menteri I, Mohd Rashid Hasnon dikatakan, sedang mencari peluang pekerjaan bagi membantu bekas pegawai tentera itu.

Menurut Mohd Rashid, buat masa kini, pihaknya masih meninjau kekosongan pekerjaan di kawasan Bertam atau Tikam Batu.

"Dia adalah kawan rapat saya dan ini masanya untuk saya bantu rakan yang memerlukan.

"Kami akan mempertimbangkan untuk menawarkan dia kerja dalam NGO mungkin," katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

Mejar Zaidi dibuang kerja 12 Januari lalu selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan melibatkan isu dakwat kekal semasa PRU13 dan menyiarkan maklumat surat pertukaran kerjanya, dua tahun lalu.

Zaidi mencetuskan kontroversi semasa pilihan raya umum lepas Mei 2013 apabila beliau memberitahu media bahawa dakwat kekal yang digunakan boleh dikeluarkan dengan mudah.

"Akan ada peluang untuk Zaidi di mana beliau secara aktif boleh menyumbang kepada rakyat," kata Rashid, sambil menambah bahawa pada masa ini tiada kekosongan jawatan di pejabatnya.
-SH



Zaidi Pilih Pakatan Rakyat Jika Ceburi Bidang Politik

Bekas Pegawai Tentera Udara Udara Diraja Malaysia (TUDM), Zaidi Ahmad mengakui akan memilih Pakatan Rakyat sekiranya menceburi bidang politik selepas ini.

"Sudah tentu saya akan memilih Pakatan Rakyat tetapi parti mana....biarlah menjadi rahsia," jelasnya kepada The Star melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada Sabtu.

Menjawab kepada laporan mengenai kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang bersedia menawarkan pekerjaan kepadanya, Zaidi berkata dia perlu mengkaji dahulu tawaran tersebut.

"Saya akan berjumpa dengan wakil-wakil negeri Selangor dan Pulau Pinang dan berhati-hati menilai tawaran itu.

"Jika tawaran sesuai, saya akan menerimanya," kata Zaidi.

Bagaimana pun, katanya buat masa sekarang dia mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan.

"Buat masa sekarang saya mahu beri fokus kepada perniagaan jualan langsung dan mahu menyambung menulis buku.

"Buku saya seterusnya akan berkisarkan mengenai isu pertahanan dan perbicaraan saya ," jelasnya yang baharu menerbitkan travelog mengenai ibadah Haji.

Pada Isnin lalu, Zaidi dijatuhkan hukuman dengan ditamatkan perkhidmatan secara serta-merta selepas didapati bersalah atas dua dakwaan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tentera.

Dia dikaitan dengan kesalahan melanggar arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa Angkatan Tentera Udara.

Zaidi didakwa membuat kenyataan media mengenai dakwat kekal itu tanpa kebenaran Kementerian Pertahanan di Balai Polis Kepala batas pada 1 Mei 2013.

Dan turut didakwa menyiarkan maklumat rasmi surat pemindahan tanpa kelulusan Majlis Angkatan Tentera di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang, pada 3 Mei 2013.
-mstar




ULASAN GB

Demikianlah rahmat dan rezeki yang dilmpahkan olehNya kepaDa orang yang tetap berdiri di atas KEBENARAN.

Rezeki itu di tangan Allah s.w.t. bukan di tangan manusia, jauh sekali di tangan UMNO/BN.

Mereka yang ada kuasa kini boleh menggunakan kuasa mereka membuang kerja Mmejar Zaidi, tetapi mereka itu sendiri tidak tahu bahawa Allah berhak pada satu hari nanti mencabut dan menarik rezeki daripada mereka yang zalim dan kejam itu.

Kita doakan agar Allah mempermudahkan kehidupan Mejar Zaidi dan keluarganya...