27 Mei 2013

Jutaan Rakyat Ke Dataran Merdeka Jika SPR Tidak Letak Jawatan


Pakatan Rakyat (PR) akan menghimpunkan jutaan rakyat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur jika tuntutan mereka agar pengerusi, timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan tidak ditunaikan, kata Mohamad Sabu.

Menurut timbalan presiden PAS itu, jika desakan tidak ditunaikan, PR akan menganjurkan lebih banyak perhimpunan sehingga kerajaan Datuk Seri Najib Razak turun takhta.

“Jutaan rakyat akan memenuhi Kuala Lumpur jika tuntutan kita tidak ditunaikan tidak lama lagi,” kata Mohamad dalam perhimpunan #Black505 di sini malam tadi.

“Jika SPR tidak letak jawatan, kita akan terus mengadakan perhimpunan sehingga kerajaan Najib gugur,” tambah beliau lagi.

Perhimpunan #Black505 di Tapah ini adalah yang kesepuluh bagi membantah keputusan Pilihan Raya 2013 dan julung kalinya dianjurkan oleh PAS.

Turut hadir dalam perhimpunan itu adalah pemimpin PR Perak seperti Datuk Seri Nizar Jamaluddin, V Sivakumar dan ramai lagi.

Menurut Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu itu, penipuan pilihan raya telah menggugat kepercayaan rakyat Malaysia terhadap sistem demokrasi.

“Kita kena ingat, rakyat memilih pilihan raya, rakyat memilih jalan demokrasi. Kenapa rakyat memilih jalan raya di Tunisia? Mesir? Jakarta?

“Kerana mereka sudah tidak yakin dengan jalan demokrasi,” katanya disambut dengan sorakan daripada ribuan hadirin berpakaian hitam.

Mohamad turut mengingatkan pasukan keselamatan, polis dan tentera agar bersikap profesional dan menjaga keselamatan rakyat.

“Polis dan tentera saya ingatkan. Jaga keselamatan rakyat, jika gugur sebutir peluru kepada rakyat yang tidak bersenjata, bererti kamu sudah kalah.

“Jangan usik rakyat yang memilih cara demokrasi ini,” katanya.

PR menyalahkan penipuan pilihan raya menyebabkan mereka tidak menjadi kerajaan walaupun menang undi popular pada Pilihan Raya 2013.

PR menang 89 kerusi Parlimen berbanding Barisan Nasional (BN) yang mendapat 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.

Walau bagaimanapun, buat pertama kali semenjak 1969, BN kehilangan undi popular apabila hanya mendapat 47 peratus undi keseluruhan berbanding PR yang mendapat 51 peratus.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perhimpunan #Black505 pada Sabtu di Padang Timur, Petaling Jaya turut menegaskan beliau menolak idea untuk bekerjasama dengan SPR dan menyokong desakan untuk pesuruhjaya SPR meletakkan jawatan serta merta.

“Kita tidak akan bekerjasama atau bekerja atau melibatkan diri dengan Suruhanjaya Pilihan Raya yang menipu,” kata ketua umum PKR dan menambah “kata dua” akan dikeluarkan jika mereka tidak meletak jawatan. -TMI


Chegu Bard: Jika SPR Terus Membisu, Kita Tuju Ke Dataran Merdeka



PETALING JAYA, 27 MEI: Rakyat yang membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) harus bersedia untuk turun ke Dataran Merdeka sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus tidak menghiraukan dakwaan penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PRU 13.

Desakan itu dibuat penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, Himpunan Kemuncak Suara Rakyat 505 yang diadakan di Padang Timur Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini Sabtu lalu.

“Jika Wan Ahmad membisu, jika Aziz membeku, jika SPR buat pekak badak, rakyat akan menuju ke Dataran Merdeka,” kata beliau dan disambut teriakkan bersemangat lebih 50,000 perserta perhimpunan tersebut.

Beliau merujuk kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar, yang sebelum ini didesak supaya meletakkan jawatan mereka ekoran perjalanan PRU 13 yang tempang dan cacat.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, sebelum itu turut membayangkan satu lagi perhimpunan akan diadakan di Dataran Merdeka selepas ini.

“Cukup setakat ini dahulu, dan Insya-Allah kita akan bertemu di Dataran Merdeka selepas ini sehinggalah tuntutan-tuntutan kita dipenuhi oleh (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) dan SPR,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, sekiranya rakyat tidak bangkit menentang penipuan dan penyelewengan tersebut, perkara yang sama akan terus berlaku di masa akan datang.
-selangorku

Rafizi Dedahkan Laporan Polis Kes Lampu Padam Di Kedah


Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli hari ini mendedahkan satu laporan polis bagi membuktikan dakwaan bahawa kejadian lampu padam turut berlaku di satu pusat pengundian di Kedah pada 5 Mei lalu.

Rafizi berkata laporan polis itu menunjukkan bahawa kejadian lampu padam itu berlaku di Sedim, Kedah ketika pengiraan sedang berjalan – dan berlangsung selama 15 minit.

Pusat pengundian itu terletak dalam kawasan parlimen Kulim Bandar Baru.

Ia merupakan kes yang kedua selepas PAS menimbulkan dakwaan berhubung kes serupa yang didakwa berlaku di kawasan DUN Seri Serdang.

Laporan itu dibuat oleh seorang ejen pusat pengudian PKR yang bertugas di sebuah sekolah di Sedim.

Ejen parti berkenaan mendakwa kes lampu padam itu hanya berlaku di sekolah berkenaan dan tidak melibatkan kawasan sekitar. -mk


SPR keluarkan borang 10A,.sahkan kewujudan pengundi hantu


PETALING JAYA, 27 MEI: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mendedahkan, borang 10A telah dikeluarkan di Alor Setar, Kedah.mengesahkan kewujudan pengundi hantu.

Seorang pengundi, Lim Tiek Hong diserahkan borang 10A yang ditandatangani pegawaii SPR, Mohd Azahar Zakaria.

Menurut peraturan perjalanan pilihan raya 1981, Borang 10A adalah borang yang diserahkan kepada pengundi yang hilang kelayakan mengundi.

Lim yang sepatutnya mengundi di SK Peremba, Alor Setar pada 5 Mei lalu dinafikan hak kerana ada pihak telah mengundi bagi dirinya.

"Borang 10A hanya dikeluarkan atas empat sebab. Pertama pengundi enggan menunjukkan jari telunjuk untuk pastikan tidak ada kesan dakwat kekal. Kedua pengundi enggan telunjuknya ditandakan dakwat kekal," kata Rafizi.

"Ketiga, jari telunjuk telah ditandakan dakwat kekal tetapi tidak ada kertas undi yang dikeluarkan dengan namanya. Keempat, jari telunjuk tidak ada dakwat kekal, tetapi kertas undinya telah dikeluarkan.

"Ini yang dikenakan kepada Lim menyebabkannya hilang hak mengundi," kata Rafizi.

Tambahnya, jika Lim telah mengundi dan tiada kesan calit di jari, bermakna peraturan SPR berkaitan dakwat kekal adalah penipuan.

"Hari ini kita tuntut SPR jelaskan. Jika tiada masalah pengundi hantu, kenapa masih ada borang 10 A yang dikeluarkan?

"Kita minta (SPR) sahkan, berapa banyak borang 10A yang dikeluarkan di seluruh negara," soal Rafizi.

Katanya, SPR ada lebih sepuluh sumber untuk melakukan siasatan, namun mereka tidak menggunakannya dengan baik, malah memperlekehkan aduan rakyat.

"SPR patut malu kerana kegagalan mereka menyelesaikan aduan rakyat berkaitan kegagalan sistem mereka," kata Rafizi.

BN Perak Tumbang Enam Bulan Lagi


Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Kerajaan BN Perak tidak mustahil akan tumbang dalam tempoh 6 bulan.

Menurutnya, perkara tersebut boleh terjadi melalui petisyen yang dibuat oleh Pakatan Rakyat di beberapa buah Dun di negeri itu.

"Dulu kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang selepas 11 bulan memerintah, kerajaan BN Perak sekarang ini pula Insya Allah akan tumbang dalam tempoh 6 bulan ini melalui petisyen yang dibuat," katanya ketika berucap dihadapan kira-kira 10,000 hadirin di Himpunan Blackout anjuran PAS Perak di Kompleks PAS Tapah, dekat sini malam tadi.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamamd Sabu, Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari, Timbalan Pengerusi DAP Negeri, V Sivakumar dan pimpinan Pakatan Rakyat Perak.

Beliau menjelaskan, Pakatan Rakyat Perak akan membuat petisyen terhadap lapan Dun yang dimenangi BN dan enam daripadanya Dun yang ditandingi PAS serta dua PKR yang masing-masing menyebelahi BN dengan majoriti tipis serta penuh keraguan.

Lapan Dun tersebut ialah Manjoi, Manong, Pasir Panjang, Rungkup, Lubok Merbau, Selama, Chenderiang dan Tualang Sekah.

Jelasnya, pihaknya sedang mengumpul maklumat tentang salah laku serta keraguan dan penyelewengan yang berlaku menyebabkan Pakatan Rakyat tewas tipis di Dun tersebut.

"BN Perak dalam keadaan tidak begitu gembira dengan kemenangan ini kerana ianya sangat getir dan goyah ditambah lagi mendapat maklumat Pakatan Rakyat akan membuat petisyen sebanyak 8 buah Dun.

Adun Changkat Jering itu menyeru seluruh rakyat di negeri Perak agar terus berdoa di samping membuat solat hajat, qunut nazilah, zikir munajat dan sebagainya agar Allah memberi kejayaan kepada petisyen yang dikemukakan.

“Kalaulah 2 daripada 8 petisyen yang dibuat itu menyebelahi kita (Pakatan Rakyat), ianya sudah cukup untuk menumbangkan BN seterusnya Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan di Perak.

“Justeru teruskanlah kita ikhtiar dan meminta pertolongan Allah agar diberi keputusan positif kepada Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Gandingan Khalid-Zahid Rosakkan Demokrasi & Hak Asasi


Keangkuhan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang tidak sampai sebulan memegang jawatan hanya akan merosakkan demokrasi dan hak asasi negara, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini.

Lim menyifatkan tindakan kuku besi Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid dan Ketua Polis Negara (KPN), Khalid baru-baru ini selepas penahanan aktivis mahasisiwa Adam Adli Abdul Halim dan tiga lagi individu selepas itu sebagai cubaan membawa era pemerintahan autokratik ala "Mahathir".

"Terima kasih kepada Ahmad Zahid dan Khalid kerana mereka telah mengingatkan rakyat Malaysia tentang zaman buruk dibawah Mahathir dimana semua institusi dan badan dalam negara digunakan untuk satu objektif - melanggar semua hak demokratik dan asasi manusia rakyat Malaysia semata-mata untuk melindungi regim politik," kata Lim (gambar) dalam satu kenyataan semasa ucapannya pada satu program di Nusajaya hari ini.

"Gandingan KPN paling kuat 'berpolitik' dan Menteri Dalam Negeri paling kuat 'berpolitik' akan mengembangkan racun kepada demokrasi dan hak asasi manusia," tambah penasihat DAP itu lagi.

Menurut Lim lagi, kedua-dua individu paling berkuasa tersebut hanya sibuk "berpolitik" tetapi sehingga kini masih belum memberi komitmen dan kaedah untuk menangani masalah jenayah yang berleluasa.

"Sampai hari ini tidak ada satu pun kata keluar mengatakan polis akan membasmi jenayah walaupun rakyat Malaysia ketika masih bimbang dengan jenayah yang masih meluas," katanya.

Khamis lalu, pihak polis telah membuat tangkapan besar-besaran dimana tiga individu telah ditahan dibawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan, mereka yang ditahan ialah Ahli Parlimen (MP) Batu PKR Chua Tian Chang, ahli PAS Tamrin Ghafar dan aktivis Haris Ibrahim.

Walaubagaimanapun mereka dibebaskan keesokkan harinya selepas majistret Norashikin Sahat tidak membenarkan permohonan reman oleh pihak polis, namun Lim membidas Ahmad Zahid kerana cuba mencampuri urusan pihak berkuasa apabila berkata akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

"Ia hanya tidak masuk akal dan keterlaluan untuk Zahid mengatakan pihak polis akan membuat rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh majistret Norashikin Sahat pada Jumaat lalu kerana menolak permohonan polis untuk reman tiga individu tersebut.

"Sejak bila Menteri Dalam Negeri mengambil alih kuasa dan tugas membuat keputusan sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah - mengatasi kuasa Polis dan Jabatan Peguam Negara?" soal Lim ke atas tindakan Ahmad Zahid yang cuba mencampuri urusan pihak polis.

Lim kemudiaannya mengarahkan kritikan ke atas Khalid serta mengganggap penjelasan KPN baru tersebut yang mengatakan pihak polis menjalankan tugas tanpa memihak kepada mana-mana pihak sebagai tidak munasabah.

"Adakah Khalid benar-benar berfikir dakwaannya polis akan bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih terhadap semua pihak yang melanggar undang-undang, sama ada dari Umno atau BN atau kenamaan VVIP akan dipercayai oleh rakyat Malaysia?

"Jika ya, maka kepimpinan polis mengalami dua masalah iaitu jurang kredibiliti awam yang tenat serta mengalami sindrom penafian," tegas Lim lagi.

Pertikaian tercetus awal minggu lalu apabila Adam ditahan dibawah Akta Hasutan dan kemudiaannya disusuli dengan tangkapan tiga individu lagi dipercayai ditahan kerana pengelibatan mereka dalam sebuah forum pada 13 Mei terhadap keputusan pilihan raya umum lalu.

Individu pertama yang ditahan akibat forum itu dan didakwa kerana menghasut adalah aktivis mahasiswa, Adam di kompleks mahkamah Jalan Duta pagi semalam.

Mahasisiwa berumur 24 tahun itu mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dan perbicaraannya ditetapkan bermula pada 2 Julai.

Ekoran tindakan keras terhadap pemimpin pembangkang dan pengkritik tersebut, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menuduh Barisan Nasional (BN) tidak pernah jujur dalam mahukan reformasi politik sebenar. -TMI

Jom Ke Balai Polis Buat Laporan Isu Dakwat Kekal Hari Ini


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu membuat laporan polis berhubung penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam pilihan raya tersebut.

Salinan laporan tersebut hendaklah diserahkan kepada pejabat-pejabat PKR, PAS atau DAP yang berdekatan bagi membuktikan penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13 pada 5 Mei lalu.

Laporan yang dikumpulkan itu seterusnya akan digunakan untuk memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya.

“Kita mahu puluhan ribu laporan polis, paling kurang tentang dakwat kekal.

“Saudara, saya nak minta tiap orang yang mengundi yang hari pertama mengundi dakwat kekal dah pun hilang buat laporan polis.


“Selain itu, pengundi yang tidak dibenarkan mengundi kerana ada orang lain sudah mengundi menggunakan namanya juga kena buat laporan polis,” ujar Anwar dalam ceramahnya di Kemuncak Perhimpunan Suara Rakyat 505 di Padang Timur AMcorp Mall di sini malam tadi.

Anwar berkata lagi, sekurang-kurangnya terdapat 30 kerusi parlimen yang dipercayai dimenangi BN dengan cara penipuan dan penyelewengan pilihan raya.

Selain itu, Anwar turut menggalakkan orang ramai yang mempunyai bukti dan melihat sebarang penipuan pilihan raya turut berbuat demikian.

Anwar turut menggesa agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan kerana bersengkokol dalam penipuan bagi memenangkan Umno-BN dalam pilihan raya yang dianggap terkotor dalam sejarah negara.

Selain Anwar, turut senada dengan desakan tersebut, barisan kempimpinan PR lain yang berucap, Nurul Izzah Anwar, N Surendren, Mohamad Sabu, Rafizi Ramli, Badrul Hisham Shaharin, Khalid Samad, Ronnie Liu dan lain-lain.

Anwar turut menemplak laporan akhbar The Star yang didakwanya sengaja menyembunyikan kenyataan penuh Pejabat Setiausaha akhbar Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama yang menyentuh isu penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kedutaannya itu, Kerajaan Amerika Syarikat melahirkan kebimbangan terdapat unsur-unsur mencurigakan dalam perjalanan pilihanraya.

Kenyataan itu turut berkata adalah diharapkan bahawa unsur-unsur tersebut diberi perhatian oleh pihak berkuasa Malaysia.
Sebaliknya menurut Anwar, akhbar tersebut hanya melaporkan ucapan tahniah dari Obama sahaja, bagi memberikan gambaran seolah-olah negara kuasa dunia itu mengiktiraf keputusan pilihan raya negara ini.

FORMAT LAPORAN POLIS

Saya ____________________________, kad pengenalan bernombor _____________________________ ingin membuat laporan polis berkenaan insiden yang berlaku di pusat pengundian semasa saya keluar mengundi.

Pada 05/05/2013, jam lebih kurang pukul _________, saya telah keluar mengundi di ____________________.

Setelah pegawai SPR menyemak dah mengesahkan identiti saya, mereka telah menyapu dakwat kekal pada jari telunjuk kiri saya. Setelah habis mengundi, saya pergi ke bilik air untuk membasuh tangan.

Saya difahamkan bahawa dakwat kekal itu sepatutnya tidak luntur untuk jangka masa 5 hari.

Walau bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati dakwat yang didakwa kekal luntur sepenuhnya. Saya percaya dengan pengunaan dakwat yang boleh luntur ini, akan mengakibatkan pihak-pihak yang tidak bertangungjawab akan mengambil kesempatan ini untuk melakukan penipuan dalam proses undian.

Saya juga percaya bahawa kejadian ini melanggar peraturan-peraturan dan peruntukan-peruntukan undang-undang pilihanraya.

Perkara ini adalah amat serius dan harus disiasat dengan serta merta. Sekian laporan saya.


TARIKH AKHIR UNTUK BUAT LAPORAN POLIS MENGENAI DAKWAT KEKAL IALAH HARI INI (27 MEI 2013)

[VIDEO] Anwar: Tribunal Rakyat Hakimi Penipuan PRU-13


Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia menyokong langkah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk menubuhkan Tribunal Rakyat bagi menyiasat penipuan pilihan raya umum ke-13.

“Bersih akan adakan Tribunal Rakyat. Ini medan yang sah. Ratusan ribu rakyat akan beratur bagi keterangan (penipuan pilihan raya),” kata Anwar di hadapan lebih 50,000 hadirin yang membanjiri himpunan Suara Rakyat 505 di Padang Timur, malam tadi.

Kata Anwar, walaupun Pakatan Rakyat sudah masak dengan sikap mahkamah di Malaysia, namun tetap menggunakan saluran undang-undang bagi membongkar penyelewengan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

“Kita ada banyak pengalaman dengan mahkamah. Tetapi, kita tetap patuh kepada peraturan, undang-undang dan perlembagaan.

“Kita takkan menyerah. Barisan peguam akan kumpul maklumat. Apakah mahkamah nak selesaikan masalah kita? Kita lebih yakin dengan mahkamah rakyat,” katanya disambut sorakan hadirin.

Tegas Anwar, dengan segala tipu helah termasuk membawa masuk pengundi asing, monopoli media dan penipuan dakwat kekal, Umno-BN hanya mampu meraih sokongan 47 peratus pengundi.

Beliau menyeru agar pengundi yang yang tertanggal dakwat kekal membuat laporan polis membuat laporan polis dan menyerahkan salinan kepada Pakatan Rakyat untuk digunakan sebagai bukti di mahkamah kelak.

“Semua orang tanpa kecuali telah ditipu (SPR). Ada profesional, peniaga, pekerja kilang, anak muda dan mahasiswa.

“Ramai yang miskin. tapi saya nak beritahu Najib dan SPR. Ya, kami miskin. Tapi kami ada maruah. Kita akan tetap lawan!, kata Anwar disambut laungan ‘Lawan Tetap Lawan’ oleh ribuan hadirin.

VIDEO RANGKUMAN KEMUNCAK HIMPUNAN SUARA RAKYAT 505 PADANG TIMUR AMCORP MALL OLEH SINAR