12 Apr 2011

Rakyat Juga Bijak Menilai Siapa Rais!

Rakyat Harus Bijak Menilai Siapa Anwar Ibrahim - Rais

BINTULU: Insiden Datuk Seri Anwar Ibrahim melenting terhadap wartawan menjadi barometer bahawa sahsiah beliau sebenarnya sahsiah yang dilakonkan pada masa-masa tertentu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Anwar Ibrahim sebenarnya mempunyai pelbagai facet ataupun permukaan... yang karismatik pun ada, satu lagi yang tidak dikenali kita pun ada, kebengisannya pun jarang kita akui, tapi nyata telah dilahirkan terhadap media.

"Dengan cara itu, media sendiri dapat menghayati siapa Anwar sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan stesen radio Bintulu FM di Studio RTM di sini, Selasa.

Pada sidang media yang diadakan di Kuching Ahad lepas, Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu melenting terhadap wartawan ketika diajukan soalan berkaitan jam tangan Omega yang dikaitkan dengan isu video seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan pembangkang.

Rais, yang diminta mengulas insiden itu, berharap agar rakyat sendiri boleh menilai parti pembangkang selepas insiden berkenaan.

Beliau berkata seseorang pemimpin tidak perlu menghalau orang ataupun menggunakan kata-kata kesat terhadap wartawan biar apapun laporan yang dibuat oleh media.

"Saya pun mempunyai saham dalam hal ini dan pengalaman saya adalah tidak perlu menggunakan kata-kata yang di luar dugaan ataupun di luar yang perlu kita nyatakan kepada umum," katanya.

Ditanya sama ada insiden berkenaan akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri 16 April ini, beliau berkata ia terserah kepada rakyat.

"Sepatutnya rakyat terasa bahawa ini adalah sesuatu yang sebenarnya Anwar Ibrahim dan mereka harus tahu siapa beliau," kata Rais yang yakin BN akan dapat memenangi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya ini.-BERNAMA

Ulasan GB

Cuba selepas ini wartawan bertanya kepada Rais mengenai isu siapa menteri yang merogol amah dulu? Cuba buka kisah Robengah di depannya dan cuba minta pandangannya tentang sikap Migrant Care yang berkeras mempertahankan tuduhannya bahawa seorang menteri itu telah merogol seorang amah dari Indonesia yang pernah berkhidmat dengannya? Bagaimanakan agaknya sikap Rais ketika itu?

Perhatikan juga perwatakannya yang mempunyai pelbagai facet (mengguna istilahnya sendiri) bila berdepan dengan orangramai.

Baru sharpshooter cut & paste artikel dari harakahdaily, dah kelam-kabut mohon injunksi mahkamah supaya beliau keluarkan artikel itu dari blognya.

Justeru, rakyat seperti GB berkata: Rais perlu mencerminkan dirinya terlebih dahulu dan tidak perlu menuding kepada Anwar jika ekornya sendiri bergelumang najis. Rakyat juga bijak menilai siapa Rais yang hendak menilai Anwar!


NGO Serah Memo Pertikai Perbelanjaan Ketenteraan RM23 Billion

NGO serah memo bantah perbelanjaan ketenteraan

Sekumpulan lebih 10 orang aktivis hari ini berhimpun di hadapan Markas Angkatan Tentera, Kuala Lumpur bagi menyerahkan satu memorandum berhubung peruntukan ketenteraan negara yang didakwa semakin meningkat setiap tahun.

Memorandum berkenaan antara lainnya mempertikaikan peningkatan perbelanjaan ketenteraan sehingga RM23 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK).

"(Sedangkan), menteri pelajaran pada masa yang sama mengumumkan terdapat 600 buah sekolah di negara ini berada dalam keadaan kritikal," memorandum itu dipetik.

Memorandum itu juga menyebut, peruntukan perbelanjaan pertahanan mencecah 15.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan dalam tempoh RMK-3 dan 15 peratus dalam tempoh RMK-6.

"Sementara itu, peruntukan kesihatan hanya sekadar 1.6 peratus dan 1 peratus bagi tempoh RMK-4 dan RMK-5.

"Ini secara jelas menggambarkan bahawa kerajaan BN telah menunjukkan komitmen dan fokus luar biasa terhadap ketenteraan dan peruntukan pertahanan pada beberapa dekad lepas,
" menurut memorandum itu lagi.

Memorandum berkenaan ditandatangani oleh 26 NGO dan parti politik, antaranya Suaram, Food Not Bombs Kuala Lumpur dan Parti Sosialis Malaysia.

Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah ADUN Kota Damansara Dr Mohd Nasir Hashim dan juga pengarah Suaram Kua Kia Soong.

Ketika bercakap kepada media, Kua berkata jumlah perbelanjaan sebanyak RM6 bilion untuk pembelian kapal peronda tentera oleh kerajaan sepatutnya boleh digunakan untuk membina 6000 buah sekolah.

"Apa yang kita perlukan ialah hospital dan bukan pesawat Hornet, sekolah dan bukannya kapal selam.

"Jika ditanya, (kerajaan) cuma akan kata (sebab) keselamatan negara," kata Kua lagi yang mendakwa, kerajaan tidak bertindak secara telus dalam memberi penjelasan berhubung perbelanjaan ketenteraan
.

Memorandum berkenaan diterima oleh setiausaha bahagian kewangan kementerian pertahanan Mohd Shahbudin Ibrahim yang menemui pemimpin aktivis berkenaan di luar kompleks kementerian tersebut.

Penyerahan memorandum berkenaan dibuat sempena hari tindakan sedunia bagi menentang perbelanjaan ketenteraan (GDAMS) yang disambut pada hari ini. -mk

Bangunan Retak Tiada Kelulusan Majlis Tapi Masih Terus Dibina

Melaka: Agak membimbangkan apabila sebuah bangunan sembilan tingkat yang pembinaan terpaksa dihentikan kerana tidak mendapat kelulusan di Kampung Semabok Luar dekat sini, retak di beberapa struktur binaannya.

Ia termasuk keretakan pada dinding, kerangka dan tiang hingga menyebabkan serpihan batu mula menimpa kediaman penduduk yang terletak hanya kira-kira 15 meter daripada tapak projek terbabit.

Bangunan yang dibina pada pertengahan tahun lalu itu juga mulai condong berikutan dakwaan penduduk bahawa ia dibangunkan di atas tanah berstatus pertanian dan kediaman, selain tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dakwa mereka lagi, pemaju gagal mempamerkan papan pemberitahuan projek, selain tidak langsung berbincang dengan penduduk kampung sebelum melaksanakan kerja pembinaan.

Wakil penduduk, Muhamad Nuh Sani, 32, berkata cadangan asal pemaju projek itu adalah membina bangunan hotel setinggi lima tingkat, tetapi terpaksa dihentikan atas arahan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana kegagalan mendapatkan kelulusan pelan bangunan.

"Bagaimanapun, pemaju meneruskan juga kerja pembinaan hingga ketinggian bangunan itu melebihi daripada apa yang dinyatakan sebelumnya, iaitu dari lima menjadi sembilan tingkat.

"Keselamatan penduduk kini semakin terancam. Pemaju dan syarikat terbabit seolah-olah langsung tidak memikirkan nasib buruk yang mungkin menimpa penduduk di sini,” katanya kepada Sentral di sini.

Beliau berkata, penduduk sudah lima kali membuat laporan polis di Balai Polis Kandang, di sini sejak tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Abdullah Ab Samad, 50, meminta PBT supaya menghantar segera jurutera untuk menilai tahap kekuatan bangunan berkenaan demi menjamin keselamatan penduduk kampung terbabit.

Beliau berkata, pada masa sama, penduduk juga akan menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu, selain meminta pemimpin negeri itu supaya tidak membenarkan mana-mana pihak membina hotel di kampung terbabit.

"Tindakan tegas perlu diambil terhadap pemaju, kontraktor, arkitek dan juru perunding yang terbabit secara langsung mendirikan bangunan tanpa kelulusan mahkamah dan MBMB," katanya. -hm

Ulasan GB

Aneh, bangunan itu didirikan tanpa kelulusan. Tetapi dibiarkan oleh MBMB sehigga ia telah dibina dan kini mendatangkan masalah kepada penduduk setempat.

ia dibangunkan di atas tanah berstatus pertanian dan kediaman, selain tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dakwa mereka lagi, pemaju gagal mempamerkan papan pemberitahuan projek, selain tidak langsung berbincang dengan penduduk kampung sebelum melaksanakan kerja pembinaan.

Wakil penduduk, Muhamad Nuh Sani, 32, berkata cadangan asal pemaju projek itu adalah membina bangunan hotel setinggi lima tingkat, tetapi terpaksa dihentikan atas arahan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana kegagalan mendapatkan kelulusan pelan bangunan.

"Bagaimanapun, pemaju meneruskan juga kerja pembinaan hingga ketinggian bangunan itu melebihi daripada apa yang dinyatakan sebelumnya, iaitu dari lima menjadi sembilan tingkat.


Pemilik, pemaju, kontraktor, arkitek dan juru perunding yang terbabit perlu dikenakan tindakan paling keras di atas kesalahan-kesalahan di atas SEBELUM orang berpersepsi MBMB terlibat sama kerana projek berjalan lancar sehingga dah terpacak bangunan tersebut.

Pemuda Bakar Rumah Keluarga Kerana Tak Dapat Kahwin


Alor Setar: Seorang pemuda nekad membakar rumah keluarga sendiri hingga musnah dipercayai selepas permintaannya untuk berkahwin dengan gadis pilihan tidak diendahkan keluarganya sejak sebulan lalu.

MOHD NOOR mencari sisa barang di rumah keluarganya yang terbakar di Kampung Alor Madi, malam kelmarin. - Foto Rizal Braim

Dalam kejadian jam 12.15 malam kelmarin, lelaki terbabit, Mohd Khairi Mahmud, 28, dikatakan mencabut kepala tabung gas memasak di dalam rumahnya sebelum naik ke atas bumbung rumah dua tingkat dan mencucuh dengan api hingga menyebabkan kebakaran.

Difahamkan suspek pernah berkelakuan pelik apabila membakar semua pakaian kerjanya kira-kira dua hari sebelum pertunangannya.

Abangnya, Mohd Noor, 33, berkata, berikutan itu keluarganya terpaksa meminta pertunangan yang dijadualkan pada awal bulan lalu ditangguhkan kerana kelakuan pelik adiknya itu.

Beliau berkata, sejak itu adiknya yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan beberapa kali meminta berkahwin tetapi keluarga mereka tidak mengendahkannya kerana kelakuan adiknya yang mengalami banyak perubahan.

Bagaimanapun, katanya, petang kelmarin Mohd Khairi meminta wang RM200 daripada ibu mereka, tetapi tidak dilayan menyebabkan adiknya itu berkurung dalam bilik.

“Dia kelihatan murung dan hanya berkurung dalam bilik serta tidak mengendahkan orang lain. Ini menyebabkan saya terpaksa membawa ibu keluar dari rumah kerana khuatir berlaku kejadian tidak diingini.

“Saya kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis pada kira-kira jam 9 malam dan tidak lama selepas itu, anggota polis datang dan memujuk adik saya untuk keluar tetapi dia memberitahu tidak mahu berunding dengan sesiapa,” katanya di sini, semalam.

Mohd Noor berkata, ketika anggota polis sedang memujuk adiknya, dia cuba memasuki rumah tetapi terpaksa keluar semula selepas terhidu bau gas yang kuat.

“Adik pernah menyatakan hasrat membakar rumah beberapa bulan lalu dan akhirnya menjadi kenyataan apabila dia berlari naik ke bumbung rumah selepas membakar rumah kami dan kemudian melompat turun sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Azaman Mohd Jan berkata, polis cuba menahan pemuda berkenaan kira-kira jam 11 malam kelmarin, tetapi tidak berjaya kerana dia enggan berunding dengan sesiapa.

Katanya, berdasarkan maklumat awal polis percaya lelaki berkenaan mengalami tekanan jiwa tetapi tidak dikenal pasti puncanya.

“Kita masih mencari lelaki berkenaan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana mencetuskan bencana dengan api,” katanya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, dua jentera dan 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat pada jam 12.15 tengah malam. -BH

Ingat: Sarawak Itu Rakyat Sarawak Yang Punya, Bukan Najib Atau Taib

Isu Taib - Tiada beban batu digalas - Aspan Alias

Seperti apa yang telah dikatakan oleh blog ini dan banyak blog yang lain serta pandangan dari banyak pihak, Taib Mahmud ini lebih banyak membawa masalah kepada BN dari membawa kebaikan dalam pilihanraya di bumi kenyalang ini.

PM Najib terpaksa berkerja keras untuk meyakinkan rakyat Sarawak yang Taib akan bersara tetapi sampai kehari dan saat ini Najib selaku Pengerusi BN kebangsaan tidak dapat memberikan tarikh yang muktamad bila Taib akan bersara dan meninggalkan politik Sarawak.

Lebih malang lagi Najib tidak lagi memberi tahu rakyat siapa yang akan menggantikan Taib. PR telah siang-siang lagi memberi tahu siapa yang akan menjadi Ketua Menteri jika PR memenangi hati rakyat dan mendapat mandat dari mereka. Setidak tidaknya rakyat sudah tahu siapa yang akan menjadi KM jika barisan pembangkang memenangi pilihanraya ini.

Situasi yang tersepit seperti ini tidak sepatutnya berlaku jika kepimpinan BN dapat merasakan apa yang berdenyut di dalam nadi rakyat kerana terlalu lemah untuk membuat keputusan yang drastik untuk meredakan perasaan marah rakyat terhadap Taib.

Kelalaian pimpinan BN menyelesaikan isu ini menyebabkan keadaan begitu genting bagi BN dan jika berlaku penolakan rakyat jangan dipersalahkan rakyat.

Sentimen yang kuat dengan BN memang nyata, tetapi oleh kerana Taib masih berkeliaran dalam BN maka rakyat sudah hilang sabar kerana rakyat telah memberikan signal sebegitu lama kepada BN supaya Taib mesti bersara. Tetapi malangnya BN masih lagi meletakkan Taib sebagai calun dan ini merupakan ‘spoiler’ yang amat ketara kepada BN yang pada pandangan setengah pihak sedang berada seperti telor di hujung tanduk.

Kalau benar seperti yang dikatakan oleh PM Najib yang BN ada pelan peralihan kuasa beliau mesti menghebahkan kepada rakyat siapa yang akan menggantikan Taib dan bila peralihan itu akan berlaku. Kedua-dua isu ini adalah isu yang sangat penting kerana jika rakyat percaya dengan janji Najib itu, tetapi apabila sampai masanya orang yang akan menggantikan Taib itu serupa dengan sikap dan perangai Taib maka rakyat akan mengalami kekecewaan lagi.

Rakyat Sarawak ingin tahu siapa dia yang akan menggantikan Taib kerana ini isu penting. Jika beliau digantikan dengan orang yang tidak diyakini oleh rakyat maka rakyat akan terpaksa menunggu lima tahun lagi untuk menggantikannya. Sampai bila rakyat hendak diperdaya dengan janji yang tidak jelas ini.

Isu masa pun penting. Rakyat nak tahu bila kerana ini adalah isu penting. Rakyat tidak mahu pemimpin berjanji seperti menanti hari kiamat. Kita tidak tahu bila hari kiamat. Tiada siapa yang boleh memberi tahu sesiapa bila hari akan kiamat. Jelas kedua-dua isu ini merupakan isu yang di sebut-sebut oleh mereka dari Sarawak yang saya kenali.

Kalau Najib benar-benar telah ada calun penggantinya, nama pemimpin itu mesti diumumkan sekarang (sebelum hari mengundi) bagi rakyat membuat penilaian.

Jika kita serius untuk memanangi pilihanraya ini dengan senang kedua-dua isu ini wajar diselesaikan sekarang. Sepatutnya Taib tidak di turunkan lagi sebagai calun. Jika Taib tidak diturunkan sebagai calun keadaan yang kita hadapi ini tidak akan seberat sekarang.

Seperti juga rakyat di mana-mana negara, kesabaran mereka ada hadnya. Jika sudah melampaui batas sempadan kesabaran itu maka kita tidak boleh menyalahkan sesiapa lagi terutamanya pihak parti pembangkang. Kita selalu menyalahkan parti pembangkang kerana kesalahan kita sendiri. Kita tidak pernah bersalah tetapi rakyat membenci kita.

Sambutan yang diberikan terhadap perjumpaan dan rally politik di antara BN dan PR malam tadi di Bandaraya Kuching menampakkan dengan jelas betapa jauhnya perbezaan di antara sambutan kedua-dua belah pihak. Rakyat berduyun-duyun memenuhi ceramah besar-besaran PR sedangkan ceramah umum yang dihadziri oleh PM Najib tidak mendapat sambutan. Semuanya adalah kerana penolakkan rakyat terhadap Taib.

Rakyat tidak mahu lagi mereka di jadikan seperti dahan bengkok, untuk kera-kera meniti membaham buah-buah yang lebat itu. Rakyat tidak mahu lagi di perlakukan seperti kerbau di sawah; di paksa membajak tetapi hasil padinya di makan oleh tikus-tikus gemuk yang lapar di kepuk padi. Secara beransur-ansur rakyat sudah tahu yang negara ini mereka yang punya, bukan kepunyaan pemimpin-pemimpin.

Rakyat sudah mual dengan sikap kepimpinan yang menggunakan media untuk memperkecilkan pihak lain sedangkan isu yang besar tentang mereka begitu jelas dilihat oleh rakyat segenap lapisan.

PM Najib nampaknya tidak ada masa yang mencukupi untuk memberitahu rakyat perancangan beliau untuk Sarawak kerana masa beliau ditumpukan untuk mempertahankan Taib yang sudah tidak lagi disukai oleh rakyat negeri itu.Itulah sebabnya banyak negara menjadi kacau bilau kerana pimpinan yang sudah tidak diterima masih lagi bergayut kepada kuasa.

Pengakhir kata, Najib hanya mempunyai beberapa hari sahaja lagi untuk menyelesaikan masalah ini. Najib perlu melakukan tidakkan yang berkesan. Kita berharap Najib akan mengambil keputusan muktamad kerana selalunya Najib amat popular dengan sikapnya yang selalu berubah-ubah dan tidak muktamad.

Keadaan BN begitu kritikal, kalau tidak masakan PM berkubang selama enam hari untuk mendekati terus rakyat yang sudah hilang keyakinan terhadap Taib.

Memanglah, betapa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, berat lagi bahu yang memikul. Dalam hal Sarawak ini kesalahan datang dari kita sendiri. Jangan sekali-kali menyalahkan orang lain. Ingat, negeri Sarawak itu rakyat Sarawak yang punya, bukannya Najib atau Taib Mahmud.

Jangan di nafikan hak rakyat Sarawak untuk memilih siapa yang mereka mahu. Kita tidak boleh terus-terusan memenangi pilihanraya kerana ‘intrigue’ politik, tetapi mesti memenangi jiwa rakyat dengan ‘merit’ yang ada kepada pemimpin-pemimpin kita.

Kita perlu akui Taib tidak lulus dalam ujian NKRA politik yang dilaungkan oleh Najib. Kalau Najib luluskan juga Taib dalam NKRA itu maka elok diketepikan sahaja ‘acronym-acronym’ yang begitu banyak yang dianjurkan oleh PM Najib kita.

Seperkara yang wajar diakui; BN Sarawak sudah hilang hidayahnya. Jika hidayahnya masih ada masakan Taib masih lagi mengetuai BN negeri itu?

Tsunami Kecil Di Sungai Dungun

Dungun – Dua bot nelayan tenggelam manakala sebuah pelantar bagi mengorek pasir sungai tersangkut di sebuah jambatan akibat dihanyut oleh arus deras luar biasa yang melanda Kuala Sungai Dungun di sini awal pagi semalam.

SEBUAH pelantar bagi mengorek pasir tersangkut di jambatan Kampung Nibong Stesen dekat Kuala Sungai Dungun, Terengganu semalam akibat dilanda arus deras sungai tersebut.

Insiden tersebut mengejutkan semua mangsa memandangkan kesemua bot tersebut sudah pun ditambat tali dengan guni berisi pasir seberat kira-kira 1,500 kilogram.

Selain itu, pelantar mengorek pasir yang hanyut dan tersangkut di jambatan di Kampung Nibong Stesen, kira-kira dua kilometer dari Kuala Sungai Dungun juga sudah dilabuhkan dengan lima sauh.

Turut hanyut ialah tiga bot nelayan lain dan dua bot fiber namun kesemuanya berjaya diselamatkan.

Jumlah kerugian dianggarkan RM100,000.

Salah seorang pemilik bot, Yusuf Saleh, 67, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan seorang rakan bahawa bot miliknya hanyut sejauh kira-kira 100 meter dari tempat ia berlabuh kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.

“Pada mulanya saya tidak percaya dan terus datang untuk melihat sendiri apa yang terjadi itu.

“Saya benar-benar terkejut apabila mendapati bot saya dan bot seorang rakan, Muhamad Jaafar, sudah hampir tenggelam,” katanya ketika ditemui di Kuala Sungai Dungun semalam.

Jelasnya, sudah berpuluh tahun dia menjadi nelayan namun kejadian itu adalah kali pertama berlaku.

Rakyat Sarawak Perlu Disedarkan: Undi BN Bererti Undi Taib

Pergilah ke mana - mana di bumi Sarawak ini pasti anda akan terjumpa harta, tanah milik Taib atau keluarga terdekatanya. Sarawak bumi kaya tetapi rakyat terus miskin derita. Kekayaan Taib dan keluarganya boleh diterjemah dengan jumlah hartanah dan harta milikan dia dan keluarganya bukan sahaja di dalam negara tetapi di luar negara juga.

Setelah sekian lama, di bawah Taib yang begitu rakus merompak dan memperbodohkan rakyat maka kali ini nampaknya rakyat sarawak sudah mula bangkit menyatakan ketidak puasan hati secara terbuka. Pilihanraya negeri Sarawak juga dilihat satu medan yang penting untuk menterjemah 'mood nyah Taib dan selamatkan Sarawak'

Menyedari hakikat tersebut, Datuk Seri Najib selaku Presiden BN sebelum pilihanraya sudah memulakan rundingan untuk proses pengunduran Taib, namun oleh kerana takut dengan ugutan Taib, jentera BN akan berada di luar kawalan jika Taib tidak menerajui BN dalam pilihanraya negeri kali ini, maka Najib bersetuju Taib terajui jentera pilihanraya negeri tetapi akan berundur sebaik sahaja selepas itu.

Namun setelah memulakan mood kempen disedari sememangnya rakyat menolak Taib sepenuhnya dan tanpa selindung Najib mengumumkan Taib akan berundur dalam masa terdekat. Najib sendiri panik akan kehilangan banyak kerusi di Sarawak maka dia sendiri terpaksa berkampung di Sarawak.

Najib panik jumlah kehadiran dalam kempen BN jauh sedikit jika dibanding dengan jumlah kehadiran dalam program - program kempen Pakatan Rakyat. BN terpaksa menggunakan seribu satu macam teknik menarik orang ramai datang dari terpaksa menyeret artis menyanyi selepas ucapan pemimpin BN hinggalah mengagihkan 'tupperware' percuma selepas ucapan Najib.

Memang ramai orang datang selepas itu namun adakah mereka datang untuk menyokong atau sekadar berhibur sambil menanti hadiah selepas program.

(Gambar: Laporan yang menunjukkan Najib panik di Sarawak ekoran sambutan hambar terhadap kempen BN)

Khayal dengan kehadiran sedikit ramai semalam di Padang Merdeka Kuching, Taib di hadapan Najib telah mengumumkan hanya akan berundur selepas beberapa tahun lagi.

Ini digambarkan dalam ucapanya dengan kelompok muda yang menanti kemunculan Dayang Nur Faizah dan Anuar Zain di samping artis - artis porpular berbangsa Cina. Ingat jangan tertipu Taib pernah umum akan berhenti sejak tahun 1995 lagi, tetapi dia masih di situ.

Ternyata Najib sendiri gagal mengundurkan Taib, dia sudah terlalu berkuasa.

Rakyat perlu disedarkan

* mengundi PBB beerti mengundi Taib
* mengundi SUPP beerti mengundi Taib
* mengundi SPDP beerti mengundi Taib
* mengundi SNAP beerti memecahkan kekuatan melawan Taib

Kepada seluruh rakyat Sarawak termasuk orang BN.... Najib juga gagal undurkan Taib... hanya satu cara undurkan Taib dari takhtanya iaitu JANGAN UNDI BN -chegubard

Tandatangan Teoh Di Atas Nota "Selamat Tinggal" Berbeza

Nota 'selamat tinggal' Teoh mungkin tulen

Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock diberitahu bahawa nota 'selamat tinggal' yang dijumpai dalam beg sandang Teoh berkemungkinan merupakan hasil tulisan tangan setiausaha politik exco Selangor itu.

Pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia, Wong Kong Yong berkata pengesahan itu dibuat dengan membandingkan nota itu dengan tulisan tangan dan tandatangan Teoh yang diambil oleh penyiasat bebas Michael Leslie Squires dari pejabat Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah

Wong berkata, dokumen itu kemudian diserahkan oleh Leslie kepada Wong pada Mac lalu di Jabatan Kimia Petaling Jaya dan mendapati tulisan tangan Teoh adalah sama dengan nota itu.

Teoh, 30, setiausaha politik Ean, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Wong yang sebelum ini pernah memberi keterangan dalam inkues Teoh di Mahkamah Shah Alam, mengesahkan sebahagian tulisan bahasa Malaysia pada nota yang ditemui dalam beg sandang Teoh dan tulisan di buku notanya dimiliki orang yang sama.

Pada 20 Sept 2010 pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal telah mengemukakan nota yang telah diterjemahkan oleh jurubahasa Mandarin dalam prosiding inkues.

Dalam prosiding hari ini, beliau menjelaskan sesuatu keadaan akan menjadi sukar sekiranya tulisan tangan seseorang terdapat pada sesuatu dokumen yang mana dibuat salinan lain.

"Kesukaran itu berlaku terutamanya dari segi garisan, tekanan dan dakwat yang digunakan pada sesuatu dokumen," katanya ketika disoal peguam Christoper Leong dari Majlis Peguam.

Ketika ditanya Leong berapakah karakter tulisan Cina yang dijumpai oleh Wong ketika pemeriksaan dibuat ke atas dokumen yang bertulisan Cina, Wong berkata: "Saya hanya menjumpai lima sampel karakter tulisan Cina yang sama dengan tulisan pada buku nota Teoh yang ditemui, iaitu 'yang','de','you','au' dan 'zi'."

Wong yang merupakan saksi ke-32 itu memberitahu pada kebiasaannya memerlukan sekurang-kurangnya lima huruf dalam bahasa Cina untuk dijadikan contoh, tetapi ia juga bergantung kepada situasi dalam kes-kes lain.

Wong turut memaklumkan kesemua buku nota dan nota tulisan tangan Teoh yang telah diterjemahkan itu ke bahasa Melayu adalah tulen.

Bagaimanapun, kenyataan Teoh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diterima dalam bentuk salinan kecuali buku nota, nota tulisan tangan dan kad kredit Teoh adalah tulen.

Sementara itu, ketika disoal Leong kenapa terdapat perbezaan tanda tangan pada kenyataan SPRM yang ditanda tangani oleh Teoh, Wong berkata: "Tidak semua individu dapat menghasilkan tanda tangan yang sama setiap masa kerana dipengaruhi dan bergantung kepada situasi seperti tekanan, getaran tulisan dan sebagainya."

Suruhanjaya itu dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.

Prosiding bersambung hari ini. - Bernama

Ulasan GB

Tandatangan berbeza. Sekalipun dikatakan ia mungkin disebabkan oleh tekanan dan sebagainya, apabila terdapat perbezaan di dalam tandatangan, sama seperti akaun dibank atau dimana-mana yang menggunakan penegnalan melalui tandatangan, JELAS ia perlu ditolak.

Telur Itu Tulen Tetapi Rosak Dan Bergred Rendah

Tiada telur tiruan, jamin Jabatan Veterinar

Jabatan Veterinar menafikan adanya telur tiruan dijual di pasaran negara berdasarkan ujian dijalankan dari sampel telur yang diambil dari pasar seluruh negara termasuk di Pulau Tikus, Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin berkata, ujian itu dilakukan ekoran dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menyatakan terdapat telur tiruan di pasaran.

Menurutnya, hasil kajian dan pemeriksaan mendapati ia adalah telur yang rosak atau bergred rendah dan tidak sepatutnya dijual kepada orang ramai.

Kata beliau, bentuk yang berlainan tidak bermakna ia telur tiruan kerana ia berpunca daripada makanan dan antibiotik yang digunakan oleh penternak.

“Makmal Kesihatan Awam di Salak Tinggi, sedang menjalankan kajian terhadap telur tersebut bagi memastikan ia selamat digunakan oleh pengguna,” kata beliau di Putrajaya hari ini.

Rabu lalu, CAP mendedahkan pihaknya telah menerima aduan daripada pengguna yang membeli 30 biji telur tiruan pada harga RM11 di pasar Pulau Tikus.

Abdul Aziz berkata, bagi menghasilkan telur tiruan memerlukan kos yang tinggi ini termasuk penyelidikan, malah telur tulen di negara ini dijual begitu rendah dengan hanya 32 sen sebiji bagi gred terbaik (AA).

Beliau berkata, Malaysia tidak membenarkan pengimportan telur kecuali bagi tujuan pembiakan dan berkemungkinan telur tiruan dihasilkan di negara lain dan diimport ke negara ini.

Di negara ini terdapat 390 ladang ayam telur dengan 37.82 juta ekor ayam dan pengeluaran telur sebanyak 23.46 juta biji sehari. Sementara itu Dr Abdul Aziz berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk mewajibkan semua pengeluar telur berdaftar dengan Jabatan Veterinar dan diberikan pensijilan untuk memastikan telur yang dihasilkan memenuhi piawaian yang ditetapkan. -TMI


Dakwaan telur tiruan tidak benar

PERBEZAAN dua jenis kuning telur dari telur ayam yang berlainan gred.


PUTRAJAYA – Kebimbangan orang ramai terhadap kewujudan telur ayam tiruan sejak seminggu lalu berakhir apabila ujian terhadap sampel telur ayam didakwa tiruan yang dirampas di sebuah pasar di Pulau Tikus, Pulau Pinang mendapati ia adalah telur tulen.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, ujian itu dilakukan melibatkan kandungan telur berkenaan serta kulitnya.

Beliau bagaimanapun berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati terdapat keganjilan pada telur-telur terbabit termasuk aspek fizikalnya yang bersaiz besar dan ia tidak sesuai dijual kepada pengguna.

“Mengikut kajian, apa yang ditakrifkan sebagai telur tiruan seperti yang didakwa oleh CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang) ialah telur itu luar biasa dari segi saiz sama ada besar dan tidak mempunyai bentuk bulat telur.

“Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang terhadap ketulenan telur di pasaran dan ia di dalam pengawasan serta tindakan pihak kerajaan,” katanya pada sidang akhbar mengenai isu telur tiruan di ibu pejabat jabatan itu di sini semalam. -kosmo


Ulasan GB

Ada asas dan hikmahnya juga keresahan dan pendedahan yang dilakukan oleh CAP. Sekurang-kurangnya setelah diperiksa telur itu sekalipun tulen tetapi rosak atau bergred rendah dan tidak sepatutnya dijual kepada orang ramai.


Rakyat Sarawak Bersemangat Undurkan Taib Sabtu Ini

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud membayangkan beliau hanya akan bersara dalam “beberapa tahun lagi” - pendirian yang ditegaskan selepas 24 jam Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peralihan kepimpinan di Sarawak boleh disaksikan dalam waktu terdekat selepas pilihan raya negeri.

Pengundian pilihan raya negeri akan diadakan Sabtu ini.

Apabila masa itu tiba nanti, kata Taib (gambar), beliau mahu generasi muda Sarawak meneruskan sokongan kepada pemimpin yang akan mengambil alih kepimpinan negeri daripadanya.

Taib yang menerajui kerajaan negeri sejak 30 tahun lalu merupakan Ketua Menteri paling lama memegang tampuk kepimpinan Sarawak.

Kata Taib, sokongan mereka penting bagi memastikan segala usaha pembangunan dan kemakmuran yang ditempa untuk Sarawak dapat dilaksanakan.

“Apabila saya berhenti nanti dalam beberapa tahun (lagi), saya ingin hendak melihat generasi awaklah yang akan menyokong orang yang akan menyambut kuasa daripada saya memelihara Sarawak terus benar-benar maju dan benar-benar mewah sekali,” kata beliau ketika berucap pada konsert 1 Malaysia yang diadakan di Padang Merdeka di sini malam ini.

Najib juga hadir sama pada majlis malam ini.

Kenyataan Taib itu adalah bayangan pertama peralihan kuasa sejak isu itu timbul dalam pilihan raya negeri 2011.

Selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 21 Mac lalu, Taib berkata, beliau akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya negeri ke-10 ini.

Malam tadi, dilihat seolah-olah sudah merasai rasa tidak puas hati di kalangan penduduk Sarawak terhadap Taib, Najib dalam mesej pertama sempena kempen enam hari menjelang hari penentuan Sabtu ini menegaskan perubahan kepimpinan akan dilaksanakan secepat mungkin selepas pilihan raya.

Bagaimanapun kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak percaya jaminan Najib itu akan menjadi kenyataan memandangkan Taib pernah membuat janji untuk berundur tetapi tidak ditunaikan.

Berucap pada perhimpunan 1 Malaysia di stadium tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan di sini semalam, Najib yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi BN menggesa orang ramai tidak risau mengenai kedudukan Taib yang telah pun bersetuju untuk meletakkan jawatan apabila tiba masa yang sesuai.

“Percayalah saya, percayalah saya, apabila tiba masa yang sesuai, kami akan laksanakan yang ini (peralihan kepimpinan). Jangan cepat dan percaya dengan pembohongan pembangkang,” kata Najib.

Najib berjanji bahawa perubahan dalam kepimpinan tertinggi sudah pun disusun dan “perubahan secara tiba-tiba” akan menyebabkan ketidaktentuan di negeri bumi Kenyalang itu.

“Tuan-tuan dan puan-puan, jangan risau. Kami telah mengadakan perancangan agar perubahan akan berlaku dalam kepimpinan tinggi Sarawak, sebagaimana telah dirancang dan perubahan yang telah disusun,” katanya lagi.

Najib memberi jaminan itu ketika kempen pilihan raya terus dibayangi dakwaan mengenai rasuah dan salah guna kuasa Taib, yang merupakan ketua menteri paling lama berkuasa itu.


Kepimpinan Taib genap 30 tahun pada 26 Mac lalu.

Taib turut menyeru generasi muda agar mempertahankan semangat 1 Malaysia yang subur di Sarawak.

Beliau juga mahu hubungan antara Sarawak dengan Semenanjung terus diperkukuhkan dengan sikap politik yang matang. -TMI

Ulasan GB

Najib dan Taib tak dengarkah jeritan rakyat Sarawak?

"30 tahun sudah TERLALU LAMA. Undur sekarang, bukan tunggu beberapa tahun lagi."

Rakyat Sarawak akan PASTIKAN Taib berundur Sabtu ini!

Al-Fatihah : Juruterbang Helikopter Terhempas Meninggal Dunia

Juruterbang Helikopter Terhempas Meninggal Dunia

SIBU: Juruterbang Kapten Sahimi Razali, yang cedera parah setelah helikopter yang dipandunya terhempas tengah hari tadi, meninggal dunia pada 8.30 malam Isnin di Hospital Sibu.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail berkata, jenazah Sahimi, 38, akan diuruskan keluarganya yang akan datang ke Sibu dari Kuala Lumpur malam ini.

Sahimi cedera parah apabila helikopter jenis Bell 206 milik Sabah Air yang dipandunya terhempas sejurus berlepas dari Dataran Sibu di sini pada pukul 1.50 tengah hari setelah menurunkan tiga penumpang termasuk pembantu khas kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pelajaran Hafiz Abdul Halim.

Beliau yang mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk terus digegaskan ke Hospital Sibu oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Shafie berkata, helikopter yang baru tiba dari Bintangor, Sarikei merupakan sebuah daripada tiga buah helikopter, yang membawa rombongan Muhyiddin melakukan tinjauan di sana.

Beliau berkata, sebaik sahaja menurunkan semua penumpang, helikopter berkenaan mahu meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Sibu.

"Tiba-tiba helikopter yang berada pada ketinggian kira-kira tiga meter itu dipercayai hilang kawalan dan terhuyung-hayang sebelum jatuh," katanya kepada pemberita di sini.

Shafie berkata, juruterbang yang bersendirian dalam helikopter itu, tersepit sebelum orang ramai membantu untuk mengeluarkannya.

"Empat orang awam menarik juruterbang keluar dari pesawat. Mangsa telah digegaskan ke Hospital Sibu oleh pasukan JPAM," katanya.

"Punca kejadian masih disiasat. Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan menghantar sebuah pasukan untuk membuat siasatan esok," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman melawat Sahimi yang menjalani pembedahan di Hospital Sibu kira-kira pukul 4 petang.

Muhyiddin yang menghabiskan kira-kira 15 minit di luar dewan pembedahan telah menyaksikan proses pembedahan yang dijalankan.

"Saya rasa dukacita dengan kemalangan yang berlaku ke atas Kapten Sahimi. Saya telah menyaksikan pembedahan yang sedang dilakukan. -mstar

Ulasan GB

Baru sebentar tadi GB menegur ketidak-perihatinan Muhyiddin kerana meneruskan programnya meminta 'jasa baik' para guru di Sarawak supaya menyokong BN dalam pilihan raya negeri itu pada 16 April depan. Sedangkan Muhyiddin tahu ketika itu helikopter yang membawanya terhempas dan tahu juruterbangnya cedera parah dan dimasukkan ke hospital. GB telah katakan:

Kalau TPM itu seorang yang perihatin, majlis perjumpaan untuk melobi guru-guru itu dibatalkan. Sudahlah ianya menyalahi etika, memperalatkan guru untuk kepentingan politik BN, kemudian lansung tak tunjukkan keprihatinan terhadap juruterbang helikopter yang cedera parah tersebut dengan menziarahinya.


Muhyiddin berucap tatkala juruterbang itu sedang bertarung nyawa di hospital. Beliau dilaporkan hanya pergi menziarahinya setelah program tersebut tamat.

Memperalatkan guru-guru sekolah untuk kepentingan politik adalah kesalahan yang nyata, dan kerana Muhyiddin yang berdosa, juruterbang helikopter yang jadi mangsa!

Ini bukan kali pertama helikopter yang membawa rombongan Muhyiddin bermasalah.

Kali pertama ialah pada bulan Ogos tahun lalu di mana helikopter Nuri Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) yang membawanya terpaksa membuat pendaratan cemas di Tuaran Sabah akibat cuaca buruk.

Selain Muyiddin, ketika itu turut berada dalam pesawat yang membawa 14 penumpang serta anak kapal itu ialah setiausaha akhbar beliau Datuk Ainon Mohd serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin, demikian lapor Bernama.

GB sewaktu itu telah mengulas di SINI. Petikan:

Muhyiddin telah menggunakan kemudahan harta kerajaan (helikopter nuri) untuk melakukan kerja-kerja partinya, UMNO bukan untuk melakukan kerja-kerja sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dan biar saja Allah menegur pebuatannya kerana teguran manusia tiada satu pun yang didengar oleh Muhyiddin ini. -GB