29 Jun 2011

Halang Bersih & BN Bakal Kalah Dengan Lebih Parah Dalam PRU

Polis serbu, geledah sekretariat BERSIH 2.0

Sekretariat BERSIH 2.0 di Seksyen 4, Petaling Jaya hari ini diserbu dan digeledah oleh polis.

Sepuluh anggota tiba kira-kira 15 minit lalu, kata Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah yang juga mengetuai kumpulan NGO Empower.

Maria berkata pihaknya menerima pelbagai tekanan hebat daripada pihak berkuasa bagi membatalkan perhimpunan aman pada 9 Julai ini bagi menuntut pilihan raya adil dan bebas diadakan di negara ini.

Beliau yang ketika itu di bangunan Parlimen berkata dia dimaklumkan polis datang dengan lima kereta tanpa logo polis yang bercermin gelap dan mereka juga tidak memakai seragam. Sebuah trak besar polis tiba kemudiannya.

Sementara itu, menurut seorang petugas di pejabat BERSIH yang tidak mahu dikenali berkata, kumpulan polis itu tiba dengan membawa pemotong besi.

Tetapi mereka tidak menggunakannya apabila pekerja membenarkan mereka masuk.

Anggota polis didakwa tidak membawa sebarang waran dan kemudiannya terus menyelongkar fail dan menggeledah pejabat itu.

Tumpuan mereka adalah baju-T BERSIH yang kemudiannya dihitung jumlahnya sebelum dirampas oleh polis.

Adalah dipercayai serbuan dilancarkan dari IPD Selangor dan diketuai oleh seorang pegawai yang hanya dikenali sebagai ASP Rosli.

Polis juga mencatatkan butiran Mykad kakitangan Empower yang dijadikan sekretariat BERSIH 2.0.

Selain itu, butiran Mykad kira-kira 20 wartawan dan jurugambar yang berkumpul di luar pejabat itu juga dicatatkan selain diminta membekalkan nombor telefon masing-masing.

Pada sidang akhbarnya di lobi parlimen, Maria berkata beliau dimaklumkan bahawa polis kemudiannya merakamkan kenyataan daripada kakitangan BERSIH.

Beliau juga mencabar ketua polis negara bagi membuktikan bahawa mereka telah melakukan jenayah dan hentikan 'menakut-nakutkan' rakyat.

Menurut Maria sejak beberapa hari lalu hampir 100 orang telah ditahan kerana memakai kemeja T BERSIH dan mengedarkan risalah berhubung perhimpunan 9 Julai ini.

“Ini adalah hak asasi manusia, adalah hak kita untuk berhimpun secara aman dan kami telah berulang-kali tekankan bahawa ia adalah perhimpunan aman.Kita tidak akan timbulkan huru-hara seperti yang didakwa,” katanya.

Dalam serbuan tersebut, tujuh beg barang, lima kotak dan empat kain rentang dirampas.

Manakala tujuh petugas Empower (NGO yang bergabung dalam BERSIH) dibawa ke ibupejabat polis Petaling Jaya untuk soalsiasat. -MK


Bersih 2.0: Polis soal siasat lima pemimpin, 18 lagi susul

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Polis meneruskan pendekatan mereka dengan menyoal siasat lima lagi aktivis hari ini berhubung Himpunan Bersih 2.0 bulan depan, dan dijangka akan menyasarkan 18 lagi, demikian menurut seorang peguam Majlis Peguam.

Lima yang disoal siasat hari ini ialah anggota jawatankuasa pemandu Maria Chin Abdullah, pengarah Tenaganita Irene Fernandez, aktivis sosial Hishammuddin Rais, ketua biro undang-undang PKR Latheefa Koya dan ketua DAP Selangor DAP Teresa Kok.

Mereka dipanggil hadir di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi petang ini.

Peguam Edmund Bon, yang menemui mereka kecuali Kok ketika sesi soal siasat memberitahu pemberita bahawa seramai 40 aktivis termasuk ahli-ahli politik pembangkang dipanggil untuk disoal siasat berhubung Himpunan Bersih 2.0.

Katanya, beliau menerima maklumat bahawa 40 dipanggil ekoran laporan yang dibuat oleh seorang anggota polis yang menghadiri majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu.

“Anggota polis itu ada pada majlis pelancaran dan menurutnya, dia berpandangan bahawa pelancaran dan kenyataan-kenyataan yang dibuat adalah berbaur ugutan kepada keselamatan negara. Itu yang mencetuskan keadaan ini,” katanya lagi.

Difahamkan Irene, Latheefa dan Kok disoal siasat di bawah Akta Polis dan Akta Hasutan manakala Hishammuddin dan Maria Chin disoal siasat di bawah Akta Polis.

Menurut Latheefa, dia tidak dipanggil kerana pembabitannya dalam majlis pelancaran 19 Jun lalu tetapi kerana mengiringi Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenavasan ke balai polis Jalan Travers Khamis lalu untuk membuat laporan polis berhubung ancaman bunuh SMS.

“Ia mengarut. Saya sendiri datang ke sini untuk disoal siat dan sebabnya siasatan kerana saya mengiringi Ambiga ke balai polis Jalan Travers selepas menerima ugutan bunuh.

“Sebenarnya, saya juga salah seorang yang menerima SMS tetapi pub begitu, mereka menyiasat saya di bawah Seksyen 27 (Akta Polis) dan Akta Hasutan... hanya kerana berada di balai polis.. sejauh mana karutnya benda ini,” katanya lagi.

Dia juga berkata polis menggunakan soalan-soalan yang sama kepada mereka termasuk sama ada perhimpunan itu salah, akan menjejaskan bisnes dan ada kaedah lain bagi mendesak pembaharuan sistem pilihan raya.

Kok yang disoal siasat secara berasing daripada empat mereka itu memberitahu, beliau ditanya mengenai pembabitan dalam pelancaran dan satu ceramah yang disampaikan di Telok Datok, kelmarin.

Hishammuddin memberitahu pemberita bahawa apabila ditanya siapa yang menaja Bersih beliau menjawab “mungkin Kopi Jantan.”

Maria Chin, yang juga Pengarah Eksekutif NGO Empower berkata kesemua rakyat Malaysia seharusnya mengecam tindakan polis yang meneruskan pendekatan menahan aktivis Himpunan Bersih 2.0.

Katanya, kerajaan memberi respons kepada perhimpunan secara tidak rasional.

“Pertama, mereka mengisytiharkan kemeja-T haram dan tidak memberikan sebab mengapa kemeja-T tidak sah.

“Saya fikir ini tindakan kasar yang menggambarkan bahawa kerajaan sudah hilang kawalan untuk menentukan apa itu rasional dan apa itu tidak rasional,” katanya lagi. -TMI


Ulasan GB

GB telah menyatakan sebelum ini:

GB ingin menyatakan pula bahawa jika BERSIH dihalang mengadakan perhimpunan aman, atau pihak polis cuba mengekang perhimpunan dengan kekerasan seperti dulu-dulu, maka inilah senario yang akan berlaku:

1) Indeks hak asasi manusia untuk negara Malaysia di mata dunia akan merudum dan dengan sendiri menjauhkan para pelabur ke negara ini.

2) Rakyat akan bangkit dengan lebih hebat untuk tumbangkan BN di dalam pilihanraya yang akan datang kerana gelodak kebencian rakyat terhadap sistem pilihanraya yang tidak adil dan tidak telus oleh SPR akan dibuktikan dengan penolakan rakyat terhadap BN dengan lebih jelas dan nyata.

Dan jangan lupa, undi rakyat pada pilihanraya 2008, bilangan yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat adalah lebih kurang sama dengan Barisan Nasional!






Polis Ceroboh Parlimen, KPN Perlu Bertanggungjawab

Speaker akui polis tidak minta kebenaran

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan menyiasat dakwaan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang bahawa polis mencabuli kebebasan parlimen apabila mereka menyoal-siasat beberapa ahli parlimen pembangkang semalam.

“Polis tidak boleh masuk kawasan Parlimen tanpa kebenaran speaker. Polis hanya boleh membekalkan perkhidmatan kepolisian atas permintaan pegawai parlimen, bentara dan speaker,” kata Lim (DAP-Ipoh Timor) ketika mencelah perbahasan Rang Undang-undang Perkhidmatan Kewangan Bisnes.

Hujah Lim, tindakan Lim mencatatkan kenyataan daripada Azmin Ali (PKR-Gombak) dan Mohd Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) di lobi MP semalam mencabuli prinsip pembahagian kuasa.

Menurut Azmin beliau tidak menjangkakan kunjungan polis yang tidak diumumkan itu manakala Mohd Firdaus pula berkata dia 'dijemput' untuk merakamkan kenyataannya.

parliament pandikar amin anwar ibrahim lim kit siang dap pkr pc 121108 07Menurut Pandikar (kiri) beliau juga mengetahui mengenai perkara berkenaan selepas membacanya di media.

“Kami tidak terima sebarang permohonan rasmi daripada polis untuk berbuat demikian tetapi saya difahamkan daripada laporan akhbar bahawa kedua-dua pihak (polis dan MP) bersetuju berbuat demikian.

"Saya akan panggil mereka yang berkenaan untuk jelaskan apa yang berlaku," katanya kepada Lim.

Semalam, pasukan polis daripada ibu pejabat kontinjen Selangor mengambil kenyataan daripada Azmindan Mohd Firdaus berhubung ceramah mereka di Sabak Bernam pada 17 Jun lalu atas "dakwaan mengundang" orang ramai menyertai perhimpunan BERSIH 2.0.

Lim menyataan alasan persetujuan kedua-dua belah pihak tidak boleh digunakan kerana tindakan polis itu jelas bertentangan dengan keistimewaan khas ahli dewan rakyat.

"Saya minta Jawatankuasa Khas Hak Asasi dan Kebebasan Parlimen patut melihat perkara ini dan mengadakan satu garis panduan yang sesuai," katanya. -mk

Ulasan GB

Tindakan polis yang tidak mempunyai kebenaran Speaker untuk masuk ke parlimen boleh dianggap menceroboh dewan yang mulia tersebut.

Di dalam era kepimpinan Najib, polis dilihat telah bertindak sewenang-wenangnya dan membelakangkan undang-undang.

Ketua Polis Negara perlu bertanggungjawab dan apakah anda mengharap rakyat boleh mematuhi undang-undang negara apabila polis sendiri melanggarnya?


Terima Kasih PAS Jasin

Pas Kawasan Jasin telah menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada dua orang penduduk di DUN Sungai Rambai di dalam satu program bersama Majlis Tindakan DUN (MTD) Sungai Rambai petang semalam.

Sumbangan disampaikan Timbalan Pesuruh Jaya PAS 1 Melaka merangkap Yang Dipertua PAS Jasin, Ustaz Kamaruddin Sidek bersama-sama dengan Pengerusi MTD Sg Rambai, Tn Hj Azutdin Hassan semalam kepada kepada Sdra Yusof Sabtu dari Jalan Salim, Kg Sebatu dan Sdra Zainuddin Mohd 43 dari Kg Batu Gajah.

“Terima kasih kepada PAS Jasin, yang prihatin terhadap kami,” kata Sdra Yusof 49, yang bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan yang terpaksa menjaga dan menyara kehidupan adik perempuannya yang uzur dan mengalami kecacatan ingatan.

Sementara itu, keluarga Sdra Zainuddin Mohd turut menyuarakan hal yang sama setelah menerima sumbangan hamper dari PAS Jasin.

Zainuddin telah dua tahun menderita diserang angin ahmar dan lumpuh separuh badan.

"Makcik dah puas membawanya berubat dan berurut di merata tempat tetapi penyakitnya masih belum pulih," kata ibunya terhadap penyakit yang ditanggung oleh Zainuddin.

Sementara itu Ustaz Kamaruddin yang menyampaikan sumbangan yang diagihkan itu meminta keluarga terbabit bersabar dengan dugaan Allah dan pihak MTD akan cuba membantu untuk meringankan beban mereka dari masa ke semasa.

Selepas program penyampaian sumbangan tersebut, program pertemuan Dewan Harian PAS Kawasan Jasin dan MTD Sg Rambai itu juga dipenuhi dengan Solat Maghrib dan Isya bersama disamping kuliah maghrib yang disampaikan oleh YDP Jasin sendiri.

Ia disusuli dengan program dialog diantara pimpinan Dewan Harian PAS Kawasan Jasin dan MTD Sungai Rambai sebagai persediaan untuk berdepan dan pilihanraya umum yang akan datang ini.

Diantara pimpinan PAS Jasin yang turut serta termasuklah barisan pimpinan yang baru, Timbalan Yang Dipertua, Tuan Haji Yuhaizad b Abdullah, Naib Yang Dipertua merangkap Ketua Penerangan PAS Melaka, En. Azrin bin Abd Majid dan Setiausaha, Ust Ghazali bin Hasan.

Sementara pimpinan MTD Sungai Rambai dibarisi oleh Pengerusinya, Tn Hj Azutdin Hassan, Setiausaha, Zulkifli Harun dan beberapa jawatankuasa termasuklah Aminuddun Jalil, Abd Karim Kassim, Hamsan Mohd, Aminuddin Mohd Yatim, Muslaini Baharum dan Mamat Khamis.

UMNO BN Fobia Dengan Baju Kuning BERSIH

Kemeja-T Bersih 2.0 haram, kata Hishammuddin

PUTRAJAYA, 29 Jun — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kemeja-T yang menyokong Himpunan Bersih 2.0 diharamkan kerana ia ada kaitan dengan perhimpunan haram itu bulan depan.

“Kemeja-T Bersih ada berkaitan dengan perhimpunan haram, maka apa sahaja yang mereka pakai adalah haram,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun Hishammuddin tidak mengatakan di bawah undang-undang apa yang soal penjualan, pembelian dan pemakaian kemeja-T itu dianggap haram.

Polis mula menahan mereka yang menjual, membeli atau memakai kemeja-T berwarna kuning yang tertera mesej “Bersih 2.0” sejak minggu lalu.

Ketika bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau juga mengetepikan dakwaan bahawa tindakan polis ke atas mereka yang menyokong perhimpunan 9 Julai ini, menuntut pembaharuan sistem pilihan raya, bermotifkan politik.

“Di pihak mana? Saya boleh bertanya perkara yang sama kepada mereka,” kata beliau.

Naib Presiden Umno ini berkata, tindakan akan diambil ke atas ahli-ahli Pemuda Umno yang mengepung ibu pejabat PKR malam kelmarin, yang didakwa mengugut untuk membakar premis itu.

“Saya memberitahu polis agar melayan mereka macam Bersih. Tiada sesiapa pun bebas daripada undang-undang,” katanya lagi. -TMI

Ulasan GB

Pakai kemeja T Bersih haram? Fatwa baru?

Ketara sangat UMNO BN sudah begitu fobia dengan baju BERSIH.

Jika nanti yang pakai 1 juta orang, nak tangkap semua 1 jutakah?

Bodoh!

Belanja RM750j PLKN Tidak Masuk Akal

Jumlah perbelanjaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diluluskan bagi tahun ini mencecah RM752,922,000.00, meningkat RM252 juta berbanding had asal RM500 juta.

Pecahan perbelanjaan meliputi RM21,328,00.00 bagi kos emolument, RM723,893,530.00 untuk perkhidmatan dan perbekalan, RM6,220,000.00 bagi aset dan RM1,480,470.00 untuk pembayaran dan kenaan bayar tetap termasuk ganjaran kepada kakitangan awam.

Jumlah itu, dikemukakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menjawab persoalan Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook yang memintanya menyatakan jumlah perbelanjaan untuk program itu bagi tahun ini.

Ahmad Zahid berkata, buat masa ini, kerajaan tidak bercadang mengkaji semula pelaksanaan PLKN kerana program itu terbukti berjaya dalam mencapai misi dan visi penubuhannya.

Bagaimanapun, Siew Fook berkata, timbul pelbagai persoalan mengenai kos itu dikatakan tidak masuk akal dan timbul kebimbangan sama ada jumlah itu boleh dikekalkan atau semakin meningkat serta menggalakkan pembaziran wang rakyat.

“Ketika ia mula dilaksanakan pada 2004, semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pertahanan, beliau mengumumkan kerajaan menetapkan satu had perbelanjaan maksimum, RM500 juta setahun.

“Apa yang berlaku sekarang sebaliknya, belum sampai 10 tahun, ia meningkat 50 peratus kepada RM750 juta,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan jaminan tiada sebarang peningkatan perbelanjaan PLKN sekiranya tempoh PLKN pelajar dilanjutkan lebih tiga bulan sebagaimana dicadangkan Ahmad Zahid sebelum ini.

“Saya rasa tidak mustahil belanja PLKN sahaja cecah RM1 bilion memandangkan tahun ini baru ada tujuh bulan, belanja hampir cecah RM750 juta dalam tempoh setahun.

“Apa yang kita persoalkan, banyak mana dibelanjakan untuk pakaian seragam, pembekal makanan? Jadi, kerajaan patut kaji pelaksanaan ini kerana kita khuatir matlamatnya tidak tercapai,” katanya.

Berikutan itu, beliau mencadangkan supaya modul PLKN diterapkan ketika pelajar di sekolah menengah bagi menjimatkan perbelanjaan.

“Memandangkan ia tidak telus, saya menyeru Ketua Audit Negara supaya mengaudit perbelanjaan PLKN, kita manu tahu berapa jumlah belanja diperuntukkan untuk setiap peserta,” katanya. -SH

Setelah Diserang Hebat Oleh Blogger UMNO, Wardina Nafi Sertai Parti Politik

Wardina: Saya tak sertai parti politik, tiada niat tanding PRU

KUALA LUMPUR, 29 Jun — Selebriti popular dan pengacara rancangan Malaysia Hari Ini, Wardina Safiyyah Fadlullah berkata buat masa ini beliau tidak ada niat untuk menjadi calon pilihan raya atau bertanding mana-mana pilihan raya.

“Buat masa ini, saya tidak ada niat untuk menjadi calon dan bertanding dalam pilihan raya umum,” kata beliau yang sejak beberapa lalu dikaitkan dengan Parti Keadilan Rakyat dan Himpunan Bersih 2.0.

Selebriti itu menafikan beliau merupakan anggota PKR atau menyokong Himpunan Bersih 2.0.

Malah beliau juga menjadi kecaman blog-blog pro-Umno sejak dikaitkan dengan komponen Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun selepas menafikan tanggapan itu beliau pula menjadi kritikan blog yang berlainan aliran politik.

“Saya menyatakan di sini bahawa saya tidak menyokong mana-mana parti sama ada parti pembangkang atau pun kerajaan dan saya juga bukan ahli PKR,” katanya dipetik Utusan Malaysian hari ini.

Tulisan-tulisan blog dan mesej Twitter sejak awal minggu ini memberi gambaran beliau menyokong Himpuan Bersih 2.0 dan berada bersama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pada satu majlis baru-baru ini.

Mesej Twitter yang dihantar atas akaun unitmediabaru menyebut “gambar Wardina Bersama Azmin Ali di Majlis Pakatan — TV3 Hanya Diam?: Kita tidak dengki dengan Wardina.”

Menyentuh tentang kehadirannya di Karnival Mesra Rakyat Sabtu lalu, Wardina berkata, beliau hadir sebagai jemputan untuk memberi ceramah motivasi keibubapaan.

“Oleh sebab itu saya hadir pada karnival tersebut tetapi saya tidak pun diberitahu Azmin Ali akan hadir sama.

“Apabila saya dijemput minum oleh penganjur, saya terkejut kerana Azmin Ali pun ada. Tak akan saya nak beredar,”
katanya lagi.

Wardina berkata tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya oleh penulis-penulis blog adalah satu perkara yang serius dan mengaibkan diri dan keluarganya.

Justeru katanya, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya artikel-artikel yang tersiar termasuk gambar-gambar lamanya di dalam blog, tidak dikeluarkan daripada blog berkenaan secepat mungkin. -TMI

Berasmara Di Rumah Usang Dalam Hutan

Kampung Keliyu (Dungun) - Tindakan sepasang kekasih berasmara di sebuah rumah usang di dalam hutan untuk mengelak rahsia hubungan intimnya terbongkar, membawa padah apabila taktik liciknya itu berjaya dihidu pihak berkuasa.

Perbuatan terkutuk yang dilakukan Nor Mohd Yusoff Shamsuddin, 29, dan pasangannya Nor Azura Abu Bakar@Zulkifli, 28, pada jam 1.25 petang, 2 April 2011 lalu itu bagaimanapun menyebabkan mereka akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah setelah bukti diperoleh untuk mensabitkan kesalahan dilakukan.

Pendakwaraya Syarie, Azmi Tengah ketika membentangkan fakta kes dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Dungun pagi kelmarin antara lain menyebut kedua-dua tertuduh hanya memakai tuala ketika penahanan dilakukan anggota Penguat Kuasa Syariah yang melakukan serbuan di rumah tidak bernombor di Kampung Keliyu itu.

Perbuatan itu katanya amat memalukan dan tertuduh telah melakukan kesalahan yang amat serius kerana tindakan tertuduh yang melakukan perbuatan terkutuk di rumah tidak bernombor dalam kawasan sunyi itu seolah-olah telah dirancang dan bukan disengajakan.

Rampasan pakaian dalam milik pasangan wanita dan tuala dipakai tertuduh antara hujah lain oleh pendakwaraya yang menguatkan lagi dakwaan ke atas kedua-dua tertuduh.

Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah setelah mendengar rayuan tertuduh perempuan yang berstatus janda bekerja sebagai pembantu kantin dan tertuduh lelaki yang bekerja sebagai buruh itu akhirnya memerintahkan kedua-duanya dijatuhkan hukuman denda RM2,800 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Tertuduh lelaki dari Jalan Anak Balai Besar yang masih bujang dan pasangannya dari Jalan Melati, Sura itu dituduh mengikut Seksyen 29 (a)(b) Enakmen Kesalahan jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 kerana kesalahan perbuatan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua tertuduh akhirnya menjelaskan denda untuk membolehkan mereka dibebaskan oleh mahkamah. -SH

Ulasan GB

Apa dah jadi dengan Dungun, tempat dimana GB pernah merantau dan menuntut ilmu di sana. Setiap hari ada pelbagai kes yang kurang enak berlaku sekarang ini.


Bawa Watak Suu Kyi, Michelle Yeoh Diusir Dari Myanmar

Pelakon Michelle Yeoh diusir dan dilarang masuk Myanmar

YANGON: Bintang Hollywood dari Malaysia, Michelle Yeoh, telah diusir dari Myanmar dan disenarai hitam, kata seorang pegawai semalam.

Gambar: Datuk Michelle Yeoh (kiri), Cik Aung San Suu Kyi(kanan)

Yeoh memainkan watak pejuang prodemokrasi Myanmar, Cik Aung San Suu Kyi, dalam filem yang bakal diterbitkan lewat tahun ini.

'Beliau tidak berpeluang masuk ke Myanmar lagi dan diusir serta-merta dengan menaiki penerbangan pertama selepas beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon.

'Beliau telah dimasukkan dalam senarai hitam,' kata seorang pegawai Myanmar.

Tiada sebab diberi di sebalik tindakan itu.

Yeoh, 48 tahun, terkenal selepas berlakon di samping pelakon Pierce Brosnan dalam filem James Bond, Tomorrow Never Dies, dengan memegang watak sebagai seorang perisik China, pada 1997.

Beliau kemudian berlakon dalam filem arahan Ang Lee, Crouching Tiger, Hidden Dragon, yang mendapat sambutan hangat di peringkat antarabangsa. Yeoh juga berlakon dalam filem Memoirs of a Geisha, yang berdasarkan novel tulisan Arthur Golden.

Pada Disember lalu, Yeoh bertemu Cik Suu Kyi di kediamannya di Yangon selepas baru saja tamat penggambaran di Thailand bagi filem mengenai pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu.

Butir mengenai filem arahan pengarah Perancis, Luc Besson, itu masih dirahsikan.

Cik Suu Kyi dibebaskan November lalu selepas tujuh tahun berada di bawah tahanan dalam rumah. Beliau, yang genap berumur 66 tahun bulan ini, telah mendapat pengiktirafan dunia kerana giat melancarkan penentangan secara aman walaupun ditindas oleh junta tentera Myanmar.

Pada 1990, beliau menerajui Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) yang menang dalam pilihan raya umum negara itu. Namun, kemenangan itu tidak diiktiraf pemimpin junta dan partinya tidak dibenarkan membentuk pemerintah.

Cik Suu Kyi memboikot pilihan raya umum Myanmar tahun lalu selepas mendakwa proses itu tidak dijalankan secara adil. -- AFP.



FELDA Hutang RM6 Billion, ANAK Akan Mohon Campurtangan Agong Jika SPRM Gagal Siasat

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) tidak teragak- agak memohon campurtangan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) sekiranya isu mengenai pinjaman RM6 bilion Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) gagal disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presidennya, Mazlan Aliman berkata pihaknya akan berterus- terusan mendesak Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memperincikan persoalan yang gagal dijawab dengan jelas berhubung pinjaman RM 6 billion daripada Kumpulan Wang Simpanan Simpanan Pekerja (KWSP), sehingga dibangkitkan kembali ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Aktivis Anak melalui 61 cawangan Anak diseluruh negara akan membuat laporan polis dibalai polis berdekatan tanah rancangan Felda mereka.

“Sekiranya dalam tempoh sebulan dari tarikh laporan, kerajaan dan Felda masih gagal menjelaskan secara terperinci berhubung pinjaman ini, kita akan buat satu lagi laporan terhadap SPRM supaya siasatan menyeluruh dapat dilakukan,” kata Mazlan.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahad lalu, ANAK telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban berhubung perkara itu dan 13 lagi laporan polis seluruh negara bersanit isu yang sama turut dibuat.

Beliau menegaskan, sekiranya SPRM juga gagal menyiasat, ANAK akan akan memohon perkenan campurtangan YDPA.

“Felda adalah institusi milik orang Melayu yang telah wujud sejak 1956, jadi, banyak persoalan masih belum mendapat jawapan terperinci.

“Antara aduan dikemukakan dalam laporan itu, kita minta siasat kemana pinjaman RM6 bilion itu disalurkan? Siapa yang arahkan pinjaman? Mengapa ia tidak pernah dibentangkan di Parlimen?,”

Selain itu, pihaknya juga meminta menyiasat kedudukan sebenar pelaburan Felda Global Ventures yang didakwa mengalami kerugian teruk dan siasatan terhadap Ethos Consulting yang dilantik sebagai Perunding Felda Global Ventures sedangkan syarikat itu tidak mahir dalam industri pertanian.

Katanya, pinjaman berkenaan mengejutkan banyak pihak terutama warga Felda termasuk pencarum KWSP ekoran pinjaman yang dipohon adalah begitu besar.

“KWSP juga perlu disiasat bagaimana boleh berikan pinjaman dalam jumlah besar, disamping itu, adakah mereka mengenakan syarat pinjaman yang mengakibatkan implikasi buruk kepada peneroka Felda?,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mazlan memberitahu, ANAK menyatakan kesediaanya melaksanakan janji manis kerajaan UMNO BN sebelum ini yang mahu memberi sebidang tanah kepada bekas tentera, malangnya sehingga kini masih gagal berbuat demikian.

“Sejak 1970 hingga kini, sebahagian besar daripada 400,000 keluarga bekas tentera masih gagal dapat apa yang dijanjikan kerajaan walaupun telah habis perkhidmatan.

“Justeru, Anak, berjanji, sebahagian dari 341,000 hektar tanah Felda Plantation akan diberikan kepada bekas tentera yang daif,” ujarnya. -tvsnews



Rakyat Terjerut: Harga Ikan Dan Ayam Naik Melambung

Sejak dua minggu lalu, kebanyakan peniaga bahan keperluan di beberapa pasar mendakwa berlaku kenaikan harga terutama barangan mentah di pasar khususnya ikan dan ayam.

Tinjauan ke Pasar Chow Kit mendapati, harga ayam meningkat 50 sen hingga RM1 sekilogram yang dijual pada harga RM8 atau RM8.50 sekilogram berbanding RM7.50 sekilogram sebelum ini.

Malah, lebih mengejutkan harga ikan kembung yang dijual pada harga RM6 sekilogram meningkat sehingga 100 peratus iaitu pada harga RM12 sekilogram sejak tiga hari lalu.

Peniaga, Ali Mahmud, 28, berkata, kenaikan harga berlaku sejak dua minggu lalu dengan kenaikan 20 sen hingga RM6 menyebabkan peniaga menerima pelbagai rungutan daripada pembeli.

“Kami menerima barangan daripada pemborong. Jika mereka menaikkan harga kami terpaksa menjual pada harga tinggi walaupun kadang-kadang keuntungan sedikit.

“Peniaga dalam dilema kerana setiap hari terpaksa menerima rungutan daripada pembeli jika berlaku keadaan sedemikian,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah menaikkan harga ayam sesuka hati kerana sedia maklum bahan mentah berkenaan barangan kawalan.

Peniaga ikan yang mahu dikenali Hairi, 29, berkata minggu ini menyaksikan kenaikan beberapa jenis ikan seperti kembung, kerisi dan selar sehingga dua kali ganda daripada harga sebelum ini.

“Kekurangan bekalan ikan terutama kembung akibat keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan harganya naik mendadak dan ini kali kedua harga ikan naik.

“Kami tidak dapat menjangka harganya akan turun dalam masa terdekat kerana tidak menunjukkan ia akan kembali normal dan bergantung keadaan semasa,” katanya. -hm

Isu Video Seks: Serang Datuk Johari Langkah Terdesak

Tunjuk bukti saya minta RM1 juta, Johari cabar trio Datuk T

KUALA LUMPUR, 28 Jun — Datuk Johari Abdul menuntut trio Datuk T menunjukkan bukti bahawa beliau pernah meminta ‘ganjaran’ RM1 juta sebagai bayaran untuk meninggalkan PKR selepas menonton rakaman video seks yang didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim Mac lalu.

Justeru wakil rakyat dari Kedah ini mempertahankan beliau tidak pernah meminta sejumlah wang itu dan apa yang dikatakan trio Datuk T adalah tidak berasas sama sekali.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu memberitahu beliau telah memberitahu ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuaib Abdul Lazim bahawa si pelaku dalam rakaman didedahkan 21 Mac lalu bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Satu klip video terbaru muncul di Internet hari ini menyerang kewibawaan Johari dengan mendakwa beliau ada meminta RM1 juta untuk dirinya dan juga lima Ahli Parlimen lain jika mahu mereka keluar PKR.

“Buktikan saya mengambil duit, di akaun bank yang mana? Adakah ia (dibayar) secara tunai atau cek? Saya tidak boleh menyimpan jumlah yang banyak itu di rumah.

“Saya tidak pernah menerima apa-apa atau saya pernah ditawar untuk meninggalkan parti untuk bayaran... saya tidak memerlukan wang,” kata Johari kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, trio Datuk T boleh mengatakan apa yang mereka mahukan.

“Tidak sesiapa pun yang boleh memberi keterangan apa yang saya kata di bilik (hotel) pada hari itu... saya tidak mahu membuang masa (dengan mereka,” kata Johari lagi.

Sejurus selepas rakaman video seks ditayangkan kepada pemberita pada 21 Mac lalu, trio Datuk iaitu ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuaib Lazim, Johari mendedahkan beliau menonton video itu bersama mereka di sebuah hotel di sini.

Wakil rakyat itu berulang kali menafikan bahawa beliau ada bersetuju yang lelaki dalam video seks itu ialah Anwar.

Bagaimanapun satu video yang disiarkan oleh blogger pro-Umno blogger “Papagomo” (http://www.papagomo.com) hari ini mendakwa sebaliknya.

Video yang panjangnya 1.59 minit itu, bersama dengan tulisan blog memetik Shazryl mendakwa Ahli Parlimen Sungai Petani itu yakin yang Anwar adalah lelaki dalam klip video itu dan Johari minta RM1 juta bagi diri beliau dan RM1 juta bagi setiap lima Ahli Parlimen yang bersedia untuk meninggalkan PKR selepas menonton video berkenaan.

Klip video itu tiada bukti yang dapat menunjukkan bahawa beliau ada meminta wang dalam jumlah itu.

Johari dilihat memasuki sebuah bilik hotel dengan diiringi trio Datuk T dan kemudian duduk di depan televisyen.

Satu kamera terselindung dilihat diletakkan di depan televisyen, oleh itu memberi gambaran mengenai reaksi Johari. dan suara trio Datuk T.

Berbanding naratif-naratif Johari sebelum ini tentang apa yang berlaku pada hari video itu ditonton, MP PKR itu kelihatan gelak ketawa dan mesra bersama ketiga-tiga Datuk T, dan berjenaka beberapa minit sebelum video seks ditayangkan.

“Sudah pasti saya mesra dengan mereka. Saya kena mereka secara peribadi. Shuaib pak cik saya, Rahim bekas anggota Majlis Tertinggi Umno dan Eskay dari Sungai Petani... saya tidak tahu pada hari itu mereka hendak menunjukkan video seks kepada saya.

“Saya menghormati pak cik saya, meskipun saya tidak setuju dengan apa yang dia lakukan. Jika saya bertemu Shuaib lagi, saya cium tangan dia, dia lebih tua daripada saya,” kata pemimpin PKR ini. -TMI


Video seks: Hati nurani saya jelas, kata Johari

Ahli Majlis Tertinggi PKR Johari Abdul menolak dakwaan penulis blog pro-Umno bahawa beliau meminta wang bagi tugas menyakinkan ahli parlimen Pakatan Rakyat supaya menonton video seks yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Hati nurani saya jelas,” kata Johari yang juga ahli parlimen Sungai Petani, apabila ditemui di lobi parlimen hari ini.

Johari hari ini dituduh oleh blog Papagomo cuba mendapatkan RM100,000 sebagai 'bayaran pelincir' bagi menjalankan tugas itu.

Penulis blog itu juga menuduh beliau cuba meminta RM1 juta bagi setiap ahli parlimen yang berjaya yang dipujuknya menonton video itu.

Papagomo tidak membekalkan bukti bagi mempertahankan dakwaannya tetapi hanya menyiarkan klip video yang memaparkan Johari menonton video seks berkenaan dengan kumpulan trio 'Datuk T'.

Beliau dilihat sedang bergurau dengan kumpulan Datuk T dan bergelak ketawa sepanjang klip dua minit itu.

Adalah dipercayai klip video berkenaan dirakamkan pada 21 Mac di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari yang sama Datuk T menayangkan video itu kepada sekumpulan wartawan dan editor terpilih di Hotel Carcosa Seri Negara.

Datuk T adalah nama samaran yang sebelum ini digunakan oleh ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bendahari PERKAS Datuk Shuaib Abdul Lazim.

Ditanya mengapa beliau sebegitu tenang semasa tayangan itu, Johari berkata beliau rasa 'rileks' kerana merasakan sesuatu yang tidak kena.

“Saya suspek yang saya dirakamkan sebab itu saya banyak tersenyum,” jelasnya.

Lebih-lebih lagi, kata Johari, beliau mengenali Rahim sejak zaman mereka bersama di Umno manakala Shuib adalah bapa saudaranya.

“Saya seorang MP lah bagaimana harus saya bertindak? Patutkah saya menanggis?” soalnya lagi. -mk


Ulasan GB

Pertama, GB lihat penerbitan video klip yang menyerang ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul oleh papagomo itu lansung tidak ada merit dan tidak ada kelas untuk disiar dan diulas. Kerana, penerbitan video klip itu sendiri adalah respons bodoh setelah Datuk T tersentak & terkejut beruk dengan pendedahan video dokumentari Datuk Johari yang telah merungkai hal sebenar mengenai konspirasi video seks "Anwar".

Sekalipun sebelum ini peguam yang mewakili bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Muhammad Shafee Abdullah menyatakan mengikut laporan 4 Jun profesor Hany Farid and Lorenzo Torresani dari Dartmouth College di Hanover, New Hampshire, Amerika Syarikat, kononnya terdapat keirasan 99.99 peratus lelaki dalam klip video itu, dengan bagi foto Anwar berdasarkan analisis pengenalpastian wajah, namun beliau enggan membenarkan salinan dokumen itu dibuat.

Malaysiakini melaporkan, Walaupun Shafie mendakwa pakar-pakar tersebut melaporkan bahawa mereka 99 peratus pasti, tetapi Malaysiakini tidak nampak maklumat tersebut pada dokumen berkenaan.

Bukankah pendusta namanya tu! Tetapi aneh, laporan yang dusta itu diperbesarkan oleh media perdana di negara ini dan polis juga turut mempercayainya setelah berulangklali membuat kenyataan kononnya video seks itu tulen dan kenyataan yang seumpamanya.

Video dokumentari yang dikeluarkan Datuk Johari Abdul lebih meyakinkan. Bahawa, wajah di dalam video seks yang dikeluarkan oleh Datuk T itu rupa-rupanya wajah "make-up" dari Thailand. 99.99% seiras. Tetapi bukan Anwar. Itu sebab kita lihat pelaku seks di dalam video asal, orang berwajah Anwar tetapi bertubuh badan Eskay dan Rahim Tamby Chik!

Tentang papagomo, siapa tak kenal dengan penulis upahan UMNO ini yang selama kes video seks ini menjadi penulis upahan Datuk T? Malah polis sendiri tidak bertindak ke atas blogger jahat ini walaupun telah ternyata bahawa blogger tersebut merupakan orang yang bertanggungjawab menyiar dan mengedar video lucah di alam maya.

Itulah pentingnya untuk kita berdoa dan mengharap kepadaNya seperti yang pernah GB tuliskan di dalam tulisan-tulisan yang lalu:

1) Allahumma arinal haqqan haqqa, warzuqnattiba’ah,
wa arinal bathilan bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathilu innal bathila kana zahuqan

Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Kebenaran tetap akan menang mengalahkan kebatilan sepertimana janjiNya:

Firman Allah bermaksud ,


Katakanlah : Telah datang yang haq (kebenaran) dan telah lenyap yang batil atau yang palsu. Sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap. (Al Israa' 81)

Ada kaitan:

[Video] BONGKAR: Pendedahan Dalang Video Fitnah

PR Desak Putrajaya Perinci Kos RM49 Juta Biaya Rumah PM, TM

Ketika rakyat menderita akibat kenaikan harga minyak dan barang keperluan serta kos sara hidup, kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) pula membelanjakan hampir RM49 juta setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalannya.

Lebih tepat, sejumlah RM48,789,115.03 itu dibelanjakan termasuk kos sewa, kos baik pulih, bil elektrik dan bil air.

Mengulas jawapan kerajaan itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, ketika ditemui di Parlimen hari ini berkata, rakyat perlu menilai bagaimana kehidupan pemimpin mereka dalam keadaan rakyat disuruh berjimat.

Malah, beliau turut menggesa pentadbiran Najib memperincikan jumlah kos tahunan yang terpaksa ditanggung kerajaan kerana ia disifatkan sebagai tidak munasabah dan meragukan.

"Disaat rakyat, seluruh agensi dan jabatan kerajaan disuruh berjimat cermat dengan keadaan ekonomi yang semakin parah ini, Kerajaan Umno-BN pula membelanjakan berbilion ringgit wang rakyat untuk kos baik pulih kediaman dua pemimpin negara. Dan jumlah yang dibelanjakan hampir RM 60,000 sebulan. Apa yang dibaik pulih kita pun tidak tahu," soalnya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dalam jawapan bertulisnya terhadap soalan Siti Zailah Mohamad Yusof (PAS-Rantau Panjang) memberitahu, kerajaan membelanjakan hampir RM49 juta setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Zailah dalam soalannya mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan jumlah kos tahunan yang terpaksa ditanggung kerajaan bagi membiayai kedua-dua rumah pemimpin negara itu bermula tahun 2006 hingga 2010.

Dalam perincian jawapan yang diberikan itu, Nazri menjelaskan kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu adalah berjumlah RM32,972,115.55, kos baik pulih RM3,581,744.78, bil elektrik RM10,267,868.15 dan bil air RM1,967,386.55 untuk satu tahun.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud turut mengesa kerajaan supaya mendedahkan perjanjian sewa beli kediaman rasmi terbabit dengan Perbadanan Putrajaya Holding kepada rakyat.

"Kita dapati terlalu banyak pemborosan berlaku dan ini baru melibatkan kediaman rasmi, belum lagi melihat kepada aset-aset kerajaan yang lain. Jadi timbul persoalan disini kenapa kediaman rasmi ini disewa daripada Perbadanan Putrajaya Holding," soalnya.

"Jadi kita minta ia didedahkan kepada rakyat tentang perjanjian tersebut bahawa. Dan selama mana kerajaan terpaksa menyewa kediaman ini," ujarnya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook berkata perkara ini jelas mencerminkan wajah sebenar pemimpin tertinggi negara yang tidak menginsafi keperitan hidup rakyat sebaliknya rakus meratah wang rakyat.

"Sekarang baru kita tahu mengapa pimpinan tertinggi negara kita tidak tahu kesusahan rakyat, kerana mereka memang tidak akan merasainya. Dan oleh itu, mereka hanya tahu tarik balik subsidi gula sebanyak 20sen dengan alasan ianya rasional jangan makan gula lebih, memang lah mereka tidak rasa mereka boros, elektrik sehari RM 5,704.00, bila air sehari RM 1.092.00," katanya. -tvsnews