16 Mac 2009

Nizar Fail Rayuan Terhadap Perintah Mahkamah Tinggi

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk merujukkan saman beliau terhadap Dr Zambry Abdul Kadir, kepada Mahkamah Persekutuan.

Beliau memfailkan notis rayuan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur manakala pihak peguam Dr Zambry juga memfailkan notis usul bagi menangguhkan prosiding untuk merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pagi tadi.

Pada 6 Mac, Hakim Lau Bee Lan memutuskan terdapat isu berperlembagaan melibatkan tafsiran Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan pada 10 Mac menetapkan bahawa terdapat empat persoalan perlembagaan perlu ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.

Mohammad Nizar, 52, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, memfailkan semakan kehakiman pada 13 Feb, memohon pengisytiharan bahawa beliau merupakan Menteri Besar Perak yang sah dan injunksi untuk menghalang Dr Zambry daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Kes Siti Fatimah: Mahkamah Tolak Rayuan MAIPP

Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang hari ini menolak rayuan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang mengisytiharkan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang, 39, sebagai bukan lagi seorang Islam pada Mei 2008.

Ketua Hakim Syarie/Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Ibrahim Lembut membuat keputusan itu setelah mendengar hujah kedua-dua peguam bagi pihak perayu iaitu MAIPP dan juga Siti Fatimah selaku responden.

Beliau yang mengetuai korum tiga hakim, yang turut dianggotai Datuk Muhammad Asri Abdullah dan Datuk Abu Bakar Ahmad sebulat suara memutuskan bahawa responden tidak sempurna Islamnya, lapor Bernama.

"Permohonan rayuan perayu ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 8 Mei 2008 adalah kekal," katanya.

Pada Mei tahun lalu, hakim bicara ketika itu, Othman Ibrahim mengisytiharkan bahawa Siti Fatimah bukan lagi orang Islam dan mahkamah itu memerintahkan MAIPP untuk membatalkan pendaftaran sijil akuan memeluk Islam beliau.

Bagaimanapun, Ibrahim menolak permohonan Siti Fatimah supaya mahkamah memerintahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memadamkan perkataan Islam pada kad pengenalannya dengan alasan bahawa mahkamah tiada bidangkuasa untuk berbuat demikian dan menasihati Siti Fatimah untuk menguruskan sendiri perkara itu dengan jabatan berkenaan.

Dalam prosiding hari ini, Ibrahim berkata keputusan menolak rayuan MAIPP itu dibuat berikutan lafaz syahadah yang dibuat oleh responden adalah tidak sah kerana beliau memeluk Islam dengan niat untuk berkahwin dan tidak pernah percaya dengan agama itu.

"Responden tidak dianggap sebagai Islam. Responden juga tidak boleh dianggap murtad kerana proses pengislamannya tidak sah," katanya.

Ibrahim berkata asas keputusan itu berdasarkan Seksyen 107 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri 2004 yang menyebut kaedah memeluk Islam itu adalah dengan mengucap dua kalimah syahadah, sedar akan maksud kalimah serta ia dilakukan dengan kerelaan hati.

"Seksyen 108 enakmen yang sama pula menyebut seseorang yang memeluk Islam itu adalah dengan mengucap dua kalimah syahadah dan memenuhi kehendak seksyen 107 itu dan orang itu selepas itu dianggap muallaf," katanya.

Beliau berkata responden gagal memenuhi kehendak Seksyen 107 enakmen itu.

Isu Gobind : Ke mana Pergi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat?

Sewaktu Dewan Rakyat hari ini bersidang untuk membincangkan usul yang dibawa oleh BN menggantung tugas ahli parlimen DAP Gobind Singh Deo selama setahun kerana dianggap menghina dewan berhubung tuduhannya terhadap timbalan perdana menteri, di dapati ramai ahli palimen Pakatan Rakyat tidak berada di dalam dewan rakyat.

Akibat daripadanya di dalam menentukan keputusan samada usul itu perlu dibahaskan atau tidak, suara dari parti pembangkang untuk menyatakan tidak bersetuju seperti seolah-olah lansung tidak kedengaran yang menyebabkan akhirnya usul tersebut diterima untuk dibahaskan.

Usul yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz untuk menggantung ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh selama setahun, akhirnya diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

Rakyat tertanya-tanya kemanakah perginya ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat sewaktu satu usul penting hendak dibentangkan di parlimen sedangkan semua mereka mengtahui sebelum ini bahawa sessi dewan rakyat akan mengambil ketetapan untuk membincangkan usul yang menentukan nasib seorang wakil rakyat dari Pakatan Rakyat?

Jika dahulu kita sering menyatakan bahawa ahli-ahli parlimen BN tidak kelihatan di dalam dewan, namun kini penyakit itu telah dibawa oleh wakil rakyat dari Pakatan Rakyat pula.

Nampaknya perlu ada lembaga disiplin di kalangan ahli-ahli parlimen dari Pakatan Rakyat supaya kehadiran dan penyertaan mereka di dalam parlimen dapat dipantau kerana sebarang perbuatan tidak menghadirkan diri tanpa sebab yang menasabah tidak boleh dimaafkan kerana ia adalah satu pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat kepada mereka.

Kita difahamkan ada wakil rakyat Pakatan Rakyat yang berada di luarnegara ketika ini sewaktu sepatutnya tugas utama mereka ialah menunaikan tanggungjawab kepada rakyat yang memilih mereka dan ini sepastinya mengecewakan.

Sindrom membelakangkan tugas utama dan meletakkan tugas-tugas lain untuk didahulukan ini perlu dihentikan segera.

Wakil rakyat sedemikian sepatutnya meletakkan jawatannya untuk memberi laluan jkepada rakyat memilih wakil yang baru dan supaya mereka tidak memakan hasil yang haram kerana tidak menunaikan tanggungjawab kepada rakyat tetapi sanggup memakan hasil dari rakyat yang meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada mereka selama ini.

Mereka TIDAK sepatutnya dipilih lagi oleh parti kerana ia bukan sahaja menggagalkan visi dan visi perjuangan di dalam konteks menjaga amanah rakyat tetapi adalah sebenarnya petualang yang merosakkan Pakatan Rakyat tanpa mengira samada mereka pemimpin kanan parti ataupun tidak.

NIZAR LANCAR JENTERA PILIHANRAYA KELAB PENYOKONG PAS PERAK

Pelancaran Jentera Pilihanraya Kelab Penyokong PAS ; Ucapan ‘ala’ Demonstrasi Menyemarakkan ‘Makkal Sakthi’

Bukit Gantang - “Hidup Hidup, Hidup Rakyat, Makkal Makkal, Makkal Sakhti, Hancur Hancur, Hancur UMNO, Reformasi !,”laung Dato’ Seri Nizar Jamaludin, Menteri Besar Pakatan Rakyat membuka ucapannya, selepas menyebut nama Allah dihadapan lebih 800 orang hadirin.

Kemudian beliau membaca ayat, “janganlah sekali-kali kamu cenderung kepada kezaliman kelak kamu disentuh oleh api neraka”

(Gambar - Nizar melepaskan burung sebagai simbolik kebebasan semasa merasmikan pelanjaran jentera pilihanraya Kelab Penyokong PAS)

Bagi kaum India dan Cina yang hadir dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Kelab Penyokong PAS, Nizar adalah Menteri Besar negeri Perak Darul Ridzuan.

Beliau yang datang dengan kereta rasmi Menteri Besar, Toyota Camry hitam bernombor pendaftaran AGS 10 disambut sebagai ‘hero’ yang memperjuangkan hidup rakyat Perak.



“Saudara-saudara, apa yang berlaku di negeri Perak hari ini adalah satu kekejaman yang telah dibuat oleh UMNO dan Barisan Nasional, tanpa segan silu mereka telah merampas hak rakyat negeri Perak,”kata Nizar.

Katanya mandat yang diberi oleh rakyat negeri Perak pada pilihanraya umum ke 12 bulan Mac 2008 telah dirampas oleh UMNO pada 5 Februari, 2009.

“Ini merupakan satu perbuatan yang yang haram, seharam-haramnya, sekejam-kejamnya dan durjana, sedurjana-durjannya,”tegasnya yang meminta ahli-ahli Kelab Penyokong dari kaum India dan Cina menolak UMNO dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang yang diadakan nanti.

Dalam sidang media yang diadakan selepas majlis tersebut, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang berkata PAS hanya akan mengumumkan calonnya 26 Mac ini walaupun Barisan Nasional (BN) telah menamakan calonnya untuk pilihan raya kecil Bukit Gantang semalam.

Katanya PAS Perak akan bermesyuarat malam ini untuk mempertimbangkan empat nama yang sudah ditapis manakala ia akan ditimbang dan diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat yang akan bermesyuarat pada 23 Mac depan.

Katanya empat nama yang akan dihalusi malam ini tidak termasuk Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Hj Asmuni Awi yang telah menolak namanya daripada dicalonkan.

Ustaz Ahmad Awang turut menolak andaian langkah awal UMNO mengumumkan calon semalam memberi tekanan kepada PAS dalam soal memilih calonnya.

PAS memilih untuk mengumumkan calon lewat kerana kata beliau, Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa anggota jawatankuasa pusat berada di luar negara.

"Jadi PAS pusat akan memutuskan nama calon yang sesuai pada 23 Mac dan akan diumumkan di sini tiga hari kemudian," katanya yang turut melancarkan Kempen Kutipan Dana Kelab Penyokong PAS dalam majlis yang sama.

Ketika ditanya sama ada pengumuman lewat akab menjejaskan peluang PAS kekalkan kerusinya, Ustaz Ahmad yang juga Naib Presiden PAS berkata, pihaknya sudah membuat persiapan awal.

"Lagipun jentera sudahpun berjalan dan kini mengaturkan pelbagai aktiviti bagi hadapi pilihan raya kecil ini,"tambahnya.

Rencana: buletinonline.net
Foto: peraknews