13 Ogo 2011

Timb Menteri Tak Setuju Kerajaan Samakan BERS✔H 2.0 Dengan Rusuhan London

Saifuddin: Saya tidak setuju samakan Bersih 2.0 dengan rusuhan London

KAJANG, 13 Ogos — Datuk Saifuddin Abdullah hari ini tampil membuat pendirian tidak bersetuju dengan Putrajaya menyamakan Himpunan Bersih 2.0 dengan rusuhan di Britain baru-baru ini.

Pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di ibu negara yang menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Dalam perhimpunan itu hampir 1,700 telah ditahan termasuk pemimpin Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat.

Pendirian itu dilihat bertentangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam perkara itu.

“Saya juga tidak setuju samakan Himpunan Bersih 2.0 dengan rusuhan di London,” katanya pada forum Reformasi Pilihan Raya dan Pemurnian Demokrasi anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar Al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam di sini.

Semalam Najib langkah Putrajaya menghalang Himpunan Bersih 2.0 sebagai keputusan tepat bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.

Kata beliau, tiada sebarang jaminan bahawa semua peserta perhimpunan jalanan itu mempunyai niat untuk mengadakan perhimpunan secara aman.

Sementara itu Hishammuddin berkata, banyak pengajaran boleh dipelajari daripada rusuhan ganas yang berlaku di London dan beberapa bandar lain di England.

Hishammuddin juga berkata, insiden itu membuktikan pentingnya satu ketetapan dan ketegasan diambil oleh pihak berkuasa dalam menangani sesuatu isu secara bijaksana tanpa menjejaskan ketenteraman, kestabilan dan keharmonian di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar juga memberi pendirian yang sama.

Bagaimanapun pemimpin Pakatan Rakyat mengecam tindakan itu.

Dalam ucapan itu, Saifuddin (gambar) yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan ahli Majlis Tertinggi Umno berkata Barisan Nasional (BN) sepatutnya mempertimbangkan cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung penganjuran perhimpunan aman.

“Ada di antara kita yang alergik bila dengan perkataan demonstrasi tapi dia tak sedar dia juga lakukan perkara sama juga menggunakan istilah yang berlainan,” katanya.

Beliau juga berkata Najib komited untuk melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya.

“Perdana Menteri menyatakan komitmen untuk pastikan pilihan raya bersih, beliau komited sejauh mana... kita perlu beri beliau masa,” katanya.

Keadaan di bandar-bandar utama di Britain kembali selepas dilanda rusuhan dan kegiatan mencuri yang berleluasa sejak minggu lalu sehingga mencetuskan kecemasan di negara itu. -TMI

BERS✔H Bidas SPR Lebih Berminat Pertahan Kedudukan Pemerintah

Jawatankuasa Pemandu Bersih melahirkan kekecewaannya atas respon balas yang diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersabit tuntutan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil oleh pertubuhan bukan kerajaan itu.

Dalam satu kenyataan media semalam, Bersih mendakwa SPR dilihat secara terus-menerus memberikan ulasan yang memudaratkan muafakat kerjasama ke arah pilihan raya yang lebih adil sebaliknya lebih "beria-ia mempertahankan parti pemerintah".

Malah menurut kenyataan media itu lagi, jawatankuasa itu sangat kecewa dengan cara Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang didakwanya terus mengambil pendekatan konfrontasi melampau dan tidak produktif.

"Kami telah menyatakan berulangkali bahawa matlamat Bersih 2.0 adalah sistem pilihan raya yang bersih dan adil untuk semua rakyat Malaysia, bukannya untuk memburukkan mana-mana institusi atau mempromosikan sebarang agenda politik," katanya.

Menurutnya, Bersih 2.0 hanya berminat untuk melihat pilihan raya yang bersih.

"Sekiranya BN atau mana-mana parti menang melalui pilihan raya yang bersih dan adil, maka matlamat kami telahpun tercapai," tegas kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Bersih berpendapat SPR dan Wan Ahmad mesti menumpukan perhatian mereka dengan melibatkan diri bersama-sama masyarakat madani bagi memperbaiki institusi awam dan "bukannya terlibat dalam perang mulut dengan parti-parti politik".

"Ulasan terkini yang dibuatnya, mengancam kewibawaan awam berkenaan sifat 'non-partisan' SPR yang diperlukan untuk mengekalkan keyakinan orang ramai.

"Membuat kritikan politik merupakan tugas seorang timbalan pengerusi sebuah parti politik, dan bukannya tugas timbalan pengerusi SPR," tambah kenyataan itu.

Berikutan itu, katanya, Bersih 2.0 berharap SPR menumpukan tenaganya untuk menyelesaikan masalah besar, yang dikesan pada daftar pemilih seperti “skandal Mismah”.

Perkara itu, menurut gabungan NGO itu, mendedahkan perkembangan membimbangkan mengenai pemberian hak mengundi kepada seseorang yang diragukan kewarganegaraannya.

"Masalah daftar pemilih lain termasuk kejadian pengundi bernama 'Kg Baru', penyelewengan yang serius berkenaan pengundi berganda serta alamat penuh sesak dan sebagainya.

"SPR sepatutnya memberi perhatian untuk membetulkan masalah ini dengan segera dan bukannya mempertahankan serta menjadikan perkara ini sebagai isu politik yang menjejaskan kewibawaan semua pihak," tegas kenyataan itu lagi.

Mengenai isu pengesahan biometrik, katanya, Bersih 2.0 memandang serius laporan terbaru bahawa pihak polis sedang menyiasat penyelewengan sistem biometrik yang digunakan untuk mendokumentasi pekerja asing.

"Lebih tepat lagi, ianya merupakan kelemahan yang akan membolehkan penipuan pilihan raya secara besar-besaran sekiraya hanya sistem biometrik sahaja digunakan untuk mencegah pengundi hantu.

"Kami masih belum mendengar hujah-hujah meyakinkan tentang kenapa kaedah dakwat kekal yang lebih murah, mudah dan lebih berkesan tidak patut dipakai," tambahnya.




Ali Kamaruddin (Mamat Exist) Hantu Dadah

Johor Bharu: Bekas vokalis kumpulan Exist, Mohd Ali Kamarudin atau lebih dikenali sebagai Mamat dijatuhi hukuman denda RM1,000 dan pengawasan polis selama dua tahun selepas mengaku bersalah memasukkan dadah ke dalam badannya, tahun lalu.

Mamat, 33, yang popular menerusi lagu Untukmu Ibu pada tahun 90-an didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya pada 9 November tahun lalu pada kira-kira jam 3.35 petang.

Dia membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, sebaik pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Maslinda Selamat.

Tertuduh disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mamat dalam rayuannya meminta mahkamah meringankan hukuman kerana sudah insaf selain menanggung tiga anak.

Ulasan GB

Dulu-dulu lagu "Oh Ibu" nyanyian Mamat ni jadi pujaan ramai. Tak kurang yang mengimpikan jadikan Mamat model contoh bagi anak muda... Mamat disanjung, ramai nak jadikan Mamat teman hidup kerana Mamat "anak soleh" yang mengingatkan orang tentang jasa ibu. Roh para ibu tenteram dan "damai di sana" seperti dendangan lagu mamat itu.

Ibu bapa ketika itu tak kurang yang inginkan anak sebaik Mamat. Makcik-makcik pun ramai berkenan nak jadikan Mamat menantu.

Rupa-rupanya kini Mamat dah jadi hantu. Hantu dadah...

Mamat tidak bersyukur dengan pemberianNya, tetapi kufur nikmat. Roh ibu sudah tidak lagi damai di sana apabila Mamat sudah jadi hantu dadah.

Semuga Mamat benar-benar insaf dan berubah.


Isu Pembesar Suara: UMNO Kena Tempeleng Lagi, Gagal Untuk Eksploitkan Isu

Asri: Muslim Pulau Pinang patut sokong fatwa larang guna pembesar

KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong keputusan Jabatan Mufti Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan agar suara bacaan al-Quran tidak dikuatkan melalui pembesar suara seperti yang berlaku di kebanyakan masjid sebelum waktu solat.

Asri juga berkata, mematuhi keputusan dikeluarkan Jabatan Mufti Pulau Pinang tidak harus dianggap sebagai isu politik semata-mata.

“Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Umat Islam Pulau Pinang sepatutnya menyokong keputusan ini, dan saya menyokongnya,” katanya lagi.

“Fatwa atau arahan ini bagi saya selaras dengan kehendak syarak,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Asri, kelahiran Pulau Pinang ini berkata, apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan dan “selain itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain.”

Malah kata beliau, perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan apatah lagi dalam Islam, ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

“Maka, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid,” kata beliau.

Mengikut laporan media semalam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu menghentikan penggunaan sistem pembesar suara ketika bacaan al-Quran pada waktu sebelum subuh kerana amalan itu bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.

Bagaimanapun kerajaan Pulau Pinang menyerahkan kepada pentadbiran masjid atau surau di negeri itu membuat pertimbangan sendiri sama ada mahu menggunakan sistem pembesar suara untuk mempendengarkan bacaan al-Quran dan zikir sebelum waktu subuh atau sebaliknya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abul Kassim berkata, sebagai pentadbir institusi agama, pihak masjid dan surau bagaimanapun sewajarnya menghormati keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang yang memutuskan bahawa bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum waktu subuh adalah dilarang menurut hukum syarak.

“Majlis Fatwa yang dipengerusikan oleh Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad pada 6 Jun lepas memutuskan perbuatan berkenaan boleh mengganggu orang lain sama ada yang berada di dalam atau di luar masjid,” katanya.

Abdul Malik berkata kerajaan negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang tidak terlibat dalam keputusan Majlis Fatwa dan meminta perkara berkenaan tidak dipolitikkan.

Jelas Asri, walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik, tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan yang disampaikan dan mungkin orang lain ingin membacanya sendiri atau ingin membacanya pada waktu lain atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.

“Ramai orang bukan Muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara,” kata ahli akademik Universiti Sains Malaysia ini.

“Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit,” katanya lagi.

Asri juga berkata, sebenarnya, Nabi Muhammad sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jemaah lain.

Kata Asri, ulama silam juga telah mengingatkan hal ini bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai.

“Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi pernah berkata, ‘antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampuradukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan.

“Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar’,” kata beliau lagi.

Ulasan GB

Pannnnngggggggggggg!

Bertubi-tubi UMNO kena tempeleng selepas cuba untuk eksploitkan dan mempolitikkan isu pembesar suara di Pulau Pinang.

Sebeleum ini Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh di masjid dan surau dengan kuat adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.

Sekarang bekas Mufti Perlis pula, Dr. Mohd Asri turut menyokong tindakan kerajaan Pulau Pinang itu.

Baca: UMNO Terkedu. Perlis Dah Lama Kuatkuasa Larangan Pembesar Suara Waktu Suboh

UMNO Terkedu. Perlis Dah Lama Kuatkuasa Larangan Pembesar Suara Waktu Suboh

Larang pembesar suara: Perlis sokong Pulau Pinang

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh di masjid dan surau dengan kuat adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.

Amalan pasang mikrofon kuat waktu sebelum subuh adalah bertentangan dengan sunah Nabi SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur. Perbuatan mengganggu ini adalah haram dan berdosa,” katanya dalam satu pesanan SMS kepada Malaysiakini.

Sehubungan itu, Dr Juanda berkata pihaknya menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh.

“Kami sokong kenyataan itu dan Perlis dah lama kuat-kuasakan larangan itu di masjid dan surau, walaupun kadang-kadang ada (pihak) yang larang.


“Mikrofon (di) masjid hanya boleh laungkan azan waktu subuh sebanyak dua kali sahaja iaitu azan pertama 30 minit sebelum subuh dan kemudian azan subuh.

“Ini adalah amalan yang menepati kehendak Sunnah Nabi SAW yang sepatutnya dipatuhi oleh semua umat Islam yang cintakan Sunnah Nabi SAW yang sahih,” katanya.

Hormati keputusan

Mengulas perkara yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dipetik Bernama berkata pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang itu.

"Kami menghormati keputusan itu kerana ia adalah hasil mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 7 April lepas dan surat pekeliling mengenai larangan sudah dikeluarkan pada 3 Ogos lalu," katanya selepas menghadiri majlis Iftar Perdana Bersama Asnaf dan penyampaian bantuan Ramadan di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur malam semalam.

Berita Harian semalam melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengeluarkan larangan selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri itu kerana amalan berkenaan dikatakan bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.

Akhbar milik Umno itu juga memetik pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Datuk Abd Shukor Husin, berkata larangan itu ditakuti mendatangkan kesan kepada penyatuan Umat Islam di negara ini

Sebaliknya, kata beliau, larangan itu sebenarnya tidak perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, sebaliknya ditentukan mengikut budi bicara dan disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat.

"Sepatutnya tak payah keluarkan fatwa dulu, fatwa itu harus berhemah dan berhikmah, kena kaji sama ada tempat itu memerlukan larangan atau tidak, kerana bila sudah difatwakan ia akan menjadi isu yang boleh menjadi punca masyarakat Islam tidak bersatu.

"Contohnya satu kes masjid berdekatan dengan hospital, bila nak masuk waktu solat, imam baca al-Quran sehingga mengganggu pesakit, jadi mereka jumpa dengan mufti dan larangan itu boleh dipertimbangkan mengikut kawasan,” katanya dipetik Berita Harian. -mk

Setan Bertopeng Itu Bekas Suaminya

Angkara bekas suami

KUALA LUMPUR: Lelaki bertopeng yang merogol, menyamun dan menyimbah sejenis cecair ke atas seorang wanita ketika hendak berbuka puasa di Seksyen 2, Wangsa Maju di sini, dua hari lalu, disyaki bekas suami mangsa sendiri.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang dihubungi semalam berkata, bekas suami mangsa ditahan ketika menziarahi bekas isterinya itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa jam selepas kejadian.

Katanya, hasil soal siasat, lelaki itu mengaku melakukan perbuatan berkenaan dipercayai bermotifkan dendam akibat masalah rumah tangga mereka. Pasangan itu bercerai setahun lalu.

“Wanita berusia 32 tahun itu tinggal bersendirian dan ibu tunggal kepada tiga orang anak berusia tiga hingga 11 tahun yang berada dalam jagaan bekas suaminya.

“Siasatan lanjut ke atas cecair yang digunakan untuk menyimbah muka mangsa didapati sejenis bahan peluntur,” katanya.

Katanya, polis turut menjumpai rantai leher milik mangsa yang dicuri lelaki terbabit ketika dia ditahan.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang wanita yang baru pulang ke rumahnya selepas membeli juadah berbuka di bazar Ramadan di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, dirogol, disamun dan disimbah sejenis cecair oleh seorang lelaki bertopeng.

Difahamkan, sebaik tiba di rumah, mangsa membuka kunci pintu rumahnya tanpa menyedari seorang lelaki sudah menceroboh masuk dan bersembunyi.

Selepas meletakkan juadah berbuka di dapur, mangsa masuk ke bilik untuk menukar pakaian sementara menunggu waktu berbuka dan ketika itu lelaki terbabit yang bertopeng menghampiri mangsa dan merogolnya. Selepas ditinggalkan dalam keadaan kesakitan mangsa menjerit meminta pertolongan dan jeritannya didengari jiran yang kemudian membawanya ke HKL.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menemui mayat bayi lelaki yang tersangkut pada perangkap sampah di sungai berhampiran Kampung Puah Bahagia, di sini, kira-kira jam 4 petang semalam.

Menurut Zakaria, siasatan awal mendapati bayi lelaki itu dipercayai dibuang sebelum ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan.

“Polis belum mengenal pasti usia dan tempoh bayi terbabit dibuang dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. -hm


Setan Bertopeng : Samun, Perkosa & Simbah Asid Wanita Tunggu Berbuka!!

KUALA LUMPUR: Bukan saja dirogol dan disamun, malah wajahnya turut disimbah sejenis cecair dipercayai asid menyebabkan mangsa berdepan risiko kemungkinan buta dan kini terlantar menerima rawatan di hospital.

Itu nasib yang menimpa seorang wanita bujang dan tinggal bersendirian selepasnya rumahnya dicerobohi seorang penjenayah bertopeng, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 32 tahun baru pulang ke rumahnya di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, selepas membeli juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan berhampiran.

Menurut sumber polis, sebaik tiba di rumah, mangsa membuka kunci pintu rumahnya tanpa menyedari seorang lelaki menceroboh masuk dan bersembunyi.

“Selepas meletakkan juadah berbuka di dapur, mangsa masuk ke bilik untuk menukar pakaian sementara menunggu waktu berbuka dan ketika itu lelaki terbabit yang bertopeng menghampiri mangsa dan merogolnya,” katanya. -hm


Apabila Presiden GERAKAN Turut Panggil Zahrain "Katak"

Buktikan saya tidak lagi releven menerajui parti.

Cabaran itu dilontarkan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon terhadap pihak yang mengkritik kepimpinannya di Pulau Pinang, demikian lapor TV3 di dalam siaran berita utamanya malam tadi.

Presiden GERAKAN itu mendakwa beliau tahu siapa dalang yang disifatkannya "katak politik".

"Pada asalnya saya ingat tak perlu jawab sebab mereka ini katak, tapi sudah jadi satu pattern dan saya nampak corak dan kita memang tahu siapa jadi puppet master atau dalang di belakang. GERAKAN giving warning to this puppet master and all this puppet that if they continue to sabotage GERAKAN and sabotage Barisan Nasional expecially in Penang they will be held resposible."

Sidang medianya itu khusus bagi menjawab dakwaan beberapa pihak yang mempertikaikan reputasi serta kredibilitinya dalam meneraju BN Pulau Pinang.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang selama 18 tahun itu didakwa 'liabiliti' kepada parti.

Antaranya, bekas Naib Presiden GERAKAN, Huan Cheng Guan, ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim, ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang, Tan Sri Tan Kok Ping.

Bagi Tan Sri Koh, individu berkenaan 'buta' kerana tidak melihat perjuangan serta sumbangannya ketika menerajui Pulau Mutiara.

TAN SRI DR KOH TSU KOON/PRESIDEN GERAKAN:

"Over the last 18 years under me Penang has develop tremendously. Look at investment coming in, no doubt Chong Eu lay the foundation with RM4 bilion investment in the 80's and we manage to push RM20 bilion in the 90's and then RM40 bilion in years up 2000 late."

(Selama 18 tahun Pulau Pinang di bawah pentadbiran saya, Pulau Pinang sudah membangun dengan baik sekali, anda boleh lihat pelaburan berterusan. Tidak dinafikan asas pelaburan RM4 bilion diletakkan oleh (Tun) Lim Chong Eu pada 80an dan kami mampu untuk meningkatkan kepada RM20 bilion lagi pada 90an, kemudian RM40 bilion lagi pada akhir tahun 2000.)

Tumpuannya kini terarah kepada usaha memulihkan ekonomi dan memperbaiki sistem politik pada pilihanraya umum akan datang.

Namun, tegasnya, tidak akan berdiam diri dan membiarkan dirinya terus diserang.


Rakyat tidak mahu Tsu Koon

Kepemimpinan BN negeri perlu dirombak jika mahu rampas Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Rakyat Pulau Pinang mahu perubahan daripada kerajaan DAP, tetapi tidak ada pilihan kerana mereka juga tidak mahukan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon terus menerajui kepemimpinan negeri itu.

Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim berkata, Barisan Nasional (BN) perlu merombak kepemimpinan parti itu jika ingin merampas kembali Pulau Pinang daripada pembangkang termasuk menggantikan Tsu Koon yang ternyata sudah ditolak rakyat sejak pilihan raya umum 2008.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng akan merasa selesa dan tidak mempunyai saingan sekiranya Tsu Koon terus kekal menerajui BN negeri kerana bekas Ketua Menteri itu kini sudah tidak relevan dan hilang taring. - Zahrain Hashim, Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru. “Ketua Menteri, Lim Guan Eng akan merasa selesa dan tidak mempunyai saingan sekiranya Tsu Koon terus kekal menerajui BN negeri kerana bekas Ketua Menteri itu kini sudah tidak relevan dan hilang taring.

“Rakyat sedar dengan kepemimpinan Guan Eng yang dikatakan zalim, perkauman dan pembohong itu tapi mereka dalam dilema kerana yang mahu menggantikannya juga bermasalah, ” katanya kepada media di sini, semalam.

Tsu Koon yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menerima pelbagai kritikan kebelakangan ini kerana dianggap sebagai liabiliti kepada BN untuk merampas semula Pulau Pinang berikutan sentimen tidak berpuas hati terhadapnya semakin memuncak di kalangan rakyat negeri.

Zahrain berkata, BN mempunyai ramai pemimpin berkebolehan serta mempunyai faktor boleh menang dan mereka seharusnya diberi ruang bagi mengelakkan Guan Eng terus kekal serta membentuk dinasti pemerintahannya.

“Saya bercakap perkara ini sebagai seorang pemerhati dan melalui maklum balas rakyat di Pulau Pinang. Bagi saya, Tsu Koon sudah tidak laku.

“Tidak kira UMNO, MCA atau MIC untuk menggantinya, pokoknya mestilah seorang seorang pemimpin yang diterima rakyat,” katanya. -BH

Undi Pos Memang Talian Hayat UMNO BN

Bekas komando TUDM pula dedah penipuan undi pos

Butterworth: 12 Ogos: "Saya berani tanggung risiko kerana menegakan kebenaran. Buat apa takut untuk berhadapan dengan penipuan sebab merekalah yang sebenarnya patut malu kerana bertindak sebagai pengkhianat memangkah undi pos tanpa pengetahuan si pengundi," ujar pesara komando Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mohd Kamel Haji Omar yang berpangkalan di Butterworth.

Beliau ketika menceritakan detik-detik yang berlaku pada pilihan raya umum ke-10 iaitu tahun tsunami politik Malaysia 1999 menjelaskan, undi pos memang talian hayat Umno dan Barisan Nasional (BN) seandainya rakyat berpaling tadah tidak menyokong parti pemerintah.

Jelasnya, semua itu berlaku di hadapan matanya sendiri ketika diberikan amanah menjaga uncang undi pos sebelum dibawa ke tempat pengiraan.

Menurut Mohd Kamel (gambar), tidak dinafikan memang tiada penipuan ketika dihari pengundian secara pos kerana ada wakil parti yang bertanding tetapi ianya berlaku setelah uncang berkenaan dikumpul untuk dibawa di hari pengundian sesuatu pilihan raya sebenar.

"Di hari tersebutlah pegawai dan orang pangkat bawah bertungkus lumus buat kerja memangkah kertas undi yang tiada bertuan atau lebihan kertas undi kerana si pengundi berpindah tempat kerja atau tidak datang menunaikan amanah kepada negara," tambahnya.

Contohnya, kata beliau satu uncang itu patut diisi 1,500 pengundi pos tetapi yang datang mengundi sekitar 1,000 orang sahaja. Maka, lebihan 500 undi lagi dipangkah oleh individu lain.

Beliau terkejut apabila melihatnya sendiri setelah kembali dari tugasan mengambil uncang undi pos daripada pasukan lain seperti tentera laut dan darat di sebelah pulau untuk dikumpul di pangkalan TUDM, Butterworth. -HD


Ulasan GB

Senang cakap, memang UMNO BN - SPR itu penipulah!

Dan setiap kemenangan yang diasaskan dengan penipuan itu tiada berkatnya dan adalah kemenangan yang rapuh. UMNO BN hancur selepas ini. Satu dunia akan saksikannya.

Khalid Abu Bakar, Timb IGP Wajar Ditempelak Kerana "Jahil"

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyifatkan tindakan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar menyamakan rusuhan di Britain dengan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu sebagai "jahil."

Beliau yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, rusuhan yang berlaku di Britain disebabkan oleh masalah yang berlaku di negara itu dan ia tidak boleh disamakan dengan perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di ibu negara baru-baru ini.

"Pada saya apa yang dikatakan itu menunjukkan kejahilan yang ada pada Timbalan Ketua Polis Negara yang mana beliau tidak faham apa yang berlaku di sana (Britain) dan ia tidak boleh disamakan dengan demonstrasi Bersih 2.0.

"Kalau kita lihat rusuhan yang berlaku di Britain disebabkan masalah ketiadaan peluang pekerjaan yang mana ramai yang menganggur, namun ia tidak terjadi di Malaysia di mana kita masih banyak peluang pekerjaan," katanya.

Malah Nurul Izzah turut menyelar kenyataan yang dikeluarkan Khalid dan didakwa ia adalah sangat tidak bertanggungjawab.

"Himpunan Bersih 2.0 adalah untuk menuntut reformasi pilihan raya, ia bukan rusuhan dan apa yang dikatakan Timbalan Ketua Polis itu sangat tidak bertanggungjawab.

"Beliau tidak boleh bandingkan rusuhan dengan demonstrasi, saya terkejut apabila beliau berkata demikian... inilah masalah kalau ikut telunjuk politik," katanya.

Semalam Khalid menerusi laman sosial Facebooknya berkata, rusuhan-rusuhan yang berlaku di Britain dan bandar-bandar utama lain adalah satu "mimpi ngeri" sekiranya polis tidak dapat menghalang demonstrasi jalanan.

Jelas beliau, walaupun terpaksa menyuaraikan Himpunan Bersih 2.0 dengan gas pemedih mata dan meriam air namun apa yang penting polis berjaya mengelak insiden-insiden yang tidak diingini.

"Ia adalah mimpi ngeri, sebab itu kita menghalang demonstrasi jalanan. Ia sepatutnya dihalang untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini," katanya.

Rusuhan terburuk di Britain dalam tempoh puluhan tahun berlarutan ke hari keempat hari ini apabila gerombolan pemuda mengganas di Manchester dan kawasan perindustrian tengah England tetapi keadaan di London agak tenang selepas 16,000 anggota polis dikerahkan untuk membendung keganasan.

Di Manchester, perusuh memecah masuk dan mencuri barang kedai serta menghalau jurugambar dari tempat kejadian dalam keganasan terburuk di bandar raya ketiga terbesar di Britain itu dalam tempoh 30 tahun. -TMI



Ulasan GB

Rasanya dah betul ler tu apa yang dikatakan oleh YB Nurul Izzah.

Di London, apa yang berlaku ialah rusuhan.

Di Kuala Lumpur, apa yang berlaku ialah perhimpunan aman.

Yang merusuh semasa 9 Julai lalu bukannya mereka yang berhimpun tetapi pihak polis yang melakukan "rusuhan", "keganasan" dan "kekejaman". Satu dunia tahu. Al-Jazeera turut melaporkan begitu.

Yang melakukan kerosakan dan keganasan di London pula ialah para perusuh itu - di Kuala Lumpur ada bezanya - siapa yang melakukan kerosakan dan keganasan? Jawablah!


Demi Pertahankan Kuasa, UMNO BN Sanggup Jual Negara

Tindakan kerajaan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendedahkan pihak mereka telah mendaftar hampir 100,000 warga asing sebagai warga negara segaligus sebagai pengundi merupakan tindakan bahaya kerana menjual negara sendiri.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, berkata kerana ingin kekal memerintah negara, kerajaan sanggup berbuat demikian melalui JPN.

Menurutnya, warga asing yang datang ke negara ini berbagai jenis serta latarbelakang hidup yang berbeza.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung SPR dan JPN yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berikutan pelbagai pendedahan dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat di seluruh negara berhubung pendaftaran warga asing sebagai pengundi, pertindihan kad pengenalan dan berbagai lagi.

“Kalau di Singapura, kerajaan negara itu menapis terlebih dahulu mengikut kehebatan mereka khususnya dari golongan professional contohnya sebagai ahli sukan.

“Namun ianya berbeza di negara kita ni semuanya pakai ambil tangkap muat saja tanpa mengenali status individu warga asing terbabit asalkan boleh jadi pengundi pada mereka,”ujarnya .

Tegasnya, kenapa tiba-tiba sahaja mereka telah difaftarkan sebagai warga negara dan terus sebagai pengundi sekiranya tidak ada pihak tertentu mengaturkan usaha itu.

Menurut Husam, mereka hanya berminat untuk menjadi warga Negara dan bukannya sebagai pengundi, tetapi tiba-tiba pula mereka didaftarkan sebagai pemilih.

Menurutnya lagi, hasil maklumat yang diperolehi pihak tertentu menemui warga asing dari negara Bangladesh, China dan sebagainya dengan membawa borang untuk diisi sebagai warganegara tanpa menyelidiki latarbelakang golongan itu sama ada penjenayah atau sebaliknya.

Beliau menambah, konspirasi itu begitu membahayakan negara ini kerana ianya boleh mengancam keselamatan dan kestabilan negara pada masa akan datang.

Sehubungan itu parti-parti politik khususnya dari Pakatan Rakyat perlu merangka gerakerja yang lebih terkehadapan bagi menangani perkara ini
.

“Ianya tidak begitu sukar memandangkan JPN sendiri telah mengakuinya sebelum ini berhubung pendaftaran terbabit,”ujarnya.

Beliau juga turut melahirkan dukacita di atas kegagalan JPN membuat kenyataan berhubung jumlah warga asing mengikut negara di samping tempoh permohonan sebagai pemilih sebelum ianya disahkan.

Katanya rakyat Malaysia perlu membuat bantahan berhubung perkara itu kerana ianya merupakan tindakan bahaya.