27 Okt 2011

Mahkamah Tolak Rayuan Timb Speaker Perak, Yit Foong, Si Penyembur Lada

Timbalan Speaker Perak Datuk Hee Yit Foong Khamis gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan saman berhubung kes botol penyembur serbuk lada semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak, pada 7 Mei, 2009.

Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie menolak rayuan Hee terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman yang difailkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Aulong Yew Tian Hoe terhadap Hee.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Sulong berkata tiada sebab bagi mahkamah untuk meminda keputusan Mahkamah Tinggi memandangkan Pesuruhjaya Kehakiman telah membuat keputusan berdasarkan keterangan yang dikemukakan di hadapan beliau.

Mahkamah turut mengekalkan keputusan yang dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Tarmizi Abd Rahman pada 14 Jun tahun ini, yang membenarkan permohonan injunksi Yew untuk menghalang Hee daripada melakukan salahguna atau serangan terhadapnya di masa depan.

Hakim Sulong yang bersidang bersama Hakim-Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Clement Allan Skinner, bagaimanapun, membenarkan rayuan balas Yew terhadap Mahkamah Tinggi yang tidak membuat sebarang keputusan mengenai ganti rugi yang dituntut beliau dalam saman itu.

Mahkamah Rayuan membenarkan bayaran RM100 sebagai ganti rugi nominal kepada Yew. Mahkamah turut memerintahkan Hee membayar kos RM20,000 kepada Yew.

Pada 26 Jun, 2009, Yew memfailkan saman terhadap Hee selepas Hee mengugut dan menyerang beiau dengan botol penyembur serbuk lada di muka terutamanya di mata kiri semasa mereka menghadiri perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Perak, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh, pada 7 Mei, 2009.


Beliau berkata insiden itu berlaku di hadapan anggota DUN yang lain, dan akibatnya beliau mengalami kesakitan dan kecederaan di mata kiri, kekejutan gelisah dan kesengsaraan mental, kejatuhan harga diri, penghinaan, kerugian maruah dan gangguan mental.

Dalam pernyataan tuntutannya, Yew turut mendakwa Hew adalah seorang yang tidak menyesal dan berbohong kepada media dengan mengatakan botol penyembur lada itu adalah rantai kunci hotel atau pemacu cakera padat mudah alih (pen drive) sebelum mengakui bahawa alat itu sebenarnya botol penyembur serbuk lada.

Beliau berkata Hew enggan dan gagal meminta maaf walaupun diberi peluang dan beliau mendakwa kelakuan defendan itu berniat jahat serta zalim.

Beliau membuat laporan polis berhubung insiden itu di balai polis Taiping.

Antara lain, beliau memohon ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan selain kos, faedah dan relif lain yang ditentukan wajar oleh mahkamah, serta injuksi untuk menghalang Hee atau pekerja atau ejennya daripada melakukan salahguna, ancaman atau serangan terhadapnya dengan apa juga cara sekalipun. -- BERNAMA

Laporan Audit: Hasil Kedah Meningkat 23.9%, Surplus Sebanyak RM22.50 juta

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) amat berbangga dengan Laporan Ketua Audit Negara bagi penyata kewangan Kerajaan Negeri Kedah untuk tahun 2010.

Ketua Penerangannya, Mohd Nasir Zakaria berkata, walaupun Ketua Audit Negara mengatakan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Kedah memuaskan, namun bagi DPPNK, dengan usia 'setahun jagung' iaitu baru tiga tahun memerintah, pencapaian tersebut adalah sangat cemerlang.

Katanya, berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan; pengalaman pentadbiran, kewangan, penyaluran peruntukan kerajaan pusat yang tidak melalui negeri, Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak terus melangkah gagah.

“DPPNK mempunyai alasan kukuh untuk terus mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Padang Terap menggariskan tujuh sebab dan berbangga dengan kejayaan itu.

Pertama, katanya Kerajaan Negeri Kedah telah mengalami peningkatan hasil sejumlah 23.9 peratus atau RM87.94 juta pada tahun 2010 berbanding peningkatan perbelanjaan mengurus RM2.55 juta atau RM 0.6 peratus.

Hasil kerajaan negeri pada tahun 2010 berjumlah RM456.21 juta berbanding 2009 sebanyak RM368.27 juta.

“Pencapaian ini adalah yang terbaik di dalam masa 5 tahun,” katanya lagi.

Kedua, ujarnya Kerajaan Negeri Kedah telah mencatatkan surplus atau lebihan pada tahun 2010 berjumlah RM22.50 juta yang mana peningkatan itu sangat ketara dan sangat membanggakan.

Katanya, ia adalah defisit tertinggi dalam masa 5 tahun dan merupakan surplus kali kedua dalam tempoh tersebut, berbanding dengan defisit tahun 2009 yang berjumlah RM62.89 juta, ia menjadikan peningkatan sejumlah RM85.39 juta iaitu sebanyak 135.8 peratus.

Selain itu, katanya Ketua Audit Negara juga telah memperakui pengurusan kewangan di Jabatan/Agensi Negeri telah bertambah baik berbanding 2009.

Menurutnya, pihak Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan pengurusan kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti di 17 Jabatan/Agensi Negeri.

Justeru, beliau mengucapkan tahniah kepada para pegawai kerajaan negeri.

Beliau menambah, laporan itu telah memperakui peningkatan penerimaan hasil cukai tanah sebanyak RM18.69 juta iaitu peningkatan sebanyak 21.9 peratus yang mana kerajaan negeri telah berjaya mengutip RM104.06 juta berbanding 2009 hanya RM85.37 juta.

“Walaupun dasar kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang menurunkan cukai sebanyak 25 hingga 75 peratus di awal usia pemerintahan, namun bagi DPPNK telah berlaku kecekapan di dalam kutipan hasil tanah walaupun berlaku penurunan selama dua tahun berturut-turut. Kutipan ini adalah yang kedua tertinggi di dalam tempoh 5 tahun,” ujarnya lagi

Kelima, katanya peningkatan ketara iaitu 125.2 peratus atau RM19.71 juta juga berlaku dalam pungutan tunggakan cukai tanah.

Menurutnya, hasil kutipan berjumlah RM35.45 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya RM15.74 juta di mana kutipan itu adalah tertinggi dalam masa 5 tahun.

Sekali lagi, ujarnya premium hutan berjaya ditingkatkan oleh Kerajaan Negeri Kedah di mana peningkatan sejumlah 46.9 peratus atau RM15.49 juta, berbanding tahun 2009 sebanyak RM33.05 juta, kerajaan berjaya memungut RM48.54 juta.

Jelasnya, jumlah itu juga adalah yang tertinggi dalam masa 5 tahun.

“Sebagai catatan juga peningkatan jika dibandingkan dengan tahun 2007, hampir 400 peratus,” katanya lagi.

Tambahnya, yang ketujuh ialah kerajaan negeri juga berjaya membuat kutipan premium tanah tertinggi dalam masa 5 tahun terakhir, berbanding tahun 2009 iaitu sebanyak RM26.63 juta, sebanyak RM58.12 juta atau peningkatan sebanyak 118.3 peratus.

Katanya, DPPNK berpandangan bahawa dengan laporan itu, Ketua Audit Negara terus memperakui keupayaan pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Ini membuktikan secara fakta bahawa segala tohmahan bahkan keraguan yang ditimbulkan oleh golongan yang berkepentingan adalah tidak berasas,” ujarnya.

Tegasnya, DPPNK akan terus bekerja keras bagi terus mempertahankan dan mengajak seluruh rakyat terus menyokong dan mendokong pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

“Di sebalik segala kepincangan Laporan Ketua Audit Negara terhadap Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional, DPPNK menyeru seluruh rakyat Negeri Kedah untuk membuat perbandingan dan membuat pilihan yang tepat,” ujarnya lagi.


Obama Kurang Senang Layanan Buruk Ke Atas Mayat Gaddafi

Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) - Presiden AS, Barack Obama (gambar kecil) kelmarin memberi ulasan mengenai kematian berdarah bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dengan menyatakan orang mati wajar dilayan dengan sopan walaupun ketika hidupnya dia telah melakukan perkara-perkara yang buruk.

Gaddafi dikebumikan di sebuah lokasi rahsia di gurun Sahara kelmarin, lima hari selepas dia ditangkap, dibunuh dengan jenazahnya dijadikan pameran.

Beberapa klip video menunjukkan bekas pemimpin Libya berusia 69 tahun itu dicaci, dipukul dan didera sebelum dia meninggal dunia.

"Layanan terhadap Gaddafi dan jenazahnya bukan sesuatu yang menggembirakan kita," kata Obama ketika ditanya mengenai perasaannya berhubung penyiaran klip-klip video terbabit dalam rancangan bual bicara Tonight Show terbitan NBC yang dihoskan oleh Jay Leno.

"Saya fikir anda perlu melayan orang mati dengan tertib walaupun dia melakukan perkara yang teruk semasa hidupnya," tambah Obama.

Obama memberitahu, pentadbirannya tidak menyiarkan satu pun gambar bekas pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden yang mati ditembak komando AS pada Mei lalu. - Reuters

Warga kota Misrata menyambut kematian bekas pemimpin mereka

Perdana Menteri Dewan Peralihan Libya Mahmoud Jibril mengatakan bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi tewas dalam penyerangan di Sirte, kota kelahirannya Khamis minggu lepas (20/10).

Dalam serangan yang dilancarkan pasukan Dewan Peralihan Nasional Libya dengan bantuan pasukan NATO itu Kolonel Gaddafi mengalami luka disebabkan tembakan antara lain pada kedua kakinya. Sejumlah saluran televisi menayangkan gambar mayat yang telah ditelanjangi dan diseret di jalan.

Rakyat Libya turun ke jalanraya merayakan bertia yang telah lama ditunggu-tunggu itu.

Selama 42 tahun kepemimpinannya, Muammar Gaddafi dicap sebagai diktator dan penipu oleh Barat antara lain kerana dia mentadbirkan negaranya dengan tekanan dan menolak melakukan rombakan kepemimpinan.

Namun Kolonel Gaddafi juga dikenal sebagai tokoh karismatik, paling tidak di mata sebahagian masyarakat Arab terkait keberaniannya melawan tekanan Barat dan kekuasaan Israel.

Bagaimana pendapat anda tentang kematian Gaddafi dan perlakuan yang diberikan kepada mantan pemimpin Libya tersebut?

Patutkah jenazah seorang bekas kepala negara ditelanjangkan dan diseret meskipun dia dituding diktator dan membohongi rakyatnya sendiri?

Bagaimana sebaiknya sikap rakyat terhadap kematian bekas pemimpin mereka di tengah pergolakan politik?

Berikut sebagian pendapat yang telah kami terima:

"Tidak sepatutnya seseorang diperlakukan seperti itu walaupun orang tersebut adalah pencuri, pezina ataupun penjahat lainnya. Ada batasan-batasan yang seharusnya difahami oleh rakyat Libya. Namun kemarahan rakyat Libya sudah membutakan hati nurani mereka sehingga hal ini membuat tidak ada perbezaan antara Gaddafi dengan rakyatnya." P. Ninggariawan, Lampung.

"Kasihan gerakan pembangkang yang telah dibius oleh Barat sebagai bangsa pendendam sehingga telah berbuat sadis dan tidak beradab. Semestinya ada di antara mereka yang cerdas dan mengingatkan untuk tidak sampai memperlakukan demikian, walau bagaimana semestinya ia belajar dari Mesir ketika memperlakukan Husni Mubarak yang akhirnya diadili walau bagi Gaddafi harus berakhir di tiang gantungan tapi pengadilan berikan kewenangannya." Mahmud Yunus, Majalengka.

"Terlepas dari semua kesalahannya, Kolonel Gaddafi adalah patriotis sejati, hanya saja kaum zionis, Amerika dan sekutu serta pendokongnya iri dan dengki padanya." Ali Imron, Jambi.

"Biarpun Kolonel Gaddafi adalah penjahat perang, dia berhak mendapatkan pengadilan. Masyarakat antarabangsa patut menekan pemerintah Libya untuk menyiasat kematian Gaddafi." Heru, Gorontalo.

"Menurut saya perlakuan tersebut tidak selayaknya dilakukan kerana sangat tidak manusiawi" Aji Supriyatna

"Kita kehilangan lagi seorang pemimpin yang berani melawan Barat, walaupun bagaimana almarhum seorang pemimpin Arab yang mengangkat harga diri bangsa Arab." Zahirudin Saragih, Medan.

"Kematian Gaddafi bagi saya mungkin memang menunggu waktu sejak dimulainya serangan atas Libya tahun ini, namun yang saya sedih adalah perlakuan rakyat terhadap mayat Gaddafi yang menyeret dan membogelkannya, meskipun rakyat kecewa dengan cara kepemimpinan Gaddafi, namun menurut saya apa yang dilakukan rakyat atas jenazah Gaddafi tersebut kurang lebih sama dengan apa yang mereka protes dari kepemimpinan Gaddafi beberapa dekad sebelumnya." Syarifuddin, Jakarta.

"Sebagai bekas presiden walaupun dicap diktator sepatutnya diperlakukan dengan baik sebagai manusia biasa sebab dia juga mantan presiden yang pernah memimpin Libya." Nyoman, Bandung.

"Kalau menurut saya tidak sewajarnya seorang kolonel diperlakukan semena-mena bagaimanapun dia telah memimpin Libya selama 42 tahun. Dia digulingkan kerana negara-negara Barat merasa iri seperti USA & Britain, Israel...harusnya rakyat itu malu." Nanabella, Batam.

"Biadab, bagaimanapun ia adalah seorang peminpin negara yang telah banyak berkorban demi bangsa dan rakyatnya. Inikah perlakuan terhadap pimpinan sebuah negara yang berdaulat? Dimana perasaan para peminpin dunia Arab? Bagaimana kalau ini menimpa pada anda wahai para pemimpin Arab! Dimana rasa solidaritas kearabannya? Semoga ini menjadi titik balik pergerakan dunia-dunia Arab melawan penjajahan Barat dan timbulnya kembali patriotisme dunia Arab." Gulamuh, Cirebon.

"Pemimpin revolusioner Muammar Gaddafi...terlepas dari keburukan tapi tetap ada kebaikan & kepahlawanannya bagi bangsanya sendiri...seharusnya rakyat/pemberontak Libya harus tetap menghormati & merawat jenazahnya dengan baik sesuai dengan syariat Islam kerana sesama Muslim sesama saudara." M Iqbal Yusuf, Kelantan.

"Menurut saya perlakuan tersebut tidak selayaknya dilakukan karena sangat tidak manusiawi. Bagaimanapun dia adalah bekas seorang pemimpin yang tidak selamanya salah, tetapi kita harus mengingat jasa-jasanya. Jangan hanya karena kesalahanya sedikit, kita melupakan semua kebaikannya." Aji Supriyatna, Way Kanan.

"Menurut saya biar bagaimanapun dia juga adalah orang Libya dan pemimpin orang-orang, namanya manusia mungkin dia melakukan hal yang tidak baik tapi ada baiknya juga, dan kubur lah mayatnya dengan baik kerana dia bukanlah pemberontak." Edizo, NTT.

"Sungguh menyedihkan dan kejam....mereka seolah-olah menganggap Kolonel Muammar Gadaffi binatang. Benar-benar mereka tak punya hati nurani." Mutia Mahmudah, Hongkong. -BBC


Ulasan GB

Obama yang bukan Islam sendiri tidak merasa gembira dengan perbuatan mereka yang mencaci, memukul dan mendera Gaddafi, tiba-tiba ada umat Islam sendiri yang gembira dengan keadaan sedemikian malah ada yang menerbitkan tulisan-tulisan yang memburuk-burukkan Gaddafi yang telah mati, sehingga ke tahap menuduh Gaddafi sebagai seorang anak haram.

Kita mungkin tidak dapat menerima apa bentuk kezaliman sekalipun tetapi terhadap mayat, terhadap orang yang telah mati, antara adabnya ialah kita dilarang mencela orang yang telah mati. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

"Janganlah kamu mencela mayat kerana sesungguhnya mereka telah mempersembahkan apa yang telah mereka lakukan." (Hadis sahih riwayat al-Bukhari).

Larangan mencela mayat juga meliputi larangan mencela mayat orang-orang kafir seperti Nabi SAW melarang para sahabat mencela mayat tentera-tentera musyrikin dalam peperangan Badar disebabkan mengelakkan diri dari menyakiti orang-orang yang masih hidup dalam kalangan saudara-saudara mereka yang Muslim.

Rasulullah SAW melarang celaan kepada tentera-tentera musyrikin yang terbunuh dalam peperangan Badar.

Baginda SAW bersabda: Janganlah kamu mencela mereka kerana celaan kamu itu tidak sampai kepada mereka sebaliknya akan menyakitkan orang-orang yang masih hidup. Yang pastinya perkataan celaan kamu itu adalah satu kehinaan". (Hadis mursal sahih Al-Isnad dari kitab Umdah al-Qari).

Ada sebuah komentar dari seorang Anonymous di blog GB ini untuk renungan

banyak dalam tulisan mengkritik Gaddafi itu pun karut. Dikatakan Gaddafi anak haram. Agaknya penulisnya dan para penyokong penulis itu wujud ker masa Gaddafi dilahirkan sampai tahu dia anak haram?

NATO sudah berjaya memperalatkan (sebahagian) rakyat Libya ... untuk menyokongnya menumbangkan Gaddafi. Lalu disuruhnya budak berusia 17 tahun membunuh Gaddafi. Sebab (mereka tahu) budak 17 tahun tidak dikenakan sebarang pendakwaan. NATO boleh cuci tangan.

Lepas tu suruh mufti "besar" libya buat fatwa Gaddafi sudah kafir dan tak perlu solat jenazah.

Dedahkan mayat itu kepada orang ramai, usah kebumikan cepat-cepat biar sampai mayatnya busuk dan berulat.

Begitukah tabiat umat islam yang baik?


Kes Mata Lebam Timbul Semula Setelah Rahim Noor Cuba Dijulang Perkasa

Kes mata lebam: Mat Zain dakwa Najib tahu salah laku Gani Patail

Datuk Seri Najib Razak pernah mengatakan Tan Sri Abdul Gani Patail tidak wajar terlibat dalam kerja memalsukan bukti dalam siasatan kes mata lebam 1998 Datuk Seri Anwar Ibrahim, demikian menurut seorang bekas pegawai kanan polis yang mendakwa bertemu secara peribadi dengannya pada Oktober 2008.

Ketika itu Najib merupakan timbalan perdana menteri dan menjadi perdana menteri pada April 2009.

Datuk Mat Zain Ibrahim, yang sedang menggerakkan kempen seorang diri untuk mengalihkan peguam negara itu berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Najib untuk membincangkan dakwaan pembabitan Abdul Gani dan juga Ketua Polis Negara masa itu Tan Sri Musa Hassan.

“Komen YAB terhadap Gani Patail antara lainnya, ‘memang salah untuk memalsukan keterangan. Walaupun boleh jadi tujuan Gani adalah untuk menolong IGP’ (merujuk kepada bekas ketua polis negara, Tan Sri Rahim Noor), membuat keterangan palsu, adalah suatu kesalahan dan tidak patut dia lakukan,” kata Mat Zain dengan merujuk kepada apa yang diperkatakan oleh Najib pada pertemuan mereka.

Rahim digantikan oleh Tan Sri Norian Mai dan kemudian oleh Musa sebagai ketua polis negara.

Mat Zain seterusnya menulis, “komen terhadap Musa Hassan pula, YAB menyatakan antara lainnya, ‘saya mendapat tahu peranan Musa tidaklah seteruk Gani. Saya rasa beliau (Musa) boleh melepaskan diri.”

Mat Zain mengatakan demikian dalam surat terbuka kepada Najib.

Dalam surat terbuka itu, Mat Zain menambah, “selanjutnya YAB telah memberi jaminan akan membincangkan perkara pelantikkan panel bebas dengan Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu) oleh kerana YAB mengatakan tidak tahu-menahu mengenai pelantikkan panel ini, jika saya tidak maklumkan pada hari tersebut . . .”

Mat Zain merupakan pegawai yang bertanggungjawab menyiasat Rahim berhubung kejadian mata lebam membabitkan Anwar ketika bekas timbalan perdana menteri itu ditahan pada September 1998.

Rahim kemudian mengaku mencederakan Anwar, kini Ketua Pembangkang dan Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Mat Zain sebelum ini mendakwa Abdul Gani, yang mengetuai pendakwaan kes liwat dan rasuah ke atas Anwar sebelum ini dan Musa, telah mereka bukti dalam kes mata lebam.

Dalam suratnya bertarikh 20 Oktober, Mat Zain berkata, sebagai menunaikan permintaan Najib beliau telah memberi taklimat berkaitan dakwaan pemalsuan keterangan dalam insiden mata lebam, di pejabat Menteri Kewangan pada 23 Oktober 2008, lebih kurang pukul 10.30 pagi.

“Saya percaya butir taklimat saya adalah tidak penting lagi. Perkara yang ingin saya ketengahkan ialah komen YAB sendiri terhadap kedua-dua Gani dan Musa dalam perkara ini,” katanya.

Kata Mat Zain, seterusnya Najib turut memperakukan bahawa dakwaan terhadap Abdul Gani akan dibawa berbincang dengan penasihat-penasihatnya untuk meneliti implikasi tindakan jika diambil ke atas beliau kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kes liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kes liwat Saiful merupakan yang kedua membabitkan Anwar dan sedang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“YAB sendiri secara sepintas lalu telah menyatakan keterangan dalam kes Saiful adalah 'bagus'... saya tidak sedikit pun membangkitkan kes ini semasa perbincangan.

“Saya ambil komen-komen sedemikian itu sebagai bermaksud YAB mempunyai maklumat yang mustahak mengenai hubungkait Gani Patail dengan kes liwat kedua serta mengetahui keterangan-keterangan penting dalam kes tersebut,” kata bekas pegawai polis kanan ini.

Mat Zain juga menulis bahawa beliau sedar tidak layak untuk menegur seorang perdana menteri dalam apa hal jua pun.

“Namun sebagai seorang rakyat, saya mempunyai hak untuk memberikan pendapat saya berdasarkan dari peristiwa yang saya sendiri tempuhi dan tahu serta yakin sebagai benar.

“Bukan sahaja undang-undang negara mewajibkan saya untuk bercakap benar, malah ,Islam juga mewajibkan saya menjadi seorang saksi yang bercakap benar walaupun terhadap kedua ibu dan bapa saya.”

“Saya menyatakan bahawa YAB Datuk Seri telah bertindak secara tidak adil, kepada rakyat jelata dan kakitangan awam, dalam penguatkuasaan keadilan awam.

“Walhal YAB sendiri yang telah beberapa kali berjanji kepada rakyat akan mempastikan undang-undang dilaksanakan mengikut keluhuran undang-undang,” katanya lagi.

Mat Zain menegaskan apabila tiba kepada giliran untuk mengambil tindakan terhadap Abdul Gani sendiri, pendirian Najib menjadi “lemah dan lesu seperti tidak bermaya.”

“Walhal YAB dan seluruh Kabinet sedar, beliau telah melakukan, penipuan, pemalsuan, salah guna kuasa, rasuah serta termasuk menyembunyikan keterangan untuk mengelirukan Kabinet.

“Lebih menyedihkan, YAB dilihat sebagai terpaksa membiarkan sahaja dan merestui tindakan pihak tertentu, memanipulasikan fakta dan keterangan, bagi mengelirukan dan mengabui mata rakyat untuk menyelamatkan Gani daripada dikenakan hukuman undang-undang,” katanya lagi. -TMI


Bekas IGP: Awas gelombang hak asasi

Bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor hari ini memberi amaran berhubung kebangkitan gelombang hak asasi manusia yang dibimbanginya akan "merombak dan menghakis dasar yang dipersetujui bersama."

Katanya, penyokong kepada "agama baru human right" ini akan mengemukakan pandangan yang liberal sehingga mempersoalkan institusi raja.

"Banyak yang persoal hal-hal yang telah diterima, kontrak sosial ini, seolah-olah dia pandang remeh soal yang dipersetujui itu," tambahnya.

Katanya, Malaysia tidak dapat mengelak daripada menghadapi gelombang ini, seperti juga pengalamannya ketika berdepan dengan gelombang Marxist dan komunisme sebelum ini.

Satu contoh yang dapat dilihat dalam kebangkitan gelombang hak asasi manusia ini ialah gerakan BERSIH yang mengadakan perhimpunan kedua pada 9 Julai lalu, dakwa Rahim.

Beliau yang juga bekas pengarah cawangan khas PDRM juga berkata, satu-satunya cara untuk menghadapi perkembangan itu adalah dengan memainkan peranan untuk kesepaduan dan perpaduan Melayu.

"Saya bukan bercakap kerana mewakili Umno atau PERKASA... Pada saya, bersatulah. Inilah yang jadi teras keamanan," katanya lagi dalam ucapannya ketika merasmikan perhimpunan agung PERKASA di Setiawangsa hari ini.

Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, ahli parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin dan seorang lagi bekas menteri kabinet Datuk Khalid Yunus.

Selain itu, ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak dan juga ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah turut hadir di perhimpunan berkenaan. -mk



Ulasan GB

Perlu apa Tan Sri Rahim Noor ini dijulang semula? Sedangkan beliau adalah "penjenayah" yang telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana memukul bekas Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam keadaan matanya tertutup pada 20 September 1998 ketika berada dalam tahanan polis di lokap polis Bukit Aman.

Rahim telah dijatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Mac 2000. Rayuannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Disember 2000 dan hukuman penjara dua bulan dikekalkan.

Statusnya sebagai bekas banduan jenayah akan tetap terpahat di dalam sejarah negara. Lagi mahu tunjuk temberang dan lagak dengan rakyat jelata.

Al-kisah, Ada Premis Tawar "Urut Batin" Di Subang Jaya

Helah premis tawar urutan batin terbongkar

SUBANG JAYA – Seorang lelaki yang hanya menutupi alat sulitnya dengan tuala ketika menikmati urutan gadis genit di sebuah premis di SS14, dekat sini kelam-kabut mengenakan pakaian sebaik menyedari premis terbabit diserbu pihak berkuasa lewat petang kelmarin.

Dia sebelum itu dipercayai mendapatkan khidmat urutan batin ditawarkan pengusaha rumah urut terbabit dengan bayaran antara RM50 hingga RM100 mengikut pakej diambil.

Bagaimanapun, tempoh kenikmatan diurut gadis berusia lingkungan 20-an itu tidak lama apabila dia bersama tukang urut berkenaan dicekup anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dalam serbuan diketuai Pegawai Penguat kuasa MPSJ, Mazrul Zahar Mohd bersama 19 orang anggota MPSJ dan 11 anggota Jais itu, empat lagi tukang urut wanita termasuk pemilik premis beragama Islam ditahan.

Jurucakap Jabatan Penguatkuasaan MPSJ berkata, pihaknya menerima aduan berhubung aktiviti tidak bermoral yang dijalankan di premis berkenaan sebelum ini. Hasil siasatan ke atas premis mendapati terdapat empat pekerja wanita beragama Islam bekerja sebagai tukang urut.

“Pemeriksaan mendapati premis tersebut mempunyai lesen yang sah daripada MPSJ, tetapi pengusaha melanggar syarat-syarat lesen pusat kecantikan dan kesihatan yang dikeluarkan majlis dengan menawarkan khidmat urutan batin kepada pelanggan.

“Pengusaha premis dikenakan tindakan di bawah Undang-undang Kecil 13(k) Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Kesihatan MPSJ 2007 kerana melanggar syarat-syarat lesen dengan menjalankan perniagaan tidak mengikut sekatan lesen yang dikeluarkan MPSJ,” katanya pemilik berdepan tindakan denda maksimum sebanyak RM 1,000.

Beliau berkata, tindakan sitaan dan penutupan premis dikenakan ke atas premis tersebut. Manakala kesemua tukang urut wanita yang bekerja di premis diserahkan kepada Jais dan bakal dikenakan tindakan di bawah seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana cubaan berkhalwat.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM3,000 setiap seorang,” katanya.

Ulasan GB

Ada "urut batin" yang macamtu pulak. Nama wangi untuk urut "syahwat" rupa-rupanya.

Sedangkan batin (roh) yang menderita adalah kerana hati yang zulmat (hitam - penuh dosa) yang perlukan penyucian "zikrullah", bukan dengan kaedah songsang dalam agama yang akan lebih menjauhkan seseorang dari Penciptanya lantaran maksiat. Tak takut api nerakakah? Allah dah turunkan pelbagai pengajaran untuk manusia, seperti kereta terbakar, rumah terbakar dan seumpamanya, tak ambil pelajarankah dari itu semua? Benarlah ayat Al-Quran menyatakan "manusia itu maha zalim lagi maha jahil!".


Cegah Murtad: Mantapkan Aqidah, Bukan Himpunan! - Prsiden PAS

PAS secara konsisten berpendirian bahawa kedah mencegah murtad adalah dengan cara memantapkan aqidah umat Islam itu sendiri seperti konsep yang ditunjukkan oleh al-quran dan Rasulullah S.A.W.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pendekatan hujah dengan ilmu dan perlaksanaan syariat yang tegas dan adil serta menghukum penganut Islam dan menyampaikan dakwah kepada pihak lain tanpa paksaan adalah kaedah lebih lunak mencegah gejala tersebut.

"PAS memilih uslub menyampaikan mesej Islam dengan konsep yang ditunjukkan oleh Al Quran dan Rasulullah S.A.W. dengan cara memantapkan aqidah umat Islam sendiri secara istiqamah yang menghalang murtad dengan ilmu dan syariat yang tegas dan adil, menghukum penganut Islam, dan menyampaikan dakwah kepada pihak lain tanpa paksaan dengan uslub hiwar antara agama dan tamadun, serta berhujah dengan ilmu dan amal Islam yang adil dan sempurna," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian dipercayai sebagai mengulas pendekatan pihak tertentu yang menganjurkan Himpunan Sejuta Umat (Himpun) baru-baru ini bagi membantah usaha kristianisasi umat Islam.

Bagi PAS, kata Tuan Guru Abdul Hadi, pendekatan berhimpun tersebut ibarat "cuba menangkap segelintir pencuri yang ada bersama dalam himpunan tersebut".

Selain itu beliau mempersoal, jika perhimpunan itu satu bantahan, kepada siapa ianya dituju, dan apakah kesannya.

"Satu himpunan besar dikerah bagi menangani gejala murtad yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia. Kepada siapa ditujukan sekiranya ia adalah bantahan? Apakah pendekatan dan uslub yang akan diambil?," soalnya.

"PAS tidak bersedia bangkit laksana keluar beramai-ramai untuk menangkap hanya segelintir pencuri yang berjaya melepaskan diri, dengan cara pencuri berada sama dikalangan orang ramai yang memburunya, sama-sama meneriakkan : Pencuri! Pencuri! Akhirnya pencuri hilang bersama suara laungan yang berkumandang," katanya lagi.

22 Oktober lalu, beberapa NGO Islam mengadakan Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) di Stadium Shah Alam atas menyelamatkan aqidah umat Islam.

PAS bagaimanapun mengambil sikap tidak terlibat dengan himpunan itu ekoran menghormati penganjur yang tidak mahu melibatkan penyertaan parti politik. -HD

Ulasan GB

Itu kenyataan Presiden PAS. Kepada pemimpin PAS yang hadir di HIMPUN dan juga mereka yang menyokong HIMPUN terutama sayap pemuda PAS, baca betul-betul apa yang Ustadz Hadi telah sampaikan di atas. Jangan jadi terlebih sudu dari kuah. Satu tamparan ke muka Exco Selangor yang bernama Hassan Ali dan Ketua Pemuda, Nasruddin Hassan Tantawi yang hadir melalui proksinya Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Kamaruzzaman.

Hujjah yang dikemukakan Presiden PAS pernah GB utarakan di blog ini. Petikan.

Pencuri yang berlari-lari kemudian menjerit-jerit "pencuri, pencuri" untuk menuduh orang lain mencuri supaya dia dapat selamatkan diri dari di kejar oleh orangramai yang sedang mengejar pencuri..


Malah penganjur HIMPUN belum pun menjawab soalan yang GB kemukakan iaitu jika benar nak pertahankan aqidah, kenapa tiada agenda solat Asar di hari perhimpunan?

Dan seperkara lagi yang menjadi persoalan, himpunan itu untuk memperjuangkan dan mempertahankan aqidah, tetapi mengapa tiada agenda solat Asar berjemaah dimasukkan? Majlis habis kira-kira jam 6.15 ptg. Apakah kesemua berkesempatan untuk sampai ke masjid atau rumah di dalam tempoh 45 minit sebelum masuknya waktu Maghrib? Daripada 5,000 itu berapa ramai agaknya yang tertinggal dan tak solat Asar sedangkan solat Asar itu menurut sesetengah ulamak adalah solat wustha (utama)? Tidak ada alasan darurat yang boleh digunakan untuk peristiwa semalam. Sedangkan waktu perang pun solat masih wajib didirikan (dengan kaedah tertentu), inikan pula di satu majlis demonstrasi yang hadirinnya kelihatan santai dan besahaja..

Apa ke jadahnya pertahankan aqidah jika Solat Asar pun tercicir? Jadikan teguran ini satu peringatan sekalipun mungkin nada GB keras demi mengelakkan kita terjerumus dan menjerumuskan umat ke lembah kebinasaan



Lagi Kes Remaja Perempuan Mati Dibunuh

Kota Tinggi: “Apa salah cucu saya hingga dia dibunuh begitu kejam, dia hanya berumur 15 tahun,” kata Muhammad Kasim, 62, di sini, semalam.

Cucu warga emas berkenaan, Nurul Atikah Samsiah ditemui mati dibunuh dengan keadaan muka serta badannya lebam teruk dipercayai dibelasah sebelum mayatnya dihumban di dapur sebuah kediaman yang terletak selang tiga rumah dari rumah ibu bapanya.

Mayat Atikah ditemui pada jam 6.30 pagi semalam, selepas hilang sejak jam 2 petang kelmarin, dari rumah keluarganya di Rumah Kakitangan Ladang Kambau, dekat sini.

Menurut Muhammad, dia hampir pengsan selepas menerima panggilan telefon daripada anaknya, Rahimah mengatakan cucunya itu ditemui mati.

“Kali terakhir saya bertemu Atikah ialah Isnin lalu apabila dia datang ke rumah saya di Kampung Sungai Perepat yang terletak 10 kilometer dari rumahnya untuk bertanya khabar selain makan tengah hari. -hm


Gadis hilang mati dibunuh

ANGGOTA polis mengangkat mayat Nurul Atikah yang ditemui mati dibunuh di kuarters Ladang Kambau, Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor semalam.

KOTA TINGGI – Misteri kehilangan seorang gadis sejak petang kelmarin terjawab apabila dia ditemui mati akibat dibunuh di ruang dapur sebuah rumah jirannya di kuarters Ladang Kambau, Tanjung Sedeli kira-kira 40 kilometer dari sini semalam.

Mayat Nurul Atikah Samsiah, 15, yang lengkap berbaju T dan berseluar sukan ditemui dengan kesan lebam di seluruh muka dan anggota badan.

Difahamkan, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibawa ke situ berdasarkan terdapat kesan seretan di lantai dapur dan di kawasan sekitar. Rumah itu hanya terletak selang tiga pintu dari kediaman gadis malang tersebut.

Rumah itu sering kosong dan hanya didiami oleh seorang pekerja bujang yang hanya datang untuk memasak.

Datuk mangsa, Muhammad Kasim, 62, berkata, mangsa yang menetap di situ bersama ibu bapanya dikatakan hilang sejak pukul 2 petang kelmarin.

Katanya, mayat mangsa ditemui pukul 6.30 pagi semalam oleh penduduk yang melancarkan operasi mencari sejak kehilangannya dihebahkan.

“Saya terus membuat laporan di Balai Polis Tanjung Sedeli sebaik dimaklumkan mengenai penemuan mayat cucu saya oleh ibunya, Rahimah. Ketika itu saya berada di Kampung Sungai Perepat kira-kira 10 kilometer dari Ladang Kambau,” ceritanya yang enggan mengulas lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Abdul Samad Salleh memberitahu, pihaknya telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya menganggap kes itu selesai dengan penahanan pekerja ladang berusia 41 tahun tersebut. -kosmo

Pelajar IPT Bawa Pulang Pasangan Ke Rumah Masing-masing

Johor Bahru: Penduduk Taman Cahaya Masai di sini, kesal dengan gelagat pelajar institusi pengajian tinggi kerana suka berpeleseran hingga awal pagi, termasuk membawa teman berlainan jantina ke rumah masing-masing.

Sikap kumpulan pelajar terbabit yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga tata susila hidup di situ, menyebabkan taman perumahan itu turut mendapat jolokan sebagai Taman Cahaya Maksiat.

Suri rumah, Azizah Hamzah, 42, berkata tindakan pelajar melakukan maksiat dan mengamalkan gaya hidup sosial melampau atau sesuatu yang tidak baik.

“Kebanyakan mereka menyewa sekitar taman perumahan ini kerana pusat pengajian mereka berdepan masalah kekurangan asrama. Namun, apabila duduk di rumah sewa di sini, masing-masing tidak menjaga adab dan tatasusila.

“Berdasarkan etika pakaian setiap kali hendak keluar belajar di kampus, masing-masing kelihatan berpakaian kemas termasuk bertudung bagi yang perempuan.

“Malangnya, apabila sampai di kawasan rumah masing-masing, yang perempuan hanya bersinglet dan berseluar pendek di luar rumah. Setiap hari, pasti ada lelaki yang datang bertandang di rumah terbabit," katanya.

Azizah berkata, ada di kalangan pemilik rumah sewa yang prihatin, melakukan pemeriksaan mengejut terhadap kediaman terbabit dan terserempak dengan pelajar perempuan yang membawa teman lelaki masuk rumah.
Penduduk, Melati Rosli, 42, menyifatkan kumpulan pelajar terbabit sebagai sudah melampau batasan apabila tidak menghormati sensitiviti masyarakat setempat dan perumahan itu yang turut didiami golongan berkeluarga.

"Mereka menjadikan taman ini seperti kawasan pelacuran apabila bawa teman lelaki masuk rumah serta berpeleseran sesuka hati kerana masing-masing jauh daripada ibu bapa dan masa sama tidak dikawal oleh pengurusan pusat pengajian,” katanya.

Melati mendakwa, ada di kalang-an pelajar terbabit yang bertindak balas dengan membaling mercun atau telur busuk kepada rumah penduduk yang menegur perbuatan maksiat mereka.

Ahli Jawatankuasa Surau An-Nuur berdekatan, Muhd Zaidi Ghazali, 40, menyifatkan gejala negatif yang ditunjukkan golongan pelajar terbabit adalah barah yang boleh merosakkan diri sendiri.

“Perlakuan maksiat di kalangan pelajar ini boleh mengundang bala pada seluruh penduduk taman kerana ia merosakkan nama baik institusi pengajian mereka serta pelajar yang tidak bersalah selain memalukan perumahan ini,” katanya.

Tinjauan Berita Harian mendapati kawasan sekitar rumah yang disewa kumpulan pelajar berkenaan mulai sibuk dengan kereta yang keluar masuk menjemput pelajar perempuan mulai jam 8 malam.

Malah, sehingga jam 2 pagi, masih ada pelajar perempuan dan lelaki sedang berbual mesra di luar rumah sewa dan lorong gelap berdekatan tanpa menghiraukan jiran dan penduduk yang kurang senang dengan perbuatan terbabit. -BH

Ulasan GB

Gejala seperti di atas berlaku di mana-mana kawasan perumahan berhampiran IPTA/IPTS.

Pelajar-pelajar yang menyewa rumah di luar kampus merasakan diri mereka "bebas" untuk melakukan apa saja, berjauhan dengan keluarga dan tiada siapa memperdulikan tingkah laku dan gelagat mereka.

Maka berlakulah impak negatif darinya - seks bebas diikuti dengan kes-kes kehamilan luar nikah dan kes buang bayi.

S'ngor Jawab Tohmahan: Air Percuma Untuk Kembalikan Keuntungan KDEB Kepada Rakyat

Pemberian 20 meter padu air percuma merupakan satu tanggungjawab menyalurkan hasil keuntungan kerajaan negeri kepada rakyat.

Pemberian ini yang dibuat melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) selaku pemegang amanah Kerajaan Negeri sesuai dengan dasar "Hasil Negeri Untuk Rakyat" menerusi program "Merakyatkan Ekonomi Selangor"(MES).

Dasar ini bermaksud semua aset atau harta yang dimiliki kerajaan negeri adalah milik rakyat Selangor.

"Kerajaan faham jika polisi pemberian terus kepada rakyat ini janggal kepada Ketua Audit Negara dan agensi-agensi kerajaan persekutuan yang lain kerana sebelum ini, keuntungan anak syarikat kerajaan negeri diserapkan terus dalam kerajaan negeri untuk program-program yang kita tidak tahu secara terperinci dan siapa yang mendapat manfaat," kata satu kenyataan dari Pejabat Menteri Besar.

Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).

Menurut kenyataan itu lagi, Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat sentiasa memastikan keuntungan anak syarikat disalurkan dengan betul dan tepat kepada golongan sasaran supaya tidak berlaku ketirisan dalam agihan kekayaan negeri.

Oleh itu, pemberian air percuma ini menerusi KDEB akan diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada lebih kepada 1.2 juta rakyat negeri setiap tahun sejak dilancarkan pada Jun 2008.

"Sebagai contoh, Petronas sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menyerahkan keuntungan berbilion ringgit yang diperolehi setiap tahun kepada Kerajaan Pusat tetapi kita tidak tahu bagaimana keuntungan ini dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat.

"Ini berbeza dengan pentadbiran Pakatan Rakyat yang mana keuntungan anak-anak syarikat kerajaan negeri diagihkan secara langsung kepada rakyat menerusi program-program MES termasuklah pemberian air percuma," kata kenyataan itu lagi.

Mengulas lanjut, Pejabat Menteri Besar menyifatkan isu KDEB menanggung kerugian berikutan pemberian air percuma seperti yang berbangkit dalam Laporan Ketua Audit Negara, sebagai suatu yang tidak sepatutnya timbul.

"Banyak juga sedang diperkatakan tentang pengurusan kewangan Negeri Selangor, dan pejabat ini ingin menyatakan perjalanan perbelanjaan telah dibuat dengan telus dan mengikut peraturan yang diperuntukan," tambahnya.

Justeru, Pejabat Menteri Besar mencabar Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar untuk turut sama mendedahkan peruntukan yang disalurkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) serta bagaimana Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) di Selangor diagihkan kepada rakyat Selangor.

"Sekirannya mahu meneliti akaun Negeri Selangor, Kerajaan Negeri tidak keberatan.

"Jika Dato' Menteri (Noh Omar) berani, Kerajaan Negeri akan bersama beliau membuka akaun untuk dihalusi oleh SELCAT," katanya. -tvsnews



Ulasan GB

Kenyataan di atas sekaligus menjawab tuduhan UMNO/BN terhadap kerajaan negeri Selangor sedangkan sekalian banyak kelemahan-kelemahan dan penyelewengan-penyelwengan jabatan & kementerian kerajaan pusat mereka tidak ambil peduli.

Mereka sudah kehabisan modal.

GAPS mahu Khalid akui kelemahan

SHAH ALAM: Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) mahu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui kelemahan pentadbirannya apabila banyak syarikat milik kerajaan negeri itu mengalami kerugian sejak ditadbir Pakatan Rakyat.

Pengerusinya, Hamidzun Khairuddin berkata, pendedahan terbaru laporan audit bahawa Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mengalami kerugian RM122.25 juta sebelum cukai bagi 2009, berbanding keuntungan sebelum cukai RM34.45 juta pada 2008 membuktikan kegagalan Abdul Khalid dan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.-hm


[Bergambar & Video] Gempa Turki: Pelajar & 2 Guru Wanita Mangsa Terbaru Diselamatkan

Ercis (Turkey): Para pekerja penyelamat di sini awal semalam berjaya mengeluarkan pelajar universiti berusia 18 tahun dari celah runtuhan sebuah apartmen, selang 61 jam gempa bumi melanda timur Turkey.

Agensi berita Anatolia melaporkan Eyup Erdem mengalami kecederaan tetapi masih hidup apabila diselamatkan

Erdem berpindah ke bandar Ercis sebulan lalu bagi mengikuti pengajian di sebuah universiti setempat dalam bidang mekanik.

Selang enam jam kemudian, seorang guru wanita berusia 27 tahun, Cik Gozde Bahar, pula diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan di sini.

Di bangunan berasingan, seorang lagi guru wanita, Cik Seniye Erdem, 25 tahun, dilaporkan turut diselamatkan di bandar yang sama.

Gempa sekuat 7.2 pada skala Richter pada Ahad lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 461 sejauh ini.

Menurut pegawai Kementerian Kesihatan, Encik Seraceddin Com, sekitar 40 orang berjaya dikeluarkan dari runtuhan bangunan dalam keadaan selamat kelmarin.

Ini termasuk seorang bayi berusia dua minggu, ibu dan juga neneknya. Ayah bayi itu bagaimanapun masih belum ditemui.

Dengan beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal, Turkey berkata ia akan menerima bantuan antarabangsa, termasuk dari Israel.

Turkey berkata ia perlukan rumah pasang siap bagi menempatkan semula para penduduk yang terjejas, menjelang musim sejuk.

Sekitar 2,000 bangunan dilaporkan telah runtuh dan sekitar 1,350 penduduk cedera.

Sementara itu, hampir 500 gegaran susulan telah dicatatkan sejak Ahad lalu.

Satu gegaran susulan yang sekuat 5.7 pada skala Richter kelmarin telah mencetuskan rusuhan di sebuah penjara di bandar Van, yang terletak 90 kilometer ke selatan Ercis.

Jurucakap pengurusan bencana di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Encik Gerald Rockenshaub, berkata tempoh 48 jam hingga 72 jam pertama selepas bencana adalah yang paling genting bagi para pekerja penyelamat mengeluarkan mangsa dari puing bangunan.

Ini kerana peluang mengeluarkan mangsa yang masih hidup adalah tipis selepas itu, kerana mereka tidak mempunyai bekalan air ketika terperangkap. -- AP, AFP.













[Bergambar] Banjir Di Thailand Semakin Buruk, Kapalterbang Turut "Bersedih"...

Bangkok - Keadaan di ibu negara ini semakin buruk apabila lebih banyak kawasan ditenggelami air dan kesemua 50 daerah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir malam ini.

Banjir telah merebak ke daerah Thai Wattana dan penduduk diarahkan mencari perlindungan di pusat-pusat pemindahan, sementara pusat pemindahan di Lapangan Terbang Don Mueang terpaksa memindahkan lebih 4,000 orang ke pusat-pusat lain berikutan paras air yang semakin naik.

Lapangan Terbang Don Mueang yang menampung penerbangan domestik telah ditutup sementara sejak semalam hingga 1 Nov.

Bagaimanapun, Pusat Kawalan Operasi Pemulihan Banjir, pusat operasi utama negara, kekal di situ sekalipun seluruh daerah berkenaan kini dilanda banjir.

Gabenor Bangkok Sukhumbhand Paribatra mengarahkan kesemua 50 daerah itu bersiap sedia menghadapi banjir malam ini oleh kerana kira-kira empat bilion meter padu limpahan air banjir dari utara dijangka sampai ke ibu negara malam Rabu.

Beliau berkata paras air pasang laut yang tinggi yang dijangka berlaku boleh menghalang aliran air limpahan banjir ke Teluk Siam, dengan itu mengancam seluruh bahagian ibu negara.

Banjir telahpun melanda bahagian utara, timur dan barat ibu negara ini.

Kira-kira sepertiga bahagian negara terus digenangi air dan 2.4 juta penduduk di lebih 10,000 kampung dari 26 wilayah di bahagian utara dan tengah terjejas oleh banjir yang melanda sejak 25 Julai.

Jumlah kematian meningkat ke 373 hari ini.-- BERNAMA













[Bergambar] 3 Kereta Terbabit Dalam Kemalangan Terbakar, Suami Isteri Rentung

Suami Isteri Rentung, Dua Anak Cedera Parah Pada Pagi Deepavali

Seremban, 26 Okt (Bernama) -- Hasrat sebuah keluarga untuk meraikan Deepavali di rumah seorang daripada anggota keluarga mereka di Alor Gajah, Melaka tidak kesampaian apabila pasangan suami isteri itu maut manakala dua anak mereka cedera parah dalam kemalangan di Batu 10, Jalan Seremban-Tampin, Rabu.

P. Mugunthan, 42, dan isterinya, K. Sothi, 36, rentung dalam kereta Honda Civic mereka yang terbakar selepas terbabit dalam nahas jalan raya dengan dua lagi kenderaan pada kira-kira 8.56 pagi, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau Zamrus Zainal.

"Kedua-dua anak lelaki mereka yang berusia 13 dan 10 tahun berjaya diselamatkan oleh orang ramai," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Dua lagi lelaki yang memandu kereta Proton Iswara dan Toyota Camry yang terbabit dalam kemalangan itu juga terselamat, katanya.

Mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Hospital Seremban untuk bedah siasat dan kedua-dua anak lelaki mereka turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan, kata Zamrus.







foto-foto ehsan fotoBernama