18 Sep 2009

PKFZ : Najib Perlu Letak Jawatan Serta Merta

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa polis akan menyiasat mengenai Kertas Kabinet berkaitan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang didedahkan di internet kerana kertas itu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) sekaligus mengesahkan bahawa Kertas Kabinet berkenaan adalah sahih dan tulen.

Beliau berkata tindakan itu bukan bertujuan menafikan hak rakyat untuk mendapat maklumat yang sepatutnya, tetapi tindakan mendedahkan Kertas Kabinet di internet merupakan alasan yang tidak boleh diterima.

"Dalam kes PKFZ ini, apa-apa yang patut kita beritahu kepada rakyat, kita akan maklumkan nanti, tetapi bukan satu alasan yang boleh diterima mendedahkan Kertas Kabinet (di internet).

"Apa pun kertas Kabinet masih di bawah OSA dan sesiapa dedahkan Kertas Kabinet, polis akan menyiasat. Tengok kepada siasatan nantilah, apaapa tindakan boleh diambil berdasarkan OSA," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas penyelarasan program Permata Negara di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Kertas Kabinet berkaitan PKFZ yang didedahkan di sebuah laman web.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini telah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab persoalan yang telah didedahkan di internet mengenai dokumen kerajaan yang didakwa bukti penting skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Menurutnya, dokumen terbabit menunjukkan apa yang didakwa sebagai memorandum dari pihak Menteri Kewangan supaya memberikan kelulusan secara retrospektif berhubung dengan peningkatan kos projek PKFZ dari RM1.088 bilion kepada RM4.63 bilion.

“Perdana Menteri perlu membuktikan tanpa sebarang keraguan yang munasabah kepada rakyat bahawa dokumen itu adalah palsu. :

“Jika beliau gagal berbuat demikian dan dokumen tersebut memang benar dokumen kerajaan yang tulen, beliau dan semua anggota Kabinetnya kini yang terlibat dalam memberikan kelulusan retrospektif itu mesti meletakkan jawatan serta merta,” katanya, semalam.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan bagaimana Najib dan anggota Kabinet boleh mempersetujui kelulusan retrospektif itu sedangkan banyak peraturan kewangan telah dilanggar termasuk tindakan Menteri Pengangkutan memberikan surat jaminan kepada beberapa penerbitan bon yang boleh dianggap tidak sah.

“Mengikut peraturan, surat jaminan sedemikian perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu dan surat tersebut hanya boleh dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sahaja,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menuntut pihak kerajaan menjelaskan adakah benar keseluruhan projek PKFZ dilaksanakan hanya dengan kelulusan dasar Perdana Menteri tanpa mematuhi prosedur yang sepatutnya.

“Mengapa kelulusan retrospektif yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan itu diluluskan jika benar projek tersebut dilaksanakan dan didapati tidak berdaya maju malah kos projek telah meningkat kepada lebih RM4.6 bilion,” katanya.

Katanya, penubuhan pasukan petugas khas bagi menyediakan laporan penyiasatan isu PKFZ sebenarnya bermotif politik.

”Sebab itulah mereka begitu takut untuk menubuhkan Suruhanjaya Di raja bagi menyiasat skandal PKFZ itu. :

”Jika disiasat dan jika terdedah lebih banyak lagi dokumen dan hakikat yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat, ia mungkin membuktikan jenayah peringkat tertinggi dalam skandal PKFZ itu,”
katanya.

Beliau juga mengulangi kenyataannya bahawa satu pasukan peguam Pas ditubuhkan bagi mengkaji peruntukan undang-undang untuk memastikan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja.

Projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbul pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada lebih RM4.6 bilion malah siasatan awal ke atas projek PKFZ mendapati ia diselamatkan dengan pinjaman kerajaan.

Siasatan tersebut juga mengesahkan kerajaan melalui Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) membeli 404 hektar tanah dari Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) pada RM25 setiap kaki persegi walaupun harga sebenar dianggarkan RM10 sahaja.

Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei lalu oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik LPK bagi tujuan itu turut menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan.

Era Najib Altantuya : Bebaskan Baki Tahanan ISA - SUHAKAM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mahu Kementerian Dalam Negeri membebaskan kesemua baki sembilan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang masih berada di Kem Tahanan Perlindungan Kamunting di sini.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Simon Sipaun (gambar) berkata, Suhakam berpendapat kesemua yang ditahan itu boleh dibebaskan daripada ISA manakala dua tahanan dari Thailand dan Pakistan yang didakwa melakukan pemalsuan dokumen boleh dituduh di mahkamah terbuka.:

“Ada hanya sembilan lagi tahanan ISA, daripada jumlah itu hanya empat tahanan rakyat Malaysia. Kita telah menemui dan berdialog dengan lapan tahanan hari ini...mereka yang dikatakan memalsukan dokumen sepatutnya dituduh di mahkamah terbuka supaya mereka diberi peluang untuk membela diri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dua jam masing-masing ke Penjara Taiping dan Kem Tahanan Perlindungan Kamunting di sini bersama-sama Pesuruhjaya Suhakam Datuk N Siva Subramaniam serta beberapa pegawainya.

Katanya, seorang lagi tahanan ISA, yang paling lama iaitu tujuh tahun, gagal ditemui mereka kerana memencilkan diri dalam tandas dipercayai mengalami tekanan.

Sipaun berkata, bahawa sejak Suhakam ditubuhkan pada 2000, suruhanjaya itu mengambil langkah pertama mengkaji ISA selama lebih setahun dan telah membuat pelbagai syor kepada kementerian berkenaan.

“Syor itu kita buat dalam dua fasa. Fasa pertama mengesyorkan kepada kerajaan untuk memansuhkan ISA kerana ia melanggar hak asasi manusia tetapi kita juga sedar bahawa ada keperluan undang-undang untuk hadapi ancaman terhadap keselamatan negara.

“Kita berpendapat ISA perlu diganti dengan undang-undang baru yang benar-benar dapat menangani kesalahan berhubung ancaman keselamatan negara, tetapi ini akan mengambil masa dan kita telah mencadangkan kerajaan mengkaji semula ISA supaya ia tidak mudah untuk diselewengkan dan disalahgunakan,” katanya.

Siva Subramaniam pula berkata, bahawa sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri banyak perubahan yang dilakukan.

Kini dengan hanya tinggal sembilan tahanan ISA, ia adalah paling kecil dalam sejarah.

Beliau juga berkata bahawa dalam tempoh 20 tahun lepas, pihak polis memperlihatkan kecekapan yang tinggi dan kaedah siasatan terbaik. -Bernama


Era Najib Altantuya : Undi Pos, Kenyataan Wan Ahmad Dibidas

Banyak pihak menyelar kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang meminta Pakatan Rakyat tidak mempertikaikan kaedah penggunaan undi pos.

Mengulas desakan Pakatan Rakyat semalam dan PAS awal minggu ini yang mahu agar undi pos dihapuskan, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata:

"Saya nasihatkan PAS, tak usahlah risau. Proses undi pos berjalan lancar... bukan perkara baru."

Wan Ahmad juga mempersoalkan alasan yang diketengahkan Pakatan termasuk PAS apabila mempertikaikan penggunaan undi pos menjelang pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Jelas beliau, mekanisme pengundian pos telah ditambahbaiki ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu Januari lalu.

"Semasa pilihan raya kecil Kuala Terengganu, buat pertama kali SPR telah membenarkan calon dan ejen masing-masing berada di tempat pengagihan kertas undi dan pusat pengundian menerusi pos.

"Proses pengundian pos ketika itu juga disambut dan dipuji oleh calon PAS sendiri. Mengapa sekarang mempertikaikan kaedah undi pos?" kata Wan Ahmad.

Seorang pemimpin Pakatan rakyat mempertikaikan kenyatan Wan Ahmad itu dengan menyoal jika pada pilihanraya 2000 Pakatan rakyat dibenarkan berkempen di kem tentera, mengapa pada tahun ini ia tidak dibenarkan.

Semalam Pergerakan Pemuda Pakatan - PAS, DAP dan Angkatan Muda Keadilan - menuntut supaya SPR mengambil tindakan segera bagi memperbaiki beberapa aspek penting yang melibatkan pengundi pos dan juga mekanisme pengundian.

Tiga tindakan disyorkan ialah memansuhkan pengunaan Borang 2 Pengundi Pos, penetapan tempat mengundi bagi pengundi pos dan akses dan kempen kepada pengundi pos.

Berdasarkan daftar pemilih setakat 4 September lalu, daripada sejumlah 13,664 orang yang layak mengundi, seramai 4,604 merupakan pengundi pos.

Oleh itu, kata Pergerakan Pemuda Pakatan, berdasarkan jumlah itu, adalah jelas bilangan pengundi pos yang cukup besar sudah tentu akan menjadi undi penentu semasa pilihan raya kecil kali ini.

Dalam pada awal minggu ini, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan SPR pada 28 September ini bagi membincang mengenai prosedur undi pos yang dilihat tidak telus dan boleh dimanipulasi.

Salahuddin berkata, PAS akan mendesak SPR mengkaji semula sistem undi pos.

Kelmarin seorang penganalisis politik Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff telah meminta SPR untuk menyemak semula pengendalian undi pos supaya SPR tidak dilihat sebagai badan yang tidak telus.

"Perkara ini harus ditangani kerajaan, khususnya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) supaya ketelusan agensi itu dapat dilihat," kata Agus.

Penamaan calon pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang diadakan Oktober manakala tarikh pengundian, jika ada pertandingan, adalah 11 Oktober.

Era Najib Altantuya : Jangan Calonkan Isa Samad - Dr Mahathir

Jangan letak Tan Sri Isa Samad sebagai calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini.

"Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno," katanya dalam temuramah dengan Bernama.


Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas ura-ura Isa turut disenarai sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu.

Dr Mahathir berkata walaupun Umno bahagian Teluk Kemang yang diterajui Isa sendiri mahukan dirinya bertanding, mereka perlu ingat bahawa pilihan raya kecil itu bukan melibatkan wakil dari Umno bahagian itu sahaja yang bertanding.

Ini kerana rakyat akan melihatnya sebagai mewakili Umno dari seluruh negara dan menggambarkan pendirian Umno, katanya.

"Macam satu orang boleh menang jadi Presiden Umno tapi tak bermakna dia boleh menang pilihan raya," katanya.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan pada 11 Okt dan penamaan calon pada 3 Okt. Ia diadakan berikutan kematian Azman Mohammad Noor dari Barisan Nasional pada 4 Sept akibat jangkitan dalam darah.

Mengenai kemelut MCA, Dr Mahathir berkata ia boleh selesai sekiranya para pemimpin parti meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

Mereka, katanya, perlu sedar yang utama parti dan bukannya mereka.

"Seorang pemimpin tidak akan membuat sesuatu untuk merosakkan parti," katanya.

"Kalau you (pemimpin) tahu you dah tak layak kerana apa-apa. You berhenti. Jangan nak pegang (jawatan) saja," katanya.


Beliau berkata pemimpin harus sedar kerana partilah, mereka mendapat kedudukan.

Sehubungan itu, kata Dr Mahathir, mesyuarat agung luar biasa MCA boleh menyelesaikan kemelut parti itu jika para pemimpin parti itu mengutamakan kepentingan parti.

Kemelut MCA itu menjadi hangat apabila timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dipecat kerana masalah disiplin berhubung isu skandal seksnya.

Era Najib Altantuya : UMNO Terima Padah Jika Salah Pilih Calon - Ku Li

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menasihatkan Umno supaya mengambil iktibar daripada keputusan pilihanraya kecil Permatang Pasir, dalam memilih calon yang sesuai bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang.

Dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir, isu pembatalan lesen guaman calon BN, Rohaizat Othman, berhubung kes pecah amanah membabitkan wang anak guamnya, telah dijadikan modal oleh PAS.

Dalam pilihanraya kecil pada 25 Ogos lalu itu, calon PAS, Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi untuk menewaskan Rohaizat dengan majoriti 4,551 undi. Rohaizat mendapat 5,067 undi.

Tengku Razaleigh berkata pembangkang telah memenangi tujuh pilihanraya kecil di Semenanjung Malaysia selepas pilihanraya umum tahun lalu.

“Umno bertanding dalam enam pilihanraya kecil dan kalah semuanya. Kini tidak siapa yang boleh meragui bahawa rasa tidak puashati rakyat terhadap BN yang mengakibatkannya ia kehilangan lima negeri dan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, masih belum pulih,” tulis Tengku Razaleigh dalam blognya.

Menurutnya, punca rasa tidak puashati rakyat terhadap BN itu adalah persepsi bahawa mereka yang memegang kuasa adalah angkuh dan korup.

Malah, katanya, pemilihan calon yang dibatalkan lesen guamannya sebagai calon BN di Permatang Pasir serta mengenepikan bantahan terhadap pemilihannya, telah mengesahkan persepsi tersebut.

Tindakan itu, katanya, telah menghantar mesej bahawa kedudukan Umno adalah tinggi daripada standard kesusilaan biasa.

“Kini seorang pemimpin muda Umno dipetik sebagai berkata bahawa satu-satu kriteria pemilihan calon ialah mereka boleh menang,” katanya sambil menyifatkannya sebagai satu pemikiran jangka pendek yang meletakkan Umno dan BN di tempat yang salah, sedangkan rakyat menuntut akuantabiliti dan ketelusan.

Oleh itu, Tengku Razaleigh mengingatkan kepimpinan Umno supaya mengambil iktibar isyarat daripada pengundi Permatang Pasir - dan dalam semua pilihanraya kecil sejak 8 Mac - dan lebih berhati-hati dalam memilih calon bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Katanya, jika Umno terus memilih calon-calon yang tercemar rekodnya, maka rakyat mungkin akan membuat kesimpulan bahawa lebih baik bagi negara, jika Umno kalah.

Pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan pada 11 Oktober dan penamaan calon pada 3 Oktober. Ia diadakan berikutan kematian Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September akibat jangkitan dalam darah.

Sehingga ini dilaporkan Umno bahagian Teluk Kemang mahukan ketuanya, Tan Sri Isa Samad dipilih sebagai bagi pilihan raya kecil tersebut.

Bagaimanapun, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Isa tidak sepatutnya dipilih bertanding di situ.

Bekas perdana menteri itu berkata imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.


Era Najib Altantuya : Usaha UMNO Sia-sia - Syed Azman

Langkah UMNO mengadakan perubahan melibatkan penghapusan sistem kouta bagi pemilihan dalam parti dianggap sebagai sia-sia selagi gejala politik wang yang selama ini bermaharajalela tidak selesai meskipun dengan menambah jumlah perwakilan.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, politik wang dalam UMNO sukar untuk dikikis kerana perbuatan itu seolah-olah menjadi sebahagian daripada budaya yang diamalkan parti berkenaan.

Menurutnya, ahli UMNO peringkat akar umbi seolah-olah diajar memilih pemimpin yang boleh memberi mereka wang atau sesuatu perkara bernilai berbanding keperibadian dan sikap kepimpinan baik.

“Perkara ini memang berlaku dalam UMNO, contoh terdekat adalah bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Allahyarham Datuk Razali Ismail yang kalah dalam pemilihan parti meskipun beliau seorang pemimpin berjiwa rakyat.

“Ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin yang baik nampaknya tidak diterima dalam UMNO hanya kerana arwah tidak mempunyai wang untuk ditabur kepada perwakilan,” katanya kepada Sinar Ha-rian, di sini semalam.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini bersetuju menghapuskan sistem kuota bagi pemilihan dalam parti dan menambah bilangan perwakilan yang akan diberi hak serta kuasa untuk memilih pemimpin pada masa akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu bagi membanteras politik wang selain menjadikan pemilihan lebih telus untuk menjadikan UMNO benar-benar parti yang melibatkan seberapa ramai golongan dalam pemilihan pemimpinnya.

Dr Syed Azman berkata, cara terbaik dalam menyelesaikan masalah politik wang adalah melalui ‘pembersihan’ peringkat akar umbi terlebih dahulu supaya mereka sedar betapa pentingnya memilih pemimpin benar-benar berkualiti.

“UMNO kena tanamkan dalam diri perwakilan dan semua ahli parti bahawa kepimpinan baik itu lebih penting daripada kepentingan diri,” katanya. -SH

Era Najib Altantuya : Menjawab Keceluparan Abd Latiff, Timb Menteri Pertahanan

Pakatan Rakyat menolak kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang menyatakan parti politik tidak dibenarkan berkempen dalam kem tentera kerana bentuk tugas anggota tentera bersifat keselamatan di tahap yang tinggi.

"Rosak negara ini kalau askar ini diberi kebenaran untuk berparti politik. Kalau dia nak berpolitik lepas bersara, itu lainlah," katanya kepada pemberita di sini selepas menyampaikan sumbangan hari raya Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) peringkat Negeri Sembilan kepada 234 penerima melalui skim bantuan kebajikan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).

Pada Khamis, Pemuda Pas mendesak agar parti itu dibenarkan berkempen di kem-kem tentera pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan kawasan Bagan Pinang pada 11 Okt ini. Terdapat beberapa kem tentera dalam kawasan itu yang didiami ramai pengundi pos terdiri anggota tentera.

Abdul Latiff berkata anggota tentera dibenarkan mengundi pada pilihan raya kerana itu hak mereka di sisi perlembagaan negara.

"Negara kita sebuah negara demokrasi, bermakna anggota tentera bebas untuk mengundi. Sebab itu ada juga di kalangan mereka ini mengundi parti pembangkang. Jadi, apa pasal dia (pembangkang) nak takut.

Jika demikian jawapan Abdul Latif, oleh kerana anggota tentera bebas untuk mengundi, mengapa disekat anggota tentera untuk mendengar kempen pilihanraya? Tak semestinya mereka yang mendengar kempen pembangkang akan mengundi pembangkang. Jadi, apa pasal dia (Abdul Latif) nak takut.

Abdul Latif berkata lagi, "Adakah bila dia (tentera) mengundi parti pemerintah tak bagus, tapi kalau mengundi dia (pembangkang) bagus dan ini (baru) dikatakan satu pilihan raya yang adil?" katanya.

Kita ingin menjawab bahawa sebagai seorang rakyat, angoota tentera juga berhak untuk mendapat dan mendengar maklumat dari semua pihak bukan hanya dari pihak kerajaan.

Dalam PRK kawasan parlimen Teluk Kemang pada tahun 2000, pembangkang pernah dibenarkan untuk berkempen di kem tentera. Apabila peti undi dibuka, undi pos yang diperolehi PAS dan UMNO tidak jauh berbeza. Hanya sejak selepas itu, pembangkang tidak lagi dibenarkan untuk berkempen di kem tentera.

Kita ingin menyatakan kepada Abdul Latif, kamu boleh mengerah dan mengarah seluruh tentera mengundi BN, namun sikap tidak demokratik BN itu pasti akan memakan dirinya kerana ia tidak akan direstui samasekali oleh rakyat.

Era Najib Altantuya : Tiada Sebab Undi BN - Husam

Perdana menteri masih lagi membisu terhadap banyak kes membabitkan pencabulan undang-undang negara. Maka, tidak ada sebab untuk rakyat mengundi Barisan Nasional di Bagan Pinang, kata AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa.

Husam yang juga Exco kerajaan Kelantan berkata, ketika undang-undang dicabul, negara pula terpaksa berhutang RM95 bilion, pemulihan kedaulatan undang-undang masih belum berlaku walaupun sudah lebih lima bulan Najib Razak berada di puncak kuasa.

Misalnya dalam kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri, siasatannya sehingga membawa kepada kematian Teo Beng Hock.

"Seorang pemuda India pula mendakwa diseksa semasa penyiasatan SPRM. Semuanya itu tidak mendapat apa-apa reaksi daripada Perdana Menteri," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan sempena Hari Raya Aidil Fitri di Masjid Kamil Hassan, Salor baru-baru ini.

Menurut Husam, keadaan ini jelas menunjukkan tidak ada pemulihan dari segi perjalanan kedaulatan undang-undang dalam negara. Manakala dari segi ekonomi, Malaysia kelihatan semakin parah.

Keadaan negara yang setakat tahun ini sahaja telah berhutang RM93 bilion dalam bentuk jualan bon, merupakan satu jumlah yang sangat menakutkan sehingga boleh membawa kepada keruntuhan ekonomi negara.

Ekoran daripada dasar perkembangan itu, beliau yakin tiada sebab untuk rakyat menyokong calon BN di Bagan Pinang pada pilihan raya kecil 11 Oktober ini.

"BN kini sudah tidak mampu lagi memimpin negara ini. Rakyat harus menyedarkan BN dengan memberikan undi alternatif kepada pihak lain," tambahnya.

Ditanya sama ada PAS mampu memecahkan undi penyokong BN di kerusi tersebut, Husam berkata:

"Kalau kita mengatur strategi yang tepat kita ada peluang untuk menang biar kawasan itu mempunyai lebih 4,500 undi pos.

Era Najib Altantuya : Respon Khalid Buat YB Zul

Baru kini saya berkesempatan membaca tulisan YB Zul Nordin berhubung isu pemindahan kuil Seksyen 19 ke Seksyen 23 yang juga telah dicetak di muka hadapan Utusan Malaysia. Saya dapati tulisan dan anlisa beliau terhadap isu ini begitu lemah dan tidak profesional sama sekali. Sebagai seorang peguam dan Ahli Parlimen, beliau sepatutnya lebih teliti dan bertanggung jawab dalam tulisan beliau. Faktanya kesemuanya tidak tepat dan tuduhan yang dilemparkan tidak berasas. Oleh yang demikian, untuk mengelakkan kekeliruan, adalah wajar bagi saya menjelaskan isu sebenar untuk makluman beliau dan mereka yang bersependapat dengan beliau.

Pada mulanya YB Zul menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan ‘demonstrasi kepala lembu’. Beliau secara jelas menyatakan ianya “tidak dihalalkan, malahan ditegah oleh Al-Quran”. Beliau juga menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan kelakuan liar segelintir yang hadir sesi dialog dengan MB, yang katanya “seperti dirasuk syaitan kehaiwanan, mengugut dan memaki hamun”.

Pada awalnya tulisan beliau kelihatan waras dan wajar.

Namun apabila terus membaca tulisannya, didapati beliau membela mereka dan menyalahkan pula kerajaan Negeri Selangor yang katanya ‘menceroboh’ tanah di Seksyen 23. Ummat Islam dikatakan sebagai ummat yang ditindas di bumi sendiri. Akhirnya amat jelas pendirian beliau adalah menyebelahi pihak segelintir penduduk tersebut dan sokongan beliau terhadap tindakan mereka sebenarnya mendedahkan pendekatan beliau sendiri terhadap orang bukan Islam.

Adakah Ahli PAS Terlibat?

Sebelum mengupas tulisan beliau dalam soal ini dan mendedahkan kesilapan dan prejudis beliau sendiri, biarlah saya nyatakan di sini bahawa dakwaan kononnya ada seorang ahli PKR dan 4 ahli PAS yang terlibat di dalam demo tersebut hanya merupakan dakwaan semata-mata. Hingga ke hari ini tiada apa-apa bukti dikemukakan. Saya telah mencabar Hishamuddin untuk mengemukakan bukti dan sekiranya benar saya akan mendesak PAS supaya memecat mereka. Ini adalah kerana tindakan mereka seperti yang ditegaskan oleh YB Zul adalah “tidak dihalalkan dan ditegah oleh Al-Quran”.

Namun hingga ke hari ini, tiada apa-apa yang dikemukakan sebagai bukti. Amat pelik apabila YB Zul menzahirkan keyakinan dengan begitu padu terhadap laporan akhbar yang dikuasai BN.

Begitu juga dengan kenyataan YB Zul “ternyata mereka bersatu dalam aqidah walau berbeza dari segi wadah”. Bunyi betul-betul macam UMNO yang sedang gilakan perpaduan dengan PAS. Betul ke tiada perbezaan ‘akidah’ di antara PAS, UMNO dan PKR? Yang berbeza hanya wadah? Kalau begitu patutlah ada yang meminta kita bersatu supaya perbezaan itu selesai kerana yang berbeza hanya wadah. Nampak gaya selama ini YB Zul sendiri tidak faham mengapa PAS menentang UMNO dan mengapa PAS wujud sebagai PAS, tidak bersatu dengan UMNO.

Sebenarnya yang sama adalah semuanya Melayu, walaupun ada yang macam mamak atau yang macam cina. Mungkin bagi YB Zul, Melayu adalah akidah.

Hakikatnya isu ini didalangi UMNO. Pemimpin UMNO (Noh Omar) turun menghasut segelintir penduduk ahli UMNO tegar, penyokong Ketua Bahagian UMNO Shah Alam, untuk bertindak menentang cadangan kerajaan walaupun belum lagi mendengar cadangan tersebut. Pemimpin UMNO juga (Hishamuddin) yang membela pendemonstrasi selepas demonstrasi berkenaan seperti yang sedang dilakukan YB Zul. Jangan nak libatkan PAS atau PKR. Usaha nak kaitkan PAS adalah taktik kotor UMNO.

Apa Arahan Kerajaan Selangor?

Menurut YB Zul, kerajaan Negeri Selangor keluarkan arahan “bina ‘kuil besar’ di Seksyen 23 di kawasan kediaman ummat Islam”. Saya tidak tahu dari mana beliau mendapat maklumat beliau tetapi seperti biasa YB Zul cakap tanpa selidik. Hanya nak sensasi sahaja.

Kerajaan Selangor hanya mencadangkan tapak baru bagi kuil yang sediada di Seksyen 19. Bukan kuil baru. Kerajaan Selangor BN dulu cadangkan kuil tersebut dipindahkan ke Seksyen 18 (6 ekar untuk 7 kuil) pada awalnya dan seterusnya ke Seksyen 22 (1 ekar untuk kuil itu sahaja). Kami mencadangkan ia dipindahkan ke Seksyen 23, dalam kawasan Industri, bukan di kawasan kediaman ummat Islam. Rumah terdekat terletak 200 meter dari tapak cadangan tersebut. Luas tanah untuk kuil adalah ¼ ekar dan ¼ ekar lagi untuk tempat letak kereta.

Dari maklumat di atas, pemindahan kuil itu tidak merupakan isu dan diusahakan sejak zaman BN lagi. Namun mereka gagal. Oleh itu, mereka kuathir kita berjaya!

Persoalannya adakah benar kerajaan arah ‘bina kuil besar’ di ‘kawasan kediaman ummat Islam’? Jelas tidak benar. Istilah ‘bina’, ‘kuil besar’ dan ‘kawasan kediaman ummat Islam’ semuanya istilah yang digunakan UMNO untuk mengelirukan ummat Islam dan menaikkan semangat kebencian mereka. YB Zul seolah-olah terpengaruh propaganda UMNO! Bukan sekadar itu, sanggup pula memanjangkannya!

Hakikatnya, kerajaan tidak ‘bina’, tiada ‘kuil besar’ dan bukan juga di ‘kawasan kediaman ummat Islam’. Ia di kawasan industri.

Benarkah ‘Wakil Hindu’ Menghina Azan?

Pertama, tiada ‘wakil Hindu’ sepertimana juga tiada ‘wakil Islam’. YB Zul mungkin menganggap kumpulan liar mewakili Islam, saya tidak. Mereka didalangi UMNO. Mungkin YB Zul anggap UMNO mewakili Islam. Saya tidak.

Yang hadir adalah penduduk. Seorang penduduk yang beragama Hindu menyebut, “kami tiada masalah dengan azan 5 kali sehari...” Mendengar itu kumpulan liar terus bertindak liar. Mungkin malu sendiri dengan sikap ekstrim mereka berbanding toleransi orang Hindu maka ingin menenggelamkan suara penduduk Hindu tersebut.

Dalam kes ini saya tidak nampak penduduk Hindu berkenaan menghina azan. Yang saya nampak adalah kumpulan liar menghina Islam dengan mendakwa tindakan liar mereka adalah atas nama Islam. YB Zul jangan menyokong atas dasar ‘asobiyyah’. Kerana satu pihak Hindu dan satu pihak lagi Melayu, maka kita sokong Melayu walaupun tindakan mereka bercanggah dengan Al-Quran.

Atas semangat yang sama YB Zul bertanyakan kisah Jeff Ooi dan Majlis Peguam. Saya rasa isu Jeff Ooi sudah selesai. Beliau sudah pun menarik kembali kenyataan beliau. Ini membuktikan bahawa untuk membetulkan salah faham dan salah tanggap tidak perlu kita bertindak seperti samseng. Jelaskan secara hikmah. Bila kita bertindak sebegitu kita rasa kita ‘teror’ tetapi orang nampak kita bodoh dan lemah akal. Tidak mampu berhujjah. Hanya mampu mengugut dan bertindak kasar.

Setelah dijelaskan Jeff Ooi menyedari kesilapan beliau dan menarik semula kenyataannya. Tanpa ugutan. Tanpa kesamsengan. Begitu juga perlu kita usahakan dengan Majlis Peguam. Kita faham bahawa mereka dipengaruhi fahaman kebaratan. Macam UMNO juga.Tetapi UMNO kononnya parti orang Islam. Majlis Peguam tidak. Nilai-nilai mereka dipengaruhi nilai-nilai dominan tamaddun Barat. Persepsi mereka terhadap undang-undang syariah agak meleset hasil kekeliruan yang tersebar luas oleh UMNO. Kita perlu berhujjah membetulkan fahaman mereka dan ini yang sedang dilakukan oleh beberapa pemimpin. Seperti tersiar dalam Harakah di mana pimpinan menjelaskan isu Kartika dari sudut pandangan Islam. Kewajaran dan falsafah hukum Syariah. Bezanya hukum sebat syariah dan sebat sivil. Dan sebagainya. Tidak perlu samseng. Tidak perlu ugut. Inilah dakwah. Ini yang saya rasa YB Zul tidak faham. Adakah yang beliau faham dakwah tu samseng, ugut. Naik berang dan naik marah bila orang bukan Islam mempersoalkan keadilan undang-undang Islam. Tunjuk ‘act’?

Tetapi Al-Quran ada menyebut “Seru kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat serta contoh yang baik dan berhujjah dengan mereka dengan cara yang terbaik…” Tiada sebut kaedah samseng, tiada juga kaedah ugut. Terangkan sahaja dengan tenang, dengan hujjah dan anggap keadaan ini sebagai peluang untuk memberi penjelasan mengenai Islam. Peluang untuk berdakwah bukan alasan untuk naik berang.

Biasanya orang tunjuk samseng kerana tidak mampu berhujjah. Pelik juga, ada juga peguam yang tidak mampu berhujjah ke?

Memutarbelit Al-Quran

YB Zul menuduh sayalah tu, maka tidak perlulah berlapik dengan mengatakan Pak Janggut memutarbelitkan Al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil. Pertama, kita tidak bina kuil. Kita hanya beri tapak. Ganti tapak lama yang akan diambil alih PKNS. Kedua, bukan kuil tambahan tetapi kuil lama yang hendak dipindahkan. Ketiga, ayat mana yang diputarbelit dan bagaimana tidak dijelaskan. Kebiasaannya cara UMNO, buat tuduhan tapi tidak ada fakta. Janganlah ikut cara mereka.

Sebagai ummat Islam, Al-Quran adalah rujukan kepada semua persoalan. Walaupun berhubung isu kuil. Dalam soal ini saya harap YB Zul setuju. Kecuali beliau ingin merujuk ‘Mein Kempf’ pula apabila menguruskan persoalan kuil!

Saya sebut Al-Quran menuntut ummat Islam bertindak adil terhadap semua, termasuk yang bukan Islam. YB Zul setuju tetapi beliau menyatakan kita hanya adil terhadap kebajikan mereka. “Dalam soal ketuhanan”, kata beliau lagi, “tidak timbul keadilan”. Ada sesiapa yang faham kenyataan beliau ini? Saya tidak faham. Adakah dimaksudkan dalam soal ketuhanan Islam meminta kita bertindak zalim? Kerana lawan adil adalah zalim. Jika itulah yang dimaksudkan maka saya tidak setuju kerana Islam adil dalam semua aspek.

Beliau terus menyebut pula, “kita memelihara tempat ibadat mereka, bukan mewujudkan yang baru dicelah kediaman kita”. YB Zul tidak tahukah, yang terletak di ‘celah kediaman’ orang Islam ialah yang di Seksyen 19. Itulah antara sebabnya kita cuba pindahkan dan dicadangkan ke Seksyen 23, yang berjauhan dari kawasan kediaman. Dan ianya bukan soal bina kuil baru. Ianya soal pemindahan. Haai... kalau tidak tahu jangan cakaplah.

Walaubagaimanapun saya setuju dengan YB Zul dalam satu hal. Sepatutnya kita “memelihara tempat ibadat mereka” dengan mengambil kira wujudnya kuil berkenaan di situ semasa kawasan perumahan dibangunkan. Ini tidak. Dibina rumah keliling kuil seolah-olah kuil tersebut tiada, dijualnya pula tanpa menyatakan wujudnya kuil tersebut dan sekarang apabila timbul masalah dengan penduduk sekeliling, terpaksa pula kita pindahkan.

Satu lagi dakwaan yang ditimbulkan oleh YB Zul ialah haramnya pembinaan kuil baru. Adakah benar ianya haram dan ditegah sama sekali oleh Islam? Walaupun penduduk semakin ramai, yang Islam dan bukan Islam, adakah benar pembinaan kuil, gereja serta tok kong baru ditegah? Yang boleh dibina hanya Masjid dan Surau untuk menampung pertambahan penduduk? Kalau benarlah dakwaan YB Zul, maknanya setiap perumahan baru, bandar baru, tidak kira ada berapa ramai penduduk bukan Islam, tidak boleh dibina tempat ibadat untuk mereka.

Hmmm, ulama’ mana pula rujukan beliau. Saya tahu Islam tidak sesempit itu. Saya syorkan beliau buat rujukan betul-betul, jangan main buat hukum ikut perasaan dan emosi beliau. Islam ini agama Allah, bukan agama rekaan manusia yang berhati sempit.

Ulama zaman dahulu telah banyak berbincang berhubung persoalan pembinaan tempat ibadah orang bukan Islam. Di mana boleh, di mana tidak boleh. Kalau di kawasan orang Islam ramai bagaimana. Apa syarat-syaaratnya dan sebagainya. Bukan buat hukum borong seperti orang yang jahil.

Statistik Kuil dan Masjid

Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran statistik YB Zul. Yang saya tahu statistik di Shah Alam, Seksyen 1 hingga seksyen 24. Kuil yang berdaftar hanya 10. Tiga darinya duduk atas tapak yang siap diwarta sebagai ‘tapak kuil’ dan tujuh yang lain, termasuk yang di Seksyen 19, akan dipindahkan ke tapak yang lebih sesuai yang akan diwartakan sebagai tapak kuil. Atau, jika tiada masalah mungkin tapak sediada terus diwartakan sebagai tapak kuil dan kuil kekal di situ setelah mengambil kira berbagai factor. Tetapi untuk Seksyen 19 tidak sesuai.

Masjid dan Surau, tidak termasuk surau di pejabat-pejabat, kompleks beli belah, kawasan R&R, stesyen minyak dan sebagainya, di Shah Alam sahaja ada 106. Statistik YB Zul hanya menceritakan Masjid sedangkan surau-surau pun banyak dan perlu juga diambil kira untuk memberi gambaran yang lebih tepat. Inilah masalah apabila ambil statistik bersumberkan UMNO. UMNO ini jahat. Semuanya ada udang sebalik batu. Termasuklah statistiknya.

Sekarang soalnya Shah Alam. Kalau di tempat lain terlalu banyak kuil, tangani ditempat berkenaan. Maka tidak perlu babitkan Shah Alam. Di Shah Alam kuil hanya 10 dan untuk Seksyen 19, 20 dan 23 hanya ada satu untuk penduduk beragama Hindu yang seramai 3,000 lebih. Tidakkah adil mereka dibenarkan sebuah kuil? Atau adakah dalam soal ini ‘kezaliman’ dituntut oleh Islam mengikut pandangan YB Zul?

Soal Hak Penduduk Seksyen 23

YB Zul menyatakan penduduk tidak diberikan hak. Hairan saya. Bukankah diadakan majlis dialog untuk mendengar pandangan penduduk?

Masalahnya sebelum majlis dialog itu diadakan segelintir dari mereka telah bertindak kerana adanya agenda politik. Kalau tiada agenda politik, tiada sebab mereka perlu bertindak sedemikian rupa. Mereka telah diberitahu majlis itu akan diadakan mengikut prosesnya. Tunggu sahajalah. Tetapi tidak. Heret kepala lembulah.....lepas itu bila dunia kecam tindakan mereka sebagai melampau, salahkan kerajaan Negeri! Yang kamu buat kerja seperti itu siapa suruh?

Bila diadakan majlis dialog pula, tunjuk perangai. Tuduh orang tidak mahu dengar tetapi akhirnya dunia tahu siapa yang tidak mahu dengar. Geng samseng UMNO sememangnya tidak boleh dibawa berbincang. Takde class.

Soal Surah Al-Baqarah dan Ibadah Korban

Dari mana pula datangnya ide YB Zul untuk mengharamkan bacaan Surah Al-Baqarah? YB Zul baca Surah Al-Baqarah dengan niat nak menghina lembu dan agama Hindu ke? Surah Al-Baqarah tiada kena mengena dengan tindakan menghina lembu atau agama Hindu. Orang Islam baca Surah Al-Baqarah untuk mendapat petunjuk dalam soal mentadbir diri, masyarakat, negara dan dunia mengikut kehendak Allah. Ada disuruh menghina lembu atau agama lain dalam Surah Al-Baqarah ke?

Begitu juga soal korban. Apabila lembu disembelih, adakah YB Zul meniatkan untuk hina lembu dan agama Hindu? Kalau Ya, maka adalah haram memakan daging lembu yang disembelih dengan niat sebegitu. Niat korban hanya untuk Allah, untuk mencari keredaanNya. Disebut nama Allah yang Ar-Rahman dan Ar-Rahim, bukannya “cis Hindu aku bunuh lembu”. Perbezaan ketera bagi yang pertama dipenuhi perasaan rendah diri dan kelembutan, mengharapkan keampunan Illahi. Yang satu lagi dipenuhi kebencian.

Kasihan orang yang menganggap dirinya pembela agama Allah,
Walhal sebenarnya merupakan penghalang kepadanya.
Menjatuhkan imej Islam dengan setiap perkataan
Yang ditutur kononnya untuk membelanya.
Mana mungkin menjadi pembela Islam sedangkan hati dipenuh prejudis!
Melihat manusia mad’unya tanpa perasaan kasihan belas.
Sebaliknya kebencian yang teramat,
sehingga kezaliman dilihat sebagai keadilan,
penindasan pula sebagai pertolongan...



WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

Era Najib Altantuya : Kerabat DiRaja Kesal Peguam Negara Lembab

Kerabat Diraja Negeri Sembilan Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar mendakwa walaupun beliau dicederakan dalam pergaduhan di sebuah kelab di ibu negara pada 24 Okt 2008, namun kes itu masih belum selesai sehingga kini.

Apabila tiada sebarang perkembangan berhubung kes itu walaupun laporan polis telah dibuat sejurus selepas kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Tunku Nadzimuddin berkata beliau akhirnya terpaksa bersuara.

Menurut Peguam Negara, Abdul Gani Patail sebanyak 41 kenyataan telah direkodkan daripada saksi-saksi berhubung pergaduhan membabitkan anggota dua kerabat diraja tersebut di dua tempat di Kuala Lumpur pada hari berkenaan

Beliau berkata perkara itu perlu dikaji dengan terperinci dan mendalam bagi membuat keputusan yang adil dan saksama sebelum mendakwa mana-mana pihak.

"Oleh yang demikian, kertas siasatan perlu dikaji dengan mendalam dan saya tidak akan teragak-agak untuk mengumumkan keputusan saya sebaik sahaja ia selesai dilakukan," kata Abdul Gani dalam kenyataan di Putrajaya.

Kertas siasatan itu pertama kali diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada 18 Nov, 2008 dan selepas diteliti oleh para pegawai saya, ia dikembalikan kepada polis pada 1 Dis untuk siasatan lanjut.

"Ia telah diserahkan semula semalam, 16 Sept, 2009 kepada Pejabat Pendakwa Raya Kuala Lumpur dan kepada saya hari ini," kata Abdul Gani.

"Namun begitu, pada masa yang sama polis dan pegawai saya saling berhubung dan memberikan nasihat," katanya.

Katanya, pada masa yang sama beliau difahamkan terdapat cubaan untuk menyelesaikan perkara itu secara baik antara kerabat diraja berkenaan.

"Bagaimanapun, keadaan itu tidak mendorong polis berhenti daripada menjalankan siasatan yang perlu berhubung mana-mana kesalahan jenayah yang mungkin telah berlaku dan Pejabat Peguam Negara "tidak sepatutnya dijadikan sebagai alat untuk memudahkan sebarang bentuk penyelesaian yang dilakukan secara peribadi".

Ulasan GB

Biarkan Gani Patail yang sibuk dengan kerja hendak menekan Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim ditelanjangkan oleh kerabat di raja.

Kini Gani berbelit-belit dengan memberi alasan kononnya terpaksa melakukan kajian sebelum betindak.

Satu hari segala perbuatan durjana Gani yang banyak menjadi pengatur di dalam menentukan hakim-hakim dan keputusan kes-kes di mahkamah akan tetap terbalas jua.

Era Najib Altantuya : Noordin Md.Top Terbunuh

Ketua Polis Indonesia Jen Bambang Hendarso Danuri mengesahkan pengganas paling dikehendaki di negara ini, Noordin Mohd Top mati ditembak dalam operasi polis di Solo, Jawa Tengah, awal pagi ini.

Katanya, polis berani mengesahkan bahawa lelaki itu ialah Noordin berdasarkan cap jari dan 14 lagi tanda dan ciri-ciri yang dikenali di badan lelaki yang berasal dari Malaysia itu.

"Alhamdulillah, dengan kebesaran Allah dan berkat di akhir bulan Ramadan ini, dia adalah Noordin Mohd Top," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini Khamis, yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan.

Katanya, polis terutama pasukan khas anti pengganas Densus 88 telah bekerja keras selama sembilan tahun mengesan dan memburu jejak Noordin dan akhirnya pada awal pagi ini dalam operasi di Solo, berhasil membunuh Noordin dan tiga pengganas lain serta seorang lagi yang cedera ditembak.

Bambang juga berkata polis turut menjumpai 200 kilogram bahan letupan yang sedia untuk digunakan di dalam rumah yang diserang hendap itu selain senjata M16 yang lengkap berisi peluru, selain komputer riba dan pelbagai dokumen. BERNAMA


Noordin letupkan diri

SOLO, Indonesia 17 Sept. – Pengganas No. 1 Asia, Noordin Mat Top, 41, terbunuh dalam satu serbuan polis ke atas tempat persembunyian kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) di Solo, Jawa Tengah, pagi ini.

Noordin dilaporkan terbunuh bersama empat lagi pengganas apabila pasukan keselamatan menggempur sebuah rumah yang dipercayai menjadi tempat persembunyian Noordin dan konco-konconya, setelah membuat intipan dan mengepung kawasan itu sejak malam tadi.

Noordin yang berasal dari Malaysia, dipercayai terbunuh setelah meletupkan dirinya menyebabkan mayat hancur dan kepalanya terputus.

Sebelum itu, letupan kuat dan tembakan senjata api kedengaran apabila polis menyerbu rumah tersebut pada kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan selepas sembilan jam mengepung rumah itu di pinggir bandar ini, yang selama ini dijadikan kubu oleh kumpulan militan JI itu.

Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri mengesahkan pengganas paling dikehendaki di Asia itu terbunuh dalam serbuan polis tersebut.

Ketika ditanya sama ada benar Noordin telah terbunuh dalam serbuan itu, Bambang Danuri berkata: “Ya, Ya, Ya, semua maklumat (tentang kematian Noordin) berada di ibu pejabat polis, ”

Terdahulu, Bambang Danuri telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono bagi memaklumkan mengenai serbuan tersebut.

Bulan lalu, media tempatan yang memetik sumber polis turut melaporkan kematian Noordin selepas polis melancarkan serbuan ke atas sebuah rumah, juga di Jawa Tengah, namun selepas ujian forensik dijalankan beberapa hari kemudian ia terbukti salah.

Kerajaan bantu bawa pulang jenazah Noordin Mat Top

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Kerajaan akan membantu keluarga Noordin Mat Top membawa pulang jenazah pengganas paling dikehendaki di Indonesia itu ke tanah air setelah selesai segala siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa republik itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan setakat ini tidak dapat menentukan bila tarikh jenazah itu akan dibawa pulang memandangkan pihak berkuasa republik berkenaan masih perlu melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identitinya secara mutlak.

"Kita akan berbincang dengan pihak keluarga untuk mengenal pasti siapa yang akan menerima dan menguruskan jenazah termasuk pergi ke Indonesia jika perlu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Menteri Bersama Petugas Ops Sikap di Plaza Tol Jalan Duta di sini hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Menteri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Jelaing Mersat serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Indonesia, Jen. Bambang Hendarso Danuri yang mengesahkan Noordin mati ditembak dalam operasi polis di Solo, Jawa Tengah awal pagi hari ini.

Pengesahan bahawa mayat itu ialah Noordin berdasarkan cap jari dan 14 lagi tanda dan ciri-ciri yang dikenali di badan lelaki itu.

Menurut Hishammuddin, keutamaan lain kerajaan pada masa ini adalah untuk menjaga kebajikan keluarga Noordin yang sudah pasti terjejas dengan kematiannya.

Dalam pada itu, katanya, beliau merasa sedih kerana kerajaan Malaysia tidak dapat membawa Noordin untuk menjalani proses pemulihan bagi mengubah sikapnya seperti yang telah dilakukan terhadap ahli-ahli Jemaah Islamiah (JI) dan militan lain sebelum ini.

"Adalah menyedihkan apabila akhirnya dia menamatkan hidup dengan keadaan seperti ini dan perasaan ini bukan bererti kita mengiakan perkara salah yang dilakukannya sehingga menyebabkan kehilangan banyak nyawa," katanya.

Mengenai kejayaan pihak berkuasa Indonesia mengesahkan mayat pengganas itu dengan pantas, beliau berkata, ia berdasarkan cap jari yang telah diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada pihak perisikan republik itu sebelum ini.

''Kerjasama seperti ini perlu terus diutamakan kerana ancaman militan yang merentasi sempadan boleh menjejaskan kestabilan negara dan keselamatan rakyat yang tidak berdosa," katanya.



Era Najib Altantuya : Rakyat Sangsi Kepada BN

Barisan Nasional akan bertanding pada pilihanraya kecil di Bagan Pinang Negeri Sembilan sebagai gagasan yang rapuh, dengan hubungan antara parti komponen di warnai oleh kesangsian antara satu sama lain.

Bendahari PAS Dr Hatta Ramli berkata Pakatan Rakyat sebaliknya akan menampilkan diri sebagai barisan yang semakin jitu, bersatu dan didokong oleh segenap lapisan masyarakat.

“Saya yakin dengan melihat kepada line up kita yang ada ni bahawa kerjasama ini dapat kita panjangkan di Bagan Pinang ini, PAS, Keadilan dan DAP, bagi saya berada dalam persahabatan dan kerjasama yang paling baik pada masa ini.

“Inilah suasana kerjasama yang paling baik buat masa ini, kita boleh lihat, mesyuarat pimpinan berjalan dengan lancar dan akan dimantapkan lagi dengan penstrukturan daripada struktur itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah di Kampung Si Rusa Bagan Pinang. Pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang akan diadakan pada 11 oktober dengan penamaan calon pada 3 oktober.

Kira-kira 2,000 penduduk sekitar bagan pinang menghadiri cermah ini, petanda jelas sokongan terhadap Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan semakin mantap.

“Kita sudah menang tujuh kali pilihan raya kecil di Semenanjung, kalah sekali di Sarawak, dan kali ini pilihan raya ke sembilan dan berlaku di negeri Sembilan, kawasan Barisan Nasional, kawasan yang satu hari dulunya, katakan 15 tahun yang lalu tiada yang punya kewarasan pemikiran yang boleh menyangka negeri Sembilan ini tuan-puan, pembangkang boleh menang.

“Mereka rasa yang boleh menang satu dua kerusi pun DAP tetapi baru-baru ini kita telah menang 15 kerusi dan itu bukan satu jumlah yang sedikit malah mengejutkan mereka. Walaupun mereka menang Bagan Pinang dengan majoriti 2,300, hari ini tuan-puan mereka cukup takut dan mengelabah,” katanya.

Dr Hatta berkata Umno-BN selama ini cuba memaparkan Pakatan Rakyat sebagai gagasan yang semakin retak dan akan berpecah belah, namun hakikat adalah di sebaliknya.

“Mereka mengatakan bahawa PR akan pecah bila-bila masa, Datuk Seri Najib meramalkan bahawa PR sedang mengatur dengan mengatakan PR sedang melakukan kesalahan yang besar terutamanya di Selangor

“Dan beliau berasa yakin bahawa kerajaan Pakatan akan tumbang di Selangor, tiba-tiba tuan puan, komponen BN satu demi satu menuju kehancuran.


“Bukan hanya di komponen di Semenanjung, komponen di Sabah dan Sarawak sama-sama bertelagah dan berpecah. Baru-baru ini dalam Perhimpunan Agong MIC, tetamu jemputannya ialah Najib Razak merasmikan dan dia sudah peril Samy Vellu, dia cakap kita tidak boleh jadi popular dalam parti sahaja, kita mesti popular dengan masyarakat.

“Dia sudah target samy Vellu sebab Samy Vellu sudah ditolak oleh rakyat, Sungai Siput sudah tolak dia,” katanya.

Dr Hatta berkata tindakan Samy Vellu mengkriti Najib secara terbuka menunjukkan perbalahan antara pemimpin BN semakin hampir kemuncaknya.

“Sebab Samy Vellu tidak popular lagi tetapi Samy Vellu dia lawan pula Najib dan perli Najib dengan kalau mahu jadi pemimpin semua masyarakat mesti jadi pempimpin, kalau mahu jadi pemimpin kepada semua masyarakat, mesti jadi pemimpin parti dulu.

“Menunjukkan bahawa keadaan dalam MIC dan BN sangat-sangat tidak sihat, perubahan yang dibawa oleh MIC tidak berlaku, orang lama, orang yang telah ditolak oleh rakyat lagi dipilih sebagai pemimpin. Mereka sedang berpecah,” katanya.

Dr Hatta berkata perbalahan dan pertelingkahan antara pemimpin BN yang semakin serius sedang mengheret parti itu kepada satu lagi kekalahan di Bagan Pinang.

“Inilah senario di dalam Barisan Nasional hari ini tuan-puan, mereka sedang berpecah. Sampaikan mereka kata tidak guna berebut, berkuasa di dalam parti tetapi setiap kali pilihan raya kecil, mereka kalah dan mereka sedar dan mereka sudah tahu bahawa kekalahan sedang menanti mereka,’ katanya. -TVA