25 Sep 2011

Orang Takut Hudud Macam Takut Hantu, Bila Tanya Apa Itu Hudud Tidak Tahu"- Nik Aziz

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan kebimbangannya bagaimana masyarakat dan pihak tertentu begitu tidak menyenangi hukum hudud walhal ia sebaik-baik perundangan yang digariskan Allah S.W.T.

Malahan katanya, undang-undang sedia ada yang digunakan di negara ini lebih zalim kerana memperuntukkan hukuman gantung sampai mati untuk kesalahan tertentu yang tidak terdapat dalam hukum hudud.

“Apa yang nak takut sangat (dengan hukum hudud)? Macam takut hantu... orang takut hudud macam takut hantu, tapi bila tanya apa itu hudud tidak tahu.

“Di Malaysia ada hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan jual dadah, merompak dan sebagainya tetapi orang tak kata apa pun... bagaimana dengan keluarga yang suaminya digantung sampai mati? Hudud tak mati, kenapa orang tak marah hukumam gantung sampai mati tapi marahkan saya pasal hudud?

“Hudud tak mati... hudud adalah undang-undang Allah, benda ini hanya sekadar nak masuk dalam senarai undang-undang Kelantan dan yang laksanakan bukan saya tapi hakim.

“Kalau dibandingkan dengan hukuman gantung yang lebih kejam daripada hudud, hudud tak mati, cuma kerat tangan itu pun perlu ikut syarat-syarat yang ditetapkan. Hukum hudud tak mati, malah mereka masih boleh bekerja macam orang biasa,” katanya ketika berucap pada majlis Jamuan Aidilfitri Bersama Tuan Guru di dataran parkir Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam di sini malam tadi.

Mursyidul Am PAS itu sebelum ini tetap dengan pendiriannya akan menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam.

Kerajaan negeri Kelantan pimpinannya berusaha untuk melaksanakan undang-undang itu sejak awal 1990-an tetapi tersekat ekoran amaran kerajaan pusat yang disampaikan pada 1994.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi katanya ia belum dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.

Tambah Nik Aziz, hukuman hudud tidak semestinya dilaksanakan, namun mahu ia dimasukkan dalam undang-undang syariah Islam sedia ada.

“Dekat pilihan raya timbul balik, saya di Kelantan hanya nak masuk dalam undang-undang syariah Kelantan, lepas pada itu terserah kepada hakim (untuk laksanakan), bukan saya yang laksanakan.

“Bukan saya atau orang politik laksanakan, hakim yang tentukan,” kata beliau.

Dalam ceramah itu juga, Nik Aziz mengatakan ajaran Islam bukan diwujudkan oleh PAS tetapi Allah dan semua yang beragama Islam perlu mengikut perintah dan meninggalkan larangannya.

“Umno tolak Islam ambil kebangsaan, Islam bukan dari PAS... dari Allah, Islam adalah cara hidup dan semuanya perlu ikut cara Islam.

“Pangkah parti yang boleh selamatkan Islam, sekarang bukan Islam sahaja, demokrasi pun tak selamat... Islam datangnya dari Allah, bumi, langit dan kita, Allah yang punya,” katanya. -tvsews



Kenyataan Tidak Profesyenal, KPN Digesa Jangan Nampak Sangat Bela BN

KPN jangan nampak sangat bela BN

KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar didesak agar tidak menampakkan sangat beliau berkhidmat untuk Barisan Nasional (BN) apabila begitu risau parti itu kalah pilihan raya, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Kenyataan dan pandangan Ismail secara terbuka bahawa kerajaan BN boleh kalah dalam pilihan raya umum jika tidak menangani isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan baik, dilihat tidak sepatutnya dikeluarkan seorang kakitangan kerajaan.

"Apa masalah kepada pasukan polis kalau BN kalah? Mengapa Ketua Polis Negara nampak risau sangat?

"Saya harap sangat tidak ada kaitan dengan apa yang disebut oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) bahawa sudah jadi parti perasuah," kata beliau.

Mahfuz mempersoalkan, mengapa Ketua Polis Negara sibuk sangat sama ada BN menang atau kalah?

"Kalau Ismail dah terlupa, rakyat perlu bangkit beramai-ramai untuk mengingatkannya bahawa tugas polis menjaga kepentingan negara dan rakyat, bukan menjadi suruhan BN dan menjadi pengawal keselamatan parti itu.

"Polis sepatutnya dilihat tidak memihak," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang menyifatkan Ketua Polis Negara itu memperlihatkan dirinya lebih Umno dari Umno.

Mahfuz juga mempersoalkan apa perlunya pihak polis mengadakan sesi memerah otak, diskusi dan juga forum sehingga berbulan-bulan lamanya sebelum ISA dan lain-lain undang-undang darurat dihapuskan.

"Adakah polis sudah mengambil alih tugas Jabatan Peguam Negara?

"Kerja polis bukan menggubal undang-undang, kerja polis menguatkuasakan undang-undang,
" katanya.

Sambil mengakui pihak polis boleh dipanggil untuk memberikan pandangan dalam penggubalan sesuatu undang-undang yang berkaitan dengan bidang kuasanya, Mahfuz berkata adalah pelik kalau Ketua Polis Negara pula yang nampak lebih sudu dari kuah.

Beliau juga berharap Ismail mengurangkan kenyataan-kenyataan yang boleh memudaratkan dirinya sendiri.

"Sekarang semakin ramai yang menuduh (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kelihatan lebih tidak cerdik dari (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi).

"Saya harap Ismail lebih berhati-hati agar beliau tidak popular dengan tuduhan tidak cerdik seperti Abdullah," katanya. -HD

IGP: BN boleh kalah PRU jika gagal urus isu ISA

KUALA LUMPUR, 23 Sept ─ Dalam pandangan seumpama yang jarang-jarang dikeluarkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengingatkan, kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh kalah dalam pilihan rayau mum jika tidak menangani isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan baik.

Pendirian itu digariskan dalam satu buku berkaitan dengan 1 Malaysia yang diterbitkan sebelum pengumuman pentadbiran Najib mengenai ISA minggu lalu.

Menurut Ismail, isu ISA iaitu undang-undang yang diperkenalkan pada 1960, akan terus menjadi topik politik yang hangat untuk diperbincangkan dan pihak pembangkang akan terus menagih simpati dan sokongan pengundi.

Ismail yang menggantikan Tan Sri Musa Hassan September 2010 berkata, walaupun kerajaan berjanji untuk melihat semula akta tersebut khususnya dalam hal tanpa perbicaraan, namun banyak pihak yang meragui langkah itu.

Penggubalan dan penguatkuasaan ISA terletak di tangan kerajaan pusat, yang diterajui oleh BN sejak negara merdeka.

“Kerajaan dikatakan akan tetap menggunakan ISA sebagai serampang dua mata. Pada pihak kerajaan ISA penting untuk mengekalkan keamanan dan mengawal keselamatan negara tetapi pihak pembangkang terus menangih simpati dan sokongan pengundi,” kata beliau.

Justeru katanya, “jika kerajaan tidak dapat mengurus isu ini dengan baik, ia akan membawa kepada kekalahan dalam pilihan raya umum akan datang.”


Ismail mengatakan demikian dalam satu bab bertajuk “Keamanan dan Keselamatan Ke Arah Pembentukan Negara Maju” dalam buku berjudul “1 Malaysia Menjana Negara Sejahtera dan Bahagia Menjelang 2020”.

Buku itu dikeluarkan sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi perutusan khas sempena Hari Malaysia mengumumkan pentadbirannya akan memansuhkan ISA dan menggantikan dengan dua undang-undang baru.

Ismail berkata, tindakan pantas dan ‘pre-emptive’ yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia dalam menangkap elemen-elemen utama dalam kumpulan-kumpulan militan seperti Jemaah Islamiah (JI), Darul Islam (DI), Al-Qaeda dan Kumpulan Abu Sayyaf sejak 2001 merupakan faktor utama Malaysia terus selamat daripada sudut ancaman kumpulan militan di rantau ini.

Dalam tulisannya, Ismail juga menarik perhatian bahawa senario politik yang disaksikan pada Mac 2008 dijangka berlaturan pada masa-masa akan datang.

“Dalam pilihan raya umum ke-12, negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak jatuh ke tangan parti pembangkang. Di peringkat Parlimen pula, BN gagal memperoleh dua pertiga majoriti.

“Ini menyebabkan keadaan politik di peringkat negeri tidak menentu dan rapuh. Keadaan ini dijangka berlarutan pada masa-masa akan datang,” kata Ismail.

Tambah beliau, pemerintah di peringkat negeri hanya memperoleh majoriti mudah seperti yang dapat dilihat di negeri Perak.

Perikatan Pakatan Rakyat menguasai kerajaan negeri itu pada pilihan raya umum 2008 tetapi tumbang awal 2009 apabila tiga wakil rakyatnya bertindak keluar parti masing-masing.

Dalam perutusan khas Hari Malaysia Khamis lalu, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Kata Perdana Menteri, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Najib menjelaskan, undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Katanya, apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa menteri.

Dalam ucapan sulung selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada 3 April 2009 Najib telah berjanji untuk mengkaji ISA secara komprehensif.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa Akta Buang Negeri 1959 akan dimansuhkan di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Malah, kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa. -TMI



Berita Tidak Berintegriti, BERNAMA Didesak Tarik Balik Laporan

Guan Eng mahu Bernama tarik balik laporan, minta maaf

KUALA LUMPUR, 25 Sept ─ Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu Bernama menarik balik laporannya kelmarin mendakwa beliau telah mensabotaj Johor menerusi satu temu bual dengan Radio Australia baru-baru ini dan memohon maaf.

Lim (gambar) akan mengambil tindakan undang-undang jika agensi berita nasional itu enggan memohon maaf.

Dalam surat yang dihantar kepada Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong hari ini, Setiausaha Akhbar Lim, Wong Kim Fei berkata ketika ditemu bual Lim tidak menyebut langsung nama Johor, sebaliknya hanya menyentuh isu perjanjian berkaitan pertukaran pencari suaka, cadangan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Pulau Pinang.

“Tidak bila-bila masa beliau ada menyebut satu patah perkataan pun mengenai Johor dan merujuk situasi di negeri-negeri lain di Malaysia ketika temu bual dengan Radio Australia.

“Dua pembantu yang mengiringi Lim, Jeffrey Chew dan Yap Soo Huey, hadir ketika temu bual, boleh mengesahkan fakta bahawa Lim tidak menyebut Johor langsung,” katanya.

Lim telah ditemu bual oleh Radio Australia pada 20 September oleh Cameron Wilson.

Wong menambah, laporan paslu dan pembohongan membawa kepada serangan buas pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Lim mahu mensabotaj Johor.

“Oleh kerana laporan anda berkenaan Lim dengan Radio Australia tidak benar, palsu dan penuh dengan pembohongan, Bernama harus menarik balik dan memohon maaf tanpa syarat kepada Lim dengan segera dan menyiarkan (kandungan surat) ini dalam Bernama, jika gagal Ketua Menteri Pulau Pinang akan mengambil tindakan perundangan ke atas Bernama,” katanya.

Katanya, Bernama pernah memohon kepada Lim yang juga Setiausaha Agung DAP pada 14 Mac 2008 ekoran satu laporan yang tidak benar.

Wong berkatan pihaknya berharap Bernama akan terus mempertahankan standard integriti kewartawanan yang profesional dan yang ada kebenaran.

Semalam, Lim menafikan laporan dikeluarkan oleh Bernama berhubung kenyataannya memburuk-burukkan Johor ketika temu ramah berkenaan.

“Ini kerana saya ada saksi iaitu dua pegawai yang turut bersama saya ketika ditemu ramah tempoh hari,” kata Lim.

Kelmarin, Muhyiddin berkata, Lim tidak sepatutnya memandang rendah dan mensabotaj negeri lain semata-mata untuk menarik pelabur asing ke negeri yang dipimpinnya.

Muhyiddin berkata tindakan Lim memburuk-burukkan Johor dengan menyatakan negeri berkenaan tidak sesuai untuk pelaburan akan memberikan gambaran yang tidak baik kepada Malaysia dan turut memberi kesan kepada negeri lain.

“Jangan memandang rendah, jangan sabotaj dengan perkataan-perkataan jahat, yang niatnya tidak baik untuk menyekat atau menghalang... ini memberi gambaran yang tidak baik kepada Malaysia. Ini (memburuk-burukkan Johor) satu tindakan yang tidak sepatutnya,” kata Muhyiddin yang juga bekas menteri besar Johor.

Kenyataan Muhyiddin turut disusuli dengan pandangan pelbagai pihak dari Johor mengecam Lim.

Lim didakwa berkata, Johor bukanlah negeri yang selamat kerana penuh dengan jenayah dan peluang untuk diculik sangat mudah berbanding Pulau Pinang.

Lim didakwa membuat kenyataan itu sebagai cubaan untuk mengalihkan pelaburan Australia di Johor ke Pulau Pinang.

Sebelum itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan mendakwa Lim telah memburukkan Johor di luar negara.

Mustapa dilapor berkata beliau dimaklumkan bahawa Lim ketika dalam satu majlis telah mempertikaikan keadaan keselamatan di Johor jika dibandingkan dengan Pulau Pinang dan kenyataan itu tidak mencerminkan perkara yang sebenar. -TMI

Keterlaluan: PERKASA Ganggu Cemarah Mat Sabu Di Seremban

Ceramah: Penyokong PAS, PERKASA bergaduh

Sambutan Aidilfitri dan ceramah timbalan presiden PAS Mohamad Sabu di Seremban malam tadi, tercemar apabila beberapa penyokong PAS cedera akibat dibaling batu dan air botol, malam semalam.

Acara yang dijadual bermula jam 9 malam tetapi setengah jam sebelum itu, kira-kira 100 penyokong kumpulan pendesak Melayu, PERKASA mula berhimpun di tepi jalan utama yang terletak kira-kira 60 meter dari pentas ceramah.

Mereka membawa sepanduk dan kain rentang seperti "Mat Sabu Pembohong", "Mat Sabu Perosak Bangsa" dan "Mat Sabu Hina Pejuang".

Pada awalnya, keadaan dilaporkan terkawal tetapi apabila Mohamad atau lebih popular dengan panggilan Mat Sabu mula menyampaikan ceramah pada jam 10.15 malam, ahli-ahli PERKASA itu didakwa cuba bergerak ke arah pentas.

Mereka bagaimanapun dihalang oleh penyokong PAS dan akibatnya berlaku tolak-menolak dan keadaan menjadi tidak terkawal.

Ketika itu, kira-kira 800 orang menghadiri majlis berkenaan.

Beberapa air botol dan juga batu kemudiannya didakwa dilontarkan ke arah pentas berkenaan hingga menyebabkan ada penyokong PAS yang dilaporkan cedera. Seorang daripada mereka juga mendakwa dibelasah oleh ahli PERKASA.

Timbalan pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ghazali Mat Som yang merupakan penganjur acara itu kesal dengan kejadian tersebut dan mendakwa ahli PERKASA bertindak ganas.

"Seorang lelaki cedera di hidung dan kepalanya. Ada juga yang mendakwa ditumbuk di pipi dan terkena balingan batu di bahagaian belakang badan.

"Sebelum kejadian, seorang ahli PERKASA mahu menyerahkan memorandum bantahan tetapi kami tidak bersetuju menerimanya dan meminta mereka supaya bersurai.

"Kami kemudian memaklumkan kepada pihak polis dan apabila polis minta mereka bersurai, mereka juga engkar dan mula menunjukkan kebiadapan. Apabila lebih ramai polis datang, barulah mereka bersurai,” katanya.

Sehubungan itu, Ghazali menggesa polis supaya bertindak dengan adil dan memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Sementara itu, Setiausaha PERKASA Negeri Sembilan, Alias Mohamad yang turut hadir semasa kejadian itu semalam, ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini berkata bahawa mereka bukanlah anti-PAS tetapi sekadar menyatakan bantahan terhadap Mat Sabu.

Kami bukan menentang PAS secara keseluruhan tetapi hanya menyatakan bantahan kami terhadap Mohamad Sabu yang menyakitkan perasaan banyak anggota tentera.

"Ramai bekas anggota tentera hadir malam tadi dan mereka kecewa dengan kedegilan Mat sabu dan keenggannya meminta maaf berhubung kenyataannya.

"Dia yang diiktiraf komunis dan memartabatkan komunis.

Apabila diminta mengulas mengenai beberapa penyokong PAS yang cedera itu, Alias berkata PERKASA hanya mahu menyerahkan memorandum tetapi dihalang.

"Kami hanya mahu menyerahkan memorandum bantahan tetapi kami telah dihalang oleh penyokong PAS. Ini menyebabkan keadaan panik dan kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.

"Tetapi saya difahamkan seorang daripada ahli kami juga terkena simbahan air panas daripada sumber yang tidak diketahui,” katanya. -mk

Terbongkar: Lynas Bina Logi Di Malaysia Kerana Kosnya Murah, Kerajaannya Bagus!

Nadir bumi: M'sia ada kelebihan berbanding China - Lynas

Malaysia mempunyai kelebihan dalam menarik aktiviti hiliran di dalam industri nadir bumi berbanding dengan China kerana ia mempunyai sistem perundangan dan harta intelek yang sangat baik, kata Naib Presiden Eksekutif Strategi dan Komunikasi Korporat Lynas Corporation Ltd Dr Matthew James.

Pada masa yang sama, kelebihan kos di segi kos buruh, tenaga dan kimia yang pernah disediakan China tidak lagi terpakai dan Malaysia dilihat sebagai lokasi yang sangat kompetitif berikutan kenaikan kos yang tinggi yang berlaku di China sejak sedekad lepas, katanya.

"Itulah yang dilakukan oleh kuota eksport China (mengenai nadir bumi) yang digalak (digunakan) di China. Mereka cuba menggalakkan industri hiliran berkenaan barpindah ke China dengan menghadkan akses terhadap nadir bumi.

"Terdapat banyak negara yang enggan memindahkan industri masing-masing ke China kerana mereka prihatin mengenai perlindungan harta intelek. Syarikat berkenaan lebih condong memindahkan industri masing-masing ke Malaysia," katanya kepada Bernama di ibu pejabat Lynas di Sydney, Australia.

China, yang mengeluarkan lebih 90 peratus daripada nadir bumi dunia dilaporkan telah mengurangkan kuota eksport yang menghadkan bekalan global, dan sebaliknya menaikkan harganya.

Sementara itu, kilang pemprosesan nadir bumi Malaysia telah merangsang minat apabila Lynas telah menandatangani satu surat hasrat dengan bahagian Teknologi Pemacu Siemens pada Julai bagi pengeluaran magnet dan usahasama itu dijangka dizahirkan pada akhir tahun ini, katanya.

James berkata lima lokasi telah dipertimbangkan bagi pembinaan kilang pengeluaran usahasama itu dan tiga daripadanya adalah di Malaysia.

Katanya Lynas juga telah mengadakan perbincangan komersil dengan syarikat lain mengenai pembinaan operasi aplikasi hiliran seiringan dengan kilangnya di Gebeng.

"Apabila anda melihat sesetengah industri elektronik hiliran Malaysia yang telah sedia ada, seperti komponen automotif hiliran, anda boleh menjangka pelaburan (kilang nadir bumi Lynas) boleh diterima bagi melengkapkan rantaian nilai antara bahan mentah yang akan disediakan oleh Lynas dan industri berkenaan," katanya.

Sementara itu, Kilang Material Canggih Lynas (LAMP) di Gebeng, Kuantan, akan mempunyai kapasiti awal untuk memproses 11,000 tan metrik oksida nadir bumi (REO) setahun, dengan pengembangan kepada 22,000 tan metrik setahun.

Kilang itu, yang sudah siap lebih 60 peratus sehingga akhir Jun, akan mengeluarkan produk nadir bumi bersama-sama satu siri Produk Galian Sintetik.

Kilang bernilai RM700 juta itu dilaporkan bergelut dengan kontroversi, yang dicetus oleh dakwaan bahawa ia akan mengeluarkan radiasi yang memudaratkan kesihatan orang ramai yang membawa kepada lawatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dari 29 Mei hingga 3 Jun.

Di dalam laporannya, IAEA mengesahkan bahawa kilang itu, sebaik siap lewat tahun ini, dijangka selamat dan mematuhi sepenuhnya dengan standard antarabangsa tetapi lesen praoperasinya masih bergantung kepada kelulusan pengawal atur. - Bernama

Ulasan GB

Terselindung dengan ayat yang berpusing-pusing tetapi ternyata, Malaysia dipilih sebagai lokasi untuk pembinaan kilang nadir bumi adalah lantaran kos buruh, tenaga dan kimia di Malaysia adalah rendah berbanding di negara lain.

Di dalam erti kata lain kos pembinaan logi nuklear di Malaysia adalah MURAH.

Apatah lagi dengan sikap kerajaan yang memudahkan usaha mereka di dalam projek berkenaan dengan kenyataan dari Naib Presiden Eksekutif Strategi dan Komunikasi Korporat Lynas Corporation Ltd Dr Matthew James bahawa kononnya Malaysia mempunyai sistem perundangan dan harta intelek yang sangat baik!

Dipujinya Malaysia melambung tinggi kerana sikap kerajaan yang dilihat "positif" terhadap projek berkenaan sekalipun satu dunia telah menolaknya.

Rendahnya tahap mentaliti pemimpin kerajaan Malaysia yang mudah diperbodohkan oleh syarikat berkenaan!

Kanak-kanak Maut Jatuh Dari Tingkat 5 Kuarters Polis Marang

Marang - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lima kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini semalam.

Gambar: Bangunan kuarters IPD Marang tempat Ahmad Safuan terjatuh dari tingkat 5.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, mangsa, Ahmad Safuan Syafik Afandi yang mengalami sindrom down dan hiperaktif dipercayai terjatuh kira-kira pukul 7.45 pagi.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas tangan dan kaki kirinya patah dan mengalami kecederaan parah di kepala.

"Sebelum kejadian, ada seorang anggota polis terserempak dengan mangsa di tingkat enam di kuarters berkenaan dan bertanya kepada mangsa, dia hendak ke mana, tetapi mangsa terus berlari ke tingkat bawah," katanya kepada pemberita. -kosmo

Budak maut jatuh 6 tingkat

MARANG: “Walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku, saya reda dengan pemergian arwah,” kata Koperal Shafik Afandi Ahmad, 44, bapa kepada seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima kuarters kediaman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, semalam.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi, Ahmad Safuan Shafik Afandi (gambar) dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebelum ditemui anggota polis wanita, Koperal Marina Jaafar, 37, yang dalam perjalanan menghantar anaknya ke rumah pengasuh yang tinggal di blok sama dengan mangsa.

Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di belakang kepala, patah tangan dan kaki kiri sebelum jenazahnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HNSZ), Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut.

Jelas Shafik Afandi yang bertugas di Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam IPD Marang, kejadian dipercayai berlaku jam 7.50 pagi selepas arwah kali terakhir dilihat berada di lif tingkat enam sebelum turun melalui tangga ke tingkat lima, 10 minit sebelum ditemui jatuh di tingkat bawah kuarters.

“Saya tidak pasti bagaimana kejadian berlaku. Ketika kejadian, isteri, Roslina Mohd Yusof, 44, memasak manakala tiga anak lain menonton televisyen sebelum isteri dikejutkan dengan kejadian yang menimpa arwah,” katanya ketika ditemui di Surau An Nur, IPD Marang, di sini, semalam.

Ketika ditanya sikap arwah di rumah, Shafik Afandi berkata, arwah tidak menunjukkan sikap pelik selain manja dan rapat dengan keluarga.

“Walaupun arwah anak istimewa yang menghidap Sindrom Down dan hyperaktif, dia tidak menyusahkan dan faham jika kita menyuruh dia melakukan sesuatu.

“Ketiadaannya pasti memberikan kesan mendalam terhadap kami sekeluarga,” katanya yang tiga tahun menetap di tingkat lapan kuarters berkenaan.

Sementara itu, Marina berkata, dia menyedari kejadian itu ketika mendukung anaknya berusia tiga tahun untuk dihantar ke rumah pengasuh yang tinggal di blok sama dengan mangsa.

“Ketika itu saya terdengar bunyi kuat dan menyangka ia sampah yang dibuang memandangkan tidak mendengar bunyi jeritan.

“Sebaik menjenguk ke dalam longkang, saya tergamam melihat seorang kanak-kanak berlumuran darah sebelum memaklumkan kejadian itu kepada seorang rakan berhampiran yang kebetulan menghidupkan enjin motosikal.

“Saya tidak pasti mangsa masih bernyawa atau tidak, cuma matanya ketika itu tertutup sebelum orang ramai mengangkat mangsa ke atas kerusi berhampiran,” katanya yang bertugas di Balai Polis Marang.

Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa ditemui di tingkat enam jam 7.40 pagi dan mungkin jatuh sama ada dari tingkat enam, lima atau empat yang mana siasatan lanjut mengenai kejadian ini akan dijalankan bagi mengetahui punca kejadian,” katanya. -hm



Satelit AS Jatuh Ke Bumi, Rakyat Malaysia Diminta Waspada

Satelit AS jatuh ke bumi

WASHINGTON - Sebuah satelit tamat tempoh seberat enam metrik tan milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkecai semasa memasuki atmosfera bumi pagi semalam dengan serpihan-serpihannya jatuh bertaburan di rantau Lautan Pasifik.

GAMBAR UARS yang sempat dirakamkan di ruang udara Belanda pada 18 Jun 2010.

Pusat Operasi Bersama Angkasa Lepas AS dan NASA dalam satu kenyataan memberitahu, serpihan-serpihan satelit sebesar sebuah bas itu tidak semestinya menjunam ke dalam laut tetapi mengesahkan ia jatuh dalam kawasan seluas 800 kilometer persegi di rantau Pasifik.

Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa belum ada mengenal pasti lokasi yang tepat tempat serpihan-serpihan tersebut jatuh.

GAMBAR satelit UARS yang dikeluarkan oleh NASA selepas ia jatuh ke bumi kelmarin. - AFP

Menurut kedua-dua agensi AS itu, satelit sepanjang 11 meter itu jatuh antara pukul 1.23 petang (5.09 petang semalam waktu Malaysia).

Semasa menembusi atmosfera bumi, ia berkecai kepada lebih 100 kepingan tetapi cuma sekitar 26 kepingan logam berat dengan serpihan terbesar seberat 135 kilogram dijangka menjunam ke bumi.

NASA meramalkan kelajuan serpihan satelit itu apabila memasuki ruang udara ialah kira-kira 109 meter sesaat.

NASA sebelum ini meramalkan satelit yang dikenali sebagai Satelit Penyelidikan Atmosfera Amerika Syarikat (UARS) itu jatuh ke bumi seawal Khamis lalu. -kosmo

Orangramai Diingatkan Jangan Sentuh Objek Luarbiasa

KUALA LUMPUR: Agensi Angkasa Negara hari ini menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh, mengambil atau menyimpan objek luar biasa yang ditemui kerana berkemungkinan ia serpihan satelit milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Sebaliknya, agensi itu dalam satu kenyataan di sini meminta agar penemuan berkenaan dimaklumkan kepada mereka bagi tindakan lanjut.

Laporan NASA yang dipetik collectSPACE.com menyatakan satelit seberat enam tan yang dilancar pada 1991 itu jatuh ke bumi antara lewat Jumaat dan awal Sabtu.

Satelit itu dilapor memasuki atmosfera bumi dan jatuh melepasi Lautan Pasifik dengan waktu dan lokasi sebenar belum diketahui dengan tepat. - BERNAMA


Pak Lah Turut Selar Tindakan SKMM Sekat Klip Undilah

Pak Lah: Tiada sebab SKMM wajar sekat klip Undilah

KUALA LUMPUR, 24 Sept — Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan tiada sebab bagi pengawal selia stesen penyiaran menghalang penyiaran klip video Undilah kerana pengumuman khidmat awam seumpama itu ke udara demi kepentingan umum sejak pilihan raya umum pertama.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengarahkan agar stesen penyiaran lokal tidak lagi menyiarkan klip video itu, yang dilancarkan sempena Hari Malaysia minggu lalu. Arahan itu difahamkan dikeluarkan oleh SKMM awal minggu ini.

“Saya merasakan ia (klip video) baik. Saya seronok mendengar (klip video itu),” kata bekas perdana menteri (gambar) ini.

“Saya mendapati lagu ini bukan (memihak) mana-mana kumpulan atau parti, liriknya menggalakkan, merangsang orang ramai tentang kepentingan pilihan raya,” kata beliau pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di sini hari ini, dengan merujuk kepada klip Marilah Mengundi yang lazimnya akan dimainkan ketika pilihan raya.

“Saya tidak melihat apa-apa sebab mengapa SKMM wajar ambil tindakan ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan awal hari ini, SKMM berkata klip video Undillah belum mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk siaran, dan oleh itu, ia tidak sepatutnya disiarkan menerusi televisyen sehingga ia telah mendapat kelulusan.

Agensi itu berkata, hasil pemantauan pematuhan secara rutin dibuat menunjukkan pengumuman khidmat awam yang dihasilkan oleh pemuzik Pete Teo belum mendapat kelulusan LPF.

SKMM menambah, di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, semua penyiar mesti menghentikan penyiaran klip video berkenaan.

Banyak pihak termasuk mereka yang menjayakan penerbitan klip itu mengkritik tindakan SKMM yang melarang stesen penyiaran lokal daripada menyiarkan bahan itu.

Selain Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dari Umno turut menjayakan klip itu ialah Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin.

Personaliti lain termasuklah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pelakon Afdlin Shauki dan penulis lirik kontroversial Namewee merupakan antara individu terpilih untuk mendendangkan lagu Undilah ciptaan komposer Pete Teo.

Video klip berdurasi 4.38 minit itu turut menampilkan 40 personaliti termasuk ahli politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, Abdullah yang melepaskan jawatan perdana menteri April 2009 bertanya sama ada lesen atau kelulusan diperlukan untuk menyiarkan klip pengumuman khidmat awam. -TMI

Ulasan GB

GB sudah mengulas hal ini semalam di SINI. Petikan:

Jawapan yang cukup kartun dari SKMM.

Apakah di dalam video klip itu ada ajakan kepada permusuhan dan pertentangan ras, atau ada adegan bogel dan seks sepertimana video seks yang sebelum ini disiarkan secara meluas di dalam berita-berita televisyen?

Hanya sekadar untuk memberikan alasan menegakkan benang yang basah semata-mata kerana klip video itu memaparkan beberapa wajah ddan ucapan beberapa pemimpin yang tidak disenangi oleh UMNO BN. Jika boleh klip video yang perlu ditayang di TV hanya perlu ada muka-muka Najib, Muhyiddin, Rais Yatim, Jamil Khir dan seumpamanya sahaja.

Rakyat bukan bodoh macam zaman 60an 70an. Ini zaman IT, zaman digital, zaman internet, zaman maklumat di hujung jari. Sungguh kasihan SKMM masih berada dan hidup di zaman batu
.



MCA: Pendakwaan Mat Sabu Untungkan Pakatan, Cemar Imej Pihak Kerajaan

MCA menyelar tindakan mengheret Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu ke mahkamah berhubung kenyataan berkenaan peristiwa Bukit Kepong kerana ia hanya akan meninggalkan imej buruk di pihak kerajaan dan membawa simpati kepada pembangkang.

Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu berkata, tindakan mengenakan tuduhan ke atas Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu hanya akan menimbulkan keraguan mengenai dasar pembaharuan dan kebebasan sivil yang cuba dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya kata Gan, kerajaan seharusnya membiarkan Mohamad dan penyokongnya terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak masuk akal, bukannya menghadapkan mereka di mahkamah.

Katanya, kontroversi-kontroversi berkaitan fakta sewajarnya diselesaikan menerusi debat peringkat tinggi dan juga menerusi kajian akademik.

“Mengambil tindakan mahkamah hanya akan membawa gambaran negatif ke atas kerajaan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad dihadapkan di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 21 September lalu kerana dituduh membuat tohmahan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor.

Mohamad, 57, mengaku tidak bersalah dan minta dibicara terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan itu.

Beliau didakwa memfitnah anggota-anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, dengan mengetahui bahawa tohmahan yang dibuat akan merosakkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka.

Bagi pertuduhan alternatif, Mohamad didakwa telah memfitnah anggota-anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong dengan membuat tohmahan dalam ucapan ceramah.

Meskipun tidak setuju dengan tindakan mengenakan tuduhan ke atas Mohamad, Gan berkata, beliau juga tidak setuju dengan kenyataan pemimpin itu kerana turut menyinggung perasaan keluarga mangsa. -TMI

Ulasan GB

Biarkan. Tindakan membawa Mohd Sabu akan hanya menyebabkan UMNO BN akan kalah bertambah teruk di dalam PRU13 akan datang ini.

Kerana? Tiada apa yang hendak di tuduh ke atas Mohd Sabu. Perkataan komunis pun tak disebutnya sewaktu ceramah itu. Dan seperti GB ulaskan sebelum ini, 1,000 laporan polis yang dibuat ke atas Mohd Sabu itu, mesemua mereka tak pergi pun mendengar ceramah Mohd Sabu, hanya bersandarkan kepada laporan fitnah Utusan Malaysia.

Dihodohkan lagi oleh tindakan-tindakan oleh para blogger UMNO di mana semua rakyat mengetahui bahawa blogger-blogger pencacai ini adalah dari kalangan tidak berakhlak.

Tindakan polis dan Peguam Negara mengheret Mohd Sabu ke mahkamah akan hanya mengundang kebencian rakyat kepada kerajaan. Pengikut Mohd Sabu bukan sedikit, bukan terhad hanya kepada ahli PAS. Kalau tak percaya, suruh rakyat buat pilihan di dalam satureferendum, di antara muka Mohd Sabu dengan muka Tan Sri Ismail Omar, KPN atau Gani Patail - si peguam negara yang durjana itu, siapa yang rakyat lebih suka dan gemar?

Jadi di penghujung hari, yang bakal ditimpa kehinaan nanti ialah si pemfitnah itu, Utusan. Menurut pemerhatian GB, Utusan bakal lenyap dari bumi Malaysia!


Kanak-kanak Dicabul Sepupu Semasa Main "Pondok-pondok"

Padah tiru aksi ‘panas’

HULU SELANGOR: Gara-gara mahu meniru aksi melakukan hubungan seks ketika bermain ‘pondok-pondok’ bersama sepupunya, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan polis selepas mencabul kanak-kanak itu yang berusia empat tahun, kelmarin. Gambar hiasan.

Difahamkan, remaja lelaki terbabit ditahan polis selepas keluarga kanak-kanak itu membuat laporan dan pemeriksaan mendapati ada kesan cabul pada bahagian kemaluan mangsa.

Sumber menyatakan dalam kejadian tengah hari itu, kedua-duanya bermain di rumah mangsa.

“Ketika bermain, remaja terbabit dipercayai menyuruh mangsa membuka pakaiannya sebelum melakukan aksi tidak senonoh dan mencabul mangsa.

“Selepas selesai bermain, remaja itu pulang ke rumahnya. Namun, mangsa yang berasa sakit pada kemaluannya menangis dan memberitahu ibunya,” katanya.

Kata sumber, ibu mangsa kemudian bertanyakan anak kecilnya yang menceritakan perbuatan remaja terbabit.

Terkejut mendengar cerita itu, wanita berkenaan pergi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

Mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut sebelum polis menahan suspek di rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan penahanan remaja itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. -hm

Kuasa Allah: Ibu Menopause Lahirkan Anak Kembar

Seorang ibu berusia 58 tahun menjadi perempuan menopause kedua di Milan, Itali yang melahirkan bayi kembar. Peristiwa ini terjadi dua hari setelah pengadilan Itali mengkritik para pasangan tua yang melahirkan seorang anak.

"Kami sangat bahagia, ini adalah keajaiban dan oleh kerana itu, saya berterima kasih pada Tuhan," ujar perempuan berusia 58 tersebut, seperti dikutip AFP, Sabtu (24/9/2011).

Orangtua baru dari bayi kembar fraternal (laki-laki dan perempuan) sebelumnya gagal mengandung selama 27 tahun dan hanya berhasil mengandung ketika seorang wanita dari luar Itali mendermakan ovule. Praktik pendermaan ovule dilarang di Itali.

Kes yang sama juga terjadi di Itali. Pada minggu lalu, seorang pasangan di Kota Salero yang berusia 57 tahun dan 70 tahun melahirkan bayi kembar perempuannya.

Pengadilan Turin langsung mengadili kedua pasangan suami isteri tua tersebut karena mereka terlalu tua untuk membesarkan seorang anak. Pengadilan pun menyarankan anak kembarnya agar dijagai orang lain.

Ulasan GB

Allah Maha Berkuasa untuk mendatang bayi atau mengurniakan anak kepada sesiapa yang Dia kehendaki sekalipun jika tanpa pedermaan ovule.

Kisah Nabi Zakaria tertera indah di dalam Al-Quran:

قَالَ رَبِّ أَنَّىَ يَكُونُ لِي غُلاَمٌ وَقَدْ بَلَغَنِيَ الْكِبَرُ وَامْرَأَتِي عَاقِرٌ قَالَ كَذَلِكَ اللّهُ يَفْعَلُ مَا يَشَاءُ

Nabi Zakaria berkata: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul? Allah berfirman: Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Al-i'Imran : 40



Yang Tersiksa Di Selangor Kini Ialah Kroni Dan Suku Sakat UMNO-BN

Hanya kroni dan suku sakat umno-BN tertekan di S'gor'

Kerajaan Selangor bersetuju dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ada pihak yang tertekan sejak Pakatan Rakyat menerajui negeri tersebut dan mereka adalah kroni dan suku sakat Umno-BN.

Selama ini, kata setiausaha politik menteri besar Selangor, Faedah Husin, golongan tersebut telah mengaut kekayaan menerusi pemberian projek secara terus, menjadi orang tengah dan para pelobi.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang berharap rakyat Selangor memilih BN dalam pilihan raya akan datang setelah rakyat kini didakwa "terseksa" bawah Pakatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Faekah berkata kenyataan timbalan perdana menteri itu membuktikan Umno-BN semakin terdesak untuk menagih simpati rakyat negeri ini.

"Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh perdana menteri yang orang Umno suka syok sendiri," tambahnya.

Menurutnya, yang tertekan ini juga adalah ahli perniagaan yang merasuah pegawai kerajaan dan orang politik untuk mendapatkan pertolongan dan pengecualian dari beberapa polisi dan syarat-syarat termasuklah melibatkan perumahan kos rendah bagi mengejar keuntungan berganda.

"Lebih malang lagi, projek disiapkan dengan ala kadar menjadikan golongan berpendapatan rendah semakin tertekan,"
tambahnya.

Ketika pentadbiran Umno-BN, tegasnya, ahli perniagaan berkenaan 'terlalu berkuasa'dan undang-undang tidak mampu menakutkan mereka, kerana mereka mendapat 'keizinan' dan 'dilindungi' orang politik.

"Golongan yang tertekan juga adalah individu atau kumpulan tertentu yang menjadi orang tengah untuk mendapatkan projek atau tender dengan cara membodek orang politik bagi mendapat bayaran komisyen tinggi," tegas Faekah.

Golongan ini, katanya, juga tidak mempunyai modal atau kepakaran tetapi sekadar cukup ''menjual air liur kepada ahli politik.

"Golongan ini tanpa segan silu berkunjung dan bersidai di pejabat orang politik," katanya sambil mendakwa, senario ini telah berlaku semenjak Muhyiddin menjadi menteri besar Johor dan ia masih berterusan sehingga sekarang.

Faekah mendakwa banyak projek besar bernilai jutaan dan bilion diberikan kepada kroni-kroni dan kemudian menjual tender tersebut kepada syarikat lain semata-mata untuk mendapatkan komisyen.

"Tinjauan pendapat mendapati rakyat Selangor gembira dengan corak pentadbiran dan pengurusan kita yang tidak membenarkan golongan tertentu bersidai di pejabat menteri besar atau pegawai kanan kerajaan. Fenomena ini begitu meluas dilihat ketika pentadbiran Umno sebelum ini," katanya.

Sudah tentu, tambahnya, kroni Umno-BN tersebut tertekan kerana tidak lagi boleh membodek orang politik dan pegawai kerajaan kerana Kerajaan Selangor mengamalkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.

Apa-apa pun, tambahnya, mereka yang tertekan di bawah Pakatan Rakyat hanyalah golongan kecil yang tidak menjejaskan sokongan padu rakyat Selangor dalam pilihan raya umum tidak lama lagi.

"Manakala bagi rakyat biasa bila ditanya, sudah tentu Muhyiddin dan pemimpin Umno-BN lain akan terlopong melihat sokongan rakyat terhadap Pakatan yang telah berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat dengan pelbagai bantuan menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

"Dalam tempoh empat tahun, kita telah berbelanja lebih RM500 juta untuk rakyat dan sebahagian besarnya disalurkan untuk skim pemberian air percuma.

"Mana mungkin rakyat Selangor tertekan dengan pemberian air percuma ini dan program-program kebajikan lain yang diberikan kerajaan Pakatan Rakyat.

"Amat memalukan apabila Muhyiddin sebagai orang nombor dua dalam pentadbiran negara dan nombor dua dalam parti membuat kenyataan sebegini dan memalukan dirinya sendiri," katanya. -mk


Siapa Yang Sebenarnya 'Terseksa' Muhyiddin?

SHAH ALAM 24 SEPT : Dakwaan timbalan perdana menteri bahawa rakyat Selangor terseksa di bawah pentadbiran tiga tahun Pakatan Rakyat di negeri ini disifatkan sebagai tindakan terdesak Umno Barisan Nasional.

Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Shuhaimi Shafie berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin kini semakin terpaksa melakukan perang saraf apabila mendapati rakyat Selangor sebenarnya sudah cukup selesa dengan pentadbiran PR yang lebih mengutamakan kebajikan rakyat.

"Rakyat Selangor hari ini bukan terseksa, yang terseksa sebenarnya adalah pimpinan-pimpinan kanan Umno dan Barisan Nasional kerana tidak dapat menipu duit rakyat untuk kepentingan mereka.

"Malah rakyat Selangor secara keseluruhan semakin selesa dan bukan terseksa," katanya pada satu majlis rumah terbuka DUN Sri Muda hari ini.

Tambah Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda, kisah dongeng betapa penting untuk Umno merampas kembali Selangor demi menyelamatkan rakyat di negeri ini tidak akan berjaya kerana warga Selangor sedia maklum apa yang mereka mahukan.

"Rakyat di Selangor hari ini cukup berterima kasih kepada kerajaan negeri dan juga di atas kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang sudah menjalankan terlalu banyak program-program yang memberikan manfaat terbaik kepada rakyat.

"Malah mereka cukup bersyukur apabila Umno BN kalah di negeri Selangor dan Insya-Allah sokongan yang kita terima semakin meningkat dari hari ke hari," tambahnya lagi.

Beliau dalam pada itu berkata, dakwaan songsang Muhyiddin itu semalam di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang disifatkan sebagai tindakan menggelabah beliau yang tidak sabar mahu merampas tampuk pemerintahan negara.

"Jadi kita lihat sejak akhir-akhir ini ada percanggahan pendapat di antara Muhyiddin Yassin dan Najib Razak dan ini menggambarkan wujud kecelaruan yang besar daripada segi agenda memajukan negara atau pun memastikan kemenangan Umno dan BN di seluruh negara," katanya.

Shuhaimi berkata malah beliau yakin pada pilihan raya umum ke 13, rakyat di negeri Selangor tidak akan berpaling tadah untuk mengundi BN sebaliknya lebih ramai yang akan menyatakan sokongan mereka kepada PR untuk menuju ke Putrajaya.

Dalam pada itu, dakwaan Muhyiddin turut dibidas oleh beberapa pimpinan lain PR yang turut sama menyifatkan beliau dan sekutunya semakin tertekan untuk merampas semula Selangor dengan menggunakan apa jua taktik.

Menurut ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, Najib sebagai perdana menteri sendiri pernah menyatakan tekad akan merampas Selangor dengan apa cara sekali pun.

Justeru ujarnya yang juga timbalan presiden PKR, perkembangan negara mutakhir ini yang menyaksikan warga asing diberikan status kewarganegaraan sebagai bukti , pemerintah sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa.

"Ini memang kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh Najib yang beliau akan merampas Selangor dengan apa jua cara sekali pun dan ini menunjukkan Umno sanggup
menggunakan cara-cara yang kotor dan jijik serta tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat negeri Selangor dan langsung tidak mempunyai komitmen untuk menyuburkan demokrasi di dalam negara dan di negeri Selangor.

"Sebab itu Umno terpaksa menggunakan cara kotor termasuk memberikan kad pengenalan kepada warga asing semata-mata untuk menjamin kelangsungan politik mereka," katanya.

Dalam pada itu, ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata, tindakan Umno-BN yang menggunakan bangunan-bangunan kerajaan seperti sekolah bagi tujuan berkempen hakikatnya tidak disenangi rakyat.

"Saya ingin tegaskan di sini, pada masa yang sama rakyat di negeri Selangor tidak sabar menantikan PRU 13 akan datang untuk tubuhkan kerajaan baru menuju ke Putrajaya," katanya. -tvsnews