12 Mei 2015

Ada "Rundingan" Najib & Muhyiddin Supaya Najib Kekal Sementara Sebagai PM?


Reaksi wajah Najib jadi tanda tanya

Reaksi wajah Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media sebaik mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO selesai pada petang Isnin menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Selain mesyuarat yang berlangsung agak “panas”, kenyataan yang dibuatnya turut dipersoalkan.

Dalam entri terbarunya, bekas Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa, Shahbudin Husin membuat analisis berdasarkan gerak geri Najib ketika berdepan dengan media.

“Daripada apa yang diluahkan Najib selepas mesyuarat hari ini, jelas bahawa perbincangan berjalan dengan agak panas dan tegang.

Wajah Najib ketika bercakap dengan media adalah gambaran beliau tidak cukup gembira, tambahan pula Muhyiddin yang di sebelahnya langsung tidak menampakkan wajah senyum”, tulisnya di shahbudindotcom.blogspot.com.

Shahbudin juga mempersoalkan hasil perbincangan empat mata antara Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyuddin Yassin, yang berlangsung di Putrajaya.

Katanya, berdasarkan reaksi yang ditunjukkan, ia menjadi tanda tanya apakah hubungan kedua mereka telah benar-benar pulih.

“Semua orang sedar sebelum mesyuarat MT semalam banyak tembakan telah ditujukan kepada Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO terutama berkaitan isu 1MDB, Tabung Haji dan kesannya kepada sokongan rakyat.

“Muhyiddin, Zahid Hamidi, Shafie Apdal, Hishammuddin, Khairy Jamaluddin dan beberapa pemimpin peringkat bahagian tampil satu demi satu meluahkan kebimbangan mereka tentang kedudukan semasa UMNO”, dakwanya.

Mengenai kenyataan Najib berhubung pertemuannya dengan Muhyiddin yang berlangsung di pagi Isnin, blogger itu turut mengulas lanjut.

“Hari ini jugalah Najib akhirnya mengakui dan mungkin baru menyedari beliau sebenarnya ada timbalan yang boleh membantu dan sepatutnya selalu diajak berbincang.

“Gambaran daripada kenyataan ini tidak diragui lagi membuktikan Najib tidak pernah atau jarang mengajak Muhyiddin berbincang sebelum ini. Ia diperkukuhkan lagi apabila Najib memberi pengakuan “kita akan selalu bincang” yang memberi erti selama ini mereka tidak pernah berbincang sama sekali.

“Adakah Najib selama ini mentadbir seorang diri atau beliau sebenarnya ada rakan bincang yang lain selain Muhyiddin?”, soalnya.

Berdasarkan jawapan yang diberikan, dia membuat andaian mungkin, orang nombor dua itu tidak pernah diajak berbincang sehingga menyebabkan Muhyiddin mengatakan beliau enggan menjawab mengenai 1MDB setiap kali rakyat meminta penjelasan daripadanya.

Isu 1MDB yang semakin terdesak juga menyebabkan buat pertama kali selepas enam tahun, Najib cuba menerima pandangan beberapa ahli MT yang menawarkan kepakaran dan pengetahuan mereka untuk menyelesaikan masalah berkaitan syarikat itu.

“Hakikat ini menunjukkan syarikat itu memang menghadapi masalah besar dan Najib nampaknya sudah tidak berupaya lagi merungkai kekusutannya. Patutlah banyak pertanyaan Tun Mahathir tidak mampu dijawabnya?

“Secara langsung hampir benarlah dakwaan pelbagai pihak termasuk Tun Mahathir terhadap 1MDB selama ini!” tulisnya.

Bagi Shahbudin, dia apa yang dinyatakan Najib berhubung sokongan yang diterima pada sidang media hanya bersifat luaran atau permukaan wal hal ia berada dalam keadaan yang rapuh.

“Soalnya berapa lamakah sokongan itu mampu dipertahankan, terutama jika terbongkar lagi isu-isu lain seperti Tabung Haji yang dikaitkan dengan 1MDB tempohari?” tulis Shahbudin ketika mengakhiri blognya. -FMT


Ungkapan "Kita Akan Selalu Bincang" Petanda Najib Mulai Bimbang

Apakah yang dapat disimpulkan daripada mesyuarat MT UMNO semalam di sebalik beberapa penjelasan yang diucapkan Najib Razak kepada media sebaik saja mesyuarat itu berakhir?

Adakah semuanya sudah beres dan keakraban kembali seperti sedia kala apabila Najib berkata semua ahli MT memberi sokongan penuh kepada beliau dan timbalannya, Muhyiddin Yassin?

Apakah hubungan Najib dengan Muhyiddin sudah pulih dan mereka benar-benar tiada masalah lagi hanya dengan adanya pertemuan hati ke hati pada sebelah pagi sebelum mesyuarat semalam?

Kenapa ketika bercakap dengan media wajah Najib tidak begitu ceria manakala Muhyiddin kelihatan masam mencuka?

Semua orang sedar sebelum mesyuarat MT semalam banyak tembakan telah ditujukan kepada Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO terutama berkaitan isu 1MDB, Tabung Haji dan kesannya kepada sokongan rakyat.

Muhyiddin, Zahid Hamidi, Shafie Apdal, Hishammuddin, Khairy Jamaluddin dan beberapa pemimpin peringkat bahagian tampil satu demi satu meluahkan kebimbangan mereka tentang kedudukan semasa UMNO.

Shafie Apdal paling ketara tingkahnya, selepas melahirkan kebimbangan mengenai 1MDB yang tidak ditangani secara telus, kemudian pergi menunaikan umrah dan tidak hadir beberapa program parti dalam dua tiga hari ini, dari Mekah pula beliau mengeluarkan kenyataan lagi agar UMNO dijadikan parti akar umbi dan bukannya eksklusif kepada golongan tertentu saja.

Pemuda-pemuda UMNO negeri sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan yang senada dan seolah-olah kecewa dengan beberapa isu yang dilihat tidak telus serta tidak diurus dengan baik sehingga memberi kesan kepada keputusan pilihanraya di Rompin dan Permatang Pauh.

Daripada apa yang diluahkan Najib selepas mesyuarat semalam, jelas bahawa perbincangan berjalan dengan agak panas dan tegang. Wajah Najib ketika bercakap dengan media adalah gambaran beliau tidak cukup gembira, tambahan pula Muhyiddin yang berada di sebelahnya langsung tidak menampakkan wajah senyum.

Hari semalam jugalah Najib akhirnya mengakui dan mungkin baru menyedari beliau sebenarnya ada timbalan yang boleh membantu dan sepatutnya selalu diajak berbincang.

"Saya berjumpa dari hati ke hati dengan Muhyiddin pada pagi tadi dan saya memberi pengakuan kita akan selalu bincang untuk memastikan kepimpinan UMNO di peringkat pucuk pimpinan berada dalam keadaan selesa dan kukuh supaya tidak ada sesiapa boleh memecah belahkan kita," kata Najib.

Gambaran daripada kenyataan ini tidak diragui lagi membuktikan Najib tidak pernah atau jarang mengajak Muhyiddin berbincang sebelum ini. Ia diperkukuhkan lagi apabila Najib memberi pengakuan "kita akan selalu bincang" yang memberi erti selama ini mereka tidak pernah berbincang sama sekali.

Adakah Najib selama ini mentadbir seorang diri atau beliau sebenarnya ada rakan bincang yang lain selain Muhyiddin?

Apakah kerana Tun Mahathir sudah beberapa kali menyebut Muhyiddin sebagai bakal Perdana Menteri, maka Najib baru menyedari beliau sedang disaingi dan kini cuba "mengepung" timbalannya itu?

Mungkinkah kerana tidak pernah diajak berbincang itu menyebabkan Muhyiddin mengatakan beliau tidak tahu nak jawab apa mengenai 1MDB setiap kali rakyat meminta penjelasan daripadanya dan ia akhirnya menjadi sebab utama kekalahan BN di Permatang Pauh?

Selain itu, kenapa pula Najib memberitahui beliau ada perbincangan hati ke hati dengan Muhyiddin pada pagi sebelum mesyuarat MT kali ini?

Jika beliau selalu mengadakan perbincangan dengan Muhyiddin atau setiap kali sebelum mesyuarat bulanan MT, pertemuan dengan timbalannya itu sentiasa diadakan, tentulah tidak perlu diberitahu adanya pertemuan hati ke hati ini?

Dengan baru sekarang mengaku mengadakan pertemuan hati ke hati dengan timbalannya, bukankah ia bermakna mereka tidak pernah berbincang sebelum ini?

Lebih dari itu, bukankah apabila ada perbincangan hati ke hati, bermakna memang ada perkara yang terbuku di hati?

Buat pertama kali juga Najib cuba menerima pandangan beberapa ahli MT yang menawarkan kepakaran dan pengetahuan mereka untuk menyelesaikan masalah berkaitan 1MDB.

Kenapa hanya setelah enam tahun dan hutangnya sudah mencanak melebihi RM42 bilion baru Najib mahu berbuat demikian? Mengapa tidak bersikap telus sejak awal penubuhan 1MDB lagi?

Hakikat ini menunjukkan syarikat itu memang menghadapi masalah besar dan Najib nampaknya sudah tidak berupaya lagi merungkai kekusutannya. Patutlah banyak pertanyaan Tun Mahathir tidak mampu dijawabnya?

Secara langsung hampir benarlah dakwaan pelbagai pihak termasuk Tun Mahathir terhadap 1MDB selama ini!

Dilihat daripada ketegangan beberapa hari sebelum mesyuarat MT kali ini, Najib mungkin kelihatan berjaya merumuskan sokongan tetap diberikan oleh ahli-ahli MT kepadanya dan juga Muhyiddin serta semuanya kelihatan beres, walaupun hakikatnya cuma di permukaan saja.

Soalnya berapa lamakah sokongan itu mampu dipertahankan, terutama jika terbongkar lagi isu-isu lain seperti Tabung Haji yang dikaitkan dengan 1MDB tempohari?
-shahbudindotcom



ULASAN GB

Betul juga kata Shahbudin. Muka Najib semacam menyembunyikan sesuatu, manakala Muhyiddin pula mencuka dari awal hingga akhir.

Itu satu hal. Kedua, anehnya pernyataan sokongan kepada Najib "disampaikan" oleh Najib sendiri. Ada sesuatu yang tak kena di situ. Semua dapat mengesani keanehan dan kepelikan itu.

GB dapat merasakan ada semacam satu "deal" yang berlaku di antara Najib-Muhyiddin apabila ada pihak sebelum ini mendakwa ada pertemuan sulit di Milan yang merancang untuk menggulingkan Najib. Terdapat penafian oleh Menteri Peancongan mengenainya tetapi penafiannya macam tidak terlalu kukoh. Yang turut serta di dalam pertemuan itu ialah Daim Zainuddin. Dan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang rapat dengan Daim Zaiinuddin telah membuat spekulasi di dalam blognya bahawa Majlis Tertinggi UMNO akan menasihatkan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Apakah agaknya "deal" diantara Najib-Muhyiddin? Apakah Najib meminta sepenggal lagi sepertimana Pak Lah dulu meminta kepada Najib sewaktu kumpulan Najib mengasak Pak Lah untuk turun?

GB bersetuju dengan pandangan Timbalan Presiden PAS, Hj Mohammad Sabu bahawa Najib sepatutnya membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum dijalankan dan perdana menteri itu mendapatkan mandat baru daripada rakyat. Ini kerana Najib menyatakan beliau mendapat sokongan dari rakyat dan ahli UMNO untuk terus menjadi Perdana Menteri. Beranikah Najib bubarkan parlimen lebih awal? Takkan berlaku begitu kerana masing-masing sudah sedia maklum siapa Najib...

Pengerusi Majlis Fatwa Akui Transaksi TH-1MDB Tidak Pernah Dibincang


Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin mengakui urusan pembelian tanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Fatwa.

Menurutnya, penerangan mengenai urusan pembelian tanah di TRX itu dijelaskan menerusi kapasitinya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji dan Pengerusi Panel Syariah Tabung Haji bukan sebagai Pengerusi Majlis Fatwa ketika sidang media penjelasan isu itu kelmarin.

Bercakap kepada The Rakyat Post, beliau berkata demikian dengan mengulas dakwaan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berkata Majlis Fatwa tidak pernah membincangkan tentang pembelian 1.56 ekar tanah milik syarikat 1MDB.

“Memang betul kata Asri, saya tidak pernah timbulkan hal itu dalam Majlis Fatwa… saya tidak nafikan perkara itu.

“Ketika itu saya bercakap sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH bukan sebagai Pengerusi Majlis Fatwa, jadi mungkin orang salah faham, termasuk Asri,” katanya.

Terdahulu Dr Abdul Shukor ketika sidang media bersama Lembaga Pengarah TH berkata urusan jual beli tanah yang dibeli daripada 1MDB adalah sah dan mengikut syariah.

Namun Dr Mohd Asri semalam mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan memuat naik sekeping foto surat khabar.

“Sejak saya memegang jawatan Mufti Negeri Perlis dan ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bermula pada 1 Februari lepas, saya tidak pernah hadir dan tiada apa-apa mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan tentang pelaburan 1MDB.

“Itu sahaja yang dapat saya beritahu kepada pihak-pihak yang email saya tentang hal ini,” tulisnya di laman Facebook. – The Rakyat Post

ULASAN GB

Pincang. Tan Sri Abdul Shukor menyatakan bahawa kenyataan beliau adalah menerusi kapasitinya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji dan Pengerusi Panel Syariah Tabung Haji bukan sebagai Pengerusi Majlis Fatwa.

Jika demikian halnya SEPATUTNYA kenyataan beliau hanyalah untuk "urusan dalaman" Tabung Haji dan bukan untuk pengumuman kepada masyarakat umum kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan, apatah lagi beliau juga adalah Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan.

Telah acapkali sebenarnya Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan itu telah mengeluarkan fatwa-fatwa yang dipersoalkan misalnya di satu masa dulu pengerusi berkenaan pernah mengeluarkan fatwa "HARAM" menyertai perhimpunan BERSIH. Tetapi kemudian akhirnya menteri di JPM menafikannya. Malah Mahkamah Tinggi mengisytiharkan pertubuhan BERSIH itu sendiri bukan sebagai satu pertubuhan haram seperti yang didakwa oleh Menteri KDN sewaktu itu.

Majlis Fatwa Kebangsaan perlu rombak. Ia tidak boleh berperanan sebagai kuda tunggangan kepada parti politik khususnya pemerintah. Ia perlu bebas dan perlu menjadi badan yang berkredibilit dan authentik di dalam pengeluaran fatwa dan hukum.

Mahathir Tibai Rosmah Mansor... Memang Wajar!


Mahathir kritik Rosmah berlagak macam PM

Tun Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi mengkritik Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dikaitkan dengan gaya hidup mewah.

“Saya didatangi oleh ramai kumpulan-kumpulan dan individu yang mengadu terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib.

"Mereka datang berkali-kali dan meminta saya buat sesuatu supaya Najib berhentikan dasar dan pendekatannya.

“Yang datang bukan sahaja orang Melayu dan ahli Umno tetapi juga orang Cina.

“Mereka amat tidak senang dengan isteri Najib, dengan cara hidup mewahnya, dengan lagaknya seakan-akan ia perdana menteri,” katanya.

Menulis dalam blognya hari ini, Mahathir berkata akibat desakan itu bertalu-talu, beliau cuba menegur Najib tetapi tidak berkesan.

”Desakan supaya saya membuat sesuatu untuk menyedarkan Najib akan kemerosotan sokongan kepadanya, dan kebencian kepada tindak-tanduknya serta cara hidup mewah isterinya datang bertalu-talu kepada saya.

“Buatlah sesuatu, kata mereka. Saya jawab saya sudah buat tetapi tidak berkesan,” kata perdana menteri paling lama dalam sejarah Malaysia itu.

'Keadaan amat serius'

Bagaimanapun, kata Mahathir, apabila beliau mula mendengar berkaitan dakwaan skandal 1MDB, beliau merasakan keadaan sudah menjadi amat serius.

“Pada masa itu maklumat tidak banyak. Saya terpaksa buat keputusan untuk hantar kepada Najib surat menyatakan saya tidak sokongnya lagi.

“Najib hanya mengarah orang berdekatan dengannya supaya saya tarik balik surat saya.

"Kerana ia tidak dedah penarikan sokongan saya, terpaksalah saya dedah sendiri,” katanya lagi.

Mahathir pada 29 April membangkitkan dakwaan gaya hidup Rosmah susulan khabar angin beliau membelanjakan RM3 juta hanya untuk hiasan bunga-buangan ketika majlis perkahwinan anaknya.

“Isunya ialah, orang bercerita. Ia mungkin salah atau betul. Saya tak pasti kalau ia benar, tetapi saya fikir ada yang fakta. Itu jadi masalah,” tulisnya sebelum ini. -mk

Majalah Indonesia dedah ‘Gaya Hidup Mewah’ Najib, Rosmah


Kehidupan mewah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor disiarkan di beberapa media tempatan dan antarabangsa kebelakangan ini. - Gambar Ihsan Google.

Sebuah majalah Indonesia menyiarkan artikel mendedahkan "Gaya Hidup Mewah" Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, dua hari selepas melakukan lawatan kerja ke republik itu.

Laporan Tempo bertajuk "Hidup Mewah Sang Perdana Menteri" melaporkan tentang barangan yang dibelanjakan Rosmah termasuk beg tangan jenama Birkin dan barang kemas.

Tempo juga memaparkan gambar jam tangan mewah yang dikeluarkan Badan Bertindak Pemerhati Jenayah Malaysia (MyWatch) baru-baru ini yang didakwanya milik pasangan tersebut.

Mywatch mendakwa, setiap satu jam tangan milik Rosmah berharga antara RM79,200 untuk Hublot BlackBerry Black Magic 114 dan RM486,000 untuk Richard Mille Lady RM 007.

Tempo juga membuat perbandingan antara jam tangan dengan pendapatan Najib iaitu kira-kira RM350,000 setahun.

"Kehidupan Najib dan keluarganya menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia," katanya dalam artikel itu.

Penggayaan rambut Rosmah bernilai RM1,200 juga turut ditimbulkan, yang mengundang kritikan hebat ketika rakyat bergelut dengan tekanan hidup.

Tempo juga menyentuh isu anak tiri Najib, Riza Aziz yang membeli kondominium mewah di New York bernilai RM110 juta pada 2012 dan rumah di Beverly Hills, California bernilai AS$17.5 juta secara tunai, seperti yang dilaporkan New York Times.

Kehidupan mewah Rosmah dan Najib disiarkan di beberapa media tempatan dan antarabangsa kebelakangan ini, dan turut disiarkan dalam satu artikel New York Times edisi Februari berkaitan kekayaan ahli perniagaan Low Taek Jho.

Memaparkan invois dan dokumen lain sebagai bukti pembelian barang kemas yang dibeli Rosmah, laporan itu menuntut respons daripada Pejabat Perdana Menteri dan menerima jawapan berbunyi: "Tiada sebarang duit yang dihabiskan untuk berjalan atau membeli barang kemas, atau simpanan dalam peti besi yang didakwa, yang di luar kebiasaan bagi seorang yang berada pada posisi perdana menteri, dengan tanggungjawab dan harta legasi keluarganya."

Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membidas kehidupan mewah Najib dan Rosmah dalam blognya.

"Ada banyak perkara tentang kelakuan peribadinya (Najib) yang saya rasakan tidak betul.

"Namun, saya bersedia untuk melupakannya, termasuklah gaya hidup mewah beliau dan isterinya," kata Dr Mahathir dalam tulisan terbaru di blognya semalam.



ULASAN GB

GB dah banyak kali ulas mengenai Rosmah Mansor. Diantara ulasan GB sebelum ini..

Belum ada isteri-isteri PM sebelum ini yang bertindak liar seperti yang dilakukan oleh isteri Mohd Najib, Rosmah Mansor namanya.

Najib nampaknya seperti tidak dapat mengekang dan mengawal tindakan Rosmah yang besar sangat nafsunya menjadi "diplomat" sekalipun bukan berhormat dan tidak pula bertauliah.

Rakyat BERHAK untuk mendesak Najib mengarahkan isterinya berhenti dari berkelakuan jelek yang menghabiskan wang rakyat.

Jika tidak Najib akan menanggung segala sumpah dan makian rakyat yang tak pernah mengundi Rosmah Mansor, isterinya untuk menjadi "wakil rakyat"..


GB pernah meminta agar Najib dan Rosmah ditahan dan disiasat dan jika didapati benar Najib dan Rosmah bersalah menghabiskan wang rakyat seperti dilakukan oleh isteri Hosni Mubarak di Mesir, Imeda Marcos di Filipina, Najib dan Rosmah perlu dihukum penjara seperti yang telah dikenakan ke atas isteri Mubarak dan Marcos... Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan....

Akhirnya PAS Terima Wan Azizah Sebagai Ketua Pembangkang...


Pas setuju Wan Azizah jadi ketua pembangkang

Pas bersetuju untuk menyerahkan jawatan ketua pembangkang kepada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berdasarkan prinsip parti yang mempunyai kerusi majoriti.

Ketua Whip Pas Parlimen, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu dicapai selepas dipersetujui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, pada Sabtu.

"Kami sebulat suara... dan cadangan Datuk Seri Hadi untuk menyerahkan (ketua pembangkang) kepada parti yang punyai majoriti.

"Sudah tentu adalah DAP adalah parti yang mempunyai kerusi majoriti, oleh kerana DAP telah bersetuju serahkan kepada PKR iaitu Wan Azizah, maka kami bersetuju memilihnya untuk jadi ketua pembangkang," katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas status kekosongan jawatan ketua pembangkang yang masih kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara lima tahun dalam kes liwat II.

Sebelum ini, pemimpin PR sepakat untuk menangguhkan pelantikan jawatan itu bagi memberi tumpuan kepada PRK Rompin dan PRK Permatang Pauh dahulu.

Pada PRU13 lalu, DAP memperoleh kerusi Parlimen terbanyak iaitu 38 manakala PKR kekal dengan 30 kerusi Parlimen dan Pas dengan 21 kerusi Parlimen.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata lagi, keputusan itu sebagai menghormati pendirian DAP yang menyerahkan jawatan itu kepada PKR.

"Pas menghormati keputusan DAP itu selaku parti yang mempunyai kerusi majoriti dan DAP berhak untuk tentukan siapa ketua pembangkang seterusnya.

"Kalau ikut prinsip majoriti itu, DAP mempunyai hak untuk jawatan itu," katanya lagi. -SH

ULASAN GB

Demikianlah hukum kebenaran dan keadilan berjalan....

Sekalipun sebelum ini sewaktu krisis Kajang dahlu, Haji Hadi sendiri menyatakan DS Wan Azizah tidak layak memimpin, namun perencanaan Allah tetap mengatasi perencanaan manusia.


Kendati pun demikian, DS Wan Azizah tetap dipilih sebagai ADUN Kajang, kemudian menang pula di Parlimen P044 Permatang Pauh dan kini dipersetujui oleh Presiden PAS sendiri bahawa DS Wan Azizah menjadi Ketua Pembangkang di parlimen.

Menjadi pengajaran yang besar dan berguna untuk semua bahawa kita tidak boleh mereka-reka perkara yang tidak benar dan menampakkan kebencian terhadap saudara kita untuk mencapai sesuatu tujuan tertentu atau tujuan peribadi. Kerana disamping kebolehan, disamping kewarakan, di samping gelaran ulama, ada hal-hal lain yang dinilai oleh Allah yang Allah saja Maha Tahu seperti keikhlasan di dalam perjuangan, kejujuran di dalam permuafakatan dan sebagainya.

Rasulullah saw bersabda:"Janganlah kamu menampakkan kebencian kepada saudaramu sehingga Allah akan mengasihinya dan menimpakan bencana kepada kamu."
(Riwayat Tirmizi)