27 Nov 2012

Najib Kini Mengemis Undi?

Sejak kebelakangan ini, kempen politik semakin hangat dan agresif, apatah lagi detik masa untuk Parlimen dibubar boleh berlaku pada bila-bila masa saja daripada sekarang.

Kempen di pihak PR kelihatan agak fokus iaitu menjelaskan kepada rakyat mengenai masalah korupsi dan kepincangan sistem urus tadbir kerajaan BN, sambil menyebarluaskan kejayaan atau pencapaian negeri yang diperintah PR khususnya Selangor dan Pulau Pinang.

Bagi PR, dua negeri itu menjadi permata dan ‘benchmark’ untuk mereka berkempen. Itu jelas dan ianya memang diakui satu strategi yang mudah difahami rakyat.

Manakala bagi BN, kempen mereka sangat ketara dengan ‘komisyen’ untuk mendapatkan sokongan rakyat. Ini terbukti dengan segala bantuan yang mencurah-curah turun, malah bukti ini menjadi semakin jelas berdasarkan belanjawan BN baru-baru ini. Jumlahnya, silalah anda kira sendiri.

Kempen berupa ‘komisyen’ ini apabila diterjemahkan dalam bahasa demokrasi ia sebenarnya adalah rasuah. Namun, budaya UMNO-BN, telah menukar istilah rasuah ini menjadi ‘komisyen’, semuanya berlaku apabila dasar DEB diperkenal dan yang terbaru apabila rasuah kapal selam scorpene digunakan menjadi ‘komisyen’.

Berbalik kepada kempen ‘komisen’ UMNO-BN ini, jka kita lihat gaya atau strategi Najib Razak, PM yang tidak pernah dilantik oleh rakyat, beliau dengan ketaranya menggunakan pendekatan ‘mengemis’.

Mengemis ini dari segi bahasanya memang tidak enak didengar. Namun itulah hakikatnya.

Sebelum ini Najib mengemis sokongan kaum Melayu dengan kempen ‘komisyen’. Kemudian beliau mengemis lagi kepada anak muda dengan kempen AUKU yang bersifat kosmetik termasuk kempen komisyen dengan bantuan RM200 untuk telefon bimbit 3G.

Baru-baru ini Najib mengemis lagi kepada Hindraf, dan terkini dengan kaum India.

Jika kita lihat semua senario ini, kelompok Melayu, anak muda, pertubuhan Hidraf dan India tidak dipedulikan sama sekali oleh beliau. Kaum Melayu khsusnya yang berpendapatan rendah tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Anak muda pula disifatkan sebagai ‘masalah sosial’ kepada BN, pertubuhan Hindraf pula dilabel sebagai pertubuhan haram, malah tuntutan Hindraf tidak langsung dipedulikan. Begitu juga dengan kaum India, baik aspek pendidikan, perumahan dan pekerjaan, kelompok ini memang terabai sejak awal lagi.

Tetapi mengapa kini Najib sanggup kembali mendekati mereka? Inilah satu pendekatan yang dilihat sebagai mengemis sokongan.

Apabila sudah tersepit, barulah Najib mahu memberi pelbagai komisyen. Barulah Najib nak bertemu untuk berbincang dengan Hindraf, barulah Najib minta mempertimbangkan jasa BN kepada kaum India.

Gaya kempen politik sebegini menjadi petanda bahawa Najib amat terdesak untuk memastikan sokongan rakyat kepadanya terus kekal. Malah, kempen beliau ini tidak begitu menonjolkan parti beliau sebaliknya lebih menfokus kepada dirinya. Entah UMNO sedar atau tidak, tidak pula dapat dipastikan.

Strategi Najib ini pastinya mendapat ilham daripada strategi kempen Barack Obama, namun sayang, mungkin beliau terlupa bahawa kempen Obama itu tidak menjadikan ‘komisyen’ sebagai modal memancing undi.

Kita amat bimbang, jika UMNO menang, rakyatlah yang terpaksa menanggung kos kempen ‘komisyen’ Najib ini. Kita amat sedar bahawa belanjawan baru-baru ini, Najib menggunakan berbilion ringgit hanya untuk ‘one off’ bantuan kepada rakyat.

Kos berbilion itu, jika Najib menang pastinya akan di ‘claim’ kembali oleh UMNO-BN menerusi pelbagai cara, antaranya saman AES, Tol dan pelaksanaan GST. Kos ini semestinya menjadi tanggungan langsung rakyat.

Sepatah kata Theodore Roosevelt, Presiden US ke-26 – “A vote is like a rifle: its usefulness depends upon the character of the user.” ( Undi itu seperti senapang, kegunaannya bergantung kepada karektor penggunanya)

Jika kempen komisyen Najib ini berjaya, memang rakyat akan terpesona dengan lunak kata-kata “Melayu masih pegang kuasa, UMNO akan teruskan agenda bela bla bla bla...”.

Tetapi harus diingat bahawa kos kemenangan itu akan dibayar oleh rakyat, suka atau tidak, tiada lagi jalan keluar. Rakyat di sini maksudnya – kita, termasuk rakyat yang menyokong UMNO dan ahli UMNO di kampung. Masa ini tiada gunanya. Sepatah kata budak muda... “ Nah hambik kau..” (Nah, ambil kau). – Roketkini

Kempen Tipu Rakyat Sebab S’ngor Tolak Langat 2 - MB

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kempen kekurangan air di Selangor oleh pihak-pihak tertentu adalah kempen tipu rakyat ekoran penolakan kerajaan negeri terhadap projek Langat 2.

“Kalau Langat 2 dapat menyelesaikan masalah inipun, ia akan sampai dua tahun akan datang (selepas ia selesai).

“Lebih baik buat kempen kurangkan air tidak ada hasil (dari kempen tiada air),” katanya.

“Saya telah buktikan, sebagai MB dan sebagai orang yang pentingkan pengurusan ekonomi yang baik.

“Jika ada RM4,000 juta untuk tambah air selangor, lebih baik kaji punca air di Selangor untuk tambah sumber air tetapi ia tidak dibuat,” katanya dipetik Harakah Daily pada sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) pagi semalam.

Khalid berkata, cara Singapura lebih baik kerana mengkaji sumber air sendiri.

“Kita tidak buat dengan betul. Saya lebih minat buat cara ini kerana ia sesuai untuk nilai wang kita (value for money),” katanya.

Beliau mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN supaya tidak menjadi wakil rakyat Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Beliau berkata demikian ketika berhujah dengan Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak yang lebih cenderung membela Syabas dari membela rakyat.

Ia dibantah oleh seorang Adun BN yang lain dengan menggunakan peraturan mesyuarat tetapi ditolak oleh Timbalan Speaker, Haniza Talha.

Sulaiman ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Khalid meminta beliau menjelaskan benar atau tidak kerajaan negeri menyekat Syabas dari menguruskan air tidak ada hasil (Non revenue water – NRW).

Khalid menjelaskan, pihak kerajaan negeri menguruskan hal itu hampir setiap hari melalui satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Beliau menjemput wakil Syabas berkenaan agar hadir ke mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa itu.

Tegas beliau, jika Kerajaan Persekutuan mahu memperjuangkan rakyat, mereka perlu bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri menstrukturkan semula pekhidmatan air di Selangor.

“Masalah besar kepada kerajaan BN Selangor sebelum ini adalah lebih kepada ‘contract management’ bukannya ‘resource management’.

“Mereka lebih pentingkan usaha untuk mendapatkan kontrak dari menguruskan sumber yang ada,” katanya.

SUK Perak Antara Bakal Diheret Ke Mahkamah Kerana Arah Robohkan Billboard


Semua pihak yang bertanggungjawab merobohkan papan iklan KEADILAN di Lebuh Raya Utara Selatan akan diheret ke muka pengadilan, kata Pengarah Kempen Pilihan Raya KEADILAN Perak, Shahbudin Abdul Khatab.

Papan iklan yang tertera gambar Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan slogan ‘Harga Minyak Turun, Pakatan Harapan Rakyat’ itu didirikan pada 20 November lalu, di Kilometer 383 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran kawasan Hentian Rawat & Rehat (R&R) Behrang.

Ia dibina oleh Shahbudin di atas tanah miliknya.

Menurut Shahbudin, kejadian tersebut disedari beliau pada 4.30 petang Sabtu lalu, apabila mendapati pagar antara sempadan papan iklan dan lebuh raya dirobohkan.

“Saya dapati tiang papan iklan turut digergaji,” jelasnya pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.

Beliau percaya perobohan itu atas arahan pimpinan Umno BN.

Tindakan yang dibuat kira-kira jam 11.00 malam pada hari tersebut juga didapati menggunakan jentera kerajaan apabila Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak sendiri mengarahkan anak syarikat milik Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Propel Berhad (Propel) agar merobohkan billboard yang didirikan di atas tanah persendirian itu.

Propel merupakan sebuah syarikat yang bertanggungjawab menyelenggara lebuh raya milik Plus itu.

“Saya memaklumkan kepada Propel Slim River dan terkejut dengan dakwaan Propel yang menyatakan pihaknya terpaksa merobohkan papan iklan tersebut atas arahan dari Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata Shahbudin.

“Laporan polis telah dibuat pada malam kejadian, 25 November, jam 1.35 pagi. Kita mahu polis siasat dan bertindak segera ke atas pencerobohan tersebut.

“Kita juga menuntut ganti rugi kepada pihak yang berkenaan antaranya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Pegawai Daerah dan Yang Dipertua Majlis Daerah kerana merobohkan pagar dan papan iklan yang saya dirikan di tanah milik saya,” sambung beliau.

Naib Pengerusi KEADILAN Negeri, Madhi Hasan yang hadir sama dalam sidang media itu menempelak tindakan kerajaan menghalang kempen tersebut.

“Apakah dengan hanya pemasangan satu papan iklan ia telah menggugat kestabilan negara?,” soalnya.

“KEADILAN melihat ini adalah manifestasi dari ketakutan luar biasa pihak berkuasa Umno dalam menghadapi kebangkitan rakyat.

“Jelas, Umno BN sedang meneruskan budaya politik samseng yang kotor dan tidak bertamadun,” kata Madhi.

Sementara itu, Pengerusi KEADILAN Negeri, Dr Muhammad Nur Manuty menggesa Umno BN menghentikan strategi politik kotor terhadap pembangkang.

“Sesungguhnya, pemikiran dan kematangan rakyat telahpun jauh berubah. Marilah kita bersama mengamalkan budaya politik waras dan beradab,” katanya dalam kenyataan.

Iklan tersebut merupakan satu program awal KEADILAN untuk mendirikan papan iklan serupa di tempat-tempat strategik yang dikenal pasti di seluruh negara untuk memberi penjelasan mengenai perjuangan Pakatan Rakyat dalam membela nasib seluruh rakyat seperti mana yang tertera dalam Buku Jingga. -KD


"Syaitan" Itu Kepanasan Apabila Dibacakan Doa & Ayat Quran Ke Atasnya


Antara Doa PAS dan Tindakan Umno Oleh Mat Zahari Ali

KOMENTAR: Selepas tamat Muktamar Agung PAS ke-55 hampir dua minggu lalu, Umno agak kecewa kerana dua isu yang diharap akan memerangkap parti Islam itu tidak mengena.

Isu tersebut mengenai Hudud dan kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berhubung murtad.

Tindakan bijak perwakilan PAS yang lebih memberi tumpuan untuk menguatkan jentera dalaman dan media parti Islam itu dalam menghadapi PRU13 nanti langsung tidak menarik minat mereka.

Usaha untuk memecahbelahkan perpaduan orang Melayu yang membabitkan PAS-PKR di lihat ruangnya apabila seorang perwakilan memberikan pandangan supaya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di lantik menjadi Perdana Menteri sekiranya PR berjaya kuasai Putrajaya.

Malangnya isu tersebut tidak mendapat respon dari PR samaada dari PAS-PKR-DAP termasuk dari Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Isu tersebut tenggelam apabila PAS dan Abdul Hadi sendiri menyatakan setiap perwakilan berhak meluahkan pandangan bagi membuktikan PAS sebuah parti yang menerima pandangan dari semua pihak.

Begitu juga dengan Anwar yang membuat kenyataan bahawa perkara tersebut boleh dibincang dan belum diputuskan.

Sebelum ini hampir dalam setiap ceramah yang dihadiri pemimpin DAP dan PAS pun kenyataan untuk melantik Anwar menjadi PM bukanlah suatu polimik yang besar.

Doa hancurkan Umno

Ironisnya, dalam situasi kenazakan isu menjelang PRU-13 ini, Umno gagal mendapatkan sasaran untuk dihala kepada PAS bagi mendapatkan sokongan orang Melayu.

Umno amat kecewa selepas PAS menolak kerajaan perpaduan yang dianjurkan selama ini. Lebih membimbangkan setelah melihat orang Melayu semakin banyak yang meninggalkan Umno dan menyertai PAS.

Malah kempen besar-besar supaya orang Melayu berpindah dari Umno kepada PAS kerana perjuangan Umno tersasar dan memberi kesan yang amat besar kepada parti Islam tersebut.

Inilah juga kebimbangan kronik yang ada pada Umno. Begitu juga dengan pelbagai isu yang memberi aib kepada Umno serta pemimpinnya. Isu NFC dan terbaru membabitkan wang haram RM40 juta yang melibatkan pemimpin Umno akan mengikis keyakinan orang melayu kepada parti tersebut.

Ini tidak termasuk isu rasuah, pembaziran wang negara sebanyak RM28 bilion setahun sebagaimana diumumkan Ketua Audit Negara. kenaikan harga barang dan pelbagai lagi yang mencerminkan kelemahan pentadbiran dan pengurusan oleh pemimpin negara yang diterajui Umno Umno mendapat nafas lega apabila isu bacaan doa oleh adik kepada Mursyidul Am PAS itu, Nik Razi Nik Mat sempena majlis solat hajat di Stadium Sultan Muhammad IV pada malam 16 November lalu ‘dicuba’ dipasarkan dalam pemikiran orang Melayu.

Doa tersebut mengandungi ungkapan supaya Umno-BN dihancurkan kerana terlalu banyak kezaliman dilakukan ke atas rakyat terutamanya rakyat Kelantan.

Majlis Solat hajat itu juga di adakan ekoran tuntutan keengganan kerajaan pusat memberikan royalti minyak kepada rakyat Kelantan.

Setelah itu, seperti jangkaan media ekletronik dan cetak milik Umno akan cuba menyelesaikan sebaik mungkin. Dari ulama Umno sampai ke pada ketua bahagian dan lebai di kampung semuanya menghentam PAS.

Tujuannya hanya satu iaitu untuk memberikan persepsi kepada orang Melayu bahawa PAS sebuah parti yang hanya menjadikan agama untuk tujuan politik.

…dan isu ‘doa PAS’ cuba dijadikan asas untuk membuktikan tanggapan tersebut.


Penulis tidak mahu mengulas berhubung hukum hakamnya kerana banyak diperkatakan. Tetapi lebih adil untuk juga dihakimi sekiranya isu disebalik persoalan timbulnya doa tersebut dibincangkan.

Pokok kepada persoalan doa itu adalah “menghancurkan Umno”. Umno pula adalah sebuah parti politik. Dalam isu menghancurkan Umno ini, PAS menggunakan cara doa.

Cuba kita lihat cara Umno pula untuk ‘menghancurkn PAS dan PR”. Mereka menggunakan seluruh kekuatan kuasa seperti media, polis, FRU, sistem perundangan, tekanan, fitnah, sekat kebebasan media, sekat ceramah,ISA dan pelbagai lagi untuk “menghancurkan’ lawan politik mereka.

Umno pula menggunakan kuasa ‘tindakan’ dengan kekuatan kuasa, wang dan media yang dimiliki untuk ‘menghancurkan PAS dan PR’. Jadi apakah bezanya?.

Sebagai sebuah parti yang tidak mempunyai kekuatan sebagaimana di miliki Umno, PAS menggunakan kaedah berdoa kerana PAS dan PR merasakan mereka telah dizalimi oleh Umno sejak sekian lama.

Lagi pun apalah kekuatan yang ada pada pembangkang selain doa dan terus berdoa. PAS yang juga sebuah parti Islam telah menggunakan ‘kekuatan’ mereka iaitu doa sebagai wadah kekuatan perjuangan sejak sekian lama.

Setiap kali Nik Aziz atau Hadi tamat berucap, dua pemimpin ini akan berdoa dan para hadirin akan mengaminkan doa tersebut.

Begitu juga dengan kebanyakan majlis solat hajat yang dianjurkan akan disertai doa berpaksi kepada usaha menumbangkan Umno dalam pilihanraya akan datang.

Kaedah ini telah digunakan PAS sejak awal penubuhannya hingga ke saat ini. Malah persoalan doa dan majlis solat hajat telah berpuluh kali di adakan dan tidak pernah pun menjadi isu sehangat ini.

Isu Perhimpunan Agung Umno

Dalam konteks politik, pemimpin Umno seharusnya mencari suatu ‘ikon’ sebagai suatu bahan isu untuk dibawa dalam Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung hari ini hingga Sabtu ini.

Kepimpinan Najib yang tidak pernah mengadakan pemilihan baru dalam Umno sejak Mac 2009 dibayangi dengan pelbagai kebimbangan dari desakan 2,674 perwakilan yang bakal bersidang.

Lebih ‘gayat’ lagi bagi Najib apabila PRU-13 yang bakal di adakan. Justeru isu ‘doa PAS’ tersebut boleh dijadikan bahan pelarian untuk dijadikan topik hangat untuk dibincangkan perwakilan.

Najib bimbang berikutan tarikh PRU-13 yang seharusnya diadakan masih samar. Ini memberi imej serta persepsi buruk kepada Umno serta perwakilan. Tempoh tamat untuk dibuat PRU hanya April tahun depan sedangkan siap calon yang bakal bertanding belum di putuskan.

Tempoh lima bulan bukanlah lama kerana calun perlu membuat persediaan untuk mendekati pengundi.

Najib juga tahu sekiranya calun telah di pilih perhimpunan kali ini akan menjadi medan tikam belakang dan pergaduhan sesama sendiri.

Tidak hairan juga sekiranya Najib akan mulai menggunakan isu doa ini dalam ucapan dasar beliau nanti. Sentiman doa ini kemudiannya akan terus meracau-racau dalam media dan akan terus menjadi hangat dikalangan perwakilan.

Apa pun bagi umat Islam doa itu merupakan suatu kekuatan. Kekuatan dari hamba yang sentiasa mengharap bantuan dari Sang Penciptanya. Ulama juga mengqiaskan bahawa orang yang sombong adalah mereka yang tidak berdoa.

Khazanah sombong itu adalah sifat-sifat syaitan. Syaitan pula apabila dibacakan doa dan atau ayat-ayat Quran akan meracau-racau sebab kepanasan.

Kerajaan Dicabar Dedah Konsesi AES Kepada Umum

Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menggesa perjanjian antara kerajaan dengan dua syarikat konsesi pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dikeluarkan sebagai dokumen awam.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha memberitahu bahawa perjanjian itu tidak boleh dikeluarkan kerana ia tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.

Bagaimanapun menurutnya, tiada keperluan perjanjian itu diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi kerana tidak mengandungi perkara rahsia mengenai keselamatan yang perlu dilindungi daripada pengetahuan umum apatah lagi musuh negara.

“Kerajaan perlu ada ketelusan dalam mengendalikan urusan negara kerana ia berkaitan dengan pembayaran yang dibuat kepada syarikat ini daripada wang rakyat yang dikatakan melakukan kesalahan,”katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, sama seperti duit tol yang dibayar kepada syarikat konsesi, saman berkenaan dibayar kepada syarikat konsesi AES daripada kesalahan iaitu kompaun atau denda seperti diputuskan mahkamah, seharusnya rakyat perlu mengetahui butiran perjanjian antara kerajaan dan kedua-dua syarikat tersebut.

Katanya, kerajaan mempunyai kuasa dan hak untuk mengeluarkan dokumen ini dari klasifikasi OSA menjadi dokumen awam yang boleh dimiliki dan diteliti oleh semua orang khususnya Ahli Parlimen yang mewakili rakyat dalam negara ini.

“Bagi saya banyak perkara perlu diteliti, bagaimana syarikat yang mendaftar pada 2004 sudah tahu bahawa pada 2007, 2008 dan 2009 mendapat kontrak AES.

“Ada juga syarikat yang mendaftar pada 2009 iaitu selepas menerima kontrak ini.

Situasi ini menimbulkan kontroversi kepada projek tersebut yang menyentuh soal kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sehingga kini sebanyak 300 saman AES seluruh Malaysia telah dikemukakan kepada Kase, 30 daripadanya di Perak.

Kase akan mengendalikan kes pertama AES pada 6 Disember ini di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. -SH

Penipuan Pilihanraya: Mereka Ingat Mereka Boleh Menipu Tuhan!

Mahathir: Taktik pembangkang tuduh kerajaan tipu PRU13

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak lagi bebas jika pihak luar dibiar campur tangan dalam menentukan kerajaan yang memerintah, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Riba Dunia Ketiga hari ini, Dr Mahathir mendakwa hasrat pembangkang menjemput pemerhati luar untuk memantau pilihan raya umum ke-13 sebenarnya bertujuan menuduh kerajaan menipu dalam pilihan raya.

"Tujuan satu sahaja, dia (pembangkang) kalah dia nak buat demonstrasi tentang penipuan dalam pilihan raya.

Kerajaan tipu sebab itu parti kerajaan menang. Itu sahaja.

"(Pembangkang) Nak buat rusuhan macam di negeri Arab supaya dapat jatuhkan kerajaan di luar daripada sistem pilihan raya," katanya apabila ditanya mengenai tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan menulis kepada Menteri Luar Australia Senator Bob Carr meminta negara itu membantu memantau pilihan raya di Malaysia.

Ditanya mengenai pemerhati bebas yang dijemput semasa pilihan raya umum lepas, Dr Mahathir berkata: "Secara rasmi kita tak jemput, tapi kalau dia nak datang dan tengok, tengoklah.

"Tak ada negara yang mana parti kerajaan boleh kalah di lima buah negeri... tak dapat dua pertiga kerusi di Parlimen. Kalau betul-betul dia (kerajaan) nak tipu, saya ingat parti lawan (pembangkang) tak boleh menang lima buah negeri," katanya.

Persidangan Riba Dunia Ketiga membincangkan isu riba dan kaitannya terhadap kemelesetan ekonomi global yang berpanjangan, inflasi dan pergolakan sosial yang melanda dunia ketika ini.

Persidangan dianjurkan oleh Thinkers Trends Malaysia Resources dengan kerjasama Institut Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Pusat Al Ghazzali untuk Sains Islam dan Pembangunan Manusia (Australia). - Bernama.

Jangan buat andaian, SPR nasihat Selangor

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor diminta tidak membuat sebarang andaian sebelum merujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan penemuan 134,675 pengundi yang tidak dapat dikenal pasti.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya masih menanti laporan daripada penemuan itu dan sudah bersedia untuk memberi penjelasan.

Menurutnya, SPR tidak menolak usaha yang dijalankan Kerajaan Negeri itu namun ia sepatutnya dilaksanakan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Kita sudah bersedia memberi jawapan kerana kita bekerja mengikut fakta dan undang-undang,” katanya.

Wan Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Sinar Harian, Sabtu lalu, yang mendakwa Kerajaan Negeri mengesan seramai 134,675 pengundi baru yang tidak dapat dikenalpasti pada suku keempat tahun lalu berdaftar dalam Daftar Pemilik Induk.

Beliau juga turut mempersoalkan kaedah dilakukan Kerajaan Negeri dalam menjejak pengundi yang dilaksanakan melalui bancian dari rumah ke rumah sekiranya ia berdasarkan alamat mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“SPR tidak pernah memberi persetujuan kepada mana-mana pihak untuk melakukan bancian pengundi termasuk Kerajaan Negeri tetapi SPR tetap menghormati usaha mereka.

“Ini kerana, kita khuatir sekiranya mereka tidak memahami kaedah sebenar bancian dan membuat andaian, ia pada akhirnya akan mengelirukan orang ramai.

“Jika mereka membuat bancian dengan cara pergi dari rumah ke rumah berdasarkan alamat dalam rekod JPN, ia akan jadi tidak tepat kerana berkemungkinan individu itu tidak lagi tinggal di alamat didaftarkan,” katanya.

Beliau berkata, tidak salah di sisi undang-undang SPR sekiranya seseorang itu tidak lagi tinggal di tempat asal tetapi masih menggunakannya sebagai alamat pengundi.

“Boleh jadi mereka ini sewaktu mendaftar dengan SPR, mereka tinggal di situ tetapi kemudian mereka berpindah dan masih belum mengemas kini data terbaru mereka.

“Sekiranya kaedah ini diambil kira Kerajaan Negeri dalam penemuan itu, kita khuatir ia tidak tepat kerana masalah berkaitan alamat itu bukan sesuatu yang pelik malah ia perkara biasa di Malaysia ini,” katanya
-SH.



Ulasan GB

Mereka (Mahathir, SPR & UMNO) ingat mereka boleh menipu Tuhan dengan menafikan wujudnya penipuan di dalam daftar pemilih.

Jika benar tiada penipuan mengapa kerajaan begitu takut dengan tuntutan BERSIH yang mahu daftar pemilih dibersihkan? Mengapa takut dengan pemantau asing bagi memantau pilihanraya yang bakal diadakan? Mengapa tiada Suruhanjaya Diraja dibentuk di atas dakwaan wujudnya konspirasi di antara SPR dan JPN terhadap pendaftaran PATI sebagai pengundi?

Kamu boleh menipu sekalian rakyat, tetapi usah lupa bahawa kamu-kamu tidak akan dapat menipu Tuhan.

Tuhan tidak bodoh dan tidak buta. Tuhan itu sifatnya Maha Mengetahui dan Maha Melihat terhadap apa yang berlaku dan apa yang dilakukan oleh SPR.

Justeru itu sebarang penipuan yang dilakukan akan tetap "memakan diri" pihak yang melakukan penipuan itu sendiri.

Tuhan itu juga sifatnya Maha Bijaksana - yang membalas segala tipudaya pihak berkenaan.

Surah Ali Imran : 54 Allah swt berfirman:

Ertinya : “Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya”.

Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar terlupa semasa beliau mengaturkan penipuan untuk membantu UMNO BN merampas negeri kelahirannya, Terengganu dari PAS pada pilihanraya 2008, apa yang berlaku alah Allah membalasnya dengan mengurniakan Pakatan Rakyat empat negeri lain selain Kelantan.

Justeru itu kita akan saksikan pada pilihanraya kali ini, bagaimana nanti Tuhan membalas segala tipudaya.

Dengar sini, GB ingin mengingatkan pihak-pihak yang terlibat, bahawa Allah sudah berfirman:

Fathir
Sambil bersikap sombong di bumi dan berusaha merancangkan rencana jahat, dan tidak ditimpakan dengan rancangan yang jahat itu melainkan orang yang merancangkannya sendiri. Maka tiada yang mereka tunggu melainkan seperti berlakunya kebinasaan ke atas orang yang telah lalu. Kerana engkau tidak akan mendapati perubahan bagi Sunnatullah, dan engkau tidak akan mendapati Sunnatullah itu menyimpang. [Fatir: 43]

Isu Pemecatan Qatrun Nada: Tindakan JAWI Diselar

Jangan pecat kerana fahaman politik, Jawi

PETALING JAYA: Sebuah NGO, Inisiatif Selamatkan Insan Tertindas (Insan) hari ini mengkritik tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Labuan kerana memecat kakitangan atas alasan politik.

“Insan menentang sekeras-kerasnya campur tangan politik dalam pengurusan Jawi. Sebagai sebuah agensi awam, Jawi sepatutnya bersifat berkecuali dan profesional dalam tatakelola pengurusan. Campur tangan ini hanya mencemarkan imej Jawi sebagai sebuah badan kerajaan yang berteraskan Islam.

“Kegagalan Jawi memberikan sebab yang munasabah di atas pemecatan ini menguatkan dakwaan bahawa Jawi telah dipengaruhi oleh kepentingan politik Umno sehingga sanggup menzalimi kakitangan sendiri.

“Perkara ini jelas bertentangan dengan visi Jawi sendiri yang ingin menjadi badan peneraju dalam memartabatkan Hal Ehwal Islam.

“Insan juga mengecam tindakan Umno yang menggunakan agensi kerajaan bagi mengekang kemaraan politik parti lawan. Umno sebagai sebuah parti politik sepatutnya lebih faham bahawa hak untuk berpolitik adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dijamin Perlembagaan Persekutuan,” kata Penyelaras Insan, Mohd Faris Abdullah dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata begitu ketika mengulas pemecatan kakitangan sementara Jawi yang bertugas sebagai guru, Qatrun Nada Latfi.

Qatrun menerima notis pemecatan sebulan yang berkuatkuasa pada 1 Disember pada 24 Oktober. Beliau menerima notis tersebut kerana menghadiri ceramah Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 September lalu.

Menurut Faris, notis yang diterima Qatrun pada 24 Oktober itu tidak menyatakan sebab-sebab pemecatan secara terperinci.

Faris turut mendedahkan bahawa Qatrun menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai orang kuat Umno Labuan pada 9 Oktober.

Pemanggil tersebut telah memberi amaran kepada Qatrun agar tidak terlibat dengan kegiatan politik pembangkang.

Pejabat Jawi Labuan telah menyiasat kegiatan luar Qatrun pada 22 Oktober.

Guru dipecat kerana dengar ceramah Pakatan
.

LABUAN: Kerana menghadiri ceramah Pakatan Rakyat, seorang kakitangan sementara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Qatrun Nada Latfi (gambar), yang bertugas sebagai guru sementara di Labuan telah menerima notis pemecatan sebulan.

Beliau menghadiri ceramah Pakatan Rakyat yang disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 September 2012.

Qatrun Nada telah disiasat dan menerima notis pemecatan yang akan berkuatkusa pada 1 Disember ini.

Walau bagaimanapun, notis yang diterima beliau pada 24 Oktober itu tidak menyatakan sebab-sebab pemecatan secara terperinci.

Sebelum pemecatan tersebut, Qatrun Nada menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai orang kuat UMNO Labuan pada 9 Oktober 2012.

Dalam panggilan itu, individu berkenaan memberi amaran kepada Qatrun Nada agar tidak terlibat dengan kegiatan politik pembangkang.

Tidak lama selepas panggilan itu, Qatrun Nada dipanggil ke pejabat JAWI Labuan untuk disiasat mengenai kegiatan luar beliau pada 22 Oktober 2012.

Sehubungan itu, NGO Inisiatif Selamatkan Insan Tertindas (INSAN) menentang sekeras-kerasnya campur tangan politik dalam pengurusan Jabatan Agama Islam Wilayah Pesekutuan.

Sebagai sebuah agensi awam, JAWI sepatutnya bersifat neutral dan profesional dalam tatakelola pengurusan, kata Koordinatornya, Mohd Faris Abdullah.

Bagi beliau, campur tangan ini hanya mencemarkan imej JAWI sebagai sebuah badan kerajaan yang berteraskan Islam.

Katanya, kegagalan JAWI memberikan sebab yang munasabah di atas pemecatan ini menguatkan dakwaan bahawa JAWI telah dipengaruhi oleh kepentingan Politik UMNO sehingga sanggup menzalimi kakitangan sendiri.

Perkara ini jelas bertentangan dengan Visi JAWI sendiri yang ingin menjadi badan peneraju dalam memartabatkan Hal Ehwal Islam, tambah beliau.

"INSAN juga mengecam tindakan UMNO yang menggunakan agensi kerajaan bagi mengekang kemaraan politik parti lawan.

"UMNO sebagai sebuah parti politik sepatutnya lebih faham bahawa hak untuk berpolitk adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dijamin Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sehubungan dengan itu, INSAN akan menghantar satu memorandum kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, YBhg Datuk Hj Che Mat Bin Che Ali pada 29 November 2012 bagi mendesak beliau membebaskan JAWI daripada sebarang campur tangan politik sempit.

INSAN juga akan mengadakan sidang media bagi mendedahkan penglibatan UMNO dalam isu ini.

"INSAN memiliki bukti kukuh yang akan menunjukkan penglibatan UMNO sebagai dalang yang menzalimi rakyat hanya kerana kepentingan politik," katanya.

Qatrun Nada binti Mohd Latfi merupakan seorang guru yang bertugas di Sekolah Rendah Agama Islam Rancha-rancha, Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau dilantik sebagai guru sementara di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Beliau merupakan bekas penuntut di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.

Beliau juga merupakan bekas Ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang terlibat dalam demonstrasi menuntut Air bersih di UMS Labuan pada tahun 2009
-HD