Nik Amar sedia tanding jawatan nombor dua
KOTA BHARU - Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bakal mempertimbangkan bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas jika dicalonkan.
Namun begitu, menurutnya, ia terpulang kepada perwakilan untuk menentukannya memandangkan setakat ini Pas Kawasan Kota Bharu sahaja yang sudah adakan mesyuarat, minggu lalu.
“Setakat ini tidak ada lagi (pencalonan), terlalu awal untuk mengulas perkara ini,” katanya kepada media di JKR10, di sini semalam.
Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Pas Pusat yang turut dihadiri Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakob; Setiausaha Agung, Mustafa Ali dan kepimpinan pusat serta negeri parti Islam itu.
Mengulas dakwaan Pengerusi Biro Undang Undang DAP, Gobind Singh Deo bahawa draf pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II dikemukakan ketika mesyuarat PR adalah baharu secara keseluruhannya, Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, menafikannya.
Beliau sebaliknya menjelaskan, pemimpin DAP itu mungkin melihat perkara tersebut dari sudut format pindaan yang dilakukan terhadap beberapa klausa terutama mengenai penguatkuasaan undang-undang Islam tersebut kepada orang bukan Islam.
“Beliau melihat dari sudut format, format rang undang-undang itu memang kelihatan seperti baharu tetapi sebenarnya itu adalah pindaan kepada undang-undang diluluskan pada 1993.
“Cuma format berbeza dengan pindaan biasa dan kita pun telah bincangkan dengan penasihat undang-undang sendiri, ia tidak menjadi masalah, aspek isunya sangat teknikal,” katanya.
Beliau turut ditanya mengenai kesediaan Pas untuk menangguhkan pelaksanaan enakmen tersebut sebagaimana dicadangkan parti komponen PR, namun katanya, tiada perkara yang menyebabkan pembentangan tersebut perlu ditangguhkan.
“Pindaan yang besar hanya tiga dan yang lain itu taktikal sahaja, pada kita (Pas), inilah (pindaan baharu) yang lebih baik, yang asal mungkin ada kepayahan sedikit, maka kali ini kita mempermudah. Alhamdulillah, (pindaan) sudah sedia untuk dibentangkan 18 Mac nanti,” katanya. -SH
Tuan Ibrahim sedia tanding timbalan presiden
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden parti itu pada Muktamar PAS tahun ini sekiranya mendapat pencalonan dari mana-mana kawasan untuk jawatan itu.
Beliau berkata dua elemen utama yang menjadi tumpuannya sebelum bersetuju untuk bertanding mana-mana jawatan ialah keperluan dan kemampuannya menggalas amanah tersebut.
"Dulu (dalam muktamar) sebelum ini pun, memang ada cadangan untuk saya bertanding jawatan seperti timbalan presiden, naib presiden dan ahli jawatankuasa PAS pusat.
"Namun ketika itu, dengan kemampuan saya, cukup jadi naib presiden, namun kali ini jika ada pencalonan (untuk jawatan timbalan presiden), saya akan tengok...saya akan istikharah," katanya dalam sidang media sempena pengumuman program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ketiga dekat Rusila di Marang.
Pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat akan diadakan setiap dua tahun dan bagi pemilihan jawatan peringkat pusat kali ini akan diadakan pada muktamar tahunan PAS ke-61 yang dijangka pada 1 Jun ini.
Ditanya berhubung tindakannya menolak pencalonan dari PAS Kota Bharu untuk bertanding jawatan presiden, Tuan Ibrahim berkata ia berikutan tiada keperluan untuk menukar presiden ketika ini, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Ketika dunia mengangkat beliau, kita anggota PAS sepatutnya lebih memberi sokongan kepada beliau dengan begitu banyak kejayaan yang dicapai sepanjang kepimpinannya.
"Namun saya hormati pencalonan dari kawasan (Kota Bharu) itu, saya melihat keikhlasannya dan pandangan dari mana-mana kawasan (untuk muktamar) itu adalah demokrasi dalam parti," katanya.
Ini berikutan sebelum ini Yang Dipertua PAS Kota Baharu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pernah mencadangkan nama Tuan Ibrahim sebagai presiden bagi menggantikan Hadi demi menyatukan kembali PAS dan yakin Abdul Hadi tidak akan mempertahankan jawatan itu demi kepentingan PAS yang sedang berpecah teruk sekarang ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali telah menyatakan keyakinan tidak ada pencabar yang berwibawa menggantikan Abdul Hadi buat masa ini.
Ketika ini, jawatan timbalan presiden PAS disandang oleh Mohamad Sabu (atas) manakala Abdul Hadi tidak pernah dicabar sejak beliau mengambil alih kerusi presiden daripada Datuk Fadzil Noor pada 2002. -BERNAMA
ULASAN GB
Belum apa-apa dua "ulama" ini sudah tawar diri untuk jawatan timbalan presiden.
Nampaknya sudah mula nak berentap sesama sendiri. PAS Kawasan Kota Bharu sebelum ini telah mencalonkan TITM sebagai presiden untuk mencabar Haji Hadi, tetapi TITM telah menolaknya, tiba-tiba buat kenyataan sedia untuk bertanding untuk nombnor 2.
Dato Wan Abdul Rahim agak terkejut dengan sikap TITM tersebut dan terus "menegur"nya.
Sepatutnya sebagai seorang Islam apatah lagi berstatus ulama, kita "tidak meminta untuk dicalonkan" apa-apa jawatan. Kita sepatutnya menunggu pencalonan kemudian beristikharah samada mahu menerimanya atau tidak. Bukankah begitu?
Seseorang muslim jugatidak sepatutnya bercita-cita untuk memegang mana-mana bahagian mas'uliyyah kerana imarah adalah taklif dan bebenan tangungjawab dan bukan satu tasyrif atau keistimewaan.
Ini berdasarkan kepada hadith
Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Wahai Abd al-Rahman, janganlah kamu meminta jawatan, sebab jika kamu diberi jawatan kerana permintaan maka tanggungjawabnya akan dibebankan kepadamu. Namun jika kamu dilantik tanpa permintaan, maka kamu akan diberi pertolongan.” (Bukhari, Muslim)
Begitulah juga apa yang disampaikan oleh seorang tokoh pemuda dari Kedah yang ramai mengkategorikan beliau sebagai pro-ulamak.
Hukum kebenaran dan keadilan berjalan.... nampaknya kumpulan ulama berantakan sesama sendiri..... ahli PAS akan tolak mereka yang mendatangkan persepsi "gila jawatan" walaupun bergelar ulama...