9 Jun 2011

Email Ahli Parlimen Batu Digunakan Untuk Yakinkan Orang Tentang Video Seks

Petaling Jaya: Dalang video lucah Datuk T dikesan menggunakan e-mail atas nama Naib Presiden PKR Tian Chua untuk menghantar mesej kononnya beliau mempercayai pelaku dalam rakaman itu adalah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih 20 Ahli Parlimen dikesan menerima mesej fitnah itu yang dihantar menerusi alamat e-mel "tianchua@rocketmail.com" yang dicipta oleh penyamar, kata Tian kepada wartawan hari ini.

"Saya rayu kepada orang ramai jangan percaya jika dapat email mungkin juga dari Wan Azizah atau Nurul Izzah kerana ini adalah kerja-kerja penyamar. BN dah sampai tahap terdesak lakukan perkara ini.” kata beliau.

“Penyamaran identiti ialah kesalahan serius. Semua bukti ada dan emel palsu, tidak mustahil untuk dijejaki puncanya," tambah beliau.

Emel berkenaan bertujuan mengelirukan dan memecahbelahkan ikatan dan hubungan ahli parlimen dalam Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin pula mendedahkan beliau menerima salinan video fitnah itu yang dikirim melalui sampul ke peti surat rumahnya di Ampang, pagi ini.

Lebih teruk lagi, video tersebut dihantar bersama dengan kepala surat Parti Islam Se-malaysia (PAS) berserta dengan pamplet imej menghina Anwar Ibrahim.


Tian dan Zuraida akan melaporkan jenayah itu kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam masa terdekat.

"Sama macam Tian Chua, kita juga nak minta polis siasat siapa yang sebar video ini. Patut tangkap 3 Datuk dan siasat siapa buat kerja tu tapi sampai sekarang, tiada apa berlaku," tegas Zuraidah yang juga Ahli Parlimen Ampang. -tvsnet




Ulasan GB

Apa taknya, konspirator dah keluarkan belanja berjuta ringgit untuk kempen video seks ini, pun rakyat masih percaya lagi.

Hairannya, dah banyak laporan polis dibuat tentang penyebaran video seks ini, belum nampak ada tindakan dari pihak polis.

Dan aneh, UMNO kata tak mahu dijadikan kambing hitam di dalam isu video seks ini, sedangkan Najib dah ulas semenjak dari awal lagi mengenai video seks berkenaan. Macam mana tak nak jadi kambing hitam?

Itu baling batu sembunyi tangan. Sekarang dah desperate sangat, ahli parlimen Batu pula jadi sasaran dengan menghantar surat layang kononnya ia datang dari email Tian Chua.

Betul-betul konspirator tak de batu!



Sungguh Kejam Jika Benar Ditembak Semasa Melutut

NGO: Remaja ditembak semasa melutut

Laporan bedah siasat ke atas tiga remaja yang ditembak mati oleh polis pada tahun lalu menunjukkan mereka ditembak dari jarak dekat, dakwa NGO hak asasi Lawyers for Liberty.

Muhammad Hanafi Omar, 22, Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, dan Hairul Nizam Tuah, 20, ditembak mati selepas dikejar pada awal pagi 13 November tahun lalu di Glenmarie, Shah Alam.

Pihak polis sebelum ini mendakwa remaja berkenaan menyerbu mereka dengan bersenjatakan parang dan polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

“Laporan bedah siasat bercanggah dengan versi polis bahawa dalam kejadian itu mereka bertindak mempertahankan diri dan menembak - yang bermakna tembakan mesti dilepaskan dari hadapan,” kata peguam N Surendran.

“Bagaimanapun, menurut laporan bedah siasat sudut peluru menembusi kepala depan adalah dari 45 darjah dan keluar melalui belakang leher dan bagi tembakan di bahagian dada, (peluru) juga melalui 45 darjah di badan.

“Ini menunjukkan mangsa sedang melutut ataupun berada pada kedudukan lebih rendah daripada orang yang melepaskan tembakan,” katanya sambil merujuk kepada laporan autopsi Muhammad Syamil Hafiz. -mk


Tembak Mati Remaja : Ibu Bapa Mangsa Kesal Tindakan Terburu-buru Polis

PETALING JAYA 9 JUN : Hancur luluh hati seorang ibu apabila membayangkan saat terakhir anaknya sedang melutut dan merayu meminta nyawa sebelum ditembak dari jarak dekat di kepala dan dada begitu sahaja.

Apatah lagi si penembak merupakan mereka yang sepatutnya menjaga keamanan, keselamatan dan keadilan rakyat dan orang awam.

Dengan esak tangis, Norhafizah Mohd Ghazali menyatakan kekesalan dan hilang keyakinan terhadap Polis Di Raja Malaysia(PDRM) yang seolah cuba menyembunyikan hal sebenar berkaitan kematian anak beliau, Muhammad Syamil Hafiz bin Shafiei yang ditembak mati oleh anggota polis seminggu hari jadi ke 16 nya November tahun lalu.


"Selama hampir 7 bulan saya menunggu apa yang saya fikirkan selama ini menjadi kenyataan. Anak saya memang dibunuh. Kenapa dia dibunuh? Anak saya bukannya pembunuh. Dia cuba berumur 15 tahun. Di mana keadilan untuk anak saya? Saya hilang kenyakinan pada pihak polis. Saya nak tegakkan keadilan untuk anak saya. Saya nak orang yang bunuh anak saya dihadapkan ke mahkamah dan terima balasan setimpal,"

Malah katanya, beliau tidak faham mengapa Polis yang lengkap bersenjata tidak menangkap dan menghadapkan anaknya ke mahkamah jika ia benar-benar melakukan kesalahan tanpa perlu bertindak sedemikian rupa.

"Kenapa tidak dia ditangkap sahaja, kenapa dia harus dibunuh. Mereka tidak merasakan apa yang saya rasa, sebagai ibu saya tak dapat membayangkan anak saya merayu agar nyawanya tidak diambil," ujarnya.

Muhammad Hanafi Omar, 22, Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, dan Hairul Nizam Tuah, 20, mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie kira-kira pukul 4.15 pagi pada 13 Disember lalu.

Pihak polis sebelum ini turut mendakwa ketiga-tiga remaja berkenaan telah menyerbu anggatonya dengan bersenjatakan parang dan bagi mempertahankan diri mereka pihaknya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan sebelum ini, ketiga-tiga remaja terbabit juga baru sahaja selesai merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1, Glenmarie dan bertembung dengan sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan mencegah jenayah di kawasan itu.

Bagaimanapun laporan bedah siasat yang dikeluarkan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Jabatan Kimia Malaysia didapati ia bercanggah dengan kenyataan Thaiveegan itu.

Menurut laporan bedah siasat Hairul dan Syamil dan berdasarkan penemuan keluarga pada badan mangsa, Hanafi masing-masing mempunyai dua kesan tembakan iaitu di kepala dan dada.

Kata beliau, kesemua tembakan dilepaskan pada bahagian kepala dan dada manakala peluru-peluru pula keluar rendah dan badan mereka mengalami lebam dipercayai akibat dipukul.

Ia menunjukkan trajektori peluru pada badan Hairul juga menunjukkan penembak mangsa itu melepaskan peluru dari kedudukan yang tinggi.

Laporan kimia pula menunjukkan ketiga-tiga mereka ditembak dari jarak dekat berdasarkan kesan serbuk pistol di badan mangsa.


Justeru bapa Hanafi, Omar Abu Bakar mempertikai kenyataan Polis yang seolah cuba menyembunyikan apa yang berlaku.

"Saya nak pertikaikan kenapa Polis tembak anak saya dari sebelah kanan. Dua butir di kepala dan dibahu. Pihak polis keluarkan laporan lain. Hospital keluarkan laporan betul. Dan kalau polis kata serang dari depan, kenapa tembakan dari kanan? soalnya.

"Saya tak puas hati dengan kenyataan Timbalan Ketua Polis Selangor itu. Mengaburi mata rakyat untuk melindungi anggotanya. Apa standing orders untuk menenbak penjenayah bersenjata? Yang bersenjata api tembak, yang pakai parang pun tembak juga? Pistol boleh tembak dari jauh," tambahnya lagi. -tvsnews




Ulasan GB

Dasyat gila jika benar mangsa ditembak dalam keadaan sedang melutut.

Kita berdoa kepada Allah s.w.t. agar kebenaran itu dinyatakan dan jika berlaku kekejaman dan kezaliman, pihak yang berkenaan itu dihukum dengan seberat-beratnya.

Tiada daya dan kekuatan selain daripada Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Agung.

Gandingan Hadi-Mat Sabu Ibarat Kabinet Perang - Azizan

Gandingan baru dalam kepimpinan Pas yang diterajui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan, Mohamad Sabu (gambar) diibaratkan sebagai ‘Kabinet Perang’ untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, gandingan itu bersama barisan Kabinet baru perlu dibayangi pelbagai latar belakang, termasuk generasi muda.

“Inilah barisan Kabinet Perang untuk berdepan pilihan raya. Bagi pertahan dan mantapkan parti, perlulah lantik juga orang-orang muda. Ada pemimpin kita letak di bahagian tertentu, dan ada pemimpin kepalai angkatan, ada yang membantu. Kita lihat sahaja hasilnya kelak,” katanya, ketika diminta mengulas mengenai barisan kepimpinan baru Pas pada pemilihan lalu.

Menurutnya, parti lawan hendaklah membuat persediaan lebih rapi untuk berdepan barisan kabinet Pas kali ini, yang diyakini lebih mantap dan berkaliber.

“Saya pasti UMNO sekarang susah hati dengan kepimpinan baru Pas, sebab itu mereka timbulkan isu ulama tewas, tolak golongan ulama dan sebagainya. Ingatan saya kepada UMNO, bersedialah!,” katanya.

Mengulas mengenai perubahan dasar Pas yang kini mahu memperkenalkan dasar negara berkebajikan, Azizan berkata, ia juga sinonim dengan dasar negara Islam yang mengutamakan kebajikan rakyat dan amalan yang baik.

“Islam menyuruh kita berbuat baik, termasuk kebajikan. Apa salahnya sekadar tukar nama, namun pengisian tetap berteraskan Islam. Saya juga amalkan konsep kebajikan dalam pentadbiran, antaranya perkenalkan Skim Kafalah, sumbangan pada pelajar Kedah dan membangunkan agenda pendidikan,” katanya.

Azizan turut menepis dakwaan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang mengatakan UMNO sama sekali tidak tergugat dengan barisan kepimpinan baru Pas, malah yakin peluang mereka lebih cerah kerana pimpinan baru parti itu dipercayai tidak menyokong agenda perpaduan.

“Saya tak pasti apa tafsiran UMNO berhubung barisan kepimpinan Pas yang baru ini, sebab saya tidak mampu membaca apa yang terlintas di minda mereka. Tetapi mungkin mereka tidak puas hati dengan kelebihan yang ada pada gandingan baru ini yang boleh menggugat kedudukan mereka,” katanya.

Ditanya sama ada timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi berhubung keputusan pemilihan atau usul yang dibangkitkan pada Muktamar lalu, Azizan menidakkan perkara itu memberitahu ia bukti kesepakatan dalam parti.

“Tiada ahli Pas suarakan rasa tidak puas hati, mungkin yang bising itu orang UMNO. Atau mungkin pemimpin parti itu tidak puas hati dengan barisan baru Pas yang mantap. Semuanya berjalan lancar,” katanya. -SH

Ulasan GB

Patutlah UMNO BN kecut sangat dan lemparkan macam-macam tuduhan.

Waspada: Semak Label Alat Permainan Untuk Anak - Fomca

Ibu bapa disaran lebih peka terhadap tahap keselamatan alat permainan kanak-kanak dengan menyemak tanda "MC" (Malaysian Conformity) dan label peringkat umur pada barangan itu sebelum membelinya.

Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata selain perlunya meneliti tahap keselamatan alat permainan, ibu bapa juga perlu bijak memilih alat permainan yang sesuai untuk anak mereka mengikut kesesuaian peringkat umur.

"Alat permainan ini sebenarnya satu medium yang dapat membantu ke arah tumbesaran yang lebih seimbang bagi kanak-kanak dan menjana daya imaginasi tetapi jika tersalah beli, contohnya senapang untuk kanak-kanak berusia tiga tahun, kita bimbang ia boleh mendatangkan risiko kecederaan.

"Anak-anak pada tahap itu tidak ada rangsangan untuk mengetahui tahap bahaya sesuatu alat permainan dan di sinilah peranan ibu bapa diperlukan untuk menentukan supaya alat permainan yang dibeli itu selamat digunakan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Isu keselamatan alat permainan kanak-kanak mendapat perhatian kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah mengeluarkan satu garis panduan standard keselamatan bagi alat permainan kanak-kanak.

Berkuatkuasa Februari lepas, semua alat permainan kanak-kanak sama ada buatan tempatan mahu pun yang diimport, diwajibkan mempunyai tanda "MC" sebagai bukti telah mematuhi garis panduan yang dikeluarkan kementerian itu.

Sirim Qas International Sdn Bhd adalah agensi yang bertanggungjawab menilai daripada segi pematuhan standard keselamatan bagi alat permainan kanak-kanak yang dikemukakan pihak industri sebelum laporan penilaian dihantar ke kementerian itu untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Yusof berharap kempen kesedaran terhadap keselamatan alat permainan diperluaskan sama ada menerusi risalah atau pun media. -- BERNAMA

[Bergambar] Rebut Wanita, Pekerja Bangla Dan Vietnam Bergaduh Di Nilai

Bandar Baru Nilai: Hanya kerana seorang wanita, lebih 200 pekerja lelaki warga Vietnam dan Bangladesh bertempur mengakibatkan 23 cedera dalam pergaduhan di asrama sebuah kilang tekstil di Taman Semarak di sini, malam kelmarin.

Mereka yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) dan tiga dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, dua kumpulan terbabit yang saling melakukan provokasi bertempur menggunakan kayu, besi dan membaling batu di dalam kawasan asrama yang terletak kira-kira 300 meter dari kawasan rumah penduduk.

Bagaimanapun, tindakan pantas 150 pegawai dan anggota polis termasuk dua pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya meleraikan pergaduhan itu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd Manan Mhd Hassan, berkata pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada tindakan seorang pekerja Bangladesh yang cuba memikat wanita Vietnam ketika bekerja syif malam Isnin lalu.

“Wanita itu mengadu kepada teman lelakinya yang juga warga Vietnam bekerja di kilang sama yang kemudian membawa beberapa rakan senegara membelasah lelaki Bangladesh terbabit sekali gus mencetuskan ketegangan antara dua kumpulan itu,”
katanya di sini, semalam.

Berikutan itu, berlaku pergaduhan kecil di kilang tekstil di Kawasan Perindustrian Nilai itu sebelum melarat ke asrama yang terletak kira-kira dua kilometer dari kilang.

Katanya, polis juga berjaya menghalang lebih 500 pekerja Bangladesh yang berarak dari kilang untuk menyerbu asrama pekerja Vietnam dan menenangkan mereka sebelum mengiringi mereka pulang ke blok asrama masing-masing.

Abd Manan berkata, polis berjaya menenangkan kedua-dua kumpulan itu kira-kira lapan jam kemudian, tetapi terpaksa menempatkan 150 pegawai dan anggota termasuk satu pasukan FRU sebagai langkah berjaga-jaga di kawasan asrama itu hingga keadaan benar-benar selamat.

“Hari ini (semalam) kita akan membuat pemeriksaan di semua bilik pekerja di asrama untuk memastikan mereka tidak menyimpan senjata atau benda terlarang sebagai langkah berjaga-jaga.

“Polis belum membuat sebarang tangkapan dan sedang menyiasat lanjut kes ini mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya yang menasihatkan pengurusan kilang menghentikan operasi kilang itu selama sehari. -BH







[Video & Bergambar) Gajah Mengamuk, Seorang Pemuda & 2 Lembu Terbunuh

Dua ekor gajah liar menginjak-injak seorang pemuda hingga mati dan menyerang dua ekor lembu di Mysore, India. Amukan gajah ini menyebabkan penduduk di kota tersebut panik dan huru-hara.

Pemuda berusia 55 tahun itu terbunuh ketika beliau ke luar rumahnya untuk melihat apa yang sedang berlaku.

Pemuda itu terus terbunuh ketika diinjak gajah yang mengamuk itu. Dua ekor lembu juga terlempar dan terbunuh.

Demikian seperti disiarkan oleh Sky News, semalam Sekolah dan universiti terpaksa tutup dan pihak keselamatan ditambah untuk bersiap sedia di daerah tersebut.

Salah seorang anggota keselamatan menyalahkan masyarakat yang membangunkan perumahan di daerah perhutanan yang merupakan habitat dari gajah tersebut.

“Pembesaran kawasan pertanian dan meningkatnya pergerakan masyarakat serta bertambahnya kenderaan mengganggu habitat gajah dan menyebabkan gajah tersebut mengamuk masuk ke kampung,” ujarnya. -okezone









Ulasan GB

Moralnya: jangan sampai gajah mengamuk di Gebeng pula nanti.

[Video] Peneroka FELDA Menang Lagi Kes Mahkamah

Peneroka Felda menempa satu lagi kejayaan di mahkamah apabila seorang hakim membenarkan 30 peneroka di Jempol, Negeri Sembilan melantik syarikat kontraktor sendiri untuk menebang dan menjual pokok getah di atas tanah mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi Seremban Zulkifli Bakar memutuskan anak syarikat kontraktor lantikan Felda, Evergreen Sdn Bhd tidak berhak untuk memaksa peneroka berkenaan menggunakan khidmatnya untuk membersihkan tanah di Felda Palong 9 bagi tujuan penanaman semula.

Evergreen Sdn Bhd adalah anak syarikat LBJ Global Sdn Bhd yang dilantik oleh Felda untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Evergreen sebelum ini memohon perintah mahkamah untuk menghalang peneroka terbabit daripada mendapatkan khidmat kontraktor lain.

Peguam yang mewakili peneroka, T. Kumar ketika dihubungi Tv Selangor berkata, keputusan kehakiman yang memihak kepada peneroka felda itu akan memastikan peneroka berkenaan tidak lagi ditindas Felda.

"Mahkamah memutuskan peneroka mempunya hak untuk tebang dan jual pokok mereka sebab ia adalah tanah mereka. Apa yang ada di atas tanah mereka adalah milik peneroka," kata beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat.

Kumar menjelaskan, syarikat Evergreen hanya menawarkan RM33,000 bagi kerja pembersihan setiap 10 ekar. Adalah difahamkan syarikat kontraktor yang dipilih oleh peneroka menawarkan RM46, 000 untuk kerja-kerja yang sama.

"Mereka hendak tebang dan tanam semula pokok getah. Mereka mahu tanam sendiri. Ramai juga yang tanam dan tebang melalui Felda. Tapi mereka rugi sebab kena bayar balik hutang. Tiga puluh peneroka ini mahu berdikari dan mahu tanam sendiri. Kalau tanam sendiri mereka untung lebih," kata Kumar.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman ketika dihubungi Tv Selangor berkata, aliran keputusan mahkamah mutakhir ini yang memihak kepada peneroka jelas membuktikan pengurusan Felda selama ini membelakangkan kepentingan dan hak asas warga felda.

"Hari ini bila peneroka menggunakan perundangan untuk menentukan hak mereka dan menang, ia menunjukkan felda memang dari awal bertindak bertentangan dengan kepentingan hak warga felda. Bila kes seperti ini dicabar di mahakamh ia membuktikan bahawa apa yang didakwa dan diperjuangakn ANAK selama ini berada pada landasan yang betul," tambh beliau.

Mazlan berkata faktor pelapis muda peneroka yang mempunyai kesedaran yang tinggi dan berani mempertahankan hak mereka banyak membantu usaha memulihkan hak-hak peneroka.

"Dulu anak- anak peneroka masih kecil. Mereka tidak tahu nak buat apa. Tapi sekarang mereka inilah yang menjadi penasihat kepada ibubapa mereka. Tidak kurang dikalangan anak- anak peneroka ini yang mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi dan mereka inilah yang banyak menyokong kes- kes seperti ini," katanya.

Sehubungan itu, Mazlan menjangkakan aliran kemenangan peneroka di mahkamah akan berterusan berdasarkan perkembangan positif setakat ini. -tvsnews

Lelaki Ditahan Berhubung Kejadian Kuda Rempuh Kanak-kanak Di Batu Feringghi

George Town - Polis menahan seorang suspek yang dipercayai menunggang kuda dan merempuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di pantai Batu Feringghi di sini Selasa.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata lelaki tersebut berusia 28 tahun dan berasal dari Kedah yang berkerja di kawasan pantai berkenaan, ditahan pada hari kejadian.

"Hasil ujian air kencing yang dibuat ke atas suspek telah mendapati dia positif dadah jenis morfin. Dia kini dalam tahanan polis," katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak tersebut Arina Kirana Azrin di Hospital Pulau Pinang Rabu.

Polis telah mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman suspek sehingga 11 Jun ini bagi membantu siasatan.

Ayub berkata hasil siasatan awal turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes pecah rumah dan jenayah berkaitan dadah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Arina Kirana patah bahu kiri dan cedera di paha kanan akibat dirempuh ketika dia sedang bermain dengan kakaknya yang berusia 12 tahun di belakang sebuah hotel.

Kakaknya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ayub berkata kes itu akan disiasat menurut Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Bapa mangsa Azrin Abdul Razak, 37, berkata sekiranya anaknya dibenarkan keluar daripada hospital petang ini, mereka sekeluarga akan terus pulang ke Kuala Lumpur. -- BERNAMA




Mahathir Orang Pertama Halang Hudud, Bukan Karpal - TGNA

Individu pertama halang hudud bukan Karpal tapi Mahathir, selar Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, individu pertama yang menghalang kerajaan negeri Kelantan daripada melaksanakan hukum hudud adalah Tun Dr Mahathir Mohamad bukan Karpal Singh seperti mana didakwa bekas perdana menteri itu.

Kata Nik Aziz (gambar), kemungkinan Dr Mahathir sudah lupa bahawa beliau telah menghantar surat amaran kepada kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS daripada melaksanakan hukum hudud.

Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993.

Ini berikutan dengan janji PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihan raya umum 1990.

Bagaimanapun hasrat untuk melaksanakan hukum hudud tidak dapat dilaksanakan kerana Dr Mahathir telah menyekat pelaksanaannya, ia disekat melalui satu surat amara dihantar kepada Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

“Seingat saya orang yang menghantar surat kepada kerajaan negeri Kelantan agar tidak melaksanakan hudud satu ketika dahulu namanya ialah Mahathir Mohamad bukannya Karpal Singh.

“Barangkali orang yang bernama Mahathir Mohamad ini sudah lupa, untuk tujuan mengingatkannya saya boleh tunjukkan surat itu, ia masih ada dalam simpanan saya,”
kata Nik Aziz dalam laman Facebook beliau hari ini.

Semalam Dr Mahathir mendakwa pihak menang besar di sebalik pemilihan PAS hujung minggu lalu adalah tokoh-tokoh yang tidak hadir dan bukan ahli PAS khususnya Karpal.

Dengan nada menyindir, beliau berkata, syabas dan tahniah kepada Karpal kerana “akhirnya perjuangan mu menentang negara Islam PAS sudah berjaya.”

Kata Dr Mahathir, yang kalah ialah puak ulama manakala yang menang ialah puak kopiah hitam, penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, kata Dr Mahathir, perjuangan Karpal, selaku Pengerusi DAP kebangsaan, supaya PAS menggugurkan matlamat mendirikan negara Islam, yang akan menguatkuasakan hukum hudud sudah pun tercapai.

Dr Mahathir mendakwa PAS berbuat demikian kerana ingin menghalalkan kerjasama DAP, khususnya Karpal.

Dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan Ke-57 Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Islam menjadikan kerajaan tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi atau cukai paksaan.

Sementara itu Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya tidak perlu mengambil berat akan kenyataan yang dikeluarkan Dr Mahathir sambil menyifatkan pemimpin veteran itu “kewarasannya sudah tidak stabil.”

“Kita tidak perlu nak ambil peduli, ini kenyataan yang sudah sampai ke tahap kewarasan yang sudah tidak stabil dan saya bersimpati kepada beliau (Dr Mahathir).

“Beliau sebenarnya tidak sedar apa yang beliau katakan itu sebab itu PAS tidak perlu nak ambil berat sangat, orang yang paling kuat menentang hudud adalah Dr Mahathir... orang pertama yang menghantar surat amaran kepada Kelantan adalah Dr Mahathir.

“Karpal tidak menentang seperti mana yang dilakukan Dr Mahathir, sejarah sudah membuktikan orang yang menentang negara Islam dan hudud adalah Dr Mahathir dan saya percaya beliau masih menentang sehingga sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegas Mahfuz, bukan Karpal yang memperoleh kemenangan dalam pemilihan PAS tapi rakyat negara ini kerana parti Islam itu bersedia untuk menggantikan Umno pada pilihan raya umum ke-13.

“Yang dapat kemenangan besar ialah rakyat negara kita... orang yang tidak hadir yang dimaksudkan itu adalah rakyat di mana mereka mendapat satu keyakinan kepada PAS yang akan membentuk negara berkebajikan.

“Bukan Karpal yang dapat kemenangan tapi rakyat,” katanya.

Justeru Ahli Parlimen Pokok Sena ini percaya Umno berada dalam keadaan tertekan ekoran pendekatan baru yang ditonjolkan PAS.

“Saya percaya Umno dalam keadaan yang sangat menggelabah dengan kekuatan pendekatan yang ditunjukkan PAS melalui konsep negara berkebajikan dan ini bertepatan dengan situasi semasa yang mana rakyat mengalami pelbagai persoalan yang gagal diselesaikan kerajaan sedia ada.

“Oleh itu gandingan kepimpinan sedia ada dan dulu telah berjaya memberikan satu lontaran kepada rakyat bahawa mereka kini mempunyai landasan baru iaitu negara berkebajikan dan ini akan memberi satu kekecewaan kepada Umno yang telah menimbulkan pelbagai keraguan kepada rakyat termasuk dalam isu perkauman, video seks dan sebagainya,” katanya.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu juga menyifatkan individu yang menghentam pembentukan negara Islam adalah Dr Mahathir.

“Negara Islam Dr Mahathir yang hentam kuat sekali tapi dia juga yang mengumumkan Malaysia negara Islam, dia juga yang cadangkan agar PAS buang nama Islam yang mana kita tentang habis-habisan.

“Dr Mahathir ini sudah tidak stabil pemikiranya, bila kita kata negara kebajikan dia kata kita lari dari landasan... sebenarnya Umno sudah semakin gelisah dengan perubahan yang berlaku (dalam PAS),” katanya.

Jelas beliau, serangan demi serangan yang dibuat terhadap PAS kerana Umno bimbang akan tewas pada pilihan raya ke-13.

“Dulu PAS bagus tapi sekarang lagi bagus sebab orang bukan Melayu semakin yakin dengan PAS maknanya Umno kini semakin menuju ke jalan-jalan terakhir.

“Apa yang dilakukan Umno ini sebab takut untuk menghadapi pilihan raya umum,” katanya. -TMI

Ulasan GB

GB sudah ulas mengenai isu ini semalam di Penghinaan Mahathir Terhadap Hukum Islam Lebih Dasyat Dari Karpal Singh

Petikan:


Seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa yang paling ulung menentang hukum hudud di negara ini ialah kamu, Che Det. Jangan lupa tatkala kerajaan Kelantan ingin membentang hukum hudud, kamulah penentang utamanya, dengan siap memberi ugutan kepada kerajaan Kelantan ketika itu untuk diambil tindakan.

Kalaulah hendak dibangkitkan penghinaan yang Che Det lakukan terhadap Islam mungkin ruang di blog ini tidak mencukupi, lebih buruk dari yang dilakukan oleh Karpal Singh.

Mahathir mengutuk ulama', merasakan diri sebagai ulama' al kabir

Beliau menghina ulama’, menghina pandangan Tuan Hj. Ishak Baharum bekas Mufti Selangor yang dipecat, menghina Dr. Harun Din seorang ulama’ yang disegani. Beliau menempelak pandangan ulama’ dalam isu menutup aurat, pertandingan ratu cantik dengan menyatakan ulama’ mentafsir Al Quran untuk kepentingan diri dan ianya bersalahan dari ajaran Islam. Selagi tafsir atau fatwa ulama’ menggugat Mahathir, selagi itulah fatwa tersebut kononnya bertentangan dengan ajaran Islam.

Apakah Mahathir itu layak memberi fatwa dan menjadikan dirinya sorang diktator satu ketika, tetapi juga ulama’ Al Kabir.

Menghina hukum Islam serta memberi fatwa baru

Beliau mempermainkan hukum hudud dengan menempelak bahawa negara Islam yang mengamalkan hudud akan menyebabkan orang Islam semuanya kudung. Beliau juga mempermainkan hukum Allah ini dalam lawak jenakannya. Tidak berupaya melaksanakannya pada masa ini bolehlah dimaafkan tetapi menolak dan mempersendakan Hukum Allah ini adalah melampau dan wajib diperangi.

Menghina Nabi Muhammad sallalhu’alihi wassalam.

Beliau mempermainkan sunnah Rasulullah. Beliau membuat jenaka dengan janggut Nabi. Beliau mempermainkan pakaian ummat Islam yang dipakai Nabi dan para sahabat dengan menyatakan itu pakaian Arab dan bukan Islam.



Harga Jualan Hartanah Khir Toyo RM6.5 Juta - Saksi

Shah Alam: Perbicaraan kes Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo bermula Rabu dengan pemilik asal dua tanah lot di Seksyen 7, di sini memberitahu, tanah tersebut dijual pada harga RM6.5 juta.

Gambar: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo ditemani isteri, Zahrah Kechik meninggalkan Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas hakim mengekalkan pertuduhan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah di Seksyen 7, Shah Alam secara salah di Shah Alam. - Foto THE STAR

Saksi pertama pendakwaan, Saiful Aznir Shahabudin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Kebangsaan Berhad memberitahu, tanah itu dijual kepada Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni yang telah dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan Mohamad Khir.

Kata Saiful Aznir, 51, beliau pada mulanya berhasrat untuk menjual tanah tersebut harga RM7 juta.

"Saya mula bercadang untuk menjual tanah itu pada tahun 2004. Ini kerana saya mengambil hutang bank yang agak banyak, iaitu lebih kurang RM20,000 sebulan. Saya tidak mampu untuk tanggung lagi," katanya.

Kata Shaiful Aznir lagi, beliau telah meminta bantuan kawan-kawan dan bapanya untuk mencari pembeli hartanah tersebut.

Seterusnya, saksi memberitahu, kawan kepada bapanya yang bernama Datuk Sumadi Ismail telah membawa dua pembeli berpotensi iaitu Shamsuddin dan Mohamad Khir berjumpanya.

"Mohamad Khir datang melihat rumah saya bersama isterinya, Zahrah Kechik dan tanya harga. Mereka kata RM7 juta terlalu mahal," tambahnya.

Saksi seterusnya berkata, Shamsuddin juga ada datang ke rumah untuk berbincang dan beliau akhirnya bersetuju untuk menjual tanah seluas kira-kira 4,645 meter persegi pada harga yang lebih rendah.

Tanah tersebut yang mengandungi sebuah banglo berkeluasan 1,393 meter persegi, garaj yang boleh memuatkan empat buah kereta, kolam renang, kolam ikan dan lanskap dijual kepada Ditamas menerusi Shamsuddin pada 23 Disember 2004.

Pada keterangan lain, Shaiful Aznir mengakui dua tanah tersebut dibeli pada tahun 1995 dan 1996 pada harga RM1.3 juta.

Bagaimanapun, menjawab soalan peguam Mohamad Khir, M. Athimulan, saksi bersetuju bahawa berdasarkan surat pindah milik, tanah itu dijual pada harga RM5 juta.

"Saya tidak ingat siapa yang mencadangkan harga tersebut tetapi saya bersetuju dengannya," katanya dan menambah tidak dipaksa untuk menjual pada harga itu.

Beliau juga mengakui bahawa tidak mendapatkan sebarang khidmat untuk menilai harga pasaran hartanah tersebut

Mohamad Khir, 45, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 6 Disember tahun lalu atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -mstar


Saksi kelu, keliru

SHAH ALAM: Keadaan saksi pendakwaan yang seakan-akan kehilangan kata-kata menyebabkan perbicaraan kes dakwaan salah guna kuasa bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, terpaksa ditangguhkan kepada hari ini.

Saksi berkenaan, Pengarah Ditamas Sdn Bhd (Ditamas), Shamsuddin Hayroni dilihat seperti keliru dan tidak berupaya menjawab beberapa soalan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed.

Dia yang baru dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah daripada tuduhan bersubahat dengan Dr Mohamad Khir Isnin lalu juga seperti sukar meluahkan perkataan ketika memberi keterangan.

Situasi itu menyebabkan Hakim Datuk Mohtarudin Baki mencelah dan bertanyakan keadaan kesihatannya sebelum mahkamah membenarkan perbicaraan itu ditangguhkan hanya selepas setengah jam prosiding sebelah petang bermula.

Mengikut pertuduhan, Dr Mohamad Khir, 46, didakwa memperoleh dua lot tanah dan rumah di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, di sini, bagi diri dan isterinya, Zahrah Kecik, 46, Ia diperoleh daripada Shamsuddin, 52, yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Hartanah itu dibeli Dr Mohamad Khir pada harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, pada 29 Mei 2007.

Bagi pertuduhan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Shamsuddin memberitahu mahkamah dia mengenali Dr Mohamad Khir ketika tertuduh Menteri Besar dalam mengendalikan urusan perniagaannya meliputi pembinaan dan pembangunan hartanah.

Beliau berkata, tugasnya sebagai ahli perniagaan menyebabkan dia berurusan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di mana Dr Mohamad Khir memiliki jawatan.

Menjawab soalan Abdul Wahab, Shamsuddin berkata, dia melawat dua lot tanah dan banglo Jalan Suasa 7/1L, namun mendapati harga ditawarkan pemiliknya terlalu mahal.

Pada prosiding semalam, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar.

Dr Mohamad Khir diwakili barisan peguam bela, M Athimulan, Adzly Ab Manas dan Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Isu berhubung rumah mewah milik Dr Mohamad Khir sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila Adun Sekincan, Ng Suee Lim mendakwa anggaran pembinaan kediaman itu melebihi kemampuan Menteri Besar yang berkhidmat lapan tahun.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Operasi Permodalan Kebangsaan Berhad, Saiful Aznir Shahabudin, 51, memberitahu mahkamah, beliau menjual dua lot tanah dan banglo di Seksyen 7 kepada Shamsuddin pada harga RM6.5 juta, dalam satu urusan jual beli pada akhir 2004. Saksi pendakwaan pertama itu berkata, pada asalnya dia mahu menjual hartanah itu pada harga RM7 juta.

Bagaimanapun, beliau menafikan menjual hartanah itu untuk membuat keuntungan.

“Saya banyak hutang bank, RM20,000 sebulan dan tidak mampu menanggungnya. Jadi saya buat keputusan untuk jual hartanah itu,” katanya.

Menurutnya, beliau membeli dua lot tanah itu pada 1995 dan 1996 pada harga sekitar RM1.3 juta, sebelum membina banglo di satu daripadanya.

Katanya, tanah 50,000 kaki persegi itu mengandungi banglo, garaj yang boleh memuatkan empat kereta, kolam renang, kolam ikan dan landskap pelbagai tumbuhan ketika dijual pada 23 Disember 2004. Saiful berkata sebelum hartanah itu dijual kepada Shamsuddin, Dr Mohamad Khir dan isterinya Zahrah melawat lot tanah dan banglo itu pada September atau Oktober 2004.

“Saya berbincang dengan Dr Mohamad Khir.

Dia hanya melihat sekeliling rumah antara 10 dan 15 minit saja. Dia tanya berapa saya mahu jual, saya kata RM7 juta. Dia kata terlalu mahal, lepas itu dia meninggalkan rumah saya,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohtarudin Baki bersambung hari ini. -hm


WASPADA: 2 Produk COSWAY Tercemar Dari Taiwan - Diarah Tarik Balik

Kuala Lumpur - Kementerian Kesihatan mengarahkan Cosway (M) Sdn Bhd supaya menarik balik dengan segera dua produk makanan dari Taiwan yang tercemar dengan Di (2-ethylhexyl) Phthalate (DEHP).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman juga meminta semua pengedar syarikat itu supaya menghentikan serta merta jualan Oriyen Nutri Grow (boy) Orange Drink Premix 330g dan Oriyen Nutri Grow (girl) Cranberry Drink Premix 330g keluaran Jin Zhuan Lifesciences Enterprise Co.Ltd, Taiwan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Taiwan telah memaklumkan kepada Pusat Keselamatan Makanan Hong Kong mengenai kedua-dua produk itu yang diimport oleh Cosway (HK) Ltd.

"Kementerian Kesihatan mengambil maklum bahawa produk sama juga diimport oleh Cosway (M) Sdn Bhd. Kementerian telah mengambil sampel untuk dianalisis DEHP.

"Produk dari kelompok itu hanya akan dilepaskan sekiranya hasil analisis mendapati ia tidak tercemar dengan DEHP," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hasan menasihatkan pengguna yang telah membeli produk makanan itu supaya tidak memakannya.

Menurutnya sebanyak sembilan lagi produk makanan keluaran Taiwan bagi kategori makanan yang disyaki tercemar telah dianalisis dan disahkan tidak mengandungi DEHP.

Produk berkenaan ialah Apple Juice, Guava Juice, Grape Juice dan Carambola Juice keluaran Uni-President.

Produk lain termasuklah Frugurt Assorted Flavors, Fibrous Jelly White Peach Flavor, Fibrous Jelly Mango Flavor, Fibrous Jelly Grape Flavor dan Squez`n Bites jenama New Choice, katanya.

Hasan berkata Kementerian Kesihatan turut menjalankan pemantauan terhadap produk makanan kategori lain keluaran Taiwan yang disahkan tidak mengandungi DEHP iaitu Pickled Strip Cucumber jenama Melovocom, Preserved Chili Bean Curd jenama Master dan Yam Nutritious Cereal jenama Greenmax.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan di talian 03-88833652/0388833653 atau melayari laman web di http://moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my. -- BERNAMA

Untung Petronas Meningkat, Subsidi Untuk Rakyat Dipotong, Royalti Kelantan Dinafikan

Petronas catat keuntungan lebih tinggi

KUALA LUMPUR: PETRONAS mencatatkan perolehan dan keuntungan yang lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011, didorong kenaikan harga semua produknya dan jumlah dagangan yang lebih tinggi produk utamanya di celah pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh sungguhpun ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas, berkata perolehan meningkat 14.4 peratus kepada RM241.2 bilion daripada RM210.8 bilion manakala keuntungan pracukai meningkat 34.5 peratus kepada RM90.496 bilion daripada RM67.3 bilion sebelum ini.

Syarikat minyak negara itu mengumumkan dividen RM30 bilion kepada kerajaan.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) untuk tahun itu termasuk keuntungan bersih RM9.2 bilion hasil tawaran awam awal Petronas Chemicals Group Bhd (PCGB) dan Malaysia Marine dan Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB).

"Tidak termasuk keuntungan itu, EBITDA meningkat 18.5 peratus, selaras dengan perolehan yang lebih tinggi," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pulangan pada hasil bagi tahun itu iaitu 37.5 peratus, sungguhpun kos semakin meningkat, menunjukkan harga yang lebih kukuh dan usaha berterusan kumpulan ke arah keberkesanan operasi. - BERNAMA

Ulasan GB

Kenaikan harga minyak dunia menyebabkan keuntungan Petronas meningkat. Malangnya rakyat pula menanggung beban apabila harga minyak dinaikkan, tarif elektrik dinaikkan sehingga harga barang keperluan yang menggunakan kedua-dua tenaga tersebut turut meningkat.

Subsidi dipotong sedangkan Petronas terus menjadi gergasi yang menyedut hasil mahsul negara dan royalti minyak Kelantan pula dinafikan.


Gergasi itu akan binasa akhirnya kerana kezaliman mereka mengikut telunjuk kerajaan BN yang zalim pula.

Kita tidak mendoakan keburukan menimpa Petronas seperti anggapan sesetengah pihak, namun kezaliman mereka mengikut telunjuk dan arahan pemimpin UMNO BN yang zalim itulah yang bakal membinasakan mereka.

Status Halal Barbican Belum Diputuskan - Jakim

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menentukan status halal bir Barbican selepas Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan perbincangan mengenainya.

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memutuskan status minuman jenama Barbican yang didakwa sebagai 'bir halal' selepas Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan perbincangan mengenainya.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata perkara tersebut perlu dilihat secara holistik sebelum keputusan akhir diumumkan.

“Berdasarkan perbincangan yang kita buat dengan pihak pengedar Isnin lalu, kita hanya mendengar penerangan mengenai mereka berhubung kaedah pembuatan serta bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilan bir tersebut.

“Setakat ini pihak kami tidak dapat memutuskan status halal produk tersebut. Kita perlu tunggu Majlis Fatwa bermesyuarat mengenainya,” katanya kepada mStar Online di sini, Rabu.

Dalam pada itu, Hakimah mengesahkan empat daripada lima syarikat pengedar produk minuman bijirin barli itu hadir pada mesyuarat selama tiga jam yang diadakan Isnin lalu.

Menurutnya, keputusan mesyuarat bersama pengedar yang diadakan pada hari tersebut bukan keputusan akhir sebaliknya Bahagian Hub Halal Jakim akan terus mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa mengenai produk bir tersebut.

“Kita akan terus membuat kajian mendalam serta mendapatkan maklumat daripada pengedar bir Barbican ini. Jadi buat masa ini kita tidak ada kata putus mengenainya,” katanya.

Isu ‘bir halal’ itu timbul selepas Jabatan Agama Johor (JAJ) mendedahkan ada produk minuman yang terkenal dari negara Arab mempunyai kandungan alkohol 0.5 peratus, iaitu melebihi had 0.01 peratus yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Minggu lepas, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menasihati umat Islam di Malaysia supaya tidak minum ‘bir halal’ tersebut kerana kandungan alkohol dalam minuman itu melebihi paras yang dibenarkan oleh Islam.

Jamil Khir berkata syarikat itu mendakwa bahawa bir berkenaan mengandungi hanya 0.01 peratus alcohol tetapi kajian makmal yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Johor mendapati kandungan alkohol dalam minuman itu ialah 0.5 peratus

Minuman yang diimport dari sebuah negara Islam di Asia Barat itu banyak terdapat di kafe-kafe di negara ini yang dijual antara RM3 hingga RM5 sebotol.