18 Dis 2009

Golongan Pengampu Jahanamkan Parti - Hadi Awang

Jangan meramaikan pengampu dalam PAS
Saidah Hairan

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan seluruh pimpinan PAS negeri Selangor supaya menjadi pemimpin berjiwa besar serta bersikap terbuka dan tidak meramaikan pengampu kerana ia akan menjahanamkan masa depan parti.

Beliau menegaskan, menjadi pemimpin mesti rela dikritik jangan takut dikritik dan jangan berdegil untuk mempertahankan diri setelah dikritik kerana itu akan menjatuhkan maruah seorang pemimpin.

Katanya, menjadi pemimpin bukan saja untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya tetapi lebih penting bertanggngjawab terhadap Allah SWT. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar Memperkasa Parti Memperkukuh Pakatan PAS Selangor di dewan MBSA, Shah Alam, Sabtu lalu.

Tambah beliau, apabila sudah menjadi pemimpin jangan memutuskan hubungan dengan parti (PAS) memelihara hubungan dengan masyarakat begitu juga dengan raja kerana raja merupakan sebahagian daripada perlembagaan.

"Pemimpin perlu menjaga hubungan dengan pegawai kerajaan kerana jika hubungan tidak baik apa saja perancangan akan tergendala kerana tidak mendapat sokongan daripada mereka," tegasnya.

Walaupun PAS mengalami `pasang surut' dalam pilihan raya katanya tetapi ahli PAS mencecah satu juta orang dan keistemewaan PAS kerana mempunyai ketahanan yang hebat.

Beliau berkata, PAS berjaya memecah tembok pemisah dengan pengundi bukan Islam apabila ditubuhkan Kelab Penyokong PAS disamping mengadakan tahaluf Siyasi (persefahaman politik) dengan parti dan kumpulan bukan Islam.

Katanya sokongan daripada orang bukan Islam kepada PAS disebabkan pimpinan PAS mempunyai harga diri serta prinsip dan diatas keistimewaan itu mereka menilai keberkesanan PAS.

Menurut beliau, PAS perlu membina dan memperkukuhkan kekuatan diatas asas pencapaian pengundi Islam yang menjadi tonggak sebenar kekuatan Islam, dalam masa yang sama hendaklah mendapat undi bukan Islam sebaik mungkin itu realiti politik dalam negara bermasyarakat majmuk.

Beliau turut mengingatkan peserta seminar dengan petikan hadis bermaksud; "Barang siapa yang mencari keredaan Allah walaupun dimarah oleh manusia, Allah meredai dan Allah menjadikan semua makhlum meredainya, ..."

"Keredaan ini sangat penting dan perlu bagi kita sebagai pejuang parti Islam. Kita perlu mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah," tegasnya dihadapan pimpinan PAS Kawasan dan negeri.

Menurut beliau, PAS menjadi parti paling berpengalaman pernah menjadi pembangkang bersendirian di peringkat negeri dan pusat begitu juga memerintah kerajaan negeri secara bersendirian.

PAS juga pernah menyertai kerajaan campuran dan pernah menyertai BN di semua peringkat dan kembali bersendirian, seterusnya bekerjasama dalam bentuk angkatan perpaduan ummah dan pakatan dengan parti lain.

Justeru, ahli-ahli PAS boleh menerima keputusan pilihan raya dengan sabar dan istiqamah walaupun memakan masa dan generasi maka PAS hendaklah belajar daripada pengalaman itu secara positif.

Beliau menekankan sekarang PAS mengambil pendekatan `Tahaluf Siyasi' iaitu persefahaman politik melalui proses yang teguh di atas prinsip dan batas kebijaksanaan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah al-Ijmak Ulamak dan Qiyas yang nyata dengan pengamatan siyasah syari'yyah mengikut Perlembagaan PAS.

"Alhamdulillah strategi kerjasama dalam bentuk tahalus siyasi itu berjaya merombak kesombongan yang wujud dalam BN sehingga kini mereka berhadapan dengan keretakan dalam BN,"tegasnya.

Selain itu beliau turut menekankan PAS akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat untuk memimpin rakyat ke arah perubahan yang hakiki dengan memainkan peranan yang lebih aktif.

Di akhir ucapan itu beliau berharap semua pencapaian yang diperolehi PAS perlu dimuhasabah kejayaan dan kelemahan di semua peringkat sama ada kerajaan negeri, Adun dan ahli Parlimen serta memperkasakan Kelab Penyokong PAS secara aktif bagi meningkatkan kejayaan sehingga ke tahap mencapai kemenangan yang lebih besar.

Ulasan GB

Nampaknya pengampu-pengampu Presiden menerima tamparan paling keras di muka mereka dengan kenyataan di atas.

Ada kemungkinan Datuk Seri Presiden menyedari bahawa tindakan melampau pengampu-pengampunya menyebabkan integriti dan kredibilitinya tercalar teruk apabila terdapat sang pengampu ini telah terlajak jauh dengan kebebalan dan salah tafsir pengertian "wala'" dan "tsiqah" sepertimana yang dituntut di dalam 'amal jamiyy. Wala' membabi buta tanpa ilmu menjadi harakah hancur binasa lantarannya.

Kita melihat sikap Presiden yang berlapang dada menerima teguran tetapi terdapat sang pengampu yang mencemarkan imej parti sepertimana yang berlaku di dalam kes kecaman beberapa pengampu ke atas pengkritik-pengkritik parti sebelum ini. Semasa Datuk Presiden membuat keputusan untuk mengadakan Seminar Memperkasakan Parti untuk mendengar sendiri luahan Prof Abdul Aziz Bari, pengampu ini tiba-tiba membelasah dan mengecam Professor tersebut seperti kenyataan-kenyataan Abu Bakar Chik, Idris Ahmad, Tuan Ibrahim Tuan Man, Nasruddin Hassan Tantawi dan beberapa pemuka-pemuka parti sehingga Datuk Presiden sendiri menerima tempias "malu" dan "dihinakan" ekoran dari tindakan pengampu-pengampu ini.

Sehinggakan golongan pengampu ini menganjurkan Seminar Blogger hujung minggu ini nak brainwash blogger-blogger supaya menjadi pengampu seperti mereka.

Tidak cukup sekadar itu, terdapat pengampu-pengampu dari kalangan mereka terdiri dari webmaster dan blogger yang senegeri dengan Datuk Presiden sendiri menyerang habis-habisan mereka yang mengkritik pimpinan, seolah-olah hanya kumpulan mereka saja yang betul dan boleh menyertai syurga Ilahi dengan cara memaki hamun itu.

Kita melihat bagaimana pengkritik-pengkritik parti (samada ahli atau pun tidak) seperti Topeng Perak, Tulang Besi, Al-Bakistani, ManjongMari, GB sendiri, dan beberapa blogger lain telah diserang hebat oleh golongan pengampu ini. Malah Mursyidul Am PAS dan mereka yang cuba mempersetujui idea pengkritik seperti Peguam PAS, Sdra Hanipa Maidin juga diserangnya bertubi-tubi. Tidakkah betul GB umpamakan kerja mereka sebagai kerja gila?

GB dituduh dengan pelbagai gelaran, pemecah-belah parti, munafiq, agen talibarut UMNO ... Apa nak GB katakan lagi? Hanya bersyukur asalkan Allah meredhai dan menerima diri kita.

Walhal Datuk Presiden sentiasa mendengar dan menerima kritikan walau betapa tajam dan pedas. Itu lambang pemimpin berjiwa besar tetapi sayangnya ia dicemari dengan tindakan pengampu yang berjiwa kerdil yang bakal menjahanamkan parti.

Dan GB telah mencoretkan hal ini di dalam mesej sempena sambutan Maal Hijrah:-


Maal Hijrah : PAS Perlu Bersedia Menerima Perubahan

Ulasan GB

PAS kini sedang melalui proses perkembangan dan kematangan sebagai sebuah organisasi dakwah dan politik sehingga timbul fenomena yang dilihat seperti ianya digoncang sekuat-kuatnya bagi melihat keutuhannya untuk mengharungi cabaran di era baru.

Zaman transisi dari sebuah organisasi dakwah yang sifatnya begitu tradisional kepada sebuah organisasi yang progresif untuk berdepan dengan cabaran-cabaran baru seperti globalisasi, ledakan teknologi maklumat, diikuti dengan kehadiran golongan masyarakat yang berdasarkan pengetahuan (k-community) dan seumpamanya memerlukan perubahan kepimpinan dan struktural.

Ia sekaligus menyaksikan sudah berlalunya zaman "zon selesa" untuk pemimpin dan organisasi parti untuk sekadar mempertahankan status quo.

Tulisan diatas GB bawa untuk sama-sama kita renungkan mengenai kepincangan yang sedang dialami oleh PAS kini, sebagai satu bahan penelitian untuk menerima seadanya apa yang berlaku kini sebagai satu "sunatullah" untuk mentransformasikan PAS kepada sebuah organisasi dakwah dan politik yang lebih berjaya.

Suka atau tidak suka, perubahan pasti berlaku. Tidak ada dua hari yang bernar-benar serupa pada manusia dan sekalian alam, begitulah kepada PAS. Kesemua faktor perubahan berlaku dengan mengakui adanya nilai konstans - iaitu dasar perjuangan yang tetap.

Hari ini tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi lagi. Kejayaan dan kegagalan, kekuatan dan kelemahan sesebuah organisasi dan kepimpinannya diteliti, dibedah, disiasat, dianalisa dan didokumentasikan di bilik-bilik kuliah universiti di dalam pelbagai matapelajaran di dalam bentuk "case study" dan PAS tidak terlepas darinya.

Malah dalam beberapa keadaan ia kini menjadi desertasi untuk seseorang bergelar sarjana dan pemegang PhD.

Zaman untuk merajuk, zaman untuk bersembunyi, zaman untuk mempertahankan sikap "futur" telah tersangat semalam.

Persoalan "adab jemaah" yang ditimbulkan oleh beberapa rakan di lingkaran usrah-usrah kini perlu ditafsirkan dengan parameter baru. "Adab jemaah" bukan lagi dengan mengakui keperluan untuk mengkritik secara berbisik atau apa yang dikatakan "mengikut saluran parti". Cara itu sudah terlalu semalam, sudah ketinggalan zaman.

Kini sudah ada istilah-istilah baru yang mengambil tempat yang diterima sebagai "adab jemaah", seperti "wistle-blowing" - satu kaedah di mana ahli organisasi mendedahkan kepincangan yang dikesannya secara terbuka, "pengurusan strategik" di mana penetapan visi, misi dan objektif organisasi dibuat secara telus dan dipacu bersama oleh pemimpin dan ahli serta "etika professional" dimana nilai-nilai sejagat diakui diterima pakai oleh segenap lapisan petugas dan pekerja organisasi. Mereka yang berdiam diri terhadap kepincangan dan berrahsia untuk menutup kelemahan dilihat sebagai "tidak beradab" malah dikira bersubahabat dengan kegagalan organisasi di zaman kontemporari ini.

Tanpa melupai fakta bahawa sebagai sebuah organisasi dakwah, PAS akan menghadapi tribulasi-tribulasi, tetapi di dalam bentuk baru. PAS akan menempuh gelombang tribulasi Badar, Uhud dan Khandaqnya sendiri, malah PAS akan mengharungi "Perjanjian Hudaibiyah" dan "fathul Makkah"nya sendiri.

Sebagai entiti politik pula PAS perlu bersedia untuk berdepan dengan mehnah baru. Perlu memperlengkapkan diri untuk diheret ke mahkamah bila-bila masa. Perlu bersedia menghadapi tantangan daripada ahlinya sendiri yang akan mencabar kepimpinan yang futur (lembab). Perlu menerima hakikat bahawa struktur yang ada boleh dirombak bila-bila masa pabila ia dilihat sudah tidak mampu menatangi zamannya. Kitar hayatnya (Life cycle) akan menetapkan bahawa proses kematangan parti tidak lagi menunggu pasang-surut sokongan terhadapnya.

Sebagai entiti politik zaman baru juga PAS perlu sentiasa melakukan penyelidikan dan analisa SWOT (Strength, Weakness, Opportunities, Waknessess)nya sendiri. Perlu melakukan matriks pengurusan dan kajian "market share" yang diperolehi untuk mengetahui kedudukan dan status quo dirinya berbanding dengan parti-parti politik lain.

Zaman untuk mendengar ceramah retorik sudah berlalu. Contohnya, kelmarin Datuk Mahfuz Omar baru menempelak dan mendesak Ariffahmi untu meletak jawatan tetapi pada hari ini. Mahfuz sendiri boleh ditempelak untuk meletakkan jawatan kerana mementingkan urusan peribadi daripada parti. Dan langkah terbaik bagi Mahfuz ialah: senyumlah menerima kritikan itu, akur dan berterima kasih kerana peringatan serta dalamasa yang sama perbaiki diri. Kerana yang mengkritikmu itu adalah cerminan bagi dirimu sendiri. Kelmarin engkau menempelak, hari ini engkau ditempelak. Yang yang menempelak itu, "hakikat"nya adalah dari Tuhanmu, yang bukan membencimu tetapi mengasihmu. Begitulah juga pengajaran untuk pemimpin parti yang lain.

Tertinggallah mereka yang masih menguleti mimpi untuk menjadi "kerajaan yang dinanti" jika masih bertegang urat, menelan pil khayal untuk bermakian-makian menjadi penyokong yang akhinya membawa parti rebah ke bumi.


Isu Satu Lambang PR : Ust Zol Tak Setuju, GB Setuju

Konvensyen PR esok menjadi salah satu batu tanda penting hubungan parti-parti dalam PR. Dalam suasana Umno / BN amat berharap parti-parti dalam PR bercakaran sesama sendiri, tiba-tiba konvensyen ini berlangsung.

Sehingga kini belum ada komen pemimpin Umno / BN mengenai konvensyen ini. Mungkin mereka masih terkejut dengan kejadian di parlimen 14 Dis yang lalu.

PR guna satu lambang seperti BN? Saya harap konvensyen ini tidak mengeluarkan resolusi begitu. Kenapa?

Penting sangatkah lambang? Kecuali sistem pilihanraya kita berubah, ada cara lain selain lambang untuk membolehkan pengundi memilih parti yang mereka mahu, lambang masih sangat penting.

PAS berbeza dengan PKR dan DAP sama seperti Umno berbeza dengan MCA dan MIC. Perbezaan ini harus diiktiraf sama seperti pengiktirafan terhadap wujudnya persamaan. Apa yang mustahak, perkukuhkan keserasian dengan perbezaan yang wujud itu.

Lelaki dan perempuan berbeza tetapi mereka tidak perlu memakai baju yang sama untuk memaklumkan kepada umum bahawa mereka adalah pasangan suami isteri. Cukuplah dengan mereka menaiki kereta bersama, membeli-belah bersama, makan angin bersama, ketawa dan menangis bersama, memegang tangan anak-anak ketika berjalan bersama, itu sudah memadai.

Jiran-jiran tahu, kawan-kawan tahu, bahkan orang yang tidak mengenali mereka pun tahu bahawa mereka pasangan suami isteri bila melihat mereka begitu.

Apa yang mengikat mereka? Ya, selain dokumen perkahwinan, mereka diikat oleh kebersamaan mereka menghadapi situasi. Ada ketika mereka berkelahi, berbalah, bergaduh, tetapi kemudiannya mereka kembali bersama malah lebih intim lagi. Demi siapa? Ya, demi anak-anak, masa depan mereka.

PAS, PKR dan DAP tidak perlu menggunakan lambang yang sama. Lebih selesa, tenang kita memakai lambang sendiri seperti sekarang. Cukuplah, kita berarak bersama, kita berkempen bersama, kita bermarkas bersama, orang sudah tahu bahawa kita berkawan. Dunia sudah tahu itu semua.

Kita tidak perlu menipu rakyat seperti BN. Ke sana sini memikul dacing, tapi Umno menikam Melayu, MCA dan MIC pun tidak setara mana membela kaum mereka. Orang yang terbela ialah orang yang berkuasa, pemimpin mereka.

Dengan satu lambang itu, pada hari ini rakyat tidak kemana. Kekayaan negara mereka punggah dan difaraidkan sesama mereka. Rakyat ditipu dengan satu lambang. Satu lambang, kononnya simbol perpaduan. Akhirnya, mereka memang berpadu tetapi untuk tipu kita.

Kita tampil di hadapan rakyat dengan wajah kita. PAS, PKR dan DAP dengan wajah masing-masing. Kita suarakan idealisme kita. Fokus kita ialah rakyat, masa depan mereka.

Politik tipu rakyat dengan satu lambang tidak harus kita warisi. Kita mesti berbeza daripada BN. Kita perlu melakar wajah politik baru untuk Malaysia.

Berikan rakyat Malaysia peluang yang luas untuk menentukan masa depan mereka. Jangan ikat dan berkas mereka dengan lambang seperti BN. Andai PR berkuasa, lebih baik kita berikan rakyat Malaysia banyak pilihan, PAS, PKR dan DAP daripada kita mengikat mereka dengan dua pilihan sahaja, PR dan BN.

Rakyat akan lebih memberontak jika mereka diikat berbanding mereka diberikan banyak peluang dan pilihan.

BN telah memenjara rakyat dengan ‘dacing’. Hari ini rakyat memberontak. Ahli atau penyokong Umno tidak mampu beralih kepada parti lain dalam komponen BN, ahli atau penyokong MCA tidak beralih kepada Gerakan misalnya, kenapa? Kerana mereka jemu dengan ‘idealisme’ dacing itu. Kesudahannya mereka meninggalkan terus ‘dacing’.

PR mesti memberi peluang kepada ahli atau penyokongnya terus bersama PR sekali pun dia mungkin tidak mahu bersama dengan salah satu parti dalam PR. Bukankah itu lebih menguntungkan politik kita? Dia tidak selesa dengan A, boleh pilih B, namun masih bersama PR.

Justeru, saya tidak bersetuju PR menggunakan satu lambang sahaja. Lebih baik terbuka, lebih selesa bebas, lebih mesra beridentiti. Dada tidak sempit, fikiran tidak kusut.

Bukan saya seorang tetapi saya yakin rakyat Malaysia juga begitu. Rakyat Malaysia sudah fobia dengan satu lambang, ‘dacing’. -bongkarsauh

Ulasan GB

Demikian pendapat dan pandangan Ust. Zolkharnain.

Bagi GB, tidaklah menjadi satu masalah besar mengenai isu penggunaan satu lambang ini. Boleh ada boleh juga tiada. tetapi lebih baik ada.

Kita melihat dari sudut positif jika ianya diadakan. Ia mampu mengeratkan hubungan dalam ertikata kita berada di dalam satu bahtera yang sama - bernama Pakatan Rakyat - untuk mwujudkan semangat kekitaan yang lebih berkesan untuk menghadapi lawan.

Tiada lagi pemisahan yang didasarkan faktor keperbezaan politik kepartian samada PAS, PKR atau DAP. Sementelah lagi ketiga-tiga parti telah mampu keluar dari kepompong etnik tertentu, tak seperti BN yang setiap komponennya dilihat mewakili hanya kelompok-kelompok etnik tertentu.

Evolusi kematangan berpolitik rakyat di dalam negara kita telah menjurus ke arah penolakan parti politik "assabiyah" yang berteraskan etnik dan ini memudahkan untuk Pakatan Rakyat mendapat sokongan rakyat tanpa mengira bangsa untuk membuat pilihan lain selain BN.

Benar kata Ust.Zol, "Cukuplah, kita berarak bersama, kita berkempen bersama, kita bermarkas bersama, orang sudah tahu bahawa kita berkawan. Dunia sudah tahu itu semua". Namun bagi GB, ia akan lebih indah dan mantap apabila setiap dari kita, tak kira PAS, PKR atau DAP menggunakan baju atau topi yang berlambang sama. Ia untuk mengukuhkan kesatuan hati, kesatuan pemikiran dan kesatuan tindakan bagi meruntuhkan BN.

Analogi kita berada di padang bola, dua pasukan bertarung. BN versus PR. Jadi agak tidak berapa berjaya jika BN dengan warna biru pekatnya sedangkan pemain PR menyarung jersi dengan tiga warna berbeza. Setentunya, ia memeningkan spectator (penonton), terlebih pening lagi di kalangan pemain-pemain PR sendiri.

Seperkara lagi, kita ingin menampakkan bilangan kita ramai di dalam satu-satu perhimpunan, bersesuaian imbauan firmanullah...wa addilahum masta ta'tum min quwwah... Kita tidak ingin bertelagah untuk menyatakan PAS ramai, PKR sedikit, DAP cuma seorang dua apabila ia dikenali dengan lambang-lambang yang berbeza-beza. Dengan pemakaian satu lambang tiada lagi rasa kekok apabila sesorang ahli DAP, misalnya yang ingin turut serta menyokong calon PAS atau PKR. We are all one, PR.

Apa-apa pun kita serahkannya kepada semua peserta konvensyen esok apa yang terbaik untuk Pakatan Rakyat.

Kini Presiden Sendiri Merasakan Betapa Pedihnya...

Sebuah akhbar tempatan melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan kegagalan ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk hadir pada sidang Dewan Rakyat bagi meluluskan Bajet 2010 Isnin lalu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan tindakan sewajarnya akan diambil.

Sambil menegaskan beliau memandang serius perkara itu, Perdana Menteri berkata arahan sudah diberikan supaya semua Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen hadir pada persidangan itu.

“Saya sudah dapat senarai mereka yang tak hadir dan kita akan menyusulinya dengan tindakan sewajarnya. Sekurang-kurangnya kita kena buat satu perjumpaan untuk mengingatkan tanggungjawab mereka untuk hadir pada persidangan Parlimen,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Copenhagen malam tadi.

Itu BN, dia punya pasal.

Bagaimanapula dengan Pakatan Rakyat terutama PAS?

Saya memfokuskan hanya kepada Parti Islam SeMalaysia dimana lima orang dilaporkan tidak hadir. Walaupun ia jumlah terkecil daripada sekalian wakil rakyat Pakatan Rakyat yang tidak hadir, namun adalah tidak wajar seseorang wakil rakyat dari sebuah parti yang bertunjangkan Islam menunjukkan teladan yang buruk, sementelah lagi yang tidak hadir dari kalangan PAS itu bukanlah calang-calang orangnya.

Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang dilaporkan kelihatan agak marah dengan insiden berkenaan.

Presiden PAS tentu kini banyak belajar dan menginsafi kejadian itu. Betapa pentingnya untuk memenuhi tanggungjawab dan mengutamakan prioriti serta tidak meninggalkan Parlimen dengan alasan remeh-temeh.

Satu ketika dahulu, di sini, GB sendiri pernah menegur Tuan Presiden, tetapi GB dihentam secukupnya oleh ahli PAS yang taksub kepada Tuan Presiden. GB nukilkan semula:


Di mana Presiden PAS, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang berada sekarang ini tatkala parti dan negara diselubungi persoalan yang menuntut jawapan darinya?

Beberapa kali persidangan parlimen berlansung Haji Hadi gagal untuk hadir dengan alasan yang tidak diketahui oleh sesiapa.

Tatkala krisis politik Perak meletup, dan sewaktu semua pihak tertanya-tanya dimanakah Presiden PAS berada bagi mempastikan kerajaan Pakatan Rakyat dibela dan dibantu secukupnya oleh pimpinan Pakatan Rakyat, Haji Hadi berada di luarnegara, dikatakan pergi menyerahkan sumbangan kepada Tabung Mangsa Kezaliman Usrael yang sepatutnya tugas itu boleh dilakukan oleh pimpinan yang lain.

Kemudian, tatkala isu Gobind Singh Deo digantung dimana suara dan bilangan ahli Pakatan Rakyat diperlukan untuk di dalam undian belah bagi, sekali lagi Presiden PAS tidak ada. Sekali lagi dikatakan berada di luranegara.

Kini, apabila isu Kerajaan Perpaduan hangat diperbincangkan dan apatahlagi di dalam suasa parlimen sedang bersidang, Haji Hadi berada di luarnegara lagi.

Kita jadi hairan bagaimana seorang yang dilantik menjadi wakil rakyat untuk membawa suara rakyat dari kawasan parlimennya, tiba-tiba kerap benar tiada di dalam Dewan Rakyat tetapi terlalu sibuk dengan aturcara di luarnegara.

Apakah masalah negara sudah terlalu remeh baginya untuk diambilkira dan pengundi tidak perlu lagi diberikan perhatian, cukup dengan sekadar meletakkan dua orang pegawai di pejabat DUN dan Parlimen bagi menguruskan semua hal-hal rakyat?

Seingat saya, Haji Hadi, setelah memenangi jawatan sebagai Presiden PAS tanpa bertanding telah berjanji untuk memberikan khidmatnya yang terbaik tetapi nampaknya Haji Hadi lebih gemar untuk berurusan dalam hal-hal di luar negara berbanding dengan perkara yang berkaitan di dalam negara.

Saya tidak kata ke luarnegara itu tidak boleh, tetapi apakah wajar ia dilakukan sewaktu persidangan parlimen berlansung dan sewaktu negara sedang menghadapi masalah yang menuntut jawapan segera daripadanya seperti masalah Kerajaan Perpaduan? Apa tah lagi ia dilakukan terlalu kerap.

Kita jadi hairan yang kita terpaksa mendengar jawapan mengenai Kerajaan Perpaduan yang diberikan di satu majlis di London!

Perlu diingatkan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira kedudukan bahawa anda perlu merasa bertanggungjawab dan akauntabiliti untuk menjalankan amanah sebaik-baiknya bagi pengundi anda kerana kita khuatir akan berlaku peristiwa pilihanraya 2004 dimana ramai wakil rakyat Barrisan Alternatif ketika itu tewas akibat dari track record yang buruk.

Anda dibayar gaji oleh rakyat Malaysia untuk menjalankan amanah itu dan seandainya diluarnegara itu lebih penting, sebaik-baiknya lepas jawatan sebagai wakil rakyat di dalam negara supaya anda boleh menjadi wakil rakyat di luarnegara.

Kita marah wakil rakyat BN seperti Ong Tee Kiat berada di luarnegaara semasa Parlimen bersidang dan tatkala isu PKFZ hebat menuntut jawapan darinya, tetapi mengapa kita juga perlu ada pemimpin semacam itu?

Baliklah segera wahai pemimpinku kerana kelupaan menunaikan tanggungjawab itu amat besar bahananya kepada jemaah nanti.


Kini Tuan Presiden melihat sendiri apa yang terjadi apabila akhlaq wakil-wakil rakyat PAS saling tak tumpah dengan MP dari BN.

Hal ini mengulangi satu pengundian belah bahagi atas permintaan 15 anggota Dewan Rakyat, kebanyakannya dari Pakatan Rakyat ke atas Rang Undang-undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) diadakan di dapati 48 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 47 membantah. BN menang dengan kelebihan 1 undi. Ada beberapa MP PAS tidak hadir.

Nah kini bagaimana? Hendak diambil tindakan atau pun tidak, sedang BN mahu ambil tindakan ke atas wakil rakyat mereka! Sedangkan juga, alasan-alasan YB-YB dari PAS ini seperti ada nak memperbodohkan ahli-ahli PAS dan para pengundi atau ada dari kalangan yang bodoh dah terlepas jadi wakil rakyat PAS?

Nak hadapkan YB-YB kita ke Lembaga Disiplin? Persoalan lain timbul pula. Sedangkan, izinkan saya ulangi Lembaga Disiplin PAS itu sendiri bias dan dipersoalkan kesahihan pembentukannya! Bacalah.

InsyaAllah, GB yakin GB betul.

MP PAS Syok Sendiri?

Lima MP daripada PAS tidak berada di Dewan Rakyat ketika undian belah bahagi bejet sulung Najib dijalankan. BN menang 66 – 63. Kalau kelima-limanya hadir, BN tewas 68 – 66.

Pokok Sena kata dia ke Jakarta kerana urusan peribadi dengan makluman awal kepada Presiden. Hulu Langat kata dia di Sungai Besi menggantikan Nizar dalam satu program Pakatan Rakyat. Kuala Krai kata dia ada program yang telah diatur lebih awal di kawasannya dan makluman awal kepada Presiden juga telah dibuat.

Menurut Harakahdaily, Parit Buntar dan Baling belum dapat dihubungi.

Seorang blogger menyifatkan MP BN yang gagal hadir sebagai ‘masih diulit mimpi’. Ungkapan itu sesuai untuk MP BN kerana mereka berkuasa dan tidak menjangka apa yang telah berlaku itu boleh berlaku.

Apa pula ungkapan yang sesuai untuk MP PAS secara khusus? Tak mungkin MP PAS turut diulit mimpi. Kalau bukan, apa dia?

Saya tidak marahkan mereka berlima dan saya mungkin boleh faham keadaan mereka. Cuma saya memerlukan jawapan berterus-terang. Telus, kata orang sekarang.

Ya, rakyat yang mengundi PAS / Pakatan Rakyat juga inginkan jawapan berterus-terang. Bukan jawapan umum seperti urusan peribadi, ganti orang atau program yang telah diatur lebih awal.

Kenapa perlu berterus-terang? Ya, kerana jawapan umum memungkinkan soalan tambahan, macam di Dewan Rakyat juga.

Soalan tambahan saya, adakah urusan peribadi itu tidak boleh ditangguh langsung, ditelan mati emak diluah mati bapa?

Gantikan orang dan program di kawasan? Tidakkah penganjur di kedua-dua majlis itu boleh difahamkan bahawa kehadiran ke parlimen pada tarikh dan saat itu sangat penting? Ini mati hidup kerajaan BN.

Saya fikir lebih mudah memberi penjelasan kepada mereka yang terlibat dengan majlis itu sahaja berbanding sekarang, terpaksa memberi penjelasan kepada seluruh pengundi PAS / PR dan rakyat Malaysia yang ingin melihat BN tumbang.

Tiga orang telah memberi jawapan umum. Kami menunggu penjelasan Baling dan Parit Buntar pula. Tapi ingat, kami tidak mahu penjelasan itu hanya sampai ke telinga Presiden saja, atau ketua pembangkang saja. Kami mahu penjelasan itu sampai juga ke telinga kami.

Dan, ingat kalau jawapan itu masih jawapan umum, kami akan kemukakan soalan tambahan. Bukankah itu amalan ketika berbahas di Dewan Rakyat?

Apa pun, apa yang terhidang sekarang adalah bubur bukan lagi nasi. Peluang ini saya percaya tidak akan berulang lagi. Pada masa akan datang, BN tentu lebih berhati-hati.

Kecuali, MP BN masih bermimpi lagi. Cuma diharapkan, ketika MP BN diulit mimpi janganlah pula MP PAS ‘syok sendiri’. -Ust Zolkharnain Abidin