12 Feb 2009

Ulasan Berita Hangat 12 Feb 2009

Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mengumumkan hari ini bahawa beliau akan keluar dari kediaman rasmi menteri besar 10 hari lagi.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Ipoh, Nizar berkata beliau telah menerima surat dari Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim meminta beliau mengosongkan kediaman tersebut.

Nizar berkata, beliau akan menghormati permintaan tersebut.

Beliau juga mengumumkan akan memulangkan semula kesemua 11 kereta Toyota Camry.

Menurut Nizar beliau akan memfailkan saman terhadap pelantikan Menteri Besar baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 11 pagi esok.

ADUN PELABUHAN KLANG NAFI KELUAR PKR

Demam spekulasi lompat parti" merebak ke Selangor dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah hari ini menafikan yang beliau akan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Bercakap pada sidang media petang ini, Badrul Hisham berkata, beliau akan tetap bersama PKR dan menyokong kepimpinan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penjelasan beliau tersebut menamatkan spekulasi dan deas-desus yang beliau akan melompat dan sekaligus mendiamkan ahli-ahli UMNO yang telah hampir berteriak keriangan yang kononnya akan berlaku teori domino untuk kes lompatan PKR ke BN.

Beliau bercadang untuk mengambil tindakan kepada lamanweb agendadaily.com dan siaran television TV3 yang menyebarkan fitnah mengenai beliau.

ZAMBRY DIDAKWA SALAHGUNAKAN KUASA, LAPORAN KE SPRM

DAP Perak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung keputusan Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir melantik tiga penasihat kepada Menteri Besar yang didakwa oleh parti itu sebagai salah guna kuasa.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, berkata pelantikan itu dibuat tanpa kelulusan exco kerajaan Perak dan juga melanggar peruntukan undang-undang tubuh negeri.

Bekas ahli exco Pakatan, Nga Kor Ming berkata, pelantikan keempat-empat mereka adalah tidak sah di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan akan melibatkan kos RM960,000 setahun.

Semalam, Dr Zambry mengumumkan pelantikan tiga penasihat kepada Menteri Besar iaitu Naib Presiden MIC, Datuk Dr Veerasingam; Pengerusi Gerakan negeri, Chang Ko Youn dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau, Datuk Najmudin Elias al-Hafiz.

Sementara itu, ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Negeri bukan berstatus exco tetapi diberi kemudahan exco.

PILIHANRAYA KECIL DI DUA BUKIT MUNGKIN SERENTAK

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan tarikh pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah diadakan serentak.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata keputusan mengenai perkara itu akan dibuat pada mesyuarat khas esok, selepas pihaknya meneliti serta membincangkan dokumen berkaitan kekosongan keduakedua kerusi itu.

Katanya mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya kecil hanya boleh diadakan jika SPR dapat memastikan bahawa adanya kekosongan pada satu-satu kerusi Parlimen atau DUN berkenaan.

SPR sebelum ini telah dikatakan bertindak melampaui bidangkuasanya apabila menolak untuk mengadakan pilihanraya apabila tidak mengendahkan writ kekosongan kerus DUN yang dikemukakan oleh Speaker DUN Perak.



74% Mahu DUN Perak Dibubar

Hampir 74% mahukan DUN Perak dibubarkan manakala 76% pengundi juga ingin melihat "pilihan raya menerusi rakyat" diadakan untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.

Demikian satu kajian yang telah dikeluarkan oleh Merdeka Center, sebuah firma penyelidikan bebas yang beribupejabat di Bandar Baru Bangi hari ini.

Ini menunjukkan juga hampir dua pertiga pengundi Perak mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya tergempar diadakan di negeri itu ekoran krisis politik sejak penghujung bulan lalu.

Hanya 21 peratus responden mengatakan bahawa pihak istana mempunyai "hak" untuk menentukan kerajaan bagi rakyat jelata.

"Malah, 62% lagi responden merasakan bahawa peranan istana dalam kes ini (perubahan kerajaan) tidak mencerminkan kehendak rakyat negeri Perak," kata kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

Hanya 29% dari responden yang mengatakan peranan istana menggambarkan kehendak rakyat.

Keputusan ini hampir menyami keputusan undian yang dibuat oleh malaysiakini sebelum ini yang mendapati hampir 88% tidak bersetuju dengan tindakan Sultan Azlan yang memperkenan Barisan Nasional yang didokongi UMNO membentuk kerajaan di perak.

Pendapat umum itu dikendalikan oleh firma tersebut antara 6 dan 8 Februari lalu untuk mengukur persepsi pandangan orang ramai berhubung perkembangan politik di Perak.

Dan 76% menyatakan bahawa rakyat, melalui sistem pilihanraya yang lebih berhak untuk menentukan kerajaan yang dibentuk di Perak dan cuma 21% menyatakan pihak istana manakal 3% lagi menjawab tidak tahu.

Seramai 507 pengundi berdaftar di Perak dipilih untuk mengambil bahagian dalam kajian tersebut.

Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat, berusia 11 bulan, telah tumbang apabila tiga wakil rakyatnya keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk bertindak sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Kini Pakatan Rakyat dan BN mempunyai anggota sama rata iaitu 28 orang.Menteri Besar Perak yang baru mengangkat sumpah Jumaat lalu manakala barisan exconya pula Selasa lalu.

Mengenai penyelesaikan kepada krisis politik ini, seramai 33 peratus responden mahu pilihan raya yang baru dilangsungkan, 35 peratus lagi mengatakan pilihan raya kecil wajar diadakan di kawasan yang ADUNnya keluar parti manakala 28 peratus mahu kerajaan baru dibenarkan terus memimpin negeri itu.

Keputusan kajian-kajian yang dilakukan JELAS menunjukkan bahawa rakyat Perak tidak menerima keputusan pihak Istana yang memperkenankan kerajaan Barisan Nasional / UMNO membentuk kerajaan melalui rampasan kuasa minggu lalu.


UMNO Yang Mula-mula DERHAKA..

Hampir setiap hari kini kita mendengar media massa yang dikongkong oleh Umno menuduh Dato Seri Nizar Jamaluddin sebagai penderhaka. Laporan polis juga telah dilaporkan dibuat ke atas Nizar.

Inilah politik kotor yang dimainkan oleh parti kotor seperti Umno.Baik dulu, kini dan selamanya Umno sering terjebak dalam politik kotor.Politik orang yang tidak bertamadun dan parti yang tidak bermaruah

Jika Umno tidak diserang penyakit ‘amnesia” (penyakit mudah lupa) sudah tentu parti tersebut patutnya merasa malu untuk bermain isu derhaka ini.Kerana apa? Kerana jika satu jari Umno menuduh Nizar sebagai penderhaka maka empat jari Umno yang lain sebenarnya sedang menuding kepada Umno sendiri sebagai penderhaka “par excellence” (penderhaka agung).

Bagaimanakah pemimpin Umno seperti Muhammad Taib boleh dengan tidak malu tumpang sekaki menuduh Nizar sebagai penderhaka sedangkan semua orang tahu beliau adalah “kepala” penderhaka apabila dengan tanpa segan silu sanggup melarikan anak Raja.

Siapakah yang tergila-gila sanggup berarak untuk membawa Tengku Ibrahim dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru bagi menggantikan Sultan Kelantan? Siapa lagi kalau bukan penderhaka Umno.Umno ingat ganti sultan macam ganti jawatan JKK.

Ingat gambar Annuar Musa menyembah Raja baru yang beliau tabal di Ketereh dahulu. Dan rakyat masih ingat betapa ianya telah digunakan untuk mencetuskan huru hara di Kelantan bagi tujuan Mageran.

Siapakah yang telah mewujudkan krisis Perlembagaan pada tahun 1983 kalau bukan Umno. Kerakusan Umno mempertahankan kuasa telah mendorong Umno mencadangkan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi meminda peruntukkan yang berkaitan dengan kuasa perkenan Yang DiPertuan Agung dan Raja-Raja serta kuasa Yang DiPertuan Agung untuk mengisytiharkan darurat. Pindaan yang dkemukakan pada pertengahan tahun 1983 diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara tetapi Yang DiPertuan Agung enggan menandatangani rang undang-undang Perlembagaan (pindaan) tersebut setelah baginda berbincang dengan raja-raja yang lain.

Pindaan Perlembagaan 1983 tersebut bukan sahaja mewujudkan krisis perlembagaan tetapi buat kali pertamanya selepas Merdeka raja-raja dan pemimpin Kerajaan yang dikuasai oleh Umno mengadakan rapat umum untuk menghentam raja-raja. Rapat umum yang dianjurkan oleh Umno telah meletakkan kedudukan raja di pandangan hina di kalangan masyarakat awam.

Tidak cukup menghina raja-raja pada tahun 1983 Umno sekali lagi dengan rakus bertembung dengan raja-raja pada tahun 1990. Pertembungan tersebut berlaku selepas Umno kalah teruk di Kelantan pada Pilihanraya Umum pada tahun 1990.Mana-mana orang yang tidak buta sejarah seperti pemimpin Umno tentu tidak dapat melupakan bagaimana Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1991 menyaksikan kritikan-kritikan yang pedas, tajam, kurang ajar dan tidak beradab terhadap raja-raja melayu.

Pihak istana Kelantan dibidas dengan terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN di tangan calon-calon Angkatan Perpaduan Ummah (APU).Bukan sahaja Sultan Kelantan dibidas dengan tajam dan pedas raja-raja lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan seperti tuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan dan peluang perniagaan, mencampuri hal ehwal pentadbiran dan sebagainya (lihat Far Eastern Economic Review 28/11/1991 m/s 13).

Semasa krisis tersebut juga media-media massa tajaan Umno membangkitkan kembali krisis beberapa orang Sultan dan Menteri Besar Umno seperti yang berlaku di Perak pada tahun 1997 (Tan Sri Ghazali Jawi yang enggan meletak jawatan apabila diperintah oleh Sultan Perak pada masa itu yang mengakibatkan Sultan enggan bercukur jambang sehingga Menteri Besar tersebut meletakkan jawatan) dan di Pahang pada tahun 1979 (Datuk Rahim Abu Bakar).

Kalau tidak cukup bukti-bukti di atas yang secara jelas menunjukkan Umno sebagai juara menderhaka kepada raja saya ingin membawa para pembaca pula kepada pindaan Perlembagaan tahun 1993. Pindaan Perlembagaan tahun 1993 melibatkan isu cubaan Umno untuk menghapuskan imuniti raja-raja. Keputusan Majlis Raja-Raja yang meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut tidak disenangi oleh Umno. Apa yang berlaku selepas itu seperti mana yang diketahui umum media-media massa yang dikawal oleh Umno, beberapa orang Menteri dan agensi Kerajaan dengan tidak bersopan dan beradab membuat kenyataan dan mendedahkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja dan anggota kerabat di raja tertentu.Sekali lagi Umno mengulangi taktik mengaibkan raja-raja sepertimana yang dilakukan semasa krisis Perlembagaan tahun 1983.

Bersandarkan bukti-bukti di atas kini sipenderhaka Umno yang sama dengan tanpa segan silu menuduh Nizar pula sebagai penderhaka. Ya, memang benar Nizar mengakui telah “menyembah sembah derhaka” semasa beliau diminta oleh Yang Mulia Tuanku Sultan untuk mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar Perak. Apabila seseorang tidak bersetuju dengan titah sultan menjadi adat dan bahasa istana seseorang akan menyatakan “hamba memohon untuk menyembah sembah derhaka”. “Sembah derhaka” bermaksud tidak bersetuju dalam bahasa rakyat. Di dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Menteri-Menteri Besar saya difahamkan dipanggil “hamba tua”. Ini bahasa istana nak buat macam mana.

Malangnya Umno yang jahil dengan bahasa istana menganggap nizar sebagai derhaka apabila memohon “menyembah sembah derhaka”. Naif dan ceteknya pemikiran Umno.

Nizar memohon menyembah derhaka kepada Yang Mulia Tuanku Sultan kerana beliau berpandangan Sultan tidak mempunyai kuasa memecatnya. Ini kerana berdasarkan Perkara 16 (7) Perlembagaan Negeri Perak secara jelas memperuntukkan bahawa tidak sepertimana ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri yang memegang jawatan dengan kerelaan sultan (at his pleasure) yang membolehkan para exco boleh dilantik dan di pecat oleh Sultan pada bila-bila masa, jawatan Menteri besar adalah berbeza dengan jawatan exco. Dengan lain perkataan jawatan Menteri Besar tidak dipegang di atas keredaan sultan.

Menteri Besar seperti Nizar hanya boleh diminta untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sekiranya beliau telah tidak lagi mendapat kepercayaan (ceases command of confidence) kebanyakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perak sepertimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 16 (6) Perlembagaan Negeri Perak. Persoalannya bagaimanakah kaedah untuk menentukan seseorang Menteri Besar itu telah tidak lagi mendapat kepercayaan kebanyakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri menurut perpektif undang-undang?

Apa yang berlaku pada kes Nizar ini samalah seperti yang berlaku kepada Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1966 dahulu.Di dalam kes Stephen Kalong Ningkan lwn Tun Abang Haji Openg & Tawi Sli (1966) 2 MLJ 187 Mahkamah Tinggi Borneo telah memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan Negeri Sarawak (sama seperti Perlembagaan Negeri Perak) "lack of confidence may be demonstrated only by a vote in the Council Negeri" (kehilangan kepercayaan hanya boleh ditunjukkan melalui undi tidak percaya di dalam sidang Majlis Negeri (sama seperti Dewan Undangan Negeri)

Oleh itu Nizar mempunyai sebab yang kukuh untuk enggan meletakkan jawatan.Di dalam kes di Perak kekuatan BN dan Pakatan Rakyat sama iaitu 28 kerusi masing-masing. Ketiga-tiga bekas ADUN Pakatan Rakyat hanya menjadi ADUN bebas dan bukannya ADUN BN. Maka isu sama ada ketiga-tiga ADUN berkenaan dikatakan menyokong BN mestilah dibuktikan melalui undi tidak percaya di dalam sidang DUN.

Terdapat keraguan sepertimana yang diakui oleh SPR sama ada ketiga-tiga ADUN ini masih boleh dianggap sebagai ADUN kerana terdapat bukti yang kukuh mereka telah meletakkan jawatan sebagai ADUN sepertimana surat mereka yang telah ditandatangani mereka dan dialamatkan kepada Tuan Speaker.

Berdasarkan Perkara 35 Perlembagaan Negeri Perak surat perletakkan jawatan ketiga-tiga ADUN tersebut adalah sah. Hatta jika terdapat keraguan sekalipun sama ada ketiga-tiga ADUN tersebut masih boleh dikira ADUN atau tidak, badan yang boleh menentukan kelayakan ketiga-tiga ADUN tersebut hanyalah DUN Perak sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 33 (1) Perlembagaan Negeri Perak yang secara jelas menyatakan “ jikalau berbangkit sebarang masalah adakah seseorang ahli DUN itu tekah kehilangan syarat menjadi ahli, maka keputusan dewan itu hendaklah diambil dan hendaklah muktamad”.

Jelas DUN Negeri Perak dan bukannya SPR yang berhak menentukan sama ada ketiga-tiga ADUN tersebut masih layak sebagai ADUN atau tidak dan keputusan DUN tersebut adalah muktamad. Apa yang malang tatkala Y.M Sultan melantik Menteri Besar yang baru, DUN Perak masih belum lagi memutuskan tentang status kelayakan ketiga-tiga ADUN tersebut. Dalam keadaan tersebut terdapat keraguan yang munasabah sama ada Nizar telah dikatakan hilang keyakinan majoriti ahli-ahli DUN Perak.

Atas dasar itulah Nizar mempunyai asas yang kukuh di sisi undang-undang untuk memohon kepada Tuanku Y.M Sultan untuk “memohon menyembah sembah derhaka” untuk enggan meletakkan jawatan sebagai MB Perak. Malangnya “sembah derhaka” tersebut difahami oleh si penderhaka UMNO sebagai derhaka.

Oleh HANIFA MAIDIN.






88% Tidak Bersetuju Dengan Langkah Sultan

Menilai daripada protes rakyat dan bantahan dengan apa yang disifatkan sebagai rampasan kuasa di Perak, dapat diandaikan kini bahawa majoriti rakyat di negara ini kurang senang dengan apa yang berlaku di negeri Perak.

Satu kajian bebas mendapati majoriti besar rakyat tidak bersetuju dengan langkah Sultan Azlan Shah memperkenankan Barisan Nasional yang didokongi oleh UMNO membentuk kerajaan di negeri Perak.

Pihak istana telah meneruskan perkenan itu tanpa memanggil satu pilihanraya negeri atau atau persidangan khas Dewan Undangan Negeri supaya isu tersebut dapat dilakukan secara undian.

Dari satu kajian selama empat hari oleh Malaysiakini, sejumlah 34,617 daripada 39,411 repsonden, atau 87.8% menyatakan mereka tidak bersetuju dengan keputusan Sultan.



Sultan telah menolak permohonan kerajaan negeri untuk membubarkan dewan undangan negeri setelah empat dari ADUNnya melompat parti.

Akibat dari lompatan itu – yang dikatakan didalangi oleh Najib Razak dengan pelbagai umpanan – kedua-dua Barisan dan Pakatan terikat dengan 28 kerusi di dewan undangan negeri.

Sultan Azlan, bekas Ketua Hakim, sebaliknya telah menitahkan Mohd Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Nizar menyatakan beliau masih Menteri Besar mengikut peruntukan Perelmbagaan Negeri.

Sultan terus dengan menerima dan memperkenankan Zambry Kadir dari UMNO sebagai Menteri Besar baru Jumaat lalu, sehingga mengheret negeri Perak di dalam satu krisis perlembagaan yang mungkin akan diputuskan oleh pihak mahkamah selepas ini.

Seramai 3,862 (9.8%) dari responden bersetuju dengan keputusan Sultan manakala 932 (2.4%) menjawab "Tidak Tahu".

Perlantikan Zambry Diadukan Kepada SPRM

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zamby Abd Kadir hari ini.

Laporan tersebut dibuat di Ipoh pada jam 11 pagi tadi, oleh pemimpin DAP yang menuduh menteri besar itu menyalahguna kuasanya dengan melantik tiga orang penasihat yang bertaraf exco.

Menurut Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, setiap penasihat tersebut akan menerima gaji sebanyak RM250,000 setahun.

Turut hadir ialah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan kira-kira 20 orang penyokong parti itu.

Dr Zambry telah melantik tiga orang penasihat dan seorang ketua penerangan kerajaan negeri. Keempat-empat mereka akan mendapat imbuhan sama seperti ahli exco kerajaan negeri yang lain.

Mereka terdiri daripada Datuk Mohd Najumuddin Elias yang dilantik sebagai penasihat Hal Ehwal Agama Islam; Datuk Chang Ko Youn (penasihat Hal Ehwal Kaum Cina), dan Datuk S Veerasingam (penasihat Hal Ehwal Kaum India) manakala Datuk Hamdi Abu Bakar dilantik Ketua Penerangan Kerajaan Negeri.

Datuk Hamdi Abu Bakar merupakan salah seorang dari dua orang lelaki yang dikatakan telah "melarikan" Datuk Nasaruddin dari rumahnya untuk beliau kembali kepada UMNO setelah menyertai PKR selama 2 minggu.

Banyak pihak masih meragui samada aduan kepada SPRM ini boleh mendatangkan apa-apa kesan kerana SPRM dilihat selama ini masih dilihat belum benar-benar bebas dari tekanan pihak tertentu.


Halang Ceramah, Rampas Akhbar - Itukah Penyelesaiannya?

Arahan Ketua Polis Negara, Musa Hassan semula agar semua permit ceramah dibekukan bagi negeri Perak sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan memberikan sekurang-kurang dua "signal" jelas

1) Polis tidak profesyenal di dalam ertikata lain telah mengambil sikap berpihak di dalam melaksanakan tugas mereka,
2) Kerajaan Haram BN Perak kini di dalam suasana tertekan yang mesti dibantu dengan tindakan tegas polis untuk mereka terus mempertahankan kuasa yang tidak sah.

Tidak cukup dengan tindakan mereka membelasah rakyat dan menembak gas pemedih mata selepas solat Jumaat minggu lalu dan kemudiannya melakukan rampasan terhadap akhbar dwimingguan Harakah dan Suara Keadilan, kini mereka mengikat mulut rakyat agar tidak berceramah supaya hanya maklumat dari media arus perdana sahaja yang boleh disuapkan ke minda rakyat khususnya di Perak.

Alasan polis mudah. Untuk meredakan ketegangan yang memuncak di Perak kini.

Membelasah rakyat yang tidak berpuashati, merampas akhbar Pakatan Rakyat dan mengharamkan ceramah adalah kaedah dan tindakan "barbaric" seumpama menyapu sampah ke bawah karpet - untuk meredakan suasana dalam waktu yang singkat sedangkan gelojak kemarahan rakyat akan tetap berpusar menunggu masa untuk ia "meletup".

Sikap polis yang "double standard" jelas dilihat apabila mereka mendakwa 9 orang yang menyertai perhimpunan di Masjid Ubudiah tetapi dalam waktu yang sama "membiarkan" Pemuda UMNO dengan gelagat Sang Menantu yang berhimpun secara haram.

Terlepas dari hasrat untuk saya menyokong atau membantah tindakan Karpal Singh yang hendak membuat laporan terhadap Sultan Perak namun kenyataannya

"Demonstrasi (Pemuda UMNO) semalam adalah melanggar undang-undang. Kenapa mereka tidak didakwa di mahkamah kerana mengadakan perhimpunan haram, kenapa berlaku berat sebelah apabila membabitkan kami"

adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian.

Imej Polis yang telah tercemar sekian lama apabila membiarkan diri mereka menjadi "kuda tunggangan" kepada parti kerajaan dan sikap mereka yang tidak professional di dalam menjalankan tugas amat dikesalkan dan merupakan satu "pengkhianatan" terhadap bidang kuasa dan professionalisme mereka yang perlu mengutamakan prinsip keadilan dan kesaksamaan tanpa berpihak kepada mana-mana parti politik, pemerintah atau pembangkang.

Sepatutnya di saat dunia kini sedang membicarakan mengenai gelombang "knowledge-based world" polis di Malaysia perlu mempersiapkan diri dengan kaedah-kaedah psikologi disamping memperlengkap diri dengan teknik dan taktik yang mesra-rakyat bukan dengan mengambil sikap seperti binatang-binatang buas yang menerkam mangsa dengan mengikut telunjuk dan arahan tuan-tuan yang mentalitinya dicelup dari acuan zaman kolonial - yang digunakan untuk menangani masalah di zaman serba moden ini.

Kita masih ingat peristiwa yang menimpa kepada insan ini:-



Kemudian akhirnya, maruah polis menjadi sehina tong najis apabila rakyat mengangkat orang yang dizalimi polis itu menjadi seorang penggubal undang-undang negara di Parlimen bergelar Yang Berhormat! Sedangkan polis yang menzalimi beliau dahulu masih dengan keadaan seperti itu - mengenyangkan perut dengan mengampu pemerintah dan menzalimi rakyat tak sudah-sudah.



Kes A.Kugan adalah endorsement nyata terhadap kezaliman polis, yang hingga kini pois masih gagal menunaikan akauntabilitinya kepada rakyat dengan hasil siasatan yang sepatutnya telah diumumkan. Kita tak tahu rakyat yang mana lagi yang akan dikugankan oleh pihak polis selepas ini semata-mata untuk menekan dan menindas suara rakyat semata-mata kerana bersalahan pandangan mereka dengan pihak kerajaan.

Kerajaan yang berpegang kepada teknik dan taktik memperkuda dan memperalat pihak polis untuk terus berkuasa apatah lagi untuk mempertahankan kerajaan yang dinaikkan melalui rampasan kuasa dan bukan sistem pilihanraya yang adil dan telus adalah sebenarnya sebuah kerajaan yang lemah dan menunggu masa untuk menerima hukuman rakyat di dalam pilihanraya yang akan datang.

Menghalang ceramah, merampas akhbar pembangkang bukanlah penyelesaian untuk meredakan suasana yang tegang sedangkan kemarahan rakyat tidak mungkin boleh dibendung dengan menyapu sampah ke bawah karpet. Jika Polis boleh memberi signal kepada Najib untuk tidak turun ke Perak kerana keselamatannya terancam beberapa hari lalu, saya kira polis boleh menasihatkan kerajaan supaya terima kehendak rakyat yang mahu pilihanraya dijalankan di seluruh Perak - itu sahaja yang dapat mententeramkan suasana haru biru di negeri itu sekarang ini.








Najib Penyebab Negara Menjadi Huru Hara

P emimpin Pakatan Rakyat sepakat menyatakan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib bertanggungjawab yang menyebabkan negara khususnya Perak berada di dalam keadaan huru-hara dan haru biru.

Setiap yang berlaku kini nama Najib tidak akan tertinggal untuk dikaitkan sekalipun beliau "mengarahkan" mereka untuk membuat kenyataan bahawa kononnya "Najib tidak terlibat".

Malah di dalam kes rampasan kuasa di Perak sehingga terbentuknya kerajaan haram Barisan Nasional yang tidak mendapat mandat rakyat melalui proses pilihanraya membuktikan bahawa Najib sebenarnya seorang pemimpin yang dayus untuk berdepan dengan rakyat setalah tewas di dalam mengendalikan kempen UMNO/BN di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Sekalipun kerajaan Pakatan Rakyat dirampas dengan sogokan dan rasuah "membeli" wakil-wakil rakyat PR supaya meninggalkan PR, apakah Najib mengira bahawa rakyat di Perak terlalu bodoh sehingga boleh disuapkan dengan pembohongan dan penipuan sepanjang masa?

Umno kini dibelenggu pelbagai persepsi negatif yang dilontarkan terhadap parti itu semenjak tewas di dalam siri pilihanraya yang lalu mencari jalan mudah untuk mendapatkan kekuasaan. Malah mereka tidak segan-silu kini untuk menggunakan taktik ala MAFIA, menyembunyi dan memaksa wakil-wakil rakyat menyokong mereka.

Sekalipun pemimpin tertinggi UMNO cuba berhelah dan menafikan, namun KEBENARAN itu tidak mungkin dapat mereka padamkan.

Mereka sedar orang ramai sudah jelik, meluat dan bosan dengan tindak-tanduk, perangai dan tingkah laku mereka.

Mohd Ayob Abd Razid, Ketua Unit Komunikasi Media, Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan di dalam tulisannya sebelum pilihanraya kecil Kuala Terengganu berlansung menyatakan:

Apapun senario, keputusan pilihan raya itu nanti (PRK Kuala Terengganu) akan menjadi pengukur sama ada kekuatan Umno semakin pudar atau sebaliknya. Ia penting buat Umno dan BN seperti kata Datuk Seri Najib Razak iaitu 'pilihan raya kecil Kuala Terengganu sangat besar ertinya dan signifikan kepada Umno dan BN, bukan saja dalam konteks Terengganu, malah dalam konteks negara. Ia juga besar ertinya kepada masa depan Umno dan BN.'

Itulah yang sebenarnya sedang dialami oleh UMNO dan BN - jalan menuju kegagalan dan kehancuran.

Abdul Rahman Sulaiman bekas Ketua Pengarang Bernama pula menulis :

"Walaupun pelbagai tafsiran dibuat terhadap kekalahan itu sehingga ada analisis nakal yang cuba mengaitkannya dengan populariti Najib sebagai bakal Perdana Menteri, satu hakikat yang perlu diterima ialah Najib dan Muhyiddin sudah memahami kehendak serta aspirasi terkini rakyat."

Benarkah begitu? Apakah Najib dan Muhyiddin sudah memahami kehendak serta aspirasi terkini rakyat sehingga mereka (terutama Najib) terpaksa menggunakan taktik tidak bermaruah untuk berkuasa di Perak?

Episod Perak akan tetap segar di dalam sejarah. Rampasan kuasa yang berlaku menghitam nama Najib sehitam-hitamnya. Dengan mengheret institusi raja di dalam kemelut politik di negeri tersebut memburukkan lagi keadaan.

Kini, Najib sendiri sebagai bakal Perdana Menteri terhalang untuk menjejakkan kakinya di bumi Perak (berdasarkan laporan sebelum ini yang menyatakan Najib gagal menghadiri satu sambutan Tahun Baru Cina di Perak di atas sebab-sebab keselamatan yang diberikan nasihat oleh pihak polis).

Itulah nasib orang yang tidak berlaku benar di dalam tindak-tanduk berpolitiknya kerana disangkanya segala-segalanya boleh dilakukan dengan harta kekayaan yang dimilikinya dan Malaysia akan memliki seorang Perdana Menteri yang akan tetap diingati oleh rakyatnya tentang imej MAFIAnya!