8 Jun 2011

Kedah Ada Bijih Besi Sebagai Sumber Alam Terbaru

Bijih Besi Sumber Alam Terbaru Negeri Kedah - MB

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah telah mengenalpasti beberapa kawasan di negeri ini yang kaya dengan bijih besi yang boleh dilombong sebagai sumber pendapatan baru.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beberapa kawasan di daerah Kubang Pasu dan Kuala Muda dikenalpasti sebagai kaya dengan sumber ini.

Beliau menambah, beberapa buah syarikat perlombongan swasta telah menyatakan minat mereka untuk menjalankan aktiviti melombong secara komersil di kawasan tersebut.

"Kesemua syarikat berkenaan adalah syarikat tempatan dan kerajaan negeri masih berbincang mengenai pelan projek perlombongan tersebut," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, Rabu.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata, kerajaan negeri bercadang untuk membina landasan kereta api yang akan menghubungkan Kobah di Pendang ke Pulau Bunting.

Katanya, beberapa pelabur dari Kunming China telah menunjukkan minat untuk menjadikan Pulau Bunting sebagai pelabuhan untuk memindahkan produk mereka sebelum dieksport ke Afrika dan Australia. -mstar

Ulasan GB

Firman Allah:

"Kalau sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami (Allah) tumpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka itu mendustakan, sebab itu Kami siksa mereka dengan sebab apa yang mereka usahakan (lakukan)" (surah" al-A'raaf ayat: 96)


Karpal: Mahathir Banyak Buat Kesalahan Semasa Menjadi PM, Perlu Bertaubat

Karpal nasihatkan Dr M supaya bertaubat

Pengerusi DAP yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh menggesa mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya berkelakuan seperti seorang negarawan ulung dan menutup mulutnya.

Katanya, Dr Mahathir yang sedang “meniti usia yang senja” sepatutnya menggunakan sisa-sisa kehidupannya supaya bertaubat atas segala salah laku silamnya.

“Dia banyak buat kesalahan (semasa menjadi perdana menteri) dan sepatutnya menggunakan sisa-sisa kehidupannya untuk bertaubat kerana banyak bersalah kepada negara dan rakyat,” katanaya.

“...Sebagai perdana menteri, dia sangat degil dan tidak sepatutnya berkelakuan seperti itu.”

Menurut Karpal lagi, Mahathir juga tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal Pakatan Rakyat.

Beliau mengulas komen dalam blog yang dimuat-naik oleh Mahathir semalam yang mendakwa Karpal sepatutnya gembira dengan barisan kepimpinan baru PAS yang dikatkan lebih rapat dengan DAP.

Mahathir menulis Karpal tidak lagi perlu mati untuk PAS melangkah mayatnya terlebih dahulu jika parti tersebut berhasrat mahu menubuhkan sebuah negara Islam kerana, perjuangan pengerusi DAP itu sudah pun tercapai tanpa perlu dia bersusah-payah.

"Tokoh yang memang besar di sebalik muktamar kali ini adalah Karpal. Perjuangannya supaya PAS gugurkan matlamat untuk mendiri negara Islam yang akan menguatkuasa hukum hudud sudah pun tercapai. Karpal tidak perlu mati untuk PAS melangkah mayatnya.

"Belum pun dia mati, PAS sekarang sudah menjadikan perjuangan untuk negara Islam dan hukum hudud tidak lagi perkara utama. Sekarang PAS akan berjuang untuk negara kebajikan," kata Mahathir dalam blognya.

Mengulas tulisan itu, Karpal berkata Mahathir juga tidak harus lupa bahawa sekitar 2001 di perhimpunan Gerakan, mantan perdana menteri itu telah berkata Malaysia adalah sebuah "negara Islam".

“Kenyataan di blognya itu tak perlu kerana dia sudah berkata demikian, kali pertama pada 2001, kecuali dia sudah lupa,” kata Karpal.


Beliau juga mengalu-alukan tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu membawa Malaysia ke sebuah negara berkebajikan jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya. -mk

Ulasan GB

Cakap kita tak mahu dengar, sekarang Allah bukakan mulut Karpal Singh, seorang ynag bukan Islam supaya TDM menggunakan sisa-sisa kehidupannya untuk bertaubat kerana banyak bersalah kepada negara dan rakyat.

GB telah mengulas di dalam entri Zon Umur Subsidi Perlu Digunakan Sebaik-baiknya yang disirarkan pada 4 Oktober 2010 iaitu sewaktu TDM merima rawatan di Epworth Hospital Melbourne Australia.

Petikan:


Seseorang insan apabila disayangi Allah, Allah akan mengurniakan sedikit masa di zon umur subsidi. Pengalaman ramai yang menghidapi penyakit samada kronik atau pun tidak sehingga sudah terlantar di ICU pun, kemudian tiba-tiba seperti muncul satu keajaiban di dalam hidup, mendapati diri disegarkan semula oleh s.w.t. untuk satu jangkawaktu yang ditentukan olehNya.

Ia adalah satu zon waktu yang amat singkat, pemberian Allah s.w.t. kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan di waktu inilah sepatutnya dipergunakan untuk membersihkan diri serta memuhasabah diri agar kita dapat diterima kembali ke sisiNya.

Seandainya kita lalai untuk melakukan penghisaban diri sendiri sewaktu di zon berkenaan, alangkah ruginya kita, kerana selepas itu, kita kembali ke rahmatNya dan tidak akan datang-datang lagi ke dunia fana ini.

Naluri manusia cenderung ingin hidup selama-lamanya. Al-Quran melukiskan keinginan sekelompok manusia untuk hidup selama mungkin dengan firman Allah yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya kamu akan mendapati mereka seloba-loba manusia kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih loba lagi) daripada orang- orang musyrik. Masing-masing ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada seksa. Dan Allah mengetahui apa yang mereka kerjakan.” (Surah Al Baqarah: Ayat 96).

Maka itu Allah memperingatkan kita dengan pelbagai ujian berupa kekurangan, kesakitan dan sebagainya sebelum kita dibawa pulang selama-lamanya supaya nanti kita dapat melakukan penilaian diri disamping memohon ampun terhadap apa jua kesalahan dan dosa yang pernah dilakukan.

Andainya zon singkat itu diabaikan, tiada lagi peluang selepas itu. FirmanNya:

"Sehingga apabila maut mendatangi seseorang daripada mereka, dia berkata: "Rabbi (wahai Tuhanku), kembalikanlah aku (ke dunia). Agar aku kerjakan amal yang salih, terhadap yang aku tinggalkan dahulu. (Jawapan Tuhan)Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu cuma perkataan yang diucapkannya sahaja. Dan ke belakang (iaitu di hadapan) mereka ada barzakh (sempadan pembatas), sampai hari mereka dibangkitkan." (Al-Mukminun 99-100)




Pulihkan Dara Untuk Elak Zina, Tapi...

Depe mahu hindar zina

JAKARTA: Penyanyi dangdut yang juga pelakon, Dewi Persik semalam berkata, dia bertindak melakukan pembedahan selaput dara di Mesir kerana mahu menghindari zina.

Niat saya, walaupun janda, saya mahu melindungi diri saya daripada zina. ‘Apabila mengenangkan perbelanjaan yang besar dan sakit luar biasa ketika menjalani pembedahan itu, saya pasti tidak akan melepaskan keperawanan baru saya kepada lelaki sebarangan, kecuali pada suami saya akan datang,” katanya.

Dewi Persik yang lebih dikenali dengan panggilan Depe dan nama sebenarnya Dewi Murya Agong juga memberitahu wartawan, pembedahan yang menelan belanja Rp1 bilion (RM354,000) itu dibiayai oleh pemilik syarikat penerbitan filem K2K. Depe berlakon dalam filem Pacar Hantu Perawan yang diterbitkan syarikat berkenaan.

Menurutnya, penerbit, KK Dheraj sanggup membayarnya wang berkenaan jika dia menjalani pembedahan itu. “Satu bilion bukan angka kecil,” katanya.

Dalam filem terbaru itu, Depe memegang watak Mondy, wanita yang tidak percaya kepada perkara mistik tetapi akhirnya sering diganggu makhluk halus.

Depe, dalam satu wawancara lain berkata, dia mendapatkan nasihat beberapa rakan sebelum menjalani pembedahan selaput dara itu.

Antara mereka ialah bintang porno warga Norway yang turut berlakon dalam Pacar Hantu Perawan dan Misa Campo, model seksi yang sering muncul dalam forum Internet untuk golongan dewasa. - Agensi

Ulasan GB

Jika benar berniat begitu, memang bagis. Namun persoalan kini, bukankah ada pilihan lain iaitu keluar dari dunia hiburan dan mencari rezeki halal tanpa perlu bercampur dengan bukan muhrim?

Bukankah bumi Tuhan ini luas dan punca rezeki dari Allah itu banyak dan tanpa hisab? Mengapa membataskan diri mencari rezeki hanya di bidang yang penuh sarat dengan noda dan dosa apatahlagi dangdut genrenya?

12 Pelajar Nyaris Maut Van Rempuh Lori

Seremban: Seramai 12 pelajar dan pemandu van cedera apabila kenderaan dinaiki mereka merempuh lori tanpa muatan di Jalan Mantin-Lenggeng dekat Mantin, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, 12 pelajar Tingkatan Enam sebuah sekolah di Port Dickson dalam perjalanan pulang ke Port Dickson selepas tamat program perkhemahan selama dua hari di Bukit Broga, Semenyih, Selangor.

Jurucakap polis berkata, kejadian berpunca apabila pemandu van berusia 25 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di kawasan kejadian.

“Van itu kemudian merempuh lori 10 tan yang diletakkan di tepi jalan dari arah bertentangan, menyebabkan pemandunya dan 12 pelajar lelaki dan perempuan cedera.

“Semua yang cedera dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), manakala pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini, semalam.


Difahamkan, lima daripada mereka parah, manakala selebihnya hanya cedera ringan di beberapa bahagian anggota badan.

Sementara itu, pemandu lori, R Appavoo, 47, berkata dia dalam perjalanan dari Nilai ke Pantai, di sini, sebelum van dari arah bertentangan masuk ke laluannya.

“Saya bertindak membunyikan hon dan memberi lampu tetapi van itu terus meluru dan merempuh bahagian depan lori saya. Mungkin pemandu van berkenaan tertidur menyebabkan dia tidak sedar memasuki laluan bertentangan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat memberi kerjasama.

Bahana Besarkan Payudara Dengan Doktor Tidak Bertauliah

Kuala Lumpur - Tindakan seorang kerani yang membuat pembedahan plastik untuk membesarkan payudara semata-mata kerana hendak menggembirakan teman lelakinya mengundang padah apabila dia bukan sahaja terpaksa menanggung derita, malah turut dikecewakan lelaki tersebut.

Wanita yang dikenali sebagai Tham, 30, itu kini menderita apabila terpaksa menanggung kesakitan berikutan payudaranya kini bertukar kehitam-hitaman selain berasa gatal dan bernanah.

Lebih membuatkan dia kecewa apabila teman lelakinya telah meninggalkannya gara-gara kejadian tersebut. Tham telah lima tahun menjalin hubungan dengan jurujual itu.

Difahamkan, Tham dari Triang, Pahang, menggunakan wang simpanannya sebanyak RM13,100 untuk membuat pembedahan di sebuah pusat kecantikan dekat sebuah pusat beli-belah di sini.

Ketika itu payudara mangsa bersaiz 32B dan hendak dibesarkan ke 34B. Berat badannya pula kira-kira 55 kilogram.

Mengimbau semula kejadian itu, Tham memberitahu, dia bertekad melakukan pembedahan tersebut selepas teman lelakinya sering mengadu yang dia malu mempunyai teman wanita berbadan berisi tetapi mempunyai payudara kecil.

Katanya, selepas dicadangkan oleh seorang rakan, dia pergi ke sebuah pusat kecantikan untuk melakukan pembedahan tersebut pada 11 Mac 2010 tanpa mengetahui doktor di situ tidak mempunyai tauliah. -kosmo

Kenapa Sesuatu Yang Diadukan Oleh Bukan-UMNO Maka Polis Lambat Bertindak?

Hina Surah Yassin: Polis diminta bertindak

Sekumpulan umat Islam yang menunaikan solat di Taman Bertam Kepala Batas pada Ahad lalu terkejut apabila mendapati beberapa keping gambar lucah diselitkan di beberapa Surah Yassin di masjid itu.

Gambar-gambar berkenaan dilekatkan dengan cara yang agak teratur, kata pengerusi jawatankuasa masid Abdul Rahman Abdullah kepada tabloid berbahasa Melayu Sinar Harian.

Membidas tindakan itu, ahli exco bagi hal ehwal agama, perdagangan dalam negeri dan pengguna Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kassim meminta kerjasama polis supya bertindak segera terhadap dalang berkenaan.

Abdul Malik berkata tindakan itu tidak dapat diterima tanpa mengira bangsa, agama atau pegangan politik sesiapa sekalipun.

“Tanpa mengira niat mereka, tidak ada sesiapapun yang boleh menerima provokasi yang berbentuk perkauman yang cukup menghina ini.

“Bentuk provokasi seumpama ini biasanya hanya kita dapati di surat khabar milik Umno.”

Beliau mengulas kejadian dua hari lalu di mana kira-kira 100 jemaah Masjid At-Takwa di Taman Bertam Indah yang menjumpai gambar lucah di Surah Yassin milik masjid itu. -mk

Ulasan GB

Satu gejala yang menjatuhkan integriti dan maruah polis di negara ini ialah sikap pilih-kasih, diskriminasi serta tidak adil di dalam menjalankan tugas mereka.

Kita melihat PDRM begitu cekap dan aktif jika laporan/aduan dilakukan oleh pihak UMNO/BN/Perkasa tetapi akan membisu sehingga kadang-kala lansung tidak bertindak jika aduan itu datang dari pihak yang bukan-UMNO/BN.

Salah satu sebab utama mengapa rakyat membenci PDRM kerana ketidak-adilan itulah dan akibatnya UMNO BN sendiri menjadi mangsa di dalam pilihanraya apabila rakyat menolak politik yang menggunakan polis sebagai kuda tunggangan.


Berjalan-jalan "Window Shopping" Pun Kena Usir

Kuala Lumpur: Niat seorang warga emas untuk membeli-belah di sebuah kompleks komersial terkenal di sini, Sabtu lalu, terbantut apabila mendakwa dihalau keluar oleh pengawal keselamatan yang mengesyakinya ingin mencuri gara-gara berlegar hampir sejam di situ.

Lee Lai, 55, ketika ditemui di Balai Berita di sini, kecewa dan malu apabila pengawal keselamatan terbabit meninggikan suara serta menepis topi dipakainya, selain peristiwa berkenaan diperhatikan pengunjung lain.

Katanya, sempena cuti umum dan hujung minggu, dia keluar sendirian dan memasuki pusat beli-belah terbabit untuk mencari barang keperluan kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Ketika membelek-belek harga barang, Lee dikejutkan dengan pertanyaan kasar pengawal terbabit yang menanyakan apa yang dia lakukan selama hampir sejam di pusat beli-belah itu.

“Saya terkejut apabila pengawal terbabit mengaku mengekori saya sejak masuk ke pusat beli-belah itu.

“Lebih mengejutkan, dia (pengawal) menyatakan peraturan pusat beli-belah itu tidak membenarkan pelanggan berada terlalu lama di dalam premis.

“Saya yakin dia menganggap saya ingin mencuri barangan di situ sedangkan ia sebaliknya,” dakwanya.

Katanya, selepas bertelagah hampir beberapa minit, lelaki terbabit mengugut akan menghalaunya keluar jika masih berdegil.

Menurutnya, dia meminta pengawal terbabit menyelesaikan masalah berkenaan di pejabat, selain ingin membuat aduan kepada pihak pengurusan, tetapi lelaki itu enggan dan menjerit menghalaunya keluar.

Akibat tidak tahan apabila disyaki mencuri, Lee menanggalkan jaketnya untuk membuktikan tiada barang diambil, namun pengawal terbabit tidak puas hati.

Dia kemudian pergi ke pejabat pengurusan untuk membuat aduan sebelum membuat laporan di Balai Polis Brickfields, semalam.

Sementara itu, pihak pengurusan pusat beli-belah itu memohon maaf kepada pelanggan berkenaan dan mengakui perkara itu terjadi akibat salah faham pengawal terbabit. -hm

Ulasan GB

"Window-shopping" pun kena tahan?

GB cuba besarkan imej repot polis yang disiarkan untuk mendapat tahu pusat membeli-belah yang dimaksudkan bertujuan untuk memberitahu semua supaya berhati-hati atkala berada di sana... anda mungkin sedang diperhatikan walaupun niat anda jujur dan tidak melakukan apa-apa kesalahan.



Al-hasilnya, dapatlah dibaca lokasi kejadian iaitu di I-SETAN KLCC.



Kenapa Rais Sensitif Sangat Dengan Bahasa Indon?

Rais sindir golongan suka cedok istilah Indonesia

JELEBU: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, hari ini meminta supaya penggunaan istilah "mantan" untuk merujuk kepada bekas Perdana Menteri atau bekas Ketua Polis Negara, dikaji semula.

Beliau berkata, istilah mantan itu digunakan secara meluas di Indonesia dan sebenarnya ia memberi maksud "orang yang tidak bekerja".

"Kita di sini tanpa usul periksa suka mengambil perkataan luar seperti mantan. Janganlah kita begitu mudah meniru perkataan dari Indonesia tanpa faham erti sebenarnya," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Persatuan Bekas Polis Malaysia di Dewan Petaling hari ini.

Beliau hairan mengapa sesetengah pihak di negara ini terlalu beria-ia mengambil bahasa luar untuk disesuaikan dengan keadaan masyarakat tempatan tetapi meminggirkan istilah yang sedia ada dalam bahasa kebangsaan.

"Sikap saudara-saudara semua yang tetap menggunakan 'bekas' untuk menggambarkan persatuan anda amat saya gemari. Bayangkan jika terjadi begini...Persatuan Mantan Polis. Tahniah kepada saudara semua kerana tetap menggunakan bahasa kebangsaan," katanya.

Sehubungan itu, Rais meminta Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membuat kajian mengenai penggunaan istilah ini.

Menurut laman pencinta bahasa Indonesia, istilah mantan diperkenalkan oleh seorang tokoh bahasa Indonesia, Profesor Dr Anton Moeliono.

Perkataan mantan juga digambarkan sebagai bekas isteri atau suami, orang Indonesia juga menggunakan istilah "pensiun" atau "eks" yang dicedok daripada bahasa Inggeris.

Perkataan itu tidak pernah wujud dalam penggunaan seharian rakyat Malaysia sehinggalah media negara ini sendiri yang mencedok istilah Indonesia itu untuk digunakan, sekali gus menggantikan istilah "bekas" yang sedia ada dalam bahasa kebangsaan. - BERNAMA

Ulasan GB

Sensitif sangat menteri ini dengan Indonesia, sampaikan perkataan mantan pun dijadikan isu. Kenapa ya?

Bukankah Malaysia dan Indonesia itu satu rumpun di nusantara ini?

Proses assimilasi telah lama berlaku, apatah sekarang ini dimana ramai "amah-amah" dan tenaga kerja Indonesia bekerja di negara kita, justeru pertukaran istilah, perbendaharaan kata dan perkataan sering berlaku dan ia patut dilihat sebagai pengkayaan bahasa Malaysia kita sendiri.

Fobia?

Kalau tak da apa-apa masakan tempua bersarang rendah!

Kanak-kanak 5 Tahun Patah Bahu Kiri Dirempuh Kuda Di Pantai

Kanak-Kanak Dirempuh Kuda Di Pantai Batu Feringghi

GEORGETOWN:Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun patah bahu kiri setelah dirempuh seekor kuda yang ditunggang seorang lelaki di pantai Batu Feringghi di sini, Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi tadi, Arina Kirana Azrin turut cedera di paha kanan akibat dirempuh ketika dia sedang bermain dengan kakaknya yang berusia 12 tahun di belakang sebuah hotel.

Kakaknya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bapa mangsa, Azrin Abdul Razak, 37, berkata anaknya terpelanting setelah dirempuh kuda yang ditunggang dengan laju.

"Ketika saya menghampiri dan memegang Arina, dia berada dalam keadaan separuh sedar," katanya kepada pemberita.

Arina dihantar ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang. Azrin yang tiba dari Putrajaya untuk bercuti bersama keluarganya sejak semalam berkata beliau kesal dan marah dengan kejadian yang menimpa anaknya itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terdapat pihak yang bertanggungjawab.

"Saya kesal dan tidak dapat maafkan mereka. Saya akan ambil tindakan terutamanya terhadap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kerana ketika kejadian terdapat dua anggota mereka berada di tempat kejadian namun tidak berbuat apa-apa," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Negeri, Chow Kon Yeow telah mengarahkan Yang Dipertua MPPP supaya membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

"Kejadian ini telah mengakibatkan orang awam tercedera. Oleh itu saya berharap pihak polis dapat menyiasat kes berkenaan dan mendakwa pengusaha yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata terdapat pasukan penguatkuasaan MPPP yang meronda di sekitar pantai Batu Feringghi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam bagi mencegah aktiviti berkuda.

"Malangnya masih terdapat pengusaha yang ingkar serta masih menjalankan kegiatan itu hingga mencederakan orang awam," katanya.- BERNAMA

"Polis Bodo" - Denda RM50

Panggil polis bodoh, pekerja butik didenda RM50

KUALA TERENGGANU: Gara-gara memanggil seorang anggota polis bodoh, seorang pekerja sebuah butik di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dikenakan denda RM50 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah.

Nur Syafa Watiha Wahab, 19, dari Kampung Telaga Batin, Seberang Takir didakwa mengeluarkan perkataan "polis bodo" terhadap Konstabel Mohd Hafifi Ali dari Cawangan Pencegahan Jenayah, Balai Polis Gong Badak yang ketika itu menahannya kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 1 petang, 28 Mei lalu di kawasan LTSM dan didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1957 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100.

Tertuduh yang memakai baju kurung berwarna biru, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Adila Abd Latif.

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai penyiasat, V Ravi, manakala tertuduh diwakili peguam Hayyatuddin Muhammad.

Peguam bela tertuduh sebelum itu merayu mahkamah supaya melepaskan tertuduh dengan amaran memandangkan ia adalah kesalahan pertama anak guamnya selain anggota polis terbabit juga tidak memakai pakaian seragam serta kenderaan rasmi jabatan ketika menjalankan tugas itu.

Katanya ia tidak mencerminkan etika yang sepatutnya dipatuhi oleh seorang anggota polis ketika menjalankan tugas mengakibatkan berlaku salah faham sehingga menimbulkan provokasi yang menyebabkan kejadian itu berlaku.

Mengikut fakta kes, tertuduh dilaporkan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal ke tempat kerjanya dan telah terserempak dengan anggota polis berkenaan yang ketika itu sedang menjalankan rondaan.

Dia yang diarah berhenti untuk tujuan pemeriksaan bagaimanapun dikatakan tidak berpuas hati menyebabkan berlaku pertengkaran sehingga mengeluarkan kata kesat itu sebelum bertindak menghubungi ayahnya.

Ayahnya yang datang selepas itu dilaporkan memarahi anggota polis berkenaan kerana menegur anaknya dengan mengatakan jalan itu adalah jalan anaknya dan kawasan itu adalah kampung mereka sebelum bertindak meninggalkan anggota polis tersebut dalam keadaan tidak puas hati. - BERNAMA

Ulasan GB

Begitu rupanya kisah. Denda RM50, dan denda maksima cuma RM100, tapi kenapa sampai digari dan dipakaikan baju lokap? Kenapa diaibkan sedemikian rupa?

Pertama: anggota polis terbabit tidak memakai pakaian seragam serta kenderaan rasmi jabatan ketika menjalankan tugas,

Kedua: Gadis itu tidak berpuas hati menyebabkan berlaku pertengkaran sehingga mengeluarkan kata kesat itu sebelum bertindak menghubungi ayahnya,

Ketiga: Sudah berlaku pertengkaran dimana ayahnya yang datang selepas itu dilaporkan memarahi anggota polis berkenaan kerana menegur anaknya dengan mengatakan jalan itu adalah jalan anaknya,

Rumusan yang boleh dibuat ialah : Polis itu bertindak membalas dendam kerana telah menerima gelaran "polis bodo".

(Dengan maaf) dan rakyat dapat melihat kebodohan polis tersebut yang amat nyata.


Kemaafan Diberikan Namun Saman Tetap Berjalan

Boleh maaf tapi tetap mahu saman

KANGAR – Pengantin lelaki yang kecewa setelah majlis pernikahannya dibatalkan oleh pasangannya dengan sekadar menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak akan melupakan detik hitam dalam hidupnya itu begitu sahaja walaupun selepas keluarga pihak perempuan menghantar wakil memohon maaf malam kelmarin.

Menurut pengantin itu yang hanya mahu dikenali sebagai Aizat, 37, keluarga pihak perempuan menghantar empat lelaki termasuk dua abang ipar ke rumahnya di sini kira-kira pukul 8.30 malam untuk meminta maaf ekoran majlis tersebut dibatalkan.

Katanya, pihak keluarga perempuan ingin masalah tersebut selesai dan memohon agar isu tersebut tidak dipanjangkan lagi terutama mereka bimbang dengan tindakan saman yang akan diambil oleh Aizat.

“Walaupun sudah termakan hati, saya memaafkan pihak perempuan itu, namun tetap dengan pendirian untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Ini soal maruah, saya tetap akan bawa kes ini ke mahkamah,’’ tegasnya ketika dihubungi di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan mengenai impian jurujual kereta itu untuk berkahwin dengan gadis pilihannya berkecai selepas tunangnya itu membatalkan majlis pernikahan mereka melalui satu kiriman SMS.

Lebih melukakan hati lelaki itu, SMS tersebut dihantar cuma 11 jam sebelum majlis pernikahan mereka dilangsungkan di sebuah masjid di Simpang Empat di sini pukul 10 pagi kelmarin. -kosmo


Wali perlu adil

KUALA LUMPUR: Seseorang wali dalam perkahwinan Islam sepatutnya bertanggungjawab mencarikan suami yang soleh dan boleh membimbing gadis di bawah amanahnya, bukan merosakkan masa depan mangsa termasuk membatalkan pernikahan pada saat akhir tanpa alasan kukuh.

Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Noor, berkata enakmen undang-undang keluarga Islam tidak pernah membenarkan wali menyalah guna kuasa menolak perkahwinan sewenang-wenangnya.

Sebaliknya beliau berkata, wali yang bertanggungjawab perlu bersikap adil kepada pasangan yang ingin dikahwinkan, malah mereka perlu disatukan segera jika kedua-duanya tidak melanggar perjanjian seperti yang dipersetujui keluarga kedua-dua pihak.

“Tanggungjawab wali mencari calon suami yang sesuai dan dalam kes ini (laporan muka depan Harian Metro semalam), saya tidak nampak di mana silapnya bakal pengantin lelaki itu...dia tak langgar perjanjian pun,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. -hm


Ulasan GB

Cukuplah dik. Mungkin dia bukan jodohmu. Redha dengan takdir Ilahi.

Bunga tidak sekuntum. Mungkin Allah hendak menurniakan seseorang yang lebih baik daripadanya untukmu.

Kami doakan engkau bertemu jodoh dengan yang terbaik untukmu dunia dan akhirat.

Tak Jadi "Tangkap" Tauge, Bukan Suspek Utama Pembawa E-Coli

Ujian dapati tauge bukan punca E. coli

Pihak berkuasa Jerman masih belum dapat pastikan sumber wabak

BERLIN: Ujian awal yang dilakukan ke atas tauge dari sebuah ladang di utara Jerman telah membuktikan bahawa sayur itu bukanlah punca wabak E. coli, yang telah meragut 22 nyawa sejauh ini.

Pegawai wilayah Lower Saxony semalam berkata ujian awal yang dijalankan menunjukkan kesan negatif.

Para saintis Jerman telah melakukan ujian ke atas tauge dari sebuah ladang organik di utara Jerman, yang mulanya disangka punca penularan wabak E. coli.

Menurut pengurus ladang di utara Jerman itu, beliau tidak mengerti bagaimana sayur tauge yang dihasil ladangnya boleh menjadi punca wabak yang lazimnya menular melalui najis atau makanan dan minuman yang dicemari bakteria najis.

Kementerian Pertanian negara itu berkata daripada 40 sampel yang diuji, 23 dikesan bebas daripada bakteria E. coli

Wabak E. coli yang menular di Eropah telah meragut 22 nyawa selain menyebabkan ribuan orang jatuh sakit.

Pihak berkuasa Jerman masih belum dapat menentukan sumber wabak itu.

Sejauh ini, sayur tauge, timun, tomato dan daun salad telah disyaki menyebabkan penularan bakteria E. coli.

Di Brussels, Suruhanjaya Eropah (EC) berkata ia akan mengadakan mesyuarat khas bagi menteri pertanian Kesatuan Eropah (EU) di Luxembourg hari ini.

Salah satu sumber Reuters pula berkata para menteri akan membincangkan kemungkinan memberikan bantuan kewangan kepada para pekebun sayur dan buah-buahan yang terjejas oleh krisis wabak E. coli itu.

Sebelum ini, para peladang Sepanyol mengalami masalah kewangan setelah timun yang ditanam dipercayai menjadi punca penularan wabak E. coli di Eropah.

Mereka berkata tuduhan terhadap mereka ternyata tidak benar apabila tauge yang ditanam di Jerman pula disyaki sebagai punca pencemaran.

Dua pertubuhan ladang Sepanyol berkata pesanan bagi eksport sayur dan buah-buahan naik sedikit semalam setelah hasil tanaman negara itu didapati bukanlah punca penularan wabak E. coli minggu lalu.

Namun, wakil kededua persatuan berkata ia akan mengambil masa untuk menambat semula kepercayaan pembeli.

Malah, mereka melahirkan rasa marah terhadap pihak Jerman kerana menuduh Sepanyol tanpa sebarang pengesahan.

Walaupun tidak mempunyai angka sebenar, mereka mengatakan para peladang kerugian berjuta euro, sementara industri sampingan seperti pengangkutan turut merasakan kesannya. -- AP, AFP, Reuters.