18 Jun 2013

Pengakuan SPR Bukti Mereka Bersalah, Perlu Letak Jawatan - A.Samad Said

Datuk A Samad Said mengatakan pengakuan dilakukan oleh pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kesal kerana kegagalan dakwat kekal untuk berfungsi dengan baik semasa Pilihan Raya 2013 membuktikan badan penggendali pilihan raya itu bersalah.

Menurut pengerusi bersama Bersih 2.0 itu, pengakuan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf membuktikan pilihan raya umum 5 Mei tidak berjalan dengan baik dan oleh itu beliau seharusnya berundur.

“Bunyinya agak tidak sedaplah. Tetapi secara hormat, sesudah mengetahui beberapa kesilapan, eloklah dia undur, letak jawatan,” kata beliau yang mesra dengan panggilan Pak Samad apabila ditemui oleh The Malaysian Insider pagi ini.

“Jadi dia harus, harus lakukan itu. Jadi pengakuannya itu, bagi saya ialah satu penerimaan bahawasanya apa yang berlaku itu memang betul dia bersalah,” tambah beliau lagi.

Dalam wawancara bersama sebuah akhbar berbahasa Melayu yang disiarkan semalam, pengerusi SPR menyatakan kekecewaan berhubung dengan kegagalan penggunaan dakwat kekal.

"Kalau orang tanya saya sekarang ini, apakah perkara yang paling menyedihkan dalam hidup saya, saya akan jawab dakwat kekal," katanya kepada Sinar Harian.

Pak Samad yang juga seorang Sasterawan Negara mempersoalkan mengapa SPR tidak menguji keberkesanan dakwat kekal sebelum membenarkan ianya digunakan dalam Pilihan Raya 2013 lalu.

“Tidakkah SPR mengujinya dulu? Dia terus sahaja untuk mempercayai. Itu tidak boleh saya fikir ini sebab untuk memberi hak ni, memberi kuasa.

“Saya harap dia berkata itu jujur, sebab itu adalah pengakuan dia bahawasanya memang pilihan raya itu tidak murni,” katanya.

Pengerusi bersama Bersih 2.0 itu juga turut menyarankan kepada penyokong-penyokong mereka agar beramai-ramai menghadiri perhimpunan #Black505 yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat (PR) di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 22 Jun.

“Kita menyarankan, ataupun merayu supaya ahli-ahli lebih banyak untuk menyertainyalah.

“Kalau Ambiga sendiri sudah kata turun ke jalan raya, jadi kita turun ke jalan rayalah,” kata beliau merujuk kepada seorang lagi pengerusi bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata semalam, kegagalan dakwat kekal untuk berfungsi dengan baik tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menuduh SPR membenarkan pengundi mengundi lebih daripada sekali atau melakukan penipuan dalam pilihan raya umum.

Abdul Aziz mendakwa kaedah itu - yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya telah menguji beberapa kali sebelum dilaksanakan pada 5 Mei lalu.

"Tetapi pada hari yang ditunggu-tunggu kuasa Allah lebih hebat apabila dakwat boleh hilang selepas beberapa kali dicuci, di mana silapnya?

"Memang sedih tapi kita tidak berdiam diri. Kita tubuhkan pasukan khas, yang dipengerusikan Datuk Christopher Wan Soo Kee dibantu dua ahli panel lain iaitu Datuk Md Yusop Mansor dan Abdul Aziz Khalidin," katanya.

PR telah mengadakan perhimpunan besar-besaran #Black505 di seluruh negara semenjak 8 Mei untuk memprotes dakwaan penipuan dalam Pilihan Raya 2013 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa walaupun kehilangan undi popular. -TMI

Buang Sentimen Parti; JKKK Diminta Taat Titah Sultan


Kuala Terengganu - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diseluruh negeri Terengganu diseru mentaati titah ucapanSultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mahu semua pihak membuang sentimen kepartian dalam memberikan bantuan kepada rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata beliau menyambut baik titah Sultan Terengganu yang menyeru semua pihak bekerjasama tanpa mengira fahaman politik sewaktu bertitah sempena perasmian penggal pertama sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) kali Ke-13.

"Antara yang menarik dalam titah Tuanku Sultan adalah selepas pilihan raya dihapuskan sentimen fanatik politik masing-masing.

"Jadi kita minta Jawatankuasa Kemajuan kampung (JKK) supaya mudah tandatangan borang (permohonan bantuan) rakyat kerana selepas pilihan raya ini saya menerima banyak aduan rakyat yang JKK tak mahu tandatangan borang.


"Jadi perlu diselesaikan di peringkat akar umbi. Kalau akar umbi boleh selesai (pihak) atas mudah selesai," kata Ustaz Hadi kepada pihak media selepas di Wisma Darul Iman hari ini.

Ustaz Abdul Hadi yang juga Adun Rhu Rendang berkata, titah tuanku itu harus diberi perhatian kerana selepas Pilihan Raya Umum Ke-3 (PRU13) Mei lalu, kerana telah wujud diskriminasi terhadap rakyat kerana faktor politik.

Menurut ADUN Chukai YB Haji Hanafiah Mat, selepas pilihanraya umum ke-13 lalu, JKKK telah berhelah dan tidak mahu menandatangani borang-borang permohonan rakyat dengan alasan kononnya mereka tidak ada kuasa lagi.

"saya paling ramai orang mengadu, JKKK tak mahu tandatangan, bila saya tanya, dia (JKKK) kata MB tak beri (izin) untuk tandatangan dan dia (JKKK) sebut lagi, di tak ada kuasa,

"jadi saya juga minta MB Ahmad Said supaya dengar perintah (titah) sultan hari ini, jangan menderhaka,"ujarya ketika ditemui. -BO

Ulama Gesa Rakyat Bangkit Tuntut Hak, Cegah Penipuan PRU


Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Ustaz Abdul Ghani Shamsudin berkata, umat Islam tidak boleh membiarkan penipuan tanpa sebarang usaha mencegah, terutamanya melibatkan sistem pilihan raya yang pincang.

“Pasrah kepada kezaliman dan penyelewengan bukan akhlak Islam. Kita wajib bangkit menuntut kembali hak kita yang dinafikan. Islam melarang kita melihat kemungkaran tanpa berusaha untuk mencegahnya,” katanya kepada Keadilan Daily.

Justeru, beliau menyokong penuh himpunan Black 505 dan menyeru rakyat Malaysia hadir beramai-ramai di Padang Merbok 22 Jun ini.

“Keputusan pilihan raya lalu mendedahkan seluruh rakyat kepada sistem demokrasi yang herot. Himpunan itu nanti menjadi platform terbaik menyedarkan rakyat hak mereka yang dicabuli pemerintah,” kata Ghani.

Katanya, sesebuah negara tidak akan dapat melahirkan rakyat yang bermaruah dan bermartabat akibat cara pemilihan pemimpin negara yang penuh tipu helah dan muslihat.

“Usaha dilakukan penganjur Blackout 505 patut disokong oleh semua rakyat yang cintakan keadilan,” tegasnya.

Akhirnya Selamat Jalan Kereta Nasional, Proton

Sisa-sisa projek kereta nasional akan berakhir tidak lama lagi kerana Putrajaya akan menggantikan penggunaan Proton Perdana V6 yang telah lama sebagai limosin rasmi dengan Honda Accord sementara kerajaan negeri Pahang akan menggunakan Volkswagen Passat.

Kedua-dua model sekarang ini dipasang oleh pemegang saham terbesar Proton Bhd iaitu DRB-Hicom Bhd di Pekan di mana ahli Parlimennya adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kenderaan baru itu untuk menteri Kabinet, timbalan menteri dan ahli majlis kerajaan negeri (Exco). Jumlah kos keseluruhan pembelian masih belum ditentukan.

Kerajaan negeri lain perlahan-lahan telah menggantikan Perdana yang mempunyai kapasiti enjin dua liter dan dibuat pada tahun 2010 – sekarang ini terbukti mahal untuk diselenggara.

The Malaysian Insider difahamkan kedua-dua kerajaan pusat dan kerajaan negeri Pahang telah menolak Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi mereka kerana ianya dipasang di negara jiran Thailand.

“Pertimbangan utama adalah kenderaan mestilah dipasang di sini,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Beliau mengatakan Putrajaya akan menggunakan model Honda Accord berkapasiti enjin 2.4 liter sementara kerajaan Pahang akan mengambil Volkswagen Passat berkapasiti enjin 2.0 liter. Difahamkan, sebuah Volkswagen Toureg juga telah dibeli untuk kerajaan negeri Pahang.

Penggantian lain bagi Perdana termasuk Mercedes-Benz E200 Kompressor oleh kerajaan Terengganu pada tahun 2008, menggantikan Perdana V6 Eksekutif tahun 2004 mereka.

Kedua-dua Selangor dan Perak juga telah menggantikan Perdana mereka dengan Toyota Camry sementara kerajaan negeri Sabah menggunakan Volvo S80s.

Proton telah melancarkan model berkos rendah Saga SV hujung minggu lalu akan tetapi tidak menyatakan sama ada akan mengeluarkan model berkuasa tinggi yang boleh menggantikan Perdana.

Terdapat spekulasi tentang model baru Perdana berasaskan Passat apabila perjanjian diantara Proton dan Volkswagen dibincangkan sekitar 2004-2007. Akan tetapi rancangan itu dibatalkan apabila Volkswagen mengumumkan rundingan kerjasama menemui kegagalan.

Terdapat juga perbincangan diantara Proton dan Mitsubishi pada 2005 untuk model baru Perdana berasaskan Mitsubishi 380 sedan yang menghentikan pengeluaran pada 2008.

Spekulasi lain tentang penggantian Perdana adalah menggunakan platform Proton Exora iaitu Nissan Fuga atau berkongsi casis dengan Honda Accord akan tetapi tiada perkembangan.

Perdana merupakan model terbaik Proton yang menggeluarkan model pertama Saga pada tahun 1985 dalam program industri berat dimulakan oleh perdana menteri paling lama berkhidmat Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana SEi diperkenalkan buat pertama kali sedekad selepas model pertamanya dan dibuat dari 1995 hingga 1998. Ia berdasarkan kepada platform Mitsubishi Galant dan menggunakan enjin 2.0L 4G63 SOHC pembuat kereta Jepun itu.

Generasi pertama Perdana merupakan model pertama Proton menawarkan sistem brek anti-kunci (ABS) dan kawalan pemanduan. Pada tahun 1997, Perdana diberikan wajah baru dengan jeriji krom, reka bentuk rim baru, warna badan yang baru dan hiasan dalaman dipertingkatkan.

Pada tahun 1999 Proton menggeluarkan Perdana yang menggunakan enjin Mitsubishi 2.0L 6A12 V6 dengan bodykit dan rim 16 inci. Pada tahun 2003, Perdana V6 telah melakukan prubahan yang besar dan diberi wajah serta bumper baru. Di dalam, perubahan besar turut dilakukan. Model ini kekal dijual sehingga awal 2010.

Terdapat juga Proton Perdana V6 versi mewah dengan kepanjangan melebihi 25 cm (10 inci) di pintu sisi - di gelar Proton Perdana V6 Executive yang diubah oleh Automotive Conversion Engineering (ACE), salah satu unit EON - khusus dalam membangunkan limosin untuk negarawan.

Seperti Perdana asal, Perdana V6 juga tidak dieksport ke Eropah. -TMI

[DASYAT] Mudahnya PATI Dapat Dokumen M'sia Di Filipina...


Suruhanjaya siasatan diraja (RCI) pendatang asing di Sabah hari ini diberitahu bahawa pendatang haram boleh mendapatkan dokumen Malaysia ketika masih berada di Filipina lagi.

Macarius Sabinus - pegawai lapangan yang ditugaskan mendaftar pendatang haram di Sabah dan mengeluarkan resit sementara (kad burung-burung) kepada mereka - menemukan bahawa mereka mendapat dokumen itu di Bongoa, Tawi-Tawi, walaupun belum didaftarkan.

Bagaimanapun Macarius - juga penyelidik di badan pemikir Institut Kajian Pembangunan (Sabah) atau IDS badan bawah Jabatan Ketua Menteri (JKM) - berkata, resit itu mempunyai nombor siri dan cop berbeza.

IDS, sebelum ini dikenali sebagai Institut Analisis Dasar Awam (IPPA), ditugaskan mengkaji pendaftaran pendatang haram secara besar-besaran di Sabah antara 1986 dan 1988. -mk


Pendatang asing terima resit ‘burung-burung’ dari Filipina, kata saksi RCI


Saksi Inkuiri Diraja Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah (RCI) hari ini berkata pihaknya mendapati terdapat sindiket-sindiket yang menjual "resit sementara" atau dikenali sebagai "kad burung-burung" kepada pendatang asing tanpa izin dari Filipina yang berada di Sabah.

Macarius Sabinus, 56, yang bekerja mendaftarkan pendatang asing tanpa izin pada tahun 1986-1988 di Sabah berkata, ketika proses itu pihaknya menemui kes-kes berkenaan dan pendatang asing tanpa izin tersebut menerima kad burung-burung berkenaan di Bongao, Filipina.

"Saya banyak menemui kes sedemikian di kawasan Sandakan, bila saya buat pendaftaran di Dewan Masyarakat, mereka tunjuk resit burung-burung yang diterima daripada orang di Bongao.

"Kad itu berbeza daripada segi rekod nombor sirinya, dan cop Jabatan Ketua Menteri (JKM) yang sebenar," katanya, yang merupakan saksi kedua inkuiri hari ini, dan menambah, pasukannya sahaja menemui sekitar 10 kes seperti itu.

Bongao merupakan daerah yang terdapat di Pulau Tawi-Tawi milik Filipina yang berhampiran dengan kawasan perairan Sabah.

Sementara resit burung-burung adalah dokumen pengenalan yang diberikan kepada warga asing tanpa izin yang didaftarkan di Sabah pada tahun 80an, sebagai bukti mereka telah didaftarkan dan bukannya perakuan warganegara seperti kad pengenalan.

Macarius merupakan Pegawai Penyelidik di Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, dan bagi tujuan mengumpul data pendatang asing tanpa izin berkenaan, beliau dipinjamkan ke JKM pada 1985.

Beliau bertanggungjawab merekod dan mendaftar pendatang asing tanpa izin di negeri Borneo itu bagi tujuan statistik dan kaji selidik terhadap pendatang asing pada masa tersebut di kawasan Sandakan, Lahad Datu, Tawau, dan Sepuluh.

"Saya buat kaji selidik, mereka (pendatang asing) akan isi borang dan kami akan dapatkan maklumat lengkap untuk mereka yang datang mendaftar ... Kemudian kami akan keluarkan resit 'burung-burung' kerana mereka langsung tidak mempunyai dokumen.

Ditanya sama ada dengan memberikan mereka kad burung-burung berkenaan akan menjadikan mereka rasa mereka boleh kekal di Sabah, Macarius berkata: "Tidak ... Ia hanyalah pendaftaran sementara yang menunjukkan mereka tiaada dokumen daripada negara asal."

"Ada juga yang membawa kad pengenalan meragukan, jadi saya rumuskan mereka dapat daripada majikan syarikat jadi bukan daripada JKM," katanya lagi.

Laporan berhubung pendaftaran berkenaan, jelas Macarius akan dihantar kepada JKM dalam tempoh seminggu sekali.

"Kebiasanya laporan menunjukkan kawasan kami melakukan pendaftaran, berapa pelarian, berapa pendatang.

"Bila saya temubual mereka, ada yang ada kad pengenalan biru, namun cara percakapan mereka bukan umpama rakyat Malaysia, tapi dia ada kad pengenalan biru, resit sementara, saya cakap Sulu dengan dia, dia cakap Sulu dengan saya," terang Macarius kepada panel inkuiri hari ini.

Beliau turut menjelaskan, terdapat lebih 12 pasukan yang melakukan pendaftaran tersebut dengan setiap daripada mereka memiliki 12 hingga 13 anggota.

Inkuiri di hadapan bekas Ketua Hakim Sabah Steve Chim hari ini berehat sebentar dan akan bersambung jam 2 petang nanti.
- TMI

Berkas 15 Peserta Flashmob, Tindakan Gila


Tindakan polis memberkas 15 peserta ‘flashmob’ di depan pusat beli-belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan menahan mereka hampir lapan jam di Balai Dang Wangi pada Sabtu lalu disifatkan sebagai satu tindakan gila.

“Namun kejadian itu sama sekali tidak mungkin berjaya menakut-nakutkan anak muda untuk terus beraksi dalam banyak lagi siri ‘flashmob’ selepas ini menjelang himpunan 22 Jun nanti,” kata Edy Noor Reduan, pengarah propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa sebenarnya tidak ada perhimpunan pada hari itu. Jika ada perhimpunan sekalipun, ia bukan berlangsung di depan Sogo tetapi di Padang Merbuk Jalan Parlimen pada 22 Jun nanti.

“Di depan Sogo tempohari hanyalah sebuah aksi spontan yang dipanggil ‘flashmob’,” terang beliau.

Menurutnya, polis tidak memahami konsep ‘flashmob’ apabila cuba menggunakan Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman yang menetapkan notis sepuluh hari untuk sebarang perhimpunan.

“Jika beri notis 10 hari, itu bukan ‘flashmob’. Malah dalam akta yang sama, polis tiada peruntukan untuk membuat tangkapan,” katanya.


Edy Noor menerangkan bahawa jika diarahkan bersurai sekalipun, peserta ‘flashmob’ bertekad tidak akan meninggalkan kawasan tersebut

“Ini kerana sangat jelas mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, tidak mengganggu orang awam, tidak mengganggu lalu lintas malah keadaan Jalan Tunku Abdul Rahman sememangnya sesak setiap hari Sabtu,” tambahnya.

Menurutnya, ‘flashmob’ Sabtu lalu bertujuan mengolah persetujuan orang ramai bahawa pilihan raya umum padad 5 Mei lalu dijalankan dengan penuh kecurangan.

Panik

Katanya, sikap panik kerajaan hingga menangkap peserta ‘flashmob’ dengan isyarat ugutan sebenarnya telah berjaya membangkit lebih banyak aksi ‘flashmob’ di seluruh negara.

Sehari selepas tangkapan ‘flashmob15′, beberapa flashmob dilancarkan termasuk salah satunya di depan Queensbay Mall, Pulau Pinang.

Hari ini juga katanya, satu ‘flashmob’ anak muda di Ipoh, esok di beberapa lokasi lagi termasuk di pekan Sungai Besar, Selangor.

Rabu ini, fasa kedua ‘flashmob’ seperti yang dijadualkan di Jalan Tun Perak akan tetap diteruskan bermula jam 5 petang, juga akan berlangsung di Bandar Melaka.

Khamis pula di Flashmob Kuala Terengganu, Kemaman, Port Dickson dan pekan Pontian, semua bermula jam 5 petang.

Lebih banyak lokasi ‘flashmob’ pada hari Jumaat iaitu sehari sebelum hari besar #KL622 – Hari Rakyat Lawan Penipuan SPR, katanya. -FMT