6 Ogo 2015

Tiba-tiba Pasukan Khas Siasat 1MDB Dibubarkan!

Tidak Perlu Ada Pasukan Petugas Khas - Peguam Negara

PETALING JAYA: Pasukan Petugas Khas yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak lagi wujud.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan SPRM petang Rabu bagi menjelaskan pengumuman suruhanjaya itu pada 3 Ogos lalu yang dibuat tanpa melibatkan dua agensi lain yang menganggotai Pasukan Petugas Khas itu.

"SPRM membuat pengumuman tanpa melalui Pasukan Petugas Khas selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara bahawa tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas.

"Sebaliknya agensi-agensi penyiasat terbabit boleh menjalankan tugas mereka berdasarkan undang-undang masing-masing," menurut kenyataan itu.

Susulan arahan terbaharu ini, kata SPRM, tiga agensi berkenaan yang mempunyai pasukan petugas khas dalaman akan mengemukakan hasil siasatan masing-masing kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

"Pihak Peguam Negara akan membuat keputusan sama ada terdapat kes untuk didakwa di mahkamah ataupun sebaliknya," katanya.

SPRM juga menegaskan, Pasukan Petugas Khas dalamannya masih meneruskan siasatan kes SRC International dan sumbangan derma RM2.6 bilion.

"Sebagaimana telah disebutkan beberapa kali sebelum ini, SPRM menekankan bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan isu 1MDB, sebaliknya, siasatan keseluruhan kes 1MDB dijalankan pihak polis," katanya yang berharap orang ramai akan memahami bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan 1MDB. -mstar

Pasukan petugas khas 1MDB bubar, kata SPRM


Pasukan Petugas Khas peringkat tinggi kerajaan yang menyiasat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kini dibubarkan dengan ketiga-tiga agensi utama diarah bekerja secara bersendirian, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan hari ini, agensi anti-rasuah itu cuba meredakan kebimbangan yang ia mengeluarkan kenyataan berhubung wang RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun perdana menteri tanpa penglibatan pihak polis dan Bank Negara Malaysia (BNM), yang merupakan komposisi asal pasukan petugas yang diketuai bekas peguam negara Tan Sri Gani Patail .

"SPRM membuat pengumuman tanpa melalui Pasukan Petugas Khas selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara Malaysia, tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas.

"Sebaliknya, agensi-agensi penyiasat terbabit boleh menjalankan tugas mereka berdasarkan undang-undang masing-masing," kata suruhanjaya itu. Ia bagaimanapun tidak menamakan peguam negara yang mana satu yang dimaksudkan kerana Gani kini digantikan dengan hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali minggu lepas.

Sejak penyingkiran Gani dari jawatan Peguam Negara pada 27 Julai, kedudukan pasukan petugas itu yang terdiri daripada Peguam Negara, SPRM, Bank Negara dan polis menjadi pertikaian dengan pengkritik mempersoalkan jika ia masih berkuat kuasa.

Dalam seminggu yang lalu, bagaimanapun, ahli pasukan petugas itu dipanggil untuk disoal siasat Bukit Aman mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin, orang keenam yang dipanggil, mengatakan beliau disoal berhubung draf surat pertuduhan terhadap Najib yang diterbitkan laman pemberi maklumat Sarawak Report minggu lalu.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairy turut ditangkap bersama Tan Sri Rashpal Singh, bekas penasihat SPRM, dan Jessica Gurmit Kaur, seorang pegawai Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga dilaporkan tidak menolak kemungkinan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz dan orang nombor dua SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull turut akan dipanggil pihak polis.

Terdahulu hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilaporkan sedang bercuti selama seminggu ketika ini.
-TMI


ULASAN GB

Tiba-tiba Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Menyiasat 1MDB dibubarkan.

Sungguh licik. Setelah dipecatnya TPM dan Peguam Negara, dilantiknya beberapa orang anggota Petugas Khas sebagai menteri dan timbalan menteri, sekarang dibubarkan pasukan berkenaan.

Ketara sangat ada pihak tertinggi mahu supaya isu 1MDB itu ditutup segera untuk mkenyelamatkan kedudukan orang tertentu.

Setelah sekalian banyak peruntukan wang rakyat digunakan untuk penubuhan Pasukan Petugas Khas itu bagi menyiasat skandal terbesar negara, tiba-tiba pasukan itu dibubarkan. Begitu mudah mereka menghabiskan wang rakyat. Kemudian perah lagi rakyat melalui GST dan sebagainya.

Kita yakin hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan.

Pesalah sebenar erta yang bersubahat dengannya akan tetap terima balasannya. Itu harapan dan doa sekalian rakyat Malaysia.





IKLAN BERBAYAR







Ini Kerja Gila, Kami Yang Menyiasat Cari Kebenaran, Kami Pula Yang DItangkap!


Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disiasat polis Cawangan Khas selama lebih 3 jam di pejabatnya hari ini melahirkan rasa terkejut dan kesal terhadap siasatan polis ke atas siasatan mereka terhadap operasi dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin berkata beliau juga terkejut apabila timbalan pendakwa raya (SPRM) mereka ditangkap polis di malam hari.

"Saya cukup kesal perkara ini berlaku kerana kami menyiasat dengan sepenuh hati siang dan malam bagi mencari kebenaran.

"Tiba-tiba DPP kami diambil pada pukul 1 pagi dan ia amat menghairankan kenapa boleh berlaku perkara sedemikian,"
katanya sewaktu ditemui wartawan selepas disiasat polis di pejabatnya di Putrajaya, petang tadi.

Bahri adalah sebahagian daripada pasukan khas yang menyiasat 1MDB.

Beliau turut melahirkan rasa curiga dengan individu lain yang dipercayai berada di belakang siri serbuan polis ke atas mereka yang menyiasat 1MDB.

"Saya rasa pihak polis tak akan buat kerja gila begini kecuali ada pihak lain memaksa pihak polis melakukannya," katanya.

Sementara itu, Bahri berkata siasatan polis terhadapnya petang ini dibuat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan berkaitan kebocoran dokumen yang didakwa sebagai "draf pertuduhan".

Beliau dipercayai merujuk kepada salinan gambar dokumen yang didakwa sebagai draf pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak – satu perkara yang sudah dinafikan Jabatan Peguam Negara.

"Saya yakin sepenuh hati bukan daripada kami benda itu dan ia dihasilkan semula," katanya.

Satu pasukan, dipercayai daripada Bukit Aman, tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 2.45 petang ini.

Bahri, yang tiba di pejabatnya jam 3.07 petang, kelihatan terkejut dengan kehadiran ramai petugas media di hadapan bangunan ibu pejabat itu.

Beliau diiringi ke dalam bangunan oleh pegawainya dan beberapa anggota keselamatan.

Sabtu lepas, polis menahan pegawai Jabatan Peguam Negara Jessica Gurmeet Kaur dan bekas penasihat SPRM Tan Sri Rashpal Singh untuk disoal siasat berkaitan dengan kes itu.

Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

Mereka dibebaskan pada malam yang sama apabila pihak polis gagal mendapatkan perintah reman untuk menahan mereka lebih lama.

Penangkapan Rashpal dipercayai berkaitan dengan laporan yang beliau ada menemui pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di London.

SPRM bagaimanapun menafikan kebocoran dalam penyiasatan Putrajaya berhubung firma pelaburan negara yang dibebani hutang itu dibuat orang dalam agensi anti-rasuah itu.

Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob pada 21 Julai berkata Rashpal tidak mempunyai akses kepada siasatan berterusan yang dijalankan agensi itu kerana tempoh perkhidmatan beliau sebagai ahli lembaga itu berakhir pada Februari. -TMI


Demi Allah, saya akan cari dalang ke lubang cacing

Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zin hari ini bersumpah dengan nama Allah akan mencari dalang yang mengarahkan penangkapan anggota suruhanjaya itu.

"Saya bersumpah dengan nama Allah saya akan mencari dalang yang mengarahkan ini.

"Kami bekerja siang malam sepanjang bulan puasa dan ini, berlanjutan sepanjang hari raya baru ini.

"Kami tiada masa berpolitik tapi kami menjalankan tugas kami seperti yang diamanahkan dan diharap oleh rakyat.

“Demi Allah saya akan cari dalang dalang yang mengarahkan (penahanan) ini sehingga ke lubang cacing," beliau berkata.

Beliau juga mengingatkan 'dalang-dalang' itu bahawa kuasa yang mereka ada tidak sebesar mana.

“Kamu ada kuasa sedikit saja tapi saya ada Allah," katanya yang baru selesai menunaikan solat hajat ketika dihubungi Malaysiakini.

Bahri berkata demikian ketika diminta mengulas siasatan terbaru polis terhadap dua lagi pegawai SPRM, termasuk pegawai yang menyiasat bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Difahamkan, individu yang disiasat termasuk orang nombor tiga dalam operasi khas SPRM, Roslan Che Amat, serta menyerbu pejabat mereka di Putrajaya, dipercayai berkaitan kertas pendakwaan bocor terhadap perdana menteri.

Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan bagi kegiatan yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Polis setakat ini sudah menyiasat beberapa pegawai SPRM dalam operasi yang bermula awal pagi Sabtu lalu dengan penahanan timbalan pendakwa raya suruhanjaya itu, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Kesemua penahanan itu dibuat ketika ketua peseuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sedang bercuti.

Bahri turut disiasat pada Isnin lalu.
-mk



Siasatan 1MDB Semakin Hilang Arah

Rombakan kabinet baru-baru ini menepati ramalan saya bahawa ia adalah untuk menutup skandal penjarahan duit rakyat terbesar dalam sejarah Malaysia. Lebih buruk apabila aparatus negara yang sepatutnya memelihara kepercayaan rakyat diragui penguatkuasaannya.

Contoh terkini ialah apa yang berlaku kepada siasatan PDRM terhadap SPRM amat mengecewakan rakyat sehingga SPRM terpaksa membuat solat hajat dan Ketua Pesuruhjaya SPRM terpaksa mengambil cuti rehat setelah beberapa pegawai tingginya disiasat.

Timbalan Perdana Menteri yang baru menggunakan kuasa PDRM untuk menimbulkan berbagai ugutan terhadap pihak yang bertanggungjawab menyiasat akaun RM 2.6 bilion yang dikatakan milik Perdana Menteri Malaysia sekarang.

Tidak mengejutkan Malaysia akan mengalami krisis kepercayaan apabila institusi yang bebas turut menjadi mangsa ugutan hanya kerana mahu menjalankan siasatan bebas dan telus.

Saya mengharapkan pihak SPRM tidak gentar untuk menbenteras rasuah walaupun diugut untuk diambil tindakan. Jangan kecewakan kami hanya untuk menjaga seorang dua yang boleh menghancurkan kepercayaan rakyat kepada pemerintah hari ini.

Kembalikan Kepercayaan Rakyat!

Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia



SPRM solat hajat mohon keselamatan, kekuatan

Berdepan dengan 'dugaan' semasa warga kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini buat julung kali mengadakan solat hajat diimami timbalan ketua pesuruhjayanya, Datuk Seri Zakaria Jaffar.

Antara lain solat hajat itu diadakan bagi memohon kepada Allah supaya mereka diberi kekuatan untuk "melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin".

“Kami memohon kepada-Mu ya Allah berilah kekuatan kepada kami untuk melaksanakan tugas dengan sebaik-baik mungkin.

“Jauhilah kami dari perbuatan mungkar, berilah kekuatan kepada pejuang-pejuang rasuah ini supaya mereka dapat menyelamatkan diri dan keluarga mereka, organisasi, masyarakat terutamanya negara yang kami kasihi ini daripada dicerobohi perbuatan orang yang mengamalkan rasuah,” katanya membacakan doa selepas solat hajat Untukmu SPRM di Putrajaya sebentar tadi.

Majlis itu diadakan selepas solat Zuhur di bangunan SPRM itu disertai kira-kira 100 kakitangannya.

Mengulas lanjut tujuan solat hajat berkenaan, Zakaria berkata ia adalah amalan biasa bagi mereka namun pertemuan petang ini dibuat bagi memperbaiki kelemahan yang ada pada pegawainya.

Nak halang orang masuk neraka

“Sebenarnya kita buat secara berterusan secara individu tapi petang ini kita berjumpa dengan pegawai-pegawai SPRM untuk tengok dan perbetulkan (kesilapan) kita supaya Allah sentiasa memberi kebaikan,” ujarnya.

Mengakui tugas mencegah gejala rasuah sebagai besar dan berat, Zakaria berkata mereka berharap Tuhan memberikan anggota agensi itu kekuatan untuk melaksanakan tugas mulia berkenaan.

“Rasulullah kata memberi dan menerima rasuah akan masuk neraka. Jadi, (kami) nak cegah orang masuk neraka ini satu pekerjaan yang berat dan besar.

“Kita kena minta tolong daripada Allah supaya menunjuk jalan serta membantu kita melaksanakan tugas," katanya.

Polis semalam mengambil keterangan dari seorang lagi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tuan Roslan Tuan Mat berkaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan terhadap kebocoran dokumen sulit kerajaan.

Roslan adalah pegawai SPRM keempat yang disoal siasat berhubung kebocoran dokumen dalam siasatan membabitkan agensi milik kerajaan, 1MDB.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazalee Abdul Khairi ditahan pada pagi Sabtu dan disoal siasat lebih dua jam.

Sebelum itu, polis mengambil keterangan daripada Pengarah Operasi Khas SPRM, Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Forensik SPRM IG Chandran, masing-masing selama tiga jam.

Polis setakat ini tidak memperincikan mengapa mereka menyoalsiasat para pegawai tersebut, tetapi difahamkan keempat-empat mereka terlibat dalam siasatan SPRM terhadap SRC International Sdn Bhd yang dikaitkan dengan 1MDB.
-mk



Tindakan Tangkap Pegawai SPRM Seolah-olah Laporan WSJ & Sarawak report Itu Benar

Tindakan kerajaan dan pengakuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai penangkapan beberapa orang untuk membantu siasatan berkaitan kebocoran maklumat 1MDB seolah-olah membuktikan laporan Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report (SR) benar.

Blogger dan penganalisis politik, Shahbudin Husin, berkata jika maklumat yang disiarkan dalam media itu tidak sahih, maka apa sebabnya pembocor maklumat ingin dicari.

Menulis dalam entri blog terbarunya, Shahbudin membuat kesimpulan tumpuan siasatan yang sepatutnya mengenai kemasukan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, berubah haluan dan disusurkan ke arah mencari pembocor maklumat pula.

“Adakah ini yang menyebabkan saman terhadap WSJ terus tertangguh, manakala Sarawak Report hanya disekat dan The Edge digantung permitnya?” soalnya.

Beliau juga merasakan kes yang menyimpang daripada hala tuju asal akan membuatkan rakyat merasakan sudah tidak lagi penting untuk mengetahui hasil siasatan pasukan petugas yang dipimpin bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan usaha disasarkan terhadap pencarian pembocor maklumat.

“Bagi yang ingin mengetahui kebenaran, pasti turut tertanya-tanya, apakah setelah pembocor maklumat diketahui nanti, isu wang RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan Najib itu akan diteruskan siasatannya atau bakal disenyapkan begitu saja?” tulisnya.

Dia juga membangkitkan cadangan Suruhanjaya Diraja bagi menggantikan Pasukan Petugas Khas kerana dengan siasatan yang semakin melencong, ia (suruhanjaya) adalah pilihan terbaik untuk mencari sebuah kebenaran yang seakan-akan semakin kabur hari demi hari.
-FMT








IKLAN BERBAYAR