25 Okt 2011

Siasat Kegagalan Projek Lembu Anak-Beranak Sharizat Jalil RM250 Juta

Kerajaan didesak perjelas projek lembu RM250j

Kerajaan diminta menjelaskan kegagalan projek RM250 juta Pusat Feedlot Kebangsaaan yang dikaitkan dengan seorang menteri Umno yang dikatakan gagal walaupun menelan belanja besar.

"Kajian awal oleh PKR ini jelas menunjukkan bahawa projek ini telah gagal walaupun menelan belanja jumlah wang rakyat yang besar dan kurniaan tanah seluas 5,000 ekar.

"Malah, ada petani dan penternak kecil yang mempunyai operasi yang lebih besar dan berkesan walaupun tidak mendapat apa-apa bantuan kerajaan," kata Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.

Dakwanya, projek syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd itu dikendalikan suami dan anak-anak menteri itu, bawah Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) untuk memenuhi sasaran 40 peratus (1,500 ekor sehari) permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan.

Sebaliknya, berdasarkan tinjauan PKR, projek yang beroperasi di Gemas, Negeri Sembilan itu didakwa hanya mengeluarkan sekitar 1,000 ekor lembu dipelihara dan sebanyak 20 ekor lembu disembelih setiap hari.

Sehubungan itu, PKR berpendapat isu itu perlu diberikan perhatian serius kerana ia salah contoh utama bagaimana "penyelewengan" wang rakyat dan mempunyai kesan mendalam kepada kenaikan harga barang.

"Rakyat memerlukan penjelasan segera mengenai kegagalan projek nasional yang menelan belanja besar ini," katanya.

Ahli parlimen Ampang itu juga mendesak Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin - yang didakwa terlibat menganugerahkan projek itu - tidak boleh terus berdiam diri. -mk

PKR kutuk Shahrizat: Buat kenyataan segera berkenaan Nat'l Feedlot Corp

KEADILAN menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) untuk memulakan siasatan ke atas National Feedlot Corporation Sdn Bhd yang dimiliki oleh suami dan anak-anak kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil, seorang menteri kanan dan Ketua Wanita Umno.

KEADILAN telah membawa isu ini ke perhatian rakyat sejak awal tahun 2010 lagi memandangkan kedudukan strategik projek seperti yang didakwa oleh kerajaan dan peruntukan besar yang terlibat.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, Pusat Feedlot Kebangsaan yang dimiliki dan dikendalikan oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd diberi status Projek Berimpak Tinggi dengan sasaran memenuhi 40% permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan.

Pada hari Khamis, 20 Oktober 2011 satu pasukan peninjau KEADILAN yang diketuai oleh Saudara Mohd Rafizi Ramli (Pengarah Strategi) dan YB Aminuddin Harun (ADUN Sikamat) telah membuat kunjungan tidak rasmi ke Pusat Feedlot Kebangsaan seluas 5,000 ekar di Gemas untuk menentukan prestasi pencapaian pusat tersebut memenuhi sasaran yang ditetapkan.

Hasil dari temuramah dengan pekerja-pekerja, maklumat yang diperolehi adalah seperti berikut:

Jumlah lembu yang dipelihari pada satu-satu masa: Sekitar 1,000 ekor
Asal-usul lembu: Diimport dari luar negara
Anggaran sembelihan setiap hari: Sekitar 20 ekor
Pasaran: Hypermarket seperti Giant, Carrefour dan lain-lain
Anggaran daging lembu yang dikeluarkan sehari (dikira): 3,000 kg
Anggaran daging lembu yang dikeluarkan setahun (dikira): 900,000 kg atau 900 tan

Prestasi operasi ini perlu dibandingkan dengan sasaran yang ditetapkan memandangkan projek tersebut dikurniakan tanah kerajaan seluas 5,000 ekar di Gemas dan mendapat bantuan kewangan kerajaan berjumlah RM250 juta. Oleh itu, prestasi Pusat Feedlot Kebangsaan:

Jumlah penggunaan daging lembu Malaysia setahun: 162,357 tan
% permintaan yang dicapai oleh Pusat Feedlot (dikira): 0.6%
Sasaran % permintaan yang perlu dicapai ditetapkan RMK9: 40%
Jumlah lembu yang perlu disembelih untuk mencapai sasaran: 1,500 ekor sehari
Jumlah lembu yang kini disembelih: 20 ekor sehari

Kajian awal oleh KEADILAN ini jelas menunjukkan bahawa projek ini telah gagal walaupun menelan jumlah wang rakyat yang besar dan kurniaan tanah seluas 5,000 ekar.

Malah, ada petani dan penternak kecil yang mempunyai operasi yang lebih besar dan berkesan walaupun tidak mendapat apa-apa bantuan kerajaan.

Penyelidikan KEADILAN juga menunjukkan bahawa sehingga kini, komponen-komponen operasi yang lain yang diamanahkan kepada syarikat milik suami dan anak-anak Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih belum dilaksanakan walaupun mendapat peruntukan besar.

Selain dari aktiviti mengimport lembu, syarikat ini juga dilantik oleh kerajaan untuk:

1) Membangunkan penternak kecil melalui konsep “penternakan satelit” untuk menggandakan pengeluaran lembu
2) Membangunkan makanan lembu berkualiti
3) Membangunkan baja dari operasi penternakan lembu

KEADILAN berpendapat bahawa isu ini perlu diberi perhatian serius kerana ia salah satu contoh utama bagaimana penyelewengan wang rakyat akibat ketirisan mempunyai kesan mendalam kepada kenaikan harga barang yang menekan rakyat.

Projek ini dilancarkan oleh kerajaan bertujuan untuk mengurangkan import makanan yang memainkan peranan utama kepada kenaikan harga barang makanan yang terpaksa ditanggung rakyat. Walau bagaimana pun, sebahagian besar dari peruntukan kepada projek-projek pertanian dan makanan untuk mengurangkan pergantungan kepada import tidak sampai dan diselewengkan sehingga mengakibatkan import makanan mencecah RM30 bilion setahun sehingga akhir 2010.

Dato’ Seri Shahrizat Jalil sebagai menteri yang berkepentingan dalam projek ini dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bekas Menteri Pertanian dan Agro Industri yang terlibat menganugerahkan projek ini kepada rakan menteri beliau tidak boleh lagi terus berdiam diri. Rakyat memerlukan penjelasan segera mengenai kegagalan projek nasional yang menelan belanja besar ini.

Sekiranya kedua-dua mereka masih berdiam diri sehingga Isnin minggu depan, KEADILAN dan Wanita KEADILAN akan menganjurkan satu lawatan menjejaki lembu ke Pusat Feedlot Kebangsaan di Gemas untuk mendedahkan perkara ini dengan luas kepada rakyat.

YB ZURAIDA KAMARUDDIN, KETUA WANITA KEADILAN/AHLI PARLIMEN AMPAN
RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI KEADILAN
YB AMINUDDIN HARUN, ADUN SIKAMAT, SEREMBAN


Siapa Dibelakang National Feedlot Corporation Sdn Bhd

Projek ini telah dianugerahkan terus kepada sebuah syarikat, National Feedlot Corporation Sdn. Bhd (NFC) yang mana yang mana antara tulang belakang disebalik syarikat ini adalah – Gambar dari (kiri), Wan Izzana Salleh (anak Sharizat) selaku Pengarah Ekskutif NFC, Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail (suami Sharizat) selaku Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Shahinur Izran (anak) dan juga Wan Izran Salleh (anak). Wan Izzana Salleh pada ketika “menerima anugerah” melaksanakan projek melibatkan pelaburan sejumlah RM250 juta ini sahaja berumur 20 tahun dan tidak pernah ada pengalaman di dalam sektor penternakan lembu secara besar-besaran seperti ini.

Jururawat Melecur Dibakar Suami Meninggal Dunia Pagi Tadi

Kuala Lumpur: Seorang jururawat yang bertarung nyawa dan tidak sedarkan diri selama 10 hari akibat melecur lebih 80 peratus pada badannya selepas dibakar suami sendiri dipercayai bermotifkan cemburu, akhirnya meninggal dunia pagi tadi.

Mangsa Suriani Yahaya, 28, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 4.30 pagi selepas kecederaan yang dialami mangsa bertambah teruk dan gagal diselamatkan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, ketika dihubungi mengesahkan mangsa yang bertugas di HKL itu meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya itu.

Katanya, sehingga kini polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pihak hospital yang dijangka diperoleh selewat-lewatnya esok.

"Suspek yang juga suami mangsa kini masih dalam tahanan reman dan dijadualkan akan tamat esok. Namun, polis akan cuba mendapatkan permohonan baru untuk sambung reman selama seminggu bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Setakat ini, polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan bergantung kepada hasil laporan sama ada perlu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Ahad lalu, mangsa yang baru tiba di rumahnya di Kampung Baru dikatakan memasuki bilik air untuk mandi sebelum suaminya didakwa sengaja membuang puntung rokok ke bilik berkenaan menyebabkan satu letupan kuat berlaku.

Difahamkan, sebelum mangsa tiba di rumahnya, suspek berusia 28 tahun itu dikatakan terlebih dulu menyimbah petrol selain meletakkan bom petrol dalam bilik air itu sebelum bertindak membuang puntung rokok sebaik melihat isterinya memasuki bilik berkenaan.

Lelaki Rancang Bunuh Isteri

KUALA LUMPUR: Suami setan! Itu ungkapan layak diberikan kepada seorang lelaki berusia 28 tahun apabila didakwa bertindak kejam ‘meletupkan’ isterinya menggunakan bom petrol ketika mangsa sedang mandi di rumahnya di Kampung Baru di sini, tengah malam kelmarin.

Perbuatan keji yang dipercayai bermotifkan cemburu itu menyebabkan mangsa, 28, yang juga jururawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, kritikal apabila lebih 80 peratus tubuhnya melecur.

Semuanya bermula jam 12.20 tengah malam apabila mangsa yang baru pulang kerja, masuk ke bilik air di rumahnya untuk membersihkan badan.

Menurut sumber, sebelum insiden itu suami mangsa dipercayai sudah menyimbah petrol selain meletakkan bom petrol di dalam bilik air berkenaan.

“Sebaik isterinya masuk, suspek dengan sengaja membuang puntung rokok ke kawasan berkenaan menyebabkan tercetusnya api sebelum satu letupan kuat berlaku.

“Api hasil letupan kuat itu menjilat pakaian dan tubuh mangsa menyebabkannya menjerit meminta bantuan daripada suami,” katanya.-hm


[Waspada] Kerana Tergilakan IPAD, Bil Telefonnya Melambung

Kerana terlalu inginkan sebuah iPad sempena Deepavali, seorang lelaki kini terpaksa menanggung bil telefon bimbit hampir RM2,000 selepas mengambil bahagian dalam peraduan menerusi talian telefon bimbit.

Mangsa, M. Tirunovakarsan, 62, berkata, dia mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan selepas menerima satu emel yang dihantar syarikat telekomunikasi terbabit ke alamat emelnya pada 19 Oktober lalu.

Menurutnya yang juga merupakan Pengerusi MIC Cawangan Bukit Beruang, emel berkenaan memaklumkan mengenai hadiah menarik yang boleh dimenanginya dengan hanya menjawab beberapa soalan mengenai sejarah Malaysia.

“Bagaimanapun, sebelum saya boleh menjawab soalan berkenaan melalui komputer, saya perlu menghantar satu pesanan ringkas (SMS) kepada penganjur. Penganjur kemudiannya menghantar satu kata laluan bagi membolehkan saya mengambil bahagian.

“Setiap kali saya merasakan saya gagal menjawab, saya akan mendapatkan kata laluan baru untuk bermula sekali lagi,” katanya kepada media, di sini semalam.

Menurut Thirunavokarsan, beliau mengambil kira-kira sejam untuk menjawab kesemua soalan yang dikemukakan sebelum perkataan ‘tahniah’ terpampang pada skrin komputernya selepas itu.

Menurutnya, walaupun daripada pesanan diterimanya, dia sepatutnya dihubungi penganjur bagi memaklumkan bila serta di mana boleh mengambil hadiahnya, namun sehingga kini, dia masih belum menerima sebarang maklumat.

“Saya ingin sekali mendapatkan iPad berkenaan untuk diberikan sebagai hadiah Deepavali kepada anak saya yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam ujian percubaan Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, harapannya itu akhirnya berkecai apabila dia menerima bil telefon berjumlah RM1,989,20.

Bagaimanapun, menurut Tirunavokarsan, dia kecewa dengan kegagalan syarikat telekomunikasi menghadkan penggunaannya, sedangkan kredit maksima untuk taliannya adalah RM300. -SH

Ulasan GB

Usah percaya apa-apa tawaran yang datang melalui email.


Peguam Teoh Beng Hock Perlu Buat Laporan Polis Segera!

Nazri: Tiada laporan polis, tiada tindakan ke atas tiga pegawai SPRM

Jabatan Peguam Negara belum mengambil sebarang tindakan terhadap tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja kematian Teoh Beng Hock kerana tidak ada laporan polis dibuat berhubung perkara itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

“Sepanjang pengetahuan jabatan ini, belum ada apa-apa laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung penemuan pihak suruhanjaya itu dan tiada kertas siasatan dibuka untuk siasatan lanjut.

“Oleh itu, tidak timbul isu Peguam Negara takut untuk mengambil tindakan kepada pegawai SPRM tersebut,” kata beliau semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 berkaitan jabatan itu pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dipetik Bernama Online, Nazri berkata, berikutan laporan yang dikeluarkan Suruhanjaya Diraja, SPRM menubuhkan satu pasukan siasatan khas untuk menzahirkan fakta dalam laporan berkenaan berkaitan tiga pegawai SPRM itu.

“Selanjutnya, satu laporan tatatertib akan disediakan sekiranya wujud kesalahan dan pelanggaran peraturan dan prosedur dalam proses siasatan,” katanya.

Nazri berkata laporan mengenai siasatan dalaman terhadap ketiga-tiga pegawai dibentangkan kepada jawatankuasa aduan yang dibentuk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Jawatankuasa aduan telah minta siasatan lanjut diadakan sebelum laporan dikemukakan ke jawatankuasa tatatertib bagi membolehkan tindakan diambil terhadap tiga pegawai tersebut yang dinamakan dalam laporan.

“Satu siasatan terperinci akan dilakukan oleh polis berdasarkan oleh laporan jawatankuasa tatatertib dan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Jika ada kes jenayah, kertas siasatan akan dibuka untuk mendakwa mereka yang terlibat di bawah kanun keseksaan, atau undang-undang yang sesuai, selaras budi bicara Peguam Negara mengikut Akta 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk membuat pertuduhan jenayah atau pendakwaan,” katanya. -TMI

Ulasan GB

Ini satu kelemahan pihak peguam Teoh Beng Hock.

GB berharap para peguam TBH perlu membuat laporan polis dengan kadar segera terhadap pegawai-pegawai SPRM yang telah terang dan nyata disebutkan di dalam laporan Suruhanjaya Siasatan melakukan penyalahgunaan kuasa.

Pegawai-pegawai SPRM tersebut TIDAK BOLEH dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Gobind Singh Deo, where are you?

Bila Dah Tersepit Pandai Pula Tuduh Orang Putar Belit

Kenyataan isu anak Guan Eng diputar belit'

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menegaskan kenyataannya berhubung isu anak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, didakwa mencabul kehormatan seorang remaja perempuan, diputar belit media alternatif.

Timbalan Perdana Menteri berkata, media berkenaan mengeluarkan laporan tidak tepat dengan kenyataannya ditokok tambah sehingga dikaitkan dengan perkara lain yang tiada kena-mengena.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, dirinya diminta memberi pandangan berhubung isu berkenaan oleh media alternatif pada sidang media baru-baru ini, walaupun ingin mengelak perkara itu.

“Sebenarnya, saya tidak mahu campur urusan sebegitu. Saya sudah meneliti banyak penulisan dalam blog dan saya sedar tidak adil mengheret isu keluarga dan anak dalam kancah politik.

“Itu bukan tujuan saya tetapi ia sudah diputar belit sehingga menimbulkan salah faham,” katanya menjawab celahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) ketika ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 bagi Kementerian Pelajaran, di Dewan Rakyat semalam.

Kit Siang mempersoalkan kenyataan Muhyiddin seperti dilaporkan media alternatif berhubung isu anak Guan Eng yang juga cucunya, didakwa mencabul kehormatan seorang remaja perempuan.

Muhyiddin berkata, beliau memahami perasaan Kit Siang sebagai seorang datuk tetapi orang ramai masih tidak berpuas hati dan mahu kes itu diteliti walaupun beberapa pemimpin pembangkang sudah memberi kenyataan.

Justeru, sebagai maklum balas banyak pihak yang juga sering diamalkan pakatan pembangkang, beliau berkata, cadangan terbaik ialah menyerahkan kepada polis menyiasat kes itu untuk mencari kebenaran.

“Yang Berhormat di sebelah sana (pembangkang) pun mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja atau laporan polis (untuk kes lain sebelum ini), jadi respons biasa.

Jika hendak mendapatkan hak dan kebenaran, jika tidak melakukan perkara itu, biarlah pihak berkuasa siasat, jadi lepas daripada tohmahan.

“Apabila disiasat dan mendapat laporan tepat, di situ mungkin ada pembelaan. Itu tujuan (kenyataan) saya, bukan hendak campur (tangan). Jika tidak ada (dakwaan mencabul kehormatan tidak benar), apa Yang Berhormat bimbangkan. Ia akan diselesaikan dengan lebih mudah, ini bukan soal politik,” katanya. -BH



Ulasan GB

Bila dah tersepit, bila Najib sendiri tak sokong kenyataan kamu, kamu pandai pulak pusing tuduh orang putar belit. Walhal semasa mengulas isu yang ditimbulkan blogger pro-UMNO, tidak pula kamu kata itu putar belit.

Tak apa kita tunggu, kita memang berharap kes itu akan disiasat. Ibu gadis berkenaan akan ambil tindakan undang-undang dan diharap Muhyiddin tidak akan mengelak di bila disapinakan sekali nanti.


Ibu pertimbang semua pilihan bagi lindungi Anya

Ibu kepada gadis muda yang gambarnya digunakan oleh blog pro-Umno untuk menuduh anak ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meramas buah dada teman sekelasnya berkata beliau akan menimbangkan semua pilihan dalam melindungi kepentingan anak perempuannya.

Ini, termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang menyebarkan khabar angin ke atas Anya Ann Corke, yang berusia 21 tahun, kata ibunya, Mei Sun.

"Sebagai ibu bapa Anya, saya akan semak pilihan yang ada untuk melindunginya daripada gangguan seumpama ini," katanya yang dipetik dalam akhbar South China Morning Post hari ini.

Anya, yang satu ketika dulu adalah juara catur satu Hong Kong kini menuntut di Amerika Syarikat. Beliau didakwa oleh penulis blog pro-Umno telah dicabul oleh anak remaja Lim dan akibat itu terpaksa dipindahkan dari sekolah SMK Heng Ee.

Ketua Menteri itu juga didakwa telah membayar wang pampasan kira-kira RM200,000 kepada ibu bapa Anya untuk menutup skandal berkenaan.

Anya, Lim dan pengetua SMK Heng Ee semuanya telah menafikan kejadian berkenaan.

Bagi Lim, celaan itu bertujuan memusnahkan kerjaya politiknya yang sekaligus cubaan meranapkan kehidupan anak remajanya yang dianggap “cukup keji dari segi moral dan tidak bertamadun”.

Anya, pelajar tahun ketiga di sebuah kolej berkata beliau tidak pernah melawat Malaysia selama tujuh tahun lalu dan juga tidak pernah berjumpa ataupun mengenali nama-nama orang yang yang disebutkan dalam blog berkenaan.

“Saya juga nafikan bahawa pernah secara fizikal diserang dalam apa-apa cara sekalipun,”katanya. -mk


[Video] Buaya, Ancaman Baru Banjir Di Thailand

Bangkok - Thailand berterusan menerima dugaan yang turut dilihat sebagai ujian terbesar untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawtra apabila pihak berkuasa mengeluarkan amaran ribuan buaya kini berkeliaran di dalam air banjir di pinggir Bangkok.

Amaran itu dikeluarkan semasa penduduk diminta bersedia untuk menghadapi banjir berterusan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Kebanyakan buaya air tawar tersebut dipercayai terlepas dari taman hidupan liar selepas sangkar haiwan reptilia itu ditenggelami air.

Kerajaan turut menawarkan ganjaran untuk menangkap kesemua buaya tersebut tetapi pegawai taman hidupan haiwan memaklumkan mustahil untuk mengawal pergerakan haiwan itu jika banjir semakin buruk.

Sementara itu, Yingluck turut mengumumkan penghalang banjir dan pintu air sebagai zon larangan bagi menghentikan gangguan penduduk yang tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menangani masalah tersebut.

Pihak berkuasa dan pegawai pentadbiran tempatan juga diberikan kuasa untuk meruntuhkan sebarang struktur yang menghalang operasi kawalan bencana itu.

Bangkok berjaga-jaga banjir besar

BANGKOK - Berjuta-juta penduduk di bandar raya ini bersedia untuk menghadapi banjir besar semalam selepas satu amaran dikeluarkan untuk memindahkan penduduk di beberapa zon bahaya.

"Jika sesuatu menimpa Bangkok, ia akan memberi kesan ke atas seluruh negara.

"Justeru, amatlah penting bagi memberi perhatian kepada Bangkok dalam usaha untuk negara menjadi selamat," kata Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra menerusi televisyen.

Beberapa bahagian di Bangkok ditenggelami air ketika kawasan di utara Thailand masih dilanda banjir. - Reuters




Caj 6% Parabayar: Sudah Ada Kedai Yang Mengenakan Bayaran Tambahan

Beberapa kedai prabayar kad tambah nilai telefon mudah alih dikesan mengenakan bayaran tambahan 60 sen walaupun empat syarikat pengendali utama telekomunikasi bersetuju menangguhkan caj cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus pada September lalu.

Peniaga didapati menjual kad prabayar dengan harga RM10.60, berbanding harga asal RM10.

Kerajaan perlu beri perhatian serius bagi mengelak pengguna tanggung kos. - Faidrus Aszmi Suhaimi, Pengguna Tindakan peniaga terbabit sudah pasti membebankan pengguna walaupun isu caj cukai perkhidmatan itu masih dalam kajian semula Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kegiatan itu bukan saja berlaku di sekitar Lembah Klang, sebaliknya di beberapa negeri seperti Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Wakil akhbar ini yang membeli kad prabayar di sebuah kedai runcit di Seksyen Tujuh, Bandar Baru Bangi di sini, turut dikenakan bayaran tambahan 60 sen ketika membeli kad prabayar berharga RM10.

Peniaga yang menjual kad prabayar terbabit ketika ditanya tindakannya mengenakan bayaran tambahan itu enggan memberi penjelasan.

Pelajar, Noor Atiqah Sulaiman, 18, berkata beliau berasa tertipu apabila dikenakan bayaran tambahan 60 sen ketika membeli kad prabayar berharga RM10 di kedai terbabit.

“Pada mulanya saya ingatkan peniaga terbabit mengenakan bayaran tambahan itu selepas kerajaan menaikkan caj cukai perkhidmatan enam peratus, tetapi selepas saya semak di laman web syarikat telekomunikasi, saya dapati pelaksanaannya masih ditangguhkan,” katanya.

Seorang pembaca Berita Harian dari Jengka, Pahang, Noordayana Noordin, 23, berkata beliau juga terkejut perlu membayar RM10.60 ketika membeli kad prabayar di sebuah kedai di Terminal Bas Sementara Bandar Tun Abdul Razak.

“Saya ada bertanya kepada peniaga sama ada ia berkaitan dengan caj cukai perkhidmatan atau keuntungan sendiri namun peniaga tidak memberi seberang jawapan,” katanya yang masih menuntut di Universiti Institut Teknologi Mara (UITM) Jengka, Pahang.

Seorang pengguna dari Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu, Faidrus Aszmi Suhaimi, 27, berkata beberapa kedai runcit di bandar terbabit seakan kebal dari tindakan undang-undang mengenakan bayaran tambahan itu, tanpa dikenakan tindakan pihak berkuasa.

“Kerajaan perlu memberi perhatian serius bagi mengelak pengguna menanggung kos yang tidak sepatutnya dikenakan. Saya yakin ramai peniaga yang mengenakan bayaran itu,” katanya.

Mohd Ridhuan Mohamed, 25, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, juga terpaksa membayar RM10.60 di sebuah kedai di medan selera berdekatan rumahnya dan menyifatkan tindakan peniaga terbabit sebagai tidak masuk akal.

Pada 13 September lalu akhbar melaporkan empat syarikat pengendali utama telekomunikasi di negara ini bersetuju menangguhkan caj cukai perkhidmatan enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar dikuatkuasa 15 September.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata persetujuan itu diputuskan secara bersama oleh empat syarikat terbabit selepas mengadakan perbincangan bersama kementerian itu di pejabatnya di Angkasapuri di sini. -Bh

Ulasan GB

SKMM lemah di dalam memantau dan mempastikan TIADA CAJ TAMBAHAN dikenakan kerana kerajaan sendiri sudah membuat keputusan penangguhannya (sekalipun rakyat menuntut pembatalan terus) terhadap cukai perkhidmatan 6% yang hendak dikenakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.

Ini tidak, Prof Aziz Bari yang disusahkan. Terkejar-kejar untuk menyoalsiasatnya. Lain yang sepatutnya dilakukan, lain pula yang ditumpukan.


Remaja Mengandung Dibaham Abang Kandung Sendiri

Padang Besar: Seorang lelaki bertindak rakus apabila sanggup merogol adik perempuannya sendiri beberapa kali sejak Julai lalu menyebabkannya mengandung. Gambar fail.

Malah, remaja perempuan berusia 15 tahun itu turut diugut supaya menutup mulut berhubung kegiatan sumbang mahram yang berpunca akibat nafsu buas abangnya berusia 21 tahun.

Namun, tindakan kejam abangnya itu terbongkar apabila ibu saudara gadis berkenaan menyedari perubahan ke atas anak saudaranya yang kelihatan seperti orang mengandung pada Sabtu lalu.

Difahamkan, mangsa yang tinggal bersama bapa dan suspek yang bekerja sendiri di rumah mereka di Batu 18, Kaki Bukit, di sini, mendakwa dirogol berulang kali sehingga mengandung tiga bulan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros berkata, mangsa dipercayai dirogol buat kali pertama oleh abang kandungnya sejak Julai lalu dan perbuatan itu dilakukan berulang kali selepas itu. -hm

Ulasan GB

Sampai ke tahap itu.

Itu sebab Rasulullah saw menyuruh dipisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan ialah sepertimana di bawah :

مروا أولادكم بالصلاة لسبع، واضربوهم عليها لعشر وفرقوا بينهم في المضاجع

“Perintahkanlah anak-anakmu dengan (menunaikan)solat pada umur 7 tahun. Dan pukullah mereka kerana (meninggalkan) solat pada umur 10 tahun , dan pisahkanlah antara mereka pada tempat tidurnya.”

(HR Imam Ahmad , Abu Daud dan al-Hakim)


Hadis ini jelas menyuruh kita agar memisahkan tempat tidur antara lelaki dan perempuan apabila mereka berusia 10 tahun.

Ini kerana, pada masa itu kebanyakkan daripada anak perempuan telah pun mencapai usia baligh. Apabila ini berlaku, dibimbangi perbuatan atau perkara-perkara keji yang diilhamkan oleh syaitan akan berlaku antara mereka.

Mungkin kejadian yang berlaku di atas bukan semasa waktu tidur, tetapi paksaan si abang yang sudah kemaruk nafsu buas tak mengira masa dan tempat hasil daripada dunia yang semakin liar.

Justeru ibu/bapa perlu mengawasi perwatakan anak-anak terutama si lelaki agar jangan sampai ada ada anak yang menjadi sarang syaitan dibela di dalam rumah.

Mayat Ghaddafi Semakin Membusuk

Misrata, Libya - Mayat bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mula mereput dan berbau busuk selepas empat hari ditempatkan di dalam sebuah bilik sejuk simpanan daging di sini sejak Khamis lalu.

Pejuang-pejuang yang mengawal jenazah Gaddafi dan anak lelakinya, Motassim bertindak meletakkan lapisan plastik di bawah jenazah mereka ekoran cecair mayat mula mengalir di dalam bilik sejuk beku sebuah pasar tempat kedua-dua jenazah itu disimpan.

Warna kedua-dua mayat itu menjadi semakin hitam selepas tidak dikebumikan selama empat hari.

Para pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mula memberikan topeng bedah kepada para pelawat untuk melindungi daripada terhidu bau busuk yang tersebar ke dalam bilik sejuk beku tersebut.

"Tuhan mencipta firaun sebagai teladan kepada manusia lain," kata seorang penduduk, Salem Shaka yang melawat kedua-dua jenazah itu semalam.

"Jika beliau seorang yang baik, kami pasti akan mengebumikannya.

Namun, beliau sendiri yang memilih jalan ini (jalan kehancuran)," tambahnya.

Gaddafi dan anak lelakinya, Motassim mati dibunuh di bandar kelahiran Gaddafi, Sirte selepas mereka ditangkap pada Khamis lalu.

Seorang lagi lelaki menyatakan dia memandu sejauh 400 kilometer untuk melihat mayat Gaddafi.

"Saya datang ke sini untuk memastikan dengan mata saya sendiri. Semua penduduk Libya mesti melihatnya," katanya.

Pengebumian Gaddafi masih menjadi perbalahan dalam kalangan anggota-anggota NTC yang memerintah Libya buat sementara waktu.

Para pemimpin NTC mahu mayat Gaddafi dikebumikan di sebuah lokasi rahsia supaya makamnya tidak dipuja.

Namun, suku kaum Gaddafi mahu mayatnya dikebumikan di bandar kelahirannya di Sirte. - Reuters

Ulasan GB

Adalah tidak wajar untuk menyamakan Ghaddafi sebagai Firaun kerana Firaun itu jelas engkarnya kepada Allah s.w.t. sedangkan Ghaddafi dikenali sebagai da'ei antarabangsa yang dibenci oleh dunia barat.

Terpengaruh dengan daayah pemimpin dunia barat, ramai umat Islam sendiri diperangkap dan terperangkap menganggap Ghaddafi sebagai musuh Islam yang kononnya mempunyai harta berbillion sedangkan buktinya sehingga kini belum ditemui.

Sepertimana yang GB pernah utarakan di dalam ulasan GB sebelum ini:

Terdapat laporan sebelum ini menyatakan mayat Gaddafi ditelanjangkan, malah diseret dan diberikan penghinaan oleh para pejuang NTC.

Jika laporan itu benar, maka bererti ia sudah keterlaluan. Apatah lagi tembakan dilakukan tatkala Gaddafi sudah mengeluarkan perkataan rayuannya "jangan tembak, jangan tembak...".

Hadith Nabi saw: Dari 'Aisyah Radliyallaahu 'anhu bahwa Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam bersabda: "Janganlah mencaci maki orang-orang yang telah mati, kerana mereka telah sampai pada balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan." Riwayat Bukhari.

Jika dicacimaki orang yang telah mati itu tidak dibolehkan, apatah lagi disakiti, dikasari dan diaibkan mayat Gaddafi itu.

Dari 'Aisyah bahwa Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam bersabda: "Mematahkan tulang mayit adalah sama halnya dengan mematahkannya dalam keadaan hidup." Riwayat Abu Dawud dengan sanad menurut syarat riwayat Muslim.

Kemurkaan Allah sengaja ditempah oleh rakyat Libya.


Apa yang dilakukan oleh mereka yang dikatakan "pejuang Libya" itu tidak pernah dilakukan oleh Nabi kita di dalam mana-mana peperangan walaupun terhadap musuh Islam paling jahat.

Justeru tiada justifikasi apa pun untuk memperlakukan mayat Ghaddafi sedemikian rupa selain dari hanya mendengar propaganda pemburukan watak beliau oleh dunia barat kerana bencikan Ghadaffi lantaran dakwah Islamnya.

Jabatan K'jaan Persekutuan Di Kelantan Sengaja Tak Gunakan Peruntukan Untuk Majukan Kelantan

Pretasi perbelanjaan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) negeri Kelantan adalah tidak memuaskan kerana daripada RM1.70 bilion yang diperuntukan bagi 10 jabatan, hanya RM715.23 juta atau 42.1 peratus telah dibelanjakan setakat Disember lalu.

Bagaimanapun, menerusi laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan hari ini, analisis audit menunjukkan enam jabatan telah mencapai prestasi perbelanjaan melebihi 50 peratus.

Enam jabatan itu adalah Pejabat Pembangunan Negeri (RM214.35juta), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri (RM9.02 juta), Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan (RM101.94 juta), Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (RM29.97juta), Jabatan Pertanian Negeri (RM12.65 juta) dan Jabatan Perikanan Negeri (RM2.16 juta).

Sepanjang tempoh RMK-9 sebanyak 196 program telah dirancang untuk dilaksanakan. Daripada jumlah itu 134 program atau 68.4 peratus telah siap sepenuhnya.

“Manakala 51 projek atau 20 peratus sedang dilaksanakan. Sebanyak 11 program atau 5.6 peratus lagi masih belum dimulakan. Prestasi pelaksanaan projek sehingga akhir tahun 2010,” kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dalam lapuran tersebut.

Jabatan Perhutanan Negeri mencatatkan jumpah program tertinggi dengan 60 dan 42 program telah pun siap. Diikuti dengan Pejabat Perbendaharaan Negeri dengan 25 program manakala 8 program sedang dilaksanakan.

Kumpulan wang disatukan

Sementara itu, kedudukan keewangan kerajaan negeri mengikut lembaran imbangan, Kumpulan Wang Disatukan pada akhir 2010 adalah berjumlah RM148.30 juta.

Jumlah itu terdiri daripada aset berbentuk wang tunai sejumlah RM131.97 juta dan pelaburan RM16.33 juta.

“Analisis Audit mendapati Kumpulan Wang Disatukan kerajaan negeri telah mengalami peningkatan ketara sejumlah RM51.07 juta atau 52.5 peratus iaitu daripada RM97.23 juta pada 2009 menjadi RM148.30 juta 2010. Peningkatan antara lain disebabkan peningkatan baki Akaun Amanah disatukan berjumlah RM54.53 juta atau 10.2 peratus pada 2010 iaitu RM589.87 berbanding RM535.34 juta pada 2009.

“Baki Wang Tunai pada 2010 berjumlah RM131.97 juta berbanding RM79.60 juta pada 2009. Analisis perbandingan kedudukan wang tunai pada 2009 dan 2010 menunjukkan peningkatan berjumlah RM52.37 juta,” katanya.

Pinjaman ke atas kerajaan persekutuan meningkat

Kerajaan negeri dari semasa ke semasa menerima pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek pembangunannya.

Pada tahun 2010, baki hutang Kerajaan negeri meningkat sejumlah RM118.25 juta atau 11.9 peratus menjadi RM1,112 juta berbanding RM993.75 juta pada 2009.

Peningkatan ini disebabkan oleh Kerajaan negeri mendapat pinjaman baru daripada kerajaan persekutuan bagi projek membaikpulih loji rawatan pembentungan berjumlah Rn14.63 juta dan peningkatan pinjaman bagi projek bekalan air dari RM482.82 juta pada 2009 kepada RM589.74 juta pada tahun 2010.

Malah pada 2010 kerajaan negeri telah menghapuskan kira tunggakan hasil sejumlah RM0.38 juta yang merupakan cukai hiburan (bola sepak) yang dikenakan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sejak tahun 2003.

“Analisis perbandingan antara kutipan hasil sebenar pada tahun 2010 berbanding tunggakan hasil pada tahun 2010 mendapati prestasi kutipan hasil 2010 adalah memuaskan kerana kutipan hasil meningkat sejumlah RM44.83 juta dan tunggakan hasil turut mencatatkan peningkatan sejumlah RM0.23 juta,” katanya.

Apa Kejadah RM4 Juta Beli Kuda Tapi Tak Boleh Berlumba, Beli Teropong Harga 29 Kali Ganda?

Sebanyak 18 ekor kuda dibeli dengan kos hampir RM4 juta oleh Majlis Sukan Negara (MSN) tetapi tidak dapat diturunkan dalam persaingan World Endurance Championship (WEC) 2008 sebab tidak memenuhi syarat kelayakan termasuk masalah kesihatan.

Hanya lima ekor kuda layak untuk bersaing dalam kejohanan tersebut.

Kesemua 23 kuda itu dibeli dengan kos RM5.66 juta.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut “pihak Audit dimaklumkan 18 ekor kuda dengan kos perolehan berjumlah RM3.94 juta tidak layak bertanding kerana tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Persekutuan Equestrian Antarabangsa.”

“Ini disebabkan kuda yang dibeli tidak mendapat latihan yang mencukupi memandangkan peroleh kuda dibuat dua bulan sebelum kejohanan.

“Di samping itu beberapa ekor kuda juga mengalami kecederaan sebelum kejohanan bermula,” kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Pada Februari 2007, MSN telah diminta untuk membeli enam ekor kuda bagi tujuan WEC 2008 dengan mendahulukan peruntukan sedia ada dan agensi itu telah membelanjakan RM1.98 juta bagi tujuan itu.

Pada Jun tahun yang sama, Kementerian Belia dan Sukan telah menetapkan spesifikasi dan bilangan kuda untuk ditambah sebanyak 17 ekor lagi menjadi 23 ekor untuk pertandingan tersebut.

Kata beliau, pada pandangan Audit perancangan perolehan kuda hendaklah dibuat secara teliti dengan mengambil kira tahap kesihatan dan kebolehan kuda untuk bertanding.

“ISN (Institut Sukan Negara) sepatutnya merancang perolehan dengan mengambil kira tempoh latihan yang diperlukan bagi setiap kuda untuk memenuhi syarat kelayakan FEI.

“Ini menyebabkan sebahagian besar kuda yang diberi tidak dapat menyertai (World Endurance Championship) WEC 2008,” katanya.

Kata laporan, walaupun usaha dilakukan untuk memastikan kuda tersebut sihat, kesihatan kuda tidak dapat dijamin sempurna sepanjang masa.

Laporan Audit berkata pihaknya mendapati ISN perlu memastikan perolehan kuda digunakan untuk menyertai kejohanan peringkat antarabangsa dan pembangunan sukan berkuda bagi tempoh tertentu sebelum diserahkan kepada agensi kerajaan yang lain. -TMI


Harga binocular zoom 29 kali lebih tinggi


Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan RM56,350 bagi sepasang ‘binocular marine’ atau teropong visi malam, 29 kali lebih tinggi daripada harga pasaran bernilai RM1,940, dedah Laporan Ketua Audit 2010.

Jabatan itu juga membayar jumlah yang sama bagi sepasang binocular visi malam jenama Bushnell, atau 1,893 peratus lebih tinggi daripada harga sebenar RM2,827.

Ia juga didapati ‘terlebih bayar’ RM38,470 dan RM13,918 bagi set radar Colour Marine berharga RM8,255 dan sebuah TV LCD dengan pemain cakera DVD bernilai RM16,100 dan RM2,182 masing-masing.

Barangan lain termasuk:

Komputer riba dan pencetak warna berharga RM3,428 pada harga RM11,845 (lebihan 246 peratus)

Hand-held portable VHF Transceiver berharga RM1,561 pada harga RM4,324 (lebihan 177 peratus)


“Semakan Audit mendapati tiada bukti JTLM telah membuat kajian pasaran sewajarnya. Bagaimanapun pihak JTLM mempunyai anggaran harga jabatan yang tidak dapat dikenal pasti asas perkiraannya.

“Analisis Audit mendapati perbezaan harga yang ketara antara 177 peratus hingga 2,805 peratus terhadap kadar harga yang ditetapkan dalam kontrak berbanding anggara harga pasaran,” petik laporan itu.



Mara ditegur beli peralatan pada harga tinggi

Di sebalik membelanjakan peruntukan RM54 juta untuk menyediakan kursus latihan bagi golongan miskin tegar, Majlis Amanah Rakyat (MARA) membelanjakan wang untuk mendapatkan peralatan tertentu - seratus peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran.

Laporan Audit 2010, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, menyatakan bahawa dana yang disediakan di bawah program rangsangan ekonomi kedua untuk membantu golongan miskin meningkatkan pendapatan mereka.

Berikut beberapa barang yang dilaporkan dalam laporan berkenaan:

# Ketuhar berharga RM1,200 berbanding harga pasaran RM419, untuk membuat roti dan pastri bagi kursus di Kelantan

# Katil Boleh Lipat berharga RM500 berbanding harga pasaran RM100
Dapur gas dua pembakar pada harga RM200 setiap satu, dan bukannya RM59.90

# Mesin gunting rambut yang dibekalkan pada harga RM250 setiap satu, dan bukannya RM79

# Pengisar pada RM140 dan bukannya sebanyak RM60


Katil boleh lipat itu digunakan untuk kursus urutan secara tradisional bagi ibu selepas bersalin dan mesin gunting rambut digunakan untuk kursus menggunting rambut.

Laporan tersebut mencatatkan bahawa sebahagian besar pembelian dibuat melalui rundingan terus, tidak melalui tender terbuka - dan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

Prosedur operasi standard tidak dibentangkan sebelum lembaga pengarah MARA meluluskannya,
kata laporan itu.

Laporan itu juga memberi komen bahawa Giatmara perlu menyatakan prosedur operasi standard secara mendalam dan terperinci bagi program yang hendak dijalankan di seluruh negara.

Beli peralatan, bekalan eletrik tiada

Laporan itu turut mencatatkan pembelian beberapa peralatan untuk peserta kursus yang dibuat tanpa mengambil kira keperluan yang betul.

Sebagai contoh, di Kapit, Sarawak, ketuhar dan mesin jahit disediakan tetapi tiada bekalan elektrik di pusat latihan tersebut.

Laporan itu juga mencatatkan beberapa peralatan termasuk pengadun dan pengisar yang dibeli di bawah tahap keupayaan sebenar untuk digunakan mengadun kek dan oleh itu, ia tidak boleh digunakan.

Giatmara juga membeli pengisar untuk mencampur makanan ikan dengan spesifikasi yang rendah dan peserta kursus boleh secara mudah mendapat makanan ikan di Perak.

Laporan Audit Negara mencadangkan Giatmara membuat penilaian sesuatu peralatan yang hendak dibeli mengikut kapasiti dan kesesuaian bagi mencapai hasratnya. -mk


Ulasan GB

Sudah nyata ada ketirisan yang besar di dalam pelbagai Jabatan di pelbagai Kementerian kerajaan pusat untuk menghabiskan dan menjahanamkan wang rakyat.

Berlaku salahlaku dan rasuah yang ketara. Memberi erti NKRA (untuk mengurangkan rasuah) kepunyaan Najib tercampak ke tong najis.

Siasat dan tangkap segera mereka yang terlibat.