9 Okt 2011

[Bergambar] Himpunan 109 Lynas: UMNO Terdesak Guna Pelajar PLKN Ganggu Demo Lynas

Kuantan, 9 Okt - Orang ramai yang hadir ke Himpunan 109 di Taman Gelora dekat sini terkejut bila hampir 50 orang anggota polis dikerahkan berkawal pada program itu pagi tadi.

Ramai yang tidak menyangka pihak polis begitu prihatin mengawal keadaan yang langsung tidak mencemaskan dan mengganggu keselamatan itu sebenarnya.

"Saya datang sejak awal pagi untuk sokong program ini. Pada awalnya keadaan terkawal dan acara dapat berjalan dengan lancar. Cuma sekitar jam 7.30 pagi, anggota polis dilihat menghampiri kawasan ini. Ia menakutkan kami yang datang ke sini untuk berhimpun secara aman. Apapun saya ucapkan tahniah kepada pihak polis kerana tidak melakukan apa-apa tindakan yang memudaratkan. Mereka hanya berkawal sahaja", kata seorang peserta himpunan dari Indera Mahkota.

Tinjauan PDO mendapati, hampir dua ribu rakyat Kuantan telah hadir menyokong program tersebut. Difahamkan perhimpunan terbabit pada mulanya mendapat permit kelulusan daripada pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Namun ia ditarik balik atas arahan seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang lewat malam tadi. Malah, ditapak terbabit juga turut diarahkan program yang melibatkan ratusan pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) berhimpun.

Kesemuanya bertujuan untuk mengganggu kelancaran Himpunan Hijau 109. Ia terbukti dengan tindakan mereka mengguna alat pembesar suara yang bersaiz besar dengan bunyi yang kuat bagi tujuan demikian.

Ditambah lagi dengan kehadiran beberapa orang pemimpin dan penyokong UMNO serta ahli-ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) ke lokasi terbabit.

Tindakan berkenaan jelas sekali mengecewakan orang ramai, malah mereka hairan kenapa senario seperti ini boleh berlaku. Persembahan senamrobik dan hiburan dilakukan pada dua tempat di kawasan berkenaan dari awal pagi sehinggalah ke tengahari.

Terdapat juga beberapa orang wakil Kerajaan Negeri Pahang termasuk Setiausaha Politik Menteri Besar, yang dilihat mundar-mandir di kawasan terbabit.

Mungkin dek kerana bilangan peserta yang agak ramai, maka provokasi melampau seperti yang berlaku di Hotel Hyatt, Teluk Chempedak sebelum ini tidak berlaku.

Semua yang hadir jelas cuba melakukan sesuatu untuk menggagalkan perhimpunan aman berkenaan. Namun segalanya tidak menjadi dan mereka hanya menyaksikan ia dari jauh sahaja.

Mungkin dek kerana melihat begitu ramai kehadiran media antarabangsa termasuk Astro Awani yang berada di situ agaknya. Ramai pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO dilihat hadir beramai-ramai memberikan sokongan.

Antara mereka ialah YB Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan), Tan Bun Teat (Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas), Andansura Rabu (Pengerusi BADAR), Dato' Ambiga Sreenevasan (Pengerusi Bersih 2.0) termasuk juga wakil Ahli Parlimen Australia (Green) iaitu Robin Chapple, Wong Tat, See Ping (SEPA's) dan lain-lain pemimpin NGO serta kepimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

Perhimpunan yang sepatutnya berakhir pada jam 9.00 pagi itu terpaksa disuraikan akibat tindakan pihak polis mengarahkan pemimpin tertentu berucap degunakan alat pembesar suara.

orang ramai pada awalnya, enggan berganjak dan membina perisai manusia untuk menghalang tindakan tersebut. Namun akibat ditolak oleh beberapa orang anggota polis yang merempuh akhirnya mereka terpaksa akur.

Sebelum bersurai laungan "Hidup Rakyat" disuarakan beberapa kali oleh orang ramai yang kecewa dengan sikap pihak polis itu. Arahan bersurai telah dibuat oleh Ketua Polis Daerah Kuantan sendiri, ACP Mohd Jasmani Yusof.

Selepas program berakhir di Taman Gelora, satu sidang media khas telah diadakan di Restoran Mexica, Seri Dagangan Kuantan (berhadapan dengan Megamall Kuantan) selepas itu.

Antara pimpinan yang hadir ialah YB Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan), Tan Bun Teat (Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas), Andansura Rabu (Pengerusi BADAR), Dato' Ambiga Sreenevasan (Pengerusi Bersih 2.0) termasuk juga wakil Ahli Parlimen Australia (Green) iaitu Robin Chapple, Wong Tat, See Ping (SEPA's) dan lain-lain lagi. Media antarabangsa turut hadir.

[Apa yang jelas dapat disaksikan Himpunan Hijau 109 yang diadakan hari ini telah berjaya mencapai matlamatnya. Biar pun ada gangguan dan tidakan provokasi pihak-pihak tertentu, namun kebijaksanaan anggota polis dibawah pimpinan OCPD Kuantan, ACP Jasmani Yusof haruslah dipuji.

Rakyat perlu tahu, mereka mendapat arahan dan tekanan daripada pihak atasan yang takut gelombang suara rakyat terus bergema menentang projek berisiko tinggi termasuk Lynas di negeri ini.

Sokongan rakyat dari pelbagai bangsa dan agama jelas membayangkan Kerajaan Negeri Pahang masih gagal mendapat sokongan penuh rakyat dalam isu Lynas sebenarnya.

Langkah menghantar beberapa orang pemimpin UMNO dan NGO terbabit dengan membawa bersama acara hiburan yang melibatkan pelatih PLKN jelas sekali sesuatu yang tidak wajar sebenarnya.

Kerajaan boleh gunakan Stadium Darul Makmur jika mereka mahu mengadakan program yang serupa dengan mengajak rakyat menyokong Lynas. Kenapa perlu gunakan pasukan polis untuk menghalang suara rakyat dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini.

Bantahan rakyat kini semakin memuncak menjelang Pilihanraya Umum ke-13 akan datang. Jika tersilap langkah BN pasti akan kecundang di Pahang] -PDO




Pelatih PLKN Kem Hijrah Pekan diangkut bagi menganggu program itu
Ia telah mengganggu peserta Himpunan Hijau 109 untuk berhimpun secara aman.


Sidang media yang diadakan di Restoran Mexica selepas program tersebut. Kehadiran Ahli Parlimen Australia Mr.Robin Chapple mendapat perhatian

Pengerusi Bersih 2.0, Dato' S. Ambiga juga turut hadir memberi sokongan

Tindakan pihak polis mendapat bantahan daripada orang ramai yang hadir
Kelihatan OCPD Tuan Jasmani arahkan tan Bun Teat berhenti berucap









Mohd Sabu Ulas Insiden Labis: Tindakan Provokasi Amalan Primitif

Labis - Tuan Haji Mohammed Sabu, Timbalan Presiden PAS menyifatkan tindakan pihak yang cuba melakukan provokasi pada majlis ceramahnya di Labis seolah-olah masih berada di alam primitif.

''Kita kena keluar dari alam primitif. Berlawanlah dengan hujah.'' tegasnya.

Mohammad atau dikenali sebagai Mat Sabu menegaskan perkara ini dengan katanya adalah suatu yang tidak bertepatan dengan amalan demokrasi dalam negara ini dengan cara mengganggu majlis orang lain.

''Kita memilih jalan pilihan raya. Ini cara amalan demokrasi bukan mengancam majlis orang. Ini tindakan yang tak betul.'' ujarnya.

Semalam Mtd Pas Benut melaporkan wujudnya cubaan menggagalkan majlis ceramah sehingga mengakibatkan seorang petugas Jabatan Amal cedera dibaling batu sewaktu bertugas mengawal lalu lintas di Labis.

Beliau menambah lagi dengan katanya amalan demokrasi yang sihat adalah memberi ruang kepada rakyat melakukan perbandingan dengan penyampaian dasar parti masing-masing, bukan membuat 'kacau'.

Sebaliknya menurut beliau lagi dengan menimbulkan ketegangan itu, ia tidak mendatangkan kebaikan bahkan lebih memburukkan lagi keadaan.

''Kalaulah UMNO buat penerangan, kami tak menghalang untuk pergi dengar. Dia (UMNO) buat sebelah sana. Kita (PAS) buat sini. Buat perbandingan. Inilah amalan demokrasi yang sihat. Kalaulah UMNO buat ceramah, Unit Amal ganggu, sayapun tak setuju'' terangnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapannya pada majlis pelancaran Gerakan Kebangkitan Peneroka Kebangsaan (BANGKIT) dan Kempen Mansuhkan Hutang Peneroka di Dataran Cikgu Mala, Pekan Labis, dekat sini, jumaat lepas.

Beliau berkata lagi bahawa negara-negara maju dilihat jauh lebih matang dalam pengamalan demokrasinya dan mengharapkan agar negara ini mengikut cara yang diamalkan oleh kebanyakan negara dalam dunia.

''Kalau kacau orang dengan cara yang tak elok ini bukan amalan demokrasi bagi negara maju seperti Eropah, Jepun. Semua orang dah keluar dari alam primitif. Berlawanlah dengan hujah.

''Sudahlah guna tv-radio. Tak cukup, guna akhbar. Kita tak kisah. Kita harap, kita dah lama merdeka, kita sudah semakin matang bukan makin teruk''
ujarnya lagi.

Pada majlis yang sama kaunter pendaftaran ahli baru dibuka kepada orang ramai dengan melibatkan beberapa NGO seperti BANGKIT, KERABAT, ANAK dan Jabatan Amal.

Hadir sama, Dato' Dr. Mahfodz Mohammed, Pesuruh jaya PAS Johor, Saudara Mazlan Aliman, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hj. Adly Zahari, Pesuruh Jaya PAS Melaka. -fb mtdpasbenut

Perkasa Cemburu Namewee Kebal Undang-undang

Naib Ketua Wira Perkasa, Nurul Izham Anuar menggelar kerajaan sebagai `serigala hilang taring’ kerana takut bertindak ke atas Namewee yang kini menjadi pengarah filem Nasi Lemak 2.0.

“Namewee ini bebas buat apa sahaja selepas dimaafkan,” katanya.

Menurutnya, pandangan beliau itu bukan kerana Namewe seorang yang berketurunan Cina.
Beliau bertanya adakah Namewee dihukum atas kesalahannya mempersendakan lagu Negaraku dan azan?

“Jawabannya tidak. Namewee terus kebal, tiada tindakan diambil ke atas penghinan Negaraku sehingga kini.

“Mengapa dia begitu kebal,? tanya Nurul.

Namewee pernah mencetuskan kontroversi pada tahun 2009 apabila menyanyikan lagu Negarakuku ketika belajar di Taiwan.

Contoh buruk

Beliau berkata, pendirian Wira Perkasa mengenai perkara itu adalah jelas dan konsisten.

Katanya, Namewee adalah contoh yang buruk untuk diikuti oleh generasi baru dan kerajaan tidak seharusnya membiarkannya mempersendakan kerajaan dan rakyat.

Menurutnya, Wira Perkasa sangat khuatir apa yang dilakukan Namewee iaitu dengan hanya memohon maaf maka sesuatu itu boleh dianggap selesai.

Nurul juga mendakwa, Namewee mendapat perhatian istimewa kerajaan dalam pelbagai isu.
“Apa yang hebatnya lelaki ini diberikan perhatian begitu? Kita juga tidak ralat sekiranya ramai lagi Namewee bakal lahir selepas ini,” tambahnya. -FMT

Ulasan GB

Selama ini Perkasa yang kebal undang-undang walaupun mereka mengancam keselamatan dengan isu-isu perkauman sempit tak sedarkah?

Waspada: Kurang Tidur Boleh Sebabkan Penyakit Jantung Dan Angin Ahmar

Kajian terbaru menunjukkan tidur nyenyak dan mencukupi pada waktu malam penting untuk kecergasan fizikal dan mental tetapi kini masalah tidur tidak cukup semakin meningkat, dengan penyelidikan membuktikan seorang daripada setiap lima orang, berasa letih luar biasa dan seorang daripada 10 mengalami keletihan berpanjangan.

Pengarah Pusat Tidur Universiti Glasgow, Profesor Colin Espie, berkata tidur ialah cara semula jadi yang membekalkan rehat, pemulihan dan tenaga kepada manusia dan tiada sesuatu lain yang melakukan perkara sama.

Bagaimanapun, ramai daripada kita menganggap tidur cuma satu komoditi. Kita tidak menghormati pengambilan tidur nyenyak mencukupi, menganggap ia seperti pengacau.

Mendapatkan tidur nyenyak pada waktu malam tidak pernah dianggap penting, katanya.

Menurut kajian Universiti Warwick menunjukkan mereka yang tidur kurang enam jam sehari dan terganggu berisiko 48 peratus menghidap atau meninggal dunia akibat sakit jantung dan 15 peratus risiko menghidap atau mati akibat serangan angin ahmar.

Amalan tidur lewat dan awal pagi sebenarnya umpama bom jangka kepada kesihatan. Jadi, bertindak sekarang untuk mengurangkan risiko menghidap penyakit membahayakan nyawa seperti itu, kata penulis bersama kajian, Profesor Francesco Cappuccio.

Lelaki berusia lebih 65 tahun yang kurang tidur nyenyak yang cukup berisiko tinggi mendapat tekanan darah tinggi, menurut kajian terbaru Fakulti Perubatan Harvard.

Kajian ke atas 784 pesakit, yang disiarkan dalam jurnal Hypertension, mendapati mereka yang kurang mendapat tidur nyenyak berisiko 83 peratus mendapat penyakit itu berbanding yang tidur nyenyak yang panjang.

Tekanan darah tinggi meningkatkan risiko serangan jantung, angin ahmar dan masalah kesihatan lain.

Kurang tidur menyebabkan tekanan pada tubuh, memaksa jantung berdegup lebih pantas, kata pakar. Namun tidur yang terlalu panjang, lebih sembilan jam, mungkin juga menjadi petanda kepada penyakit termasuk kardiovaskular.

Satu kajian ke atas 472 pesakit obes, yang disiarkan dalam International Journal of Obesity, membabitkan peserta memakan 500 kurang kalori setiap hari, disertai senaman kebanyakan hari. Mereka yang tidur terlalu pendek atau terlalu lama kurang kehilangan berat badan dalam tempoh enam bulan. Agensi

Buaya Masuk Jerat

Bekenu: Selepas penemuan bangkai seekor buaya terapung di Sungai Niah di Kampung Sepupok Niah dan Kampung Dagang, hujung bulan lalu, penduduk gempar lagi dengan penangkapan reptilia ganas itu oleh seorang lelaki di Sungai Niah, di sini, kelmarin. Gambar fail

Buaya sepanjang hampir lima meter itu berjaya ditangkap selepas termakan umpan ayam dipasang seorang pekebun dikenali sebagai Choa Hui, 56, berikutan tidak tahan dengan kemunculan reptilia berkenaan yang sering dilihat di permukaan sungai.

Menurut sumber, Choa dikatakan memasang umpan ayam jam 6 petang menggunakan mata kail terbesar serta wayar elektrik.

Difahamkan, umpan dipasang akhirnya mengena buaya berkenaan sebelum Choa meminta bantuan beberapa penduduk kampung menangkap reptilia itu.

Choa bersama penduduk dikatakan mengambil masa sejam sebelum buaya itu berjaya dibawa naik ke darat, jam 9.30 malam lalu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Miri dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, penduduk di kampung berdekatan sering terserempak reptilia berkenaan yang dikatakan turut membaham anjing yang menghampiri tebing sungai.

Malah, kemunculan buaya itu menjadi perkara biasa bagi segelintir penduduk, khususnya yang mendiami tebin sungai, dan situasi itu membimbangkan mereka.

Sementara itu, jurucakap SFC ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, buaya berkenaan masih dalam jagaan pihaknya untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, buaya jenis katak atau nama sainstifiknya Crocodylus Porocus dipercayai sudah lama menghuni sungai itu, justeru penduduk diminta berhati-hati bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Penangkapan buaya itu turut menarik perhatian ratusan penduduk yang keluar rumah meskipun hari hujan bagi melihat dengan lebih dekat. -hm

Pasangan Dicekup Di Chalet, Ada Coli Atas Katil

Kampung Raja – Walaupun berkelulusan tinggi, namun seorang wanita yang sedang menjalani latihan amali di sebuah resort di daerah ini tidak dapat mengawal nafsu hingga sanggup berkurung dalam bilik bersama teman lelaki di sebuah chalet di Pantai Air Tawar di sini tahun lalu.

Pelajar politeknik di Pahang berusia 21 tahun itu mengambil peluang bersama pasangan sebayanya itu dipercayai setelah mereka lama tidak berjumpa kerana tinggal berjauhan, memandangkan tertuduh lelaki bekerja di Selangor.

Namun perbuatan tidak bermoral mereka berjaya dihidu pihak berkuasa menyebabkan mereka ditahan ketika berdua-duanya di dalam bilik tersebut jam 2.30 pagi 30 Julai tahun lalu.

Tertuduh wanita berkenaan berasal dari Seri Gombak Indah, Batu Caves dan pasangannya seorang kerani am rendah beralamat di Taman Batu Caves, Selangor dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini kelmarin dan dijatuhkan hukuman denda RM2,500 setiap seorang selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof.

Mohd Nazri turut memerintahkan mereka dipenjara selama sebulan jika gagal membayar denda dikenakan.

Kedua-dua pasangan itu dituduh di bawah Seksyen 31 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.

Menurut fakta kes, sepasukan anggota penguat kuasa yang membuat pemeriksaan di sebuah bilik di chalet itu mendapati keadaan dalam bilik gelap dengan pintu tertutup rapat dan berkunci, namun terdapat sebuah motosikal diletakkan di depan bilik tersebut.

Pegawai penguat kuasa memberi salam dan mengetuk pintu selama tiga minit, kemudian tertuduh lelaki cuba melarikan diri melalui pintu belakang namun gagal kerana chalet itu telah dikepung.

Namun akhirnya tertuduh lelaki membuka pintu dan penguat kuasa mendapat lelaki itu memakai kemeja T dengan seluar boxer, manakala pemeriksaan mendapati tertuduh perempuan duduk berhampiran katil sambil menangis.

Kata Nik Mohd shahril Irwan lagi, perempuan itu memakai seluar slek dan baju sejuk tanpa tudung, manakala di atas katil ada sehelai kemeja T dan coli.


Penguat kuasa turut merampas sehelai boxer dan coli berwarna kuning serta sehelai kemeja milik kedua-duanya yang dijadikan bahan bukti.

Mohd Nazri turut menegur tertuduh wanita yang berpendidikan tetapi tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk.

Kedua-duanya membayar denda yang dikenakan dan mereka dibebaskan.

Ulasan GB

Khalwat, Zina - sudah macam menjadi fenomena biasa bagi remaja dan anak-anak muda kini. Maksiat bermaharaja lela apabila hukum Islam dipersenda.

Sekarang fikir bagaimana bertindak segera untuk kembali "membersihkan" persikitaran kita yang penuh noda dan dosa.

Ingat pesan Nabi:

"Apabila maksiat sudah merajalela di kalangan umatku, Allah akan menurunkan siksa dari sisi-Nya kepada mereka secara merata..." -HR. Ahmad

Tugas setiap umat Islam, mencegah kemungkaran dengan apa cara sekalipun yang termampu sebelum Allah swt turunkan bala.

Mahasiswi Kaherah Dari Malaysia Dikelar Perompak

Seorang mahasiswa perempuan warga Malaysia dikelar dengan pisau selepas bergelut dengan seorang perompak yang menceroboh masuk asrama pelajar berkenaan di Kaherah, Mesir.

Gambar: ROMPAK... asrama tempat mahasiswa Malaysia dikelar dengan pisau.

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin (2.15 pagi waktu Malaysia), pelajar Universiti Al-Azhar itu diserang penjenayah warga Arab yang menceroboh bangunan asrama lima tingkat didiami ratusan pelajar Malaysia.

Lebih malang, kejadian berlaku ketika mangsa mengaji al-Quran sebelum mendengar bunyi mencurigakan di dalam asrama berpunca daripada tindakan suspek mengheret ‘harta rompakan’.

Sumber Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) berkata, mangsa yang cuba memeriksa bagaimanapun diserang dan ditumbuk penjenayah bertopeng yang cuba melarikan melalui tingkap asrama.

Difahamkan, penjenayah bersedia menurunkan plastik berisi barang rompakan milik penghuni asrama melalui bilik di tingkat tiga pangsapuri yang terletak di kawasan Rab’Ah Adawiyah.

Suspek yang dipercayai memanjat bangunan asrama itu mensasarkan komputer riba, telefon bimbit dan pelbagai barangan elektronik berharga milik pelajar Malaysia.

Mangsa yang bergelut dengan penjenayah turut ditumbuk di muka berulang kali sebelum penjenayah melarikan diri selepas mencederakan mangsa dengan pisau.

Tindakan berani suspek bagaimanapun berjaya menyelamatkan pelbagai barangan berharga milik pelajar asrama itu daripada dilarikan penjenayah.

Ketika kejadian, rata-rata penuntut tidak ada di asrama berikutan mengikuti kuliah agama di Masjid Azhar.

Pihak pengurusan asrama yang membuat pemeriksaan kemudian menemui pisau digunakan penjenayah untuk menyerang mangsa dibuang di belakang pangsapuri.

Kejadian terbaru itu antara siri jenayah rompakan dan samun membabitkan penuntut warga Malaysia di negara Mesir selepas kejatuhan Presiden Mesir, Hosni Mubarak, Februari lalu.

Difahamkan, lebih 20 kes rompakan dicatatkan berlaku membabitkan penuntut warga Malaysia yang kembali meneruskan pengajian selepas krisis politik di negara itu berakhir.

Situasi tidak menentu selain peningkatan jenayah menyebabkan 11,319 pelajar Malaysia yang mengambil jurusan pengajian Islam dan bidang perubatan kini dalam kebimbangan dan lebih berhati-hati.

Sebelum ini, seorang pelajar lelaki Malaysia menjadi mangsa rompakan apabila diserang seorang lelaki Arab yang menggigit dan cuba menikam mangsa berseorangan di dalam bilik di asrama pelajar Malaysia, Jun lalu.

Kejadian dikatakan berlaku jam 6 pagi apabila mangsa dikenali sebagai Asada, 20-an, selesai sembahyang subuh dan kembali berehat di dalam biliknya sebelum seorang lelaki tidak dikenali menceroboh masuk menggunakan kunci pendua.

Sementara itu, Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya menghubungi wakil kerajaan negeri di Mesir bagi memantau perkembangan terkini itu yang dilihat membimbangkan.

“Lebih 800 anak Perak antara pelajar Malaysia di Mesir dan saya menghubungi wakil kerajaan negeri di Mesir untuk mendapatkan maklumat mengenai rompakan ini.

“Saya bersyukur selepas dimaklumkan mahasiswa berkenaan bukan anak Perak. Namun sebagai rakyat Malaysia, saya turut bersimpati dan berharap sesuatu dapat dilakukan bagi menjamin keselamatan pelajar kita di Mesir,” katanya kepada Metro Ahad, semalam.

Mohammad Zahir berkata, ibu bapa kepada pelajar dari Perak yang menuntut di Mesir tidak perlu risau mengenai keselamatan anak mereka kerana kerajaan negeri menyediakan dua asrama khas untuk mereka. -hm

Suaram Mahu Menteri KDN Dan Ketua Polis Negara Minta Maaf

Suaram tidak boleh menerima kenyataan Menteri Dalam Negeri, Hishammudin yang menyatakan bahawa isu keganasan polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 diperbesarkan dan pihak polis tidak boleh disalahkan sepenuhnya.

Dalam insiden ini, Menteri Dalam Negeri dan juga Ketua Polis Negara perlu meminta maaf dengan segera diatas penggunaan kekerasan polis untuk bertindak terhadap peserta himpunan Bersih 2.0.

Kerajaan juga perlu membayar pampasan ganti rugi terhadap semua mangsa keganasan polis termasuk keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad yang meninggal dunia semasa dalam perhimpunan tersebut.

Kami mengecam tindakan kerajaan yang membelanjakan sebanyak RM22,855.76 termasuk kos penggunaan 226 peluru gas pemedih mata (TS Shell) dan 36 bom pemedih mata (TS Grenades) untuk menyuraikan peserta perhimpunan aman Bersih 2.0. Tindakan tersebut adalah satu penyelewengan duit rakyat dan adalah tidak professional sekali.

Pengunaan senjata api sebegini jelas melanggari hak rakyat untuk bebas bersuara dan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Deklarasi Hak Asasi Manusia. Selain itu, kerajaan juga melanggari Pinsip Asas Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu dalam penggunaan kekerasan dan senjata api oleh pihak penguatkuasa undang-undang.

Kami inginkan penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri dan juga Ketua Polis Negara, kenapa wujudnya perbezaan jumlah orang yang ditangkap dimana mengikut statistik Kementerian Dalam Negeri (KDN), jumlah orang yang ditangkap adalah 1509 orang padahal kenyataan polis menyatakan sebanyak 1697 orang yang ditangkap.

Suaram berpendirian, KDN dan juga Ketua Polis Negara perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden kekerasan polis yang berlaku pada 9 Julai lalu.

Tindakan memberikan alasan yang tidak munasabah dan tidak mengaku terhadap kesilapan yang berlaku oleh polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 akan mengecewakan rakyat dan menunjukkan kerajaan tidak mempunyai kehendak politik untuk menjalankan penambahbaikkan institusi polis seperti yang diinginkan oleh rakyat jelata.

Fungsi Biro Tatatertib dalam Polis Diraja Malaysia dalam menangani anggota polis yang melanggari garis panduan operasi polis (SOP) sememangnya adalah tidak mencukupi. Ini kerana ia adalah tidak telus dan laporan tatatertib adalah sulit.

Kami menyeru kerajaan pimpinan Najib Tun Razak untuk segera menunaikan permintaan rakyat untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC). Hanya dengan kewujudan suruhanjaya tersebut yang adil dan bebas yang membolehkan institusi polis untuk ditambahbaik dengan berkesan.

Penulis (Yap Heng Lung) adalah penyelaras Suaram

Hisham, IGP: Hanya satu anggota polis langgar SOP

Seorang anggota polis telah dikenalpasti melanggar garis panduan operasi polis (SOP) ketika cuba menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0 di Hospital Tung Shin pada 9 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussien dan Ketua Polis Negara Tan Ismail Omar mengesahkan tindakan tatatertib akan diambil ke atas anggota itu tidak lama lama lagi.

Namun, menurut Hishammuddin, kejadian berkenaan telah diperbesar-besarkan dan polis tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya terhadap situasi semasa perhimpunan menuntut reformasi pilihan raya itu.

Katanya kejadian di Hospital Tung Shin itu adalah hanya "satu daripada enam atau tujuh" kesilapan.

Dalam laporan siasatannya yang didedahkan semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan meriam air polis telah ditembak ke arah penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di tempat meletak kenderaan bertingkat dan pintu masuk utama Hospital Tung Shin. -mk



Kerajaan Perlu Jamin Harga Minyak & Barang Keperluan Tidak Naik Jika Benar Mampu

Kerajaan Persekutuan Mampu Laksana Belanjawan 2012 - Najib

RAWANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sememangnya mampu termasuk daripada segi kewangan untuk melaksanakan Belanjawan 2012 yang dibentangkan di Parlimen semalam.

"Kalau tak ada duit tak kan saya berani bentang semalam. Saya akan melakukan satu perbuatan membunuh diri dari segi politik kalau saya buat, saya bentang satu bajet yang tidak boleh dilaksanakan oleh kerajaan," katanya ketika ditanya sama ada kerajaan mampu melaksanakan Belanjawan 2012.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Mesra Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kundang dan melawat cadangan jalan pintas menghubungkan Kampung Baru Kundang dengan Bandar Tasik Puteri Rawang, di sini Sabtu. Katanya kerajaan memang berkemampuan dan rakyat hanya perlu menunggu pelaksanaannya.

Mengenai Belanjawan Bayangan Pembangkang berjumlah RM220 bilion yang berbeza hanya kira-kira RM10 bilion dengan Belanjawan Kerajaan RM232.8 bilion, Najib berkata soalan mengapa nampaknya nilai belanjawan pembangkang dengan kerajaan semacam hampir sama hendaklah diajukan kepada pembangkang.

"Itu kena tanya dia sebab bajet kita ni cara telus orang tahu, orang tahu bajet kita, barangkali dia tahu bajet kita. Jadi apa yang kita buat dalam lingkungan kemampuan kita dan kemampuan kita pun, kita telah bagi tahu daripada segi apa kita mampu lakukan," katanya.

Mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa pengumuman beliau untuk mengkaji dan menaikkan elaun dan kemudahan anggota parlimen jika disetujui kedua-dua pihak, tidak disokong oleh anggota pembangkang, seperti yang dilaporkan oleh laman Malaysiakini.

Najib berkata beliau difahamkan anggota-anggota Parlimen pembangkang mahukan kajian semula elaun mereka dan beliau hairan Ketua Pembangkang berkata sebaliknya.

Anggota-anggota Parlimen pembangkang apabila berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan anggota-anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) sering meminta supaya kerajaan mempertimbangkan kajian semula elaun wakil rakyat. - BERNAMA

Ulasan GB

Kerajaan BN dicabar jika benar kerajaan mampu untuk melaksanakan Belanjawan 2012 yang lavish dan pemberian "one off" yang keterlaluan sepertimana yang dibentangkan semalam kerajaan perlu jamin bahawa TIADA kenaikan harga minyak dan barang keperluan selepas ini.

Ramai penganalisa berpendapat bahawa pembentangan belanjawan sebanyak RM232.8 bilion semalam terlalu bermotifkan pilihanraya disamping tidak menjelaskan secara telus sumber mana peruntukan yang bakal diperolehi bagi membiayai dan ini menimbulkan keresahan rakyat marhain dimana diramalkan kerajaan bakal menaikkan harga minyak dan menghapuskan subsidi barang keperluan sepertimana yang dilakukan sebelum ini.

Adalah dijangkakan harga minyak petrol dan diesel serta "pelarasan subsidi" barang keperluan seperti beras, gula, minak masak, tepung dan lain-lain bakal dilakukan jika kerajaan memenangan pilihanraya ke 13 nanti bagi melaksanakan semua janji-janji ditunaikan.

34 Pemandu Digantung Kerja Kerana Solat Waktu Rehat

Seattle, Amerika Syarikat (AS) – Seramai 34 pemandu syarikat sewa kenderaan tempatan Hertz digantung kerja kerana bersolat semasa waktu bertugas.

Pihak pengurusan Hertz sebaliknya memberitahu, tindakan disiplin itu diambil kerana mereka menyalahgunakan waktu rehat.

Disokong kesatuan sekerja, semua pemandu terbabit mengadakan protes di luar kaunter syarikat Hertz di Lapangan Terbang Seattle-Tacoma di sini bagi membantah tindakan majikan mereka.

“Penggantungan ini merupakan pencabulan terhadap hak para pekerja terbabit sekali gus satu diskriminasi agama,” kata setiausaha perbendaharaan sebuah kesatuan sekerja tempatan, Tracey A. Thompson.

Menurutnya, penganut agama Islam dituntut melakukan solat sebanyak lima kali sehari.

Namun, pihak pengurusan Hertz ketika mengulas isu penggantungan kerja itu memberitahu, mereka yang terlibat melanggar perjanjian hak pekerjaan saksama yang dipersetujui dua tahun lalu.

“Isu ini tiada kaitan dengan agama. Beberapa pekerja Islam lain tidak digantung kerja kerana mereka mematuhi masa rehat 10 minit yang diberikan untuk bersolat. Mereka yang digantung kerja sebaliknya mengambil rehat lebih panjang,” kata seorang jurucakap syarikat Hertz, Rich Broome.

Menurutnya, kakitangan yang ingin melakukan solat perlu merekodkan waktu rehat mereka dengan menggunakan kad perakam waktu.

Kenyataan tersebut bagaimanapun disangkal oleh seorang pemandu syarikat berkenaan, Zainab Aweis (gambar).

Dalam wawancara bersama akhbar The Seattle Times Zainab memberitahu, beberapa pengurus syarikat Hertz memberitahunya bahawa beberapa kakitangan wanita yang ingin mengerjakan solat telah diarahkan supaya pulang.

“Dia (pengurus berkenaan) berkata, jika anda mahu solat lebih baik anda pulang dan tidak bekerja di sini lagi.

“Saya bertanya kepadanya, adakah ini peraturan baru syarikat, dia seterusnya menjawab, ya,” kata Zainab. - Agensi