16 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Pintu Belum tertutup Untuk Anwar Batalkan Kelayakan Pendakwa

Sekalipun Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam permohonannya untuk melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan berhubung perbicaraan kes liwatnya, namun pintu untuk beliau belum tertutup lagi.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan perkara tersebut kerana Anwar gagal untuk mematuhi syarat-syarat permohonan semakan semula kehakiman.

Hakim berkata, permohonan bagi semakan kehakiman di bawah Peraturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 adalah bagi mencabar satu keputusan, perbuatan atau peninggalan pihak berkuasa.

"Saya memutuskan berdasarkan kes undang-undang, ia mesti ada perbuatan tertentu atau kesalahan tertentu ataupun penyalahgunaan kuasa tertentu.

"Ini adalah perkara dasar bagi sesuatu permohonan semakan kehakiman," katanya.

Anwar memfailkan permohonan untuk melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan dalam kes liwatnya pada 11 Ogos lalu, dengan menyebut alasannya sebagai "sama seperti mempersenda keadilan".

Beliau menamakan Peguam Cara 1 Datuk Idrus Harun, Peguam Cara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, para Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman dan Noorin Badaruddin, Pendakwa Raya dan Kerajaan sebagai responden.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menyatakan keputusannya adalah berdasarkan kepada fakta bahawa Anwar telah membuat permohonannya di mahkamah yang salah.

“Dalam kes ini, Datuk Seri Anwar tidak mencabar mana-mana Akta yang spesifik terhadap tindakan salahguna kuasa atau menyalahi undang-undang oleh seorang pendakwaraya,” katanya, merujuk kepada Peraturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

“Dalam perkataan lain, apa yang pemohon inginkan ialah pembatalan ketujuh-tujuh responden. Pada hemat saya, untuk tujuan permohonan itu, mahkamah yang sesuai ialah mahkamah jenayah dan bukan mahkamah ini,” katanya.

Peguam Anwar, Sivarasa Rasiah mennyatakan hakim berkenaan masih membuka pintu terhadap usaha Anwar untuk melucutkan kelayakan pihak pendakwa.

Sivarasa, yang juga naib-presiden PKR – menambah bahawa Anawar ada dua pilihan.

Beliau berkata Anwar boleh memfailkan satu permohonan baru di bahagian jenayah Mahhkamah tinggi di sini; atau merayu di Mahkamah Rayuan di Putrajaya terhadap keputusan Alizatul.

Era Najib Altantuya : Kahar Bakal Beraya Dalam Penjara

Selepas tiga tahun mengelak daripada dibicarakan, ketua ajaran sesat 'Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad, bakal menyambut Aidilfitri dalam penjara apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini , Rabu memerintahkan supaya dia ditahan sehingga tarikh perbicaraan akan datang.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Shukor Abdul Hamid agar Abdul Kahar, 59, ditahan kerana beberapa kali gagal hadir pada perbicaraan kesnya walaupun waran tangkap telah dikeluarkan.

Mahkamah turut menetapkan 24 Sept ini untuk sebutan bagi menyambung waran tahanan terhadapnya.

Abdul Kahar ditahan pasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 9.45 pagi tadi di Sungai Long, Kajang.

Terdahulu, Abdul Shukor berkata kehadiran Abdul Kahar di mahkamah bukan atas kerelaan atau kesedarannya tetapi kerana telah ditangkap oleh penguatkuasa Jais, dan oleh itu, mahkamah perlu mengeluarkan waran tahanan terhadapnya sehingga tarikh perbicaraan akan datang pada 7 Okt ini.

"Tertuduh banyak kali mengelak untuk hadir ke mahkamah. Walaupun tindakan menahan tertuduh boleh memudaratkan kesihatannya tetapi mahkamah perlu pandang satu lagi kemudaratan lebih besar (iaitu) kepada agama Islam jika tertuduh dijamin," katanya.

Abdul Kahar mendakwa kegagalannya hadir pada perbicaraan sebelum ini disebabkan dia menerima beberapa ugutan bunuh sehingga terpaksa melarikan diri.

Tertuduh berkata sehingga kini dia juga masih gagal mendapatkan khidmat peguam dan memohon mahkamah memberi peluang kepadanya untuk mencari peguam bagi mewakilinya.

"Saya merayu agar mahkamah membenarkan saya dijamin bagi membolehkan saya menyambut hari raya bersama keluarga. Saya bukan nak mengelak tetapi takut dengan ugutan bunuh dan sekiranya saya ditahan saya tidak akan dapat menjalankan tanggungjawab saya kepada keluarga.

"Saya berjanji jika saya dijamin saya tidak akan melakukan apa-apa tindakan termasuk sebar risalah dan juga akan menghadiri perbicaraan," katanya.

Peguam pemerhati bagi Persatuan Peguam Muslim Malaysia Zainul Rijal Abu Bakar ketika merujuk dakwaan ugutan bunuh yang diterima tertuduh berkata, sekiranya tertuduh ditahan dalam penjara, keselamatannya akan terjamin kerana akan dikawal sepanjang masa berbanding jika dia berada di luar tahanan.

Abdul Kahar dituduh telah menyatakan, mendakwa dan mengisytiharkan diri sebagai "rasul orang Melayu di zaman ini" sedangkan pernyataan dan dakwaan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Dia juga didakwa menjelaskan doktrin palsu yang bertentangan dengan hukum syarak berhubung agama Islam, antaranya menyatakan sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar, dan ibadah haji pula sia-sia dan merugikan.

Bagi tuduhan ketiga, Abdul Kahar didakwa mengingkari dan melanggar arahan Mufti iaitu masih menjelaskan amalan dan mengajar Ajaran Kahar Ahmad sedangkan ia telah difatwakan sebagai menyeleweng daripada Islam.

Pertuduhan keempat menyebut bahawa tertuduh didakwa telah mempersendakan amalan Islam dengan menyatakan: "Ibadah haji ialah perkara yang diada-adakan oleh kerajaan Arab Saudi dengan tujuan mengaut keuntungan" dan "Buat apa sembahyang tunggang-tonggek, membebel sendirian dan ia umpama orang mabuk dan berjudi".

Abdul Kahar juga dituduh menyebarkan pendapat dan ajaran, antaranya rasul tidak benar, yang bertentangan dengan hukum syarak dan fatwa yang masih berkuat kuasa di Selangor.

Tertuduh, yang tidak bekerja, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman bernombor 44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Hulu Klang, antara 19 Mei dan 23 Jun 2005.



Era Najib Altantuya : Bagan Pinang Peningkan BN

Barisan Nasional terpaksa berdepan dengan pilihan raya kecil ke-9, selepas kecundang tujuh kali berturut-turut di Semenanjung Malaysia. UMNO-BN bukan sahaja mengekalkan kekalahan dalam PRU ke-12 di kawasan milik Pakatan Rakyat, malah kehilangan kerusi Kuala Terengganu yang asalnya dimenangi dengan majoriti 628 undi.

DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan meletakkan UMNO-BN dalam keadaan yang lebih selesa, dengan majoriti 2,333 undi memihak kepada BN dalam PRU ke-12. Walaupun dari struktur pengundi memperlihatkan satu pertiganya terdiri daripada bukan-Melayu (India 20%; Cina11%), namun kelebihan BN terletak pada "undi pos", yang merupakan satu pertiga daripada jumlah undi keseluruhannya.

Oleh itu, PR sebenarnya lebih sukar untuk menembusi "kubu selatan" UMNO-BN ini. "Keselesaan" BN ini datang dengan risikonya. Seandainya PR berjaya menghakis secara besar-besaran majoriti BN, maka regim ini perlu menyedari bahawa paras oksigennya semakin menurun ke "selatan".

Tetapi seandainya PR berjaya memecahkan tembok di Negeri Sembilan, maka kemungkinan "orang selatan" bakal menarik nafas udara segar dalam PRU ke-13. BN terpaksa berdepan dengan realiti bahawa krisis kredibiliti dirinya belum berakhir, walaupun Abdullah Ahmad Badawi yang dipersalahkan sebelum ini telah menyerahkan kuasa.

Pertikaian integriti calon

"Saya berharap pengalaman pilihan raya kecil sebelum ini dijadikan sebagai iktibar kepada kita, kepada pemimpin Umno dan BN tentang apa yang harus kita lakukan (untuk mencapai) yang terbaik," demikianlah ulasan Perdana Menteri, Najib Razak berhubung pilihan raya kecil yang bakal berlangsung.

UMNO-BN semestinya dihampakan dengan keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir, apabila PAS-PR berjaya mempertahankan "kubu Anwar Ibrahim" walaupun dilontarkan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan. Selain itu, UMNO-BN terpaksa mengaku silap apabila meletakkan Rohaizat Othman sebagai calon, mencungkil pertikaian integriti dan keperibadian calon tersebut.

PR tidak menghadapi banyak kesukaran untuk menundukkan musuh politik yang imejnya tercalar. Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim pernah menyindir dalam satu ceramah ketika berkempen, UMNO-BN gagal mencari walau satu calon yang sesuai dari ahlinya di seluruh Malaysia, untuk bertanding di Permatang Pasir!

Bukan sekadar sindiran dari musuh politik, malah tokoh veteran dalam UMNO sendiri, Tengku Razaleigh Hamzah mempertikaikan pemilihan calon sebegini.

Mohd.Isa Samad bakal calon?

Kini, desas-desus tersebar luas bahawa Mohd Isa B Hj. Abdul Samad bakal diturunkan sebagai calon UMNO-BN di Bagan Pinang. Tokoh veteren ini mempunyai kelebihannya sebagai bekas Naib Presiden UMNO, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, malah bahang pengaruhnya dikatakan masih hangat di Bagan Pinang.

Cuma, Mohd Isa pernah disingkirkan dari kerusi ketiga dalam UMNO, setelah didapati bersalah kerana terlibat dalam politik wang semasa pemilihan UMNO tahun 2004. Mohd Isa digantung keahlian UMNO-nya selama tiga tahun sehingga 23 Jun 2008. Beliau sempat masuk semula ke gelanggang untuk bertanding sebagai naib presiden tahun ini, tetapi gagal akhirnya.

Oleh itu, UMNO-BN kini menghadapi dilema ketika memilih calon. Mohd.Isa mungkin tokoh yang berpengaruh di tempatan, tetapi imejnya yang tercalar boleh dijadikan sasaran serangan dari pihak musuh.

"Sekali lagi, UMNO-BN gagal meletakkan seorang calon yang berintegriti untuk memikat undi rakyat", "ini bukti paling kukuh bahawa UMNO-BN belum bersedia untuk berubah setelah dihukum oleh pengundinya sejak 8 Mac 2008," Demikianlah kata-kata yang dijangka akan terkeluar dari mulut pemimpin PR, seandainya Mohd.Isa tampil sebagai calon akhirnya.

Dilema UMNO-BN

Namun demikian, seandainya UMNO-BN meletakkan calon selain Mohd.Isa atau anak beliau, maka parti ini perlu mengambil risiko seandainya Mohd. Isa bertindak untuk sabotaj kempen UMNO. Sekiranya ketidakpuasan Mohd. Isa meledak bersama pengaruhnya, maka kemungkinan UMNO akan merasai kepedihan. Tetapi, jikalau Mohd.Isa kembali dengan "pengaruhnya", mungkinkah beliau membuka babak baru pergelutan kuasa dalam kerajaan Negeri Sembilan?

UMNO-BN semestinya lebih cermat untuk menghadapi pertarungan ke-9 ini. MCA kini bercelaru dengan pergelutan kuasa yang berlaku di dalam parti, sementara komuniti India mungkin masih membara dengan isu perarakan yang mengheret kepala lembu. Daripada perkiraan sedemikian, UMNO perlu bergantung kepada undi Melayu untuk menang dalam pilihan raya kecil ini.

Walau bagaimanapun, UMNO-BN masih mampu menang dengan memecah-belahkan undi PR, mungkin melalui calon berkaum India yang ditaja secara tidak rasmi, untuk merangkul undi komuniti India. Kita pernah menyaksikan senario "calon paling banyak" dalam pilihan raya kecil Bukit Selambau, April 2009, walaupun akhirnya gagal meleraikan kemenangan PR.

Namun, keadaan mungkin berbeza selepas insiden Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, dan isu pemindahan kuil Hindu di Shah Alam, Selangor. Tokoh Hindraf telah menyatakan ketidakpuasan mereka terhadap PR secara terbuka, dan mempertikai keikhlasan PR menyelesaikan masalah.

Mempertahankan majoriti kerusi

Untuk UMNO-BN, kerusi Bagan Pinang wajib dipertahankan supaya tidak membuka celah kepada PR yang mengintai kuasa kerajaan negeri ini. BN kini berada dalam kedudukan 21-15 kerusi mengatasi PR. Seandainya jurang ini dirapatkan sehingga 20-16, maka PR hanya memerlukan tiga lagi kerusi untuk mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan, mengikut permainan "lompat-melompat" parti.

Kerajaan BN Negeri Sembilan pernah disebut akan tumbang sejak tahun 2008 lagi. Malah, pada ambang 16 September tahun lepas, khabar angin kencang bahawa kerajaan BN di negeri ini bakal ditumpaskan, walaupun mungkin kerajaan pusat belum digulingkan. Sehinggalah Februari tahun 2009, Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak, Ngeh Koo Ham masih cuba "berperang saraf" dengan kerajaan BN apabila mendakwa kerajaan Negeri Sembilan bakal jatuh ke tangan PR.

Namun, perkembangan seterusnya menjadi dramatik apabila kerajaan negeri PR Perak sendiri ditumbangkan melalui rampasan kuasa dengan "melompat parti". Kemelut Perak masih bergelora sehingga kini... apa pula Bagan Pinang seterusnya? -Lim Hong Siang

Era Najib Altantuya : BN vs PR Siapa Dulu Bawa Perubahan, Dia Menang - Daim

Bekas Menteri kewangan Tun Daim Zainuddin menyatakan sekalipun BN sedang mengalami perubahan, perubahan yang berlaku itu terlalu lambat dengan kehendak rakyat.

"Perubahan di BN dalam tempoh yang perlahan. Rakyat berharap untuk melihatnya bergerak lebih pantas dan perubahan yang lebih besar," kata bekas Bendahari UMNO di dalam satu wawancara dengan China Press Ahad lalu.

Beliau berkata telah lebih setahun sejak pilihanraya umum 8 Mac, 2008 dan telah lebih 100 hari Datuk Seri Najib Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, sekalipun keadaan ekonomi ada menampakkan pemulihan, masih banyak yang perlu dilakukan.

"Rakyat ingin melihat perubahan, samada dari BN atau Pakatan Rakyat (PR), siapa yang lebih dahulu berjaya melakukan perubahan akan mendapat sokongan rakyat.

Beliau juga menyatakan 80 peratus dari golongan muda tidak menyokong Barisan Nasional (BN).

Para siswazah menganggur, kebanyakannya Melayu, akhirnya terlibat dengan politik dan mereka menyertai PAS akibat rasa marah kepada kerajaan kerana tidak mempunyai pekerjaan, kata bekas Bendahari Umno itu di dalam temubual dengan China Press Ahad lalu.

Menurut beliau, keadaan sedemikian berlaku kerana kerajaan tidak memupuk bakat yang sepatutnya untuk kehendak pasaran.

Dalam temubual tersebut yang disiarkan oleh The Sun Online Ahad lalu, Daim berkata, universiti-universiti tidak menawarkan kursus-kursus yang menepati dengan kehendak industri mengakibatkan banyak siswazah tidak mempunyai pekerjaan disebabkan apa yang mereka pelajari tidak memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, bukan sahaja golongan muda yang menentang kerajaan, malah kira-kira sejuta dari tiga juta ahli Umno juga tidak mengundi parti itu.

Menurut beliau, ramai ahli Umno yang hilang keyakinan kepada parti itu dan para pemimpinnya.

"Politik wang rasuah adalah masalah terbesar yang dihadapi oleh parti itu," katanya.

Di luar Umno pula, Daim percaya, perpecahan di dalam MCA akan menjejaskan kerjasama dan reformasi di dalam BN.

Rakyat, katanya, tidak menghormati mana-mana parti yang berpecah.

Manakala perubahan di dalam BN pula, katanya, terlalu perlahan untuk memenuhi kehendak rakyat.

"Rakyat mahu melihat perubahan, sama ada di dalam BN atau Pakatan Rakyat (PR), siapa yang lebih dahulu berjaya melaksanakan reformasi akan memenangi sokongan mereka," katanya.

Mengenai kemelut Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), Daim berkata: "Kerajaan mesti menghukum kesemua yang melanggar undang-undang, hanya dengan cara itu ia boleh mengembalikan keyakinan umum".

Pada masa lalu, katanya, rakyat tidak melihat mereka yang menyalahgunakan kuasa dihukum.



Era Najib Altantuya : SKMM Gila Kuasa

Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat portal berita Malaysiakini berhubung klip video demo kepala lembu memperlihatkan salahguna kuasa suruhanjaya berkenaan.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Latheefa Koya menyifatkan tindakan berkenaan dibuat bagi memberi tekanan kepada laman-laman web yang dianggap menjadi masalah kepada Umno Barisan Nasional.

Menurutnya tindakan berkenaan juga bakal memberikan kesan buruk kepada Umno Barisan Nasional dalam usaha mereka cuba mengawal kebebasan penyampaian maklumat khususnya di internet.

“Jelas mereka mengambil tindakan untuk melindungi kes datangnya dari isu kepala lembu untuk melindungi pihak tertentu.

“Setakat ni saya rasa mereka tidak dapat mengawal tetapi akan cuba mengawal. Mereka sudah mula dengan tindakan akta hasutan dan sebaginya itupun sudah terlibat dalam tindakan campur tangan walaupun telah dijanjikan mereka tidak akan campur tangan dalam isu internet,” katanya ketika dihubungi TV Antara.

Latheefa berkata Malaysiakini mempunyai hak untuk tidak tunduk dengan desakan SKMM kerana klip-klip video berkenaan jelas merupakan satu fakta dan bukannya palsu.

Menurutnya, walaupun cuba mengawal internet kerajaan Umno Barisan Nasional mungkin menemui kegagalan.

“Mereka boleh cuba kawal tapi akhirnya penyampaian maklumat yang benar tidak boleh di kawal di internet kecuali mereka ingin menjadi seperti China terdapat tapisan dan jika ia berlaku kita akan ada masalah dalam isu perdagangan bebas dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini seramai 12 lagi kakitangan Malaysiakini disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penerbitan video berkenaan.

SKMM dalam satu suratnya mendesak akhbar web itu menarik balik dua video: Temple demo: Residents march with cow's head (28 Ogos) dan Hisham: Don't blame cow-head protesters (2 Sept).

14 September lalu beberapa NGO dan hak asasi manusia serta penulis blog mengdakan demo bantahan di depan pejabat Malaysiakini terhadap tindakan SKMM.

Pengarah Institut Nasional Untuk integriti Pilihan Raya (NIEI) Amin Iskandar yang memimpin kumpulan berkenaan berkata, mereka mengutuk tindakan SKMM menyiasat 12 kakitangan Malaysiakini.

“Pada 8 Ogos pegawai SKMM menyiasat, tiba di pejabat Malaysiakini di Bangsar Utama untuk mengambil kenyataan kakitangan Malaysiakini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, editor, wartawan, jurukamera dan seorang kakitangan teknikal yang terlibat dalam penghasilan video kepala lembu di hadapan pejabat Bangunan Setiuausaha Kerajaan Negeri Selangor, dan Sidang Media Menteri Keselamatan Dalam Negeri Hishamuddin pada 2 September.

“Kami percaya tindakan SKMM malafede dan bertentangan dengan demokrasi dan kebebasan Malaysia dalam Perlembagaan Malaysia dan hak asasi manusia, Artikel 19 semua orang mempunyai hak kebebasan pendapat dan ekpresi kebebasan termasuk memegang pendapat tanpa campur tangan dan mendapat maklumat dan idea dari mana-mana media,” katanya.

Sehubungan itu pihaknya meminta kerajaan dan SKMM menghentikan siasatan yang melanggar hak asasi manusia itu sebaliknya menghormati maklumat yang disalurkan menerusi internet.

Menurutnya, tindakan berkenan tidak seharusnya berlaku setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melaungkan slogan 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.

Era Najib Altantuya : Mahkamah Gantung Keputusan ROS

Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memerintahkan penggantungan perlaksanaan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membubarkan Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).

Walau bagaimanapun Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof yang membuat keputusan itu di dalam kamar memutuskan Kompleks Wawasan Balkis boleh diuruskan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti) sehingga tamat kes tersebut.

Peguam Derek J.Fernandez yang mewakili Kerajaan Negeri Selangor (pemohon) memberitahu pemberita bahawa pengurusan aset-aset lain seperti wang tabungan turut digantung dan ia tidak boleh digunakan.

"Kami berpuas hati dengan keputusan ini dan ia menjamin aset tidak terjejas. Mengenai Kompleks Wawasan, kami tiada masalah dengan perkara itu, lagipun ia adalah tempat untuk kanak-kanak belajar dan bermain," katanya.

Baru-baru ini, Balkis mendapat perhatian media tempatan selepas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa berlaku penyelewengan dana dalam persatuan itu.

Permohonan kebenaran itu difailkan kerajaan Selangor, isteri Abdul Khalid iaitu Puan Sri Salbiah Tunut, yang juga Yang Dipertua Balkis, Permodalan Negeri Selangor Berhad, Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor dan lima lagi pihak untuk mengetepikan keputusan ROS.

Mereka menamakan ROS sebagai responden, memohon pengisytiharan bahawa keputusan ROS membubarkan Balkis adalah batal dan tidak sah dan perintah supaya badan itu dihidupkan semula.

Responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Fajrul Shihar Abu Samah.


Ulasan GB

Mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat bersekongkol dengan pimpinan UMNO BN Khir Toyo hendaklah disiasat dan diambil tindakan.

Ini adalah sebagai pengajaran kepada semua pegawai kerajaan yang cuba untuk mengkhianati kerajaan pakatan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat.


Era Najib Altantuya : Rasul Melayu Tak Puasa Semasa Ditangkap

Pengamal ajaran sesat yang mengaku dirinya 'Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad (berbaju kuning) sedang makan sambil menonton televisyen ketika ditangkap oleh Jabatan Agama Islam (JAIS) Selangor pagi tadi.

Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi juga berkata Abdul Kahar cuba melarikan diri ketika serbuan dibuat kira-kira pukul 9.45 pagi tadi di sebuah rumah dekat Sungai Long, Kajang.

"Semasa kita nak tangkap dia tengah makan, tengok televisyen, bila kita ketuk (pintu rumah) dia cuba nak lari, tapi kita berjaya kepung... Rasul Melayu pun tak puasa," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Abdul Kahar, 59, berjaya ditangkap setelah usaha memburunya dilakukan sejak Isnin lalu berdasarkan maklumat orang awam.

"Kita kesan dia di Sungai Long, setelah beliau berpindah ke sana, kita dapat maklumat dari orang awam mengesahkan yang dia telah berpindah ke Sungai Long.

"Jadi kita buat intipan beberapa hari untuk sahkan dia memang ada di situ dan kita buat serbuan pagi tadi," katanya.

Menurut beliau ketika serbuan dibuat, anak lelaki Abdul Kahar yang dikenali sebagai Zulhelmi serta orang gaji mereka turut berada dalam rumah tersebut.

Abdul Kahar dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini tengah hari tadi dan diperintahkan supaya dia ditahan sehingga tarikh perbicaraan akan datang.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abdul Hamid agar Abdul Kahar, 59, ditahan kerana beberapa kali gagal hadir pada perbicaraan kesnya walaupun waran tangkap telah dikeluarkan.

Mahkamah turut menetapkan 24 September ini untuk sebutan bagi menyambung waran tahanan terhadapnya.

Dalam sidang media yang sama, Mohammed Khusrin juga memaklumkan pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat untuk mengambil tindakan terhadap anak lelaki Abdul Kahar yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran sesat melalui internet.

"Kita akan ambil tindakan terhadap Zul (Zulhelmi) kerana sekarang ini risalah-risalah mengenai ajaran sesat mereka disebarkan melalui internet.

"Mereka sebarkan melalui internet...ada laman blog sendiri, kita tunggu masa, bila kita dah cukup bukti kita akan ambil tindakan," katanya. -MSTAR

Era Najib Altantuya : MB N9 Perlu Jawab Tuduhan Salahlaku

Belum pun Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang bermula, Umno Barisan Nasional sudah berdepan dengan satu lagi masalah apabila kreadibiliti Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan dicabar.

Mohamad diminta menjawab lima isu besar setelah Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat Badrul Hisham Shaharin menyerahkan surat terbuka kepadanya pagi tadi di Wisma Negeri.

Badrul berkata Mohamad perlu menjawab mengenai isu tuduhan ‘kerajaan adik beradik’ kerana campurtangan keluarganya dalam pentadbiran kerajaan negeri dan juga agihan projek dan kontrak kerajaan.

Beliau menambah, isu penswastaan air Negeri Sembilan yang diteruskan walaupun mendapat tentangan pelbagai pihak juga perlu dijawab.

Katanya melalui penswastaan berkenaan, Menteri Besar menjanjikan kenaikkan harga kepada rakyat dan keuntungan kepada syarikat swasta.

“Menteri Besar mesti jawab secara spesifik berkaitan dua syarikat yang mendapat keistimewaan. Bagaimana dua syarikat Bumi Highway dan Selia Selenggara yang punya kaitan dengan keluarga MB mendapat begitu banyak kontrak dan tender dalam Negeri Sembilan?" kata Badrul.

“Yang kita tuntut dalam isu penswastaan air adalah dedahkan perjanjian konsesi penswastaan. Yang kedua perlu didedahkan jadual kenaikan kadar tarif air yang dijanjikan kepada syarikat ? Siapa yang kini memegang kepentingan di sebalik konsesi air ini? Adakah ia berkaitan rapat dengan parti pemerintah?" tambah beliau.

Memorandum itu juga menuntut Mohamad menjelaskan campurtangan beliau dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keatas salahlaku dalam pentadbiran dan pimpinan kerajaan negeri.
.
Mohamad juga perlu menjelaskan mengenai janji-janji yang ditabur sebelum PRU 12 Mac lalu yang sehingga kini tidak kelihatan antaranya pembinaan Hospital Daerah Rembau, Masjid Pedas, Pusat Tuisyen Emas dan projek Lapangan Terbang Ringan.

Badrul juga menanyakan mengenai jumlah perbelanjaan kerajan negeri yang dilihat membazirkan wang rakyat sedangkan syarikat-syarikat di bawahnya tidak menunjukkan prestasi yang baik.

“Jika SPRM membuat siasatan secara terperinci ternyata kedudukan BN di Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan pasti akan jatuh kerana sekurang-kurangnya 5 ADUN terdiri dari Bn terpalit dengan kegiatan rasuah yang kita buktikan sahih.

“Kita mempunyai rekod perbelanjaan pengurusan jabatan kerajaan Negeri Sembilan agak lebih tinggi daripada jabatan-jabatan kerajaan di banyak negeri namun malangnya hari ini kita saksikan pembaziran terus berlaku,” katanya. -TVA

Era Najib Altantuya : Menunggu Saat Ini Di Malaysia

Kabinet pimpinan Perdana Menteri Taro Aso meletak jawatan hari ini bagi membolehkan kerajaan baru mengambil alih, sekali gus mengakhiri tempoh sekian lama era pentadbiran konservatif negara itu.

Seorang pegawai berkata, Aso memanggil barisan kabinetnya awal hari ini untuk satu perjumpaan singkat supaya semua menteri meletakkan jawatan.

Kerajaan baru pimpinan Yukio Hatoyama dari Parti Demokratik Jepun (DPJ) dijangka mengambil alih kuasa pentadbiran lewat hari ini.

DPJ pimpinan Hatoyama memenangi kejayaan besar dalam pilihan raya parlimen awal bulan ini. - AFP

Era Najib Altantuya : Veerasingam Belasah Utusan Malaysia

Hanya seorang perwakilan mencadangkan mahu mengalungkan selipar pada gambar mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi mendapat bantahan keras Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, kata bekas Naib Presidennya, Datuk S Veerasingam.

Serentak itu, beliau kesal dengan laporan sebuah akhbar pada 14 September lalu yang membangkitkan isu itu sehingga menimbulkan rasa kurang senang ahli parti kerana boleh menyebabkan berlaku salah faham.

“Tajuk dalam akhbar itu menggambarkan seolah-olah keseluruhan perwakilan MIC menyokong cadangan itu, sedangkan sebenar tidak berlaku pun. Ia hanya seorang perwakilan sahaja yang mencadangkan usul itu kerana marah dengan kenyataan mantan Perdana Menteri itu yang didakwa mencampuri urusan dalaman MIC,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Kata beliau, tajuk laporan akhbar itu secara tidak langsung boleh mengundangkan kekeliruan kepada pembaca iaitu seolah-olah semua perwakilan MIC sebulat suara bersetuju dengan cadangan mahu mengalungkan selipar pada gambar Tun Dr Mahathir.

Sebenarnya, beliau berkata, apa yang berlaku dalam dewan ketika itu ialah seorang perwakilan mengusulkan cadangan itu, tetapi apabila laporan akhbar tidak dibaca dengan teliti atau lihat pada tajuknya, seperti menggambarkan semua perwakilan bersetuju

“Ini boleh mengelirukan orang ramai,” katanya.

Veerasingam berkata, sebaik sahaja seorang perwakilan mencadangkan demikian, Samy Vellu terus menegurnya dan mengatakan perkara kurang sopan itu tidak sepatutnya ditimbulkan.

“Apabila seorang perwakilan menyebut mengenai perkara itu, Presiden MIC terus memberhentikannya daripada meneruskan hujah. Beliau marah kerana perwakilan itu tidak menghormati Tun Mahathir dan isu tersebut tidak seharusnya dibangkitkan,” katanya.

Beliau yang juga penasihat kepada Menteri Besar Perak berkata, Tun Mahathir adalah Bapa pembangunan dan telah mengorbankan banyak jasa kepada bangsa serta negara.

Oleh itu, beliau seharusnya dihormati dan semua orang harus mengucapkan terima kasih kepadanya.

“Samy Vellu juga tidak mahu sesiapa pun memburukkan mantan Perdana Menteri itu, malah semua rakyat berbilang kaum harus berterima kasih kepadanya. Apa yang berlaku dalam persidangan tidak disebut dengan jelas, sedangkan MIC menolak keras kenyataan tidak sopan itu.

Era Najib Altantuya : Ibadah Haji Hanya Rekaan - Rasul Melayu

Mahkamah Tinggi Syariah hari ini mengeluarkan perintah tahanan terhadap pengamal ajaran sesat yang mengaku dirinya 'Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad, sehingga dibicarakan pada 7 Oktober depan.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad memutuskan perkara tersebut selepas mendapati Abdul Kahar bersalah kerana gagal menghadiri prosiding perbicaraan selepas dituduh buat pertama kali di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada tahun 2005 atas lima tuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Bagaimanapun perintah tahanan yang dikeluarkan hari ini hanya sah sehingga tempoh lapan hari.

Oleh itu hakim menetapkan pada 24 September depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes berkenaan untuk pihak pendakwaan mengemukakan permohonan melanjutkan perintah tahanan.

Kahar, 59 ditahan Jabatan Agama Islam Selangor, (JAIS) di rumahnya dekat Sungai Long, Kajang kira-kira pukul 9.45 pagi tadi.

Dia kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Dalam prosiding hari ini, Kahar memohon kepada mahkamah supaya beliau dibebaskan dengan ikat jamin untuk memberi peluang kepadanya menyambut hari raya Aidilfitri bersama keluarga sehingga tarikh perbicaraan.

Dia yang tidak diwakili peguam juga mengemukakan rayuan tersebut kepada mahkamah dengan berjanji akan berkelakuan baik.

Bagaimanapun hakim menolak permohonannya.

Abdul Kahar sebelum ini pernah didakwa dengan tuduhan bahawa beliau dianggap menyimpang dari Islam antara lain ia mengaku sebagai rasul Melayu. Ia juga dituduh mempermainkan ajaran islam sesuai dengan keinginannya.

Selain itu, dalam salah satu ajarannya menyebutkan bahwa ibadah haji tidak ada dalam Islam. Ibadah haji hanya rekaan pemerintah Arab Saudi untuk mengeruk keuntungan dari datangnya jutaan umat Islam.

Era Najib Altantuya : 1 Malaysia F1: Bila masa rakyat didahulukan?

Kerajaan Malaysia, di bawah teraju Najib Razak semalam mengumumkan bahawa Kerajaan dengan usahasama Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Persatuan Sukan Permotoran Malaysia, Naza Motor dan Air Asia telah menubuhkan pasukan lumba kereta Formula 1 dengan nama 1Malaysia. Pasukan ini akan menyertai sirkit F1 pertamanya pada musim 2010.

Pengumuman ini datang tidak lama selepas kerajaan bertindak menaikkan harga minyak petrol, RM0.05 untuk RON95 dan RM0.25 untuk RON97.

Ahmad Nizam Hamid, Penasihat Undang-Undang PKR Negeri Pahang dalam reaksinya menyuarakan kegagalan rakyat untuk melihat apakah keperluan untuk membentuk sebuah pasukan lumba kereta yang biayanya sudah pasti mencecah jutaan ringgit dalam suasana ekonomi sekarang. Menurut Nizam, Najib dalam sidang medianya enggan memberitahu jumlah sebenar pelaburan kerajaan dalam projek ini, cuma memaklumkan ia dibuat melalui Proton.

Bagi Nizam yang juga Pemangku Ketua PKR Cabang Temerloh, jawapan Najib itu adalah sikap tipikal kerajaan pimpinan Umno dan BN yang tidak telus dan tidak bertanggungjawab. Tegas Nizam, apa yang beliau nampak melalui tindakan penyertaan kerajaan dalam projek F1 ini hanyalah pembaziran dan tidak memberi manfaat kepada rakyat, bila masa rakyat didahulukan?

Nizam tertanya-tanya siapakah pemberi nasihat kepada Najib yang mencadangkan pembabitan kerajaan dalam projek ini, sedangkan sepengetahuan beliau, Litar Antarabangsa Sepang itu sendiri sehingga ke hari ini menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit sejak ia dibina.

Nizam bagaimanapun mengaku yang kerajaan punya hak untuk melaburkan wang yang diamanahkan kepada mereka, tetapi ia mestilah dilakukan secara berhati-hati, kerana wang itu adalah wang rakyat. Tambahan pula keadaan ekonomi sekarang agak tidak menentu, lihatlah keruntuhan Lehman Brothers, ujar Nizam. Nizam juga sempat memberi contoh tindakan terbaru Japan Airlines seperti dilaporkan BBC sedang memotong kos operasi mereka dengan memberhentikan 6,800 orang pekerjanya bagi berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang lemah.

Tentang kewajaran penglibatan kerajaan dalam usahasama projek F1 ini, Nizam mempersoalkan kenapa negara yang lebih maju industri automatifnya di sebelah rantau ini seperti Korea Selatan tidak pula beria-ria dan ghairah untuk sama terlibat dalam lumba kereta. Padahal dari segi keupayaan kejuruteraan dan teknologi, mereka jauh meninggalkan Malaysia.

Pantas Nizam merumuskan, tidak lain tidak bukan, inilah sifir ekonomi Najib, jika rugi sekalipun, rakyatlah yang akan menanggungnya, kerana wang yang dibelanjakan itu bukan milik Najib tetapi datang dari khazanah negara, dalam kes F1 ini, dari kocek Proton, Protonlah yang menjadi mangsa. Akhirnya 1Malaysia terpaksa berjimat, 1Malaysia menanggung beban kos kehidupan yang tinggi semata-mata kerana ego pemimpin negara yang senantiasa memikirkan nafsu megalomaniak mereka. -zukri aksah

Era Najib Altantuya : PR Siapsedia Gantikan BN

Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) pada 12 Disember ini, adalah untuk mengukuhkan gabungan itu bagi mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden PKR, R Sivarasa berkata, konvensyen itu adalah pertama kali diadakan setelah PR yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

“Konvensyen ini bertujuan memperkukuhkan PR memandangkan di sinilah peluang untuk parti gabungan PR mencapai satu persetujuan dan prinsip perjuangan yang sama.

“Antara isu lain yang akan dibahaskan dalam konvensyen itu meliputi isu pengurusan ekonomi, dasar demokrasi, pentadbiran dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan mengadakan satu konvensyen besar-besaran bagi meletakkan hala tuju PR bagi tahun berikutnya.

Dijangkakan setiap parti akan menghantar wakil seramai 500 perwakilan.

Sivarasah turut menyangkal dakwaan bahawa konvensyen itu hanya untuk memperbetulkan kembali hala tuju parti gabungan PR yang dilihat semakin bertentangan di antara satu sama lain.

“Parti dalam PR masih mempunyai hala tuju dan perjuangan yang sama. Kita faham mana-mana parti politik ada perbezaan perjuangan politik. Jika semua fahaman sama, lebih baik berada dalam satu parti saja.

“Cadangan untuk mengadakan konvensyen ini dilakukan dengan lebih awal lagi bertujuan mengukuhkan PR dan menghalusi persefahaman politik antara satu sama lain bukan disebabkan hala tuju yang menyimpang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategik PKR, Tian Chua berkata, konvensyen ini adalah satu manifestasi untuk menunjukkan rakyat bahawa PR sentiasa bersatu padu dan mempunyai satu prinsip perjuangan yang sama dan mampu mentadbir kerajaan Malaysia.

“Dalam konvensyen ini, segala isu akan dibincangkan dalam satu pasukan,” katanya.

Era Najib Altantuya : Royalti Minyak - Rakyat Kelantan Akan Tetap Tuntut

Kerajaan Kelantan mengganggap kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berhubung tuntutan royalti minyak bukan kenyataan rasmi kerajaan Malaysia.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, surat tuntutan royalti sebelum ini dihantar kepada Perdana Menteri dan hanya kenyataan dari Datuk Seri Najib sahaja akan dianggap rasmi.

“Kita menganggap kenyataan beliau itu bukan kenyataan mewakili kerajaan Malaysia. Kita hantar surat kepada Perdana Menteri dan kita hanya akan tunggu dari Perdana menteri,” katanya.

Awang Adek semalam memberitahu wang royalti minyak yang dituntut Kelantan lebih sesuai diberi kepada kerajaan pusat untuk dibelanjakan bagi pembangunan negara berbanding kepada kerajaan negeri.

Alasannya kerana kedua dua kawasan operasi cari gali minyak terletak terlalu jauh dari pesisir pantai Kelantan.

Salah satu kawasan tersebut katanya adalah berhampiran Vietnam iaitu di perairan antarabangsa sejauh 250 kilometer dari pesisir pantai Kelantan manakala kawasan kedua pula terletak 150 kilometer dari pantai dan berada di perairan bersama dengan negara jiran, Thailand.

“Itu pendapat tidak rasmi, dan saya tidak berminat mengulas kenyataannya,” ujar Husam lagi.

Tuntutan royalti minyak oleh Kelantan bermula Jun lepas, apabila kerajaan negeri itu menggerakkan tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat untuk bayaran royalti minyak yang tertunggak sejak 2004.

Tuntutan tersebut turut disokong bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah melalui suratnya kepada Nik Aziz.

Ku Li dalam surat sokongannya itu menyifatkan ianya sebagai hak kerajaan negeri Kelantan dan beliau sendiri yang menandatangani perjanjian itu dengan Dato’ Muhamad Nasir, Menteri Besar Kelantan ketika itu.

Selain Ku Li, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan hal ehwal undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim juga menyokong tuntutan Kelantan itu.

Awal Ogos lalu, Kelantan menghantar jurutera pengukur mereka ke pelantar minyak Cakrawala bagi mengukur jarak sebenar pelantar tersebut dari perairan negeri itu.

Hasilnya, pelantar tersebut disahkan terletak hanya 153 kilometer dari pantai Pengkalan Kubur, Kelantan iaitu jauh lebih dekat berbanding pelantar minyak yang terdapat di Terengganu, Sarawak dan Sabah.

Selain itu, terdapat tiga lagi telaga minyak yang juga berhampiran perairan Kelantan. Kedudukannya hanya sejauh 68 batu dari perairan Tok Bali.

Ekoran itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar surat kepada Perdana Menteri menuntut RM1 bilion royalti berkenaan.

Era Najib Altantuya : UMNO BN Tertekan Untuk Pertahankan Bagan Pinang

Tahun 2009 wajar diisitihar sebagai tahun pilihanraya kecil. Apa tidaknya, bermula dengan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu (Januari, 2009), kemudian 3 pilihanraya kecil serentak di Parlimen Bukit Gantang (Perak) dan DUN Bukit Selambau dan DUN batang Ai pada bulan April, 2009, DUN Penanti (bulan Mei, 2009), Manek Urai (Julai, 2009) dan Permatang Pasir (Ogos, 2009).Jika Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak campor tangan dan menghalang pilihanraya kecil 3 DUN di Perak Behrang, Changkat Jering dan Jelapang. maka jumlah pilihanraya kecil sudah pasti bertambah.

Sungguhpun begitu, dalam keadaan SPR cuba untuk mengelak diadakan pilihanraya kecil DUN Kota Seputeh di Kedah, takdir Allah mengatasi segala-galanya. Pada mesyuarat yang di jadualkan Isnin, 14hb. September. (Gambar - pantai tenang Bagan Pinang akan bergelora tidak lama lagi)

SPR hanya mampu menentukan tarikh pilihanraya DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan dalam tempoh 60 hari sahaja akibat kematian penyandangnya, Azman Mohd Nor baru-baru ini

Pilihanraya kecil yang ke-9 selepas pilihanraya umum ke-12 cukup menarik. Kenapa dikatakan menarik kerana inilah kali pertama diadakan di kawasan Selatan Semenanjong yang menjadi kubu kuat UMNO yang sukar ditembusi sebelum ini.

Tambahan pula ianya diadakan di Negeri Sembilan yang mana majoriti BN pada kali ini tidaklah sekukuh sebelum PRU ke-12 sebelum ini. Perbezaan antara BN dan PR hanya 6 kerusi sahaja, yakni di mana BN ada 21 kerusi dan PR pula 15 kerusi.

Jika dilihat secara terperinci pada pilihanraya kecil di Semenanjong sebelum ini, PR berjaya mempertahankan semua kerusi yang disandang mereka sebelum ini (Permatang Pauh, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai dan Permatang Pasir disamping merampas kerusi Kuala Terengganu dari tangan UMNO dan BN.

Kerusi Bagan Pinang ini adalah milik UMNO dan BN di mana mereka menang dengan majoriti 2,333 undi keatas calon PAS. Calon UMNO Azman Mohd Nor mendapat 6430 berbanding dengan calon PAS, Hj Ramli Ismail mendapat 4097.

Berbanding dengan pilihanraya umum ke-11 pada tahun 2004, calon PAS dalam pilihanraya umum ke-12 berjaya mengurangkan majoriti BN sebanyak hampir 50 %, yakni dari majority undi 4411 kepada 2,333 sahaja dimana PAS Berjaya meningkatkan undi dari 1,556 kepada 4,097.

UMNO terselamat di DUN Bagan Pinang ini dalam pilihanraya yang lepas kerana undi pos berjuimlah lebih 5,000 pengundi. Jika tidak ada undi pos, calon UMNO agak sukar untuk mempertahankan kerusi ini kerana peningkatan PAS begitu mendadak.

Malah jika PAS berjaya mengekalkan prestasi undi yang didapati dalam pilihanraya yang lepas, dan UMNO tersilap dalam percaturan pemilihan calon seperti di Kuala Terengganu sebelum ini, tidak mustahil kerusi ini akan bertukar tangan kepada pihak lawan.

Disebabkan tergugat dengan perkembangan semasa politik yang tidak memihak kepada UMNO dan BN sekarang ini, nama Tan Sri Isa Samad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Naib Presiden UMNO yang baru dibebaskan penggantungan dari kesalahan politik wang cuba ditonjolkan semula sebagai calon UMNO dalam pilihanraya kecil ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Mohamad Hassan selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri awal-awal lagi menyerahkan kepada UMNO Telok Kemang mencadangkan calon yang sesuai bagi pilihanraya kecil kali ini.

Jika Isa samad tidak bertandinmg kali ini, pihak-pihak tertentu dalam UMNO Telok Kemang mencadangkan anaknya yang bernama Najib yang menjadi aktivis pemuda di calonkan kerana mereka bimbang untuk kehilangan pengaruh Isa Samad dalam pilihanraay kecil ini.

Manakala PAS dan Pakatan Rakya pula dilihat begitu ghairah untuk membuat kejutan sekali lagi dalam pilihanraya kecil ini. Jika PAS berjaya mengurangkan majoriti dalam pilihanraya kecil ini sudah cukup untuk membnerikan pukulan maut kepada UMNO dan BN.

Calon yang disebut-sebut dari kalangan PAS pula adalah Zulkifli Mohd Omar, Pesuruhjaya Negeri Sembilan sendiri selain dari calon DUN berkenaan dalam pilihanraya umum yang lepas, Ramli Ismail yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Telok Kemang. Seorang lagi muka baru dikalangan ank tempatan juga terdapat dalam senarai yang dipertimbangkan sebagai calon di DUN berkenaan.

Difahamkan PAS Pusat sedang mencari calon terbaik untuk berhadapan dengan UMNO dalam pilihanraya kecil ini. Keadaan ini menjadikan jentera UMNO dan BN Negeri Sembilan begitu tertekan untuk mengekalkan kerusi Bagan Pinang ini apatah lagi dalam keadaan parti-parti komponen BN seperti MCA dan MIC serta PPP sedang bergolak.

Anwar Ibrahim pula awal-awal lagi mensasarkan PR akan memenangi kerusi Bagan Pinang dalam pilihanraya kecil ini sebagaimana kerusi-kerusi lain dalam pilihanraya kecil di Semenanjong sebelum ini.

Sudah tentu mereka tidak dapat banyak membantu memberikan undi India dan Cina yang menjadi pennetu di sini kepada UMNO dalam keadaan UMNO juga turut terlibat dalam mendalangi kekecohan dan demonsterasi membantah pemindahan kuil Hindu dari seksyen 19 ke seksyen 23, Shah Alam baru-baru ini.

Sekarang ini, UMNO dan BN terpaksa bergantung kepada undi pos dikalangan tentera bagi mementukan survival mereka di DUN Bagan Pinang ini. Jika pengundi pos tentera memprotes kepada calon UMNO bermakna harapan untuk BN mengekalkan kerusi ini adalah amat tipis sekali.

Ramai pemerhati politik menjangkakan, jika UMNO dan BN tewas pada kerusi ini bermakna harapan kerajaan Najib Tun Razak untuk terus memerintah selepas pilihanraya umum ke-13 adalah ibarat telor di hujung tanduk.

Malah saya diberitahu, jika UMNO dan BN tewas dalam pilihnraya kecil ini, parti-parti komponen BN terutama dari Sabah dan Sarawak seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan lain-lain mungkin akan mengkaji semula kedudukan mereka dalam Barisan Nasional.

Sejauhmana kerajaan UMNO dan BN mampu bertahan selepas ini bergantung kepada kemampuan meraka mempertahankan kerusi ini. Jika mereka menang dengan majori yang meningkat secara mendadak, maka hayat mereka akan dapat bertahan seketika. Tetapi jika majoritinya berkurangan apatah lagi UMNO dan BN kalah dalam pilihanraya kecil ini, maka UMNO juga dijangka tumbang dua tahun lagi selepas 54 tahun memerintah sebagaimana LDP di Jepun baru-baru ini dalam pilihanraya umum ke-13 nanti. - BuletinOnline

Era Najib Altantuya : Harapan Untuk Melihat UMNO Berkubur Semakin Nyata (updated)

Harapan sejak tahun 60an lagi untuk melihat Umno terkubur semakin menjadi realiti.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti yang bersikap perkauman seperti Umno tidak mustahil untuk mati kerana tiada satu jaminan pun oleh sesiapa sahaja bahawa perjuangan perkauman akan kekal sepanjang zaman.

Beliau berkata demikian sebgai mengulas kenyataan bekas Presiden Umno,Tun Dr. Mahathir Mohamed bahawa Umno akan terkubur sekiranya permasalahan yang melanda tidak dapat diselesaikan segera.

"Umno mesti mati kerana hidup mereka hanyalah dibuat-buat. Mereka tolak Islam, guna sekular, kalau lawan sama-sama sekular boleh lah tahannya, tetapi kalau parti mana sekalipun yang lawan Islam, ia tak akan bertahan lama."

"Islam milik Allah sedangkan perjuangan bangsa Melayu bukannya boleh dibawa ke akhirat, hanya Islam akan sampai ke sana" ujar beliau.

Katanya, hanya PAS parti yang mengambil Al-Quran dan Sunnah sebagai asas perjuangannya, dan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bahawa Umno juga memperjuangankan Islam bukan sesuatu yang luar biasa.

Kenyataan sedemikian juga katanya boleh digunakan parti lain dalam komponen BN, namun realitinya Umno memperjuangkan Melayu, MCA Cina dan MIC memperjuangkan kaum India.

Tetapi PAS katanya, memperjuangkan Islam yang melampaui batas perkauman sempit tersebut.

Keadilan perjuangan Islam itu katanya telah menarik kaum bukan Islam untuk bersama PAS sehingga tertubuhnya Kelab Penyokong parti itu.

Mengulas hak meletakkan calon pada pilihanraya kecil Bagan Pinang, Tuan Guru berkata ianya bukan isu besar, kerana yang lebih penting, calon yang tersebut adalah dari Pakatan Rakyat.

"Mengikut kebiasaannya, calon adalah dari parti yang bertanding terdahulu, kalau calon dahulu dari PAS, maka untuk kali ini pun dari PAS, apapun ia adalah milik Pakatan Rakyat sebenarnya" katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di majlis perlancaran Kutipan Wakaf/Derma Tapak Masjid Al-Hussain Bandar Baru Tunjong.

Masjid yang akan didirikan di tapak seluas 9.40 ekar tersebut adalah sumbangan peribadi dari tokoh dermawan negara ini dan ia terletak di persimpangan Jalan Kuala Krai ke Kota Bharu serta Jalan Kota Bharu ke Rantau Panjang.

Turut hadir di majlis tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Dato' Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri Haji Mohd Faudzi Che Mamat, Exco Negeri, Ketua Pegawai operasi Perbadanan Menteri Besar, Ir.Abdul Ariffahmi Ab.Rahman, Pengarah Urusetia Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Rahman Yunus dan Pegawai-Pegawai Kerajaan negeri.

Pembinaan masjid tersebut akan mengambil masa selama 34 bulan dan boleh menampung seramai 1750 jemaah pada satu waktu.

Masjid yang menelan belanja melebihi RM7 juta akan menggunakan ciri-ciri di zaman Uthmaniah (Turki) dan Fatimiah(Mesir) serta dilengkapi dengan sebuah pusat sumber Islam,Kelas Tahfiz, Kediaman Iman dan pegawai masjid. -Harakahdaily/TVPAS



Era Najib Altantuya : Kerana Bagan Pinang, Mereka Dibebaskan

Menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang, lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilaporkan akan dibebaskan hari ini.

Ia sama seperti pembebasan pemimpin utama pertubuhan Hak Asasi Hindu (Hindraf), menjelang pilihanraya kecil Bukit Selambau.

Namun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Husein sekeras-kerasnya menafikan pembebasan kali ini ada kaitan dengan pilihan raya kecil.

Namun sehingga berita ini ditulis, Gerakan Mansuh ISA (GMI) masih menunggu janji pembebasan lima tahanan tanpa bicara ISA, sebagaimana yang diumumkan Hishamuddin pagi tadi.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh petang tadi, menjelaskan bahawa pihaknya sendiri hanya mendapat pengkhabaran itu dari media masa, bukannya pihak berwajib secara rasmi.

"Tidak ada lagi pihak polis menghubungi kami (GMI). Tapi, saya telah dihubungi oleh Norlaila (isteri kepada tahanan, Mat Sah Mohamad Satry) dan dia memberitahu pihak polis tidak menghubunginya untuk beritahu bila dibebaskan dan di mana pembebasan itu berlaku."

Bagaimana pun, kalau pembebasan itu merujuk kepada tahanan yang dituduh anggota Jamaah Islamiyyah (JI), Ibrahim menjelaskan ianya terdiri oleh enam orang, rakyat Malaysia; bukannya lima orang.

Puan Norlaila Othman, suami Mat Sah yang juga aktivis GMI sendiri gagal dihubungi kemudiannya, untuk mengesahkan hal demikian.

Laman web The Malaysian Insider melaporkan, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin membuat pengumuman tersebut setelah mendapati kelima-lima tahan terbabit telah insaf.

Pembebasan itu dikatakan juga sempena meraikan Hari Raya Puasa, tidak lama lagi. Selain tahanan lapan tahun, Mat Sah, Pensyarah Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Dr. Abdullah Daud dipercayai khalayak turut dibebaskan.

Baki yang lain adalah Mohd Nasir Ismail, Mohd Kamil Mohd Hanafiah dan Mohd Amir Hanafiah; masing-masing ditahan di bawah akta yang dikatakan zalim itu sejak 30 Mei 2007. -Harakahdaily