27 Jul 2013

Perkasa-Perinbam Bertelagah Sebaik Sahaja Piagam MIRAC Ditandatangani


Perkasa ‘buat jenaka’ tubuhkan MIRAC

Usaha kumpulan ekstrimis perkauman, PERKASA menubuhkan Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (MIRAC) konon demi memupuk perpaduan adalah mengarut kerana pertubuhan radikal itu masih berpegang dengan perjuangan perkauman sempit.

Malah, menurut Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, tindakan mengejut mereka membuat ‘pusingan U’ menjalinkan hubungan dengan dua NGO bukan Melayu menjadi tanda tanya dan satu jenaka bagi rakyat Malaysia.

“Ia adalah tindakan yang memalukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyifatkan MIRAC sebagai satu lagi projek pembodohan rakyat tidak menolak bahawa penubuhan MIRAC merupakan satu stategi halus untuk mencapai agenda politik perkauman.

“Seperti yang kita maklum, PERKASA yang kami kenal adalah segerombolan ekstrimis yang menjadi alat UMNO untuk membakar sentimen perkauman sehingga mampu menggugat keharmonian rakyat lebih-lebih lagi pemimpin utama mereka seperti Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin adalah watak pelampau yang sentiasa menyuntik racun perkauman dalam minda rakyat Malaysia,” ujarnya.

Mengambil contoh kenyataan dan tindakan pemimpin PERKASA seperti Zulkifli Nordin, Sivakumar berpendapat PERKASA hanya akan memperalatkan NGO bukan Melayu yang bersekongkol dengannya untuk menyokong tindak-tanduk perkauman yang bakal dilaksanakan.

“Pertubuhan ini akan dijadikan sebagai senjata untuk menikam kaum masing-masing,” jelasnya.

Kenyataan Sivakumar itu terbukti benar sebaik sahaja piagam MIRAC ditandatangani.

“Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Nordin dalam kenyataan medianya berkata bahawa PERKASA akan membela dan memberi sokongan penuh kepada Guru Besar SK Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd Nor berhubung isu ‘makan dalam tandas’.

“Ini sangat jelas membuktikan PERKASA tidak pernah dan tidak akan menjaga hati dan kesejahteraan kaum bukan Melayu di negara ini.

“Kenyataan Zulkifli yang menghina orang India dan agama Hindu masih lagi dalam ingatan rakyat Malaysia,” katanya.

Ini tambah Siva termasuk pendirian PERKASA dalam kes novel Interlok yang menghina kaum India dan Cina.

“Tambahan pula, PERKASA juga membela akhbar Utusan Malaysia yang jelas menghina kaum Cina dengan berita ‘Apa lagi Cina mahu’ sebaik sahaja selepas PRU-13,” katanya lagi. – Roketkini

PBB Gesa Bebaskan Mursi Segera, AlAwwa Nafi Ikhwanul Muslimin Pengganas


New York - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Mursi supaya dibebaskan dengan segera.

Jurucakap PBB Eduardo del Buey berkata, pihaknya juga menuntut supaya pertuduhan terhadap pemimpin tertinggi Ikhwan Muslimin dibuat secara telus.

“Tindakan itu perlu dilakukan segera bagi mengelakkan protes terus berleluasa," katanya.

Menurutnya, setakat ini lebih 60 nyawa melayang disebabkan protes itu sejak penggulingan Presiden itu pada 3 Julai lalu.

“Ramai maut dan cedera dalam rempuhan selepas solat Jumaat. Kami khuatir protes ini boleh merebak hingga ke negara jiran,” katanya.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri Hisham Qandil mencadangkan protes boleh dilakukan tetapi perlu dibuat di lokasi yang dibenarkan secara berperingkat.

“Saya juga menggesa pihak tentera supaya memastikan kesihatan Mursi baik," katanya.

Minggu lalu, pihak keluarga Mursi merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Tentera Mesir atas tuduhan menculik Presiden itu.

Sementara itu, Pergerakan Hamas Palestin mengutuk dakwaan mahkamah Mesir menuduh Mursi mempunyai kaitan dalam pergerakan kumpulan itu.

Jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri berkata, tuduhan itu dianggap merbahaya dan melampau kerana boleh mempengaruhi pihak lain dan menjejaskan hubungan serantau.




Cendekiawan terkemua Mesir, Muhammad Salim Al Awwa, mempersoalkan sikap Panglima Angkatan Bersenjata Mesir, Jenderal Abdul Fatah Al Sissi, yang menganggap Ikhwanul Muslimin sebagai 'teroris'.

Bekas Setiausaha Jenderal Persatuan Ulama Islam Antarabangsa itu sebaliknya menyebut Ikhwanul Muslimin adalah sebahagian dari masyarakat Mesir yang memiliki hak yang sama untuk membangunkan negeri ini.

"Terbukti Ikhwanul Muslimin telah memenangi pemilihan parlimen dan presiden tahun lalu," kata Al Awwa.

Pernyataan Al Awwa menanggapi seruan Al Sissi kepada rakyat di seluruh negara itu untuk demo besar pada Jumaat semalam sebagai apa yang disebutnya 'mandat' kepada tentera dan polis guna bertindak ke atas 'teroris'.

Tudingan 'teroris' ditujukan pada kelompok Ikhwanul Muslimin yang menentang penggulingan Presiden Muhammad Mursi oleh kudeta tentera.

Apa Yang Kau Dah Buat Ni Guan Eng?


Guan Eng bergambar bersama sebahagian pemandu teksi yang menerima insentif Pemandu teksi P.Pinang terima durian runtuh.

Pemandu teksi P.Pinang terima durian runtuh

GEORGETOWN - Seramai 2,373 pemandu teksi dan kereta sewa mendapat insentif RM600 dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang, semalam.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, pemberian insentif itu terkandung dalam manifesto PR pada PRU13 selain menghargai peranan mereka sebagai barisan hadapan di negeri ini.

Menurutnya, pembayaran insentif itu dilakukan dua kali iaitu RM300 untuk bayaran setengah tahun yang pertama dan selebihnya pada Januari depan.

“Baki RM300 hanya akan dibayar jika mereka terus memberi perkhidmatan terbaik.

"Jika ada aduan mengenai salah laku mana-mana pemandu teksi, kerajaan negeri tidak teragak-agak menarik balik baki insentif itu," katanya pada majlis penyerahan insentif kepada pemandu teksi dan kereta sewa di daerah Timur Laut, di sini, hari ini.

Bagi daerah Timur Laut, seramai 843 pemandu teksi dan kereta sewa layak menerima insentif berkenaan.

Guan Eng berharap sumbangan itu mampu meringankan beban terutama kepada mereka yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri. -SH

[KISAH MASYARAKAT] Dila Dibogel & Dicabul Ah Long

Kuala Lumpur - Bukan hanya dibogel dan dicabul, malah seorang gadis berusia 18 tahun turut diugut gambar bogelnya disebarkan jika abang ipar dan kakaknya gagal menjelaskan hutang ah long.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dila berkata, abang ipar dan kakaknya itu meminjam lebih RM3,000 daripada ah long sejak akhir tahun lalu, namun gagal membayar balik.

“Akibatnya saya yang terima padah apabila tiga lelaki dipercayai ah long mula datang mengganggu di tempat saya bekerja,” katanya sewaktu ditemu bual di sebuah rumah perlindungan di pinggir ibu kota, semalam.

Dila berkata, gangguan daripada tiga lelaki itu berlarutan hampir setiap hari sehingga awal tahun ini.

Menurutnya, pada suatu hari ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, tiga lelaki berkenaan memaksanya menaiki motosikal.

“Saya dibawa ke kawasan semak, sebelum mereka mengarahkan saya menanggalkan pakaian dan mengambil gambar saya sebelum dicabul bergilir-gilir," katanya.

Dila berkata, sehingga kini dia tidak tahu di mana abang ipar dan kakaknya berada dan berharap mereka dapat melangsaikan hutang tersebut secepat mungkin.

Anak ketujuh daripada sembilan adik beradik itu memberitahu, berikutan insiden itu emosinya terganggu dan dia kini trauma dan hanya mempunyai ibunya untuk membantu.

Penderitaan Dila tidak habis di situ apabila dia turut mengakui pernah didera oleh abang sulungnya yang mengalami sakit mental sejak lima tahun lalu, memaksa dia tinggal bersama keluarga kakaknya.

“Abang sulung pernah mencabul salah seorang daripada kakak saya, sebelum dia dipenjara kira-kira dua tahun atas kesalahan itu,” katanya.

Menurutnya, abang sulungnya itu juga sering bertindak ganas dengan memukul, menyepak, menghentak kepalanya didinding atas alasan tidak berpuas hati dengan masakannya. -SH

Mursi Dipenjara 15 Hari, 2,000 Bantah Di KL, Najib Terus Membisu


Presiden Mesir yang digulingkan tentera, Muhammad Mursi ditahan selama 15 hari kerana dituduh bersubahat dengan pergerakan Islamis Palestin, Hamas. Dia juga dituduh melarikan diri dari penjara 18 hari sewaktu pemberontakan menggulingkan Husni Mubarak.

Dalam laporan AlJazeera, satu sumber mengesahkan berita tersebut pada Jumaat (26/7). Hakim Hassan Sammir kini sedang membuat siasatan lanjut berhubung dakwaan itu telah membuat keputusan tersebut yang merupakan penahanan rasmi pertama oleh pihak berkuasa.

Bulan lalu, pengadilan Mesir menyatakan Ikhwanul Muslimin bersengkokol dengan Hamas dan Hizbullah menyerbu penjara Wadi el-Natroun pada 2011. Serbuan tersebut membebaskan 34 anggota pemimpin tertingg Ikhwanul termasuk Muhammad Mursi ketika itu.

Laporan tersebut muncul ketika pendukung dan penentang Mursi bersiap untuk protes besar-besaran setelah keluar seruan dari tentera dan anggota Ikhwanul Muslimin. Mursi ketika ini tengah ditahan di sebuah lokasi yang tidak diketahui.

Dalam pada itu, Penguasa Semenanjung Gaza, Hamas, hari ini mengecam penguasa baru Mesir setelah pengadilan memerintahkan Presiden yang digulingkan, Muhammad Mursi, ditahan untuk siasatan lanjut tentang tuduhan keterlibatannya dengan kelompok gerilawan Palestin itu.

"Hamas mengutuk langkah itu kerana didasarkan pada premis bahawa Gerakan Hamas kononnya bersifat jahat," kata juru bicara Hamas, Sami Abu Zuhri.

"Ini perkembangan merbahaya yang menegaskan bahawa kekuasaan ketika ini di Mesir mengabaikan kepentingan nasional dan bahkan menggunakan hal itu untuk berurusan dengan pihak lain, pertama di antaranya adalah masalah Palestin," katanya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, lebih 2,000 umat Islam hari ini bersolidariti menyatakan bantahan terhadap rampasan kuasa oleh tentera Mesir ke atas Presiden yang dipilih secara sah Dr Muhammad Morsi, demikian lapor harakahdaily.

Himpunan bermula sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan kemudian berarak ke bangunan Kedutaan Mesir di Jalan Ru, Ampang Hilir yang berjarak tidak kurang 4 kilometer.

Mengepalai perarakan tersebut, pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi Ahmad Kamil, Riduan Mohd Nor, Kamaruzzaman Mohamad, wakil muslimat Ustazah Nuridah Saleh dan lain-lain.

Himpunan ini turut disertai wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Haluan Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Gema dan Aqsa Syarif.

Peserta masing-masing membawa poster Morsi serta kain rentang yang mengutuk tindakan mencabul demokrasi tentera Mesir itu.

Antara lain poster tersebut tertulis 'The President kidnapped, now showing in Egypt'.

Sementara itu, polis bertindak menutup laluan di hadapan bagunan kedutaan.

Dianggarkan hampir 100 anggota polis termasuk pasukan Light Strike Force (LSF) berkawal di jalan masuk menuju ke bangunan kedutaan.

Peserta perarakan yang tiba dihalang masuk ke jalan berhadapan bangunan kedutaan sebaliknya diberhentikan di jalan bersebelahan kira-kira 150 meter dari pintu masuk bangunan kedutaan.

Pihak keselamatan hanya membenarkan enam wakil untuk masuk mengadakan perbincangan dan menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan.

Sementara menunggu penyerahan memorandum selesai, beberapa wakil parti dan NGO memberi ucapan kepada peserta dari atas pacuan empat roda.

15 minit kemudian wakil-wakil yang mengadakan pertemuan dilihat keluar dari bangunan kedutaan dan menyertai himpunan.

Khairul Faizi dalam ucapannya selepas penyerahan memorandum itu berkata, mereka mengemukakan empat tuntutan kepada kerajaan sementara Mesir yang dikuasai tentera.

Ianya termasuk membebaskan dan mengembalikan segera Morsi, hentikan tindakan kekerasan terhadap rakyat dan benarkan mereka berhimpuan secara aman, membatalakan segala undang-undang dan ketetapn baru yang dibuat selepas kudeta serta membebaskan segera semua tahanan politik.

Najib membisu

Bercakap kepada media selepas itu, Khairul Faizi turut mempersoal sikap kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa masih membisu dalam isu ini.

"Kenapa beliau tidak mahu menyatakan pendirian dalam isu ini. Adakah Najib takut untuk tunjuk sikap kerajaan Malaysia dalam isu ini, takut kepada penentang Morsi?," soalnya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia yang mendakwa mendokong demokrasi sewajarnya bersama rakyat Mesir yang membantah kudeta tersebut.

Persoalan sama turut dilontar Nuridah yang mendakwa perdana menteri bersikap double standard dalam isu ini.

"Dia (Najib) bukan mahu nyatakan pendirian, sebaliknya menggunakan isu rampasan kuasa Mesir ini untuk menakutkan rakyat bahawa inilah akibatnya bila berlaku perubahan kuasa," katanya.

Himpunan petang tadi berakhir kira-kira jam 3.45 petang.