16 Jan 2012

Hassan Ali, Pergilah ke Angkasa Raya Sekalipun, Untuk Jadi Lembu Tunggangan

Hasan Ali akan menjelajah keseluruh negara perjelas isu pemecatan

KUALA LUMPUR, 16 Jan — Bekas pemimpin PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali hari ini berkata dia akan menjelajah ke suluruh negara untuk memberi penjelasan sebenar terhadap sebab pemecatannya oleh PAS yang disifatkan tidak adil.

Dalam sidang media di kediamannya, Hasan menuduh pemecatannya berlaku sehari selepas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyerangnya apabila dia tidak menggalakkan mahasiswa daripada menyertai perhimpunan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas.

Menurut Hasan, pemecatannya adalah bertentangan dengan prosedur dan tidak demokratik serta menyifatkannya sebagai tindakan “autokratik” pemimpin PAS kerana tidak memberikan ruang kepadanya untuk mempertahankan diri daripada tuduhan yang dia sendiri tidak jelas.

“Saya tiada kepentingan tersendiri. Saya akan mulakan jelajah ke seluruh negara, dan setakat ini saya telah menerima jemputan di Sabah .... untuk menjelaskan keadaan sebenar institusi berkenaan, sama ada mereka mampu untuk mempertahankan Islam, Melayu, dan kedaulatan institusi Raja.

“PAS seharusnya menjadi bertanggungjawab terhadap aspek-aspek terbabit, tetapi mereka gagal ... saya akan turut menjelaskan sejauh mana PKR dan DAP telah mempengaruhi PAS dalam jelajah tersebut,” katanya.

Hasan turut menuduh “parasit” berkenaan telah menyerap ke dalam parti dan menundukkannya terhadap kehendak mereka dan mengubah perjuangan Islam PAS.

“Pemecatan saya adalah kerana saya mengatakan perbicaraan pemimpin PKR itu adalah perkara peribadi beliau.

“(Tapi) sekarang, terdapat proses “pengAnwarisasi” berlaku dalam PAS,” kata Hasan, dan menuduh keputusan parti tersebut telah dipengaruji Anwar.

Hasan turut menjelaskan, pihaknya sudah menerima surat rasmi dari istana Selangor hati ini yang menyatakan pemecatannya sebagai exco negeri berkuatkuasa hari ini.

“Saya merasakan, pengguguran saya sebagai exco adalah bertentangan degan perundangan PAS, yang mana akan tamat pada hari terakhir rayuan saya ... (tapi) saya tiada sebarang masalah digugurkan sebagai exco,” tambahnya.

Tambah Hasan, dia akan gunakan kedudukannya sebagai orang kanan NGO Himpun sebagaiplatform baginya menyuarakan pendapatnya, dan dia belum terfikir untuk menyertai PAS semula buat masa ini.

“Bila PAS kembali ke landasan asalnya, kemudian baru Hasan Ali akan mengisi borang keahlianya,” tambahnya lagi. -TMI

Hasan boleh bebas melayang di angkasa raya Oleh Subky Latif,

SUDAH tentu PAS rasa amat dukacita memecat keahlian Dato Hasan Ali kerana ia amat jarang memecat ahlinya.

Bukan mudah untuk mendapatkan seorang Islam dan rakyat Malaysia menyertai parti itu dalam negara yang memberi banyak pilihan kepada setiap rakyat, maka tentulah tidak mudah pula ia memecat ahlinya, apa lagi ahli itu ada sedikit sebanyak jasa dan sumbangannya.

Sudah tentu pada PAS setiap yang menyertainya, diharapkan tidak menyertainya untuk satu ketika tetapi sebolah-bolehnya biarlah dia mati dalam parti itu.

Jika boleh kita mahu ada dalam PAS seorang ahli macam Dato Ibrahim Ali bagi UMNO, sesudah dihina dan dipecat dari ahli seumur hidup, dia tidak berubah setia pada UMNO, menunggu untuk diterima semula menjadi ahli UMNO. Ketika UMNO tidak bercadang untuk mengambilnya semula, dia buat macam-macam kegiatan untuk partinya yang membuangnya itu.

Apa pun Hasan tentu tidak dipecat sampai mati. Dia ada peluang untuk merayu kalau mahu, kalau dia rasa parti itu dapat menjadi saluran kepadanya memperjuangkan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan raja. Itu pun kalau dia mahu jadi macam kebanyakan ahli PAS yang bercita-cita untuk mati sebagai ahli PAS.

Tentu ramai yang pilu atas tindakan ke atasnya, bahkan mengeluarkan air mata, tetapi tidaklah air mata itu sampai menjadi sebatang sungai baru di Selangor. Justeru setiap ahli PAS ada juga jasanya disamping ada sebab musabab dia terpaksa dipecat.

PAS pernah memecat keahlian bekas Yang Dipertua Agungnya Dato Asri bersama beberapa orang ahli anggota Jawatankuasa Agung yang lain. Siapa kata Dato Asri tiada jasa dalam PAS? Bahkan besar jasanya kepada parti. Tetapi demi kepentingan parti, jasa-jasa yang besar dan banyak tidak menjadi sebab seseorang tidak boleh dipecat.

Pemecatan tidak dibuat atas kemahuan Mursyidul Am atau Presiden parti, tetapi dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Tentunya ia tidak dibantah oleh Majlis Syura.


Saya pernah mewakili PAS ke Ijtimak Jamiatee Islami Bangladesh. Jamiatee adalah sama bagi Pakistan dan India. Tiada siapa boleh terus jadi ahli parti Islam itu melainkan setelah sepuluh tahun menjadi Rukun, satu nama bagi pemohon menjadi ahli. Sesudah 10 tahun jadi Rukun pun belum tentu diterima menjadi anggota Jamiatee Islami.

Dalam keadaan demikian berpuluh ribu anggota Rukun menunggu dengan sabar untuk menjadi ahli.

Tetapi PAS tidak seketat rakan-rakan parti Islam di benua kecil India. Hassan Ali tidak perlu menunggu 10 tahun untuk menjadi ahli Jawatankuasa Pusat dan Naib Presiden parti. Dan diberi amanah selama lapan tahun jadi Pesuruhjaya PAS Selangor.

Di Selangor dia jadi orang PAS yang paling bertuah sepanjan sejarah, menjadi Exco kerajaan Negeri Selangor apabila Pakatan memerintah. Orang yang lebih besar dan lama perjuangannya di Selangor tidak sebertuah sepertinya.


Saya tahu sedikit sebanyak masalah dalaman parti. Penggal pertama Hassan menjadi pesuruhjaya, dia telah tidak menjadi calon tunggal untuk menyambung amanah itu. Dia sudah tidak dinamakan, tetapi Jawatankuasa PAS memberi peluang kepadanya untuk menjadi PJ lagi hinggalah ke tahun 2011.

Setakat dia mempertikai dasar terkini PAS secara terbuka, PAS tidak begitu segera untuk bertindak drastik, tetapi apabila dia boleh menserba-salahkan hubungan PAS dengan sekutu-sekutunya dalam Pakatan Rakyat, maka PAS tidak banyak pilihan melainkan (memecatnya).

Sekarang Hasan sudah bebas, seperti burung dia boleh terbang melayang sejauh mana dan setinggi mana pun di angkasa raya. Dia boleh kata apa yang dia rasa perlu kata. Dia boleh hinggap di mana dahan yang ada.

Melepaskannya dari PAS adalah untuk membebaskannya bersuara bebas seperti yang dijamin oleh perlembagaan negara.
-HD


Ulasan GB

Apa yang GB telah tuliskan sebelum ini benar. Pena Subky Latif sememangnya masih tajam.

Benar apa yang dikatakan. Hassan Ali boleh jelajah bukan saja ke seluruh negara malah ke seluruh dunia dan diperlebarkan oleh Subky, ke seluruh angkasa raya... untuk tujuan apa sekalipun...

Nak dedahkan parasit? Sedangkan dirinya sendiri tidak menyedari, adalah parasit paling merbahaya...

Tak siapa halang untuk anda mendedahkan. Sebab kini majoriti ahli PAS sudah mengenal kamu. Tak macam dulu, Subky terpaksa menulis secara halus, hanya dapat dikesani maknanya oleh si pembaca yang teliti, yang terpaksa mengasing permata daripada kaca.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca







Apabila SMS Sering Menjadi Punca Pergaduhan Dan Penceraian...

Cemburu SMS bawa padah

KUALA LUMPUR: Gara-gara SMS, seorang isteri berusia 26 tahun teruk dibelasah suami yang cemburu di rumah mereka di Setapak, awal pagi kelmarin. Gambar fail

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, suami mangsa yang berusia 30-an itu terbaca SMS dalam telefon bimbit isterinya yang dihantar seorang rakan perempuan.

Sumber polis berkata, dalam SMS dihantarnya rakan itu bertanya hubungan mangsa dengan seseorang lelaki dan ia amat mengejutkan suami mangsa.

Menurutnya, suspek mengejut mangsa yang tidur sebelum berlaku pertengkaran.

“Mangsa menafikan ada hubungan dengan lelaki lain dan dan memberitahu semua itu hanya salah faham namun suspek masih tidak berpuas hati dan mendakwa isterinya curang.

“Suspek naik angin dan menumbuk muka mangsa beberapa kali tanpa mempedulikan rayuan mangsa menyebabkan mangsa cedera di muka dan lebam seluruh badan,” katanya.

Menurutnya, lebih kejam, lelaki terbabit duduk di atas badan dan menarik rambut mangsa sebelum keluar rumah.

Tidak tahan dengan sikap panas baran suami, mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Jinjang. -hm

Ulasan GB

Ini adalah kisah masyarakat, kisah rumahtangga. GB paparkan kes di atas untuk mencari moral (pelajaran) di sebalik isu berkenaan. Ia berkaitan dengan perlakuan tidak baik oleh pasangan dengan menggunakan teknologi yang ada sehingga hubungan suami isteri tergugat. Ia banyak berlaku dewasa ini.

GB pernah ulaskan hal ini di sini. Petikan:http://www.blogger.com/img/blank.gif

Dewasa ini terdapat banyak kes di mana handfon dan beberapa media komunikasi digital seperti internet melalui facebook dan lamanweb sosial yang lain seperti Friendster, MySpace, Wayn, menjadi penyebab kepada berlakunya banyak pergaduhan dan penceraian.

Dan kisah di atas hanyalah satu daripada beberapa ratus kes yang berlaku disebabkan oleh kewujudan media baru ini.

Suami dan isteri menjadi porak peranda gara-gara SMS.

Justeru itu, sebagai pasangan sebuah rumahtangga Islam, sepatutnya TIADA RAHSIA diantara suami dan isteri dalam hal komunikasi yang menggunakan handfon. Sebarang kerahsiaan sebenarnya menyerlahkan sikap ketidak-jujuran.

Justeru itu tidak sewajarnya suami menyembunyikan apa-apa hal melalui handfonnya daripada isteri begitulah juga disebaliknya, isteri tidak sepatutnya menyembunyi komunikasi dengan orang lain di belakang suaminya.


Liow, Lu Sendiri Ada Beranikah Lawan Lim Guan Eng?

Calon MCA Mampu Beri Saingan Kepada Guan Eng Pada PRU-13:Liow

BUTTERWORTH: MCA yakin calon yang dipilih bertanding untuk kerusi Parlimen Bagan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti akan memberi saingan kepada pakatan pembangkang.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata parti itu telah memilih calon yang mampu memberi saingan sengit di kawasan berkenaan.

"Calon untuk (parlimen) Bagan sudah ada, tetapi saya tidak boleh dedahkannya lagi.

"Penduduk di Bagan mahu calon yang mampu berkerja keras untuk mereka dan MCA percaya beliau boleh berkerja dan bertanggunjawab terhadap mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Tahun Baru Cina 2012 Parlimen Bagan, di sini malam Ahad.

Parlimen Bagan diwakili oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Liow, yang juga Menteri Kesihatan, berkata MCA juga mempunyai strategi tersendiri untuk memenangi Parlimen Bagan pada PRU akan datang.

"Kita akan tentang habis-habisan calon DAP di sini, saya yakin penduduk di Bagan sudah terbuka dan nampak apa yang Barisan Nasional (BN) telah bagi kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Parlimen Bagan, David Chua Teik Siang berkata ramai penduduk di Parlimen berkenaan kecewa dengan sikap kerajaan negeri kerana tidak menunaikan janji mereka semasa berkempen pada PRU lepas.

"Penduduk golongan sederhana dan miskin di Parlimen Bagan kecewa kerana nasib mereka tidak dibela seperti yang dijanjikan oleh pembangkang, malah lebih teruk," katanya. - BERNAMA

Ulasan GB

Untuk menandingi ketokohan Ketua Menteri Pulau Pinang, MCA perlu turunkan samada Presidennya, Chua Soi Lek atau Timbalan Presidennya, Liow Tiong Lai sendiri.

Cukup aneh apabila Liow mendakwa MCA mampu memberikan saingan sengit di Parlimen Bagan jika Liow sendiri takut untuk bertanding di situ.

Jika Presiden atau Timbalan Presiden MCA sendiri tidak yakin dengan kemampuan mereka, dan nak meletakkan calon lain (sekalipun anak Bagan) lupakan saja mimpi itu.

Alangkan GERAKAN yang telah memegang tampuk kerajaan Pulau Pinang berpuluh tahun tersungkur lebut, inikan pula MCA, kedua-dua parti yang sudah tidak lagi relevan di kalangan rakyat.

Hassan Ali Diminta Dedahkan Siapa Parasit Yang Dimaksudkan

Shah Alam – Pas Selangor mencabar bekas Pesuruhjayanya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mendedahkan senarai nama sekumpulan parasit yang didakwanya wujud dalam Pas.

Pesuruhjaya Pas Negeri, Dr Abd Rani Osman (gambar) berkata, setiap tuduhan yang dibuat perlu berlandaskan bukti bagi memastikan dakwaan terbabit bukan fitnah.

Abd Rani berkata, pendedahan senarai nama itu boleh membantu parti itu untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Kalau dia ada bukti mengatakan dalam Pas ini ada parasit maka perkara itu perlu didedahkan kerana dalam Islam sendiri setiap tuduhan itu perlu ada buktinya.

“Kita pun nak tahu juga siapa parasit yang ada dalam Pas ini supaya kita sendiri boleh mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Semalam akhbar ini melaporkan Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia mendakwa terdapat sekumpulan parasit di dalam parti itu yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain.

Hasan mendakwa kumpulan parasit itu tidak suka isu arak dan murtad diperjuangkan di negeri ini.

Sementara itu, timba-lannya, Khalid Abdul Samad turut membidas kenyataan Hasan dan memintanya mendedahkan nama-nama tersebut.

“Parasit adalah orang yang hidup atas kekuatan Pas sambil menghisap darah atau zat darinya tanpa memikirkan kecederaan yang dialami Pas hasil dari tindakannya. Siapa mereka?,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). -SH

Nik Aziz nasihat Hasan Ali 'jaga mulut'

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali yang dipecat sebagai anggota parti baru-baru ini supaya "jaga mulut" daripada terus mengkritik dasar-dasar parti Islam itu.

Mursyidul am PAS berkata, tindakan Hasan yang menyebabkannya dipecat genap seminggu lalu menggambarkan kenyataan yang "tidak cerdik", lebih-lebih lagi apabila bercakap secara terbuka kepada media milik Umno.

"Nasihat saya (pada Hasan), jaga mulut. Jaga mulut. (Sepatutnya) kalau ada masalah apa tak betul dengan parti, kita sebut dalam mesyuarat. Ini cakap dalam surat khabar,

"Lebih-lebih lagi surat khabar Umno pula. Lepas itu dibesar-besarkan. Tak cerdik kita bila kita cakap bom bang bom bang kepada orang ramai. Nak kata bodoh tak boleh. Tak cerdiklah," katanya.

Hasan yang merupakan penceramah motivasi terkenal dipecat serta merta daripada PAS pada 8 Januari lalu kerana tindakannya yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti, seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS.

Beberapa jam selepas pemecatannya diumumkan, Hasan (kanan) dalam perhimpunan di rumahnya dilaporkan menyifatkan pemecatannya hanya kerana mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak mahu rakyat terjebak dalam permainan politik ketua pembangkang.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di kediaman rasminya di Kota Bharu Khamis lalu, mengenai nasib Hasan, Nik Aziz berkata terpulanglah kepadanya sama ada untuk merayu atau tidak atas keputusan jawatankuasa pusat PAS itu.

"Ikut dialah. Kita beri peluang pada dia merayu. Bila merayu kita tengok keas macam mana keadaannya," katanya tanpa mahu mengulas panjang isu itu.

'Nasha sudah akil baligh, ikut dialah'

Nik Aziz juga mengulangi bahawa pemecatan itu sebagai perkara biasa dan mengumpamakannya sebagai penceraian dalam rumah tangga melibatkan suami dan isteri.

"Saya sebut dah, anak ramai, perempuan kaya suami dapat (gelaran) datuk, harta banyak, juga bercerai.

"Kerana apa? Ada sebab-sebab tertentu," katanya sambil mengingatkan tentang pemecatan presiden PAS keempat Tan Sri Mohd Asri Muda daripada parti itu.

"Maknanya tak ada parti yang tak pecat ahlinya bila ada masalah. Di Kelantan ini, dua tiga orang Umno pun dipecat. "

Sementara itu, ditanya tentang pendirian bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa (kiri) yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Hasan, Nik Aziz hanya berkata "itu dia punya pasal".

"Saya ini bila ada kes di depan, dalam mesyuarat itu saya buat keputusan. Tetapi saya nak komen luar (mesyuarat) begini saya tak boleh.

"Ikut dia, sudah akil baligh. Orang itu dah akil baligh reti apa yang bercanggah dengan peraturan, apa yang tidak," katanya.

Nasharudin antara pemimpin PAS yang hadir menyatakan sokongan pada perhimpunan di rumah Hasan di Petaling Jaya pada malam beliau dipecat.

Beliau malah dilapor berucap mempertahankan Hasan yang dikatakan menghadapi tugas yang bukan mudah dan diasak daripada pelbagai sudut ketika menegakkan agama.

Hasan bayangkan tak merayu

Dalam perkembangan berkaiatan, Hasan dilapor membayangkan beliau tidak akan mengemukakan rayuan berhubung pemecatannya biarpun ada ruang sehingga 7 Februari depan.

Hasan berkata, beliau tidak kesal dengan pendirian itu selepas merasakan perjuangan dalam PAS dikhianati oleh sekumpulan ‘parasit’ yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain, lapor Sinar Harian.

“Saya tak boleh, jiwa saya tak boleh. Saya tidak nampak kenapa harus kekal dalam parti,” beliau dipetik sebagai berkata dalam Program Bicara Memurnikan Akidah Ummah, anjuran Sekretariat Selamatkan Akidah (HIMPUN) di Kuala Lumpur. -mk



Ulasan GB

Suka main tuduh-tuduh. Sepatutnya kemukakan aduan berserta bukti kepada pihak pimpinan. Itu cara berorganisasi, itu kaedah berjemaah. Kalau tak mahu ikut cara itu pergi duduk dalam hutan.

Lansung tak hiraukan "arahan" yang berbentuk nasihat daripada Mursyidul Am PAS, TG Nik Aziz.

Dah kena pecat bermacam-macalah karenahnya. Semasa belum dipecat tak mahu beringat.


Pemahaman Hassan Ali Salah, Beliau Dakwa Masih Ahli PAS [updated]

Hasan Ali: 'Secara teknikal saya masih ahli Pas'

PETALING JAYA - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali tidak mempunyai masalah sekiranya digugurkan sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastuktur dan Kemudahan Awam .

Bagaimanapun beliau mempersoalkan tindakan terburu-buru Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk mengugurkan beliau sebagai Exco.

Malah, Hasan turut mempersoalkan tindakan tersebut kerana beliau secara teknikal masih ahli Pas kerana mempunyai ruang untuk merayu sehingga 7 Februari depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan.

"Sikap ini seperti ada pihak yang tidak sabar-sabar untuk mendapatkan jawatan saya sebagai Exco.

"Saya tidak mempunyai masalah digugurkan sebagai Exco tetapi tindakan terburu-buru menggugurkan saya sedangkan saya masih lagi ahli Pas kerana mempunyai masa untuk membuat rayuan," katanya pada sidang media di kediaman beliau di sini, hari ini.

Hasan turut memberitahu bahawa beliau telah menerima surat dari pihak istana berhubung pembatalan pelantikan beliau sebagai Exco.

Pada 9 Januari lalu, Jawatankuasa Pas Pusat mengambil tindakan memecat keahlian Hasan berkuat kuasa serta-merta. -SH

Ulasan GB

Pemahaman Hassan Ali salah.

Apabila anda sudah dipecat dari PAS, maka dengan sendirinya keahlian PAS gugur sekalipun boleh merayu.

Jika merayu dan rayuan diterima barulah keahlian anda diterima semula, bermula fresh dari seorang ahli biasa.

Tanyalah mana-mana peguam sekalipun. Begitulah jawapannya.

Dan apabila pihak istana sendiri telah menghantar surat kepadanya perlantikan exconya dibatalkan, tiada soaljawab lagi di dalam hal tersebut kerana perlantikan exco adalah hak prerogatif istana, sementelah lagi parti sudah tidak perkenankan anda sebagai wakil PAS dalam kerajaan Selangor.

Anda sendiri yang menyatakan sebelum ini anda tidak akan membuat rayuan dan tak boleh kekal dalam PAS.

Masih hendak berdolak-dalik?

Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Pelajar Malaysia Mati Lemas Di Air terjun Dua Warna Sibolangit Medan

Mahasiswa Malaysia Tewas di Sibolangit

Seorang mahasiswa Fakulti Kedoktoran Gigi (FKG) Universiti Sumatera Utara (USU) yang berasal dari Malaysia, Settho Bathi Rao (20) terkorban diseret arus di Air Terjun Dua Warna, Sibolangit, semalam 15/1).

"Kami mendapat maklumat mangsa ikut bersama rakan-rakannya memasuki ke dalam air dan ternyata tidak pandai berenang yang akhirnya meninggal dunia di dalam air," kata Ketua Polis Pancur Batu, AKP Ruruh Wicaksono, ketika ditemui Tribun di bilik jenazah RSUP Adam Malik Jalan Bunga Lau Medan, malam tadi.

Ruruh memnjangkakan kejadian nahas itu berlaku sekitar jam 12.00 WIB. Tetapi kerana kesukaran jaringan telekomunikasi di daerah tersebut, polis sektor Pancurbatu Polresta Medan hanya menerima pesananan pada jam 15.00 WIB.

Beliau menjelaskan, pihak polis sendiri yang sampai di lokasi pukul 16.00 WIB, terus membawa jenazah menggunakan kenderaan penyelamat Basarnas menuju Medan.

Tepat pukul 20.10 WIB, jenazah terus dibawah ke kamar jenazah dan menunggu komunikasi dari keluarga di Malaysia dan pihak kedutaan Malaysia di Medan, untuk pengumpulan data.

Mangsa warga negara Malaysia yang sedang berkuliah di FKG USU pendaftaran 2011. Hingga ketika ini kami juga sedang meminta keterangan dari 10 rakannya di pejabat, untuk pengumpulan data," ujarnya.

Tribun tiba di bilik jenazah RSUP Adam Malik sekitar pukul 20.00 WIB, pada awalnya hanya melihat belasan polis yang sedang mengawasi. Setelah pukul 21.15 WIB, rakan korban sesama warga Malaysia mula tiba.

M Samil (22), perwakilan dari gabungan mahasiswa Malaysia Medan, mengaku tidak begitu mengenal mangsa. Tetapi sebagai mahasiswa sesama Malaysia, ia langsung memperoleh maklumat bahwa ada mahasiswa Malaysia yang meninggal dunia di Air Terjun Dua Warna.

"Saya dengan mangsa bersama-sama menuntut di USU Fakultas Kedoktoran. Tetapi saya tidak mengenalnya. Beliau baru masuk kuliah 2011 lalu, mungkin bersama temannya mereka merayakan sebai saja ujian semester selesai. Saya juga terkejut mendengar ia meninggal sekitar pukul 15.00 WIB," katanya dengan logat Melayu.

Ia bersama 20 mahasiswa Malaysia dilihat menjenguk jenazah mangsa.

"Kami sudah menghubungi dengan pihak Kedutaan Malaysia dan pihak USU, agar memberikan maklumat kematian pada keluarganya. Saya tidak tahu dia dari negeri mana," ujarnya.

Kedutaan Malaysia untuk Medan, Norlin Othman, belum dapat memastikan bilakan jenazah akan dibawa pulang ke Malaysia, kerana harus menghubungi dengan berbagai pihak.

"Saya akan menghubungi semua pihak terlebih dahulu sebelum membawa jenazah ke Malaysia," katanya ketika disahkan sekitar pukul 22.00 WIB. -tribunnews

Ong Tee Keat Menjadi Ong "Tiket " Kerana Khuatir Nama Tercicir Daripada Senarai Calon

Ong Tee Keat akan dapat 'tiket' Oleh Tan Soo Aun

Saya suka menarik perhatian laporan berita Malaysiakini bertajuk “Ong Tee Keat nafi akan sertai Pakatan Rakyat” dan menjangkakan penafian ini tidak akan berkekal lama. Lambat laun berita Ong Tee Keat melompat parti akan menjadi kenyataan.

Atas sebutan namanya “Ong Tee Keat” berbunyi seakan-akan “Ong Tiket”, bermaksud beliau sentiasa mempunyai ticket untuk bertanding dalam pilihanraya walaupun hampir-hampir digugurkan setiap kali menjelang pilihan raya umum sejak tahun 1995 lagi.

Ong Tiket tetap ada tiket dan oleh itu lagenda kebolehan beliau memenangi pencalonan dan seterusnya kerusi parlimen tersebar luas di kalangan politik MCA.

Kali ini, nampak jelas anggota parlimen Pandan hampir pasti akan kehilangan “ticket” buat selama-lamanya. Oleh itu, beliau kini muncul aktif memperjuangkan “ticket” pertandingan dari pucuk pimpinan MCA dan BN.

Tetapi senario politik MCA sudah banyak berubah, perjuangan menghidup “ticket” pertandingan perlu dibawa dan diterjemahkan menerusi parti-parti Pakatan Rakyat.

Ong tidak akan melompat ke Pakatan Rakyat kalau tidak ditawarkan tiket pertandingan di kawasan Pandan atau tempat lain.

Desas-desus dan spekulasi mengenai kemungkinan beliau melompatkan parti direkacipta untuk mendesak pucuk pimpinan MCA dan BN dan seterusnya menawarkan ticket pertandingan untuk beliau meneruskan kerjaya politik. Apabila BN menolak pencalonan beliau secara muktamad maka hari itu juga Ong akan keluar dari parti MCA.

Ong perlu mendapatkan tiket pertandingan samada menerusi BN ataupun Pakatan Rakyat. Tetapi, bagi orang-orang yang akrab dengan selok-belok parti, tindak-tanduk Ong tidak melambangkan tingkahlaku yang baik.

Apa lagi yang hendak diperjuangkan jika beliau sudah diberi peluang menyandang jawatan Presiden MCA dan menteri kabinet. Apakah bukan lebih enak dan elok bagi beliau mengundurkan diri secara terhormat setelah disingkirkan oleh perwakilan parti pada 28 Mac 2010.

Dewasa ini terdapat ramai tokoh-tokoh veteran dalam Barisan Nasional yang tidak rela berundur walaupun sudah berkhidmat begitu lama dalam politik. Bagi mereka persaraan tidak adalah sesuatu yang tidak ujud dalam kamus peribadi.

Keadaan ini dimudaratkan pula dengan senario politik tempatan yang semakin kompetitif dan dengan itu memberikan ruang untuk tokoh-tokoh veteran melanjutkan usia politik masing-masing. Kalau bukan di pihak pemerintah, mereka akan cuba dapat ticket pertandingan dari kem Pakatan Rakyat.

Dari segi undang-undang dan perlembagaan, persaraan politik memang tidak ujud dan boleh dilanjutkan sehingga hembus nafas terakhir.

Walau bagaimanapun, tokoh-tokoh veteran dari parti pemerintah sepatutnya menginsafi tindak-tanduk mereka boleh melemahkan parti sendiri. Adakah mereka cintakan parti hanya dengan syarat diri mereka diberikan peluang untuk bertanding?

Apabila mereka sendiri tidak berpeluang turun bertanding, mereka akan bertindak mencetus kecelaruan di mana-mana sehingga tuntutan mereka dilayan? Berapa ramaikah orang yang bernasib baik seperti Ong, sudah diberikan peluang memegang jawatan menteri kabinet dan President MCA?

Jikalau rekod kejayaan seperti ini masih tidak dapat memuaskan hati dan nafsu tokoh-tokoh veteran, maka masalah yang utama bukan lagi berpunca dari parti. Tepuk dada dan tanya selera, apakah agenda politik yang masih belum selesai lagi?

Ong Tee Keat nafi akan sertai Pakatan Rakyat

Bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini menyangkal khabar angin beliau berhasrat menyertai sebuah parti yang menganggotai Pakatan Rakyat.

Walaupun Ong tidak menolak khabar angin bahawa beliau telah mengadakan perjumpaan dengan para pemimpin pembangkang, tetapi ahli parlimen Pandan ini menafikan perjumpaan itu bertujuan membincangkan penyertaannya dalam mana-mana parti pembangkang.

"Sebelum ini, mereka (khabar angin) kata saya akan menganggotai PKR. Selepas perkara ini terbukti tidak benar, mereka kata pula saya akan menganggotai DAP pada 20 Jan. Apa pula selepas ni? PAS?" katanya.

Bagaimanapun, bekas Menteri Pengangkutan ini enggan berterus terang tentang langkah politik beliau seterusnya dan berkata beliau akan membuat pengumuman mengenai perkara itu pada waktu yang sesuai.

"Saya akan jelaskan perkara itu apabila sampai masanya. Untuk sementara waktu ni, saya memberi tumpuan terhadap tugas saya sebagai ahli parlimen, membantu orang di kawasan berkenaan," katanya.

Ini bukan kali pertama tersebar khabar angin bahawa Ong merancang untuk menyertai parti lain.

Oktober lalu, sebuah portal berita mendakwa Ong mengadakan perjumpaan secara berasingan dengan Pemimpin Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ketua DAP Selangor Teresa Kok serta kemungkinan beliau berbincang dengan mereka mengenai penyertaannya dalam pakatan pembangkang. Bagaimanapun, Ong menafikan laporan itu.

Dalam temubual yang disiarkan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris minggu lalu, Ong berkata beliau akan mempertahankan kerusi Pandan yang disandangnya, walaupun beliau disingkirkan oleh MCA.

Sejak beberapa hari lalu, timbul pula spekulasi bahawa beliau akan meninggalkan MCA untuk menganggotai sebuah parti pembangkang pada 20 Jan.

Spekulasi ini dibuat berikutan peletakan jawatan secara serentak dua pemimpin peringkat akar umbi MCA yang mempunyai hubungan rapat dengan beliau -- Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang Eng Hiap Boon dan timbalan pengerusi MCA Cawangan Rumah Pangsa Taman Desa Skudai James Wu Chee Heng -- hujung tahun lalu. - Bernama



Amah Maut Dihempap Pintu Pagar Rumah

Johor Bahru: “Ketika saya cuba mengangkat pagar itu, Bibik masih bernyawa, tetapi beberapa minit kemudian dia diam dan tidak bergerak,” kata Shahrul Hassan, 41, menceritakan insiden amahnya terbunuh akibat dihempap pintu pagar rumah majikannya di Jalan Raja Udang, Larkin Jaya, di sini, semalam.

Gambar: TUTUP...mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Oneh, 50-an, tergelincir ketika membersihkan halaman rumah dan memaut pintu pagar bagi mengelakkan terjatuh, namun pagar besi seberat lebih 200 kilogram itu tumbang lalu menghempap kepala serta badannya.

Shahrul berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terdengar dentuman kuat.

Sebaik keluar rumah untuk mencari punca bunyi, dia menemui Oneh yang dipanggil Bibik dan bekerja dengan ibu bapanya sejak lebih tiga tahun lalu, berlumuran darah dihempap pintu pagar.

“Saya sedih melihat keadaannya dan tidak banyak yang dapat kami buat untuk menyelamatkannya. Saya juga sebak mengenangkan hasrat Bibik mengerjakan haji tidak tercapai kerana dia pernah memberitahu wang simpanannya sudah mencukupi.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini dan menganggap ia sebagai takdir Allah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. -hm

Amah maut ditimpa pintu pagar 200kg

JOHOR BAHRU: Seorang pembantu rumah warga Indonesia maut dihempap pintu pagar seberat 200 kilogram ketika mencuci lantai di luar kediaman majikannya dekat Jalan Raja Udang, Larkin Jaya, di sini, tengah hari semalam.

Kejadian berlaku jam 12.30 tengah hari ketika mangsa dikenali sebagai Oneh, 50-an, sedang membersihkan kawasan depan rumah itu sebelum dipercayai tergelincir akibat lantai licin.

Dalam keadaan cemas, mangsa dipercayai bertindak memaut pintu pagar terbabit untuk mengelak daripada terjatuh, tetapi bahan binaan besi itu tumbang menghentak kepala serta menghempap badan mangsa.

Anak majikan mangsa, Shahrul Hassan, 41, berkata ahli keluarganya yang berada dalam rumah ketika itu, terkejut dengan dentuman kuat daripada arah luar rumah itu sebelum bergegas keluar meninjau.

“Kami terkejut mendapati bibik (Oneh) sudah terbaring berlumuran darah di bawah pintu pagar yang tumbang. Kami bergegas mengalihkan pintu pagar terbabit kerana ketika itu mendapati bibik masih lagi bernyawa.

“Namun belum sempat mendapatkan bantuan kecemasan, beberapa minit kemudian, dia menghembus nafasnya yang terakhir di hadapan kami sekeluarga,” katanya yang sedih mengenangkan kejadian menimpa pembantu rumah yang dianggap bagaikan ahli keluarga sendiri itu.

Shahrul berkata, keluarganya bersedih dengan kejadian menimpa mangsa yang bekerja sebagai pembantu di rumahnya sejak empat tahun lalu dan menganggapnya seorang pekerja setia dan dedikasi dalam menjalankan tugasan dengan baik.

“Walaupun menerima kejadian ini sebagai suatu takdir namun kami bersedih mengenangkan bibik tidak mempunyai ahli keluarga dan hidup sebatang kara.

“Malah, gajinya disimpan kerana dia berhajat menunaikan ibadah haji bersama kami,” katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, yang mengesahkan kejadian itu mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

Katanya, siasatan polis mangsa sedang membersihkan persekitaran rumah majikannya sebelum tergelincir dan dihempap pintu pagar itu yang dipautnya ketika mengelak daripada terjatuh.

“Mangsa meninggal akibat kecederaan parah di bahagian kepala, muka dan beberapa anggota.

“Mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat, sebelum diserahkan kembali kepada majikannya untuk dikebumikan,” katanya. -BH



Guru PASTI Kemalangan, Seorang Meninggal Dunia, 5 Cedera

5 guru Pasti kemalangan, seorang meninggal dunia

GELANG PATAH, 15 Jan: Seorang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran Simpang Renggam kira-kira jam 3 petang tadi.

Mangsa, Zainon Maas, 30, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan MPV jenis Honda Wish yang dinaikinya bersama lima lagi rakan guru Pasti yang lain, dirempuh dari arah belakang.

Akibat rempuhan itu, mangsa yang duduk di tempat duduk bahagian belakang didakwa tercampak keluar melalui bonet belakang yang terbuka, dan kemudian dilanggar oleh sebuah kenderaan lain yang mengakibatkan beliau cedera parah dan meninggal di tempat kejadian.

Dalam kejadian itu juga, seorang lagi rakannya juga dilapor turut cedara parah, manakala yang lain hanya mengalami cedera ringan.

Jenazah Zainon dan rakannya difahamkan kemudiannya dibawa ke Hospital Kluang.

Difahamkan juga, kesemua mereka ketika itu dalam perjalanan pulang dari menghadiri Usrah Perdana Pasti Negeri Johor di Parit Raja tengah hari tadi.

Guru berdedikasi

Allahyarhamuha Zainon adalah seorang anak peneroka Felda Pasir Raja yang mengajar di Pasti Siswa 2 di Gelang Patah dan telah berkhidmat di sana lebih empat tahun.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Mazlan Aliman ketika menghubungi Harakahdaily merakamkan takziah buat keluarga allahyarhamuha.

Katanya, pemergian allahyarhamuha bagi PAS Johor disifatkan sebagai satu kehilangan besar, lebih-lebih lagi beliau seorang guru yang sangat berdedikasi.

"Saya mewakili PAS negeri dan kawasan merakamkan takziah kepada keluarga beliau.

"Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh," katanya yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Tenggara.

Jenazah Allahyarhamuha menurut Mazlan akan dikebumikan pagi esok. -hd

Guru PASTI Gelang Patah Kemalangan : Seorang Meninggal Dunia



Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Saya mendapat panggilan telefon daripada Ketua Pemuda PAS Johor yang memaklumkan bahawa guru-guru PASTI kawasan Gelang Patah telah terlibat dalam kemalangan setelah pulang daripada satu program di Parit Raja dan salah seorang daripada guru tersebut telah meninggal dunia manakala lima lagi cedera. Empat dirawat sebagai peasakit luar di Hspital Besar Kulai dan seorang lagi cedera parah di rawat di Hospital Daerah Kluang.

Jenazah guru tersebut dan guru-guru yang cedera dihantar ke Hospital Daerah Kluang. Saya telah memaklumkan kepada pimpanan PAS Kluang untuk memberikan bantuan kepada mangsa dan keluarga mangsa di Hospital. Saya jangka akan tiba di Kluang sekitar jam 8 malam nanti.

Saya tiba di perkarangan bilik Mayat Hospital Daerah Kluang pada sekitar pukul 8.30 malam setelah Naib Yang Di Pertua PAS Kluang mengambil saya di Terminal Bas Kluang. Di Hospital saya bertemu dengan Hajah Atiah Ahmad selaku Ketus Dewan Mualimat PAS Johor, sdr Mahadzir Mat Zili Pengarah Pasti Johor, Puan Kamsiah Hassan iaitu Pengerusi MGP Johor dan pimpinan PAS Kluang yang setia membantu. Tokoh Siti Khadijah PASTI Malaysia yang juga mantan Pengerusi MGP Johor iaitu Hajah Siti Sarah turut haadir sama tadi.

Jenazah cikgu Zainon setelah siap dimandi dan disembahyangkan dibawa terus ke kampung halamannya di Felda Pasir Raja pada malam ini untuk disemadikan pada malam ini juga manakala seorang lagi guru yang cedera parah di bawa ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Saya mewakili PAS Kawasan Kluang mengucapkan takziah kepada semua yang terlibat dalam kemalangan dan mudah-mudahan cikgu Ainon yang telah meninggal dunia dalam kemalangan ini akan dicucuri Rahmat ke atas rohnya.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
KM 199, Lebuhraya PLUS.
15 Januari 2012, 5.59 petang.



Ulasan GB

Semuga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Allahyarhamah.
Alfatehah...

Pelajar USM Ditahan Kerana Tulis Dalam FB Nak Bom Helikopter Najib

Georgetown - Seorang penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) kampus kejuruteraan di Nibong Tebal ditahan polis hari ini untuk diambil keterangan berhubung tindakanya membuat kenyataan berunsur ugutan menerusi laman sosial Facebook.

Difahamkan, penuntut berusia 23 tahun itu mengajak pihak lain meletakkan bom pada helikopter yang akan dinaiki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatannya ke kampus itu minggu depan.

Antaranya penuntut itu menulis, "Najib datang ke kampus... mari bom helikopter beliau."

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pelajar itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi selepas kenyataanya itu dikesan seorang blogger yang menyatakan perkataan-perkataan yang mengandungi unsur-unsur jenayah.

"Satu laporan polis telah dibuat berkaitan dengan isi kandungan blog itu di Balai Jelutong," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, bagi membantu siasatan lanjut, pelajar berkenaan telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang kira-kira jam 1.30 tengah hari.

"Siasatan dibuat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan dengan isi kandungan blog berkenaan. Bagaimanapun, kes ini masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan beliau akan mengadakan sidang media berkenaan mengenai perkara ini esok. -SH

Ugut letup helikopter PM: Pelajar USM ditangkap

Polis menahan seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) kampus kejuruteraan selepas membuat kenyataan berunsur ugutan menerusi laman blognya, di Georgetown hari ini.

Menurut Bernama, dalam kenyataannya pelajar terbabit dikatakan mahu meletakkan bom pada helikopter yang akan dinaiki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam lawatannya ke kampus itu minggu hadapan.

Pelajar terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketua Polis Negeri Datuk Ayub Yaakob yang dihubungi mengesahkan perkara itu dan akan mengadakan sidang media mengenainya esok.

Sementara itu, Star Online, pula melaporkan pelajar berkenaan menulis: "Najib akan datang ke kampus kami ... mari kita bom helikopternya itu ...".

Portal itu juga memetik Ketua Polis Daerah Georgetown Gan Kong Meng berkata pelajar itu dibawa ke balai polis untuk disoal siasat pada kira-kira jam 1.30 tengahari tadi.

"Polis sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Beliau sebelum ini dicekup di kampus di Nibong Tebal.

"Kes ini masih perlukan siasatan lanjut. Kami akan umumkan jika ada apa-apa perkembangan, " katanya dipetik Star Online. -mk