10 Feb 2009

Ulasan Berita Hangat 10 Feb 2009

Waran tangkap ke atas ADUN Changkat Jering, Osman Jailu di tarik balik. Beliau dikatakan sedang menjalani rawatan di hospital dan mempunyai sijil cuti sakit.

Mohd Osman, Jamaluddin, Usaili dan dua orang lagi iaitu, juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Ruslan Sahat dan bekas anggota Majlis Daerah Perak Tengah, Zul bin Hassan menghadapi 16 pertuduhan menerima dan meminta rasuah berkaitan satu projek iaitu cadangan membangunkan tanah seluas 36.42 hektar bernilai RM180 juta di kawasan pusat bandar Seri Iskandar dekat sini secara usahasama dengan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT).

Perbicaraan rasuah Osman Jailu dan Jamaluddin Mat Razi ditangguhkan ke 15 Jun depan.

SPR ADAKAN SIDANG MEDIA JUMAAT INI

MSTAR melaporkan : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima notis kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya telah menerima notis kekosongan kerusi Parlimen daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia

Dalam pada itu pejabat SPR negeri Kedah pula menerima notis kekosongan kerusi DUN daripada Speakernya, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail.

Dalam pada itu Abdul Aziz berkata pihaknya akan bertemu Jumaat ini untuk menentukan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan tersebut.

Ketika ditanya sama ada kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan akan diadakan pada hari yang sama, beliau enggan mengulas lanjut tetapi menyatakan perkara berkenaan akan diputuskan pada mesyuarat Jumaat ini.

PM TELAH ARAH UMNO BERSIAP-SEDIA

PM menyedari bukan satu laluan mudah untuk BN di dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang akan diadakan tidak lama lagi.

Banyak pihak meramalkan BN akan tersungkur di kedua-dua pilihanraya kecil berkenaan ekoran kemelut politik Perak yang sedang hangat kini. Rakyat Perak terutamanya memang sedang menunggu detik pilihanraya berkenaan untuk menunjukkan bantahan mereka terutama kepada TPM, Najib yang telah melakukan rampasan kuasa secara tidak bermaruah di Perak.

KARPAL SINGH TIDAK HADIR DI MAHKAMAH

Di mahkamah Ipoh, orangramai berkumpul sejak pukul 8 pagi dan bersurai kira-kira pukul 3 petang selepas menerima maklumat Karpal tidak akan hadir dan beliau berada di ibu negara.

Karpal Singh berkata beliau tetap akan meneruskan rancangannya untuk menyaman Sultan Perak, kerana menurutnya, tindakan itu tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang.

Katanya, beliau sedia didakwa di mahkamah sekiranya tindakannya itu tidak mengikut lunas undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.

KERAJAAN HARAM BN PERAK TIDAK GAMBARKAN KOMPOSISI PENDUDUK PERAK

ADUN-ADUN BN kerajaan yang dibentuk selepas rampasan kuasa terlalu cacat. Hanya terdapat seorang wakil bukan Melayu di dalam barisan keanggotaan ahli dewan undangan negeri dan beliau telah dilantik sebagai exco iaiatu Dr. Mah Hang Soon (ADUN Chenderiang).

Ramai pihak tidak yakin kerajaan haram BN ini mampu mentadbir negeri Perak dengan baik apabila jumlah exco yang diumumkan terlalu kecil iaitu hanyalah 6 orang.

ADUN Sungai Rapat pula yang dilantik menjadi exco, Hamidah Osman pernah menghina kaum India di Dewan Undangan Negeri satu ketika dahulu.

Ketandusan mereka yang layak dari kalangan BN untuk menjawat jawatan exco akan menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri Perak akan berdepan dengan banyak masalah dan akan menyebabkan mereka dikalahkan dengan lebih teruk nanti di dalam PRU yang akan datang.






Benarkah Mereka Sakit?

Sakit. Tidak sihat. Itu alasan yang diberikan oleh dua orang bekas exco yang melompat parti dari PKR kepada Bebas yang menyokong BN sewaktu gagal menghadirkan diri untuk perbicaraan kes rasuah mereka yang dijadualkan hari ini.

Alasan yang sama telah mereka gunakan sewaktu mereka berdua dilaporkan hilang yang secara tiba-tiba pulih apabila muncul bersama Najib di hari pengumuman mereka mengisytiharkan lompat parti yang membuka jalan untuk berlakunya rampasan kuasa di Perak.

Terlalu mudah untuk memberikan alasan sakit dengan membeli sijil sakit yang berharga RM4-RM5 di klinik apatah lagi dengan wang berjuta yang telah diperolehi dari kegiatan tidak bermoral dan beretika.

Mereka tidak menyedari alasan sakit yang diberikan berulangkali akan menyebabkan alasan itu nanti akan bertukar menjadi "kebenaran" apabila "minda bawah sedar" mereka disuapkan dengan hal yang negatif seperti itu.

Munkin mereka berdua ini tidak pernah menyedari bahawa "minda bawah sedar" akan menerima pernyataan mereka itu sebagai sesuatu yang benar dan kelak nanti mereka akan benar-benar merasai apa yang mereka sendiri hajatkan.

Apabila mereka menghujani minda bawah sedar mereka bahawa mereka sakit, mereka sebenarnya sedang "berdoa" untuk ke arah itu.

Justeru itu kita suka memberi amaran kepada mereka berdua supaya tidak mudah menjadikan "sakit" sebagai alasan untuk sesuatu keuzuran apatah lagi ia dilakkan untuk menutup satu tipu helah.

Seorang boleh menipu seseorang sekali-sekala tetapi orang yang sama tidak boleh menipu semua orang pada masa yang sama. Manusia tidak mudah boleh ditipu sedemikian, kerana dengan demikian anda menipu Tuhan dan menipu diri anda sendiri.

Itu hukum universal. Itu sunnatullah.

Oh rupa-rupanya mereka berdua perlu disekolahkan lagi nampaknya walaupun kini dah bergelar jutawan.


Ulasan Berita Hangat 10 Feb 2009 Edisi Ptg

Mahkamah Majistret Ipoh keluarkan waran tangkap terhadap Adun Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu kerana tidak hadir kes rasuah projek pembangunan bernilai RM180 juta.

Adik Mohd Osman, Noriza Jailu sebagai penjamin beliau, memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh tidak dapat hadir kerana telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur malam semalam kerana masalah jantung.

Selain Osman, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkat terhadap ahli perniagaan Usaili Alias.

Bagaimanapun perintah itu dibatalkan setelah tertuduh hadir kira-kira sejam kemudian.

Perbicaraan yang dijadualkan selama tiga hari bermula hari ini ditangguhkan ke 15 Jun depan dan pihak pendakwa menafikan desas-desus menyatakan kes itu digugurkan. Namun ia belum dapat meyakinkan rakyat kerana kes ditangguh terlalu lama dan Bernama turut telah melaporkan perbicaraan yang dijadualkan selama tiga hari bermula hari ini terpaksa ditangguhkan ke 15 Jun depan kerana Hakim Mahkamah Sesyen, Tan Looi Heng menghadiri seminar sehingga esok dan kes itu kemudian didengar di hadapan Majistret Sharmila Abdul Samad.

6 EXCO ANGKAT SUMPAH

Enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang baru, yang terdiri dari dua muka lama dan empat muka baru, hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini pagi ini.

Mereka terdiri dari dua bekas Exco, Datuk Ramly Zahari (ADUN Manong) dan Datuk Saarani Mohamad (ADUN Kota Tampan).

Empat muka baru pula terdiri daripada Ketua Pemuda MCA Perak, Dr. Mah Hang Soon (ADUN Chenderiang), Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Padzi Paharudin (ADUN Sungai Manik), Hamidah Osman (ADUN Sungai Rapat) dan Mohd Zahir Abdul Khalid (ADUN Kamunting).

BBC Perak di dalam kenyataannya membantah perlantikan ADUN Sungai Rapat sebagai exco kerana Hamidah pernah menghina kuam India apabila dia bertanya kepada Speaker Dewan Negeri, V. Sivakumar yang berbangsa India samada menerima perumpamaan lama, yang mana patut dibunuh dahulu, ular ataupun orang India.

Semua exco Pakatan Rakyat memboikot majlis berkenaan. ADUN Bebas juga tidak kelihatan.

NIZAR DIHALANG MEMASUKI BANGUNAN SUK

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dihalang daripada memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Nizar berkata beliau akan tetap menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar dari kediaman rasminya.

Bangunan SUK dikawal ketat ketat pihak polis termasuk anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU). Dua trak FRU turut ditempatkan di hadapan bangunan SUK.

Tidak kelihatan gelagat penyokong Umno yang dikatakan akan "berbuat apa sahaja" untuk menghalang Mohammad Nizar memasuki bangunan pejabatnya.

SPR BERMESYUARAT JUMAAT INI

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini untuk membincangkan mengenai tarikh pilihan raya bagi kedua-dua kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membincangkan mengenai kekosongan dan langkah-langkah seterusnya termasuk tarikh mengadakan pilihan raya kecil bagi dua kerusi berkenaan.

Bagaimanapun kata beliau, sehingga tengah hari ini, pihaknya belum menerima notis maklumat kekosongan daripada Speaker DUN Kedah dan Speaker Dewan Rakyat.

PKR CADANGKAN CALON INDIA UNTUK BUKIT SELAMBAU

PKR merancang meletakkan calon berketurunan India pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah susulan peletakan jawatan penyandangnya V Arumugam semalam.

Penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia akan meletakkan calonnya memandangkan kerusi DUN berkenaan diperuntukkan kepada PKR.


Perompak Ganti Pencuri

Dr MAZA, bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis yang sangat popular di negara kita, sedang mengikuti kursus sabatikal di UK pernah menyatakan:

"Mungkin sudah sampai masanya untuk rakyat Malaysia memikirkan kaedah pemilihan Perdana Menteri negara ini dengan cara yang membabitkan setiap individu rakyat."

Saya terpanggil untuk membaca tulisannya kembali, mencari "maksud" yang ingin disampaikan kepada rakyat Malaysia sekalipun sebelum ini saya jarang sangat dapat bersetuju dengan tindak-tandunya.

Paling tidak bersetujunya saya dengan Dr.Maza apabila beliau telah menerima perlantikan sebagai Mufti Perlis yang pada anggapan saya sudah pasti batinnya nanti akan tersiksa kerana tidak mungkin orang sebijak dan sealimnya dapat menerima persekitaran politik UMNO yang beliau sendiri telah maklum keadaannya.

Beliau (dan Mufti Perak Datuk Seri Ust Harussani Zakaria juga) sudah pasti mengingati pesanan Rasulullah yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya, serta Abu Daud dan al-Baihaqi dengan sanad yang sahih dari Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, "sesiapa yang datang ke muka pintu Sultan (pemerintah), maka dia akan ditimpa ujian. Tidaklah sesiapa yang menambah dekatnya dia kepada Sultan (pemerintah) melainkan akan ditambahkan jarak jauhnya dia dari Allah SWT".

Seterusnya dikeluarkan oleh al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus daripada Abu Hurairah beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, "apabila kamu melihat seorang alim banyak bercampur gaul dengan Sultan (pemerintah), maka ketahuilah bahawa si alim itu sebenarnya adalah seorang pencuri".

Hal yang sama pernah saya luahkan sewaktu Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada 29 Mac 1982. Saya telah menulis dua kali di dalam sebuah akhbar tabloid waktu itu yang kebetulan ruangan tetap Subky Latif pada waktu itu tidak dapat disiarkan dan editornya menggantikan ia dengan tulisan saya. Saya telah menyatakan ketidak-bersetujuan saya dengan langkah Anwar tersebut. Kerana pada hemat saya langkahnya itu pasti akan menimbulkan fitnah, dan fitnah pasti akan mendapat balasan dalam bentuk fitnah juga.

Rakan sepangajian saya waktu itu, Dr Syed Azman Syed Nawawi (kini ADUN Batu Burok) yang memaklumkan kepada saya mengenai kemasukan Anwar kedalam UMNO tatkala persiapan sedang sibuk pada masa itu untuk mengundangnya (diatas nama Presiden ABIM) sebagai penceramah di tempat kami ketika itu. Ternyata nwar tidak hadir kerana pada masa itu beliau tampil di kaca TV mengisytiharkan diri menyertai UMNO dengan Dr Mahathir (kini Tun) di sisi. Tempat beliau (sebagai penceramah) digantikan dengan Ust Abdul Ghani Shamsuddin.

Tulisan saya di tabloid itu tidak berapa disenangi oleh beberapa pimpinan ABIM waktu itu termasuklah Cikgu Sidek Baba (kini Prof Dr) yang meminta saya "mengendurkan" sedikit kritikan saya terhadap langkah Anwar memilih platform UMNO untuk meneruskan perjuangan.

Memendekkan cerita, akhirnya benar, Anwar menerima bahananya tatkala kakinya hanya selangkah saja lagi untuk bergelar Perdana Menteri.

Berbalik kepada Dr. Maza. Apa yang saya bimbangkan sebelumnya menjadi kenyataan. Dr MAZA akhirnya tidak berupaya untuk menerima tekanan dan fitnah yang menyebabkan beliau meletakkan jawatannya sebagai mufti Perlis dan membuat kenyataan perletakan jawatannya itu sebagai tanda protes kepada kerajaan negeri.

MSTAR pernah menyiarkan pandangan MAZA bahawa mereka yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah diberikan undi tidak percaya supaya berhati-hati. Katanya:

"Adakah penggantinya lebih baik darinya? Kalau tidak nanti, takut keluar mulut harimau, masuk mulut buaya," kenyataan beliau kepada mStar.

Beliau cuba untuk menunjukkan bahawa pengganti Abdullah (Najib) yang digembar-gemburkan tidak semestinya lebih baik.

Dalam bentuk sindiran MAZA meminta "pemimpin negara itu" mengundur diri "apabila negara kacau".

Anak singa di Pulau Teberau
Anak tebuan seekor lari
Jika negara sudah kacau
Eloklah tuan mengundur diri


Dalam rangkap akhir pantun empat kerat itu, MAZA meminta pengunduran itu digantikan dengan seorang pemimpin yang “berbudi tinggi”.

Pergilah mandi di Titi Tinggi
Jangan tersepak tali pencuci
Carilah ganti berbudi tinggi
Bukan perompak ganti pencuri




Tidak tahu apa sebabnya MAZA yang sentiasa berpegang teguh kepada sanad dan musnad terhadap sesuatu dalil hadith kali ini terpaksa menggunakan pantun untuk memberi isyarat dan amarannya tentang "pengganti" yang disifatkannya sebagai "perompak yang mengganti si pencuri." Mungkin dengan cara itu beliau dapat menyampaikan mesejnya dengan jelas kepada "bangsanya" sebelum berangkat ke Lampeter, United Kingdom.

Katanya MAZA lagi:

"Saya sendiri setuju pasca PRU12 telah membuktikan beberapa perkara seperti ia berjaya mematahkan keegoan, keangkuhan dan kesombongan sesetengah ahli politik BN yang selama ini ingat mereka tidak boleh tumbang dan jatuh.

"Tapi episod itu sudah berlalu dan PRU telah membayar dan menunaikan hasrat rakyat. Sudah cukup pengajaran itu. Orang yang hendak dihukum telahpun dihukum. Jangan bicara lagi pasal hukuman, lihat kesan pada hukuman. Umno pun telah dihukum, yang tinggalpun nyawa-nyawa ikan...," kata Asri.

Tetapi nasihat MAZA tidak diperdulikan dan "orang yang dimaksudkan" tidak mengambil pengajaran dari implikasi PRU12 yang lalu, sebaliknya masih galak untuk meneruskan "kareernya" sebagai perompak kali ini merompak ahli-hali politik Pakatan Rakyat untuk menjayakan misinya membentuk sebuah kerajaan haram di Perak!


Kisah Si PEKAN Yang Tamak Dan Gelojoh!

Kononnya, pada waktu dahulu ada sebuah gua ajaib. Gua ini digelar batu belah batu bertangkup dan amat ditakuti oleh ramai penduduk kampung. Pintu gua ini boleh terbuka dan tertutup bila diseru dan sesiapa yang termasuk ke dalam gua itu tidak dapat keluar lagi.

Suatu masa dahulu di sebuah kampung yang berdekatan dengan gua ajaib ini, tinggal Mak Tanjung bersama dua orang anaknya, Melur dan Pekan. Mak Tanjung asyik bersedih kerana baru kehilangan suami dan terpaksa menjaga kedua-dua anaknya dalam keadaan yang miskin dan daif.

Pada suatu hari, Mak Tanjung teringin makan telur ikan tembakul. Dia pun pergi ke sungai untuk menangkapnya. Bukan main suka hatinya apabila dapat seekor ikan tembakul.

"Wah, besarnya ikan yang mak dapat !" teriak Pekan kegembiraan.

" Ya, ini ikan tembakul namanya. Mak rasa ikan ini ada telurnya. Sudah lama mak teringin untuk memakan telur ikan tembakul ini," kata Mak Tanjung.

Mak Tanjung terus menyiang ikan tembakul itu. Dia pun memberikan kepada Melur untuk dimasak gulai.

" Masaklah gulai ikan dan goreng telur ikan tembakul ini. Mak hendak ke hutan mencari kayu. Jika mak lambat pulang, Melur makanlah dahulu bersama Pekan. Tapi, jangan lupa untuk tinggalkan telur ikan tembakul untuk mak," pesan Mak Tanjung kepada Melur.

Setelah selesai memasak gulai ikan tembakul, Melur menggoreng telur ikan tembakul pula. Dia terus menyimpan sedikit telur ikan itu di dalam bakul untuk ibunya. Melur dan Pekan tunggu hingga tengah hari tetapi ibu mereka tidak pulang juga. Pekan mula menangis kerana lapar. Melur terus menyajikan nasi, telur ikan dan gulai ikan tembakul untuk dimakan bersama Pekan.

" Hmmm..sedap betul telur ikan ini," kata Pekan sambil menikmati telur ikan goreng.

" Eh Pekan, janganlah asyik makan telur ikan sahaja. Makanlah nasi dan gulai juga," pesan Melur kepada Pekan.

" Kakak, telur ikan sudah habis. Berilah Pekan lagi. Belum puas rasanya makan telur ikan tembakul ini ," minta Pekan.

" Eh, telur ikan ini memang tidak banyak. Nah, ambil bahagian kakak ini," jawab Melur.

Pekan terus memakan telur ikan kepunyaan kakaknya itu tanpa berfikir lagi. Enak betul rasa telur ikan tembakul itu! Setelah habis telur ikan dimakannya, Pekan meminta lagi.

" Kak, Pekan hendak lagi telur ikan," minta Pekan kepada Melur.

" Eh , mana ada lagi ! Pekan makan sahaja nasi dan gulai ikan. Lagipun, telur ikan yang tinggal itu untuk mak. Mak sudah pesan dengan kakak supaya menyimpankan sedikit telur ikan untuknya ," kata Melur.

Namun, Pekan tetap mendesak dan terus menangis. Puas Melur memujuknya tetapi Pekan tetap berdegil. Tiba-tiba, Pekan berlari dan mencapai telur ikan yang disimpan oleh Melur untuk ibunya.

" Hah, rupa-rupanya ada lagi telur ikan! " teriak Pekan dengan gembiranya.

" Pekan! Jangan makan telur itu! Kakak simpankan untuk mak," teriak Melur.

Malangnya, Pekan tidak mempedulikan teriakan kakaknya, Melur dan terus memakan telur ikan itu sehingga habis. Tidak lama kemudian, Mak Tanjung pun pulang. Melur terus menyajikan makanan untuk ibunya.

" Mana telur ikan tembakul, Melur? " tanya Mak Tanjung.

" Err... Melur ada simpankan untuk mak, tetapi Pekan telah menghabiskannya. Melur cuba melarangnya tetapi...."

" Jadi, tiada sedikit pun lagi untuk mak? " tanya Mak Tanjung.

Melur tidak menjawab kerana berasa serba salah. Dia sedih melihat ibunya yang begitu hampa kerana tidak dapat makan telur ikan tembakul.

" Mak sebenarnya tersangat ingin memakan telur ikan tembakul itu. Tetapi...." sebak rasanya hati Mak Tanjung kerana terlau sedih dengan perbuatan anaknya, Pekan itu.

Mak Tanjung memandang Melur dan Pekan dengan penuh kesedihan lalu berjalan menuju ke hutan. Hatinya bertambah pilu apabila mengenangkan arwah suaminya dan merasakan dirinya tidak dikasihi lagi. Mak Tanjung pasti anak-anaknya tidak menyanyanginya lagi kerana sanggup melukakan hatinya sebegitu rupa.

Melur dan Pekan terus mengejar ibu mereka dari belakang. Mereka berteriak sambil menangis memujuk ibu mereka supaya pulang.

" Mak, jangan tinggalkkan Pekan! Pekan minta maaf ! Mak...." jerit Pekan sekuat hatinya.

Melur turut menangis dan berteriak, " Mak, Kasihanilah kami! Mak!"

Melur dan Pekan bimbang kalau-kalau ibu mereka merajuk dan akan pergi ke gua batu belah batu bertangkup. Mereka terus berlari untuk mendapatkan Mak Tanjung.

Malangnya, Melur dan Pekan sudah terlambat. Mak Tanjung tidak mempedulikan rayuan Melur dan Pekan lalu terus menyeru gua batu belah batu bertangkup agar membuka pintu. Sebaik sahaja Mak Tanjung melangkah masuk, pintu gua ajaib itu pun tertutup.

Melur dan Pekan menangis sekuat hati mereka di hadapan gua batu belah batu bertangkup. Namun ibu mereka tidak kelihatan juga.

Sumber: Dongeng Warisan - Batu Belah Batu Bertangkup
kiriman myogis


Najib Ulangi Sejarah Bapak

Sekiranya... diulangi sekiranya BN berjaya menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak seperti mana diperkatakan sejak semalam dan hari ini ia memberi signifiken tersendiri kepada pengarah perancangan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan itu, iaitu Mohd Najib Razak. Kejayaan ini memberi makna dan erti besar kepada Najib dan wajarlah kalau beliau bergembira, bertepuk tangan dan ketawa besar.

Banyak signifiken-signifikennya. Pertama kejayaan itu cukup manis dan bererti kerana Najib baru saja mengambil alih Pengerusi Perhubungan Umno Perak daripada Tajol Mohd Rosli Ghazali. Kejayaan dalam masa singkat itu menunjukkan ‘kebolehan’ dan kebijaksanaan Najib sebagai pemimpin Umno.

Kejayaan itu memberi dalil bahawa Najib berkemampuan untuk memulihkan Umno. Kejayaan itu juga orang akan menganggap Najib sebagai bisa, bijak berketrampilan dalam politik.

Signifiken lain ia memberi kekuatan dan keyakinan kepada Najib apabila beliau mengambil alih kepimpinan Umno daripada Abdullah Badawi pada Mac kelak. Apa yang diharap kejayaan Najib menawan kerajaan Pakatan tanpa pilihan raya itu permulaan menarik pada era kepimpinannya nanti.

Apabila merenung mengenai apa yang berlaku, Najib yang mengumumkan bahawa BN Perak sudah ada majoriti untuk menubuhkan kerajaan apabila empat Adun, Jamaluddin Mohd Radzi, Othman Jailu, Hee Yit Fong dan Nasaruddin Hisham menyertai BN meyebabkan saya teringat kepada apa yang berlaku 48 tahun lalu di Terengganu.

Hampir lima dekad lalu satu kejadian yang hampir sama tetapi tidak serupa telah berlaku dalam arena politik negara ini, iaitu mengenai kejatuhan atau tumbangnya kerajaan Pas di Terengganu. Senario dan kronologi kejatuhan kerajaan Terengganu itu sama dengan apa yang berlaku di Perak kini.

Kerajaan Pas Terengganu jatuh apabila berlakunya lompat melompat parti. Peristiwa lompat melompat di Terengganu itu hampir sama kelakuan dan tabiat dengan lompat melompat di Perak kini. Ia bermula dengan seorang Adun dari Parti Negara, melompat menyertai Pas kemudian dilantik menjadi Exco.

Rentetan itu ia diikuti dengan kejadian melompat parti daripada tiga Adun Pas ke dalam Perikatan termasuk speaker yang berlaku secara penuh trajis dan tektikal sifatnya. Lompatan itu bukan berlaku di luar tetapi di dalam Dewan persidangan apabila Adun Pas menyokong undi tidak percaya yang dikemukakan Perikatan.

Kerana berlaku lompat melompoat itulah akhirnya menyebabkan kerajaan Pas Terengganu hanya bertahan selama satu tahun setengah sahaja.

Begitu jugalah apa yang berlaku di Perak. Kejatuhannya kerana berlaku lompat melompat. Ia dimulakan dengan Adun Bota, Nasaruddin Hisham yang melompat menyertai PKR. Dari tindakan itulah menyebabkan dua ahli PKR bermasalah (berhadapan dengan tuduhan rasuah) mengambil sikap dingin kepada parti yang mana akhirnya menyebabkan parti hilang kepercayaan kepada keduanya.

Apa yang dilakukan oleh Nasaruddin itu ialah sebagai permulaan kepada perisitwa lompat melompat yang membawa kajatuhan sebuah kerajaan.

Ini sama dengan apa dilakukan oleh Adun parti negara itu. Apabila itu berlaku ia menyebabkan pihak lawan kerajaan iaitu Perikatan atau BN akan beusaha untuk menawan hati Adun lain.

Lompatan itu memberi ilham untuk mereka melakukan sesuatu atas dasar tundak balas.
Kejadian lompatan itu juga mencetuskan semangat dan mencabar pihaknya untuk berusaha sedaya mungkin bagi menarik mana-mana Adun kerajaan menyokongnya. Sekiranya tidak ada perisitwa lompat melompat itu ia tidak akan mengusik keadaan yang tenang sebelum itu.

Walaupun BN atau Perikatan ada niat tetapi ia tidak mudah untuk mencetuskan apa-apa tindakan ataupun tidak terjadi sedrastik itu.

Berbalik kepada apa yang hendak diperkatakan tadi, apabila mengenangkan apa yang berlaku di Terengganu itu saya teringat kepada Tun Razak Hussein. Tun Razaklah yang menjadi pengarah kepada projek menjatuhkan kerajaan Pas Terengganu itu. Andaian ini berpandukan kepada kedudukan dan jawatan yang dipegangnya. Siapakah Tun Razak, dia ialah bapak kepada Najib.

Sekali lagi ada persamaan dalam kedua peristiwa itu dari segi watak – terserah untuk dikatakan protoganis atau antoganis, mereka adalah anak beranak. Waktu berlaku kejatuhan kerajaan Terengganu itu, Tun Razak ialah timbalan perdana menteri dan juga menteri pertahanan. Jawatan itu sama dengan disandang Najib ketika ini. Najib adalah timbalan perdana menteri dan bekas menteri pertahanan.

Saya tidak mengatakan Tun Razak menjadi pengarah dalam rampasan kuasa di Terengganu tetapi semasa kejadian itu berlaku tahun 1961 Tun Razak adalah penjawat jawatan itu. Apakah dengan kedudukan dan jawatan itu memungkinkan mereka mudah mencapai apa-apa yang disasarkan? Seorang yang menjadi menteri pertahanan sudah tentu arif dengan strategi pertahanan dan serangan. Sukar untuk dijelaskan tetapi sejarah telah melakarinya dan itu realitinya.

Cuma dalam beberapa persamaan dan signifiken itu pada saya apa yang berlaku ada tahun 1961 di Terengganuu itu lebih bermaruah dengan apa yang berlaku di Perak kini. Kejatuhan kerajaan Terengganu dirasakan lebih gentleman kerana ia dibuat di sidang Dewan Undangan Negeri menerusi satu usul undi tidak percaya, tetapi pengumuman kejatuhan kerajaan Perak dibuat di pejabat Timbalan Perdana Menteri Putrajaya yang kelihatan arrogent dan begitu berkuasa!

Kesimpulannya bapa borek anak pastilah rintik!

Oleh mso

Osman Jailu Dimasukkan Ke ICU?

Perakdaily.com melaporkan bekas exco Perak yang juga ADUN Changkat Jering, Kaptan Bersara Osman Jailu telah dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif, salah sebuah hospital di Selayang.

Osman Jailu yang dilaporkan hilang kemudian muncul bersama-sama kumpulan dengan TPM Najib Tun Razak telah keluar dari PKR untuk menjadi ahli bebas bersama dengan seorang lagi rakannya Jamaluddin Mat Razi ADN Behrang.

Kemelut politik Perak bermula apabila kedua-dua ADUN ini yang sepatutnya dihadapkan ke mahkamah hari ini di atas tuduhan rasuah telahh ditunda ekoran hakim yang mendengar kes mereka dikatakan akan berkursus.

Ramai pihak berpandangan bahawa kes mereka akan ditutup atau diberikan keringanan setelah mengisytiharkan diri mereka keluar PKR untuk menjayakan perencanaan jahat Najib merampas kuasa untuk membentuk kerajaan haram di Perak.

Seorang lagi yang telah melompat ialah Timbalan Speaker, Hee Yit Foong dari DAP kepada Bebas dan diberitakan telah disenaraikan sebagai salah seorang exco kerajaan haram BN yang akan mengangkat sumpah hari ini.

Walaubagaimana pun nasib Jamaluddin dan Osman belum diketahui samada mereka akan turut disenaraikan sebagai exco.

ADUN Bota, Datuk Nasruddin Hashim yang menyertai PKR dan kemudian mengisytiharkan diri masuk semula ke BN melengkapkan konspirasi BN membentuk kerajaan haram di Perak yang banyak pihak menyifatkan tindakan beliau tersebut tidak akan dapat dimaafkan oleh rakyat Perak yang telah datang mendengar ceramah kemasukannya ke dalam PKR beberapa hari sebelum mengumumkan penyertaan semula ke BN.


Laporan penuh akan menyusul

Allahyarham Roslan Selamat Disemadikan

Jenazah Allahyarham Roslan Shahrum selamat disemadikan di kampung Allahyarham di Changkat Larang, Lahat dekat Batu Gajah.

Beribu-ribu orang menziarahi jenazah Allahyarham buat kali terakhir di kediamannya di Changkat Larang di sini petang tadi.

Ahli Parlimen Gopeng, YB Lee Boon Chye yang turut hadir menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar untuk negara.

Allahyarham dikatakan meninggal dunia semasa berbasikal untuk pergi ke Farmasi tetapi telah terjatuh di bahu jalan. Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Batu Gajah.

DS Nizar membacakan talkin pada Allahyarham, manakala Tuan Sheikh Mohd Nor Al-Hafiz membacakan tahlil dan Ustaz Zulkarnain Ibrahim membacakan doa di tanah perkuburan Islam Changkat Larang, tempat persemadian Allahyarham.

Antara yang hadir ialah DS Anwar Ibrahim, Dr Hatta Ramli, Dato Mahfuz Omar, Ustaz Haji Ahmad Awang, barisan ahli parlimen dan Adun. Para pimpinan tertinggi Parti pakatan Rakyat Perak dan Pegawai kerajaan juga kelihatan hadir.

Roslan, Pengerusi Yayasan Perak di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, adalah lulusan ijazah sarjana muda Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan memperoleh ijazah Sarjana Sains Pembangunan dan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia.

Pensyarah Institut Perguruan Ipoh itu berkatam sebulan lepas, suaminya pernah pengsan semasa berada di Taiwan dan setelah menjalani pemeriksaan, doktor mendapati jantung Allahyarham besar dan kurang oksigen.

"Dia patut pergi pemeriksaan tetapi arwah pergi ke Gaza, Palestin dan hingga hari ini tak buat apaapa pemeriksaan kesihatan," katanya kepada pemberita.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Sumber Tenaga Manusia dan Pentadbiran di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.

Malah beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM, dulu ITM) di Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Safiah Harun dan mempunyai 11 orang anak yang berusia antara sembilan dan 23 tahun.

Kelab GB merakamkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan semuga Allah menghimpun roh Allahyarham di kalangan orang yang dicucuri rahmat dan bersama para syuhada.

PERHIMPUNAN PERTAHANKAN PAKATAN RAKYAT DI PERAK

Sokongan rakyat terhadap kepimpinan MB Perak Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin jelas ditunjukkan dengan kehadiran lebih 35 ribu orang yang hadir di dalam satu perhimpunan yang diadakan di kediamaan rasmi Menteri Besar di Ipoh malam semalam.

Datuk Seri Anwar menyifatkan Datuk Seri Nizar seorang pemimpin yang berhemah tinggi yang gigih berusaha mengikis budaya rasuah yangs ebatu dengan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

"Kita sokong Nizar kerana prinsipnya, kita sokongnya kerana ketegasannya, kita sokongnya kerana akhlaknya, kita sokongnya kerana jiwanya jiwa untuk membela nasib rakyat Perak," tegas Anwar.

Anwar juga menyelar Najib yang menggunakan taktik kotor untuk merampas kuasa di Perak.