11 Jun 2014

Suami Bingung Isterinya Dah Terbang Ke Tanah Seberang


Ibrahim menunjukkan laporan polis dan gambar Musalmah meminta dia pulang semula ke pangkuan keluarga. Ibrahim menunjukkan laporan polis dan gambar Musalmah meminta dia pulang semula ke pangkuan keluarga.

Sampai bila nak bohong anak'

ENDAU – “Saya terpaksa bohong mengatakan isteri berada di rumah mertua setiap kali diajukan soalan oleh anak bongsu yang berusia lapan tahun bertanyakan di mana ibunya berada.”

Begitulah reaksi Ibrahim Mohamad, 50, seorang juruwang di pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini yang terpaksa membohongi anak selepas isterinya menghilangkan diri pada 21 Mei lalu.

Menurut Ibrahim, isterinya, Musalmah Harunnarashid, 41, dipercayai lari meninggalkan dia dan anak ketika berada di rumah keluarganya di Felda Endau, dekat sini.

“Saya merayu isteri agar pulang segera ke pangkuan kami kerana anak sangat merinduinya.

“Saya terpaksa berbohong mengatakan dia berada di rumah mertua setiap kali ditanya anak bongsu kami, sampai bila saya harus berbohong?,” katanya.

Ibrahim menjelaskan, dia dan isteri tidak pernah mempunyai masalah rumah tangga sehinggalah sehari sebelum kejadian, mereka bertengkar kerana isterinya tidak pulang ke rumah.

“Saya tidak mengesyaki perkara begini akan berlaku kerana sebelum ini dia tidak pernah keluar daerah bersendirian malah untuk ke bandar Mersing pun saya yang menghantarnya.

“Namun kali ini dia secara tiba-tiba menghilangkan diri sebelum menelefon saya melalui nombor luar negara pada 22 Mei lalu memaklumkan sudah berada di Surabaya, Indonesia dan seterusnya bertindak memutuskan talian,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk melakukan solat hajat, menggunakan kaedah perubatan secara Islam selain membuat laporan polis namun masih menemui jalan buntu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubunginya di talian 014-2110755.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Zulkepli Hashim berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kes terbabit.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati Musalmah ke negara jiran melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) secara sah.

“Polis tidak dapat mengaitkan unsur jenayah dalam kes ini kerana Musalmah ke luar negara secara sukarela dan menggunakan dokumen perjalanan sah, namun kami tetap meneruskan siasatan dari pelbagai aspek,” katanya. -SH









IKLAN BERBAYAR

"Wahai wanita, percantikkan dirimu sebelum suamimu terpikat dengan yang lain..."


"Mahkamah Makanan" - Rasa Nak Koyak Kain Rentang Tu!


Terkebil-kebil seketika selepas saya membaca ayat ringkas yang tertera di sehelai kain rentang baru-baru ini.

Jelas ia adalah iklan daripada pengusaha sebuah medan selera baharu dibuka yang dipasang untuk menarik pelanggan.

Geram tidak terkira. Tidak semena-mena, rasa macam mahu sahaja saya koyak-koyak kain rentang itu. Mujurlah saya tidak tahu di mana kain rentang itu dipasang kerana yang saya lihat adalah paparan di telefon bimbit.

Barangkali pembaca budiman ingat perasaan marah saya timbul kerana yang ditulis di kain rentang itu bahasa kesat, biadab, berunsur seks, rasis atau tidak patriotik.

Bagi yang tidak ambil pusing hal penggunaan bahasa, perkataan begitu mungkin biasa-biasa sahaja.

Bagi mereka yang mahu fikirkannya dari sudut kelucuan, ayat itu memang menggelikan hati, tetapi bagi yang mahu martabatkan bahasa Melayu sebagai ‘bahasa jiwa bangsa’, ayat itu adalah apa yang boleh kita anggap sebagai penghinaan kepada kecerdasan.

Sebelum pembaca budiman terus pening memikirkan apakah yang ditulis di kain rentang itu yang membuat saya terkesima dan meluahkan perasaan marah, bahkan hingga sanggup mengoyaknya, biar saya umumkan sekarang; ayatnya ialah ‘MAHKAMAH MAKANAN KAMI SUDAH DIBUKA’. Tidakkah anda terpinga-pinga seketika selepas membaca ayat itu?

Lucah? Kesat? Biadab? tentu sekali tidak. Tetapi ayat itu ketara menunjukkan masih ada manusia di bumi yang dikenali sebagai Malaysia ini tidak mampu, secara paling minima, berbahasa Melayu seperti selayaknya.

Mana datangnya mahkamah makanan? Yang ada mahkamah tinggi, mahkamah sesyen, mahkamah rayuan, mahkamah persekutuan, mahkamah syariah dan sebagainya.

Setelah terkelip-kelip seketika, baru saya faham rupanya apa yang pencipta perkataan pada kain rentang tadi ingin beritahu orang ramai ialah ‘medan selera kami sudah dibuka’. Masalahnya, dia terjemah terus daripada kamus yang menyebut food sebagai ‘makanan’ dan court sebagai ‘mahkamah’.

Berpandukan kamus, dia anggap court itu tiada lain melainkan ‘mahkamah’. Maka terciptalah ‘mahkamah makanan’, sedangkan yang betul ialah ‘medan selera’. ‘restoran’ atau ‘kedai makan’ pun boleh diterima lagi, tapi ‘mahkamah makanan’?

Bayangkan apa akan jadi kalau perkhidmatan penasihat yang sama digunakan untuk menterjemahkan perkataan-perkataan seperti badminton court, tennis court, hold court dan court danger...

Pembaca budiman tentu faham maksud ‘sokong bawa rebah’. Untuk mudah faham lagi, guna sahaja perumpamaan ‘tikus baiki labu’. Perumpamaan begini memang sesuai untuk menggambarkan penasihat seperti itu.

Dalam hampir separuh penulisan saya ini, saya baharu rujuk kepada satu kesilapan sahaja, iaitu ‘mahkamah makanan’. Maka jelaslah ini hanyalah the tip of the iceberg (sebahagian kecil daripada yang lebih besar). Setuju?

Rajin-rajinlah baca papan iklan, papan tanda dan yang seumpamanya. Anda akan lihat pelbagai 'keajaiban' lagi; ‘kedai katok bodi’, ‘jalan lencun’; ‘kedai jahit wanita’, ‘pusat ulut’, ‘kedai besi buruh’ dan banyak lagi. Mahu ketawa atau menangis selepas membacanya, terpulanglah!

Disebabkan kekalutan seperti inilah, maka sementara saya rasa bangga apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika di Beijing baru-baru ini, menyatakan bahasa Melayu kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta orang penutur, saya juga rasa mahu menangis.

Minat terhadap pengajian Melayu dikatakan bukan sahaja berada dalam lingkungan dunia Melayu, bahkan menjadi agenda pendidikan hampir di serata dunia.

Menurut Sasterawan Negara, Profesor Dr Muhammad Salleh dua tahun lalu, berdasarkan kajian sebuah universiti di kota London, dalam sekitar 20 tahun akan datang, bahasa Melayu bakal menjadi bahasa keempat terbesar dunia selepas Mandarin, Sepanyol dan Inggeris.

Marilah kita semua berharap dan berdoa agar apa yang diramalkan itu menjadi kenyataan.

Tetapi liku-liku ke arah itu tidak begitu mudah. Untuk menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu, semua agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan wajib bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam mencipta sesuatu, istilah, perkataan atau singkatan.

Kalau kita sendiri tidak tahu bezakan 'terperosok' dengan 'tersorok'; bersekongkol dengan 'setongkol'; 'komited' dengan 'kemetot'; lebih berminat sibukkan diri kaji hal peribadi orang daripada membaca untuk menambah ilmu dan tingkatkan mutu bahasa, apa yang dimimpikan akan kekal sebagai mimpi. Wallahualam! -SH









IKLAN BERBAYAR



UMNO Bawa Usul Hudud Hanya Untuk Huru-harakan Pakatan Rakyat


Umno mahu hudud di S'gor, DAP terus bantah

Selepas Kelantan, isu hudud sekarang melanda sebuah lagi negeri Pakatan Rakyat, Selangor, yang dipimpin PKR.

Gobind Singh, timbalan pengerusi DAP Selangor, seperti bapanya mendiang Karpal Singh, bagaimanapun berikrar tidak akan membiarkannya menjadi kenyataan.

Usaha itu kali ini tidak dicetuskan oleh PAS tetapi anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno sendiri dengan mengusulkan kebarangkalian melaksanakan undang-undang Islam itu.

Dalam kenyataan hari ini, Gobind berkata, DAP Selangor akan menentang mana-mana usaha memperkenalkan hudud di negeri itu.

“Kami dalam DAP sudah banyak kali berkata, kami berpandangan bahawa sebarang undang-undang untuk melaksanakan hudud bertentangan dengan perlembagaan.

Daripada salinan usul itu, ia dicadangkan bawah peraturan 26 Peraturan Tetap DUN untuk dikemukakan pada persidangan pada masa depan.

Usul yang dikemukanan oleh ADUN Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik itu berbunyi:

“Bahawa dewan yang mulia ini menggesa agar kerajaan negeri Selangor mengkaji kebarangkalian pelaksanaan undang-undang hudud pada masa hadapan di negeri Selangor selaras dengan peruntukan perlembagaan persekutuan perkara 3 iaitu Islam sebagai agama persekutuan.” -mk

Mengapa bercakap tentang hudud setelah jadi pembangkang?

KUALA LUMPUR: Umno diminta melaksanakan hudud di negeri-negeri yang diperintah oleh BN dan bukannya mengusulkan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah itu ketika menjadi pembangkang, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad.

Mengulas usul yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik agar Dewan Negeri Selangor menggesa kerajaan negeri mengkaji keberangkalian melaksanakan undang-undang hudud, Iskandar menyifatkannya sebagai “hanya bermain politik”.

“Kenapa baru sekarang Umno hendak cadang bentang di Dewan? Mereka ada lebih 50 tahun (memerintah Selangor) tetapi tidak melakukannya?

“Hanya setelah mereka menjadi pembangkang di Selangor barulah mereka hendak bercakap tentang hudud?” ulas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut beliau, PAS telah mengadakan penerangan kepada rakyat tentang hukum jenayah syariah dan meluluskan enakmen berkaitan sebaik sahaja mendapat kuasa di Kelantan.

“Di Terengganu pula, kerajaan BN negeri telah menolak pelaksanaan hudud di negeri itu,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sekali lagi menegaskan bahawa Umno perlu melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negeri yang dikuasai mereka jika benar-benar ikhlas ingin mendaulatkan syariat Islam dan tidak hanya bermain politik.

Kamarol Zaki dilapor telah menghantar usul kepada Dun Selangor agar kerajaan negeri digesa mengkaji kemungkinan melaksanakan hudud.

Salinan usul yang dicadangkan di bawah peraturan 26 Peraturan Tetap Dun itu menyebut:

“Bahawa dewan yang mulia ini menggesa agar kerajaan negeri Selangor mengkaji kebarangkalian pelaksanaan undang-undang hudud pada masa hadapan di negeri Selangor selaras dengan peruntukan perlembagaan persekutuan perkara 3 iaitu Islam sebagai agama persekutuan.”
-HD


Dun Terengganu tolak usul laksana hudud

KUALA TERENGGANU: Dewan Undangan Negeri Terangganu hari ini menolak usul supaya melaksanakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu yang diluluskan oleh dewan itu pada 7 Julai 2002.

Usul tersebut dibawa oleh Ustaz Mohd Nor Hamzah (PAS-Bukit Payong) di bawah peraturan mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap Dun.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dun, Mohd Zubir Embong menolak usul tersebut.

Kandungan usul beliau seperti di bawah.

Bahawa persidangan ini hendaklah ditangguh mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan isu Perlaksanaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1432H/ 2002M yang telah diluluskan oleh Dewan Yang Mulia Ini pada 7 Julai 2002.

Isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana perlaksanaan undang-undang Islam adalah satu tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah dalam al-Quran antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 178, an-Nur ayat 2, surah al-Maidah ayat 38 dan lain-lain lagi.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1432H/ 2002M telah diluluskan menjadi undang-undang tertinggi bagi negeri ini, dan mendapat persetujuan DiRaja Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 September 2002 serta telah disiarkan dalam warta negeri Terengganu pada pada 25 September 2002.

Bahkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1432H/ 2002M telah dicatatkan berkuatkuasa bermula pada 27 Oktober 2003 melalui dokumen TR.P.U.10/2003, bahkan jauh dari itu, penemuan batu bersurat di Kuala Berang telah membuktikan bahawa kerajaan Terengganu suatu ketika dahulu telahpun mengamalkan undang-undang Islam lebih dahulu daripada kerajaan Islam Melaka. Namun malangnya, sehingga kini ia gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri Terengganu.

Isunya mengapakah sehingga kini, kerajaan yang berkuasa melaksanakan Enakmen ini gagal untuk melaksanakannya, bahkan tidak mengambil sebarang usaha untuk melaksanakannya.

Menteri Besar serta pemimpin kerajaan negeri perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan kerajaan melaksanakan Enakmen ini.

Perkara ini adalah melibatkan kepentingan orang ramai kerana keamanan tidak berlaku dalam negeri ini dengan begitu banyaknya kejadian jenayah berat dan ringan yang melibatkan keselamatan hidup rakyat negeri Terengganu sehinggakan rumah Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, turut menjadi mangsa serangan tembakan suatu ketika dahulu.

Kerajaan dan rakyat mengalami kerugian, kehilangan maruah, nyawa dan harta benda, akibat kejadian jenayah berat dan ringan yang semakin hari semakin meningkat.

Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan.
-HD (15/04/2014)


ULASAN GB

Nampaknya semacam beriya-iya UMNO mahukan hudud di Selangor.

Tetapi parti yang sama telah menolak nusul mengenai hudud di Terengganu.

Ketara sangat mereka mempermain-mainkan hukum Allah. Mereka hanya mengemukakan usul di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat dengan tujuan untuk memporak-perandakan Pakatan Rakyat kerana mereka tahu dengan cara sedemikian parti-parti komponen PR seperti DAP dan PKR akan menolaknya.

Sedangkan kumpulan mereka sendiri telah terang-teranganm menolak hudud di Terengganu dan tidak pernah pula mengusulkan hudud di negeri-negeri yang UMNO BN perintah.


Mereka cuba mempermain-mainkan hukum Allah dan memperdayakan Allah swt. Tidak mengapa. Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. Sungguh bodoh dan berani mereka cuba untuk memperdayakan Allah, Tuhan seru sekalian alam.

Mereka tidak akan samasekali berjaya mempermain-mainkan Allah dan hukum-hakamNya, kelak Allah sendiri yang akan membalas permainan dan tipu daya mereka. Sesungguhnya Allah itu Al-Mutakabbir!

Al-Quran telah mencatatkannya:

اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ
Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terombang-ambing dalam kesesatan mereka. -Al-Baqarah:15








IKLAN BERBAYAR



[BERITA] Seorang Doktor Ditemui Mati Tanpa Pakaian Di Tandas Hospital

Alor Gajah: Seorang doktor lelaki atas panggilan (on call) di Hospital Alor Gajah telah ditemui mati di dalam tandas bilik doktor di sini, pagi ini.

Difahamkan badan doktor berusia 29 tahun yang berasal dari Petaling Jaya itu telah ditemui pada kira-kira jam 9:00 pagi oleh kakitangan hospital selepas mereka terpaksa membuka pintu tandas yang dikunci dari dalam.

Menurut sumber hospital, doktor tersebut ditemui terbaring tanpa seurat benang di atas lantai bilik air di dalam bangunan itu.

Doktor tersebut mula bekerja di Hospital Alor Gajah kira-kira dua bulan lalu. Dia berada di atas pangglan malam tadi hingga awal pagi ini.

"Difahamkan bahawa pada kira-kira 6:30 pagi, doktor berkenaan telah menerima panggilan kecemasan dari wad pediatrik dan dia telah pergi untuk menyelesaikan kes berkenaan sebelum kembali semula ke bilik doktor untuk berehat.

Pada jam 8:30 pagi, terdapat satu lagi panggilan untuknya tetapi dia tidak dapat ditemui dan panggilan ke telefon bimbitnya tidak berjawab.

Pegawai hospital kemudian memaklumkan kepada Pengarah Hospital Alor Gajah, Dr Suraidah Karim.

Kakitangan hospital kemudian memeriksa tandas di dalam bilik doktor di atas panggilan dan mendapati bahawa bilik air itu terkunci dari dalam, kata sumber itu.

Kakitangan hospital telah memecahkan pintu bilik air tersebut dan mendapati mangsa yang berbaring kaku tanpa seurat benang di atas lantai.

Kakitangan hospital telah cuba memberi pertolongan kecemasan kepada mangsa tetapi dia telah diisytiharkan mati di tempat kejadian," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Alor Gajah, Penguasa Mohamad Laham berkata mangsa dipercayai terjatuh dari mangkuk tandas.

Kali terakhir mangsa dilihat adalah ketika dia memasuki bilik panggilan doktor oleh kakitangan hospital pada jam 6:45 pagi," katanya.

Kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat.







IKLAN BERBAYAR